Você está na página 1de 19

EDU 3106

1. PENGENALAN

Masyarakat Malaysia merupakan sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang kaum. Kaum Cina pada mulanya berhijrah ke Malaysia untuk tujuan perdagangan. Terdapat pelbagai faktor penarik yang menyebabkan mereka datang untuk berhijrah ke Malaysia. Mereka membawa bersama kebudayaan, kepercayaan dan bahasa mereka ke Malaysia. Masyarakat Cina di Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik, iaitu masyarakat Cina Hokkien, Kantonis, Hakka, Teochew dan Hainan. Kajian yang dilakukan mendapati bahawa tidak banyak perbezaan dalam kebudayaan, kepercayaan dan budaya yang diamalkan bagi setiap etnik. Setiap etnik tertumpu dalam bahagian komuniti yang berbeza di Malaysia. Etnik Hakka membentuk kumpulan etnik terbesar di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak), Selangor, Johor terutamanya di Kulai dan juga di Pahang. Mereka juga terdapat di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Perak. Suku Kantonis membentuk etnik terbesar di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak. Suku kantonis juga membentuk etnik terbesar di Johor Timur dan Sandakan, Sabah. Sandakan pernah bergelar Hong Kong Kecil kerana bandar itu pernah dijadikan tempat tinggal kedua bagi kebanyakan pendatang Guangdong, dimana pemandangannya menyerupai Hong Kong pada 1970-an dan 1980-an. Sementara itu, suku Hokkien membentuk etnik terbesar di Pulau Pinang, Melaka, Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor terutamanya di Klang dan kawasan pantai Selangor serta Johor Barat. Bahasa Hokkien juga ditutur di Kuching, Sarawak. Suku Teochew tertumpu di beberapa bahagian tertentu di Pulau Pinang, pulaupulau di Sabah dan juga Johor Selatan. Dari segi bahasa pertuturan, masyarakat Cina di Pulau Pinang dan Melaka kebanyakannya bertutur dalam Bahasa Kantonis dan Hakka. Manakala masyarakat Cina di Ipoh, Seremban dan Kuala Lumpur, paling banyak bertutur dalam Bahasa Mandarin.

EDU 3106

2. SEJARAH PENGHIJRAHAN KAUM CINA KE TANAH MELAYU

Sejarah kedatangan imigran Cina ke Tanah Melayu telah bermula sebelum Zaman Kesultanan Melaka lagi. Pada abad ke 6, terdapat catatan yang menyatakan bahawa orang Cina yang terdiri daripada golongan pedagang telah sampai ke Kerajaan Tun Sun (Johor) tetapi bilangannya adalah kecil. Pada abad ke 15, semasa Puteri Hang Li Po dikahwinkan dengan Sultan Melaka, beliau membawa bersama golongan bangsawan, pengikut dan hamba dari Negara Cina. Kebanyakannya adalah berketurunan Fujian. Rombongan tersebut membawa masuk orang Cina yang kemudiannya berkahwin dengan penduduk tempatan dan membentuk masyarakat Peranakan. Lelaki berketurunan Peranakan digelar Baba dan Nyonya bagi perempuan. Golongan Cina peranakan ini mendominasi perniagaan di Tanah melayu khususnya di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Pembukaan Pulau Pinang pada 1 Oktober 1786 dan Singapura pada 1819 merupakan titik tolak kedatangan imigran Cina ke Tanah Melayu dengan lebih ramai lagi. Pada tahun 1881 serama 89900 orang Cina telah tiba di Singapura dan Pulau Pinang. Jumlah ini telah meningkat kepada 224100 orang pada tahun 1901. Dasar pemerintahan British di Pulau Pinang dan Singapura pada waktu itu yang longgar memudahkan lagi kemasukan imigran Cina. Mulai pertengahan abad ke-19, orang Cina telah berhijrah secara besar-besaran ke Tanah Melayu akibat daripada pembukaan lombong bijih timah. Mereka bertumpu di kawasan-kawasan yang kaya dengan hasil timah seperti Larut, Kinta dan Selangor untuk bekerja sebagai buruh lombong. Pada masa itu, penduduk Tanah Melayu masih tidak begitu ramai. Oleh itu, British memberi galakan dan membawa masuk tenaga kerja terutamanya dari negeri Cina. Kebanyakan orang Cina yang datang ke Tanah Melayu berasal dari tiga wilayah selatan di Negara Cina iaitu Kwangdong, Kwangxi dan Fukien. Kemasukan orang Cina bertambah dengan pesat pada abad ke-20. Pada 1941, orang Cina merupakan kaum terbesar di Tanah Melayu, mereka membentuk kira-kira 43% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu berbanding dengan orang Melayu kirakira 41%. Namun, selepas Perang Dunia Kedua jumlah mereka hanya 37.1%. 2

