Você está na página 1de 9

BAHAGIAN B : PENULISAN REFLEKTIF Bincangkan sejauh manakah penglibatan guru biasa sebagai guru pembimbing dalam aspek mengenalpastikan

masalah yang berlaku dalam kalangan murid sekolah. Ramai berpendapat bahawa kerjaya sebagai seorang guru merupakan suatu pekerjaan yang murni. Tambahan pula dikatakan guru mempunyai cuti yang banyak. Ada juga yang mengatakan menjadi seorang guru senang dan memperoleh pendapatan tinggi dan tetap. Pelbagai tanggapan yang boleh disimpulkan sama ada dalam kalangan masyarakat umum tentang profesion guru. Namun, sebenarnya profesion menjadi seorang guru bukan sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik malah menjadi seorang guru perlu menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia untuk menjadi modal insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Dalam mengharungi proses dan sistem pendidikan tersebut khususnya di negara kita seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan konteks tugasannya di bilik darjah dan sekolah. Tugas seorang guru bukan sahaja mengajar di sekolah atau memberi ilmu kepada murid-murid malah semua guru yang terlatih berperanan sebagai guru bimbingan ataupun guru pembimbing. Sepertimana yang telah kita tahui, perkhidmatan bimbingan di sekolah bukan semata-mata dijalankan oleh guru bimbingan dan kaunseling sahaja. Setiap orang guru sama ada guru mata pelajaran atau guru kelas mampu memainkan peranan sebagai guru pembimbing dengan mengambil kira pengalaman hidup dan kematangan emosi serta kognitif masing-masing. Sebagai guru pembimbing, guru biasa membantu guru bimbingan dan kaunseling untuk mengumpulkan maklumat mengenai murid-murid. Pengumpulan maklumat oleh guru biasa amat membantu kepada guru bimbingan dan kaunseling untuk membuat semakan serta digunakan sebagai rujukan untuk tindakan susulan nanti, sama ada dalam bentuk sesi kaunseling atau intervensi lain.

Peranan guru biasa sebagai guru bimbingan amatlah besar dan penting. Antara peranan seorang guru biasa sebagai guru pembimbing adalah menolong murid membuat penyesuaian. Dalam hal ini, guru biasa membantu anak-anak muridnya menyesuaikan diri mereka dalam pelbagai aspek seperti fizikal, mental, emosi, persekitaran dan sebagainya. Kedua, guru biasa yang berperanan sebagai guru pembimbing juga menolong murid dalam pelajaran. Murid pada zaman sekarang menghadapi pelbagai masalah dan masalah-masalah tersebut kadang-kala menjadi satu halangan kepada mereka untuk mengikuti atau menguasai proses pengajaran dan pembelajaran. bagi mengatasi masalah tersebut, guru sedia membantu murid dalam pelajaran mereka. Misalnya, sekiranya murid menghadapi masalah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, guru bertanggungjawab untuk menolong murid berkenaan dalam mata pelajaran tersebut. Segala kemuskilan yang wujud dalam kalangan murid perlulah diselesaikan oleh guru dengan mengambil tindakan sewajarnya seperti member penerangan yang ringkas, tepat dan jelas, memberikan contoh-contoh yang bersesuaian dengan topik yang diajar serta menggunakan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang sesuai dengan tahap penerimaan murid. Selain itu, guru juga boleh membuat perancangan yang sistematik serta melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik bagi membantu murid mengikuti pembelajaran. Ketiga, guru biasa memberi kesedaran tentang pentingnya pelajaran. Terdapat murid yang sangat aktif untuk belajar dan pada masa yang sama terdapat juga murid yang datang sekolah hanya sebagai rutin harian. Dalam hal ini, guru biasa memberi kesedaran kepada anak-anak murid bahawa betapa pentingnya pelajaran pada masa kini sebab pendidikan yang diperoleh oleh seseorang akan menentukan masa depan mereka. Apabila guru memberikan kesedaran, murid-murid berpeluang untuk mengubah dirinya dan bersedia untuk menghadapi cabaran di dunia pendidikan ini. Keempat pula, guru biasa menolong murid untuk membuat keputusan rasional. Murid-murid di sekolah rendah berupaya mengambil keputusan sendiri tetapi masalahnya mereka tidak tahu bahawa keputusan yang diambil itu rasional atau tidak. Jadi, adalah menjadi tugas kepada guru biasa untuk menolong murid membuat pertimbangan, mengenal pasti baik buruk sesuatu tindakan dan sebagainya.

