Você está na página 1de 10

Minda Pengarang: Gaya hidup sihat, diet seimbang cegah obesiti

08:05:09 AMCetakEmel Kawan

GAYA hidup, trend pemakanan, sikap dan pengaruh persekitaran sekarang mendorong gejala berat badan atau obesiti yang semakin ketara. Obesiti memberi kesan negatif kepada kesihatan tubuh. Ia dikaitkan dengan pakej penyakit kronik, iaitu darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang dan jantung selain menjejaskan sistem reproduksi. Jumlah penduduk yang mengalami obesiti juga semakin meningkat. Jika gejala ini tidak dibendung, struktur masyarakat akan semakin lemah kerana sebahagian besar komponen muda mengalami obesiti sekali gus tidak aktif kerana berpenyakit. Obesiti mesti ditangani segera sebelum majoriti rakyat negara ini mengalaminya. Justeru, perlu ada tindakan bersepadu agensi dan kementerian untuk memberi panduan kepada rakyat mengenai disiplin pemakanan serta keperluan melakukan aktiviti riadah untuk mengekalkan berat badan ideal. Memandangkan pemakanan adalah asas kehidupan yang sihat, proses mendidik rakyat mengenainya mesti membabitkan sistem pendidikan di semua peringkat. Kementerian Kesihatan mesti mempelopori tindakan ini. Perlu ada segmen pemakanan dalam mata pelajaran yang difikirkan sesuai di sekolah. Kemudian, kementerian menggembleng pelbagai media massa, multimedia dan media sosial untuk menyebarkan panduan pemakanan seimbang kepada orang ramai. Program menggalakkan senaman, mengutamakan diet seimbang dan kempen menurunkan berat badan mesti disemarakkan. Ilmu keibubapaan juga perlu diserapkan dengan galakan dan fakta kebaikan menyediakan sendiri makanan untuk keluarga di rumah. Perlu juga disebarkan silibus mengenai diet dan penyediaan makanan secara sihat untuk dijadikan panduan. Menangani obesiti memerlukan panduan dan dorongan pakar. Obesiti sangat kompleks dan hanya panduan pakar mampu menghuraikan permasalahan itu. Apabila Kementerian Kesihatan menyebut ada kira-kira 300 pakar pemakanan akan ditempatkan di klinik kerajaan terpilih secara berperingkat untuk memberi kaunseling berhubung obesiti, ia adalah tindakan yang benar-benar serius mahu menangani gejala berkenaan. Kesungguhan kerajaan melihat rakyat sihat turut dibuktikan dengan penubuhan Majlis Cegah Obesiti Malaysia (Mcom), Sabtu lalu. Majlis itu dianggotai 13 anggota persatuan yang akan membantu kerajaan menangani masalah obesiti sambil menyebarkan penerangan dan maklumat serta meningkatkan kesedaran umum mengenai gaya hidup sihat termasuk aspek pemakanan. Kemahiran memberi kaunseling mengenai obesiti dan gaya hidup sihat juga mesti disebarkan kepada lebih ramai individu termasuk guru, persatuan, kelab, badan bukan kerajaan mahupun organisasi pekerjaan supaya penyampaiannya lebih menyeluruh. Susulan lain hasil penubuhan Mcom ialah keperluan mewujudkan garis panduan dalam industri makanan dan minuman yang selama ini ada produknya menyumbang kepada obesiti. Jelas,

obesiti ada kaitan dengan pelbagai perkara dan semua ini perlu ditangani dengan bijak tetapi tegas dan berhemah.