EDU 3106

3. AGAMA DAN KEPERCAYAAN KAUM CINA Kaum Cina yang datang ke Tanah Melayu turut membawa bersama agama dan kepercayaan yang mereka anuti. Malah, mereka juga bebas mengamalkan

kepercayaan masing-masing tanpa halangan dan sekatan daripada mana-mana pihak. Salah satu daripada agama atau kepercayaan yang diamalkan oleh kaum Cina di Tanah Melayu adalah fahaman Taoisme. Pada zaman Dinasti Tang (618-906 M), Taoisme pernah menjadi agama rasmi di Negara China dan diamalkan dengan meluas. Dua orang ahli falsafah Tao yang terkenal adalah Lao Tzu dan Chuang Zu. Konsep fahaman Taoisme membantu para penganutnya memperkukuhkan kefahaman terhadap agama Buddha serta menaikkan semangat dan panduan akhlak kepada kaum Cina. Selaras dengan maksud Tao iaitu Jalan, Taoisme membawa para pengikutnya mencapai ketenangan jiwa dan keharmonian diri dan keluarga. Selain fahaman Taoisme, terdapat satu lagi ajaran yang popular dalam kalangan kaum Cina iaitu fahaman Confucianisme. Anutan ini telah diasaskan oleh Kung Fu Tze(Confucious). Beliau adalah seorang tokoh yang cukup terkenal dalam mengkaji sejarah serta manuskrip lama di China. Malah, Confucious juga pernah dilantik menjadi menteri dan majistret. Dalam ajaran Confusciousme, beliau menekankan unsur moral dan sosial bagi membentuk tingkah laku yang baik berdasarkan nilai-nilai seperti kasih sayang, keamanan, keharmonian, kemanusiaan, kebijaksanaan, keberanian serta kesetiaan. Fahaman Confucious begitu popular dalam kalangan kaum Cina kerana keseimbangan yang berjaya diwujudkan dalam amalan dan kehidupan penganutnya seperti konsep kekeluargaan, ketaatan anak, Ying dan Yang dan sebagainya. Kesemua konsep agama kepercayaan kaum Cina di Tanah Melayu pada waktu itu dapat dilihat dengan jelas melalui upacara keraian, pengebumian, persembahan opera, pendidikan dan perayaan tahunan mereka.

EDU 3106

4. KEBUDAYAAN DALAM MASYARAKAT CINA

Kebudayaan masyarakat Cina di Malaysia terdiri daripada beberapa aspek, iaitu perayaan, makanan, pakaian, kesenian, warna merah, permainan tradisi dan adat dalam perkahwinan, kelahiran dan kematian.

4.1 Perayaan Perayaan Tahun Baru Cina disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka. Pada malam Tahun Baru, kaum keluarga akan berkumpul di rumah ibu bapa untuk upacara makan besar yang menjadi simbol kekuatan ikatan kekeluargaan. Hidangan makan malam tahun baru ini biasanya adalah tradisi turun temurun seperti itik panggang, khinzir, tiram berkicap dan sayuran yang dimakan bersama arak. Pada detik tengah malam, mercun dan bunga api akan dibakar menandakan sambutan tahun baru bermula. Pada siang hari, lilin upacara akan dibakar dan pakaian baru yang berwarna merah akan dipakai disamping ucapan Kong Hee Fatt Choy akan diucapk an yang membawa maksud semoga tahun ini membawa kebaikan. Tetamu yang berkunjung membawa limau mandarin yang bermaksud kekayaan manakala ang pow diberi kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin. Lima belas hari selepas Tahun Baru Cina merupakan Hari Chap Goh Mei disambut sebagai manandakan berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina. Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upacara sembahyang secara besar-besaran dimana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Chap Goh Mei. Chap Goh Mei juga dianggap sebagai malam mencari pasangan dimana para gadis akan berpakaian cantik dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang sesuai. Persembahan kebudayaan Cina diadakan pada waktu malam seperti perarakan tanglung dan tarian naga atau singa. Perayaan Kuih Bulan pula merupakan perayaan menyambut kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Mongol pada akhir Dinasti Yuan. Perayaan ini disambut pada hari ke-15 pada bulan kelapan kalendar Cina iaitu pada akhir bulan Ogos atau 4

EDU 3106

awal September. Perayaan Kuih Bulan disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan. Salah satu hidangan istimewa pada Perayaan Kuih Bulan ialah Kuih Bulan itu sendiri. Ia diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah atau adunan biji teratai atau kuning telur masin. Menurut tradisi, pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di dalam kuih bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol. Perayaan Ching Ming diadakan pada hari terakhir bulan kedua dalam tahun lunar. Dalam perayaan ini, kaum Cina akan melawat kubur nenek moyang mereka untuk melakukan upacara sembahyang dan membersihkan kawasan perkuburan. Satu lagi perayaan yang amat popular di Pulau Pinang adalah Perayaan Hantu Lapar. Mengikut kepercayaan, perayaan ini diadakan sebagai mengenang usaha Mu Lien apabila menyelamatkan ibunya daripada syaitan-syaitan yang kelaparan.

