Você está na página 1de 5

1

Artikel dalam Buletin Perancang, JPBD, UiTM


Perak, 2005

PERKEMBANGAN SEJARAH DAN
PENGARUH KE ATAS SENIBINA DI
MALAYSIA: SEBUAH TINJAUAN RINGKAS


Oleh
DR. SITI NORLIZAIHA HARUN


Pengenalan

Sejarah merupakan sesuatu yang berkaitan dengan
masa lepas dan diperolehi melalui bukti-bukti
fizikal yang masih kekal. Sejarah dan
perkembangan bidang pemuliharaan di Malaysia
dapat dirujuk kepada kronologi perkembangan
sejarah negara khususnya yang berkait dengan
sejarah berbentuk fizikal yang masih kekal hingga
hari ini seperti peninggalan tapak-tapak sejarah,
monumen dan bangunan-bangunan lama. Sejarah
amat sinonim dengan bidang pemuliharaan
bangunan kerana untuk mengenal sesabuah
bangunan maka perlu dikenali asal usul sejarahnya
terlebih dahulu. Sejarah dan pengaruh ke ata
senibina bangunan di Malaysia akan mengimbas
kembali perkembangan sejarah negara melalui
peristiwa dan tinggalan monumen sejarah yang
masih kekal pada hari ini.

Seni bina Awal

Sejarah perkembangan tamadun dan petempatan
awal di Tanah Melayu telah bermula pada awal
abad pertama masihi. Beberapa kerajaan Melayu
Tua seperti Funan, Campa, Ho-Lo-Tan,
Langkasuka dan Kataha telah muncul di kawasan
Asia Tenggara di Kembodia, Vietnam, Selatan
Thai sehinggalah ke Tanah Melayu. Kataha
dikatakan telah muncul sejak abad ke 6 hingga ke
13 dan pusat kerajaannya adalah di Lembah
Bujang. Kataha atau Kedah Tua telah berkembang
sebagai pelabuhan dan pusat kegiatan ugama
Buddha dan Hindu.

Kesan peninggalan senibina zaman ini masih kekal
di Lembah Bujang, Kedah. Candi dan artifak
berunsur Hindu-Buddha menunjukkan masyarakat
Kedah Tua pada abad itu telah mempunyai
kepandaian membina bangunan. Contoh berkenaan
dapat dilihat pada pelapik tiang sama ada untuk
meletak tiang bangunan atau pelapik meletak arca.
Teknologi binaan yang tinggi juga dapat dilihat,
iaitu kepandaian masyarakat dahulu memotong
batu yang keras seperti batu granit. (Wadiassofi
Jaafar, 2000)

Candi Lembah Bujang yang berusia lebih seribu
tahun ini merupakan satu tapak tanah bersejarah
yang penting untuk membuktikan satu persekitaran
alam senibina yang terawal telah wujud di negara
ini. Candi ini kini menjadi salah satu pusat
penyelidikan bagi senibina awal dan sejarah
berkembangan tamadun di Malaysia.


Candi Lembah Bujang di Merbuk, Kedah

Seni bina Melayu

Agama Islam datang ke Tanah Melayu dan
berkembang di Kepulauan Melayu selepas
pengaruh Hindu mulai merosot pada abad ke 13
dan abad berikutnya. Kedatangan Islam telah
memberi pengaruh besar kepada corak budaya
hidup masyarakat pada masa itu. Pengaruh Islam
banyak membentuk peradapan dan budaya
masyarakat Melayu lebih bersederhana dan
bersopan santun.

Senibina rumah Melayu dapat dilihat dengan
teknologi binaan yang ringkas dan mudah
menggunakan bahan-bahan dari alam semulajadi
yang diperolehi dari hutan. Rumah Melayu boleh
dilihat dengan ciri binaan dan bahan binaan seperti
daun nipah, ijuk, rumbia dan bertam untuk atap
atau bumbung. Kayu digunakan untuk struktur
utama seperti tiang, alang, rasuk, lantai dan
dinding. Lapik tiang pula diperbuat daripada batu.
Rumah Melayu juga jarang menggunakan paku
besi, biasanya hanya dipasak dengan kayu.

