Você está na página 1de 2

Apabila Murid Sekolah Rendah Positif

Dadah
Memetik laporan dalam Berita Harian hari ini, Isnin 7 September 2009:
PUTRAJAYA: Seramai 306 murid di beberapa sekolah rendah di negara ini dikesan terbabit dalam
penyalahgunaan dadah tahun ini, kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk
Abdul Bakir Zin.
Beliau berkata, murid berkenaan dikesan positif dadah hasil ujian air kencing secara pro aktif yang
dijalankan Unit Pencegahan AADK.
Di Kelantan kami dapati lebih kurang 60 orang murid sekolah positif dadah. Kami berjaya mengesan
mereka melalui Program Intervensi Pelajar yang dilaksanakan dengan Kementerian Pelajaran.
Program ini dilakukan khusus untuk mengesan secara pro-aktif murid sekolah yang berkemungkinan
menjadi penghisap dadah, katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani Term of Referrence
dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini, hari ini.
Beliau berkata melalui kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, AADK turut menjalankan program
susulan bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah di kalangan murid dan pelajar dapat dibendung.
Abdul Bakir bekata Unit Pencegahan AADK turut melakukan pengawasan terhadap pelbagai badan,
jabatan dan agensi kerajaan untuk memastikan tiada penyalahgunaan dadah berlaku di kalangan
penjawat awam.
Setakat ini tiada penjawat yang positif dadah yang kami kesan, katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan berterusan terhadap pemandu bas sempena
musim perayaan ini. - BERNAMA
Laporan ini suatu laporan yang merisaukan. Apabila murid sekolah rendah pun sudah pandai menagih
dadah, maka sudah tentu itu suatu gambaran yang sangat merisaukan. Hal ini menggambarkan
masalah besar yang berlaku dalam masyarakat kita. Apakah yang menyebabkan murid sekolah rendah
pun sudah pandai menagih dadah? Apakah institusi kekeluargaan di negara ini sudah begitu rapuh
sehinggakan kanak-kanak pun boleh terdorong untuk menagih dadah? Namun, apa yang pasti, hal ini
merupakan suatu lagi petanda betapa pandangan hidup masyarakat di negara ini, terutamanya di
kalangan masyarakat majoriti yakni umat Islam, begitu celaru dan rapuh.
Dalam kes seperti ini, sudah tentu yang boleh dikatakan sebagai salah bukanlah semata-mata kanak-
kanak sekolah itu. Hal ini demikian kerana keterlibatan mereka dengan penyalahgunaan dadah tersebut
pastinya kerana ada dalang daripada kalangan orang dewasa di belakangnya. Yang penting juga, di
manakah letaknya peranan institusi kekeluargaan? Apakah ibubapa pada hari ini sudah terlalu sibuk
dengan kerjaya dan mengejar harta dunia, sehingga mengabaikan tanggungjawab besar mereka dalam
mendidik dan membentuk anak? Ibubapa harus faham, pendidikan anak-anak bukanlah dengan
menghantar mereka ke sekolah. Tetapi yang lebih penting, pendidikan anak-anak adalah merupakan
tanggungjawab ibubapa yang harus mengajarkan mereka dengan adab dan akhlak yang ditunjukkan
oleh Islam semenjak anak-anak itu kecil lagi. Malah, dalam Islam, pendidikan anak itu harus bermula
semenjak sebelum anak itu lahir lagi.
Seringkali pada hari ini, menjadi kecenderungan di kalangan banyak pihak untuk menuding jari dan
menyalahkan golongan muda atas masalah-masalah sosial yang berlaku. Perkara ini harus dibetulkan.
Dalam Islam, kita tidak diajarkan bahawa terdapat perbezaan umur dalam soal tanggungjawab, ilmu
dan akhlak. Ada di kalangan generasi muda yang sangat berilmu, sangat baik akhlaknya dan sangat
mulia kedudukannya di sisi Allah Subhanahu wa taala. Dan, ramai juga di kalangan generasi tua yang
sedikit ilmunya, buruk akhlaknya dan rendah darjatnya di sisi Allah Subhanahu wa taala. Begitulah
