Você está na página 1de 14

1

HUDUD SATU PERBINCANGAN:


TANGGAPAN, SUASANA DAN KEBERKESANAN
Prof Madya Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(web: Minda Tajdid/FB: DrMAZA.com/twit: realDRMAZA)

Islam adalah agama hidayah. Ia mengandungi syariat yang membimbing manusia ke
arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Allah menurunkan syariat berhubung dengan
ibadah khusus atau mahdah seperti solat, puasa, haji dan seumpamanya yang tetap; tidak
boleh diubah atau ditokok tambah. Perubahan zaman dan tempat, tidak mengubah syariat
ibadah yang diturunkan. Jika adapun rukhsah (kelonggaran) seperti jamak dan qasar bagi solat;
ia telah diterangkan oleh nas daripada Allah dan rasulNya. Sementara dalam kehidupan harian
(daily life) yang membabitkan urusan muamalat dan siyasah; secara amnya Islam hanya
menegaskan prinsip-prinsip umum keadilan dan kemaslahatan. Islam tidak mendetilkannya
kerana ia membabitkan soal persekitan individu, zaman dan tempat. Jika ada nas-nas yang
kelihatan memperincikan soal cara keadilan itu dilaksanakan; biasanya nas-nas tersebut
mempunyai dimensi individu, masa dan tempat. Dalam erti kata lain, ia terdedah kepada
perubahan, ada latar individu, masa dan tempat itu berubah. Ini seperti pendetilan tentang
perdagangan, pendetilan pencegahan jenayah dan seumpamanya.
Di sampaing qisas, dalam al-Quran ada disebutkan beberapa jenis hukuman terhadap
jenayah-jenayah tertentu; jenayah curi
1
, jenayah hirabah
2
, jenayah zina
3
, dan qazf
4
. Dalam
hadis pula disebutkan hukuman sebat bagi peminum arak, buang daerah bagi penzina dan
rejam bagi penzina muhsan
5
. Hukuman ini secara umumnya dikategorikan sebagai hudud.
Walaupun, ada perbincangan dalam kalangan sarjana mengenai kedudukan hukuman buang
daerah dan rejam; adakah itu hudud atau tazir.

1
Surah al-Maidah: 38
2
Surah al-Maidah: 33
3
Surah an-Nur: 3
4
Surah an-Nur: 4
5
Adapun hukum rejam, ia telah menimbulkan pertikaian dalam kalangan sarjana mutakhir. Ini kerana ia dilihat
sebagai amat kejam dan bertentangan dengan sifat rahmat Islam. Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah menolak
sama sekali hukuman ini dan menyifatkan undang-undang warisan Yahudi. Sementara yang keras
mempertahankannya dan mengkafirkan sesiapa yang menolaknya. Hakikatnya undang-undang terdapat dalam
hadis, cumanya apakah ia hudud atau takzir. Jika ia hudud bererti tidak boleh diubah. Jika ia takzir bererti
terserah kepada pemerintah untuk melaksana atau tidak. Takzir juga boleh mengikut keperluan semasa. Al-
Syeikh Mustafa az-Zarqa dan Dr Yusuf al-Qaradawi menganggapnya sebagai takzir.(lihat: Fatawa Mustafa az-
Zarqa m/s 392-395. Damsyik: Dar al-Qalam/1420H). Inilah pandangan yang paling munasabah di zaman kini.
Hukuman itu juga boleh menimbulkan salah sangka terhadap Islam oleh masyarakat antarabangsa. Banyak-
banyak yang membuktikan hukuman asal zina hanya sebat.
2