Susun atur rumah Melayu biasanya mempunyai 3
bahagian iaitu bahagian depan atau serambi,
bahagian tengah yang disebut rumah ibu dan
bahagian belakang yang dikenali sebagai rumah
dapur. Bumbung rumah adalah curam dan
unjurannya lebar bagi melindungi rumah dari
tempias hujan dan sinaran lansung matahari. Badan
rumah pula di penuh dengan bukaan jendela dan
2

kekisi atau ukiran tebuk yang menggalakkan
peredaran udara (Ezrin Arbi, 2002).

Pembinaan rumah melayu yang agak tinggi
memberikan satu ruang dibawah rumah.
Kedudukan lantai yang tinggi dapat mengatasi
kelembapan tanah disamping mencegah ruang
ditenggelami air jika berlaku banjir. Ruang bawah
atau kolong yang yang terbuka ini juga
membolehkan peredaran udara dibawah lantai.
(Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh ,
1997: 35)


Rumah Penghulu yang terletak di perkarangan
Badan Warisan Malaysia asalnya terletak di
Kampung Sungai Kecil, Bandar Baharu, Kedah.
Rumah ini mempunyai warisan senibina rumah
Melayu yang unik. Mempunyai atap bumbung
limas, dinding dan jendela kayu bertebuk dengan
ukiran yang menarik

Gaya senibina rumah Melayu pula mempunyai
berbagai ragam hias atau motif ukiran dan bentuk
binaan yang mengikut pengaruh negeri-negeri
Melayu dan pengaruh Nusantara seperti Indonesia
dan Selatan Thailand. Perbezaan gaya senibina
elemen pada rumah dapat menjelaskan asal usul
rumah tersebut seperti rumah bumbung panjang
atau rumah Minangkabau biasanya terdapat pada
rumah-rumah Melayu awal dan kini masih banyak
terdapat di Melaka dan Negeri Sembilan. Rumah
bumbung Limas kemudiannya merupakan ciri
senibina yang popular dan terdapat hampir di
seluruh perkampungan tradisional Malaysia. Selain
dari rumah bumbung Limas, terdapat beberapa
jenis rumah tradisional seperti Rumah Perabung
Lima, Rumah Potong Perak dan Rumah Kutai.

Senibina rumah Melayu bukan sahaja unik dengan
bentuk dan teknologi binaan malahan dapat
mencerminkan budaya, falsafah hidup dan tamadun
sesuatu bangsa. Setiap bentuk dan binaan
mempunyai sebab dan maksud. Sebagai contoh,
pembinaan rumah Melayu berpintu rendah
bertujuan supaya setiap orang yang memasuki
rumah akan menundukkan kepala bagi
mengelakkannya terhantuk. Ia menjadi lambang
kepada adab bersopan santun di samping sebagi
tanda menghormati tuan rumah (Zarinah Sarifan,
2000).

Selain rumah kediaman, senibina Melayu turut
dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti
masjid, istana raja-raja, rumah wakaf dan senibina
makam atau pusara. Ciri-ciri senibina tradisional
Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan
lama yang masih kekal seperti Istana Kenangan di
Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masjid
Tengkera di Melaka dan sebagainya. Senibina
Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan
memberi nilai estetika yang begitu tinggi dan
seharusnya dipelihara untuk pengekalan identiti
bangsa.

Istana Kenangan terletak di Bukit Chandan, Kuala
Kangsar, Perak. Sekarang istana ini dijadikan
Muzium

Seni bina Pengaruh Kolonial

Pengaruh kolonial memberi pengaruh dan kesan
yang besar dari segi senibina dan rupa bandar,
bandar-bandar di Malaysia. Peninggalan senibina
Portugis, Belanda dan Inggeris memainkan peranan
penting dari segi kesinambungan sejarah,
perkembangan fizikal dan geografi rupa bandar.
Bangunan-bangunan kolonial ini mempunyai gaya
senibina yang unik disamping susun letak
bangunan yang membentuk morforlogi awal
rekabentuk bandar dan pada masa kini menjadi
asas kepada tarikan dan imej kepada bandar-bandar
seperti Bandar Bersejarah Melaka, George Town
dan Taiping.