4.2 Makanan Bagi kaum Cina, bahan utama dalam masakan mereka ialah soya, cendawan, biji-bijian dan lain-lain. Bahan-bahan ini akan diolah bersama rempah seperti biji ketumbar, kayu manis, jintan dan sebagainya. Kuih Bakul ialah makanan Cina yang diperbuat daripada tepung pulut berbentuk seperti dodol. Ia paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baru Cina. Memakan kuih bakul dipercayai membawa tuah pada masa perayaan ini kerana ia melambangkan setahun lagi kehidupan, setingkat lagi kemajuan. Bak Kut The ialah masakan unik yang popular di kalangan kaum Cina di Malaysia. Ia merupakan sejenis sup herba yang direbus bersama kaki khinzir serta bahan tambahan lain seperti cendawan dan taufu goreng. Biasanya ia dimakan dengan nasi putih. Ia dipercayai baik untuk pelancaran darah dan melegakan keletihan. Lok-lok adalah satu-satunya makanan yang masih dijual oleh peniaga Cina dan menjadi kegemaran kaum Cina. Ia juga dikenali sebagai sate celup merupakan makanan ringan daripada sayur-sayuran, daging dan makanan laut. Ia juga dipelopori oleh peniaga Melayu dan diminati oleh semua rakyat Malaysia. Mee Hokkien ialah sejenis mee yang dimasak dengan gaya suku kaum Hokkien. Ia merupakan sejenis mee beras yang dimasak dengan udang kering serta daging 5

EDU 3106

khinzir atau ayam. Ia dihias dengan udang, kek ikan, sayur-sayuran berdaun, sotong, bawang goreng dan limau segar. Char Kuey Teow merupakan makanan yang popular di Malaysia. Ia diperbuat daripada kuey teow digoreng di atas api panas dengan kicap dan sos cili, udang, kerang, telur, tauge dan kucai Cina. Pada asalnya ia dimasak menggunakan lemak khinzir, namun kini sering dimasak menggunakan minyak biasa.

4.3 Pakaian Samfoo dan Cheong Sam merupakan pakaian tradisional masyarakat Cina. Cheong sam merupakan pakaian tradisional wanita Cina. Biasanya dipakai pada upacara-upacara tertentu seperti majlis perkahwinan dan semasa Tahun Baru Cina. Tetapi kini pakaian ini jarang dipakai oleh wanita Cina di Malaysia kerana mereka lebih gemar memakai pakaian fesyen moden ala barat. Baju ini pada asalnya labuh tetapi lama kelamaan disingkatkan hingga ke paras lutut. Pada asalnya kolar baju antara 3 hingga 4 cm sahaja tetapi kemudiannya ditinggikan sehingga menjadi 7 cm. Cheong sam dipakai ketat dan berbelah di kiri dan kanannya. Samfoo bermaksud baju dan seluar dalam dialek Kantonis. Ia me rupakan pakaian harian wanita Cina selain daripada cheong sam. Ia digemari oleh wanita-wanita separuh umur dan yang bekerja di ladang, lombong atau di rumah. Samfoo diperbuat daripada kain nipis yang berbunga halus atau tidak bercorak. Pakaian ini terdiri daripada baju yang longgar dan terbelah di depan dan berkolar tinggi serta dipakai bersama seluar longgar seperti seluar baju melayu. Samfoo turut dipakai oleh lelaki Cina tetapi amat jarang dipakai oleh lelaki Cina di Malaysia.

4.4 Kesenian Masyarakat Cina di Malaysia kaya dengan warisan kesenian budayanya tersendiri seperti tarian dan alat muzik. Warisan seni tari masyarakat Cina ditonjolkan terutamanya semasa sambutan Tahun Baru Cina. Tarian yang sering dipersembahkan ialah tarian singa dan tarian naga. Dalam tarian singa, penari akan meniru pergerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Kostum singa itu dimainkan oleh dua orang penari iaitu seorang di 6

EDU 3106

bahagian hadapan dengan menggerakkan kepala kostum, manakala seorang lagi akan memainkan bahagian belakang kostum singa tersebut. Kedua-dua penari itu akan bergerak seakan-akan singa di atas pentas yang disediakan. Tarian singa ini akan diiringi oleh gong, dram dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah. Selain daripada tarian singa, tarian naga juga sering dipersembahkan semasa musim perayaan. Tarian naga lebih kurang sama dengan tarian singa cuma perbezaannya tarian naga dikuasai oleh sekumpulan penari yang ramai iaitu antara 15 hingga 20 orang penari yang terlibat dalam persembahan tarian tersebut. Dalam tarian ini, sepasukan orang Cina memegang sebatang naga iaitu imej naga Cina dengan tiang. Penari-penari hadapan akan mengangkat, mencelup, membidas dan menyapu kepala naga yang boleh memiliki ciri-ciri animasi yang dikawal oleh seorang penari dan kadang kala dikawal untuk mengeluarkan asap dari alat-alat piroteknik. Pasukan tarian akan meniru apa yang dipercayai gerakan semangat sungai ini secara berbelok-belok dan beralun-alun. Gerakan-gerakan dalam persembahan ini secara tradisinya melambangkan peranan-peranan naga yang menunjukkan kuasa dan maruah. Tarian naga ialah satu acara utama sambutan Tahun Baru Cina. Selain daripada tarian singa dan tarian naga, tarian kipas juga merupakan tarian tradisional masyarakat Cina. Ia merupakan sejenis tarian yang memerlukan 9 orang ahli, 7 wanita dan 2 orang lelaki. Tarian ini menunjukkan bahawa kipas Cina mempunyai erti yang sebati dengan masyarakat Cina di mana dewa dewi pada masa lalu sentiasa menjadikan kipas sebagai alat keperluan. Tambahan lagi angin merupakan satu tradisi masyarakat Cina yang mempercayai Fung Shui iaitu suatu kepercayaan umum tentang satu petanda baik dan buruk terhadap suatu kehidupan di tempat mereka. Oleh itu, jenis tarian ini dimainkan supaya ia boleh membawa kebaikan atau Fung Shui yang baik kepada seluruh anggota masyarakat. Masyarakat Cina juga terkenal dengan beberapa alat muzik tradisional seperti seruling, pipa, yang qin dan erh-hu. Seruling merupakan alat muzik yang paling popular di Negara China. Ia diperbuat daripada batang buluh dan badannya mempunyai 8 lubang. Lubang pertama digunakan untuk ditiup dan aliran tiupan yang masuk ke dalam batang buluh akan menghasilkan bunyi-bunyian. Alat ini berserta budaya muzik orkestra Cina dibawa masuk oleh imigran Cina pada zaman sebelum merdeka. 7

