Você está na página 1de 1

Apa itu Nilai Intrinsik?

Salah satu prinsip pelaburan yang digunakan oleh Warren Buffet ialah untuk melabur dalam sesebuah syarikat pada nilai intrinsiknya. Ini kemudiannya akan memberi anda satu margin keselamatan. Ini selaras dengan kata-kata beliau iaitu: lebih baik melabur dalam sebuah syarikat yang bagus pada harga yang berpatutan daripada melabur di sebuah syarikat yang sederhana tetapi pada harga yang tinggi (invest in a great company at a fair price rather than a fair company at a great price). Salah satu kaedah yang selalu digunakan dalam pelaburan nilai adalah konsep nilai intrinsik. Nilai intrinsik adalah nilai sesuatu saham berdasarkan kepada pulangan akan datang.Ianya diperkenalkan oleh Benjamin Graham. Pada era 1930an, Graham menulis sebuah buku berjudul Analisis Sekuriti (Securities Analysis) yang masih lagi digunakan sehingga ke hari ini. Graham juga adalah mentor kepada Warren Buffet, yang pada mulanya mengikut prinsip Graham, seterusnya Buffet mengubahsuai prinsip tersebut mengikut pemahaman dan falsafah pelaburannya sendiri. Di akhir artikel ini, anda akan mengetahui definisi nilai intrinsik serta mengenal pasti bagaimana ia memberi kesan kepada keputusan pelaburan yang dibuat. Definisi nilai intrinsik dan margin keselamatan Mengikut Graham, nilai intrinsik adalah nilai sebuah syarikat kepada pemiliknya. Ianya adalah harga syarikat itu jika pemiliknya ingin menjual syarikatnya, termasuklah nilai aset-aset yang sedia ada, dividen dan potensi atau peluang untuk berjaya pada masa akan datang. Dalam pelaburan saham, konsep di sebalik nilai intrinsik adalah nilai yang boleh dibawa keluar daripada sesuatu perniagaan. Akan tetapi kesilapan dalam mengira nilai intrinsik mungkin berlaku, oleh itu, pelabur juga seharusnya mengambil kira faktor margin kesilapan dengan hanya membeli perniagaan atau membeli saham syarikat pada harga diskaun daripada nilai intrinsik. Mengikut prinsip Graham, tidak rugi untuk membeli saham jika anda hanya perlu membayar sebanyak dua pertiga daripada harganya. Setelah mengetahui serba sedikit mengenai nilai intrinsik, langkah seterusnya lebih mencabar. Anda perlu mengetahui nilai intrinsik untuk setiap perniagaan atau saham. Disebabkan ia bergantung kepada jangkaan pulangan akan datang, seorang pelabur itu mesti membuat pilihan sendiri untuk menentukan cara dan anggapan untuk mendapatkan nilai intrinsik sesuatu saham dan margin keselamatan yang anda sendiri mahukan.

Mengira Nilai Intrinsik Disebabkan nilai intrinsik adalah nilai anggaran, maka tiada cara yang sistematik atau khusus untuk mendapatkan angkanya. Angkanya akan berbeza antara satu sama lain kerana bergantung kepada masa dan kaedah yang digunakan. Jika melihat laporan saham yang dikeluarkan, anda akan melihat perbezaan di antara penganalisapenganalisa dalam mengira nilai intrinsik untuk sebuah syarikat yang sama. Nilai intrinsik juga akan berubah mengikut pasaran saham dan keadaan ekonomi. Kebanyakan pelabur ingin tahu bagaimana pakar-pakar pelaburan seperti Graham dan Buffet mendapatkan nilai intrinsik sesuatu syarikat sebelum mereka melabur. Berdasarkan kepada prinsip Graham, nilai intrinsik boleh ditentukan daripada perolehan sesuatu syarikat dalam keadaan perniagaan yang normal. Beliau mencadangkan dalam pengiraan nilai intrinsik sesuatu syarikat, perolehan normal dan nilai pasaran normal untuk syarikat itu harus digunakan. Oleh itu, cara terbaik untuk mendapatkan perolehan normal adalah berdasarkan kepada corak perolehan syarikat yang terdahulu. Mengambil kira jangkaan perolehan masa depan manakala nilai pasaran terdahulu boleh digunakan untuk mendapatkan nilai pasaran normal bagi syarikat itu. Buffet pula mempunyai versi yang berbeza dengan Graham. Beliau mencadangkan nilai intrinsik sesuatu syarikat boleh dikira dengan mendiskaunkan semua aliran tunai akan datang sesuatu syarikat kepada nilai kini dengan menggunakan formula diskaun aliran tunai (discounted cash flow). Dengan cara ini, beliau menganggap aliran tunai percuma sebagai perolehan keuntungan pemilik. Namun begitu, ianya adalah sukar untuk meramalkan aliran tunai akan datang. Oleh itu, beliau berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk melabur di sebuah syarikat yang konsisten, mempunyai pengurusan yang bagus dan senang untuk difahami. Sebuah syarikat yang sukar difahami dan sentiasa berubah-ubah akan memberi kesukaran dalam meramalkan perolehan akan datang dan perbelanjaan. Ini juga adalah sebabnya kenapa beliau selalu mengelak daripada melabur dalam syarikat teknologi. Untuk pelabur yang menggunakan analisis fundamental dalam membuat keputusan pelaburan, teknik mengira nilai intrinsik memberikan satu cara untuk mengira nilai sesuatu saham. Hakikatnya, terdapat banyak cara untuk mendapatkan nilai intrinsik, kerana ianya bergantung kepada pilihan dan naluri seseorang itu sendiri untuk mendapatkan angka bagi nilai intrinsiknya. Disebabkan keadaan ini, nilai intrinsik menerima banyak kritikan kerana membawa penilaian yang tidak konsisten.

Você também pode gostar