Portugis
Apabila bandar Melaka ditakluki, Alfonso
dAlburquerque mengarahkan untuk membina
kubu bagi menguatkan pertahanan. Kubu ini
dikenali sebagai A Farmosa, dibina mengelilingi
kota Melaka. Pembinaan kubu ini lengkap pada
tahun 1548 menjadikannya salah sebuah bandar
yang menyerupai kota bertembok era Mediavel di
Eropah. Walau bagaimanapun kota ini telah
3

dimusnahkan semasa pemerintahan Belanda dan
hanya yang tinggal adalah pintu masuk sahaja.
Selain pintu Farmosa, peninggalan Portugis yang
masih kekal pada masa kini ialah gereja St. Paul.
Sepanjang tempoh 130 tahun penaklukan, Portugis
telah membawa masuk teknologi pembinaan batu
dan kayu dan rekabentuk kubu pertahanan dan
bangunan yang bercirikan gaya Eropah.


Pintu Kota Gerbang Port de Santiago atau lebih
dikenali sebagai A Farmosa (1511)

Belanda
Belanda telah mengambilalih penjajahan Portugis
pada tahun 1641. Walaubagaimanapun semasa
Belanda mengambilalih, banyak bangunan telah
dimusnahkan dan ditinggalkan rosak. Penjajahan
Belanda juga telah membina dan meninggalkan
bangunan-bangunan yang mempunyai gaya
senibina yang menarik. Antara yang terkenal ialah
monumen dan bangunan-bangunan berwarna
merah seperti gereja Christ, bangunan Stadhyus
dan menara jam.



Bangunan Stadthyus (1641), merupakan
peninggalan Belanda yang masih kekal di Melaka



Inggeris
Pemerintahan Inggeris berlangsung dari 1795
hingga 1957. Dalam tempoh ini banyak bangunan
kolonial telah dibina dibeberapa bandar utama di
Malaysia seperti George Town, Ipoh, Kuala
Lumpur, Taiping, Seremban, Johor Bahru, Kota
Kinabalu dan Kuching. Monumen pertama yang
dibina Inggeris ialah kota pertahanan iaitu Kota
Cornwallis semasa penapakan Franchis Light di
Pulau Pinang pada tahun 1786.

Penjajahan Inggeris juga telah membawa
perubahan yang besar kepada rupa bandar pada
ketika itu. Inggeris telah menerapkan kegiatan
perancangan yang lebih teratur pada bandar-bandar
yang dibuka bagi tujuan keselesaan penduduk.
George Town tahun 1801, merupakan bandar
pertama yang mempunyai perancangan iaitu
pembinaan jalan dan parit disekitar bandar
termasuklah bangunan-bangunan institusi
pentadbiran dan awam yang dirancang dengan
teratur. Pembukaan tanah untuk bandar-bandar
pentadbiran dan kediaman Inggeris adalah
berdasarkan faktor bahan mentah iaitu bijih timah
dan getah selain daripada faktor peluasan
pentadbiran. Keadaan ini mewujudkan
pertumbuhan yang pesat dari segi fizikal dengan
binaan bangunan-bangunan berdasarkan
rekabentuk barat.. Rekabentuk barat lebih ringkas
iaitu pada ukiran dan motif di dinding bangunan
terutamanya disekeliling tingkap, tiang besar
(column) dan gerbang lengkung (arch). Pengaruh
melalui elemen-elemen ini dapat dilihat pada
pelbagai jenis bangunan seperti bangunan institusi
dan pentadbiran, rumah kediaman, gedung
perniagaan dan bangunan keugamaan.

Rekabentuk bangunan dan gaya senibina bangunan
barat mempunyai keunikan tersendiri dari segi
latarbelakang negara kolonial dan era atau zaman
gaya senibina itu muncul. Walau bagaimanapun
selain dari pengaruh barat terdapat juga pengaruh
senibina Timur yang menyumbangkan satu
kombinasi gaya senibina yang unik dan agak
mewakili resam atau budaya masyarakat tempatan.
Dengan kedatangan Inggeris, senibina Islam-
Moghul dan ilmu handasah
1
untuk membentuk
kubah, serta batu-bata dan atap genting sebagai
bahan binaan dibawa masuk melalui arkitek
Inggeris. (Wan Ramli Wan Daud, 2000:260)


1
Pembinaan masjid pada awalnya berhadapan dengan masalah
menyediakan ruang beratap yang luas sebagai ruang solat tanpa
gangguan sebarang tiang. Dalam tamadun Islam-Arab, masalah
ini diselesaikan dengan menggunakan prinsip geometri Euclid
atau handasah warisan tamadun Greek-Helenistik-Rom untuk
membina gerbang dan kubah. Istilah handasah asalnya
bermaksud geometri, kini digunakan dengan maksud senibina
dan kemudiannya kejuruteraan. (Othman Mohd Yatim dan
Abdul Halim Nasir, 2000:366)

