Você está na página 1de 6

Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan

pulang ke kampung halaman. Bersama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat. Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya? Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.. Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi speed limit terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Di sisi itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung menyebabkan kenderaan dikawal secara auto-pilot yang akhirnya membawa kepada kemalangan jalan raya. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi apabila statistik menunjukkan bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika berada di jalan raya. Pendek kata, kecuaian pemandu ketika di jalan raya merupakan penyumbang utama kemalangan jalan raya. Bak kata pepatah Melayu, kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas. Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu, jelaslah bahawa kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang kurang memuaskan. Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjad-jadi juga sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan katak-katak rempit. Tanpa mengira keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti drift and drag,

gaya aerospace dan superman bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya yang kini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Dalam pada itu, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis sejak tahun 1991 dan merekodkan 79 saman daripada pihak JPJ semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan raya. Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam memakmurkan alam sehingga memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di manakah terletaknya keadilan dan keunggulan undang-undang negara sehinggakan fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya. Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Hal ini secara tidak lansung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika negara Beijing berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah

Rajah di bawah menunjukkan punca-punca kemalangan jalan raya. Huraikan pendapat anda tentang punca-punca kemalangan jalan raya. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

PENDAHULUAN 5 Ayat [AR] Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan jalan raya saban tahun semakin meningkat dari hari ke hari. Setiap hari sama ada di kaca-kaca televisyen, di dada-dada akhbar mahupun di corong-corong radio pasti ada sahaja dipaparkan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa manusia. [AR-A.Tanya] Murah sangatkah nyawa manusia sehingga banyak jiwa yang terkorban di jalan raya? Jika hal ini dibiarkan berterusan, sudah tentu merugikan sesebuah negara. [AA] Oleh itu,punca-punca kemalangan jalan raya perlu dikenal pasti segera sebelum isu ini menjadi lebih parah lagi. [80 pp] Perenggan Isi 1 : Sikap Pemandu Itu Sendiri 5 Ayat [AP] Punca yang paling signifikan penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu itu sendiri. [AH-Mengapa?] Hal ini disebabkan pemandu bersikap mementingkan diri, tidak sabar ketika berada di jalan raya dan tidak mematuhi peraturan jalan raya. [AC] Sebagai contoh, pemandu kenderaan memandu kereta dengan laju tanpa mematuhi had laju yang dibenarkan. [AH-Kesan?] Secara tidak langsung, pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain. [AP] Oleh itu, sikap berhati-hati di jalan raya dan Biar Lambat Asal Selamat akan dapat menghindarkan kemalangan maut daripada berlaku. [78 pp] Perenggan Isi 2 : Keadaan Struktur Jalan Raya 5 Ayat [AP] Punca seterusnya penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah Keadaan struktur jalan raya. [AH-Mengapa?] Keadaan jalan raya yang berlubang-lubang, sempit dan rata sudah pasti mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. [AC] Sebagai contoh, jalan raya yang bengkangbengkok, selekoh tajam akan memudahkan pemandu yang tidak biasa jalan tersebut terbabas dan terlibat dalam kemalangan jalan raya. [AH-Bagaimana?] Oleh itu, pihak kerajaan perlu mengambil inisiatif segera memperbaiki struktur jalan raya yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya.. [AP] Tegasnya sebelum Nasi Menjadi Bubur, struktur jalan raya perlu diberi keutamaan terlebih dahulu agar keselamatan pengguna-pengguna jalan raya terjamin. [86 pp]

Perenggan Isi 3 : Keadaan Kenderaan 5 Ayat [AP] Keadaan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik juga menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. [AH-Mengapa?] Keadaan kenderaan yang tidak diselenggara mengikut jadual yang telah ditetapkan boleh mengundang malapetaka kepada pemandunya. [AC] Sebagai contoh, brek kenderaan yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan pemandu sukar mengawal kenderaan ketika saat-saat kecemasan. [AH-Kesan?] Impaknya, pemandu akan mudah tersasar dan berlakunya kemalangan jalan raya ketika ingin menghentikan kenderaan secara kecemasan. [AP] Jelaslah, kenderaan hendaklah diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan yang jauh kerana Malang Tidak Berbau. [76 pp] Perenggan Isi 4 : Undang-undang 5 Ayat [AP] Penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga merupakan salah satu punca berlaku kemalangan jalan raya. [AH-Mengapa?] Dendaan dan kompaun sebanyak RM300 bagi kesalahan berat seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah tidak berkesan kerana pemandu mampu bayar. [AC] Selain itu, Ops Sikap dan sekatan jalan raya hanya giat dijalankan ketika musim-musim perayaan. [AH-Kesan?] Impaknya, pemandu tidak gentar melakukan kesalahan di jalan raya kerana mereka mampu membayar denda yang dikenakan dan beranggapan operasi hanya dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja. [AP] Jadi, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan pemantauan di kawasan berbahaya hendaklah diambil untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan maut. [93 pp] Kesimpulan. [Rumusan] Semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menangani isu kemalangan jalan raya ini. [Cadangan] Segala usaha yang dilaksanakan hendaklah berterusan dan istiqomah bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. [Pendapat] Jangan sampai sudah terhantuk, baru nak terngadah, barulah inisiatif dirangka untuk mengatasi kemalangan jalan raya. Isu kemalangan ini tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja kerana impaknya sangat besar kepada negara terutamanya kerugian sumber tenaga yang produktif. [Harapan] Slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat hendaklah dijadikan pedoman bagi semua pengguna jalan raya agar nyawa mereka terselamat. Ingat, jangan jadikan lebuh raya sebagai gelanggang perlumbaan mahupun pusara kerana nyawa manusia merupakan satu anugerah yang perlu dihargai. [80 pp]

