Você está na página 1de 17

Anak yatim koma dibelasah guru

ARAU: Seorang murid sekolah agama di sini yang juga anak yatim dipercayai dibelasah seorang guru tanpa
belas kasihan dalam keadaan dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga mangsa koma dalam
kejadian tiga hari lalu.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, diperlakukan guru lelaki berusia 26 tahun yang juga warden asrama
sekolah agama itu selepas dituduh terbabit dalam beberapa kes kecurian wang.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 7 malam Khamis lalu selepas mangsa dibawa guru berkenaan ke
bilik sebelum dua tangannya diikat dan disoal siasat berhubung insiden kecurian.

Mangsa dikatakan merayu dilepaskan tetapi tidak diendah dengan guru terbabit didakwa terus memukul dan
menyoal siasat sehingga kanak-kanak itu diserang sawan dan terus pengsan.

Guru itu yang panik kemudian mendapatkan bantuan rakan setugasnya sebelum mangsa dihantar ke Hospital
Tuanku Fauziah (HTF), Kangar kira-kira jam 1.40 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika dihubungi, berkata Saiful Syazani
yang tidak sedarkan diri akibat masalah jantung dan pendarahan otak kemudian dipindahkan ke Hospital
Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik.

Sebaik menerima laporan bapa mangsa, polis menggerakkan usaha memburu suspek sebelum lelaki itu
menyerah diri di Balai Polis Arau, petang semalam (kelmarin) dan direman tujuh hari bagi membantu
siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya.

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu pada
jam 8 malam kelmarin, dia bergegas ke HSB dan terkejut melihat tubuh anaknya penuh kesan lebam dengan
muka bengkak dan lebam pada mata kiri serta pipi selain melecet pada tangan kiri.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku dan mahu mereka yang terbabit dihadapkan ke muka pengadilan,"
katanya yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Jitra.

Katanya, Saiful Syazani yang tinggal bersama keluarga angkat di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah
Che Amat pada 2006, seorang yang pendiam.

Berita Harian
3 Apr 2011


Pelajar dipukul hampir dua jam

PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.

ARAU: Guru syaitan! Demikian gelaran yang patut diberi kepada seorang guru lelaki sebuah sekolah
agama, di sini, yang sanggup membelasah seorang murid lelaki berusia tujuh tahun sehingga koma, Khamis
lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, guru berusia 26 tahun itu juga dikatakan bertindak kejam apabila
mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum
membelasahnya.

Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan
itu dihentikan.

Sumber polis berkata, mangsa yang diikat dan dipukul hampir dua jam itu bagaimanapun pengsan selepas
mengalami kecederaan dalaman di kepala dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh guru terbabit.

Katanya, guru terbabit berang dengan mangsa yang enggan mengaku terbabit dalam beberapa kejadian
kecurian di asrama sekolah berkenaan sebelum itu.

Difahamkan, sebelum itu mangsa pernah dua kali dipukul suspek akibat enggan mengaku mencuri barangan
milik pelajar lain di asrama sekolah.

Selepas mangsa pengsan, guru terbabit panik dan memanggil guru lain sebelum membawa mangsa ke
Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin, katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira
jam 3 pagi kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 8
malam kelmarin melalui ibunya ketika anak tunggalnya dipindahkan ke HSB.

Saya bergegas ke HSB dan sebak melihat keadaan anak saya kini terlantar koma dengan mukanya bengkak
selain lebam di mata dan pipi kiri.

Malah, ada kesan melecet di tangannya kesan akibat diikat dan kini terpaksa menggunakan mesin bantuan
pernafasan, katanya ketika ditemui di HSB, Alor Setar, semalam.

Saiful Sopfidee yang juga pemandu pelancong di Jitra berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya
terbabit dalam kecurian kerana dia bukan nakal dan lebih banyak mendiamkan diri.

Katanya, anaknya tinggal bersama keluarga angkatnya di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat
pada 2006 dan kali terakhir dia berjumpa Saiful Syazani setahun lalu.

Muka anak saya betul-betul seiras arwah isteri saya. Doktor kini memaklumkan keadaan anak saya
semakin kritikal, katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.

Katanya, dia mahu individu yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima
hukuman setimpal dengan apa dilakukan terhadap anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata,
mangsa dipercayai dipukul kerana disyaki sering mencuri duit seorang pelajar sebelum aktivitinya
dilaporkan kepada seorang warden di situ yang juga suspek utama kes ini.

Suspek yang juga guru sekolah itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, petang
kelmarin, katanya.

Mohd Nadzri berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini menyiasat
secara menyeluruh mengenai motif dan punca kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

myMetro
3 Apr 2011


Murid dipukul penyelia asrama meninggal dunia

ALOR SETAR Seorang murid yang dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sebuah Sekolah
Agama Rakyat di Jejawi, Perlis sehingga koma Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah
di sini hari ini.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada pukul 8.50 pagi tadi sejak dimasukkan ke
hospital berkenaan Jumaat lepas.

Jenayahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, Kangar petang ini.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7 malam pada hari kejadian apabila seorang guru lelaki
yang berumur 26 tahun dikatakan telah memukul kanak-kanak tersebut selama hampir dua jam sehingga dia
pengsan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Nashir Ya berkata suspek yang juga Penyelia Asrama sekolah
berkenaan telah ditahan pada pukul 10 malam tadi.

"Polis masih menunggu laporan bedah siasat dan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun
Keseksaan, katanya.

Ibu angkat mangsa, Hazirah Chin, 38, berkata sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, anak
angkatnya yang tidak sedarkan diri itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada pukul 1.40 pagi
Jumaat.

"Saya dapat panggilan daripada seorang ustaz. Dia tanya sama ada Saiful ada penyakit tarik (sawan). Saya
kata tak ada. Lepas tu dia kata dia nak datang ambil saya ke hospital sebab Saiful masuk hospital dan kena
pindah ke hospital di Alor Setar, katanya di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah.

Hazirah berkata dia dapat melihat kesan melecet pada pergelangan tangan mangsa selain kesan lebam di
bahagian matanya.

"Saya diberitahu Saiful alami pendarahan di bahagian kepala. Pada mulanya doktor kata dia stabil tapi
semalam (Sabtu) doktor beritahu dia sudah tak ada harapan untuk hidup, katanya.

"Ketika mula-mula masuk asrama, arwah gembira sangat-sangat. Dia kerap balik sebab sekolah tak sampai
satu kilometer dari rumah kami, tambahnya.

Bapa kandung mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata anaknya dipelihara oleh keluarga angkat
selepas isterinya meninggal dunia ketika Saiful Syazani baru berusia tiga tahun.

"Kali terakhir saya bertemu anak saya setahun lalu, sebab saya tinggal di Langkawi dan baru berpindah ke
Jitra sebulan lalu, katanya.

Saiful Sopfidee berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada pukul 8 pagi
pada hari Jumaat bahawa Saiful Syazani dimasukkan ke hospital kerana dipukul orang.

Selepas melihat keadaan anaknya akibat dipukul, Saiful Sopfidee telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat
Polis Kontinjen Kedah pada petang Jumaat. - Bernama

3 Apr 2011



Murid agama dibelasah guru meninggal

SAIFUL SYAZANI meninggal selepas tiga hari koma di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam.
Gambar kecil, Saiful Sopfidee

Mangsa koma tiga hari akibat alami pendarahan dalaman

KANGAR: Murid Tahun Satu sebuah sekolah agama persendirian di Arau, Saiful Syazani Saiful Sopfidee,
7, yang koma sejak tiga hari lalu selepas dibelasah gurunya, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah
(HSB), Alor Setar, pagi semalam.

Mangsa yang juga anak yatim, menghembuskan nafas terakhir jam 8.30 pagi selepas mengalami pendarahan
dalaman di kepala dan komplikasi jantung akibat kejadian terbabit yang berlaku di bilik asrama sekolah
agama itu, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, berkata murid berkenaan meninggal dunia
di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik HSB dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
yang boleh membawa kepada hukuman mati.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh kejadian terbabit, apatah lagi ia membabitkan
kematian.

Perintah reman terhadap suspek berusia 26 tahun yang juga guru mangsa yang berakhir esok (hari ini),
akan sambung bagi tujuan siasatan, katanya enggan mengulas lanjut kes itu.

Difahamkan, punca kejadian mangsa dibelasah dengan teruk kerana didakwa mencuri wang RM7 milik
rakan sekelas.

Akhbar semalam melaporkan Saiful Syazani yang juga anak yatim dibelasah dengan kejam oleh gurunya
dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma
dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Khamis lalu.

Mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri hingga menimbulkan kemarahan
guru berkenaan yang memukulnya tanpa belas kasihan.

Selepas memukul kepala, suspek dikatakan naik minyak dan menggoncang badan mangsa serta
menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama mangsa mengalami masalah pendarahan
dalam kepala dan komplikasi jantung.

Suspek juga dikatakan sempat bersolat hajat selepas dimaklumkan doktor bahawa mangsa dalam keadaan
kritikal sebelum bergegas ke Alor Setar dengan menaiki motosikal untuk melihat keadaan mangsa.

Guru terbabit yang juga warden asrama sekolah itu menyerah diri di Balai Polis Arau, Jumaat lalu selepas
bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, jam 8 malam hari
kejadian.

Sementara itu, pengetua sekolah agama terbabit, Yaakub Abu Soman, berkata pihaknya tidak akan membuat
sebarang ulasan berhubung kejadian itu yang membabitkan guru dan murid sekolahnya atas arahan pihak
polis.

"Kami akan mengadakan sidang akhbar selepas tempoh reman terhadap suspek yang juga guru sekolah ini
tamat nanti," katanya.

Dalam pada itu, Saiful Sopfidee berkata, jenazah mangsa yang juga anak tunggal hasil perkongsian hidup
dengan arwah isteri, Jahiyah Che Amat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduk, di sini, selepas solat
Maghrib, semalam.

