Você está na página 1de 12

PENGGUNAAN PRUNIT DAPAT MENINGKATKAN KEMAHIRAN

MENUKARKAN AYAT MATEMATIK KEPADA BENTUK LAZIM


BAGI MURID PEMULIHAN

MOHD FARHAN BIN KHIR


Pehe89@gmail.com
IPG Kampus Bahasa Melayu

Abstrak: Kajian tindakan ini dijalankan untuk meningkatkan kemahiran


menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim dengan menggunakan PRUNIT.
Seramai tiga orang responden telah dipilih daripada kelas pemulihan di sebuah
sekolah sekitar bandar Kuchai Lama. Ketika tinjauan awal dijalankan, pengkaji
mendapati ketiga-tiga responden tidak dapat menukarkan ayat matematik kepada
bentuk lazim mengikut nilai tempat dengan betul. Pengkaji menggunakan alat kajian
pemerhatian, penelitian dokumen, ujian selepas intervensi, dan temu bual untuk
mengumpul data. Hasil analisis mendapati bahawa ketiga-tiga responden dapat
meningkatkan kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim. Hasil
analisis mendapati bahawa ketiga-tiga responden menunjukkan peningkatan dalam
menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim. Keputusan kajian menunjukkan
bahawa penggunaan PRUNIT terbukti telah membantu responden meningkatkan
kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim dengan betul. Pengkaji
mencadangkan agar penggunaan PRUNIT dapat diaplikasikan menggunakan
kemudahan TMK seperti persembahan slaid Microsoft Office Power Point agar lebih
menarik dan lebih mudah untuk guru melaksanakannya.
Kata Kunci: PRUNIT, kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk
lazim, murid pemulihan

PENGENALAN
Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan modal insan yang
berguna dan seimbang dari sudut intelektual, emosi, rohani dan jasmani yang
sekaligus akan menjadi anggota masyarakat dan warganegara yang baik serta
berupaya untuk mendepani cabaran globalisasi masa kini. Mereka juga diharapkan
dapat memenuhi tuntutan pasaran dunia moden yang penuh dengan cabaran
globalisasi masa kini. Penyataan ini telah dijelaskan di dalam buku Falsafah Dan

Pendidikan Di Malaysia mengenai Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996 : Usaha


ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan
Negara.
Antara usaha KPM dalam usaha memperkasakan pendidikan, salah satunya adalah
mewujudkan program pemulihan di sekolah. Program pemulihan ini adalah suatu
usaha mengatasi masalah murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya
dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Semua
sekolah rendah yang mempunyai guru khas pemulihan dikehendaki melaksanakan
program pemulihan dan program ini melibatkan dua mata pelajaran asas iaitu Bahasa
Melayu dan Matematik yang memerlukan perancangan, penyediaan, pelaksanaan dan
penyelidikan yang rapi dan teratur. (Pekeliling KP (BS) 8502/5/PK/Jld. V (26)
bertarikh 28 Januari 1986).

Pernyataan Masalah
Berdasarkan Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Program
Pemulihan Khas yang diterbitkan oleh Bahagian Pendidikan Khas Kementerian
Pendidikan Malaysia pada tahun 2012, kemahiran menukarkan ayat matematik
kepada bentuk lazim dengan betul adalah asas kepada pengiraan-pengiraan yang
melibatkan operasi tambah, tolak dan darab. Kemahiran ini perlu dikuasai dengan
baik oleh murid lebih-lebih lagi apabila melibatkan pengiraan nombor yang lebih
besar seperti pengiraan yang melibatkan dua digit atau tiga digit. Tambahan pula,
pengiraan menggunakan bentuk lazim akan memudahkan pengiraan yang melibatkan
nombor yang lebih besar (Kamii dan Dominick, 1998).
Semasa pengkaji menjalani fasa praktikum yang ketiga di salah sebuah sekolah di
kawasan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, pengkaji mendapati terdapat tiga orang
responden mengalami masalah menguasai kemahiran asas matematik iaitu kemahiran
menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim.
Sepanjang seminggu proses pengajaran dan pembelajaran, responden tidak dapat
menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim mengikut nilai tempat yang betul.
Responden juga teragak-agak dan mengambil masa yang lama semasa membuat
latihan menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim pada papan putih.
Responden juga tidak faham konsep rumah puluh dan sa sesuatu nombor apabila
ditanyakan kepada mereka.

Objektif
Objektif yang lebih spesifik untuk dicapai dalam kajian yang dijalankan ke atas
responden Pendidikan Pemulihan.
i.