EDU 3106

Pipa ialah alat bertali yang mempunyai 4 tali logam. Badannya dibuat daripada kayu, dadanya bulat dan belakangnya cembong tetapi permukaan dadanya mendatar. beberapa kekuda titian tali dari kayu dipasang pada papan jari seperti fret. Tali-tali diikat kepada hujung bahagian bawah badan dan pada pemulas. Terdapat ukiran pada bahagian kepalanya. Pipa digunakan dalam orkestra untuk mengiringi opera Cina, juga sebagai alat solo atau mengiringi nyanyian. Yang qin atau dikenal sebagai dulsimer merupakan sejenis alat muzik instrumen pukulan yang sering dimainkan oleh masyarakat Cina. Suaranya jelas dan terang. Ia boleh digunakan dalam permainan solo, paduan suara atau opera. Ia menduduki tempat penting dalam permainan alat-alat muzik dan orkestra Cina. Erh-hu pula adalah alatan bertali jenis lute dibuat dalam 3 saiz, kecil, sederhana dan besar. Alat ini digunakan sebagai alat solo untuk hiburan dan juga digunakan dalam orkestra untuk mengiringi opera Cina. Erh-hu didirikan tegap pada riba pemain semasa dimain. Tali digesek dengan sebelah tangan manakala jari-jari tangan lainnya memetik pada tali-tali untuk mengeluarkan pelbagai pic, lantai dan digesek seperti cello. Dalam seni lakon, Wayang Potehi merupakan salah satu jenis wayang khas Tionghua yang berasal dari Negara China. Kesenian ini dibawa oleh perantau etnik Tionghua pada masa lampau dan telah menjadi salah satu jenis kesenian tradisional. Cerita yang ditampilkan berasal dari lagenda rakyat tiongkok seperti sampek engthay, sungokong dan lain-lain.

4.5 Warna Merah dalam kehidupan masyarakat Cina Warna merah atau warna hong (dalam bahasa Cina) adalah warna pilihan utama masyarakat Cina. Pemakaian warna tersebut telah diamalkan sejak turun temurun lagi. Tidak ada warna lain yang menjadi pilihan utama , hanya warna merah. Bukan sekadar itu, warna merah sendiri sebenarnya mempunyai makna yang tersendiri bagi masyarakat Cina. Warna merah menggambarkan keadaan yang terang dan ceria telah menjadi lambang kegembiraan dan menjanjikan sinar kecerahan dalam kehidupan. Warna merah itu dipanggil hong dalam bahasa Cina dan bunyinya kedengaran seperti ong atau bertuah. Maka, masyarakat Cina percaya warna ini akan membawa tuah jika

EDU 3106

dipakai pada hari pertama Tahun Baru Cina dan majlis perayaan yang lain. Mereka percaya dengan pemakaian warna ini akan dilimpahi tuah sepanjang tahun. Mereka percaya warna merah membawa tuah dan kecemerlangan dalam hidup mereka. Nasib mereka akan ditimpa malang sekiranya memakai pakaian yang berwarna hitam dan warna-warna yang gelap. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu dalam majlis-majlis perayaan kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan. Semasa sambutan Tahun Baru Cina, hiasan tanglung berwarna merah yang pelbagai saiz dan bentuk sering memenuhi kawasan kediaman masyarakat Cina. Ini menunjukkan perayaan itu akan disambut dengan cukup meriah. Hiasan dalaman rumah dan tanglung-tanglung serta birai pintu rumah juga akan diwarnai dengan warna merah bagi menyambut ketibaan tetamu. Hiasan bunga-bunga juga berona merah mewujudkan semangat keceriaan yang padu dan harmoni. Pada zaman dahulu orang-orang tua masyarakat Cina sering berpesan agar orang-orang kampung menggantungkan kertas berwarna merah di pintu-pintu dan tingkap-tingkap rumah mereka pada setiap waktu menjelangnya tahun baru. Ini kerana dikhuatiri binatang bernama Nian (raksaksa) akan mengganas di kawasan rumah mereka. Warna merah sangat ditakuti oleh Nian, dan mampu menghalau raksaksa tersebut. Antara sebab mengapa Tahun Baru Cina dinanti-nantikan oleh kanak-kanak ialah pemberian 'angpau' atau sampul merah yang berisi duit. Bagi yang belum berkahwin, mereka layak untuk menerima angpau. Pada perayaan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin. Sesiapa yang belum berkahwin layak menerimanya tanpa mengira usia. Pemberian angpau oleh masyarakat Cina merupakan tradisi utama mereka dan sering diberikan dalam majlis sosial dan keluarga seperti jamuan perkahwinan Cina atau ketika perayaan seperti Tahun Baru Cina. Warna merah sampul ini melambangkan tuah. Jumlah wang yang terkandung dalamnya lazimnya dikehendaki bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang yang diberi ketika majlis pengebumian . Jumlah wang yang diberi pada majlis perkahwinan biasanya adalah untuk menampung perbelanjaan hadirin serta membantu pasangan pengantin baru. 9