Beliau berharap guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana
perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, ketika mengulas kejadian itu berkata, pihaknya menyerahkan kes
berkenaan kepada pihak polis kerana sekolah itu milik persendirian dan bukannya di bawah seliaan jabatan.

Berita Harian
4 Apr 2011


Cikgu ambil nyawa


KANGAR: Hanya kerana wang RM7, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid tahun satu sebuah sekolah
agama persendirian di Arau, dekat sini, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah
Bahiyah (HSB), Alor Setar, pagi semalam, selepas koma sejak tiga hari lalu akibat parah dibelasah gurunya.

Difahamkan, mangsa dipukul dengan teruk kerana didakwa mencuri wang milik rakan sekelasnya.

Mangsa yang sudah kematian ibu, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 pagi selepas mengalami
pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung berikutan kejadian di bilik asrama sekolah agama
berkenaan, Khamis lalu.

ZIARAH... guru serta kenalan keluarga mengusung jenazah Saiful di Masjid Ar-Rahman di Jejawi Dalam,
Kangar, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika mengesahkan perkara itu berkata,
murid terbabit disahkan meninggal dunia dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kita akan menjalankan siasatan menyeluruh kejadian itu, apatah lagi ia menjadi bertambah serius kerana
membabitkan kematian. Semua pihak berkaitan di sekolah agama itu akan dipanggil untuk siasatan.

Perintah reman terhadap suspek berusia 26 tahun yang juga guru mangsa yang berakhir esok (hari ini),
akan disambung untuk tujuan siasatan, katanya enggan mengulas lanjut kes itu.

Metro Ahad semalam melaporkan Saiful Syazani dibelasah dengan kejam oleh gurunya yang juga warden
asrama dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa
koma dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam, Khamis lalu.

Mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri sehingga menimbulkan
kemarahan guru terbabit yang kemudian memukulnya tanpa belas kasihan.

Selepas memukul kepala, suspek dikatakan `naik hantu' dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya
dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama murid itu mengalami pendarahan dalam kepala dan
komplikasi jantung.

Suspek yang mungkin menyedari kesalahannya dan menyesal dikatakan sempat bersolat hajat sejurus
dimaklumkan doktor bahawa mangsa dalam keadaan kritikal sebelum bergegas ke Alor Setar dengan
menaiki motosikal untuk melihat keadaan murid terbabit.

Guru terbabit menyerah diri di Balai Polis Arau, Jumaat lalu, selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki,
34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, pada jam 8 malam hari kejadian.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan kes
itu kepada pihak polis kerana sekolah itu milik persendirian dan bukannya di bawah seliaan jabatan
berkenaan.

Kita tidak mahu campur tangan dalam kes ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil
tindakan terhadap mereka yang terbabit.

Kami amat sedih dan dukacita di atas kejadian ini dan jika benar perbuatan guru memukul hingga
menyebabkan kematian murdnya, ia di luar bidang kuasa guru dan tidak sepatutnya berlaku, katanya.

Dalam pada itu, pengetua sekolah agama terbabit, Yaakub Abu Soman berkata, pihaknya tidak akan
membuat sebarang ulasan berhubung kejadian itu yang membabitkan guru dan murid sekolahnya atas arahan
polis.

Kami akan mengadakan sidang akhbar selepas tempoh reman terhadap suspek tamat nanti, katanya.

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee berkata, jenazah anak tunggalnya hasil perkongsian hidup dengan arwah
isterinya, Jahiyah Che Amat, dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka di sini, petang semalam. Dia
juga berharap guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana
perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu.

myMetro
4 Apr 2011


Saiful Syazani dikebumikan

KANGAR Jenazah kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah,
Alor Setar kerana disyaki didera warden asrama Sekolah Rendah Islam Al Furqan Perlis, selamat
dikebumikan semalam.

Jenazah Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka,
Kangar kira-kira jam 7.45 petang selepas disembahyangkan di Masjid Jejawi dekat sini.

Lebih 50 penduduk dan rakan menunggu di tanah perkuburan itu sebagai memberi penghormatan terakhir
selain mengucapkan takziah kepada ahli keluarga terutama bapa arwah, Saiful Sopfidee Marzuki, 34.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah Rendah Islam Al-Furqan Perlis, Russele Eizan ketika
dihubungi berkata, warden yang dikaitkan dengan kes mendera Saiful Syazani sehingga mati adalah seorang
ustaz yang sangat baik.

Beliau berkata, pihaknya merasakan kejadian itu sesuatu yang tidak dijangka kerana tujuan utama ustaz
berumur 20 an dan berasal dari Perak itu hanyalah untuk mendidik.

Ustaz yang disabitkan itu adalah seorang ustaz yang sangat baik dan kita percaya perkara tersebut berlaku
tanpa disengajakan dan tujuan utama beliau adalah untuk mendidik, katanya.

Rusele yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat bagaimanapun enggan memberi
komen lanjut berkaitan kes itu kerana memandangkan kes berkenaan sudah menjadi kes polis.

Kes ini sudah jadi kes polis, jadi saya tidak mahu memberi komen lanjut. Biarlah pihak polis menjalankan
siasatan lebih terperinci, katanya.