Murid pemulihan menguasai kemahiran menukarkan ayat matematik kepada


bentuk lazim mengikut nilai tempat yang betul.

ii.

Murid pemulihan dapat meningkatkan kemahiran menukarkan ayat


matematik kepada bentuk lazim mengikut nilai tempat yang betul
menggunakan PRUNIT.

Persoalan Kajian
Kajian ini diharapkan dapat menjawab dua persoalan seperti yang dinyatakan di
bawah:
i.

Dapatkah penggunaan PRUNIT meningkatkan kemahiran menukarkan ayat


matematik kepada bentuk lazim mengikut nilai tempat yang betul dalam
kalangan murid pemulihan?

ii.

Dapatkah murid pemulihan menguasai kemahiran menukarkan ayat


matematik kepada bentuk lazim mengikut nilai tempat yang betul?

Kepentingan Kajian
Matematik merupakan salah satu daripada mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh
semua murid di Malaysia termasuklah murid pemulihan. Kemahiran asas yang
terdapat dalam mata pelajaran Matematik ini sangat penting kerana segala urusan
kehidupan kita sangat berkaitan dengan matematik. Jika penguasaan kemahiran asas
matematik tidak dikuasai, pasti kehidupan sangat sukar untuk dilalui.
Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Program Pemulihan Khas
yang diterbitkan oleh Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia
pada tahun 2012, ada menyatakan bahawa kemahiran-kemahiran asas matematik
perlu dikuasai setiap murid pemulihan khas. Kemahiran menukarkan ayat matematik
kepada bentuk lazim turut disenaraikan sebagai kemahiran asas yang perlu dikuasai
murid pemulihan.
Menurut Kamii dan Dominick (1998), pengiraan menggunakan bentuk lazim
memudahkan pengiraan yang melibatkan nombor yang lebih besar. Menurut Susan
(2001), penguasaan langkah yang salah dalam bentuk lazim, memberikan hasil
jawapan yang salah.

Kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim ini sangat penting
untuk dikuasai khususnya dalam proses pengiraan bagi operasi tambah, tolak dan
darab. Selain itu, kemahiran ini perlu dikuasai lebih-lebih lagi apabila melibatkan
pengiraan nombor yang lebih besar seperti pengiraan bagi nombor yang melibatkan
dua digit atau tiga digit. Jika murid tidak dapat menguasai kemahiran ini, pengkaji
khuatir pengajaran yang akan datang akan mengalami masalah khususnya apabila
melibatkan tajuk-tajuk yang agak sukar seperti tajuk Masa dan Waktu, Wang, dan
Pengukuran. Kesimpulannya, kemahiran ini perlulah dipandang serius oleh guru
pemulihan bagi membantu murid-murid pemulihan.
Hasil kajian ini juga diharapkan dapat memberikan manfaat kepada para guru dalam
usaha mempelbagaikan teknik pengajaran dan pembelajaran dalam mengajarkan
kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim yang lebih berkesan.
Kemahiran ini penting untuk penguasaan kemahiran matematik yang akan dipelajari
murid.

Kajian Literatur
Program pemulihan ini adalah suatu usaha mengatasi masalah murid yang
menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai kemahiran asas
membaca, menulis dan mengira (3M). Semua sekolah rendah yang mempunyai guru
khas pemulihan dikehendaki melaksanakan program pemulihan dan program ini
melibatkan dua mata pelajaran asas iaitu Bahasa Melayu dan Matematik yang
memerlukan perancangan, penyediaan, pelaksanaan dan penyelidikan yang rapi dan
teratur. (Pekeliling KP (BS) 8502/5/PK/Jld. V (26) bertarikh 28 Januari 1986).
Buku Panduan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Program Pemulihan Khas
yang diterbitkan oleh Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia
pada tahun 2012, ada menyatakan bahawa kemahiran-kemahiran asas matematik
perlu dikuasai setiap murid pemulihan khas. Kemahiran menukarkan ayat matematik
kepada bentuk lazim turut disenaraikan sebagai kemahiran asas yang perlu dikuasai
murid pemulihan.
Pengkaji telah menggunakan bahan bantu mengajar PRUNIT bagi menyelesaikan
masalah tersebut di mana PRUNIT digunakan untuk meningkatkan kemahiran
menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim. Penerapan Teori Gestalt ke atas
PRUNIT adalah untuk membantu kemahiran pengamatan penglihatan murid dari
aspek diskriminasi yang sama. Gestalt berasal dari bahasa Jerman yang mempunyai
maksud sebagai bentuk atau konfigurasi. Pokok pandangan Gestalt adalah bahawa
objek atau peristiwa tertentu akan dipandang sebagai sesuatu keseluruhan yang
terorganisasikan. Teori Gestalt ini dipelopori oleh Max Wertheimer (1920), seorang
ahli psikologi German. Dalam teori tersebut ada dinyatakan mengenai Prinsip
Pragnanz di mana Prinsip Pragnanz telah dinyatakan oleh Koffa (1935, seperti yang
dinyatakan dalam Syed Abu Bakar, 1997 dan Mok Soon Sang, 2003) dalam bukunya

