Você está na página 1de 11

1

1.0 DEFINISI
1.1 KURIKULUM
Kurikulum merupakan satu rancangan tindakan atau satu dokumen bertulis yang
mengandungi strategi untuk mencapai matlamat yang dihajati. ( Ornstein dan Hunkin 1988 ).
Mohd Daud (1995) menjelaskan bahawa kurikulum adalah satu budaya atau ilmu
pengetahuan untuk memandu guru mengajar kumpulan murid tertentu .
1.2 STANDARD
Menurut Kamus Dewan edisi ke empat standard adalah sesuatu yang dapat diterima
( diiktiraf ) dan dijadikan dasar untuk mengukur sesuatu yang lain.

2.0 PENGENALAN
Perkembangan kurikulum di Malaysia adalah berterusan dan dinamik . Pada tahun
1983 Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah diperkenalkan . Ia telah digunapakai sehingga
tahun 1993 dan diganti pula dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR) .
KBSR disemak semula pada tahun 2003 apabila dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ( PPSMI ) telah diperkenalkan . Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR ) telah digubal selaras dengan teras kedua Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP).
Di dalam dasar PPIP adalah untuk memastikan anak bangsa Malaysia dipupuk
semangat , menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi serta menerapkan nilai
murni.
Kewujudan KSSR adalah merupakan satu transformasi iaitu perubahan yang
holistik kepada kurikulum persekolahan seperti perubahan bentuk , organisasi, kandungan ,
pedagogi , peruntukan masa , kaedah pentaksiran , bahan dan pengurusan kurikulum di
sekolah .
2

Terdapat persamaan dan juga perbezaan dalam perlaksanaan KBSR dan KSSR . Standard
kandungan dan standard pembelajaran telah diperkenalkan . Standard ini diperkenalkan bagi
mengatasi masalah murid keciciran dalam pelajaran mereka. Mekanisma dalam pengredan
dan penilaian juga telah diubah supaya penilaian bersifat lebih autentik dan holistik.
Bentuk pentafsiran juga lebih berbentuk fomatif dan dilaksanakan secara berterusan bagi
mengesan perkembangan dan pencapaian murid. Proses Pengajaran dan Pembelajaran juga
dirancang supaya menjadi lebih menyeronokkan serta tidak terlalu berorientasikan
peperiksaan. Dari segi bahan kurikulum pula, sukatan pelajaran telah digantikan dengan
standard kurikulum . Murid murid akan dinilai mengikut tahap penguasaan iaitu dengan
menggunakan Band bukannya berbentuk markah . Penggunaan buku teks dan buku
aktiviti dapat meningkatkan lagi kemahiran psikomotor murid seperti kemahiran
menggunting, menampal , menyurih dan mewarna . Murid akan melalui proses penilaian
mudah iaitu menaakul seterusnya melakukan perbincangan .
Pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku
teks oleh itu guru-guru telah dan sedang dilatih untuk KSSR. Pendekatan teknik P&P akan
menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut
serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam subjek Matematik dan
Sains sejajar dengan matlamat kerajaan. Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-
murid sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
3. Pandangan guru terhadap KSSR
Untuk menyiapkan tugasan ini saya dikehendaki menemubual dua orang guru di
sekolah saya. Saya telah memilih Pn Rosilah bt Abd Rahim dan Pn Solehah bt Bakar . Mereka
diminta memberikan pendapat dan pandangan mereka berkaitan dengan KSSR berdasarkan
pengalaman yang telah mereka lalui setelah tiga tahun KSSR dilaksanakan. Skop
perbincangan mencakupi latihan, DSP, strategi P&P, Teknik P&P, PBS, dan beberapa isu
yang berkaitan dengan pelaksaaan KSSR.
3.1 Latihan
Menurut pandangan kedua-dua orang guru yang ditemubual ini mereka merasakan tidak
menghadapi masalah dari segi latihan yang diberikan oleh kementerian untuk menyiapkan
3

