Você está na página 1de 6

Mengambil Iktibar Dari Peristiwa Hijrah Muhammad Haniff Hassan Hijrah adalah satu peristiwa penting dalam sejarah

h perjuangan Rasulullah s.a.w kerana ia merupakan turning point bagi perjuangan beliau. Turning point dari sebuah gerakan sosial kepada sebuah entiti politik dan dari kedudukan bertahan kepada ofensif sehingga menjatuhkan kuasa Jahiliyah. Begitu penting Hijrah dalam perjuangan Rasulullah s.a.w sehingga sejarawan seluruhnya membahagikan sejarah perjuangan beliau kepada dua era iaitu era Mekah dan era Madinah. Pembahagian ini dibuat kerana pada kedua-dua era ini terdapat perbezaan yang ketara dari segi natijah dakwah, pendekatan dan mesej yang hendak disampaikan. Atas dasar itu, sewajarnya peristiwa Hijrah dipelajari dan dikaji untuk diambil iktibar, pelajaran dan membina keinsafan bagi langkah-langkah perjuangan di hari ini dan akan datang. Penganjuran program Zikral Hijrah dan acara-acara sambutan memperingatinya oleh badan-badan Islam adalah satu cara yang baik bagi mendidik masyarakat akan erti Hijrah dan kepentingannya. Bagi semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan Zikral Hijrah dan majlis-majlis ceramah, forum dan lain-lain haruslah menyedari bahawa bersama usaha ini sebenarnya terdapat amanah yang besar bahawa sebagai penganjur yang menjayakan program berkenaan dengan hasrat untuk mencapai objektif tertentu, mereka lebih utama untuk mencapai objektif itu. Mereka juga yang lebih utama untuk memahami semangat dan pengertian hijrah serta menghayatinya dari orang lain. Malang sekali sekiranya, acara berkenaan dilalui hanya sebagai hiburan atau acara sukasukaan sebagaimana orang lain menyambut tahun baru atau hanya mengikut tradisi semata-mata tetapi tidak meninggalkan sedikit kesan akan pengertian Hijrah dalam diri. Jika ini berlaku, maka takutilah firman Allah taala yang bermaksud Wahai orang-orang yang beriman!! Mengapakah engkau mengatakan apa yang engkau sendiri tidak lakukan. Amat besar kebencian di sisi Allah apabila engkau mengatakan apa yang tidak kau lakukan. (As-Saf : 2 3) Oleh itu, dalam kita berusaha untuk menjayakan acara ini dan sebelum kita melakukannya, eloklah kita peringatkan diri kita akan beberapa pengajaran penting dari peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w. Hijrah sebagai satu peristiwa sejarah, hanya dapat benar-benar difahami dan dinilai signifikannya dengan mengkaji seluruh peristiwa sejarah sebelum hijrah dan seluruh peristiwa sejarah sesudahnya. Dengan erti kata lain, signifikan Hijrah itu hanya dapat benar-benar dirasakan dengan mengkaji seluruh sirah Rasulullah s.a.w itu sendiri. Walau bagaimana pun, berikut adalah beberapa pengajaran yang boleh diambil iktibar.