Amalan gaya hidup sihat cegah NCD


04:29:54 AM Oleh Mona AhmadCetakEmel Kawan

Masyarakat perlu utama kesihatan diri, keluarga elak diancam penyakit berbahaya PENYAKIT tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases atau NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, kanser dan paru-paru kronik adalah pembunuh utama penduduk dunia. Mengikut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global, seramai 17 juta orang mati akibat penyakit kardiovaskular pada 2005, 7.4 juta lagi mati akibat kanser pada 2004, 220 juta penduduk lagi menghidap diabetes pada 2005, manakala 1.1 juta meninggal dunia akibat penyakit sama. Setiap tahun, kira-kira empat juta orang di seluruh dunia mati akibat penyakit paru-paru. Malaysia tidak terkecuali. Malah, kajian mendapati penyakit jantung dan strok mencatatkan jumlah tertinggi kadar kematian di hospital kerajaan dan ia juga adalah punca utama kematian pramatang (di bawah 60 tahun) di Malaysia. Tahun lalu saja, jumlah kematian akibat NCD di hospital kerajaan di seluruh negara mencecah 47,266 orang. Negara turut berada di kedudukan ke enam di Asia Tenggara dengan kadar obesiti dewasa yang tertinggi. Menyedari pentingnya kawalan dan pencegahan bagi NCD, Kementerian Kesihatan mengambil langkah proaktif bagi menangani isu berkenaan menerusi Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit NCD (National Strategic Plan for NCD atau NSP-NCD). NSP-NCD mengguna pakai tujuh strategi utama, iaitu pencegahan dan promosi kesihatan, rawatan klinikal, memperkasakan pesakit, bertindak bersama badan bukan kerajaan, badan profesional dan lain-lain pihak yang berkaitan, pemantauan, penyelidikan dan survelan, bina insan dan intervensi polisi dan peraturan-peraturan. Antara rancangan yang sudah dan bakal dilaksanakan (bagi intervensi polisi dan peraturanperaturan) termasuklah mengukuhkan polisi aktiviti fizikal dan pemakanan dalam perancangan pembangunan di semua agensi dan kementerian, meneruskan pengawalan serta pengurangan kandungan garam dan gula dalam makanan yang diproses dan minuman berbungkus. Selain itu, kemudahan awam turut dipertingkatkan bagi mempromosi lebih banyak aktiviti senaman dan fizikal dalam persekitaran selamat misalnya di taman awam, kompleks sukan

awam, laluan basikal, joging dan gimnasium awam. Meningkatkan liputan sistem pengangkutan awam yang efisien di seluruh negara bagi menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan itu dengan lebih meluas dan merangsang lebih banyak aktiviti fizikal, selain menambah lebih banyak kemudahan pengesanan kesihatan. Cadangan wajibkan saringan kesihatan kepada semua pekerja 40 tahun dan ke atas. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tahun ini saja, kementerian sudah melaksanakan 55 projek pencegahan NCD iaitu 35 projek di dalam komuniti, 11 di sekolah dan sembilan di tempat kerja seluruh negara. Selain itu, klinik 1Malaysia turut disediakan di beberapa kawasan bandar (urban) yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seluruh negara. kini dianggarkan 75 peratus penduduk Malaysia tinggal dalam dalam lingkungan lima kilometer radius dari fasiliti kesihatan KKM. Di kawasan luar bandar (rural), kementerian telah menyediakan klinik bergerak, termasuklah inisiatif terbaru Klinik Bergerak 1Malaysia, dan juga perkhidmatan flying doctor. Pencegahan NCD memerlukan pembabitan semua pihak. Amalan gaya hidup sihat adalah antara kunci utama bagi pencegahan penyakit NCD. Mengikut kajian lebih 80 peratus daripada penyakit jantung, strok, diabetes Jenis 2 dan lebih sepertiga kanser boleh dicegah menerusi amalan gaya hidup sihat dan mengelakkan diri daripada terjebak dalam amalan berisiko seperti merokok, pemakanan yang tidak sihat, gaya hidup yang sedentari (atau tidak aktif) dan pengambilan alkohol, katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini. Liow berkata tanpa gaya hidup sihat, rakyat negara kini lebih terdedah kepada penyakit NCD. Malah, katanya, di Malaysia, jumlah perokok yang berusia 18 tahun ke atas adalah seramai 2.8 juta orang atau 21.5 peratus pada 2006, kurang aktiviti fizikal seramai 5.5 juta rakyat Malaysia atau 43.7 peratus, berlebihan berat badan sebanyak 29.1 peratus, manakala obesiti sebanyak 14 peratus. Kajian juga mendapati wanita mempunyai kadar berlebihan berat badan sebanyak 17.4 peratus berbanding lelaki hanya 10 peratus, manakala golongan suri rumah mempunyai kadar obesiti tertinggi iaitu 20.3 peratus. Kaum India dan Melayu pula mencatatkan kadar obesiti lebih tinggi daripada bangsa lain. Penyakit NCD boleh menyebabkan krisis keluarga dan kewangan, kekurangan kualiti kehidupan, kerugian dalam produktiviti dan meningkatkan bebanan negara. Sehubungan itu, semua pihak terutama rakyat sendiri, perlu menitikberatkan kesihatan diri

sendiri serta keluarga dan berpegang kepada prinsip kesihatan adalah kekayaan, menyertai aktiviti ke arah gaya hidup sihat, mewujudkan Pusat Sumber Kesihatan sebagai rujukan masyarakat ke arah kesihatan diri mereka, menyuntik semangat pekerja mementingkan penjagaan kesihatan di tempat kerja dan menjadikan gaya hidup sihat sebagai trend kehidupan seharian, katanya. INFO: Obesiti

