Você está na página 1de 10

HBML4103 : SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

1.0 KONSEP BAHASA MELAYU SELEPAS MERDEKA



1.1 Pengenalan.
Bahasa, menurut Kamus Besar Bahasa Melayu bermaksud bicara, unjuran,
tatatertib, sopan-santun, tingkah laku yang baik, pertuturan atau percakapan yang
baik (Zainal Abidin Safarwan 1996:128). Dalam era globalisasi mencetuskan
perkembangan ilmu yang begitu pesat dan pantas, serta memberikan impak secara
langsung dan tidak langsung terhadap bahasa Melayu. Di Malaysia, akibat daripada
persepsi negatif terhadap keupayaan bahasa Melayu oleh beberapa pihak,
menyebabkan bahasa ini hampir terpinggir daripada fungsi asalnya yang termaktub
dalam perlembagaan Malaysia. Perkara 152, Perlembagaan Malaysia
memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Bahasa
Melayu perlu digunakan secara rasmi dalam segala urusan Kerajaan Persekutuan,
Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Awam. Pada tahun 2003 bahasa Melayu dan
pendukung setianya telah menerima satu tamparan hebat apabila bahasa Inggeris
digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik pada
peringkat rendah dan menengah. Bahasa Melayu dipinggirkan sebagai bahasa ilmu
kerana bahasa Inggeris dianggap lebih mantap dan sesuai sebagai bahasa ilmu
tinggi.

Anggapan tersebut adalah kurang tepat kerana negara-negara perindustrian
seperti Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan sebagainya tetap membangun dengan
pesat sekalipun rakyat di negara-negara tersebut menggunakan bahasa ibunda
masing-masing. Mereka tetap yakin dengan keupayaan bahasa masing-masing
dengan menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan
digunakan secara meluas dalam bidang sains dan teknologi. Kenyataan ini
sepatutnya membuka mata dan minda kita, bahawa bahasa Melayu juga mampu
menjadi bahasa ilmu tinggi dan mengharungi arus globalisasi. Bahasa Melayu
mampu menjadi bahasa moden, iaitu bahasa yang dapat mengungkapkan konsep-
konsep yang berkaitan dengan sains dan teknologi serta berupaya menjadi media
mentransformasikan pemikiran dan tindakan bangsa Malaysia secara menyeluruh.
Sekiranya semua pihak bekerjasama dan menggembleng usaha ke arah
memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu, tidak mustahil zaman
kegemilangan bahasa Melayu seperti ketika digunakan secara meluas dalam bidang
pentadbiran, diplomatik, ekonomi, kesenian, sosial dan budaya sejak beratus tahun
dahulu akan berulang kembali.