diri mengajar mengikut dasar yang baharu iaitu pelaksanaan KSSR kerana bagi mereka
KSSR bukanlah satu dasar yang baharu , ia hanya merupakan suatu usaha untuk menyusun
semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan
pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi
cabaran yang lebih hebat di masa hadapan sejajar dengan wawasan 2020 iaitu untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Dalam proses transformasi kurikulum,
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membuat penanda arasan dengan kurikulum
negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan setanding dengan pendidikan
global. Bagi memastikan transformasi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) di
perkukuh serta ditambah baik dan penggunaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
pada peringkat awal perlaksanaannya para jurulatih utama terlebih dahulu diberikan kursus
orientasi. Sebagai melengkapkan para guru berhadapan dengan cabaran melaksanakan KSSR,
satu lagi kursus orientasi turut dianjurkan pada peringkat negeri oleh jurulatih utama masing-
masing mengikut mata pelajaran.
Setelah mengikuti latihan ,kedua-dua orang guru ini berpendapat bahawa mereka
hanya perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri . Latihan yang diterima adalah
mencukupi kerana tidak terdapat perbezaan yang besar antara KSSR dan KBSR.
Penambahbaikan yang dimasukkan di dalam KSSR dapat dilaksanakan dengan baik
walaupun pada peringkat awalnya agak sukar. Namun dengan pengalaman mengajar yang
ada pada kedua-dua orang guru ini maka mereka dapat mengadaptasikanya di dalam P&P .
3.2 Menterjemahkan Dokumen Standard Kurukulum (DSP)
Kedua-dua guru yang ditemubual ini berpendapat bahawa mereka tidak mengalami
masalah untuk melaksanakan P&P mengikut KSSR kerana memang terdapat banyak
persamaan dari segi kaedah atau teknik yang digunakan seperti .
3.2.1 Strategi Pengajaran-Pembelajaran
a) Pembelajaran Secara Kontekstual
Di dalam KSSR masih digunapakai strategi ini . Pembelajaran secara kontekstual
merujuk kepada pembelajaran yang dirancang haruslah mengikut konteks iaitu isi pelajaran yang
4

dirancang dan dilaksanakan berasaskan kurikulum dan dan objektif pelajaran yang ditentukan.
Aktiviti yang dirancang menggunakan pembelajaran kontekstual perlu menggabungjalinkan
konteks dengan pengalaman harian murid sendiri sama ada di sekolah atau di luar sekolah.
Pembelajaran kontekstual merupakan pembelajaran secara konkrit yang banyak melibatkan
aktiviti hands-on dan minds-on iaitu kerja praktik. Di samping itu, pembelajaran kontekstual
melibatkan kemudahan seperti bilik darjah, makmal, alat bantu mengajar dan alam sekitar. Ia
juga banyak melibatkan potensi intelek, emosi,sosial dan fizikal murid serta budayanya. Melalui
pembelajaran secara kontekstual murid-murid boleh mengaitkan pelajaran dengan kehidupan
harian selain mengaplikasikan apa yang dipelajari dengan situasi harian. Murid juga boleh
memupuk semangat bekerjasama dengan berhubung diri secara langsung dengan sekolah,
masyarakat dan alam sekitar.
b) Pembelajaran Masteri
Pembelajaran Masteri merupakan satu cara menyesuaikan pengajaran bagi menampung
keperluan pelajar yang berbeza.Tujuannya adalah bagi membolehkan para pelajar memperoleh
satu-satu kemahiran sebelum beralih kepada kemahiran yang lain.Penggunaan pembelajaran
masteri berlandaskan kepercayaan bahawa semua murid boleh menguasai sesuatu kemahiran
atau perkara yang diajar dengan cekap dan lengkap, sekiranya pengajaran dan pembelajaran yang
ada itu berkualiti serta masa yang mencukupi. Dalam pembelajaran masteri, guru perlu
menentukan hasil pembelajaran dengan merangka objektif pembelajaran secara eksplisit yang
mampu diukur dalam proses penilaian. Murid-murid juga perlu diajar dengan kaedah dan teknik
yang berkesan termasuklah menggunakan bahan pengajaran yang sesuai. Guru boleh membuat
penilaian dengan menggunakan ujian formatik dan ujian sumatif berdasarkan objektif pelajaran
yang bertujuan menentukan tahap penguasaan dan pencapaian murid selepas aktiviti pengajaran
dan pembelajaran. Langkah terakhir, guru boleh melaksanakan aktiviti pemulihan bagi murid-
murid yang belum menguasai kemahiran sepenuhnya dan aktiviti pengayaan bagi murid-murid
yang telah mencapai objektif pelajaran.
c) Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir terbahagi kepada dua komponen iaitu kemahiran berfikir secara kritis
dan kemahiran berfikir secara kreatif. Kemahiran berfikir secara kritis ialah penggunaan cara
5

