Você está na página 1de 5

Tajuk : Bagaimanakah kemahiran berfikir aras tinggi dapat dikembangkan secara

berkesan dalam pembelajaran Matematik khususnya tajuk yang anda pilih di sekolah
rendah.

Oleh : Amira Hafiza Binti Mohamad

Dalam usaha kita untuk bersaing dengan negara-negara termaju di dunia, sistem
pendidikan kita perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu
berfikir secara kritis dan kreatif serta berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat
global. Untuk itu, langkah mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam
sesi pengajaran dan pembelajaran disekolah perlu digiatkan supaya dapat menaikkan
prestasi negara khususnya dalam persaingan peringkat antarabangsa terutama dalam
pentaksiran Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in
International Mathematics and Science Study (TIMSS) yang dinyatakan dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan 2013-2015.
Apa itu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)?
Definisi yang dikeluarkan oleh kementerian Pelajaran Malaysia ialah Kemahiran
berfikir aras tinggi (KBAT) merupakan keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan,
kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan
masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. Secara
umumnya KBAT melibatkan kemahiran intelek yang tinggi. Kemahiran ini kebiasaannya
melibatkan empat aras teratas dalam Taksonomi Bloom iaitu mengaplikasi, menganalisa,
menilai dan mencipta. KBAT juga mengaplikasikan pemikiran secara kritikal, pemikiran kreatif,
pemikiran logikal, pemikiran reflektif dan meta kognitif.
Secara mudahnya murid mencerap sesuatu data atau maklumat kemudian diproses
dalam minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam pelbagai bentuk. Kemahiran berfikir ini
juga dikatakan sebagai berfikir secara kritis dan kreatif. Dengan memiliki kemahiran ini murid
bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas serta mengenal pasti sebab
dan akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri. Andai kata diberikan suatu
soalan, maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru dan melihat
soalan tersebut daripada pelbagai sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran yang
berbentuk kreatif, inovatif dan mereka cipta dalam kalangan murid.
Seterusnya, apa yang ingin difokuskan di sini ialah bagaimana kemahiran berfikir aras
tinggi dapat dikembangkan secara berkesan dalam pembelajaran matematik di sekolah
rendah khususnya bagi tajuk yang telah saya pilih iaitu Isipadu Cecair Tahun 2. Kemahiran
berfikir aras tinggi ini dapat dikembangkan dengan guru dapat memastikan murid
mengaplikasikan empat aras teratas dalam Taksonomi Bloom seperti yang telah
dinyatakan tadi iaitu mengaplikasi, menganalisa, menilai dan mencipta dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran matematik. Ini bermakna guru perlu merancang soalan,
tugasan dan aktiviti yang menuntut murid berfikir, berlatih berfikir secara berterusan serta
menilai pemikiran mereka dan pemikiran individu lain.
Dalam tajuk isipadu cecair, murid dibimbing untuk mengenal unit milliliter dan liter,
menyukat dalam unit milliliter dan liter serta menganggar dalam unit milliliter dan liter.
Berdasarkan rancangan pengajaran bagi topik isipadu cecair yang telah saya sediakan, dapat
dilihat fokus akiviti-aktiviti pembelajaran yang dirancang adalah berasaskan KBAT. Pada fasa
permulaan, saya menyediakan beberapa alat yang digunakan untuk menyukat isipadu cecair
seperti bikar, jag penyukat, silinder penyukat, dan picagari. Tanpa memberitahu murid-murid
apa yang akan dipelajari pada hari ini, saya cuba mencungkil pengetahuan sedia ada mereka
dengan bertanya sekiranya mereka tahu apakah objek-objek yang saya tunjukkan dihadapan ini
dan apakah kegunaannya. Saya menggunakan bahan bantu belajar yang pelbagai sebagai
ransangan untuk menjana kemahiran membuat inferens dan penaakulan kritis murid.
Ketika murid membuat pemerhatian terhadap objek-objek tersebut berlakunya proses
mengaplikasi dalam minda mereka. Aplikasi ialah kebolehan kognitif dalam menggunakan
prinsip dan generalisasi tentang sesuatu masalah dalam situasi baharu. Pada peringkat ini
murid telah pun mempunyai pengetahuan sedia ada berasaskan pengalaman lepas. Namun
murid masih boleh menggunakan pengetahuan tersebut untuk menyelesaikan permasalahan
