Você está na página 1de 2

ILMU PELITA HIDUP

Bismillahirrahmannirrahim,
Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan
berkarisma. Assalamualaikum dan salam ceria buat semua.

Hayatilah, sebuah pidato cetusan minda kurniaan Allah.. ILMU PELITA HIDUP.

Hadirin sekalian,
ILMU sebagai PELITA HIDUP bolehlah ditakrifkan sebagai prakarsa membudayakan
pemahaman teori dan praktikaliti dalam segenap aspek kehidupan kerana diyakini ilmu
mampu menghijrahkan manusia dari gelita kejahilan kepada cahaya kebenaran.

Maka, marilah sama-sama kita menilai potensi ilmu dalam menerangi kehidupan
manusia.

Hadirin sekalian,
Hayatilah pragmatik pertama, pembudayaan ilmu meningkatkan darjat manusia.

Kita sedar bahawa ilmu manusia cuma setitis berbanding ilmu Tuhan yang selautan.
Namun bezanya darjat manusia, apabila berilmu pasti dipandang mulia.

Menyedari hakikat ini, maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan memacu
pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang
memfokuskan kepada usaha membangunkan modal insan berilmu menerusi proses
pendidikan berkualiti.

Natijahnya, menurut laporan agensi Program Pembangunan PBB (UNDP) 2011, kadar
literasi rakyat kita mencecah 92.7%, kadar pengangguran menurun 3.1% dan indeks
kebolehpasaran graduan pula mencatatkan 88.4%. Angka-angka kejayaan ini
membuktikan bahawa dengan menguasai ilmu berguna, untung nasib rakyat dapat
dibela sekaligus taraf hidup mereka mampu dijana.

Hadirin sekalian,
Pragmatik kedua, penerokaan ilmu mampu menjana minda bangsa.

Dek kerana budaya ilmulah, rakyat Jepun tidak pernah malu menggunakan kaedah Kanji
dan Katagana, maka kita juga mampu melakar kejayaan negara dengan
mengangkat bahasa Melayusebagai bahasa wasilah ilmu.

Bahkan, kerajaan turut berkobar-kobar memperkasakan gerakan budaya membaca.
Hasilnya, peningkatan purata 6 buah buku setahun dalam Kajian Profil Membaca
Rakyat Malaysia 2008-2011 membuktikan bahawa kita yakin bangsa Malaysia akan
berjaya sekiranya ilmu dikongsi bersama, bertitik-tolak dari budaya membaca. Benarlah
bahawa, nadi ilmu amalan membaca yang membuka minda bangsa.

Hadirin sekalian,
Pragmatik ketiga, pembudayaan ilmu memantapkan kemandirian bangsa.
1

Hikayat Melayu pernah menukilkan kepintaran Tun Perak menangkis serangan Siam ke
atas Melaka dan kecerdikan Hang Nadim menyelamatkan Singapura dari serangan
todak. Bukti jelas bahawa kemandirian sesebuah bangsa banyak bergantung kepada
kebijaksanaan golongan ilmuannya.

Lantaran itulah, sistem pendidikan kita kini ditransformasikan. Namakan sahaja, dari
pelancaran program i-Think dan Permata Pintar; pemerkasaan pendidikan teknikal dan
vokasional; sehinggalah program Brain Gain di peringkat IPT, semuanya bertujuan
untuk melahirkan golongan ilmuan berpemikiran kritis dan kreatif sekaligus memberi
sumbangan bermakna kepada kesejahteraan negara.

Hadirin sekalian,
Pragmatik keempat, ketinggian ilmu cerminan budi dan sahsiah bangsa terpuji.

Ibnu Khaldun dalam tamsilnya al-Muqaddimah menegaskan bahawaal-insan madani bi
al-taba, manusia sentiasa membina tamadun dengan ilmu dan sahsiahnya. Bahkan
pepatah Melayu turut menggesa agar kita mengikut resmi padi, semakin berisi, semakin
tunduk.

Lantaran itulah, modal insan berilmu dan berakhlak kini bukan lagi satu pilihan tetapi
satu keperluan. Menerusi sistem pendidikan, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita
perkasakan, pendidikan agama dan moral kita mantapkan bahkan kempen budi bahasa
kita jayakan. Hal ini kerana kita sedar bahawa apalah gunanya ketinggian akal fikir
manusia tanpa keluhuran budi bahasa.

Maka hadirin sekalian, bangunlah, siapapun diri anda. Hanya melalui pembudayaan ilmu
dalam kehidupan seharian, kita mampu meningkatkan martabat diri, keluarga,
masyarakat dan negara. Sesungguhnya benarlah kalam pencipta, kalimah iqra
menyemarakkan budaya ilmu lantaran ilmu adalah cahaya, pelita hidup manusia.
Yakinilah bahawa, ILMU itu PELITA HIDUP.

Você também pode gostar