1.2 Konsep Bahasa Melayu selepas Merdeka
Era selepas merdeka atau pasca merdeka bermula selepas 31 Ogos 1957 hinggalah
tahun 1967. Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah
Melayu melalui peruntukan undang-undang yang terkandung dalam Perkara 152
Perlembagaan Malaysia yang menyatakan dengan jelas bahasa kebangsaan ialah
Bahasa Melayu.
Perkara 152 Perlembagaan Malaysia
1. Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-
apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang oleh
Parlimen. Dengan syarat bahawa:
i. Tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan
(bagi apa-apa maksud, selain daripada maksud rasmi), atau daripada
mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
ii. Tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menyentuh hak Kerajaan
Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri bagi memelihara
dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana
kaum lain dalam Persekutuan.
2. Walau apa pun peruntukan Fasal (10) selama tempoh sepuluh tahun selepas
Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan
oleh Parlimen, Bahasa Inggeris boleh digunakan dalam kedua-dua Majlis
Parlimen, dalam Dewan Negeri tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud
rasmi yang lain.
3. Walau apa pun peruntukan fasal (10), selama tempoh sepuluh tahun selepas
Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan
oleh Parlimen, naskhah yang sahih:
i. Bagi segala Rang Undang-Undang yang hendak dikemukakan atau
pindaan-pindaan mengenainya yang hendak dicadangkan dalam
mana-mana Majlis Parlimen; dan
ii. Bagi segala Akta Parlimen dan segala perundangan kecil yang
dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam Bahasa
Inggeris.
4. Walau apa pun peruntukan Fasal (10), selama tempoh sepuluh tahun
selepas Hari Merdeka dan selepas daripada itu sehingga selainnya
diperuntukkan oleh Parlimen, segala pembicaraan dalam Mahkahmah
Persekutuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dijalankan dalam Bahasa
Inggeris. Dengan syarat bahawa, jika mahkamah dan peguam bagi kedua-
dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan
oleh saksi tidak perlu diterjemahkan atau direkodkan dalam Bahasa Inggeris.
Berdasarkan peruntukan yang diberikan, jelaslah bahawa pertimbangan
sewajarnyalah telah diberikan terhadap kedudukan Bahasa Melayu. Sejak tahun
1957, apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu
telah menjadi bahasa kebangsaan yang disarankan oleh Suruhanjaya Reid.
Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berasaskan beberapa
faktor, iaitu Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang terbesar di negara
ini. Pada waktu itu, kumpulan ini membentuk 49.78 peratus, manakala kaum Cina
merupakan 37.1 peratus, dan kaum India 11.0 peratus (Ensiklopedia Kebudayaan
Melayu, hlm. 1260). Faktor kedua, ialah Bahasa Melayu merupakan bahasa yang
bersifat pribumi bagi negara ini. Oleh itu, Bahasa Melayu dapat melahirkan jati diri
penduduk negara ini. Faktor ketiga ialah penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat
komunikasi sudah sekian lama berjalan dan ini tidak akan menimbulkan masalah
bagi komunikasi umum. Akhirnya, keempat ialah Bahasa Melayu telah lama menjadi
bahasa pentadbiran di negeri Melayu. Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan juga alat perpaduan tidak disanggah oleh mana-mana pihak.
Pengisytiharan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi
dalam semua urusan pentadbiran tidak menyekat penggunaan dan pembelajaran
bahasa-bahasa lain dalam urusan bukan rasmi. Pada dasarnya, pengiktirafan dan
penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dikawal oleh dasar
bahasa kebangsaan dan dari segi undang-undang, dasar ini telah dimaktubkan
melalui perlembagaan dan akta.

Pada 7 Mac 1957, Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan, dengan
sebulat suara meluluskan Penyata Razak. Penyata ini adalah bertujuan untuk
mewujudkan suatu sistem pelajaran nasional bagi Persekutuan Tanah Melayu yang
merdeka yang dapat diterima oleh seluruh rakyat serta memenuhi kehendak mereka
dan yang dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan ekonomi ke
arah satu bangsa dengan tujuan hendak menjadikan Bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan negara ini dan dalam pada itu memelihara pertumbuhan
bahasa dan budaya orang-orang bukan Melayu yang menetap di negara ini
(Undang-Undang Pelajaran 1957, 2008.). Undang-undang Pelajaran 1957 yang
diluluskan setelah dibacakan bagi kali yang ketiga adalah digubal berdasarkan
Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956. Laporan jawatankuasa ini telah diluluskan
pada dasarnya setelah dibentangkan dalam perbahasan Majlis Perundangan
Persekutuan pada 16 Mei 1956. Laporan ini dinamakan Laporan Razak 1956.

Perkara yang paling penting pada era ini ialah peranan yang dimainkan oleh
Dewan bahasa dan Pustaka (DBP). Pada tahun 1959, DBP berubah tarafnya
daripada jabatan kerajaan kepada badan berkanun apabila Parlimen
meluluskan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Pemberian autonomi ini
membolehkannya menggubal dasar tentang matlamat yang ditetapkan dalam akta
tersebut. DBP dibenarkan menggubal dasar-dasarnya yang khusus, menyusun
rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera menurut
kebijaksanaan pihak pengurusannya sendiri, dan menjalankan kegiatan penerbitan
dan perniagaan buku secara lebih kompetitif menurut prinsip dan amalan
perusahaan dan profesion penerbitan yang sentiasa berkembang dan hidup.
Matlamat utamanya ialah membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan
sesuai dengan dasar negara dan hasrat rakyat yang menubuhkan DBP.