sebaliknya. Oleh sebab itulah dalam kita meneliti permasalah sosial, seperti isu penyalahgunaan dadah
di kalangan murid sekolah rendah ini, kita harus melihatnya dalam perspektif yang lebih luas, the
bigger picture. Isunya bukan semata-mata masalah generasi muda pada hari ini yang semakin hilang
hala tuju, tetapi masalahnya adalah masalah segenap entiti dalam masyarakat yang menyumbang ke
arah berlakunya permasalahan tersebut.
Perkara paling asas, sudah tentu adalah untuk membetulkan pandangan hidup masyarakat itu sendiri.
Dan, yang dimaksudkan dengan masyarakat di sini termasuklah golongan remaja dan belia, para
ibubapa, para pendidik, ahli korporat dan juga ahli politik. Rata-ratanya, pandangan hidup masyarakat
kita pada hari ini dicorak dan dibentuk oleh fahaman yang sekularistik dan materialistik. Masyarakat
dididik dan dimomokkan dengan slogan kemajuan dan pembangunan yang bersifat semata-mata
fizikal dan material. Jika adapun soal pembangunan insan ditekankan, itu pun adalah bertujuan untuk
menambah tenaga kerja bagi membantu proses pembangunan yang bersifat material itu. Hal ini berlaku
kerana masyarakat kita terperangkap dalam suatu pandangan hidup yang melihat kemajuan dan
pembangunan material itu sebagai matlamat dan sumber kebahagiaan. Sedangkan, dalam Islam, kita
diajar dengan begitu jelas bahawa segala yang bersifat duniawi ini nilainya sangat rendah dan malah
tidak bermanfaat untuk kehidupan abadi kelak. Dalam Al-Quran sendiri dijelaskan betapa harta dunia
dan anak-anak tidak akan bermanfaat di hari akhirat kelak. Sebaliknya, yang bermanfaat adalah hati
yang suci dan bersih yang dipersembahkan kepada Allah Subhanahu wa taala.
Masyarakat kita pada hari ini tidak lagi diajar untuk melihat hala tuju kehidupan ini dalam pandangan
yang lebih luas. Pengaruh sekularisasi telah menyebabkan ilmu-ilmu yang fundamental dan paling
penting seperti pendidikan agama Islam disamatarafkan, atau diletakkan lebih rendah tarafnya, dengan
ilmu-ilmu lain seperti sains dan matematik. Akibatnya, masyarakat kita mengetahui akan hari akhirat,
tetapi tidak ramai yang benar-benar meyakini dan menghayatinya. Sedangkan, hakikatnya, hari akhirat
itulah kehidupan kita yang sebenar. Semua manusia akan mati, tidak ada sesiapa boleh menyangkalnya.
Selepas kematian, kita semua akan dihidupkan semula, dinilaikan segala amalan kita di dunia ini, dan
kemudian kita akan dihantar ke destinasi terakhir kita: syurga atau neraka, dan di sana kita hidup
selama-lamanya! Semua orang akhirnya akan ke situ, tetapi mengapa hal tersebut tidak menjadi suatu
slogan yang utama dalam menentukan hala tuju masyarakat. Malah, perbincangan tentang soal
kematian, syurga dan neraka dianggap sebagai sesuatu yang kolot dan terkebelakang dalam
masyarakat pada hari ini. Sesungguhnya, orang yang menganggap kolot dan memandang rendah
perbincangan-perbincangan tersebut adalah sebenarnya orang yang jahil dan buta mata hatinya.
Akhirnya, bila berlaku isu seperti penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah rendah ini, semua
pihak akan mula menuding jari menyalahkan antara satu sama lain, dan kemudiannya suatu lagi dasar,
peraturan, kempen dan program mungkin akan diperkenalkan yang pada hakikatnya tidak pun
menyentuh akar permasalah sebenar dalam masyarakat kita pada hari ini. Justeru, apa yang penting
dan yang boleh dilakukan oleh kita selaku entiti kecil dalam masyarakat adalah untuk kembali
mendekatkan diri kita kepada Allah dan Rasul-Nya, dan seterusnya berusaha menyampaikan kefahaman
kepada masyarakat agar menjadikan keredhaan Allah dan Rasul-Nya itu sebagai matlamat utama yang
ingin dicapai dalam kehidupan.
Mohon respon dan pandangan balas.

Você também pode gostar