Sinar Harian
4 Apr 2011


Kematian Saiful: Ustaz akui gagal kawal emosi

KANGAR Seorang ustaz yang disyaki terbabit memukul Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid sebuah
Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Jejawi, Arau dekat sini sehingga meninggal dunia kelmarin sempat
meminta maaf di atas perbuatannya baru-baru ini.

Menurut bapa angkat murid tersebut, Mohd. Zamri Shafie, 40, ustaz berkenaan datang menemuinya di
Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah Jumaat lalu bagi menyatakan kekesalan dan meminta maaf
kerana memukul Saiful.

Katanya, ustaz berusia 27 tahun itu mengakui gagal mengawal emosi sehingga hilang pertimbangan ketika
menyoal siasat Saiful Syazani Saiful yang juga seorang anak yatim berhubung satu kes kecurian di sekolah
tersebut.

Dia (ustaz berkenaan) tidak sedar ketika memukul Saiful sehingga menyebabkan anak angkat saya cedera
parah dan lebih malang meninggal dunia.

Sedih dan terkilan apa yang terjadi, namun saya menerima permohonan maaf ustaz itu kerana menyifatkan
dia seorang yang baik, katanya.

Kosmo
5 Apr 2011


Ini jenayah serius

KUALA LUMPUR: Kita memandang serius kejadian menimpa murid berkenaan, biarpun sekolah terbabit
bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran mengulas mengenai kejadian murid tahun satu sekolah agama
persendirian di Arau, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, meninggal dunia selepas koma tiga hari akibat
dibelasah guru yang juga warden asrama.

Kejadian ini disifatkan sebagai jenayah serius dan tiada sesiapa boleh dikecualikan daripada dikenakan
tindakan undang-undang.

Pihak berkuasa perlu ambil tindakan sewajarnya.

Kejadian ini secara tidak langsung membabitkan kementerian, seharusnya terdapat guru disiplin yang
dilantik bagi menguruskan hal sebegini, katanya

myMetro
5 Apr 2011


Pas mohon maaf kematian Saiful Syazani

KANGAR - Pas Perlis memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kematian seorang pelajar berusia
tujuh tahun dua hari lalu yang dikaitkan dengan tindakan seorang ustaz yang menghukum pelajar terbabit
berlaku di Sekolah Rendah Islam Al Furqan kelolaan parti itu di Jejawi dekat sini.

Pesuruhjaya Pas Perlis Hashim Jasin berkata, pihaknya juga memohon maaf kepada kaum guru berhubung
peristiwa yang telah mencalar imej dan persepsi umum terhadap warga pendidik.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar pada Ahad selepas
dipercayai dipukul seorang ustaz yang juga warden asrama sekolah itu pada Khamis ketika sedang
menyiasat kes kecurian.

"Kejadian ini sesuatu yang amat memeranjatkan setelah lebih 25 tahun mengelola institusi pendidikan milik
parti," katanya selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini.

Hashim, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sanglang berkata, Pas Perlis berharap proses
siasatan dan perbicaraan dilaksana secara rapi dan terperinci bagi menegakkan keadilan kepada semua pihak
berkaitan.

Pengerusi Lembaga Tadbir sekolah itu, Rus'sele Eizan berkata, pihaknya telah mengambil langkah
sewajarnya bagi memastikan semua institusi pendidikan milik parti itu beroperasi dalam suasana
pembelajaran yang selamat dan lancar.

Ketua UMNO Bahagian Arau Datuk Seri Shahidan Kassim berharap sekolah agama rakyat seperti itu
melantik hanya guru-guru bertauliah bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berulang.

"Setiap guru yang dilantik perlu melalui proses latihan perguruan meskipun mereka memiliki kelayakan
akademik yang tinggi," katanya.

Sinar Harian
5 apr 2011


Pendarahan otak punca murid mati

PAS mohon maaf, pastikan sekolah dikelola dengan baik

KANGAR: Kematian murid sekolah agama persendirian di Jejawi dekat sini, Ahad lalu, disahkan berpunca
daripada 'hypoxic seculae' atau kekurangan oksigen pada otak disebabkan tekanan benda lembut pada leher.

Keputusan itu dicapai pakar patologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, berdasarkan hasil bedah
siasat dilakukan ke atas mayat Saiful Syazani Saiful Sapfidee.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nashir Ya, berkata tekanan pada leher mangsa
menyebabkan kekurangan oksigen dalam otak yang turut menyebabkan pendarahan.

Saiful Syazani meninggal dunia selepas tiga hari dilaporkan koma, akibat dibelasah guru yang juga seorang
warden di sekolah agama persendirian selepas disyaki mencuri RM7 di asrama sekolah.

Dalam kejadian Khamis lalu itu, mangsa diikat kedua-dua tangan pada tingkap dan dibelasah bertalu-talu
sebelum dihempas ke dinding hingga menyebabkannya mengalami pendarahan organ dalaman.

Nashir berkata, kertas siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah selesai dan
akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Semalam, tempoh tahanan reman guru berusia 26 tahun dilanjut tujuh hari lagi hingga Isnin depan.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran
kematian pelajar berkenaan di Sekolah Rendah Islam Al Furqan kelolaan parti berkenaan.