Sebagai sebuah negara yang baru merdeka dan mempunyai rakyat yang
berbilang kaum, satu orientasi baru diperlukan untuk membentuk sikap rakyat
menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. DBP
melancarkan gerakan psikologi melalui kempen-kempen bahasa yang melibatkan
penyertaan rakyat daripada semua kaum dalam kegiatan bahasa secara besar-
besaran. Gerakan ini dilakukan di seluruh negara tiap-tiap tahun selama tujuh tahun
dari 1960-1966. Pada 30 Januari 1960, Minggu Bahasa Kebangsaan dilancarkan
buat pertama kalinya di seluruh negara yang berlangsung hingga 6 Februari, 1961.
(lihat Rajah 1.0).








Rajah 1.0: Pelancaran Pertama Minggu bahasa Kebangsaan pada 30 Januari
1960.

Pelancaran itu dilakukan oleh pengerusi jawatankuasa pusat Minggu Bahasa
Kebangsaan, Tuan Syed Nasir bin Ismail. Minggu Bahasa Kebangsaan ini
merupakan rancangan kebangsaan yang bertujuan untuk menggalakkan seluruh
rakyat supaya menggunakan bahasa kebangsaan dalam kehidupan mereka sehari-
hari; menunjukkan kepada dunia bahawa kita sebagai bangsa yang merdeka
menggunakan bahasa kebangsaan yang difahami oleh seluruh rakyat daripada
segala keturunan sebagai bahasa perantaraan; untuk menyakinkan orang yang
masih ragu-ragu bahawa bahasa kebangsaan kita ini adalah bahasa besar
teristimewa di sebelah Timur dan menjadi bahasa ilmu pengetahuan; memberitahu
kepada dunia bahawa bahasa kebangsaan kita akan menjadi bahasa yang kaya
raya setelah mendapat jiwa baharu dalam pergolakan dunia sekarang; dan hendak
menerangkan kepada pelajar bahawa bahasa kebangsaan kita memakai bentuk
yang khas dan boleh menerima segala perkataan bahasa asing yang dapat
disesuaikan dengan keadaan bahasa itu sendiri. Keadaan yang demikian telah
berlaku beribu-ribu tahun yang Ialu dan terus berjalan hingga sekarang, dan hendak
menerangkan kepada orang ramai bahawa Dewan bahasa dan Pustaka yang
mempunyai tugas besar dalam perkembangan bahasa kebangsaan ini sentiasa
berharapkan kerjasama daripada segala pihak untuk kemajuan bahasa kebangsaan
dan perkembangannya dalam segala lapangan.
Acara-acara dalam Minggu Bahasa Kebangsaan ini dijalankan dalam dua
bentuk: pertama, acara umum yang ditujukan untuk menggalakkan penggunaan
bahasa kebangsaan dalam segala lapangan; dan yang kedua, ialah melalui
peraduan-peraduan untuk menimbulkan keinginan menyertai dalam penggunaan
dan perkembangan bahasa itu. Dalam menjalankan acara-acara itu segala tugas
dibahagi kepada peringkat-peringkat, iaitu peringkat daerah, peringkat negeri dan
peringkat kebangsaan. (Mahfudz bin Abdul Hamid, 1960).
Dalam bahagian acara umum diadakan berbagai-bagai acara penerangan
seperti mengadakan poster-poster, pelekat-pelekat cogan kata, kain-kain cogan
kata, iklan-iklan dan filem-filem serta ucapan-ucapan oleh pembesar-pembesar dan
pakar-pakar dan juga pengguna-pengguna bahasa kebangsaan dari orang-orang
Melayu dan bukan Melayu. Dalam bahagian peraduan pula diadakan peraduan-
peraduan syarahan yang dimulakan pada peringkat daerah dan berakhir di peringkat
kebangsaan apabila pensyarah-pensyarah yang menang dalam bahagian-bahagian
yang tertentu bertanding untuk mencapai gelaran johan pensyarah bahasa
kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Di peringkat negeri pula diadakan
peraduan-peraduan bahas, peraduan melukis poster, peraduan mengarang rencana
dan sebagainya.
Pada peringkat kebangsaan rancangan Minggu Bahasa Kebangsaan ini
dihadiri dan dikelolakan oleh suatu Jawatankuasa Kerja Pusat yang dilantik oleh
persidangan Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha-Setiausaha
Kementerian dan jabatan-jabatan. Dalam tiap-tiap negeri pula diadakan satu
Jawatankuasa Negeri untuk memutuskan rancangan di peringkat negeri dan juga
berkuasa menubuhkan Jawatankuasa Daerah untuk melancarkan pengelolaan
rancangan di tiap-tiap negeri. Pelaksanaan rancangan kebangsaan Minggu Bahasa
Kebangsaan ini dirancang untuk disertai oleh seluruh pihak yang meliputi
kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan mahupun separuh kerajaan,
institusi-institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah, akhbar-akhbar, syarikat-
syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan yang mengenai bahasa dan persuratan
secara langsung atau tidak langsung dan bahkan kepada tiap-tiap rakyat dan
kumpulan rakyat dengan mengadakan rancangan-rancangan penyambutan dan
perayaan yang sesuai dengan tujuan mengadakan Minggu Bahasa Kebangsaan.
Pada 15 April 1962, satu seminar mengenai bahasa dan Sastera telah
diadakan di Balai Budaya Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Seminar
anjuran Dewan bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Perpustakaan Universiti
Malaya ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak bin
Dato' Hussein. Sebanyak 50 kertas kerja dibincangkan dalam seminar yang
berlangsung selama empat hari ini. Kertas-kertas kerja ini disumbangkan oleh
beberapa pakar bahasa dari seluruh tanah air. Antara perkara-perkara yang
dibahaskan dalam seminar tersebut termasuklah mengenai bahasa dan
kesusasteraan, ilmu pengetahuan dan buku-buku sekolah. Ini mencakupi masalah
sastera, perpustakaan juga perkembangan kesusasteraan dan persuratan Melayu
sebagai bahan dan alat pendidikan ke arah pembangunan rakyat (Seminar Bahasa
dan Sastera Ke Arah Meninggikan Mutu Bahasa dan Kesusasteraan Kebangsaan,
2008).
Pada 11 April 1963, satu akta yang berkaitan khusus dengan bahasa
kebangsaan, iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963 telah diluluskan dan
dikuatkuasakan. Selepas 10 tahun merdeka, iaitu pada tahun 1967, Akta bahasa
Kebangsaan 1967 telah diluluskan dan mula dikuatkuasakan pada 1 September
1967. Akta ini kemudiannya disemak dan disatukan dengan Akta Bahasa
Kebangsaan 1963 dan berkuatkuasa pada 1 Julai 1971 dengan nama Akta Bahasa
Kebangsaan, 1963 (Pindaan 1967).
Pada 27 Jun 1967 (lihat Rajah 3.6) satu keputusan muktamad mengenai satu
sistem ejaan baru yang ilmiah, praktikal serta sesuai untuk Bahasa Malaysia dan
Bahasa Indonesia telah dicapai. Rundingan mengenai persetujuan sistem ejaan
bahasa Malaysia-Indonesia ini telah dihadiri oleh Jawatankuasa Bahasa dan Ejaan
Malaysia yang dipengerusikan oleh Tuan Syed Nasir bin Ismail (Pengarah Dewan
bahasa dan Pustaka) dengan Team Ahli Bahasa KOTI (Komando Tertinggi
Indonesia) yang diketuai oleh Nyonya S. W. Ruddjiati Muljadi.


