Escolar Documentos
Profissional Documentos
Cultura Documentos
secara umumnya, masyarakat Iban dikatakan berasal dari satu daerah kecil di Kalimantan, Indonesia. namun, ada juga ura-ura mengatakan bahawa Iban sebenarnya berasal daripada Myanmar yang membawa diri ke Indonesia seterusnya ke Sarawak. pada zaman dahulu, masyarakat Iban cukup dikenali kerana kepahlawanannya, keberanian dan kekejaman terhadap musuh dan dikenali sebagai "Headhunter". ini adalah kerana sebagai tanda kemenangan terhadap pihak musuh, ketua pahlawanan tersebut hendaklah membawa pulang kepala musuh tersebut dan kepala tersebut akan digantung di rumah panjang. cerita kepahlawanan ini boleh kita dengar melalui cerita-cerita orang- orang tua, dan pada zaman sekarang "Sarawak Culture Village" pernah melakonkan semula cerita sebegini kepada orang awam yang datang berkunjung ke situ. Masyarakat Iban lagi didedahkan lagi dengan sejarah-sejarah pahlawan-pahlawan dan tokoh-tokoh terkenal seperti Keling, Rentap dan Tun Jugah.
Kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa terdapat beberapa sebab mengapa sesuatu kelompok atau kaum itu berpindah ataupun melakukan migrasi. Manusia berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain kerana ingin mencari peluang pekerjaan serta mendapat gaji yang lebih lumayan. Namun terdapat juga yang berpindah dengan tujuan untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik. Sesetengah orang berpindah kerana melarikan diri dari penindasan politik. Selain daripada itu manusia juga berpindah untuk menikmati kemudahan asas yang lebih baik, untuk mendapatkan makanan, air dan juga alam sekitar yang lebih baik. Bagi kaum Iban satu konsep yang menjadi pegangan mereka serta asas kepada aktiviti migrasi dinamakan bejalai. Menurut Kedit (1993), bejalai ialah bilamana seseorang itu pergi merantau untuk mendapatkan pengetahuan dan pengalaman yang baharu dalam kehidupan mereka. Malah mereka yang lebih banyak bejalai serta jauh tempatnya di mana beliau pernah bejalai dianggap mempunyai status yang lebih tinggi dalam kaum tersebut.
Terdapat beberapa analisis tentang perpindahan kaum Iban dari Lembah Kapuas di Indonesia sehingga ke Sarawak sebelum kedatangan Brooke. Menurut Sandin (1967), terdapat tiga teori utama tentang kedatangan kaum Iban ke Sarawak. Teori yang pertama menyatakan bahawa mereka datang ke Sarawak melalui Tanjung Datu di Lundu. Teori yang kedua pula menyatakan bahawa mereka datang ke Sarawak melalui Bukit Merudu yang terletak tidak jauh dari Brunei (Sandin, 1967:3 & 26). Teori yang ketiga pula menyatakan bahawa mereka datang dari lembah Kapuas ke Sarawak melalui kawasan Kumpang. Teori yang ketiga adalah lebih dominan kerana terdapatnya sumber-sumber lisan yang membuktikan bahawa sebahagian besar dari kaum Iban berhijrah dari lembah Kapuas ke Sarawak melalui kawasan Kumpang. Kertas kerja ini akan melihat proses migrasi kaum Iban ke Sarawak dari prisme teori yang ketiga. Kertas kerja ini juga ditulis berdasarkan sumber sekunder dari tulisan-tulisan awal yang dibuat oleh penyelidik-penyelidik tempatan dan juga sarjana-sarjana dari luar Sarawak.
Migrasi Kaum Iban Sepertimana yang dinyatakan oleh Pringle (1970:247) bahawa sejarah perpindahan kaum Iban bukanlah mudah untuk difahami ...the story of Iban migration...is not a simple one. Kaum Iban berpindah dari barat dan kemungkinan dari Sumtera pada zaman sebelum orang-orang Melayu menganuti agama Islam (Gould &
Bampfydle,1909:24). Charles Hose berpendapat bahawa pemimpin-pemimin Melayu dari Bahagian Sri Aman membawa bersama mereka kaum Iban dari Sumatera untuk menyertai serangan mereka (Pringle,1970:38). Namun menurut pengkaji seperti
Stephanie Morgan (1968:145) perkara seperti ini agak mustahil dilakukan. Sejarah lisan dan juga salasilah kaum Iban menunjukkan bahawa mereka berasal dari
lembah Kapuas (Christine Padoch, 1984 :2). Sejarah kedatangan kaum Iban banyak bergantung kepada salasilah yang diketahui secara lisan oleh kaum tersebut. Sudah tentunya sumber sejarah lisan seperti ini berhadapan dengan kelemahan dari segi fakta yang kurang jelas (Pringle, 1970:40-41).
Proses migrasi kaum Iban sangat kompleks kerana ketiadaan tarikh yang pasti tentang bila mereka memulakan proses migrasi ke Sarawak. Malangnya tidak ada historical data yang boleh digunakan sebagai asas untuk menetapkan tarikh sebenar sesuatu pristiwa dalam proses migrasi tersebut. Menurut Sutlive (1988), proses migrasi kaum Iban adalah sesuatu yang berterusan dan mereka bergerak dalam kumpulan yang sangat kecil dan tidak melibatkan beratus-ratus atau beribu-ribu orang. Di antara sebab-sebab mereka berpindah ialah seperti mencari kawasan pertanian yang baru, mencari kawasan untuk memburu dan juga ingin memenuhi keperluan untuk mendapatkan kawasan penempatan yang baru.
Menurut tafsiran Empiang Jabu (1988), proses migrasi kaum Iban boleh dibahagikan kepada tiga fasa. Ketiga-tiga fasa ini juga kemudiannya digunakan oleh Chang Pat Foh (2006) untuk menganalisis sejarah awal kaum Iban di Sarawak. Fasa Pertama ialah migrasi kaum Iban ke Bahagian Kedua di Sarawak yang bermula sejak sekitar 1540an sehingga ke 1800. Fasa Kedua ialah pada abad ke 18 dimana proses migrasi diluaskan ke kawasan lembah Rajang, Katibas, Entabai dan Julau. Fasa Ketiga, ialah pada abad ke dua puluh ke bahagian Limbang, kawasan Suai dan Niah (1927), kawasan Balleh (1920an) dan kawasan Lundu (1955). Di antara sebabsebab mereka berpindah yang telah dijelaskan ialah: untuk mencari tempat
memburu, mencari kawasan pertanian dan juga pandangan kaum Iban sendiri bahawa orang yang lebih jauh mengembara akan lebih tinggi statusnya dalam masyarakat mereka (Empiang, 1988).