4

Pengaruh senibina Inggeris amat berpengaruh
bukan hanya pembinaan pejabat, institusi dan
rumah kerajaan yang sepenuhnya direkabentuk dan
dibina dengan gaya Inggeris malahan pengaruh
gaya Inggeris juga turut mempengaruhi senibina
istana raja-raja Melayu dan masjid pada masa
penjajahan Inggeris. Perubahan yang paling ketara
ialah munculnya masjid konkrit berbumbung lima.
Antara masjid yang mula menggunakan bumbung
perabung lima ialah Masjid Melayu Lebuh Acheh,
Pulau Pinang, dibina pada tahun 1808 Masihi.
(Othman Mohd Yatim dan Abdul Halim Nasir,
2000)

Gaya senibina barat yang umum terdapat di
Malaysia adalah Moorish, Tudor, Neo-Klassik dan
Neo Ghotik. Pengaruh senibina barat dapat dilihat
pada bangunan-bangunan kolonial di Malaysia
seperti senibina Neo-klasik pada Bangunan Majlis
Perbandaran Pulau Pinang, di bina pada tahun
1897. Senibina Moorish dapat dilihat
keunggulannya pada Bangunan Sultan Abdul
Samad, Kuala Lumpur. Bangunan yang dibina
antara tahun 1894 dan 1894 ini juga mempunyai
pengaruh senibina Islam yang mendapat inspirasi
dari gaya senibina Moghul yang terdapat di Utara
India. Gaya senibina Tudor dapat dilihat pada
Bangunan Kelab Selangor. Gaya Senibina Neo-
Ghotic pula dapat dilihat pengaruhnya pada
bangunan-bangunan gereja seperti gereja Holy
Rosary, Kuala Lumpur, dibina pada tahun 1903.
(A.Ghafar Ahmad, 1997)


Gaya senibina Moorish, Bangunan Sultan Abdul
Samad

Gaya senibina Neo-Klasik, Bangunan Majlis
Perbandaran Pulau Pinang


Pengaruh Pendatang China dan India

Selain daripada pengaruh kolonial, pengaruh yang
dibawa oleh kaum pendatang seperti China dan
India sedikit sebanyak telah membentuk rupa
fizikal bandar-bandar di Malaysia. Pengaruh
pendatang China khususnya di Melaka telah
bertapak pada abad ke 14 lagi. Pada abad ini,
kerajaan Melaka telah pun mempunyai hubungan
perdagangan dengan negara China. Pada tahun
1403, maharaja China telah menghantar utusan
diplomatik ke Melaka dan menjalankan hubungan
perdagangan. Seterusnya kedatangan Islam telah
mempengaruhi dan menukar gaya hidup
masyarakat Melayu Melaka dari segi pentadbiran
negara, budaya dan senibina. Di antara pengaruh
yang dapat dilihat ialah bahan binaan dan gaya
senibina untuk membina bangunan. Bahan binaan
pertama yang diimport masuk ke Melaka ialah
genting tanah liat pada tahun 1409 bagi membina
kediaman istana . Pengaruh pendatang pada abad
ini dapat dilihat pada masjid di Melaka seperti
Masjid Tengkera, di mana hiasan dan ukiran
dibahagian hujung atau puncak masjid seperti
rumah berhala Cina tetapi motif ini diabstrakkan
dengan alam flora bersesuaian dengan agama
Islam.

Kejatuhan empayar Melaka pada abad ke 15 dan
penaklukan penjajah Portugis telah turut
menghentikan kesinambungan hubungan
perdagangan Melaka dengan negara-negara jiran.
Semasa pemerintahan Inggeris, pendatang China
dan India telah dibawa masuk ke Tanah Melayu
bagi mengusahakan aktiviti ekonomi. Pada awal
tahun 1870an hingga 1880an kaum pendatang telah
membina rumah-rumah kedai bagi menempatkan
bahan-bahan perniagaan. Gaya senibina rumah
kedai yang dibina pada era ini dikenali sebagai
rumah kedai awal yang masih terdapat dibberapa
bandar di Malaysia seperti di Gopeng dan Batu
Gajah di negeri Perak. Dari tahun 1900 hingga
1940an banyak rumah kedai telah dibina dengan
gaya senibina yang menerapkan unsur-unsur
tempatan dan pengaruh kolonial. Terdapat 3 gaya
sebina yang mempengaruhi rekabentuk rumah
kedai iaitu Era Peralihan, gaya Electic dan gaya Art
Deco (Syed Zainol Abidin Idid, 1995).