1. Asas bagi perjuangan ini ialah untuk memenuhi maslahat Islam yang menjangkau batas-batas geografi dan keluarga. Mekah adalah tanah suci yang paling dimuliakan dalam Islam. Rasulullah s.a.w secara peribadi juga amat mencintai Mekah sebagai tanah tumpah darahnya. Namun oleh kerana ia sudah tidak subur untuk dakwah dan kepentingan perjuangan menuntut untuk ia mencari bumi lain yang lebih subur, ia meninggalkan bumi yang suci lagi dicintai itu ke satu kawasan yang lebih baik bagi Islam. Demikianlah pendakwah, ia tidak boleh terikat dengan emosinya atau ikatan kekeluargaan atau batas geografi sehingga mengabaikan sesuatu yang lebih baik bagi agamanya. Seorang muslim dituntut untuk menegakkan agamanya di mana sahaja di muka bumi ini. Di bumi mana terdapat kepentingan Islam yang lebih besar di situlah ia berpijak dan di situlah langit dijunjung. Begitulah juga kehidupan ini. Orang Islam harus melihat bahawa peluang bagi kehidupan ini lebih luas dari hanya sekadar pada tanah kelahirannya sahaja kerana seluruh dunia ini adalah bumi Allah taala yang lebih layak untuk di manfaatkan oleh hamba-hamaNya yang soleh. Hakikat ini lebih menjadi relevan dengan tren globalisasi yang ada sekarang ini. 2. Perancangan dan pengurusan adalah sunnah Rasulullah s.a.w dan tuntutan dalam perjuangan ini. Apabila Rasulullah s.a.w hendak berhijrah beliau melakukannya dengan penuh perancangan. Beliau meneliti siapa yang layak menemaninya di antara sekalian banyak sahabatnya. Beliaumerancang jalan yang perlu dilalui. Untuk itu beliau bertolak ke utara sedangkan Madinah terletak di bahagian selatan dan beliau bersembunyi di gua Tsur selama tiga hari dengan tujuan untuk mengelirukan orang-orang Quraisy. Beliau juga memilih jalan yang berdekatan laut yang jarang digunakan oleh kafilah-kafilah Arab untuk elak di kesan. Beliau membahagi tugas bagi menjayakan Hijrahnya. Asma bte Abu Bakr bertugas sebagai pembawa bekal makanan semasa beliau bersembunyi di gua. Anak lelaki Abu Bakr bertugas sebagai penggembala kambing yang menghilangkan kesan Asma ketika menuju ke gua. Beliau memilih penunjuk jalan yang pakar dan dipercayai. Beliau menugaskan Ali untuk tidur ditempatnya bagi menipu musuh dan mengembalikan barang-barang amanah kepada tuan-tuannya. Beliau menyediakan logistik dan bekal seperti kuda dan makanan. Beliau menugaskan orang untuk mengumpul maklumat dan memberi laporan kepadanya semasa bersembunyi di gua. Beliau juga berusaha untuk mengaburi musuh dan banyak lagi tindakan-tindakan beliau yang menunjukkan ketelitian beliau dalam merancang Hijrahnya.