Seterusnya, guru biasa juga haruslah selesaikan masalah pembelajaran murid dengan memberi tumpuan yang lebih, melaksanakan aktiviti yang sesuai, memberikan tugasan yang boleh meningkatkan kefahaman murid terhadap sesuatu pembelajaran. Tambahan pula, guru biasa sebagai guru pembimbing perlu membentuk tabiat kerja murid. Pembentukkan tabiat positif mampu memberi kesan yang positif ke arah peningkatan prestasi dalam pembelajaran. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah seperti positif terhadap kesukaran yang dihadapi, peka terhadap masa, yakin terhadap kebolehan diri, berani mencuba untuk kebaikan dan lain-lain lagi. Pembentukan tabiat positif ini haruslah diberi penekanan oleh guru di awal tahun lagi agar segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai ikhtibar dalam menghadapi cabaran yang pastinya menguji kita dalam usaha mencapai kejayaan. Bidang tugas guru biasa sebagai guru pembimbing yang seterusnya adalah guru sentiasa merujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling. Sekiranya guru biasa menghadapi sebarang masalah dalam menguruskan anak muridnya, mereka boleh merujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling untuk mendapatkan idea atau pendapat yang waras di samping mendapatkan maklumat. Seterusnya, guru juga boleh bekerjasama dengan guru bimbingan dan kaunseling sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap anak muridnya. Mengisi kad 001 bagi murid-murid sekolah rendah juga merupakan tugas seorang guru biasa yang berperanan sebagai guru pembimbing. Antara butir-butir peribadi murid yang perlu diisi oleh guru ialah seperti rekod berat, tinggi, rabun atau tidak, markah peperiksaan pertengahan dan akhir tahun, sikap pelajar dan cita-cita. Kad 001 ini, adalah satu-satunya kad peribadi murid yang diterima pakai dalam mahkamah. Sekiranya terjadi apa-apa musibah ke atas anak murid tersebut semasa dalam usia bersekolah, pampasan yang sewajarnya boleh diberi berdasarkan rekod peribadi dan cita-cita anak murid itu. Di samping itu, guru biasa perlu bekerjasama dengan ibu bapa atau penjaga. Hal ini adalah demikian kerana guru merupakan ibu bapa kedua di sekolah bagi seseorang murid. Jadi, mereka perlu sentiasa memaklumkan perkembangan murid dari masa ke

masa. Kerjasama antara dua pihak ini iaitu guru dengan ibu bapa dapat membantu kedua-dua pihak untuk mengenali tentang murid atau anak. Hal ini akan mendorong kepada guru atau ibu bapa untuk mengambil sebarang tindakan seterusnya.

Peranan Guru Biasa Sebagai Guru Pembimbing


Menolong murid membuat penyesuaian. Menolong murid dalam pelajaran. Beri kesedaran tentang pentingnya pelajaran. Menolong murid buat keputusan rasional. Selesaikan masalah pembelajaran. Bentuk tabiat kerja pelajar. Merujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling. Kerjasama dengan guru bimbingan dan kaunseling. Isi kad 001 (sekolah rendah). Kerjasama dengan ibu bapa.

Jadual menunjukkan peranan guru biasa sebagai guru pembimbing.

