Você está na página 1de 7

ATURAN-ATURAN

SIMPANAN KHAS ANGGOTA



1 TAJUK

1.1 Aturan ini adalah dinamakan Aturan Simpanan Khas Anggota Koperasi
Perumahan Angkatan Tentera Berhad.

1.2 Peraturan ini diwujudkan di bawah undang-undang kecil 56 dan dikuatkuasakan
selepas persetujuan dan kelulusan mesyuarat agung tahunan Koperasi ini.

2. TAFSIRAN

2.1 Di dalam peraturan ini, melainkan ada ada sesuatu perkara atau perkataan yang
berlainan maknanya maka tafsiran berikut adalah dipakai :-

Akta ertinya Akta Koperasi 1993 dan pindaan yang dibuat kepadanya dari
semasa ke semasa;

aturan ertinya aturan-aturan yang dibuat oleh Lembaga dari semasa ke
semasa bagi melaksanakan mana-mana aktiviti yang dijalankan oleh Koperasi
tertakluk kepada peruntukan Akta Koperasi 1993, Peraturan, Undang-undang
Kecil dan kelulusan mesyuarat agung;

garis panduan ertinya garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya
Koperasi Malaysia kepada Koperasi dari semasa ke semasa;

Koperasi atau "Koperasi ini" ertinya Koperasi Perumahan Angkatan Tentera
Berhad;

Lembaga ertinya badan pengelola Koperasi ini yang kepadanya pengurusan
hal-ehwal Koperasi ini diamanahkan, sebagaimana yang ditakrifkan menurut
seksyen 2 Akta Koperasi 1993;

pengurusan berhubung dengan Koperasi ertinya seorang pengerusi, naib
pengerusi, setiausaha, bendahari atau mana-mana anggota lain Lembaga, dan
termasuklah ketua pegawai eksekutif, mana-mana orang yang diberi kuasa oleh
Lembaga, Peraturan atau perintah atau Undang-undang Kecil untuk memberi
arahan berkenaan dengan urusan Koperasi ini, atau mana-mana pekerja,
sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;

Peraturan ertinya peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta Koperasi
1993 dan pindaan yang dibuat kepadanya dari semasa ke semasa;

pulangan termasuklah apa-apa bentuk sewaan, pulangan, dividen atau
faedah, termasuk apa-apa fi atau hadiah, yang kena dibayar atau akan diberikan
berhubung dengan apa-apa urusniaga, transaksi atau surat cara, sebagaimana
yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;

simpanan khas ertinya wang yang didepositkan oleh seseorang anggota
dengan Koperasi ini dengan niat nyata untuk menggunakan wang yang
didepositkan untuk suatu maksud yang dinyatakan yang dibenarkan di bawah
Peraturan, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi
1993;

Suruhanjaya ertinya Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang ditubuhkan di
bawah Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007, sebagaimana yang ditakrifkan
menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993; dan

Undang-undang Kecil ertinya Undang-undang Kecil berdaftar yang dibuat
oleh Koperasi ini pada menjalankan apa-apa kuasa yang diberikan oleh Akta
Koperasi 1993 dan termasuklah sesuatu pindaan berdaftar Undang-undang
Kecil, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993.

3. TUJUAN & OBJEKTIF

3.1 Tujuan Simpanan Khas Anggota ini ialah untuk :-

a) Membiayai dan menjana keperluan kewangan sesuatu projek yang
dikenalpasti dan diluluskan oleh Lembaga dan Suruhanjaya sepertimana
prospektus diterbitkan dan dinyatakan;

b) Memberi peluang kepada anggota menyertai projek-projek yang diceburi oleh
Koperasi secara langsung;

c) Menambah pilihan instrumen pelaburan kepada anggota pelbagai produk
pelaburan dalam bentuk bon, debentur, saham, deposit tetap, modal teroka,
pajakan, pemaktoran dan sebagainya termasuk instrumen berasaskan
syariah seperti simpanan (al-wadiah), deposit tetap (al-mudharabah),
pembiayaan projek (al-musyarakah), jaminan (al-kafalah), bon Islam (sukuk),
pajakan (al-ijarah, al-tajri), sewa beli (bai-bithaman ajil), pembiayaan khas
atau kebajikan (qadrul-hassan) dan sebagainya; dan

d) Menceburi pelbagai projek pembangunan oleh Koperasi melalui dana yang
dijana oleh anggota dan dikongsi secara bersama dengan Koperasi dalam
situasi menang menang.