Kadar obesiti wanita Malaysia lebih tinggi iaitu 17.4 peratus berbanding lelaki hanya 10 peratus

Kaum India dan Melayu mencatatkan kadar obesiti paling tinggi berbanding bangsa lain

Suri rumah mencatatkan kadar obesiti sebanyak 20.3 peratus NCD di Malaysia

Penyakit jantung dan strok mencatatkan kadar kematian paling tinggi di hospital kerajaan Malaysia berada di kedudukan ke-6 di kalangan negara Asia Tenggara bagi kadar obesiti dewasa.

Amal gaya hidup sihat


Oleh Yusmizal Dolah Aling yusmizal@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Selaras dengan usaha membudayakan cara hidup sihat kepada masyarakat, Masjid Al Muttaqin, Wangsa Melawati, dekat sini, mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Kesihatan Masyarakat untuk penduduk sekitar kawasan itu. Karnival sehari anjuran bersama Pertubuhan Ikram Setiawangsa itu julung kali diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada pengunjung mengenai pentingnya menjaga kesihatan diri dan hubungan erat sesama keluarga.

Antara aktiviti menarik diadakan sepanjang karnival itu termasuk senaman tai chi, pemeriksaan kesihatan, forum ibu bapa dan forum Israk dan Mikraj. Tidak ketinggalan, acara untuk kanak-kanak seperti pertandingan mewarna, bercerita serta pengisian membentuk generasi berjaya menerusi slot Anak Soleh Super.

Acara bercerita turut diserikan dengan penampilan pelakon dan juga penulis buku, Wardina Saffiyah yang menggunakan kemahirannya bercerita kepada hampir 50 kanak-kanak dengan caranya tersendiri.

Menurut Yang Dipertua Ikram Setiawangsa, Mohammad Abdul Hamid, pihaknya mengambil inisiatif bersama dengan pihak berkuasa agama untuk mengadakan program berkenaan bagi mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat. Katanya, ia juga bertujuan mengajak orang ramai memahami fungsi masjid sebagai tempat mengeratkan perpaduan dan bukannya terhad untuk beribadah saja.

Dengan cara ini, secara tidak langsung, orang ramai akan sedar peranan masjid sebagai institusi yang mengeratkan hubungan sesama manusia selain menjadi pusat perkembangan Islam di negara ini. Kita juga memberi ruang kepada peniaga membuka gerai jualan di pekarangan masjid sebagai satu usaha untuk meningkatkan ekonomi umat Islam, katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Abd Aziz Jani, berkata karnival itu secara

tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat serta mendekatkan orang ramai dengan masjid.

Saya berharap, program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan saja berfaedah dari segi informasi kesihatan, malah memberi peluang kepada penduduk untuk beramah mesra sesama mereka, katanya.

Makan sihat untuk kekal cergas


GAYA hidup yang sibuk membuat anda tidak duduk diam sepanjang hari. Anda mendapat kepuasan daripada pembahagian masa antara kerja dan komitmen peribadi. Anda suka berkejar (dan memandu) ke sana sini untuk menguruskan hal kerja dan keluarga. Untuk memastikan anda mempunyai tenaga untuk melakukan kesemuanya, anda mengisi perut dengan apa sahaja yang ada. Namun, ada kalanya anda merasa terlalu letih hingga tidak berdaya untuk membuka mata, apatah lagi untuk bangun dari katil. Keadaan ini membuat anda tertekan (stres), lesu dan murung. Selalunya, anda juga merasakan seperti ingin merangkak semula naik ke atas katil. Mengapa anda dibelenggu keadaan ini? Anda makan hingga kenyang, tetapi mengapa masih kurang bertenaga? Makanan yang anda makan setiap hari seharusnya memberi cukup tenaga untuk membolehkan anda bergerak cergas sepanjang hari tetapi di mana silapnya? l Makan secara sihat Anda mungkin makan dengan secukupnya tetapi untuk mengekalkan gaya hidup yang begitu sibuk, anda bukan sekadar perlu makan mengikut masa, malahan juga perlu mengamalkan tabiat makan yang sihat. Ini kerana pemakanan yang betul memberi anda segala nutrien penting dan komponen makanan lain yang diperlukan untuk kekal sihat dan cergas sepanjang masa. Makan secara sihat bermakna mengambil pelbagai jenis makanan kerana makanan yang berlainan membekalkan tenaga dan kombinasi nutrien yang berbeza. Untuk memastikan anda mendapat bekalan tenaga dan nutrien yang secukupnya untuk keperluan harian, anda perlu makan pelbagai jenis makanan yang menggabungkan bijirin, kekacang, buah-buahan dan sayuran, daging, ikan, ayam serta produk susu (dengan penekanan kepada empat kumpulan makanan yang pertama). Anda juga perlu mengurangkan pengambilan lemak, gula dan garam. Dan minum banyak air!