Principles of Gestalt Psychology. Hukum ini adalah berkait rapat dengan


pengamatan. Prinsipnya telah digunakan oleh ahli-ahli psikologi Gestalt untuk
menghuraikan ciri-ciri dan perkaitan di antara organisasi dan kofigurasi dalam
prinsip pengamatan. Salah satu prinsip yang terdapat dalam Prinsip Pragnanz ini
adalah Prinsip Keserupaan atau Similarity. Prinsip Keserupaan adalah suatu prinsip
yang menegaskan objek, keadaan atau ciri yang serupa digolongkan ke dalam
golongan yang sama. Berdasarkan prinsip keserupaan inilah, pengkaji menggunakan
warna sebagai membantu responden membuat penggolongan nilai tempat puluh dan
sa.
Menurut Kamii dan Dominick (1998), pengiraan menggunakan bentuk lazim
memudahkan pengiraan yang melibatkan nombor yang lebih besar. Menurut Susan
(2001), penguasaan langkah yang salah dalam bentuk lazim, memberikan hasil
jawapan yang salah.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, ransangan terhadap semua deria boleh
memberikan kesan yang sangat mendalam dalam ingatan murid. Hal ini disebabkan
oleh pancaindera melengakapi kekurangan dan mengukuhkan penanggapan sesuatu
pancaindera yang lain. Maka, alat-alat yang menggunakan pelbagai pancaindera akan
lebih mendatangkan kesan. Atan Long (1983, seperti dinyatakan dalam Hassan,
2012) menyatakan bahawa pemnggunaan alat yang menggunakan warna dan bentuk
yang menarik lebih menarik perhatian.
Menurut Jensen (2000, seperti dinyatakan dalam Hassan, 2012), sebanyak 80 hingga
90 peratus maklumat yang diserap oleh otak adalah dalam bentuk visual. Maka,
warna dan bentuk menjadi asas yang mempengaruhi perhatian murid.
Leonard M.S (1996, seperti dinyatakan dalam Hassan, 2012) menyatakan bahawa
kreativiti dalam bilik darjah seharusnya dapat memimpin murid-murid supaya lebih
berminat untuk mengambil bahagian dan mendapatkan pengalaman semasa proses
pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Maka, penggunaan teknik warna amat
sesuai untuk dijadikan satu elemen yang penting dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Elemen warna dalam konteks Seni Dalam Pendidikan dikenali sebagai
seni visual. Elemen warna merupakan elemen yang penting dalam kehidupan kita.
Tanpa warna kehidupan akan menjadi bosan dan tidak bermakna. Warna proses
pengajaran dan pembelajaran kerana dapat menarik perhatian dengan menjadikan
komunikasi visual lebih menarik, berkesan dan ekspresi.

Kajian-kajian Berkaitan
Kajian pertama yang berkaiatan dengan kajian saya adalah kajian yang dilakukan
oleh Sukri Berawi (2006). Tajuk kajiannya adalah Penggunaan Kaedah Bahan
Maujud Dan Kaedah Biasa (Conventional) Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Kemahiran Menambah Pelajar-Pelajar Tahap 1. Penyelidikan ini mengkaji tetang