Tidakkah Rasulullah s.a.w kekasih Allah yang akan dipelihara olehNya? Tidakkah Allah telah menjanjikan kemenangan untuknya? Namun itu semua tidak menyebabkan Rasulullah s.a.w leka, berfikir secara simplistik dan mudah dalam kerja dakwah atau main asal buat sahaja. Perjuangan ini adalah satu usaha yang kompleks yang tidak boleh dimenangkan melalui usaha yang sembrono, pemikiran yang asal boleh atau kerja yang mediocre. One who fails to plan, plans to fail.ini bukanlah kata-kata hikmat orang Barat sahaja tetapi disebaliknya terdapat sunnah Rasulullah s.a.w. Mengabaikan aplikasi ilmu pengurusan dalam perjuangan ini kerana ia adalah produk Barat bercanggah dengan amalan sunnah dan semangat Hijrah. Begitulah juga hidup bagi seorang muslim. Ia perlu dilalui dengan penuh perancangan. Setiap muslim wajib merancang bagi membangun dirinya. Apa yang hendak dicapainya? Apakah kerjayanya? Apakah kemahiran yang ia perlu ada? Dalam berkeluarga, kita perlu merancang kehidupan keluarga kita. Apakah wawasan keluarga kita? Apakah masa depan anak-anak kita? Bagaimanakah keluarga ini boleh menyumbang bagi kesolehan masyarakat dan negaranya? Seorang muslim yang bijak bukan hanya berusaha keras tetapi berusaha keras secara terancang dan tersusun sehingga natijah dari kerjanya menjadi lebih baik dan sempurna. 3. Dalam kesibukan mengurus dan merancang, jangan lupa faktor Allah taala. Walau pun Rasulullah s.a.w merancang Hijrahnya tetapi ternyata beliau sebenarnya gagal dalam perancangannya. Ini dapat dilihat melalui insiden orang-orang Quraisy yang mampu menjejaknya sehingga di muka gua dan insiden beliau dikejar oleh seorang pemuda Quraisy dengan menaiki kuda dalam perjalanan ke Madinah. Sekiranya tidak kerana bantuan Allah taala dalam kedua-dua insiden ini, maka sudah pasti Rasulullah s.a.w tertangkap dan usahanya gagal. Pendakwah ialah golongan yang merancang sebaik-baiknya tetapi sentiasa berdoa dan mengekalkan hubungan baiknya (hablum minallah) dengan Allah melalui keikhlasan niat, kesucian jiwa, amal taqarrub yang berterusan dan kebersihan langkah. Kerana inilah faktor yang menentukan samada Allah akan membantunya dalam waktu kesempitan atau tidak. Pendakwah haruslah sentiasa sedar bahawa walau bagaimana pun baik perancangannya tetapi Allah taala yang menjadi penentu segala-galanya. Pendakwah yang tulen sentiasa berada di antara golongan yang hanya bergantung dengan kebijaksanaan akalnya dengan golongan yang asal buat sahaja Oleh itu, dalam kesibukan mengurus kehidupan dunia ini jangan lupa masa untuk Tuhan melalui solat yang wajib dan yang sunat, membaca Al-Quran, berzikir, berpuasa, menunaikan zakat dan bersedekah. Dalam mengejar ilmu dan kemahiran dunia, jangan lupa ilmu agama.

Bahkan dalam kesibukan merancang dan mengurus dunia, kita juga perlu merancang dan mengurus ibadat kita agar lebih sempurna dan terus meningkat dari masa ke semasa. 4. Bagi golongan bukan Islam, terdapat ruang untuk menjayakan perjuangan ini. Bagi menjayakan Hijrah beliau, Rasulullah s.a.w memilih penunjuk jalan yang bukan beragama Islam tetapi boleh dipercayai. Ini mengajar kita bahawa walau pun Allah taala telah menjelaskan sikap-sikap orang kafir di dalam Al-Quran namun jangan sekali-kali kita menafikan ruang untuk golongan bukan Islam bersama untuk menjayakan perjuangan ini. Termasuk dalam kebijaksanaan pendakwah ialah untuk mengenal pasti individu-individu atau kumpulan dari bukan Islam namun bersimpati dan bersedia untuk membantu usaha ini. Mereka ini perlu dicari dan dikenal pasti lalu didekati untuk diajak bersama dalam perjuangan ini. Termasuk dalam pemikiran sempit apabila seseorang menolak hakikat ini. 5. Dakwah ini boleh dijayakan dengan cara aman. Rasulullah s.a.w mengasaskan Madinah tanpa setitik darah pun mengalir. Walau pun setelah itu ia perlu dipertahankan dengan kekuatan. Hijrah dan seluruh sirah Rasulullah s.a.w. mengajar bahawa dakwah ini lebih berpotensi untuk berkembang dalam suasana aman. Sebab itulah apabila peluang untuk berdamai dibuka, Rasulullah s.a.w mengambilnya melalui Perdamaian Hudaibiyah sehingga jumlah mereka yang menganut Islam setelah perdamaian ini melebihi dari keseluruhan jumlah yang masuk Islam sebelum era perdamaian. Allah taala berfirman yang bermaksud Dan jika mereka condong untuk berdamai, maka condonglah kepadanya dan bertawakal pada Allah (Al-Anfal :61) Atas dasar ini kita perlu bersyukur akan suasana aman yang kita perolehi sekarang ini. Adalah menjadi kewajipan kita untuk memastikan suasana aman ini dipelihara kerana dakwah akan lebih mudah dijalankan dalam keadaan seperti ini. Walau pun tidak dinafikan wujudnya kesulitan-kesulitan tertentu. Memelihara suasana aman dan bebas ini adalah penting kerana keamanan dan kebebasan jika hilang, ia akan hanya diganti oleh porak peranda, tekanan dan kemudaratan yang lebih besar. Oleh itu, umat Islam haruslah memelihara diri dan emosi dari bertindak melulu kerana reaksi terhadap peristiwa yang berlaku terhadap umat Islam di bumi lain agar tindakan itu tidak merosakkan kebebasan dan keamanan bagi menjayakan dakwah pada hari ini dan akan datang.

