Apatah lagi jika ia membabitkan pelajar di peringkat sekolah khususnya sekolah menengah. Guru perlu dapat mengesan gejala kemurungan dan tekanan di kalangan pelajar dalam kelas dan di sekolah sebagai langkah awal mengatasinya. Fenomena gejala kemurungan ini akhirnya membawa kepada tekanan perasaan dan emosi yang menyebabkan pelbagai kejadian tidak diingini seperti kes cucu menikam datuk hingga mati, wanita serang ibu suami, tikam kekasih abang ipar serta marah isteri belasah mentua. Kes seperti ini disebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal perasaan ketika marah. Oleh sebab itu, melalui pendidikan di sekolah, setiap pelajar dididik supaya dapat menyeimbangkan jasmani, emosi, rohani dan intelek dalam menjalani kehidupan seharian. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, kementeriannya mendapati secara keseluruhan, 400,227 pesakit mental mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental di hospital kerajaan tahun lalu ia menunjukkan peningkatan 15.6 peratus berbanding 2009 iaitu 337,791 kes. Menurut beliau, gejala kesihatan mental dalam kalangan remaja juga menunjukkan pola meningkat dan perlu ditangani dengan sebaik mungkin dari semasa ke semasa. Bagi mengatasinya, empat sekolah dipilih sebagai sekolah perintis bagi melaksanakan satu modul khas mengesan gejala penyakit mental dalam kalangan remaja pada peringkat awal. Modul itu berbentuk Modul Kemahiran Kesihatan Mental Di Kalangan Remaja di sekolah itu akan dijalankan dalam tempoh enam bulan dan hasilnya akan dibincangkan dengan Kementerian Pelajaran. Menurutnya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mengenal pasti gejala penyakit mental di kalangan remaja pada peringkat awal yang dijalankan selama enam bulan bagi mendapatkan hasil sebelum dibincangkan dengan Kementerian Pelajaran untuk diperluaskan di sekolah menengah di seluruh negara. Pada peringkat awal, empat sekolah terbabit dalam projek itu ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Teluk Intan, Perak; SM Datuk Haji Ahmad Badawi, Pulau Pinang; SM Simpang Bekok Melaka dan SM St Michael, Penampang, Sabah. Beliau berkata, usaha yang dilakukan bukan bermakna kementerian menyasarkan pelajar sebagai kumpulan berisiko, tetapi lebih kepada memberi kemahiran kepada guru dan kaunselor mengesan gejala kemurungan serta tekanan di kalangan pelajar di peringkat awal. Justeru, gejala kemurungan dan tekanan pelajar mestilah dapat diurus dengan baik dan seimbang. Mengawal emosi dan perasaan sangat penting dalam menahan kemarahan yang boleh menyebabkan pelbagai perkara buruk berlaku seperti mengamuk, perasaan tidak terkawal serta marah berlebihan. Melalui pendidikan, akan dapat membangunkan diri manusia sama ada personalitinya, emosi, perasaan, pemikiran dan intelek ke arah yang seimbang. Nilai murni dan nilai moral perlulah sentiasa diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas. Kajian ahli psikologi mendapati pengaruh pembentukan personaliti meliputi tiga faktor iaitu pewarisan, pengalaman (pembelajaran) dan budaya. Faktor ini mempengaruhi ke arah gejala kemurungan dan tekanan yang akhirnya menyebabkan sakit mental. Faktor sosial dan persekitaran dengan jelas menyumbang kepada tingkah laku. Pengawalan emosi sangat penting terutama di saat kemarahan dan menerima tekanan. Hubungan antara ibu bapa dan anak dengan perasaan kasih sayang serta kemesraan dapat membentuk personaliti yang seimbang. Islam menegaskan, akhlak yang mulia dapat mendidik dan mengawal tingkah laku meliputi emosi dan perasaan, iaitu seseorang itu sentiasa bersopan santun, sabar, mengingati Allah, sentiasa beradab, merendah diri, pemaaf, tidak mudah marah, syukur, takwa serta tawakal menghadapi ujian dan dugaan. Sifat sabar dan pemaaf dapat mengatasi gejolak emosi kemarahan tanpa kawalan. Sabar adalah satu-satunya sifat akhlak yang paling indah