4. SUMBER KEWANGAN

4.1 Koperasi membuka tawaran kepada anggota dalam tempoh yang ditetapkan
mengikut kadar dan kelayakan untuk anggota membuat simpanan melalui jenis
instrumen yang ditawarkan di dalam prospektus yang diluluskan oleh
Suruhanjaya.

4.2 Anggota yang berminat menerima tawaran melalui dokumen yang disediakan
oleh Koperasi dan dilengkapkan dengan menyertakan bayaran bagi maksud
instrumen yang ditawarkan dan akan menjadi kontrak yang mengikat untuk
Koperasi memenuhi obligasi sebagaimana yang ditawarkan.

4.3 Penerimaan dan pengambilan simpanan khas anggota, pemulangan,
pengembalian atau penyerahan balik simpanan khas tersebut berserta faedah
atau pulangan dalam bentuk tunai atau apa-apa nilaian wang serta penetapan
jangka masa (tempoh) matang simpanan khas anggota dinyatakan dengan jelas
kepada anggota melalui prospektus dan dokumen yang disediakan.

5. KEGUNAAN KEWANGAN

5.1 Setiap jenis instrumen yang ditawarkan akan menyatakan dengan jelas tujuan
kegunaan simpanan khas anggota tersebut digunakan.

5.2 Lembaga perlu memastikan semua kewangan dari instrumen tersebut digunakan
khusus untuk tujuan projek yang dinyatakan pada prospektus yang tidak akan
menggunakannya bagi tujuan lain.

5.3 Apa-apa perolehan dari projek yang dijana dari simpanan khas anggota ini
hendaklah dimasukkan semula ke dalam instrumen tersebut untuk sehingga
akhir projek tersebut disiapkan dan disempurnakan dan instrumen tersebut
dibubarkan.

6. TAHUN KEWANGAN

6.1 Tahun kewangan bagi semua jenis instrumen yang ditawarkan melalui simpanan
khas anggota hendaklah bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31
Disember tiap-tiap tahun.

7. PENGURUSAN

7.1 Simpanan khas anggota ini hendaklah ditadbirkan oleh Lembaga.

7.2 Akaun berasingan diwujudkan bagi menunjukkan sumber dan penggunaan dana.

7.3 Dana hendaklah disenggara dalam akaun yang berasingan daripada aktiviti lain.

7.4 Lembaga hendaklah bertanggungjawab bagi memastikan

(a) dasar dan piawaian pengambilan simpanan khas adalah:

(i) sepadan dengan aktiviti sepertimana termaktub dalam undang-
undang kecil; dan
(ii) bersesuaian dengan kekukuhan modal, kepakaran pengurusan
dan risiko koperasi;

(b) pengambilan simpanan khas adalah bersesuaian dengan objektif aktiviti
perniagaan dan halatuju koperasi;

(c) aturan-aturan sentiasa dikaji dari semasa ke semasa dan dipinda
sekiranya perlu;

(d) koperasi dalam setiap masa mengamalkan tadbir urus yang baik;

(e) pengurusan koperasi yang dipertanggungjawab mempunyai keupayaan
untuk mengurus aktiviti pengambilan simpanan khas;

(f) proses pengurusan risiko dalam aktiviti pengambilan simpanan khas
adalah mencukupi dan berfungsi;

(g) suatu sistem penyeliaan yang teratur diwujudkan dalam hal pengurusan
pengambilan simpanan khas oleh koperasi;

(h) pengurusan likuiditi iaitu pengurusan keperluan mudah tunai minimum
dan aset-liabiliti disenggara dengan cekap dan berkesan;

(i) produk pengambilan simpanan khas yang disediakan tidak
memudaratkan penyimpan/pendeposit; dan

(j) apa-apa promosi produk pengambilan simpanan khas tidak bersifat
mengelirukan penyimpan/pendeposit.