Terdapat dua teknik yang biasa digunakan oleh guru untuk mengumpul maklumat murid-murid, iaitu teknik ujian dan teknik bukan ujian. Secara amnya, teknik ujian merujuk kepada ujian-ujian piawai yang dibentuk untuk mengukur ciri-ciri murid seperti kebolehan, pencapaian, aptitud, minat, sikap, nilai dan personaliti. Ujian-ujian

tersebut yang bersifat formal biasanya ditadbirkan secara individu atau kelompok. Hasil penganalisian skor murid-murid dalam ujian digunakan sebagai rujukan dalam sesi bimbingan dan kaunseling kelak. Bagi memperoleh satu gambaran yang komprehensif dan menyeluruh, teknik bukan ujian turut digunakan oleh seseorang guru biasa. Teknik bukan ujian ini bersifat subjektif berbanding dengan teknik ujian yang bersifat objektif. Jadual berikut menunjukkan secara ringkas tentang kaedah pengumpulan maklumat murid-murid dan contoh-contohnya.

Kaedah Pengumpulan Maklumat Murid-murid

Teknik Ujian

Teknik Bukan Ujian

Ujian Pencapaian

Pemerhatian

Ujian Aptitud

Temu Bual

Inventori Minat Kerjaya

Analisis Dokumen

Ujian dan Inventori Personaliti

Ujian Sikap

Penglibatan guru biasa sebagai guru pembimbing dalam aspek mengenalpastian masalah yang berlaku dalam kalangan murid sekolah sangat mendorong kepada guru untuk mengenali tentang anak muridnya. Kebanyakan masalah yang diceritakan oleh murid kepada guru boleh diklasifikasikan seperti berikut.

Konflik Interpersonal Murid-murid yang sedang menghadapi masalah komunikasi dengan ibu bapa, guru-guru atau rakan sebaya. Konflik Intrapersonal Murid-murid menghadapi masalah yang berkaitan dengan membuat keputusan perlukan penjelasan mengenai alternatif-alternatif penyelesaian dan akibat. Kekurangan Maklumat tentang Diri Murid-murid yang ingin mengenali diri secara lebih mendalam dari segi kebolehan, kekuatan, minat dan nilai. Kekurangan Maklumat tentang Persekitaran Murid-murid perlukan maklumat tentang cara mencapai kejayaan dalam bidang akademik serta kerjaya di dunia pekerjaan. Kekurangan Kemahiran Murid-murid perlu belajar mengenai satu-satu kemahiran seperti cara belajar yang berkesan, tingkahlaku asertif, kemahiran mendengar yang berkesan dan sebagainya.

Dalam usaha mengenal pasti masalah murid-murid sekolah rendah, terdapat pelbagai cara yang sering digunakan oleh guru-guru biasa. Antara cara-cara yang selalu digunakan oleh guru-guru bagi mengenal pasti masalah anak-anak muridnya ialah pemerhatian, senarai semak, sosiogram, hasil karya murid, foto serta audio dan video. Walaupun terdapat banyak cara untuk mengenal pasti masalah, kebanyakkan guru menggunakan cara pemerhatian sebagai cara utama mengenal pasti masalah anak-anak muridnya. Berdasarkan perbincangan yang telah saya lakukan dengan guruguru di sekolah praktikum saya, mereka berpendapat bahawa cara pemerhatian ini sangat berkesan dan mudah untuk mengenal pasti masalah murid. Menurut mereka, semasa membuat pemerhatian, guru atau pemerhati perlu mengikuti beberapa prosedur yang penting. Yang pertama, sebelum sesi pemerhatian guru hendaklah menentukan objektif atau tujuan pemerhatian, sasaran yang akan diperhatikan, tempoh pemerhatian iaitu jangka masa, dan cara merekod hasil pemerhatian. Prosedur yang kedua, guru perlu masuk ke kelas atau tempat di mana murid-murid sedang berkumpul dan menjalankan aktiviti pembelajaran. yang ketiga pula, pemerhati duduk di belakang kelas atau tempat yang sesuai supaya tidak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Manakala, prosedur yang keempat ialah pemerhati membuat pemerhatian sambil mencatat nota lapangan yang relevan. Hasil pemerhatian dicatatkan dalam borang-borang pemerhatian khusus seperti rekod anekdot, rekod running, persampelan masa, persampelan peristiwa, dan penulisan dairi yang dijadikan sebagai bahan-bahan bukti bagi pemerhatian yang telah dijalankan. Selain pemerhatian, guru biasa juga menggunakan senarai semak yang berguna untuk guru mengetahui tentang penguasaan kemahiran murid. Ia juga digunakan apabila guru sedang memerhatikan satu aspek tingkah laku murid. Senarai semak mempunyai kekurangan yang paling ketara berbanding dengan cara pemerhatian iaitu ia tidak mengambil kira konteks di mana satu-satu tingkah laku itu berlaku ataupun perbezaan individu. Jadi, senarai semak digunakan sebagai tambahan kepada maklumat yang telah dikumpul dengan menggunakan cara pemerhatian yang lain. Berdasarkan senarai semak yang disediakan oleh guru biasa, maka guru bimbingan