EDU 3106

Warna merah dalam kalangan masyarakat Cina bererti tanda baik dan gembira. Oleh kerana itu, sekiranya tetamu memberi hadiah eloklah dibungkus atau dibalut dengan kertas berwarna merah. Kebiasaannya warna merah dipilih bagi menggambarkan nasib yang baik. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, lilin berwarna merah yang diukir menyerupai naga dan burung pheonix digunakan pada hari perkahwinan adalah untuk melambangkan penyatuan terhadap keluarga baru. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, lilin merah ini akan digunakan pada malam perkahwinan bagi menghalau hantu dan roh-roh jahat. Warna yang terang boleh menghalau roh-roh jahat daripada mendekati mereka. Baju pengantin sebaik-baiknya berwarna putih dan merah sebagai lambang keceriaan. Warna merah sebenarnya membawa maksud keteguhan, keberanian, keceriaan dan kemegahan. Warna ini dikatakan memberi dorongan kepada keadaan yang lebih positif dalam kehidupan masyarakat Cina. Warna ini sering digunakan dalam perayaan dan sambutan majlis kebesaran mereka kecuali hari-hari yang menunjukkan keadaan kesedihan dalam kehidupan mereka. Warna ini akan terus menjadi simbol kemegahan masyarakat tersebut malah melambangkan keteguhan dan kemegahaan negara apabila digunakan sebagai simbol pada logo-logo, lencana, bendera dan setem malah turut diterjemahkan pada wang kertas dan duit syiling. Warna merah sering dikaitkan dengan masyarakat Cina terutama pada setiap kali sambutan Tahun Baru Cina. Warna tersebut akan mendominasikan persekitaran kehidupan mereka. Namun, warna merah juga menguasai hampir setiap ruang di dalam dan luar rumah mereka. Bila tibanya perayaan ini hiasan berwarna merah sering digantung sepanjang jalan yang menandakan perayaan ini dan kini ianya bukan sahaja disambut oleh masyarakat tersebut tetapi juga sudah menjadi seperti perayaan seluruh masyarakat.

4.6 Permainan Tradisi Permainan tradisional yang terkenal di kalangan kaum Cina ialah Mahjong, Go dan Yoyo Cina. Mahjong merupakan permainan untuk empat orang yang berasal dari Cina. Mahjong membabitkan kemahiran, strategi, pengiraan dan juga nasib.

10

EDU 3106

Bergantung kepada variasi yang dimainkan, nasib boleh menjadi isu remeh atau faktor utama kejayaan. Mahjong juga popular sebagai perjudian dan permainan komputer. Go ialah permainan berpapan yang dimainkan oleh dua orang. Permainan ini kaya dengan strategi yang kompleks tetapi mempunyai undang-undang yang mudah. Go hanya menggunakan biji-biji berwarna hitam dan putih. Yoyo Cina merupakan permainan yang mempunyai dua cakera yang sama saiz yang dihubungkan oleh gandar yang panjang. Yoyo Cina akan sentiasa berpusing pada tali yang diikat pada dua batang kayu kecil. Pemain akan memegang hujung kedua-dua kayu dan mengimbangi yoyo daripada jatuh. Yoyo Cina tradisional dibuat daripada buluh dimana ianya mudah patah dan tidak sesuai untuk aksi-aksi lasak. Sesetengah yoyo Cina dimasukkan alat menghasilkan bunyi apabila dipusingkan dengan laju. Bunyi ini membantu pemainnya mengimbangi kelajuan yoyo.