7.5 Lembaga hendaklah memantau prestasi portfolio pengambilan simpanan khas
melalui laporan berkala. Sekurang-kurangnya pada setiap suku tahun, Lembaga
diberi taklimat oleh pengurusan mengenai keseluruhan portfolio pengambilan
simpanan khas. Lembaga hendaklah mengkaji dan mengambil perhatian
terhadap perkara-perkara berikut:

(a) prestasi simpanan khas;
(b) kadar faedah atau pulangan ke atas simpanan khas;
(c) pengurusan aset dan liabiliti koperasi dan kesannya terhadap kewangan
koperasi; dan
(d) kawalan dalaman yang berkesan.

7.6 Kakitangan pengurusan bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar
pengambilan simpanan khas sebagaimana diluluskan oleh Lembaga dan
bertanggungjawab menyediakan prosedur-prosedur yang perlu untuk
dilaksanakan.

7.7 Tanggungjawab kakitangan pengurusan termasuk mewujudkan

(a) saluran komunikasi yang teratur dan jelas mengenai dasar pengambilan
simpanan khas untuk dipatuhi oleh pegawai yang terlibat;

(b) prosedur operasi yang mencukupi dan berkesan serta kawalan dalaman
untuk mengenalpasti, mengukur dan mengawal risiko pengambilan
simpanan khas dalam usaha melaksanakan dasar dan piawaian yang
telah ditetapkan oleh Lembaga;

(c) sistem pengurusan maklumat yang mencukupi dan berkesan untuk
memastikan laporan prestasi pengambilan simpanan khas boleh
disediakan dengan cepat, tepat dan berinformasi;

(d) modal insan yang kompeten dan mencukupi di samping wujudnya
penilaian prestasi yang berkaitan aktiviti pengambilan simpanan khas;

(e) melaporkan kepada Lembaga koperasi mengenai semua aspek
pengambilan simpanan khas; dan

(f) memaklumkan pendedahan risiko dan kualiti pengambilan simpanan
khas serta perkembangan kajian semula ke atas keseluruhan portfolio
pengambilan simpanan tersebut sekerap yang mungkin.

8. JAWATANKUASA AUDIT DALAMAN

8.1 Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) hendaklah memastikan wujudnya kawalan
dalaman, pengurusan risiko dan prosedur pengambilan simpanan khas. Di
samping itu, JAD perlu memastikan infrastruktur berkenaan adalah mencukupi,
dipatuhi dan berfungsi.

9. PENGURUSAN RISIKO

9.1 Pengurusan risiko ialah suatu proses untuk melindungi sumber dan aset
koperasi daripada kerugian. Amalan pengurusan risiko yang berkesan dapat
mengawal atau mengurangkan tahap kerugian yang akan dialami oleh koperasi.

9.2 Sehubungan itu, Lembaga melalui Jawatankuasa Pengurusan Risiko, sekiranya
ada, bertanggungjawab mengamalkan teknik pengurusan risiko yang berkesan
dengan mewujudkan:

(a) rangka kerja dan tatacara yang mencukupi bagi mengenalpasti,
memantau dan mengawal risiko;
(b) prosedur operasi pengambilan simpanan khas yang mencukupi dan
berkesan; dan

(c) proses kawalan dalaman untuk menilai, mengukur, mengawal, memantau
dan melaporkan segala jenis risiko.

9.3 Dasar dan prosedur pengurusan risiko hendaklah diluluskan oleh Lembaga
koperasi dan didokumenkan.

10. PROSPEKTUS

10.1 Sebelum melaksanakan aktiviti pengambilan simpanan khas anggota, suatu
prospektus khas dikeluarkan kepada anggota-anggota untuk menerangkan
perihal produk tersebut yang lebih khusus dan menjurus kepada matlamat
simpanan tersebut diadakan.

10.2 Prospektus tersebut hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya maklumat
tersebut :-

a) pengenalan produk pengambilan simpanan khas;
b) saiz dana;
c) simpanan minima, maksima dan penebusan;
d) jangkasama ditawarkan;
e) maklumat terperinci;
f) prestasi produk sepertinya (yang terdapat di pasaran);
g) unjuran perolehan pendapatan dan pulangan;
h) fi, caj dan perbelanjaan yang terlibat (termasuk caj penalti ke atas
pengeluaran pra matang);
i) faedah atau pulangan;
j) pengurusan dana; dan
k) pengisytiharan oleh Lembaga bahawa produk tersebut telah mematuhi garis
panduan Suruhanjaya.