yang baharu. Hal ini kerana sesuatu permasalahan yang baru mengandungi sedikit elemen
yang berbeza daripada masalah sebelumnya.
Murid-murid memerhati objek-objek tersebut dan menghubungkaitkan dengan
pengalaman dan pengetahuan sedia ada mereka untuk menjawab soalan saya. Pelbagai
jawapan yang saya terima dari semua murid dan saya biarkan dahulu semua murid
memberikan idea mereka. Dari situ saya bimbing mereka dengan memberikan klu satu per satu
sehingga akhirnya mereka dapat membuat satu keputusan dan memberikan jawapan yang
tepat kepada soalan-soalan saya. Setelah mereka tahu apa objek-objek tersebut dan
kegunaannya untuk menyukat isipadu cecair barulah mereka dapat meneka tajuk yang akan
dipelajari. Dengan ini sedikit sebanyak saya telah meransang minda dan menyediakan mereka
untuk mempelajari tajuk ini serta dapat mendorong mereka untuk mengutarakan apa sahaja
pendapat atau idea mereka mengenai tajuk isipadu cecair ini.
Pada fasa imaginasi pula, dalam aktiviti satu saya telah meminta murid untuk
memadankan kad imbasan unit isipadu cecair iaitu milliliter dan liter dengan kad imbasan
simbol unit tersebut iaitu dan . Saya memberi peluang kepada murid menjalankan analisa
mengenai unit sukatan dan simbol yang ada supaya mereka dapat memadankannya dengan
betul. Analisa ialah murid memisahkan maklumat kepada beberapa bahagian kecil supaya
boleh memahami sesuatu perkara dengan lebih jelas. Setelah mereka menganalisa kedua-
duanya barulah mereka dapat memadankan unit dan simbol dengan betul iaitu mililiter dan
liter . Begitu juga dalam aktiviti dua di mana beberapa orang murid dipanggil untuk
memadankan alat-alat menyukat isipadu cecair mengikut unit liter dan mililiter. Murid-murid
perlu menganalisa setiap alatan tersebut bagi mengelaskannya mengikut unit yang betul.
Selain itu saya juga telah mengaitkan topik yang dipelajari dengan situasi sebenar
dalam kehidupan mereka supaya pemikiran mereka lebih meluas dan tidak hanya dalam
ruang lingkup bilik darjah sahaja iaitu dari segi teori. Saya menyoal kepada murid pernahkah
mereka melihat atau melakukan sendiri perbuatan menyukat isipadu cecair ini. Murid-murid
menjawab dengan teruja, ada yang pernah menyukat isipadu air, isipadu ubat dengan menuang
ubat ke dalam penutp botol ubat da nada yang pernah melihat ibu mereka membancuh susu di
dalam botol susu. Jawapan yang dikehendaki tidak semestinya mereka perlu menyukat sendiri
dengan menggunakan alat-alat seperti bikar, silinder penyukat atau sebagainya tetapi cukup
sekadar mereka pernah mengalami pengalaman itu sama ada melakukan sendiri atau melihat
orang lain melakukannya. Dengan adanya hubungkait ini, dapat mendorong murid untuk
memikirkan aplikasi tajuk ini dalam kehidupan mereka dan seterusnya pemikiran mereka akan
lebih mencapah dan menjadi lebih kritis dan berinovasi.
Murid-murid juga telah menjalankan proses menganalisis dan mencipta (mensintesis)
sewaktu menjalankan aktiviti kumpulan dalam fasa perkembangan. Dalam aktiviti kumpulan
tersebut, murid-murid dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan mereka dikehendaki
mengelaskan gambar barang-barang keperluan mengikut unit liter dan mililiter berdasarkan
maklumat sukatan isipadu cecair yang terdapat pada gambar-gambar tersebut. Sepertimana
yang berlaku di fasa imaginasi, murid-murid menganalisa gambar-gambar tersebut sebelum
mereka mengelaskannya. Yang berbeza di sini ialah dalam fasa imaginasi mereka
mengelaskan gambar alatan menyukat tetapi di fasa perkembangan ini mereka mengelaskan
gambar barang-barang keperluan yang biasa mereka lihat dalam kehidupan harian mereka.
Tujuan saya menggunakan gambar-gambar ini adalah supaya mereka dapat mengaitkan tajuk
yang dipelajari di bilik darjah ini dengan kehidupan seharian mereka.
Selain daripada menganalisa, murid-murid juga menjalankan proses mencipta ataupun
mensintesis di maklumat dikumpul dan seterusnya membina struktur baru yang berbeza
daripada keadaan yang asal. Murid-murid mensintesis kembali idea-idea yang telah
dibincangkan dalam fasa-fasa sebelum ini untuk membantu mereka membuat pengelasan bagi
barang-barang keperluan tersebut mengikut unit liter dan mililiter. Bagi menjalankan aktiviti ini,
murid perlu tahu dan pasti mengenai unit dan simbol yang terlibat. Kerana itu mereka perlu
menjalankan proses mensintesis supaya mereka dapat membina hipotesis bahawa simbol