rajah 1.1 : Pengisytiharan Sistem Ejaan Indonesia Malaysia

Rundingan antara kedua-dua belah pihak telah berjalan dengan lancar dan
dalam suasana kekeluargaan serta ramah tamah. Dalam rundingan itu tanggapan
masing-masing pihak telah dibahas bersama secara ilmiah dan mendalam dengan
memerhatikan sepenuhnya kenyataan-kenyataan yang terdapat dalam masyarakat
kedua-dua negara. Hasil pertukaran fikiran dan pendapat serta penelitian dan
pengolahan bersama, kedua-dua pihak telah mencapai kesimpulan dan
persefahaman bahawa perkembangan ejaan dalam kedua-dua bahasa adalah hal
yang wajar dan sesuai dengan tuntutan kemampuan ilmiah dan keperluan praktikal.
Pengertian bersama juga telah dicapai mengenai hubungan antara Bahasa
Indonesia dan Bahasa Malaysia yang perlu ditingkatkan lagi melalui semua saluran,
baik pertuturan mahupun tulisan. Kesemuanya ini adalah dalam rangka usaha
mencapai cita-cita bersama antara rakyat Indonesia dan Malaysia. Dengan
tercapainya keputusan muktamad yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak
itu pada tahun 1967, maka terciptalah Ejaan Bersama Malaysia-Indonesia, dan
pelaksanaannya bergantung kepada penerimaan serta pengesahannya daripada
kerajaan kedua-dua buah negara. Kempen-kempen memberikan penerangan
mengenai Ejaan Bersama ini ke seluruh negara telah dijalankan melalui akhbar-
akhbar, radio dan televisyen, serta melalui majalah-majalah, dan ceramah-ceramah
anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di merata tempat di Malaysia (Sistem Ejaan
Indonesia-Malaysia, 2008).
Sepuluh tahun selepas merdeka, Parlimen meluluskan Akta Bahasa
Kebangsaan 1967 yang mewajibkan Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa
rasmi yang tunggal dalam semua urusan rasmi negara menggantikan tempat
Bahasa Inggeris. Pada 1 September 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-
Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi
Negara yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Perisytiharan ini adalah ekoran
daripada tindakan Parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa
Kebangsaan dalam sidangnya yang berlangsung pada bulan Mac 1967. Dalam
warkah perisytiharan melalui Titah Diraja yang disiarkan melalui radio dan
televisyen, baginda mensifatkan pendaulatan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa
rasmi yang tunggal merupakan permulaan suatu zaman baru dalam sejarah
kemerdekaan negara ini. Baginda telah menyeru seluruh rakyat supaya mengguna
dan memajukan Bahasa Melayu dengan bersungguh-sungguh sebagai bahasa
rasmi negara ini.










Rajah 1.2 : Pengisytiharan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi


YM Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama (lihat Rajah 3.7) pula
dalam satu kenyataannya telah menegaskan bahawa pendaulatan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa rasmi menjadikan kemerdekaan Malaysia lengkap
apabila penggunaannya sudah dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat. Kedaulatan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercatat dengan jelas sebagai Perkara
152 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kedaulatan Bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan telah dimuatkan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan
sebagai bahasa rasmi dan pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah dan institusi-
institusi pengajian tinggi melalui Penyata Razak 1956 dan disokong kuat oleh
Penyata Rahman Talib 1960.
Usaha-usaha untuk mendaulatkan dan memperluaskan penggunaan bahasa
kebangsaan ini telah dijalankan dengan lebih giat dan serius melalui minggu dan
bulan bahasa kebangsaan, perjuangan politik bahasa, serta menambahkan buku-
buku ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Berikutan daripada pengisytiharan
baginda itu, pada hari yang sama, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan
surat Pekeliling Am No. 12 Tahun 1967 yang mengarahkan bahawa daripada tarikh
itu, bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu sahaja hendaklah digunakan untuk
maksud-maksud rasmi dalam pentadbiran sehari-hari yang dijalankan oleh
kementerian-kementerian, Jabatan-Jabatan Kerajaan, Kerajaan-Kerajaan Negeri,
Kerajaan-Kerajaan Tempatan dan Badan-Badan Berkanun di Negeri-Negeri Tanah
Melayu kecuali di Parlimen, Dewan-Dewan Negeri dan Mahkamah di mana Bahasa
Inggeris boleh digunakan setakat masa yang telah diperuntukkan dalam Akta
Bahasa Kebangsaan 1967. Jikalau bahasa kebangsaan tidak dapat digunakan
sepenuhnya Surat Pekeliling itu membolehkan penggunaan Bahasa Inggeris
mengikut yang diperuntukkan dalam Sek. 4 akta tersebut.
Zaman selepas ini merupakan zaman pengembangan dan pengukuhan taraf
dan korpus Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran negara yang maju, bahasa
kegiatan intelektual dan budaya, bahasa ilmu pengetahuan, bahasa sains dan
teknologi.

Você também pode gostar