Hukuman ini telah menimbulkan pelbagai tanggapan terhadap Islam. Pandangan dari
dalam dan pandangan dari luar. Kertas ini akan membahaskan beberapa isu dalam
perlaksanaan hudud dan peranannya dalam kehiduapan umat Islam.
Negara Islam dan Hudud
Apabila jatuh Khalifah di Turki dan Kuasa-Kuasa Barat menjajah Dunia Islam, kesedaran
umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanahair Islam berkembang. Selepas
penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara
khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fekah lama. Apa yang wujud adalah nation state
atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri. Dalam proses menstabilkan negara
masing-masing inilah munculnya istilah daulah islamiyyah (islamic state atau negara Islam). Ini
adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak
dikenali sebelum ini. Dahulu yang ada dalam fekah sarjana silam (sebelum penjajahan)
hanyalah istilah Dar al-Islam iaitu Wilayah Islam. Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh
umat Islam dan zahir syiar Islam. Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk
kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam. Ketiga,
Dar al-Muahadah iaitu negara bukan muslim yang membuat perjanjian dengan umat Islam.
Dalam ertikata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan
umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan wujudnya syiar Islam.
Adapun soal sejauh manakah komitmen seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh
umat Islam di bawah tanggung jawab menasihati pemerintah iaitu Amar Makruf dan Nahy
Munkar. Apa negara-negara telah membentuk nation state, para pemerintah muslim ramai
yang mewarisi atau meneladani penjajah dalam menguruskan negara, maka istilah Daulah
Islamiyyah muncul dan dikembangkan. Namun, istilah ini kelihatan akhirnya agak sukar untuk
mendefinasikan. Ini disebabkan negara baru yang dibentuk selepas penjajahan masih lagi
mengikut acuan penjajah namun pemerintahannya berada di tangan umat Islam. Sebagai
bantahan, ada mereka yang melebelkan negara yang diperintah oleh umat Islam pasca penjajah
sebagai negara kafir. Ertinya, mereka melebelkan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fekah
silam sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang diperangi atau dimusuhi. Ini disebabkan
kecelaruan identity negara Islam yang baru muncul dan penilaian siyasah umat Islam itu sendiri
yang masih di peringkat awal. Dalam kalangan pengkaji dan sarjana seperti Fazlur Rahman
menganggap bahawa adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh
Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam
6
.
Mencari definasi yang tersendiri bagi istilah Daulah Islamiyyah memang agak sukar
disebabkan kitab-kitab fekah lama tidak menggunakan istilah tersebut dan sudah pasti tiada

6
Sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications
3

takrifan baginya. Jika memakai penafsiran silam Dar al-Islam yang memberi maksud wilayah
yang dikuasai oleh umat Islam, maka hendaklah diiktiraf negara-negara umat Islam sekarang
adalah daulah Islamiyyah. Maka, ada pula yang enggan pengiktirafan itu dibuat disebabkan
zahirnya unsur-unsur yang bercanggahan dengan Islam. Jika dipakai takrif lain yang dibuat oleh
sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan, solat dan
amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti kebanyakan negara umat Islam hari ini diiktiraf
sebagai daulah Islamiyyah. Ada yang agak tegas enggan juga mengiktiraf hal itu. Lalu ada yang
menyatakan negara Islam atau daulah Islamiyyah itu adalah negara yang sempurna
perlaksanaan Islamnya. Jika takrif ini dipakai, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat
Islam melainkan beberapa khalifah sahaja, selepas al-Khaulafa al-Rasyidin.
Akhirnya, ada yang seakan menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan
hudud. Lalu wujud dalam kalangan umat Islam yang apabila disebut negara Islam terbayang
kepada mereka pencuri dipotong tangan, penzina disebat atau direjam dengan batu, peminum
arak disebat dan seterusnya. Wajah negara Islam atau negara yang ditegakkan oleh Rasulullah
s.a.w itu terbelenggu dengan gambaran darah, kesakitan, tangisan dan wajah bengis para
pemimpinnya.
Gambaran Negara Islam
Menggambarkan negara Islam atau design negara yang diperintah oleh Allah dan
rasulNya sebagai negara hudud adalah gambaran yang tidak tepat. Hudud bukan asas
kenegaraan dalam Islam. Asas kenegaraan dalam Islam menegakkan keadilan dan maslahatan
negara berasas prinsip-prinsip al-Quran dan as-Sunnah. Keadilan dan kemaslahatan rakyat itu
luas maksudnya, dan luas juga cara mencapainya. Tugas kepimpinan negara melaksanakan yang
makruf iaitu segala unsur kebaikan dan kemaslahatan untuk rakyat. Dalam masa yang sama
mencegah yang mungkar iaitu segala unsur yang membawa kemudaratan dan kemerbahayaan
kepada rakyat.
Firman Allah:

(maksudnya): "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan
memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka
menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi
Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Hajj: 41).
Penafsiran perkataan makruf dan munkar hendaklah diluaskan dalam konteks
kehidupan muslim secara umum, dan kenegaraan secara khususnya. Maka dalam negara Islam;
4

keadilan ditegakkan merentasi batasan keturunan, pangkat dan kaum. Tiada beza antara
hukuman terhadap sultan atau raja dengan rakyat biasa. Tiada beza antara orang besar dan
orang bawah. Kemakmuran negara juga dibahagi secara adil dalam kalangan rakyat. Tiada
rasuah, tiada salah guna kuasa. Kepentingan setiap individu dalam negara dipelihara,
kemaslahatan mereka dijaga. Kebajikan negara meliputi setiap lapisan rakyat. atas kebaikan itu;
rakyat mendoakan pemerintah, pemerintah mendoakan rakyat. Suasana cinta dan kasih
tersebar secara meluas. Ini yang disabdakan Nabi s.a.w:

...
7

(maksudnya) Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka
mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat
ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat,
mereka juga melaknati kamu.
Saiyyidina Abu Bakr al-Siddiq menyebut dalam ucapan dasarnya;


8
"Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang
terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku.
Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu
adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan
kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan
haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang
meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku
taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan
untukku".


7
Riwayat Muslim.
8
Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah/1415H.
5

Nasihat Khalifah Muawiyah r.a. kepada Amr bin al-As yang sedang berangkat menuju
ke Mesir untuk menjadi pemimpin di sana. Kata Muawiyah:

9
Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada
kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang
baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang
baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang.
Muhammad bin Kaab al-Qurtubi apabila diminta oleh Umar bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan
keadilan pemerintah, katanya:

10
Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya.
Demikian juga kepada wanita. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan
mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau
termasuk dalam golongan yang melampau.
Khalifah Umar bin Abd al-Aziz sendiri apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau
seakan terngamam dan begitu hiba. beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila
ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila isterinya
Fatimah bertanya, dia berkata:


11
.
Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa.
Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak
berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua
yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan

9
Ibn Muflih, Al-Adab al-Syariyyah, 1/202. Beirut: Muassasah ar-Risalah/1417H.
10
Ibn Muflih, Al-Adab al-Syariyyah, 1/202
11
Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-Alam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi/1407H.
6

seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan
bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup
kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis
Penegakan syariat dalam negara umat Islam berteraskan keadilan dan kemaslahatan. Ini
maqsad di sebalik perintah penegakan hukum dalam kehidupan manusia. Jika ada hukum yang
ditegak atas nama Islam tetapi gagal membawa keadilan kepada kehidupan manusia, maka ia
bukan syariat yang Allah kehendaki sekalipun dipetik dalil-dalil agama dalam
mempertahankannya. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):



12
"Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan
untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat.
Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang
berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya
bukan syariah Islam sekalipun dimasukkan ke dalam syariah secara takwilan".
Itu gambaran umum negara yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Sementara
hudud hanyalah mekanisma mengatasi jenayah. Ia dilaksanakan apabila syarat dipenuhi dan
suasananya kondusif. Jenayah bukanlah pula sesuatu yang merata atau popular dalam negara
yang berteraskan wahyu. Kekurangan jenayah dalam negara menurut Islam, bukanlah
disebabkan hukumannya sahaja, lebih awal daripada itu ialah keadilan yang merata dan
kebajikan serta kemaslahatan rakyat yang dipelihara. Sebab itu jangan hairan, di negara yang
menegakkan kebajikan rakyat sekalipun pemerintah bukan muslim, kadar jenayah mereka
kurang.
Kesukaran
Sesuatu yang wajar diakui bahawa bukannya mudah untuk melaksanakan hudud di
zaman kini, terutama di negara kita yang mempunyai persekitaran yang sangat berbeza
dibanding hari-hari awal hudud dilaksanakan. Dalam masyarakat seperti kita, melaksanakan
hudud tanpa penelitian bagaikan memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk. Ia bukan
menambahkan kecantikan, sebaliknya mungkin merobohkan rumah yang buruk itu dan
merosakkan pintu yang cantik dan berharga itu.