Cabaran kita ialah bagaimana untuk memanfaatkan suasana ini, untuk mengulangi sejarah perkembangan Islam di Madinah dan sejarah awal kedatangan Islam di Nusantara. Walau pun tidak dinafikan, Islam mewajibkan jihad ke atas umatnya namun termasuk dalam kebijaksanaan dalam berdakwah untuk melakukan sesuatu di tempat yang sesuai pada suasana yang sesuai. 6. Hijrah adalah Pengorbanan dan Persaudaraan. Jika diteliti seluruh rentetan peristiwa Hijrah maka ia tidak lari dari nilai Pengorbanan dan Persaudaraan. Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin berkorban harta, perasaan, keluarga bahkan nyawa bagi menjayakan Hijrah. Kesanggupan Ali untuk tidur di tempat Rasulullah s.a.w, kesanggupan Abu Bakar untuk menahan sakit apabila di gigit ular ketika di dalam gua agar tidak mengganggu tidur Rasulullah s.a.w dan kesanggupan kaum Ansar membantu kaum Muhajirin semuanya adalah manifestasi terhadap rasa cinta terhadap saudaranya dan penghayatan terhadap nilai Persaudaraan dalam Islam. Oleh itu tiada kebaikan bagi perjuangan tanpa Pengorbanan dan Persaudaraan. Orang yang hidupnya tiada masa untuk berkorban bagi agama ini dan membangun masyarakatnya sebagai menunaikan hak persaudaraan dalam Islam, baginya firman Allah taala yang bermaksud Katakanlah sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, kaum keluarga kamu, harta-harta yang kamu perolehi, peniagaan yang kamu takuti kemusnahannya dan rumah-rumah yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah, rasulNya dan berjihad di jalanNya maka nantilah! Sehingga datang urusan Allah (yakni azabNya) ke atas kamu. Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasiq. (At-Taubah : 24) Jika kita ingin kaitkan pengajaran di atas dengan isu-isu yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam hari ini seperti pendidikan wajib, masalah sosial, pendidikan, KBE dan lain-lain, maka bolehlah disimpulkan bahawa 1. Jalan penyelesaian bagi masalah-masalah berkenaan bukan hanya terdapat di Singapura sahaja dan sumber untuk menyelesaikannya juga tidak terhad di sini. 2. Dengan perancangan dan pengurusan yang baik, kita akan mampu untuk mengatasi masalah ini. Persoalannya ialah apakah perancangan kita? 3. Dalam merancang, jangan lupa keberkatan dari Allah terhadap usaha ini dan keberkatan tidak bersama dengan usaha yang penuh syubhat dan tercemar. 4. Akan ada di kalangan bukan Islam yang bersimpati dan mahu membantu dalam menghadapi masalah ini, maka perlulah kita mencari dan merangkul mereka. 5. Jalan yang aman merupakan pilihan yang terbaik. Sekiranya ia belum berhasil, kita akan terus mencari huraian lain secara aman.

6. Tanpa nilai pengorbanan dalam usaha ini, kesukaran tidak akan di atasi dan tanpa nilai persudaraan usaha kolektif sukar digerakkan. Oleh itu, menanam nilai pengorbanan dan memupuk persaudaraan adalah sebahagian dari usaha menyelesaikan masalah kita.

Você também pode gostar