dan kaunseling akan memperoleh satu gambaran ringkas mengenai perkembangan murid-murid dari aspek fizikal, kognitif, social dan emosi. Hal ini memudahkan beliau untuk merancang tindakan susulan yang munasabah bagi murid-murid berkenaan. Seterusnya, satu lagi cara yang berkesan bagi mengenal pasti perkembangan sosial murid-murid iaitu dengan menggunakan sosiogram. Sosiogram merupakan satu peta atau rajah yang menunjukkan pola interaksi satu kumpulan murid-murid. Ia dapat menunjukkan dengan jelas siapa yang disukai ramai, siapa yang perlukan bantuam, siapa yang mempunyai kemahiran sosial yang baik dan sebagainya. Sosiogram dapat menggambarkan siapa dalam pasukan atau kumpulan menjalani interaksi dan siapa dalam kalangan ahli yang seolah-olah disingkir. Sebagai tindakan susulan, guru bimbingan dan kaunseling boleh merujuk kepada maklumat awal ini untuk mendapatkan jawapan kepada beberapa persoalan yang timbul hasil analisis sosiogram. Selain itu, koleksi hasil karya murid yang dikumpul merentasi satu tempoh masa juga boleh memberi maklumat yang bernilai mengenai perkembangan anak murid. hasil karya yang dimaksudkan adalah seperti lukisan, kolaj, penulisan dan gambar foto projek dan sebagainya. Hasil karya yang asli membuktikan kebolehan kognitif dan kreativiti masing-masing. Berdasarkan hasil karya murid, guru dapat melihat dengan mata sendiri pertumbuhan dan perkembangan murid sama ada yang telah atau yang belum berlaku pada murid-murid berkenaan. Hasil karya yang dikutip itu boleh disimpan dalam bentuk buku skrap atau folio untuk dikongsi bersama serta sebagai bahan bukti. Rakaman audio dan video juga dapat membantu seorang guru untuk mengenal pasti masalah yang wujud dalam kalangan murid-murid. Dengan menggunakan rakaman video, guru dapat merakam segala gerak-geri murid sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Manakala, rakaman audio pula member satu gambaran mengenai kemahiran bertutur murid-murid. Cara ini banyak digunakan oleh guru Bahasa Melayu untuk mengetahui tentang kemahiran bertutur anak muridnya.

Berdasarkan pemerhatian dan perbincangan dengan guru-guru di sekolah saya berpraktikum, saya dapati guru biasa sebagai guru pembimbing memainkan peranan yang amat penting dalam membantu guru bimbingan dan kaunseling memperoleh satu profil awal murid-murid. Guru biasa juga selalu berkolaborasi dengan guru bimbingan dan kaunseling dari segi mengumpul data dan menyediakan maklumat murid. Jadi, jelaslah kepada kita bahawa guru biasa sebagai guru pembimbing dan guru bimbingan dan kaunseling saling melengkapi keperluan satu sama lain.

Disediakan oleh,

_______________________ ( TAMILMANI A/L KANNAN )

Você também pode gostar