Katanya, insiden menimpa Saiful Syazani bukan mencerminkan wajah keseluruhan sekolah dikelolakan
PAS, sebaliknya ia dianggap kes terpencil yang mengejutkan.

Kami merakam dukacita yang amat sangat atas peristiwa itu dan mengucap takziah serta memohon maaf
kepada anggota keluarga mangsa, selain rasa simpati kepada guru asrama berkenaan.

"Kejadian ini amat memeranjatkan kami selepas lebih 25 tahun mengelola sekolah itu dan akan mengambil
langkah bagi memastikan semua sekolah beroperasi dalam suasana pembelajaran yang selamat dan lancar,"
katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan kepada
Timbalan Perdana Menteri bahawa kes berkenaan akan disiasat dengan telus dan terperinci.

Hishammuddin berkata, beliau faham akan kebimbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri
Pelajaran apabila ada kes sebegitu sehingga menyebabkan kematian.

"Saya faham sentimen beliau (Muhyiddin) kerana saya juga pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran
dan ketika inilah pelbagai pertanyaan muncul dalam hati kita.

"Saya sudah mengarahkan polis menyiasat, dan ia akan disiasat sebagai kes jenayah bunuh dan semua yang
terbabit akan didakwa selepas siasatan selesai, katanya.

Berita Harian
6 Apr 2011


Reman disambung enam hari lagi
KANGAR: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menyambung tempoh reman ke atas seorang guru lelaki
selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang murid berusia tujuh tahun akibat
didera, Ahad lalu.

Perintah berkenaan dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen Kangar, Monica Joseph terhadap suspek
berusia 26 tahun bermula semalam hingga Isnin depan.

Guru terbabit yang bekerja sebagai penyelia asrama sekolah berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Arau, di sini, bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, pekarangan Mahkamah Kangar dipenuhi wartawan dan rakan suspek sebelum lelaki itu yang
memakai baju lokap warna ungu tiba dengan kenderaan polis kira-kira jam 9 pagi.

Lelaki terbabit meninggalkan mahkamah kira-kira jam 10.45 pagi.

Dalam kejadian Khamis lalu, guru terbabit bertindak kejam apabila mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani
Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum membelasahnya.

Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan
itu dihentikan.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, sebelum ditempatkan di Unit
Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan disahkan meninggal dunia pada jam
8.50 pagi Ahad lalu.

Suspek ditahan polis selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis
Alor Setar.

myMetro
6 Apr 2011


Warden didakwa bunuh murid

HANIF diiring keluar dari mahkamah selepas tidak membuat sebarang pengakuan atas dakwaan membunuh
Saiful Syazani di Mahkamah Majistret Kangar semalam.

KANGAR Cubaan seorang peguam bela yang memohon untuk menghalang media daripada membuat
liputan mengenai perbicaraan seorang ustaz yang menghadapi tuduhan membunuh seorang murid tidak
mendapat reaksi Mahkamah Majistret di sini semalam.

Mohd. Fikri Abd. Rahim dan Zulmi Sabri mencadangkan perkara itu di hadapan Majistret Nurshida Abdul
Rahim ketika prosiding pendakwaan terhadap Hanif Mohd. Ali, 26, yang dituduh membunuh murid tahun
satu Sekolah Agama Rakyat di Jejawi dekat sini, Saiful Syazani Saiful Sopfidee.

Sebaliknya, Nurshida memutuskan tidak mengeluarkan sebarang arahan berhubung permohonan kedua-dua
peguam yang mewakili Hanif itu. Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Hanif didakwa membunuh kanak-kanak tersebut di antara pukul 6 petang dan 12 malam di bilik warden
asrama Putra di Sekolah Rendah Islam Al-Furan Jejawi dekat sini pada 31 Mac lalu. Bagaimanapun, dia
tidak membuat sebarang pengakuan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan jika sabit kesalahan dia boleh
dihukum gantung sampai mati. Pendakwaan kes dilakukan oleh Ketua Unit Pendakwa Raya, Azman Abu
Hassan.

Kosmo
14 Apr 2011

Tidak putus berzikir

KANGAR: Seorang guru agama yang menghadapi tuduhan membunuh murid lelaki, Saiful Syazani Saiful
Sopfidee, 7, kelihatan berzikir berdasarkan keadaan mulutnya terkumat-kumit sepanjang prosiding kes
berlangsung di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Hanif Mohammud Ali, 26, memakai seragam lokap berwarna ungu kelihatan sugul dan ada
kalanya mengangkat kepala untuk memerhati orang ramai yang penuh sesak di dalam mahkamah ketika
berhadapan pertuduhan berkenaan.

Hanif didakwa menyebabkan kematian Saiful Syazani dalam bilik warden asrama putra di Sekolah Rendah
Islam Al-Furqan, Jejawi antara jam 6 petang hingga 12 tengah malam pada 31 Mac lalu.