Apabila musim perayaan menjelang tiba, anggota masyarakat di Malaysia begitu ghairah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, terutamanya golongan perantau yang mencari rezeki di kota raya. Perasaan mereka bagai digamit rindu untuk pulang ke kampung dan bertemu dengan ahli keluarga yang sudah lama tidak ditemui. Namun demikian, selain perasaan yang begitu teruja itu, anggota masyarakat pasti akan mendengar berita tentang kemalangan maut yang sangat menyayat hati kita. Kemalangan maut yang sering berlaku pada musim perayaan ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Dengan kata lain, terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan ini dan cadangan untuk mengatasinya. Faktor pertama kemalangan jalan raya berlaku kebiasaannya disebabkan oleh kelalaian manusia sebelum memulakan perjalanan. Mereka sering alpa untuk memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan tidak menghantar kenderaan tersebut untuk diselenggara di pusat servis. Akibatnya, keadaan kenderaan mereka itu akan menjejaskan perjalanan mereka untuk pulang ke kampung. Keadaan kereta yang tidak diservis dan tayar yang botak ini akan

mengakibatkan kereta itu mudah hilang kawalan terutamanya ketika hujan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan maut. Oleh itu, kesan daripada manusia yang alpa dan tidak mengambil berat keadaan kenderaan mereka itu menyebabkan kemalangan tersebut berlaku. Faktor kedua kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap manusia yang gagal merancang perjalanan dan bersikap terburu-buru semasa berada di jalan raya. Anggota masyarakat tidak merancang perjalanan mereka dengan teliti iaitu dengan menentukan waktu yang sesuai untuk bertolak ke kampung supaya mereka tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang merupakan suatu penyiksaan kepada pengguna jalan raya. Perkara ini seterusnya akan menyebabkan sesetengah pengguna jalan raya yang tidak sabar dan mengikut nafsu itu melakukan kesalahan seperti memotong kenderaan di garisan berkembar atau di bahagian bahu jalan. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini seterusnya akan menyebabkan kemalangan berlaku. Faktor seterusnya yang menyebabkan kemalangan berlaku disebabkan oleh keadaan jalan raya yang kurang memuaskan hati penggunanya. Walaupun masyarakat sudah merancang perjalanan dan menyelenggara kenderaan mereka, kemalangan tetap juga berlaku. Hal ini berlaku demikian kerana keadaan jalan raya yang berlubang-lubang dan tidak rata akan menyebabkan tayar kereta tidak dapat mencengkam permukaan jalan raya. Kesan seterusnya, apabila pengguna jalan raya melalui kawasan tersebut, kenderaan mereka mungkin akan terbabas dan sukar untuk dikawal. Kenderaan mereka mungkin akan berlanggar dengan kenderaan lain atau melanggar pembahagi jalan dan perkara ini akan menyebabkan kemalangan berlaku. Oleh itu, keadaan atau faktor jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik turut menyebabkan kemalangan maut berlaku. Kemalangan maut ini dapat diatasi dengan pelbagai kaedah, antaranya melalui kempenkempen di media massa dan papan iklan di tepi jalan atau lebuh raya. Radio dan televisyen boleh memaparkan iklan kepada audien supaya mereka tidak lupa akan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh mereka sebelum memulakan perjalanan. Sebagai contohnya, mereka boleh memaparkan iklan tentang pemandu yang letih dan mengantuk ketika memandu kenderaan dan mereka perlu berhenti di kawasan rehat. Kempen dan iklan seperti itu dirasakan berkesan kerana para pengguna jalan raya dapat melihat iklan tersebut dengan mudah. Jelaslah di sini bahawa melalui kempen, perkara itu akan mengingatkan mereka tentang bahaya kemalangan jalan raya. Langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan iaitu melalui Jabatan Kerja Raya adalah dengan memastikan jalan-jalan raya di Malaysia berada dalam keadaan yang baik. Perkara ini perlu dilakukan bagi memudahkan pengguna menggunakannya tanpa perasaan bimbang atau takut. Semua jalan raya yang berlubang perlu diturap dengan sempurna supaya dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Selain itu, permukaan jalan yang tidak rata haruslah diratakan supaya pengguna berasa selesa ketika memandu kenderaan serta melancarkan perjalanan anggota masyarakat yang hendak pulang ke kampung halaman mereka. Jadi, keadaan jalan raya yang baik dapat mengurangkan kemalangan maut yang berlaku di negara kita. Konklusinya, pengguna jalan raya haruslah lebih berwaspada dan berhati-hati ketika hendak memulakan perjalanan dan pandulah kenderaan dengan cermat keranapandu cermat jiwa selamat. Sekiranya masyarakat tidak mematuhi etika pemanduan yang betul maka kemalangan maut ini boleh berlaku tanpa mengira masa. Mereka perlu ingat akan orang yang tersayang yang sedang menanti kepulangan mereka di rumah atau di kampung. Oleh itu, semua anggota masyarakat dan kerajaan haruslah berganding bahu untuk memastikan kadar peningkatan kemalangan maut dapat diatasi dengan memainkan peranan masing-masing secara berkesan. Dengan cara itu kita berharap agar masyarakat di Malaysia dapat hidup sejahtera tanpa dibelenggu oleh masalah yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.

Você também pode gostar