Setelah memahami peranan diet yang pelbagai dan seimbang untuk memastikan anda cergas dan bertenaga, adakah anda tahu apa lagi yang diperlukan untuk memberikan prestasi yang terbaik setiap hari? l Gerakkan Badan! Ya, anda perlu aktif dan bersenam! Kekal aktif adalah sama penting dengan makan secara sihat untuk mengekalkan kesejahteraan secara keseluruhan. Malah, pemakanan yang betul dan aktiviti fizikal perlu seiring kerana diet memberi anda tenaga yang diperlukan untuk kekal aktif. Aktiviti fizikal memberi banyak kelebihan. Antara lain, ia membolehkan anda mengekalkan imbangan tenaga kerana aktiviti fizikal membakar kalori untuk membolehkan anda kekal sihat, langsing, dan tidak gemuk. Ia juga membantu anda mengekalkan berat badan yang sihat dan memastikan kesihatan kardiovaskular serta kekuatan dan fleksibiliti badan. Senaman juga berkesan menghindari pelbagai penyakit, termasuk penyakit kardiovaskular (senaman boleh membantu menguatkan otot jantung), hipertensi (mengurangkan tekanan darah tinggi), diabetes (mengawal paras glukosa darah), obesiti dan osteoporosis. Sebagai bonus tambahan, senaman juga mengurangkan tahap stres, memberi anda semangat, tenaga dan menaikkan harga diri. Lebih penting lagi, senaman membuat anda kelihatan segak, merasa yakin diri dan berfikir dengan lebih baik! Sekarang anda sudah tahu segala kebaikan yang diperolehi dari aktiviti fizikal dan senaman, jadi mengapa anda tidak berusaha untuk menerap amalan sihat ini ke dalam gaya hidup anda? Jika boleh, anda patut cuba bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari dalam kebanyakan hari setiap minggu. Jika anda berbadan gempal, jangan terus mula berjoging selama 20 minit. Cuba dahulu senaman regangan badan yang ringan atau mula berjalan selama lima hingga 10 minit. Tingkatkan intensiti dan tempoh masa aktiviti fizikal atau senaman apabila anda semakin biasa dengan senaman tersebut. Anda juga boleh mulakan program senaman yang lebih berat setelah biasa dengan senaman yang anda mula-mula lakukan. l Terlalu Sibuk? Dengan kekalutan yang menyebabkan anda sibuk sepanjang masa, anda mungkin mendapati sukar untuk meluangkan sedikit masa untuk aktiviti fizikal. Tetapi jika anda benar-benar serius untuk menjaga kesihatan, anda pasti boleh mencuri masa untuk bersenam. Jadi, jika anda makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal secara tetap, anda bukan sahaja akan merasa sihat dan nampak berseri-seri, tetapi juga mempunyai cukup tenaga untuk bekerja, berfikir, bergiat aktif dan meneruskan gaya hidup biasa anda setiap hari!

Belia perlu amal gaya hidup sihat berteraskan syariat


PERANAN dan sumbangan generasi muda Islam membina tamadun Islam memang hebat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia mula bertapak di Makkah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf,

Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini. Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. Begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Constantinople) ketika usia beliau 21 tahun. Peranan golongan muda juga disebut dalam al-Quran di mana kisah Ashabul Kahfi dijadikan contoh golongan muda berani mempertahankan akidah daripada raja yang zalim. Firman Allah yang bermaksud: Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambah mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), ketika mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran. - (Surah al-Kahfi, ayat 13-14) Golongan beliau menghadapi cabaran hebat dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global hari ini. Mereka bukan saja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi juga semakin diresapi dengan budaya hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur. Persoalan besar timbul ialah apakah golongan belia yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, mampu untuk memikul amanah mengurus, mentadbir agama dan dapat mempertahankan serta menjamin kedaulatan negara. Justeru, marilah kita terutama ibu bapa dan belia sekalian bersama berganding bahu serta bekerjasama membina anak bangsa dengan acuan dan cara hidup sihat berteraskan ajaran Islam yang suci. Ini selaras firman Allah yang bermaksud: Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka. - (Surah at-Tahrim, ayat 6) Oleh itu, belia Muslim perlu bangkit menyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup. Mereka juga perlu mencegah, menghalang dan menghindarkan diri daripada melakukan kemungkaran yang bertentangan dengan syariat Islam. Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa depan negara, mereka perlu meletakkan diri sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati serta disegani masyarakat dunia. Jika golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi serta terbaik.

Firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya. - (Surah Ali-Imran, ayat 104) Sesungguhnya tanggungjawab besar belia pada hari ini ialah untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan agama. Peranan belia hari turut menyumbang ke arah membangun modal insan supaya menjadi bangsa dihormati.

MARI BERSENAM : AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT


Isu kegemukan sejak dari dulu lagi menjadi topik perbualan. Namun, jika dulu, masalah kegemukan sering diperkatakan berlaku di kalangan dewasa, kini masalah sama dihadapi kanak-kanak dan ia bukanlah dianggap berita baik. Pelbagai faktor dikaitkan dengan masalah kegemukan di kalangan kanak- kanak seperti gaya hidup dan pemakanan tidak terkawal. Namun, lumrah, ramai ibu bapa gembira melihat anakanak mereka gemuk kerana dianggap comel. Lalu diberi kasih sayang sepenuhnya termasuk keperluan lain seperti makanan dan minuman. Namun, perlu diingat, gaya hidup seperti itu andai diteruskan hingga dewasa, bakal mengundang masalah seperti mudah mendapat penyakit selain faktor rasa rendah diri akibat obesiti. Kegemukan yang dialami 98 peratus datang daripada sikap individu itu sendiri. Dalam menangani isu kegemukan, faktor yang perlu diambil kira ialah soal keupayaan jantung untuk mengepam darah yang membawa nutrisi tertentu ke seluruh badan. Secara ringkasnya, semakin gemuk diri anda, semakin banyak bebanan jantung untuk mengepam darah ke bahagian badan yang diselaputi lemak. Jika sudah dewasa, dikhuatiri anak anda yang sudah terbiasa dengan pemakanan dan berat badannya, berasa ingin berubah dan melakukan senaman. Sehubungan itu, didikan dan rangsangan sejak dari kecil sangat digalakkan. Sehubungan itu, ibu bapa perlu memberi panduan mengenai kepentingan menjaga pemakanan dan berat badan kepada anak mereka. Mari kita lihat beberapa tip untuk mendidik kanak kanak bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat yang dikongsi bersama jurulatih kecergasan, Mohd Hoesni Rahmat :

INFO 1. Didik mereka supaya memahami konsep bersenam. Konsep bersenam adalah untuk sihat seperti mengeluarkan peluh dan ajar anak anda betapa pentingnya menjaga kesihatan. Berikan ganjaran sebagai galakan jika mereka berjaya melakukan dan mengamalkan gaya hidup sihat. 2. Jika anak anda banyak menghabiskan masa menonton televisyen atau bermain permainan video dan langsung tidak keluar rumah, lakukan cara yang paling mudah dengan menyuruh mereka membuang sampah atau pergi ke kedai membeli barang. Setidaknya, mereka boleh mengeluarkan peluh. 3. Beli basikal untuk anak anda dan setiap petang keluar bersama menjalankan aktiviti berbasikal. Jika tidak, anda boleh menemani mereka berbasikal di taman. 4. Benarkan mereka keluar rumah untuk berkawan atau bawa mereka bersama ketika anda ingin berkunjung ke rumah rakan atau saudara. 5. Mencari satu komuniti ibu bapa yang mempunyai anak dan tubuhkan satu komuniti di kalangan mereka dalam bersukan atau beriadah. Ibu bapa juga boleh turut serta dalam menjalankan aktiviti bersenam. 6. Kurangkan memberi makanan ringan atau jika boleh, jangan ajar anak anda memakan makanan ringan. 7. Ajar anak untuk memakan sayur-sayuran dan buah buahan. Kebanyakan ibu bapa terlalu mengikut selera anak. Namun sebagai ibu bapa, perlu kreatif dan mencuba pelbagai cara supaya anak anda dapat menerima makanan begini. 8. Senaman perlu dilakukan sekurang kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit dan lakukan bersama anak-anak anda.

Você também pode gostar