5


Rumah kedai awal di Jalan Jonker, Melaka

Pengaruh India tidak banyak mempengaruhi dari
segi senibina bangunan di Malaysia. Pendatang
India banyak mendirikan kuil-kuil agama Hindu
yang banyak menyerupai bentuk senibina seperti
kuil Hindu di India. Namun begitu pengaruh
senibina Selatan India, banyak mempengaruhi
binaan masjid. Masyarakat India Selatan yang
berugama Islam yang disebut sebagai Klings atau
Keling lebih suka dengan gaya senibina Islam
mereka. (Vlatseas, S, 1990: 49) Masjid Kapitan
Kling (1802-1803), Pulau Pinang salah satu contoh
senibina Selatan India, di bina oleh ketua
masyarakat India Muslim atau Kapitan. Senibina
India Muslim ini jelas kelihatan pada minaret yang
tinggi dan kubah potong bawang.


Masjid Kapitan Kling, Pulau Pinang


Penutup

Melalui paparan ringkas peristiwa sejarah dan
perkembangan yang telah berlaku pada negara
dapatlah dirumuskan kronologi sejarah sesebuah
negara dapat dilihat melalui bangunan-bangunan
lama yang masih kekal. Bangunan-bangunan ini
amat bermakna dan memberi kesan yang nyata dari
segi fizikal bandar dan kesan emosi kepada
masyarakat. Ia merupakan bukti yang tertera atas
kemahiran, kemajuan, budaya dan tamadun sesuatu
bangsa. Bangunan-bangunan bersejarah yang
masih kekal ini bukan sahaja penting untuk
generasi kini malahan sebagai rujukan untuk
generasi akan datang. Adalah diharapkan melalui
tinjauan ringkas ini ia dapat memberi pengetahuan
dan imbasan kembali sejarah negara Malaysia di
samping dapat meneroka keunikan senibina
bangunan bersejarah.


Rujukan

A Ghafar Ahmad.(1997). British Colonial
Architecture in Malaysia 1800-1930, Kuala
Lumpur: Museums Association of Malaysia
Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh.
(1997). Warisan Senibina Melayu, Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ezrin Arbi. (2002). Sejarah Perkembangan Seni
Bina di Malaysia: Sebuah Tinjauan Ringkas.
Kertas kerja dibentangkan di Bengkel
Konservasi Monumen dan Tapak Tanah
Bersejarah, Hotel Century Mahkota, Melaka,
7-12 Oktober.
Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, ed.
(1998). The Encyclopedia of Malaysia: Early
History, Kuala Lumpur: Archipelago Press.
Othman Mohd Yatim dan Abdul Halim
Nasir.(2000). Senibina Melayu Islam:
Pengaruh Agama dalam Alam Bina dalam
Tamadun Islam di Malaysia (Mohd Taib
Osman dan A.Aziz Deraman, ed), 339-387,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..
Syed Zainol Abidin Idid. (1995). Pemuliharaan
Warisan Rupa Bandar,Kuala Lumpur: Badan
Warisan Malaysia.
Vlatseas, S.(1990). A History of Mlasian
Architecture, Singapore: Longman.
Wadiasofi Jaafar. (2000). Lembah Bujang Simpan
Sejarah Kedah, Berita Harian, 12 Ogos, 1.
Wan Ramli Wan Daud. (2000). Teknologi Melayu:
Melani Ragam Hidup Sepanjang Zaman
dalam Tamadun Islam di Malaysia (Mohd
Taib Osman dan A.Aziz Deraman, ed.), 247-
286, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Yeang, K. (1992). The Architecture of Malaysia,
Kuala Lumpur: The Pepin Press.
Zarina Sarifan. (2000).Senibina Tradisional
Malaysia, Berita Jabatan Muzium dan
Antikuiti, Vol.1/Bil.1, 10-11.

Você também pode gostar