mewakili unit liter manakala simbol mewakili unit mililiter. Dengan ini barulah mereka dapat
mengelaskan gambar barang-barang keperluan tersebut.
Akhir sekali ialah murid membuat penilaian terhadap topik yang dipelajari sewaktu fasa
terakhir iaitu fasa penutup. Menilai ialah kebolehan membuat pertimbangan dengan
menggunakan kaedah dan kriteria yang piawai untuk menentukan kesesuaian, ketepatan,
kecekapan, keberkesanan tentang nilai, makna, pendapat, penyelesaian, prosedur, produk
dan sebagainya. Dalam fasa penutup ini murid diberikan lembaran kerja untuk dijawab bagi
mengukuhkan pemahaman mereka terhadap topik yang dipelajari. Soalan-soalan yang
diberikan sebenarnya memainkan peranan dalam mendorong murid untuk mengembangkan
KBAT dimana soalan juga perlu berunsur KBAT. Selain dari soalan bertulis yang diberikan
dalam bentuk lembaran kerja, soalan secara lisan juga diberikan. Soalan yang dikemukakan
adalah soalan yang membolehkan murid untuk mengaplikasi, menganalisa, mensintesis dan
menilai suatu maklumat daripada sekadar menyatakan semula fakta atau hanya mengingati
fakta yang telah dipelajari.
Onosko dan Newmann (1994) menjelaskan bahawa Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(higher-order thinking skill) didefinisikan sebagai penggunaan minda secara meluas untuk
menghadapi cabaran-cabaran baru. Penggunaan minda secara meluas berlaku apabila
seseorang itu perlu mentafsir, menganalisis atau memanipulasi maklumat yang baru diperolehi
untuk menjawab soalan atau menyelesaikan masalah yang dikemukakan. Ini bermakna jika
murid hanya mengaplikasikan pengetahuan sedia ada untuk menjawab atau menyelesaikan
masalah dalam situasi baru tanpa mengaitkan dengan pengetahuan baru, berkemungkinan
murid tidak akan dapat memberikan hasil yang terbaik. Mengikut Zevin (1995) pula, pada
kebiasaanya KBAT merupakan perluasan maklumat yang sedia ada dalam minda untuk
menghasilkan sesuatu yang baru atau asli. Soalan-soalan yang mempunyai pelbagai
kemungkinan penyelesaian merupakan pencetus kepada KBAT. Soalan seperti ini biasanya
bersifat lebih terbuka di mana jawapannya lebih pelbagai dan murid-murid bebas mengutarakan
idea dan buah fikiran masing-masing. Ini sangat penting untuk melatih mereka berfikir bukan
sahaja secara di luar kotak tetapi juga secara mencapah, kereatif dan kritis.
Seterusnya guru berbincang dengan murid untuk membuat rumusan mengenai topik
yang dipelajari. Ketika inilah murid menilai kembali kesemua yang telah dilaksanakan
sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan dan seterusnya membuat
kesimpulan mengenai topik isipadu dan cecair. Untuk membuat kesimpulan, murid mencipta
pengetahuan baru bagi mereka. Mencipta ialah menyatukan elemen untuk membentuk idea
atau struktur yang baharu. Murid menggabungkan input-input yang diterima sebelum
kemudiannya membuat generalisasi mengenai topik isipasu cecair. Saya mendengar
kesimpulan yang dibuat oleh beberapa orang murid terlebih dahulu dan kemudiannya saya
menggabungkan idea mereka menjadi satu kesimpulan yang mudah. Murid akhirnya mendapat
pengetahuan baru di mana dalam isipadu cecair, unit yang digunakan ialah liter dan milliliter,
simbol bagi keduanya pula ialah dan dan murid dapat mengetahui bahawa unit mililiter
digunakan untuk isipadu yang lebih kecil berbanding dengan liter.
Kesimpulannya, bagi mengembangkan kemahiran berfikir aras tinggi secara berkesan
dalam pembelajaran Matematik di sekolah rendah guru perlu memainkan peranan yang sangat
penting. Guru sendiri perlu menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi supaya dapat
memberikan yang terbaik kepada murid-murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. KBAT
ini amat penting kerana ia dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia ada pada
murid. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran yang telah
mereka kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif dan berdaya saing.
Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan memperkukuh pembelajaran
dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti. Usaha untuk mengembangkan
Kemahiran berfikir Aras Tinggi ini dalam kalangan murid terutamanya di sekolah rendah akan
membantu menghasilkan modal insan yang cerdas, kreatif dan inovatif bagi memenuhi cabaran
abad ke-21 agar negara dapat besaing di persada dunia.
(1670 patah perkataan)

Você também pode gostar