berfikir untuk menganalisis, mentafsir dan menilai sesuatu perkara atau masalah secara rasional
dan logik. Ianya berlaku dalam keadaan yang memerlukan seseorang membuat keputusan
berdasarkan analisis serta penilaian sendiri terhadap masalah yang dihadapi. Pemikiran kreatif
merujuk kepada penggunaan cara berfikir untuk mengembangkan, memodifikasikan atau mereka
cipta sesuatu yang baru. Pembelajaran secara kreatif melibatkan kemahiran menjana iaitu
mencipta idea-idea baru dan kemahiran mencantum atau memodifikasikan idea-idea sedia ada.
Pelbagai strategi boleh digunakan oleh guru untuk menggerakkan murid menggunakan
kemahiran berfikir seperti strategi pemudahcaraan, strategi pemusatan murid dan bahan serta
teknik menyoal sering kali digunakan. Kebijaksanaan guru menggunakan kaedah serta teknik
yang sesuai amat penting untuk membolehkan muid membanding dan membezakan, membuat
inferens, membuat generalisasi, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
d) Kecerdasan Pelbagai
Teori kecerdasan pelbagai telah diperkenalkan oleh Howard Gardner (1943) mengatakan
bahawa setiap manusia dikurniakan potensi yang berbeza-beza. Setiap orang mempunyai lapan
kecerdasan dalam diri iaitu kecerdasan linguisik, kecerdasan logikal-matematikal, kecerdasan
visual-spatial, kecerdasan muzik, kecerdasan tubuh kinestatik,kecerdasan
interpersonal,kecerdasan intrapersonal dan kecerdasan naturalis. Melalui teori ini guru-guru
boleh mengukur kecenderungan murid dan memperkembangkan potensi murid secara
keseluruhan melalui penilaian secara kognitif dan penilaian bukan kognitif..
e) Akses Kendiri
Strategi pengajaran-pembelajaran akses kendiri berasaskan kepada strategi belajar cara
belajar, strategi berpusatkan bahan dan kemahiran menilai pencapaian kendiri. Strategi
pengajaran-pembelajaran ini lebih fleksibel, selesa dan masa boleh dipilih oleh pelajar
sendiri.Bahan pengajaran pula boleh mengikut cadangan guru atau murid dan boleh dijalankan
secara individu atau kumpulan. Melalui strategi pengajaran-pembelajaran akses kendiri dapat
melatih murid menguasai kemahiran belajar cara belajar. Penyediaan bahan pembelajaran yang
sesuai untuk untuk dipelajari oleh individu atau kumpulan.Ianya juga dapat membimbing pelajar
dengan pembelajaran akses kendiri yang kondusif selain melatih pelajar dengan kemahiran
menilai pembelajaran diri sendiri.
6


f) Pembelajaran Koperatif
Murid-murid belajar secara kerjasama di dalam bilik darjah dipanggil pembelajaran
koperatif. Dalam proses pembelajaran ini murid-murid berinteraksi dan saling membantu dalam
aktiviti pembelajaran yang bertujuan mencapai kemajuan dan prestasi cemerlang. Melalui
pembelajaran koperatif dapat melibatkan diri murid secara aktif dan kolaboratif dalam
pembelajaran kumpulan. Murid-murid akan dilatih dengan akauntabiliti diri, tangggungjawab
berkongsi dan kemahiran interaksi sosial.
3.2.2 Teknik Pengajaran-Pembelajaran
Kedua-dua orang guru ini juga menyatakan bahawa teknik pengajaran dalam KSSR
juga tidak banyak berbeza dengan KBSR kerana ia masih menggunakan teknik berikut:
a) Simulasi ( Main Peranan dan Lakonan )
Simulasi merupakan pembelajaran dalam situasi terkawal dan sengaja diwujudkan sama
dengan situasi sebenar. Murid-murid menjalankan aktiviti pembelajaran dengan cara
melakonkan sesuatu situasi atau peristiwa. Melalui lakonan murid dapat menunjukkan cara
menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul. Teknik simulasi membolehkan murid menguasai
kemahiran berbahasa, membina pemikiran analitik dan kritis, membina sikap positif, mengaitkan
isi pelajaran dengan aspek afektif dan membawa situasi sebenar ke dalam bilik darjah.
b) Tunjuk Cara ( Demonstrasi )
Teknik pengajaran-pembelajaran ini melibatkan kemahiran pengajar mendemonstrasikan
cara atau langkah melakukan sesuatu di hadapan pelajar. Terdapat tiga jenis tunjuk cara iaitu
model hidup, model simbolik dan model persepsi. Model hidup memerlukan pengajar atau
pelajar yang sudah menguasai kemahiran mendemonstrasikan sesuatu aktiviti seperti dalam mata
pelajaran Sains dan Muzik. Model simbolik merujuk kepada tunjuk cara yang dilakukan
berdasarkan langkah-langkah secara bertulis atau bergambar yang digunakan dalam mata
pelajaran Pendidikan Jasmani dan Sains. Model persepsi pula merujuk kepada penayangan
video yang menayangkan sesuatu demontrasi.
7