5. ADAT RESAM DAN PANTANG LARANG KAUM CINA

5.1 Adat dan Pantang Larang Dalam Perkahwinan Perkahwinan dalam masyarakat Cina merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka dan perlu dirancang dan diatur sebaikbaiknya. Mengikut kepercayaan mereka, pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan dalam masyarakat Cina iaitu eksplisit dimana perkahwinan diatur sama ada oleh ibu bapa atau orang tengah dan implisit iaitu perkahwinan dimana lelaki dan perempuan memilih pasangan masing-masing. Adat resam perkahwinan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan. Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati. Masyarakat Cina amat mengambil berat tentang nama, keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa. Lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan bertanya melalui kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. Sebahagian masyarakat Cina gemar mengadakan perbincangan tersebut di restoran dengan disertai saudara mara yang lain. Perbincangan ketika merisik adalah mengenai latar belakang keluarga dan asal keturunan. 11

EDU 3106

Setelah kedua-dua pihak berpuas hati, seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis untuk berbincang perkara yang berkaitan dengan perkahwinan seperti jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan. Setelah itu, barulah adat bertunang dijalankan. Hari pertunangan dilakukan berdasarkan calendar Cina dan ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan sebuah buku iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan mengalami kegagalan. Upacara bertukar cincin dilakukan dimana cincin disarung di jaris manis kiri oleh kedua-dua bakal pengantin sehingga hari perkahwinan. Bagi membuktikan persetujuan, gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya dan kertas berkenaan akan diserahkan oleh pihak lelaki kepada tukang tilik bersamasama dengan maklumat yang sama tentang pihak lelaki. Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai untuk majlis perkahwinan. Hantaran dan mas kahwin biasanya diberi semasa upacara bertukar cincin perkahwinan atau pada hari istiadat perkahwinan. Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Dalam masyarakat Cina, semakin besar mas kahwin, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan atau selama seratus hari sebagai tanda berkabung. Bakal pengantin juga tidak digalakkan menghadiri majlis pengkebumian selama 3 bulan sebelum dan selepas majlis perkahwinan. Majlis perkahwinan akan dilangsungkan mengikut tempoh yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Pada hari perkahwinan, pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Baju pengantin sebaik-baiknya berwarna putih, merah atau kuning. Seterusnya penganting lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan pasangan 12

EDU 3106

pengantin akan didudukkan di atas pelamin yang disediakan di ruang tamu. Selepas acara bersanding, pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masingmasing untuk diperkenalkan dan juga meminta restu daripada keluarga mertua masingmasing. Ada juga masyarakat Cina yang masih mengamalkan upacara minum teh sebagai lambang penerimaan pasangan pengantin dalam keluarga. Dalam upacara ini, pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Hiasan dalam majlis perkahwinan tidak digalakkan menggunakan warna putih, biru tua, hitam dan hijau. Pengantin juga dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan. Dalam bilik tidur bakal pengantin, katil, meja dan almari perlu diletakkan dalam kedudukan biasa dan bukannya di sudut bilik. Dalam sesuatu majlis perkahwinan, nombor genap sering digunakan. Menurut kepercayaan orang Cina, majlis perkahwinan yang tidak mengikut protokol yang ditetapkan adalah perkahwinan yang tidak sah. Kemuncak upacara perkahwinan ialah jamuan makan secara besar-besaran yang diadakan sama ada di rumah, dewan atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa angpau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Akhir sekali sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi. Pada hari ini, masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan

perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang beragama kristian.

5.2 Adat dan Pantang Larang Ketika Menyambut Kelahiran Pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang diamalkan oleh wanita masyarakat Cina semasa mengandung dan juga selepas bersalin bagi memastikan bayi yang bakal lahir tidak ditimpa kejadian buruk seperti keguguran, kecacatan atau kematian. Wanita-wanita Cina yang mengandung sentiasa diberikan kawalan ketat di dalam setiap kegiatan seharian mereka. Ibu mertua bertanggung jawab menjaga wanita mengandung dan bukannya suami. Mereka juga amat mementingkan anak lelaki

13

EDU 3106

kerana melaluinya keturunan boleh dilanjutkan apabila anak lelaki tersebut mewarisi nama nenek moyang mereka. Terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa mengandung di antaranya tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana khuatir bayi yang lahir akan mengalami kecacatan. Wanita hamil juga perlu mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang memukul binatang. Ini bertujuan menghindari bayi dari terkena badi. Mereka juga digalakkan bekerja supaya mudah bersalin. Sebarang konflik dan perselisihan perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Memberi nama kepada bayi yang belum lahir juga dilarang untuk mengelakkan perasaan kecewa bila harapan tidak tercapai. Selain itu, wanita hamil juga tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana dikhuatiri bayi yang lahir kelak akan mempunyai sifat yang manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali mengambil makanan yang tajam seperti nenas dan mangga dan juga tidak digalakkan makan terlalu banyak kerana dikhuatiri bayi yang bakal lahir terlalu besar dan menyebabkan kesukaran kepada si ibu untuk melahirkan anak tersebut. Selepas anak selamat dilahirkan si ibu terpaksa berpantang selama empat puluh hari dan tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk angin. Pusat bayi yang dilahirkan akan diikat dan dililit dengan kain pada perutnya untuk mengelakkan dimasuki angin dan juga untuk mengeringkan tali pusatnya. Kedudukan pusat bayi juga menjadi petanda bagi kaum Cina. Pusat bayi yang tenggelam ke dalam dipercayai anak tersebut akan menjalani kehidupan yang senang pada masa depan. Manakala pusat yang tersembul dikaitkan dengan hidup yang kurang baik. Masyarakat Cina juga mempercayai jika bayi mempunyai lebih daripada satu pusar di kepala, bayi akan menjadi nakal dan tidak mendengar kata. Pemakananan untuk wanita selepas bersalin, mereka disarankan untuk makan makanan yang menggunakan sejenis arak yang telah diperam. Arak itu dimasukkan dalam masakan bersama-sama ayam, lada, halia dan kemudiannya digoreng. Ia dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan disamping dapat menguatkan semula tenaga.