penggunaan bahan maujud dan kaedah biasa (conventional) dalam pengajaran dan
pembelajaran kemahiran menambah pelajar-pelajar tahap 1. Di dalam kajian ini,
keberkesanan penggunaan bahan maujud sebagai alat bantu mengajar dibandingkan
dengan kaedah konventional (menggunakan kapur dan papan hitam). Responden
terdiri daripada murid Tahun1, Tahun 2 dan Tahun 3. Hasil kajian mendapati
penggunaan bahan maujud membantu dalam pengajaran matematik. Murid-murid
akan berasa lebih seronok dalam pembelajaran kerana terdapat bahan yang konkrit
untuk dipegang oleh mereka. Pengajaran menggunakan bahan maujud juga boleh
mewujudkan dimensi yang berlainan berbeza dengan kaedah konvensional.
Kajian kedua yang berkaitan dengan kajian saya adalah kajian yang telah dijalankan
oleh Liyana Omar (2012). Tajuk kajiannya adalah Penggunaan Model Carta Nilai
Tempat Membantu Murid Menjawab Soalan Yang Melibatkan Operasi Tambah
Dalam Lingkungan 50 Dengan Mengumpul Semula. Penyelidikan ini bertujuan
untuk melihat penggunaan model carta nilai tempat membantu murid menjawab
soalan yang melibatkan operasi tambah dalam lingkungan 50 dengan mengumpul
semula dalam kalangan murid pemulihan. Bilangan responden adalah seorang.
Objektif kajian ini adalah untuk melihat sama ada model carta nilai tempat dapat
membantu murid menjawab soalan yang melibatkan operasi tambah dalam
lingkungan 50 dengan mengumpul semula. Daripada hasil kajian, terdapat
peningkatan pencapaian apabila murid menjawab soalan yang melibatkan operasi
tambah dalam lingkungan 50 dengan mengumpul semula.
Kajian ketiga yang berkaitan dengan kajian saya adalah kajian yang telah dijalankan
oleh Nurul Atiqah Nizam dan Ismail Hj. Raduan (2010). Tajuk kajian mereka adalah
Kefahaman Konsep Penambahan Secara Algoritma Menggunakan Pembilang Dan
Kerangka Nilai Tempat Dalam Kalangan Murid Berpencapaian Rendah Tahun 2.
Penyelidikan ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman konsep penambahan
secara algoritma menggunakan pembilang dan kerangka nilai tempat dalam kalangan
murid berpencapaian rendah tahun dua. Bilangan responden adalah enam orang.
Objektif kajian adalah penggunaan bahan manipulatif seperti pembilang dan
kerangka nilai tempat dapat meningkatkan kefahaman konsep murid-murid dalam
penambahan secara algoritma. Hasil dapatan menunjukkan penguasaan murid
terhadap proses penambahan secara algoritma telah meningkat antara 80% hingga
100%.

METODOLOGI KAJIAN
Kajian tindakan dijalankan dengan berpandukan kepada model penyelidikan
Tindakan Lewin (1946) dan Laidlaw (1992).

Rajah 2: Model Penyelidikan Tindakan Lewin (1946) & Laidlaw (1992)


Semasa pengkaji menjalani fasa praktikum yang ketiga di salah sebuah sekolah di
kawasan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, pengkaji mendapati terdapat tiga orang
responden mengalami masalah menguasai kemahiran asas matematik iaitu kemahiran
menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim.
Peringkat pertama adalah mengenal pasti aspek amalan. Sepanjang seminggu proses
pengajaran dan pembelajaran, responden tidak dapat menukarkan ayat matematik
kepada bentuk lazim mengikut nilai tempat yang betul. Responden juga teragak-agak
dan mengambil masa yang lama semasa membuat latihan menukarkan ayat
matematik kepada bentuk lazim pada papan putih. Responden juga tidak faham
konsep rumah puluh dan sa sesuatu nombor apabila ditanyakan kepada mereka.
Masalah ini disokong dan dibuktikan oleh hasil pemerhatian, penelitian dokumen,
ujian sebelum intervensi yang dijalankan, dan temu bual bersama guru pemulihan.
Untuk peringkat kedua, pengkaji merancang pelan tindakan untuk penambahbaikkan
amalan pengajaran iaitu menggunakan bahan bantu mengajar, PRUNIT dalam
meningkatkan kemahiran murid menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim.
Pengkaji juga merancang cara pengumpulan data berkaitan kajian yang dijalankan
dengan menggunakan alat kajian seperti pemerhatian, temu bual, penelitian dokumen
dan ujian selepas intervensi. Pengkaji juga merancang cara menganalisis data bagi
kajian ini dan membuat penambahbaikkan amalan pengajaran.