c) Perbincangan
Teknik perbincangan melibatkan aktiviti perbualan di antara guru dan murid-murid di
dalam kelas.Ianya juga melibatkan jenis aktiviti pembelajaran secara bertukar-tukar fikiran atau
idea serta maklumat.Perbincangan boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu perbincangan
keseluruhan kelas dan perbincangan secara kumpulan kecil.Melalui teknik perbincangan ini
diharapkan murid dapat memperkembangkan mental mereka dengan menyumbangkan idea dan
pandangan. Kemahiran berfikir secara teliti , perbualan yang menarik serta mengemukakan
sesuatu pandangan secara jelas dan logik juga dapat diterapkan kepada murid. Sesi
perbincangan memberi peluang kepada murid berinteraksi dan berkomunikasi secara berkesan di
samping mengukuhkan kemahiran lisan.
d) Sumbangsaran ( Brainstorming )
Sumbangsaran atau percambahan fikiran memerlukan setiap ahli kumpulan menyumbang
pendapat dan idea terhadap sesuatu topik. Sumbangsaran menggunakan teknik sesi buzz untuk
mendapatkan idea yang boleh memberi penyelesaian kepada sesuatu masalah. Melalui teknik ini
murid-murid dilatih mengemukakan idea dan pendapat dengan cara yang logik dan analitik.
Teknik ini memerlukan kerjasama dalam berkongsi maklumat dan melatih murid menguasai
kemahiran lisan yang tinggi.
e) Kerja Kumpulan
Teknik pengajaran kumpulan merupakan strategi pengajaran-pembelajaran berpusatkan
murid.Aktiviti pembelajaran kumpulan bertujuan supaya murid-murid dapat menguasai
kemahiran tertentu mengikut kadar yang sama dengan kebolehan mereka. Sesebuah kumpulan
boleh dibentuk mengikut kebolehan atau kumpulan pelbagai kebolehan.Cara berkumpulan
membolehkan guru merancang aktiviti pembelajaran mengikut kebolehan kumpulan serta mudah
baginya membuat bimbingan. Bagi murid-murid cerdas diteruskan dengan pengayaan sementara
murid-murid lambat akan diberi pemulihan.
f) Inkuiri Dan Penemuan
Pengajaran-pembelajaran secara inkuiri penemuan terbahagi kepada dua iaitu inkuri
terbimbing dan inkuri terbuka. Inkuri terbimbing memerlukan bimbingan daripada guru dalam
8

menjalankan sesuatu proses. Cara ini lebih sesuai dijalankan di sekolah rendah.Dalam inkuri
terbuka, proses sesuatu kajian dijalankan sendiri oleh murid tanpa bimbingan daripada guru.
Model inkuri merangkumi proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan
daripada soalan, atau masalah yang dikemukakan. Dalam aktiviti soal selidik murid-murid
dikehendaki mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti
kajian,menjalankan kaji siasat dan membuat rumusan atau mendapatkan jawapan. Terdapat
beberapa model inkuri iaitu model inkuri sains, model inkuri sosial, model inkuiri jurisprudental
dan model inkuiri Suchman.
3.3 Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
Rumusan yang dapat dibuat tentang pandangan kedua-dua orang guru ini berkaitan
dengan PBS , mereka bersependapat dan memahami PBS dari perspektif yang sama iaitu
PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif
(intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir
bidang akademik dan bukan akademik yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut
prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. Guru-guru mata pelajaran akan menilai
secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Mereka juga berpendapat PBS bukanlah sesuatu yang baru, kerana pentaksiran inilah
yang selama ini dilaksanakan oleh guru di sekolah . Cuma ia diberi dalam bentuk kerja rumah,
projek, kuiz, soal-jawab dan lain-lain . Mereka juga menerangkan bahawa PBS adalah lebih
holistik dan memberi penekanan kepada kesemua aspek JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan
intelek . Ia tidak hanya memberi penumpuan kepada pencapaian akademik semata-mata. Ia
juga tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor
prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan
(growth) murid dalam pembelajaran merujuk kepada pernyataan standard.
Guru akan menerangkan perkembangan anak mereka berdasarkan evidens dan deskriptor
dalam portfolio anak masing-masing. Laporan adalah berbentuk diskriptif. Maklum balas yang
diberi berdasarkan standard prestasi boleh membantu murid mengenalpasti kekuatan, kelemahan,
kesilapan dan apa yang perlu dibaiki, bagaimana perlu diperbaiki untuk memberi hasil yang lebih
9