14

EDU 3106

Masyarakat Cina juga mengadakan kenduri apabila bayi mencapai umur sebulan. Sejenis kuih khas berbentuk bulat berwarna merah dan kuning yang berintikan kacang dan tau su serta telur diberikan kepada saudara mara terdekat. Mereka kemudian akan membalasnya dengan membawa hadiah berupa pakaian bayi dan pati ayam untuk si ibu. Adat mencukur rambut bayi juga diadakan sebagai pengiktirafan terhadap kelahiran orang baru ke dalam masyarakat. Bayi yang dilahirkan juga harus diberi nama yang sesuai dan sedap didengar. Ia juga harus mengandungi maksud yang baik seperti membawa maksud kekayaan, kesejahteraan dan kemewahan. Nama tersebut terdiri daripada 3 perkataan yang dimulai dengan nama keluarga, perkataan kedua mewakili nama segenerasi di kalangan adik beradik dan saudara mara dan perkataan ketiga merupakan nama bagi panggilan diri sendiri. Oleh itu, nama seseorang bayi harus disusun secara seimbang dan mengandungi unsur yin dan yang serta mempunyai lima unsur iaitu emas, api, tanah dan kayu serta saling melengkapi.

5.3 Adat dan Pantang Larang Ketika Kematian Kematian ibu bapa dalam masyarakat Cina adalah upacara yang amat berharga dan mahal kosnya yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak. Keranda yang baik, tanah kuburan yang baik dan pakaian kematian yang bagus pastinya memerlukan belanja besar. Bagi masyarakat Cina, inilah hadiah terbaik seorang anak kepada ibu-bapanya. Jika si anak tidak mampu, masyarakat sekeliling pasti akan membantu. Anak lelaki yang tua memainkan peranan utama memastikan upacara mandi, memberi makan, kafan dan bertanggungjawab memasukkan mayat ke dalam keranda seperti yang dinasihatkan oleh seorang tukang tilik. Keranda tersebut akan dijaga sehingga beberapa hari tertentu untuk lawatan dan sembahyang, seterusnya akan dikebumikan pada satu hari yang ganjil. Dalam masyarakat Cina, upacara pengkebumian adalah acara yang amat meriah yang dipenuhi dengan peraturan dan adat tertentu. Selepas pengkebumian mayat, akan diadakan pelbagai upacara lain terutama adat pembakaran colok dan alatan yang diperbuat daripada kertas sebagai bekalan hidup si mati di alam akhirat. Upacara ini biasanya akan diketuai oleh sami yang diamanahkan oleh keluarga si mati. 15

EDU 3106

Oleh kerana adat kematian ini diaggap terlalu penting dalam masyarakat Cina, banyak kepercayaan dan pantang larang mesti diperhatikan dan dipatuhi apabila berlaku sesuatu kematian. Masyarakat Cina begitu berpegang teguh kepada adat resam yang berkaitan dengan soal-soal kematian. Setiap adat yang dijalankan mempunyai maksud yang tersendiri. Apabila berlaku kematian, mayat akan dibersihkan dan dimandikan sebagai memberi penghormatan terakhir kepada si mati. Setelah dimandikan mayat disapu dengan minyak wangi dan disolek. Ia bertujuan untuk mengharumkan si mati terutama apabila berada di alam akhirat. Kemudiannya mayat tersebut dipakaikan dengan pakaian yang cantik. Lazimnya pakaian tersebut adalah pakaian yang dipakai ketika hari perkahwinan. Oleh itu adalah menjadi kewajipan masyarakat Cina menyimpan pakaian perkahwinan untuk dipakai sewaktu meninggal dunia. Si mati turut dipakaikan dengan aksesori yang lain terutamanya wanita. Kemudian mayat akan dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik. Bagi yang kaya, keranda diukir dengan bersalutkan logam. Ini adalah untuk menunjukkan kedudukan seseorang semasa hidupnya. Apabila berlaku kematian, ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dikehendaki menangis atau meratapi pemergian si mati. Tangisan ini perlu dilakukan dengan kuat apabila si mati diletakkan di ruang tamu sehinggalah diusung ke kawasan perkuburan ditanam. Lazimnya tangisan yang dilakukan perlu diselitkan dengan katakata yang menunjukkan si mati telah membuat jasa. Tangisan mengungkit keburukan si mati dilarang sama sekali. Jika ini berlaku, roh si mati tidak akan tenteram dan si mati akan terseksa. Ada juga segelintir masyarakat Cina yang melupuskan hutang piutang si mati dengan alasan untuk mententeramkan si mati agar tidak disoal di alam akhirat kelak. Tangisan ahli keluarga terutama ibu bapa atau saudara yang lebih tua lebih baik dan ini digalakkan dalam masyarakat Cina. Selain itu masyarakat Cina juga akan mengupah lebih ramai untuk menangisi si mati. Tangisan yang kuat terutama dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan amat digalakkan. Tangisan ini seolah-olah

menggambarkan kesedihan keluarga dan sahabat handai terhadap kematian itu. Tangisan akan berlanjutan sehingga mayat dikebumikan. 16