Dia yang juga warden asrama menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh
membawa hukuman mati mandatori kelihatan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan Timbalan
Pendakwa Raya, Azman Abu Hassan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sepanjang prosiding terbabit. Hanif diwakili
peguam, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.

Sejurus pertuduhan dibacakan, Mohd Fikri memohon mahkamah agar menetapkan larangan terhadap media
daripada membuat liputan terhadap prosiding membabitkan anak guam mereka sebelum dibantah pihak
pendakwa.

Saya pohon mahkamah tetapkan satu bentuk larangan yang mungkin boleh dipatuhi tentang penulisan atau
penyiaran supaya ia tidak subjudis terhadap prosiding kes.

Kes ini boleh diklasifikasikan sebagai sensasi dan dalam keadaan OKT (orang kena tuduh) yang belum
disabitkan, dikhuatiri laporan dibuat media akan membuka ruang kepada public trial (perbicaraan umum),
katanya.

Sementara itu, Azman ketika bangkit menyatakan bantahan kerana menganggap ia sebagai suatu yang tidak
adil terutama dalam konteks kebebasan media.

Saya yakin media cukup matang untuk mempertimbangkan perkara yang boleh menyebabkan subjudis
dalam laporan dibuat walaupun tanpa sebarang arahan khusus diperuntukkan mahkamah, katanya.

myMetro
15 Apr 2011


Kes Penyelia Asrama Dituduh Bunuh Pelajar Dipindah Ke
Mahkamah Tinggi

KANGAR: Mahkamah Majistret di sini Jumaat membenarkan kes seorang penyelia asrama yang dituduh
membunuh pelajar tahun satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di Jejawi dekat sini pada Mac lepas,
dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Hanif Mohd Ali, 26, yang berasal dari Perak, dituduh membunuh kanak-kanakberusia tujuh tahun itu di bilik
warden asrama putera Sekolah Rendah Islamal-Furqan, Jejawi antara 6 petang dan 12 tengah malam pada 31
Mac.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman matimandatori jika sabit
kesalahan.

Majistret Nurshahida Abd Rahim membenarkan kes itu dipindahkan ke MahkamahTinggi selepas menerima
permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohd Sabri.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Fiokri Abd Rahman dan Zulmi Sabri. BERNAMA

22 Jul 2011


Perbicaraan penyelia asrama bunuh murid bermula

KANGAR 31 Okt. - Seorang ibu angkat tidak dapat menahan kesedihan ketika diminta menerangkan
keadaan murid Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, semasa berada di unit
rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah pada April lalu.

Sambil teresak-esak, Hazirah Chin, 38, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pada hari kejadian
dia melihat mangsa berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.

Saksi itu memberikan keterangan pada perbicaraan terhadap kes seorang penyelia asrama Sekolah Rendah
Agama Al-Furqan, Jejawi di sini, Hanif Mohd. Ali, 26, yang didakwa membunuh Saiful Syazani antara
pukul 6 petang dan 12 tengah malam, 31 Mac lalu di bilik penyelia asrama di sini.

Hanif yang berada dalam kandang tertuduh, dilihat sering tunduk dan memegang mukanya semasa Hazirah
memberi keterangan tersebut.

Menurut Hazirah, dia sering berurusan dengan tertuduh berhubung hal ehwal mangsa malah pernah meminta
tertuduh untuk menjaga mangsa sepanjang berada di asrama sekolah berkenaan.

''Saya pernah menelefon Ustaz Hanif supaya menjaga Saiful namun ketika itu telefon bimbit saya rosak,
saya tidak mendengar dengan jelas jawapannya,'' kata Hazirah.

Dia menyifatkan layanan tertuduh kepada Saiful Syazani baik dan tertuduh pernah membelikan mangsa
seutas jam tangan dan baju sukan.

Menurutnya, Saiful Syazani dijadikan anak angkat sejak mangsa berusia tiga tahun setelah ditinggalkan oleh
bapa kandungnya kepada keluarganya.

''Saiful tidak mengalami sebarang penyakit, tidak pernah dimasukkan ke hospital, jarang mengalami demam
malah dia juga telah menjalani ujian pemeriksaan darah dan bebas HIV,'' katanya.

Hazirah memberi keterangan tersebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab
manakala pertuduhan dikendalikan oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Najib Zakaria, Nadia Hanim
Mohd. Tajuddin dan Azhar Mokthar.

Tertuduh diwakili oleh lima peguam yang diketuai Arif Azami Hussein dan dibantu oleh Azizul Shariman
Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd. Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.

Utusan
1 Nov 2011


Pendakwa tidak sedia ditegur

KANGAR: Prosiding hari pertama kes bunuh seorang murid sekolah agama di Mahkamah Tinggi, di sini,
semalam, menyaksikan pihak pendakwaan ditegur Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab,
kerana didapati tidak bersedia ketika perbicaraan berlangsung.

Mohd Zaki berkata, pihak pendakwaan tidak membuat persediaan sebelum hadir apabila gagal
mengemukakan salinan dokumen penting untuk perbicaraan kes di mahkamah.