baik. Maklum balas yang memberi makna boleh membantu murid tentang tujuan dan
perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan inilah yang memberi motivasi untuk mencuba
lagi bagi meningkatkan prestasi mereka di masa hadapan.standard prestasi menunjukkan tahap
penguasaan dan kualiti kerja murid . Standard prestasi yang digunakan akan memberi makna
kepada band yang dicapai murid
4. PENUTUP
Konklusinya , walaupun kurikulum persekolahan KBSR akan diganti dengan KSSR
namun ia masih berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan modal insan yang
sempurna dari sudut Jasmani , Emosi , Eohani dan Sosial. Ia juga masih berpaksikan kepada
Dasar Pendidikan Kebangsaan . Diharap dengan pengenalan kurikulum baru KSSR bagi
menggantikan KBSR maka akan terhasillah produk atau rakyat yang berpengetahuan luas ,
mempunyai ketrampilan yang tinggi , mempunyai pegangan agama yang kukuh , berakhlak
mulia , berkeyakinan tinggi serta boleh berdikari .
Diharap juga Kurikulum KSSR akan dapat melahirkan modal insan yang mampu
berdaya saing di peringkat global , mempunyai daya tahan yang tinggi , mampu
berkomunikasi di peringkat global serta mempunyai jati diri yang kental dalam
mengharungi cabaran dimasa hadapan.








10

Rujukan
Bahagian Perkembangan Kurikulum (2010). KSSR Kurikulum Standard Sekolah Rendah, Kuala
Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia.
Bahagian Perkembanagan Kurikulum (2011). Dokumen Standard Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) : Modul Teras Asas Bahasa Malaysia Sekolah Kebangsaan Tahun Satu, Kuala
Lumpur : Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ikhsan Othman & Norila Md. Salleh (2005). Kurikulum dan Pengajaran Sekolah Rendah :
Aspek-aspek Yang Berkaitan, Tanjung Malim : Quantum Books.
Kementerian Pendidikan Malaysia (1987). Kurikulum Baru Sekolah Rendah : Buku panduan
Khas, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka
Mok Soon Seng (1992). Pedagogi 2 : Strategi Pengajaran & Pembelajaran Mikro, Kuala
Lumpur : Kumpulan Budiman.
Rujukan internet
Mohd. Fadzly Mohd. Izab (May 25, 2010). Kurikulum baru sekolah rendah dikenali sebagai
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan diperkenalkan pada 2011. Diperoleh pada
Februari 3, 2011 daripada http://www.stsaraswathy.net/index.php/blog-layout/39-frontpage/127-
info-sekolah
Puan Lela (2008). Peperiksaan Vs Pentaksiran. Diperoleh pada Januari 26, 2011 daripada
http://pengajianam900.forumotion.com/t31-peperiksaan-vs-pentaksiran
Penilaian Kendalian Sekolah Rendah(PKSR) : Pemulihan, Pengayaan dan Pendidikan Inklusif.
Diperoleh pada Februari 2, 2011 daripada http://www.scribd.com/doc/14586713/Penilaian-
Kendalian-Sekolah-Rendah-PKSR-Pemulihan-Pengayaan-Dan-Pendidikan-Inklusif







11
















TUGASAN

SEMESTER SEPTEMBER 2013


KOD KURSUS

: EML 411

NAMA KURSUS

: PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU

PROGRAM : SARJANA MUDA PENDIDIKAN


NAMA PELAJAR


: SITI ROHAIZA BINTI ALI
NO. MATRIK

: E30209130662

FASILITATOR
AKADEMIK

: EN AZMAN BIN FADZIL
PUSAT
PEMBELAJARAN
: ALOR SETAR

Você também pode gostar