Você está na página 1de 2

Tuala wanita: 200 pelajar direndam dalam kolam kotor

Oleh: ABD. HALIM HADI

SIBU 21 Julai Belum pun kejadian 22 murid ditampar guru besar di Tuaran, Sabah selesai, satu lagi kes sekolah mengenakan hukuman melampau terhadap pelajar dilaporkan berlaku. Kali ini ia berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan dekat sini pada Rabu lalu apabila hampir 200 pelajar dipaksa berendam di dalam sebuah kolam sekolah yang kotor.

WARDEN asrama (kanan berpayung) mengawal sebahagian daripada pelajar SMK Bawang Assan yang dipaksa berendam dalam kolam sekolah di Sibu, Sarawak, Rabu lalu.

Kejadian itu didedahkan oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Jimmy Kiu yang menyaksikan sendiri kejadian itu. Katanya, pelajar asrama itu dipaksa oleh warden supaya berendam selama lebih kurang satu jam dalam kolam itu ketika hujan lebat selepas salah seorang pelajar membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas sekolah. Katanya, warden asrama itu berang dan mengarahkan pelajar perempuan tingkatan satu hingga lima itu masuk ke dalam kolam sedalam kira-kira 0.6 meter selepas tiada pelajar yang mengaku melakukan perbuatan itu. Di KOTA KINABALU, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika diminta mengulas kejadian itu berkata, pihaknya bersikap terbuka dalam menerima laporan masalah disiplin melibatkan warga sekolah sama ada murid, guru atau pentadbir. Menurut beliau, kementerian itu juga mempunyai jawatankuasa khas yang bertindak memantau masalah disiplin yang diketuai Timbalannya, Datuk Noh Omar. Di setiap peringkat sama ada murid, guru, ustaz, ustazah serta pegawai, ada yang baik dan ada yang tidak baik tetapi mereka yang tidak bertanggungjawab hanya segelintir. Daripada 320,000 guru bukan semua malaikat dan segelintir itu perlu diambil tindakan. Tiada orang boleh melakukan sesuka hati di sekolah, katanya. Hishammuddin berkata, pendekatan kementerian sekarang ialah mendidik guruguru baru agar dapat mengawal emosi mereka supaya kejadian mendera pelajar dapat dielakkan.

Menceritakan lebih lanjut kejadian itu, Jimmy berkata, hukuman yang dikatakan bermula pada pukul 4 petang itu berakhir satu jam kemudian selepas warden itu menyedari ada orang awam merakam gambar kejadian itu. Selepas mengarahkan pelajar perempuan keluar dari kolam, kata Jimmy, warden itu memberi amaran kepada pelajar supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa atau menghadapi hukuman lebih berat. Beliau yang sempat merakam gambar kejadian itu berkata, warden berkenaan sepatutnya memikirkan soal keselamatan pelajar kerana ketika itu hari hujan dan ada petir. Selain itu, air kolam di situ juga kotor kerana bercampur dengan sisa makanan dan air kotor yang dibuang dari kantin sekolah. Saya mendedahkan perkara ini kerana saya tidak mahu pihak sekolah menutup kes ini, lagipun sebelum ini ramai pelajar yang bertukar sekolah kerana kekasaran guru yang sama, katanya kepada pemberita di sini. Akibat kejadian itu, katanya, beberapa pelajar mengalami gatal-gatal, ruam dan ada yang demam. Sehubungan itu, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan ibu bapa untuk membincangkan tindakan sewajarnya. Katanya, beliau telah menghubungi dan meminta pihak polis dan Jabatan Pelajaran di sini menyiasat kejadian yang menimpa pelajar dari kawasan Sungai Pasin, Batang Lassa, Nanga Singat, Sungai Lengang, Sungai Belangan dan Tanjung Bekakap itu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0722&sec=Dalam_Negeri&pg =dn_02.htm#ixzz2dC035ns2 Utusan Melayu (M) Bhd

Você também pode gostar