12
Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail
7

Tokoh ilmuwan muslim yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya
Punishment in Islamic Law menyatakan bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat
dua kurun selepas kewafatan Nabi s.a.w hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia muslim.
Sejak zaman Abbasiyah lagi penekanan perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan
kerangka masyarakat seperti mana waktu hudud dilaksana pada awal sudah tiada lagi.
Masyarakat telah berubah terutama selepas peluasan kerajaan Islam
13
.
Dalam The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, John L. Esposito menyebut
bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa negara tetapi tidak
dilaksanakan, ini seperti di Libya (1972-1974), Pakistan (1979) dan Iran (1979). Sementara di
Sudan (1983) dan Utara Nigeria (2000) hanya dilaksanakan beberapa tahun selepas
diperkenalkan, kemudian dihentikan. Pada zaman kini hanya Arab Saudi menjadi contoh dalam
perlaksanaan hudud
14
.
Ada pendapat menyebut bahawa penulisan para pengembara silam yang melawat
pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan perlaksanaan hudud, ini seakan menunjukkan
semacam ia terhenti. Sementara itu tokoh seperti Prof Tariq Ramadan dalam artikelnya An
International Call for Moratorium on Corporal Punishment pula menyeru kepada moratorium
(penangguhan) hudud disebabkan keadaan dunia yang berubah. Demikian juga tokoh fekah
yang terkenal as-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam Fatawa Mustafa al-Zarq meminta agar
hukuman rejam tidak dilaksanakan di zaman kini kerana itu akan menjadi fitnah kepada Islam.
Perubahan keadaan manusia pada zaman ini akan menyebabkan pelaksanaan hukuman
berkenaan memberikan salah terhadap Islam. Beliau mencadang memadaikan sekadar sebat
untuk hukuman zina bagi setiap kategori
15
.
Suasana Yang Kondusif Untuk Hudud
Perlaksanaan hudud hendaklah mengambil kira persoalan suasana hudud itu dilaksanakan.
Ini kerana suasana yang tidak conducive akan menyebabkan kesan negatif kepada perlaksanaan
sesuatu hukuman. Ini kerana Nabi s.a.w sendiri mengambil kira persoalan ini. dalam hadis Nabi
s.a.w bersabda:

16

Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan .
Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut: Sebahagian ilmuwan
berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auzai, mereka berpendapat tidak dilaksanakan
hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang

13
Lihat: Mohamed S. El-Awa, Punishment in Islamic Law, 136-137. USA: American Trust Publications.
14
Lihat: John L. Esposito, The Oxford Encyclopedia of The Islamic World, 2/449. Oxford University Press.
15
Fatawa Mustafa al-Zarqa, 394-395. Damsyik: Dar al-Qalam.
16
Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi. Hadis dinilai sahih oleh al-Albani.
8

dihukum itu akan pergi menyertai musuh.
Dalam riwayat Abu Daud:


17

Ini bererti, perlaksanaan hudud yang membawa kepada umat Islam lari atau salahfaham
terhadap Islam, atau Islam ditohmah dengan tuduhan liar sehingga menggugat keimanan umat
Islam yang lain patut dielakkan.
Hari ini suasana berubah, media massa sering digunakkan untuk memberikan imej yang
salah mengenai Islam. Persediaan ke arah menangani hal itu juga amat penting.
Perjuangan Mengujudkan Suasana Yang Kondusif
Nabi s.a.w sebelum menegaskan tentang hudud, baginda mengujudkan suasana
keadilan yang menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda. Pemerintah dan
rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang. Tiada diskriminasi keturunan dan latar
belakang. Suanana kebajikan; bantu membantu, tolong menolong antara masyarakat yang
kukuh. Jaminan hak rakyat yang diberikan. Suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak,
fasakh, khuluk dan selainnya. Tiada alasan untuk lelaki ataupun wanita berzina. Sementara
suasana haram yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara haram.
Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada alasan rakyat memilih yang haram. Jika
ada memilih yang haram juga, maka memang layak dihukum; pertama kerana dia telah
mencemarkan suasana harmoni yang telah diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa
yang berat yang condong memilih buruk sekalipun sukar dan menolak yang halal sekalipun
mudah.
Perjuangan penting kita pada hari ini, ialah mengujudkan suasana yang kondusif ini
sebelum sesuatu undang-undang ini dilaksanakan. Ini kerana, jika undang-undang hudud
dilaksanakan; dihukum orang bawahan ; dilepas orang atasan, dihukum penzina ; diketatkan
perkahwinan serta disusahkan talak dan fasakh, dihukum peminum arak, digalakkan gambaran
arak, dihukum pencuri; dihalang hak rakyat serta dibiarkan rasuah dan salah guna harta negara
dalam kalangan golongan atasan, dihukum pemberontak; dibiarkan kezaliman penguasa dan
seterusnya, sudah pastilah hudud tidak dapat dilihat keindahannya.


17
Riwayat Abu Daud. Dinilai sahih oleh al-Albani.
9

Bahkan jika dilaksanakan hudud dalam suasana yang seperti itu, hanya membinasakan
masyarakat. Rasulullah s.a.w menyebut:

18
Wahai manusia! Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu
apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang
yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika
Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya.



Membezakan Jenis Jenayah
Dalam hudud ada dua jenis dosa yang dihukum; pertama; dosa yang membabitkan
kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak. Dosa bahagian ini lebih
kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri. Kedua; dosa yang merosakkan atau mengancam

18
Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
10

keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri, memberontak dan
perkara yang berkaitan dengannya.
Dosa bahagian pertama Islam melarang kita melakukan tajassus ataupun intipan.
Sementara dosa bahagian kedua, oleh kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar
dari tajassus, maka intipan boleh dilakukan. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani
(meninggal 1250H): Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam
hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan kerana ia termasuk dalam tajassus yang dilarang
berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana
membantah kemunkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan
meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau
mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa
pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar
mengetahui
19
.
Tiada Tajassus Bagi Dosa Peribadi
Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti privacy individu akan
terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum arak.
Ini diburukkan lagi dengan gambaran perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak
penguatkuasa agama di sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang spy dalam
mencari pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat salah dan bercanggah dengan firman Allah dalam
Surah al-Hujurat ayat 12:

(maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya
kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari
sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut: Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara
yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak
mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk
mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika
mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik
untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan
kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan

19
Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah/1405H.
11

peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak
boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan
20
.
Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada Abd ar-Rahman bin
Auf :

. :

21
Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah.
Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun
pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada
sekumpulan orang dengan suara yang kuat. Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan
Abd ar-Rahman-: Kau tahukah ini rumah siapa?. Jawab: Tidak. Kata Umar: Ini rumah
Rabiah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?. Kata
Abd ar-Rahman: Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah
berfirman: Jangan kamu mengintip. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan
meninggalkan mereka.
Lihatlah, inilah pemeliharaan hak privacy peribadi yang dipertahankan oleh Islam.
Justeru, al-Qaradawi di tempat lain menyebut: Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat.
Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan
menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya
secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu
rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis
"barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya. Dikaitkan
kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan
dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan
hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak
menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat.
Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara
terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang

20
http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.
21
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi. Juga al-Baihaqi dalam as-
Sunan al-Kubra.
12

menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan
kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):"Setiap
umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)" (Riwayat al-
Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan
hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian
22
.
Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din telah menyebut
mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-
Maruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy An al-Munkar
(pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan. Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam
al-Ghazali ialah: Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu
melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan
mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Taala telah melarang hal
ini. Kisah Umar dan Abd al-Rahman bin Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah
menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang
diriwayatkan bahawa Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam
keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah Umar dan berkata: Jika aku
menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga
perkara. Umar bertanya: Apa dia?. Dia berkata: Allah taala telah berfirman (maksudnya:
Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah
melakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya).
Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah
kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih
dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak
memberi salam. Maka Umar pun meninggalkannyaMaka ketahuilah bahawa sesiapa yang
mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang
memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali
jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..
23
.
Mengujudkan Masyarakat Yang Pemaaf
Pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes
hudud kepada pihak mahkamah atau berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan
antara rakyat dan diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw.


22
Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq/1997M.
23
Al-Ghazali, Ihya Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990.
13

: {

}
24
Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi s.a.w lalu diperintahkan agar
dipotong tangan. Wajah Rasulullah s.a.w seakan kecewa sedih. Mereka berkata: Wahai
Rasulullah! Seakan engkau membenci hal ini. Jawab Nabi s.a.w: Mengapa tidaknya aku benci,
kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak
wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan. Lalu
baginda membaca firman Allah: Hendaklah kamu maafkan dan lupakan kesalahan, tidakkah
kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah an-Nur: 22)
Persediaan Jiwa dan Akhlak Masyarakat
Pemerintah bukan sahaja melaksanakan hukum, tetapi dalam hendaklah mendidik
akhlak masyarakat agar menghormati pihak yang dihukum. Dilarang masyarakat menghina
pihak yang hukum seakan tiada ruang kebaikan untuknya. Jika tidak, perlaksanaan itu akan
menambahkan kerosakan kepada penjenayah. Dalam riwayat al-Imam al-Bukhari daripada Abu
Hurairah, beliau berkata:

Dibawa kepada Nabi s.a.w seorang yang mabuk (minum arak), maka baginda memerintahkan
agar dipukul, maka dalam kalangan kami ada yang memukulnya dengan tangan, ada yang
memukul dengan selipar dan ada pula yang memukulnya dengan kainnya. Apabila selesai,
seseorang berkata: Allah telah menghinanya. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: Jangan
kamu menjadi pembantu syaitan (merosakkan) saudara kamu.
Hudud Memerlukan Ijtihad Baru
Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan as-
Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal
perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru
kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden
dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan.
Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.

24
Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Dihasankan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah.
14

Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai
mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan
hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir (discretionary punishment).
Hukuman rejam pula patut mengambil kira pandangan yang memasukkannya di bawah
takzir, bererti pemerintah boleh meminda dan menukar atau membatalkannya. Di samping
tafsiran ihsan itu hendaklah disempitkan kepada maksud lelaki ataupun perempuan yang masih
berkahwin bukan yang pernah berkahwin. Ini kerana pengkhianatan kepada pasangan dan
keluarga sesuatu yang amat buruk. Di samping takzir, hukuman rejam mempunyai suasana
zaman yang berbeza, itupun perlu diambil kira dalam membahaskannya.



Bukanlah dalam kertas ini untuk dibahaskan perincian hukum dan ijtihad tersebut. Namun, ini
sebagai lontaran untuk diberikan perhatian oleh para pengkaji.
Penutup
Jika suasana kondusif, perubahan zaman dan tempat diambil kira dalam pelaksanaan
hukuman, maka kita akan dapati hudud mencapai matlamat pencegahan, pendidikan dan
dalam masa yang sama menonjolkan keindahan hukuman tersebut.
Jika tidak, hukuman itu akan membawa fitnah dan salah sangka terhadap Islam. Saya
selalu sebutkan hudud bagaikan wanita yang baik, ia akan indah jika bersuamikan lelaki yang
baik. Namun keindahannya akan hilang jiwa berada di bawah suami yang fasik dan rosak.

Você também pode gostar