11. PELABURAN

11.1 Semua sumber dana yang diperoleh dari simpanan khas anggota tersebut bagi
sesuatu tujuan khusus hendaklah digunakan bagi tujuan sepertimana yang
disebutkan dalam prospektus tersebut.

11.2 Penggunaan bagi maksud lain adalah dilarang.

12. PENETAPAN KADAR PULANGAN

12.1 Penetapan kadar pulangan ke atas pengambilan simpanan khas hendaklah
berdasarkan kepada keperluan pendanaan dan strategi perniagaan Koperasi.
Walau apapun, Koperasi hendaklah memastikan pemberian pulangan ke atas
simpanan khas dan adalah berpatutan agar ia memberi pulangan kompetitif
kepada anggota (penyimpan atau pendeposit) tetapi tidak membebankan
Koperasi.

13. PENEBUSAN
13.1 Penebusan atau pengeluaran bagi Simpanan Khas dibuat pada atau selepas
tarikh matang sepertimana disebutkan dalam prospektus.

13.2 Pengeluaran yang dibuat sebelum tarikh matang akan dikenakan caj dan fi yang
ditetapkan sepertimana yang dinyatakan pada prospektus tersebut.

14. PEMATUHAN PRINSIP SYARIAH
14.1 Bagi maksud menjalankan aktiviti pengambilan simpanan khas berlandaskan
prinsip Syariah, koperasi hendaklah merujuk kepada Panel Syariah yang dilantik.

15. AUDIT
15.1 Akaun Simpanan Khas Anggota ini hendaklah diaudit bersekali dengan lain-lain
akaun Koperasi setahun sekali.

16. PENGGANTUNGAN
16.1 Jika kedudukan Simpanan Khas Anggota Koperasi ini mengalami kesulitan di
segi kewangan, maka Lembaga hendaklah menggantung akan aktivitinya
sehingga kesulitan kewangan itu dapat dipulihkan semula.

16.2 Anggota-anggota Koperasi yang mendeposit dalam Simpanan Khas tersebut
hendaklah diberitahu melalui surat pekeliling mengenai penggantungan dan
pemulihan semula simpanan khas tersebut.

17 MAKLUMAN KEPADA MESYUARAT AGUNG

17.1 Lembaga hendaklah membentangkan di dalam Mesyuarat Agung, laporan
mengenai aktiviti-aktiviti Simpanan Khas Anggota ini serta membuat cadangan-
cadangan penambahbaikan, jika ada bagi memajukannya.

18 PEMATUHAN UNDANG-UNDANG BERTULIS LAIN

18.1 Lembaga hendaklah pada setiap masa memastikan aktivitinya tidak bercanggah
dengan undang-undang bertulis lain di antaranya seperti Akta Pencegahan
Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Anti
Money Laundering And Anti Terrorist Financing Act 2001) supaya integriti dan
reputasi Koperasi terpelihara.

18.2 Oleh itu, Lembaga bertanggungjawab mewujudkan kawalan-kawalan yang
mencukupi terutamanya pelaksanaan usaha wajar (due diligence) serta kaedah
mengenali pelanggan (know your customer) bagi mengelak daripada digunakan
sebagai konduit bagi aktiviti tersebut.

19. PELAPORAN
19.1 Menurut perenggan 14(1)(c) Akta, pengurusan hendaklah mengemukakan apa-
apa maklumat lain yang dikehendaki Suruhanjaya berkenaan dengan
penubuhan, keanggotaan, pengendalian dan kedudukan kewangan koperasi.
Sehubungan ini, pengurusan dikehendaki mengemukakan laporan berhubung
dengan pengambilan simpanan khas mengikut format yang disediakan oleh
Suruhanjaya pada tiap-tiap setengah tahun.

20. PERTIKAIAN

20.1 Jika berbangkit sebarang perselisihan faham atas tafsiran aturan-aturan ini atau
timbul apa-apa perbalahan mengenainya, maka pertikaian itu hendaklah dirujuk
kepada Suruhanjaya.

Você também pode gostar