Sepatutnya kamu semua perlu bersedia sebelum perbicaraan termasuk menyediakan semua salinan
dokumen penting yang diperlukan oleh saya dan pihak pembelaan bukan ketika prosiding baru mencari-cari
salinan berkenaan.

Takkan kamu tidak ada duit untuk buat salinan, sepatutnya pihak pendakwaan perlu bersedia dan tahu apa
ingin dihujahkan, baru prosiding dapat berjalan dalam keadaan lancar, katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hanif Mohd Ali, 26, didakwa membunuh Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7,
yang juga murid Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Furqan, Jejawi Dalam, Arau, antara jam 6 petang hingga
12 tengah malam pada 31 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Pihak pendakwaan diwakili tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Azahar Mokhtar, Najib Zakaria dan Nadiah
Hanim Mohd Tajudin.

Manakala, tertuduh diwakili Ariff Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusoff, Hanipa Maidin, Mohd
Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.

myMetro
1 Nov 2011


Bapa mangsa ditahan gagal hadir kes khalwat

KANGAR: Hasrat seorang bapa mendengar perbicaraan kes bunuh anaknya di Mahkamah Tinggi, di sini,
semalam bertukar menjadi detik memalukan apabila dia dicekup penguat kuasa agama di luar mahkamah
atas kesalahan khalwat dilakukannya, awal tahun ini.

Sebelum itu, dia yang berpakaian baju biru hadir ke mahkamah bagi mendengar perbicaraan anaknya
dengan ditemani keluarga angkat anaknya sebelum ditahan anggota Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips)
selepas prosiding ditangguhkan, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Dia yang menggunakan tangga belakang bangunan mahkamah ditahan tiga anggota penguat kuasa Jaips
yang menunggunya sebelum menggari dan membawanya keluar dari kompleks mahkamah itu.

Sumber Jaips berkata, lelaki berkenaan ditahan apabila satu waran tangkap dikeluarkan terhadapnya selepas
gagal hadir pada perbicaraan kes khalwat pada Mei tahun lalu di Mahkamah Syariah, di sini.

Katanya, sebelum ini beberapa waran tangkap pernah dikeluarkan dan pihaknya gagal mengesan tertuduh
berikutan alamat yang diberikan tidak tepat di samping sering berpindah ke kawasan lain.

myMetro
1 Nov 2011


Ketua penyelia nampak murid seperti kena sawan

KANGAR 1 Nov. - Ketua Penyelia Asrama Lelaki Sekolah Rendah Agama Al-Furqan memberitahu
Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia nampak Saiful Syazani Saiful Sopfidee seperti terkena sawan
atau kekejangan semasa berada di dalam bilik penyelia asrama yang dituduh membunuh pelajar berusia
tujuh tahun itu.

Mohd. Yasin Mohd. Yunus, 29, berkata, ketika itu tertuduh, Hanif Mohd. Ali sedang memangku dan
mengusap kaki mangsa menggunakan sejenis minyak angin pada hari kejadian.

''Saya juga nampak mulut Saiful Syazani berdarah dan terus mengajak Hanif menghantar mangsa ke
hospital,'' katanya.

Menurut Mohd. Yasin, pada pukul 8.15 pagi, 31 Mac lalu, mangsa ada bertemunya di Balai Islam yang
terletak di dalam kawasan sekolah ketika dia sedang mengajar mata pelajaran Pengajian al-Quran.

''Saiful jumpa saya dalam keadaan menangis dan memberitahu dia dimarahi oleh Hanif dan tidak bercakap
banyak tetapi hanya menangis dan tertidur di pangkuan saya sehingga selesai waktu pengajaran mata
pelajaran itu,'' katanya.

Saksi pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Hanif, 26, iaitu penyelia asrama
Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Jejawi yang dituduh membunuh Saiful Syazani antara pukul 6 petang
dan 12 tengah malam, 31 Mac lalu di bilik penyelia itu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam keterangannya, Mohd. Yasin turut memberitahu, tertuduh mengaku mengikat tangan mangsa setelah
ditanya oleh seorang kakitangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) ketika mangsa dikejarkan ke wad
kecemasan hospital berkenaan.

''Semasa di hospital, saya berkesempatan bertanya tentang kejadian tersebut dan Hanif memberitahu dia
marah, mendenda dan menampar Saiful kerana mencuri,'' katanya.

Dalam pada itu, saksi berkenaan berkata, tertuduh merupakan penyelia asrama yang baik dan sering
mengambil berat tentang murid Tahun Satu termasuk membasuh baju mereka dan membawa mereka
bersiar-siar dengan motosikal pada waktu petang.

Malah, katanya, tertuduh juga bergegas ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah dengan
menaiki motosikal pada awal pagi setelah mangsa dipindahkan ke hospital berkenaan pada hari kejadian.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab melahirkan rasa tidak puas hati terhadap
sistem teleconference (persidangan video) yang disediakan di bangunan mahkamah tersebut yang disifatkan
tidak lengkap.

Berikutan itu, beliau menunda ke esok sesi pengambilan keterangan daripada saksi kanak-kanak dalam kes
itu melalui sistem teleconference yang sepatutnya dilakukan pada hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd.
Tajuddin dan Azhar Mokthar manakala tertuduh diwakili oleh lima peguam terdiri daripada Arif Azami
Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd. Fikri Abdul Rahman dan Zulmi
Sabri.