EDU 3106

Seterusnya mayat akan dibawa ke jirat atau tanah perkuburan untuk dikebumikan. Pada zaman dahulu masyarakat Cina mengusung mayat dengan menggunakan pengusung yang diperbuat daripada kayu yang diukir menarik. Lazimnya ukiran tersebut mengikut status si mati. Sekiranya si mati daripada golongan berada, ukiran lebih halus dan menarik berbanding golongan biasa. Namun pada zaman sekarang mayat yang telah diletakkan ke dalam keranda akan dimasukkan ke dalam lori kecil yang dikhaskan untuk menghantar mayat ke tanah perkuburan. Semasa mengiring mayat dari rumah ke kawasan perkuburan, pelbagai jenis lagu akan mengiringinya. Lagu tersebut adalah berbentuk agama atau lagu-lagu tradisional masyarakat Cina sebagai lambang kesedihan atau takziah. Tidak kurang juga mereka mendendangkan lagu kegemaran si mati ketika hidup. Lazimnya pemuzik tersebut ditempah khas untuk mengiringi jenazah. Iringan muzik akan bermula dari rumah sehinggalah mayat dikebumikan. Biasanya iringan muzik tidak akan berhentihenti supaya si mati dapat dihiburkan sehingga berada di alam akhirat. Lazimnya pada hari tersebut, ahli keluarga si mati akan memakai baju berwarna hitam. Warna lain tidak digalakkan, apatah lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan keluarganya. Baju yang berbunga juga dilarang dalam upacara kematian tersebut. Pakaian ahli keluarga si mati adalah seperti jubah hitam yang lengkap dengan topi. Kemudian mereka akan memakai baju jejaring yang diperbuat daripada jut atau sabut. Baju ini dipakai di bahagian luar baju hitam. Ketika mayat diusung dengan menggunakan lori khas, beberapa kertas yang disalut logam akan dicampak sepanjang sepanjang perjalanan. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina cara ini adalah untuk memastikan roh boleh berjalan pulang ke rumah berpandukan kertas tersebut. Mayat akan dimasukkan ke dalam liang lahad yang sedia digali dan lubang tersebut haruslah besar supaya boleh memuatkan keranda. Bagi masyarakat Cina tradisional, mereka memasukkan pelbagai jenis harta milik si mati. Oleh itu liang lahad perlu besar untuk menampung harta milik si mati. Ini adalah penting untuk menunjukkan darjat si mati ketika di dunia dan diketahui oleh orang lain di akhirat kelak. Kini amalan tersebut telah berkurangan kerana telah banyak kejadian menggali lubang kubur dilaporkan sehingga amalan tersebut tidak dilakukan lagi. Hanya kertas yang bercop 17

EDU 3106

bentuk duit sahaja digunakan bagi mengelak kejadian mengorek lubang kubur oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Bagi masyarakat Cina kawasan perkuburan yang strategik memainkan peranan penting kerana menjadi lambang kebahagiaan yang bakal dikecapi apabila seseorang telah meninggal dunia. Kawasan perkuburan yang terletak di kawasan yang tinggi adalah lebih baik jika dibandingkan dengan tanah yang rata. Kebanyakan tanah perkuburan terletak di kawasan yang berhampiran jalan raya. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, kawasan seperti itu akan memudahkan roh si mati menemui jalan pulang. Selain itu tanah perkuburan juga dihias dengan menarik. Terdapat beberapa hiasan yang cantik samada daripada ukiran, warna atau bentuk. Ukiran ini sebagai melambangkan kekayaan si mati ketika hidup. Kubur atau jirat yang besar dan mempunyai bentuk yang menarik menjadi lambang kemewahan. Ini bermakna si mati layak menikmati kemewahan selepas mati seperti ketika hidup. Oleh itu tidak hairanlah masyarakat Cina menyediakan jirat yang besar dan mewah untuk ahli keluarga yang meninggal dunia. Selepas kematian, ahli keluarga akan menjalani adat berkabung. Baju hitam dipakai beberapa hari sehinggalah hari perkabungan tamat. Setelah itu barulah pakaian warna lain boleh dipakai. Bagaimanapun bagi isteri yang kematian suami atau suami yang kematian isteri akan terus memakai baju tersebut lebih lama sebagai berkabung.

6. Kesimpulan Setiap etnik atau kaum mempunyai keistimemewaan yang tersendiri. Masyarakat Cina mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik. Kehidupan seharian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling menyebabkan mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara, tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal kelahiran, perkahwinan dan kematian. Adat resam dan pantang larang ini diamalkan secara berbeza-beza mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina, namun apa yang diterangkan seperti berikut merangkumi adat resam masyarakat Cina secara keseluruhannya. 18

EDU 3106

Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat yang merangkumi seluruh aspek bermula dari kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut.

19

Você também pode gostar