sekali. Sebagai umat Islam, kita disuruh bersabar menahan kemarahan ketika ditimpa kesusahan atau cubaan. Sementara sifat pemaaf dapat memadamkan kemarahan dalam hati dan jiwa yang disulami dengan adab sopan yang baik. Usaha semua pihak dalam menangani masalah ini dapat mengurangkan gejala kemurungan dan tekanan perasaan dalam kalangan remaja. Pendidikan adab dan akhlak yang baik di rumah serta di sekolah dapat membentuk tingkah laku yang seimbang di kalangan remaja yang dapat membentuk personaliti seimbang dan unggul pada masa depan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Kawalgejalamurungdiperingkatawal //Article/article_print ARKIB : 22/09/2011 Gangguan emosi perlu ditangani
TAN SRI LEE LAM THYE ialah Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental. KEBELAKANGAN ini, terdapat beberapa kejadian bunuh diri berlaku termasuk dalam kalangan murid sekolah. Walau apa pun puncanya, ia berkaitan dengan masalah emosi atau gangguan terhadap kesihatan mental individu terbabit. Ini menunjukkan terdapat keperluan mendesak kerajaan dan lain-lain pihak berkaitan untuk meningkatkan usaha mempromosi kesihatan mental yang baik kepada rakyat termasuk murid-murid dan warga sekolah. Apa yang menyedihkan, ramai yang tidak mengambil serius perkara ini atau kurang prihatin bagaimana untuk bertindak apabila berhadapan dengan mereka yang menunjukkan kecenderungan membunuh diri atau pun yang mengalami kemurungan. Masalah kesihatan mental terutamanya berkait dengan stress yang tidak dapat ditangani adalah serius dan perlu diberi perhatian supaya gangguan seperti kemurungan atau depression dan cubaan bunuh diri dapat dielakkan. Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia pada 2006 menunjukkan masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3 peratus (%) dan ini menunjukkan peningkatan berbanding 13% pada 1996. Dengan bilangan remaja yang mengalami masalah ini meningkat, pada Januari 2011, Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Kementerian Kesihatan yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan memutuskan supaya satu projek perintis Program Minda Sihat Menangani Stres dilaksanakan di enam buah sekolah menengah di seluruh Malaysia. Program dengan kerjasama Kementerian Pelajaran ini akan mengenalpasti status kesihatan mental murid-murid sekolah melalui saringan tahap stress, keresahan dan kemurungan. Mereka yang dikenalpasti mempunyai masalah ini, akan diberi intervensi sewajarnya termasuk kaunseling dan kemahiran daya tindak kesihatan mental (mental health coping skills). Antara aktiviti promosi kesihatan mental yang boleh dilaksanakan di sekolah termasuk mengenali lebih dekat tentang kesihatan mental di dalam komuniti sekolah melalui ceramah, pameran dan kuiz yang boleh dijadikan aktiviti kokurikulum serta melibatkan PIBG dan kelab sekolah. Sekolah perlu mempunyai lebih ramai kaunselor yang terlatih dengan kemahiran untuk membimbing dan membantu pelajar untuk menguruskan stres.
Kita tidak boleh menafikan bahawa sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan telah menambah tekanan kepada ibu bapa dalam mengharapkan anak-anak menunjukkan prestasi yang baik di sekolah. Walaupun ibu bapa mengatakan bahawa mereka tidak memberi tekanan tersebut, namun anak-anak tahu harapan tinggi itu terhadap mereka. Apabila gagal memenuhinya, kesannya akan memudaratkan mereka. Kita perlu memupuk keyakinan diri anak-anak agar sebarang kegagalan atau kekecewaan dilihat sebagai suatu peluang untuk mencuba semula daripada menjadikannya suatu kekurangan dan akhirnya menyebabkan mereka memilih jalan mudah untuk keluar dari masalah tersebut.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&s ec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz3Ae4ATpx1 Utusan Melayu (M) Bhd http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&s ec=Rencana&pg=re_06.htm