Utusan
2 Nov 2011


Ustaz sebabkan kematian pelajar dipanggil bela diri

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang ustaz membela diri esok (Selasa)
terhadap tuduhan menyebabkan kematian pelajar Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab memerintahkan tertuduh Hanif Mohd Ali, 28, membela
diri terhadap tuduhan menyebabkan kematian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes
prima facie terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat.

Sebaliknya mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap
pertuduhan menyebabkan kematian Saiful Syazani, 7, di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Hanif dituduh melakukan kesalahan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan,
Arau, Perlis pada 31 Mac 2011 antara pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

Dalam kejadian itu, Saiful Syazani koma selama tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah
Bahiyah (HSB) di sini pukul 5.40 pagi pada 3 April 2011 selepas dikatakan dipukul oleh warden berkenaan
ketika menyiasat satu kes curi di asrama sekolah itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd
Tajuddin dan Azhar Mokthar manakala tertuduh diwakili oleh lima peguam terdiri daripada Arif Azami
Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi
Sabri.- Bernama

5 Mac 2012


Kematian pelajar: Ustaz mengaku bersalah

ALOR SETAR Seorang ustaz mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan
pilihan menyebabkan kematian pelajar Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lepas.

Hanif Mohd Ali, 28, mengaku melakukan perbuatan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah
Agama Al-Furqan, Arau, Perlis pada 31 Mac 2011 antara 6 petang dan 12 tengah malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan jika sabit
kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun.

Sebelum ini, Hanif dituduh mengikut Seksyen 302 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati
mandatori.

Pertuduhan itu dipinda kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan ketika mahkamah memberikan keputusan
di akhir kes pendakwaan semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab berkata, keterangan pihak pendakwaan cukup untuk
mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Mohd Zaki berkata, keputusan hukuman terhadap Hanif akan ditetapkan esok kerana pihaknya memerlukan
masa untuk berbuat demikian.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, pula memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman
setimpal terhadap tertuduh walaupun dia mengaku bersalah kerana mengambil kira kepentingan awam
dalam kes itu.

"Mangsa seorang kanak-kanak berusia 7 tahun, baru tiga bulan menuntut di sekolah dan masih boleh
dilentur. Tertuduh telah menyalah guna kuasa, mangsa sepatutnya dididik bukan didera, tiada agama yang
membenarkan penderaan untuk mendidik.

"Mangsa dikatakan mencuri namun hukuman terhadapnya tidak setimpal. Mangsa diikat, dipukul dan
dicekik hingga kekurangan oksigen dalam otak yang menyebabkan kematiannya, katanya.

Noorin berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius dan hukuman setimpal adalah perlu bagi
menunjukkan kebencian terhadap kesalahan yang telah dilakukan. BERNAMA

6 Mac 2012


Ustaz sekolah agama dipenjara 18 tahun

ALOR SETAR - Warden asrama sebuah sekolah agama di Arau, Perlis, dipenjara 18 tahun oleh Mahkamah
Tinggi Alor Setar semalam, setelah didapati bersalah menyebabkan kematian pelajar, Saiful Syazani Saiful
Sopfidee, 7, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, Hanif Mohamad Ali,
28, mengaku bersalah setelah diperintahkan membela diri dan mahkamah menerima pengakuan salahnya.

Menurutnya, faktor kepentingan awam perlu dipertimbangkan dalam memutuskan hukuman terhadap Hanif,
antaranya bentuk kesalahan dan kesalahan itu sememangnya kesalahan berat yang boleh membawa kepada
hukuman penjara maksimum 30 tahun jika sabit kesalahan.

"Hukuman yang dijatuhkan perlu menjadi pengajaran dan peringatan kepada sesiapa yang mempunyai kuasa
mendisiplinkan pelajar supaya berhati-hati dalam melaksanakannya, agar tidak menjadi jenayah, malah
seorang pendidik perlu banyak bersabar.

"Justeru, setelah mengambil kira semua faktor berkenaan, Hanif dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun
bermula dari tarikh tangkapan (1 April 2011)," katanya.

Hanif kelihatan tenang sewaktu mendengar keputusan yang dibacakan, namun dilihat menitiskan air mata
sewaktu dikerumuni keluarga dan rakan-rakannya.

Hanif didakwa melakukan kesalahan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan,
antara jam 6 petang dan 12 malam, 31 Mac 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima
30 tahun dan denda kerana menyebabkan kematian Saiful Syazani.

Saiful Syazani sebelum ini dilaporkan koma selama tiga hari, sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah
Bahiyah, 3 April 2011, selepas dipukul warden itu sewaktu menjalankan siasatan kes kecurian di asrama
sekolah.

Pendakwaan dijalankan empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu Noordin Badaruddin, Najib Zakaria, Nadia
Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mohthar.

Manakala Hanif diwakili peguam, Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa
Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri.

Sinar Harian
7 Mac 2012

Você também pode gostar