Pada peringkat ketiga, peringkat membuat tindakan, pengkaji melaksanakan pelan


tindakan yang dirancang iaitu menggunakan bahan bantu mengajar PRUNIT bagi
meningkatkan kemahiran responden menukarkan ayat matematik kepada bentuk
lazim. PRUNIT adalah singkatan daripada Petak Rumah Nilai Tempat. PRUNIT
adalah satu bahan yang direka dan dicipta bagi membantu guru mengajar murid
menguasai kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim. Pada
PRUNIT ini terdapat dua keping kadbod warna dan pada bahagian kadbod warna
yang pertama dilekatkan rumah puluh dan sa dan bentuknya seperti petak khas. Nilai
tempat sesuatu nombor ditentukan berdasarkan padanan warna yang telah
disediakan. Petak khas yang disediakan bertujuan bagi memudahkan murid
meletakkan nombor pada nilai tempat yang betul. Bahagian kadbod yang pertama
juga boleh diselak ke belakang. Penggunaan kad nombor dan kad operasi juga turut
digunakan.
Antara peringkat-peringkat yang terlibat dalam intervensi:
Peringkat

Penerangan

Peringkat 1

Murid diajar menentukan rumah puluh dan sa sesuatu nombor


menggunakan PRUNIT.

Peringkat 2

Murid diajar menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim


menggunakan PRUNIT.

Peringkat 3

Murid menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim


menggunakan PRUNIT. Murid juga menulis bentuk lazim pada set
soalan yang menggunakan petak khas.
Murid menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim
menggunakan PRUNIT. Murid juga menulis bentuk lazim pada set
soalan tanpa menggunakan petak khas.
Murid menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim tanpa
bantuan PRUNIT dan tanpa menggunakan petak khas pada set
soalan.

Peringkat 4

Peringkat 5

Peringkat keempat pula, pengkaji mendapatkan data hasil penggunaan PRUNIT


dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap responden. Data akan
dikumpulkan sekali lagi melalui pemerhatian terhadap latihan murid semasa
membuatnya di papan putih selepas intervensi, temu bual bersama guru pemulihan,
ujian selepas intervensi, dan membuat penelitian dokumen iaitu pada latihan yang
dibuat responden pada buku latihan dan lembaran kerja.
Pemerhatian digunakan untuk merekod beberapa kemahiran kecil yang terlibat dalam
kemahiran asas menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim yang perlu
dikuasai responden dalam kajian yang dijalankan. Pengkaji telah menjalankan
pemerhatian secara berstruktur dengan menggunakan borang senarai semak untuk

memudahkan pengkaji merekod maklumat yang dikehendaki. Pada borang senarai


semak tersebut, pengkaji menggunakan ukuran dalam skala Gutman iaitu melibatkan
skala ya atau tidak. Tujuan skala ini digunakan dalam borang senarai semak adalah
untuk memberi respon yang lebih tegas mengenai masalah yang dikaji (Dr. Rosinah,
2012).
Antara kemahiran yang diperhatikan adalah seperti kemahiran mengenal nombor,
kemahiran mengenal nilai tempat, kemahiran menukarkan ayat matematik kepada
bentuk lazim secara bertulis, kemahiran menyusun nombor dalam bentuk lazim
mengikut nilai tempat, kemahiran mengira nombor melibatkan operasi tambah, dan
kemahiran menulis simbol tambah betul pada tempatnya.
Proses pemerhatian ini dijalankan selepas intervensi telah dijalankan iaitu semasa
responden membuat latihan pada papan putih. Pengkaji akan merekod pada borang
senarai semak selepas tiap-tiap responden tampil ke papan putih untuk membuat
latihan yang diberi. Tujuan pemerhatian ini dijalankan adalah untuk melihat
peningkatan kemahiran-kemahiran asas yang dikuasai oleh responden dalam
menguasai kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim.
Melalui alat kajian temu bual pula, pengkaji telah menjalankan temu bual selepas
intervensi dijalankan. Soalan yang digunakan untuk temu bual ini adalah sama
dengan soalan yang digunakan untuk temu bual sebelum intervensi dijalankan.
Soalan pertama mengenai penguasaan responden terhadap kemahiran yang dikaji dan
soalan kedua mengenai keberkesanan PRUNIT dalam mengatasi masalah yang
dikaji. Tujuan temu bual ini dijalankan adalah untuk mengetahui sama ada wujud
atau tidak masalah yang dikaji serta keberkesanan PRUNIT dalam mengatasi
masalah yang dikaji. Data temu bual ini hanyalah sokongan kepada hasil data-data
yang lain.
Melalui alat kajian penelitian dokumen, pengkaji telah membuat penelitian terhadap
latihan pada buku tulis dan latihan pada lembaran kerja. Latihan-latihan tersebut
dilabelkan sebagai set soalan. Penelitian dokumen ini telah dibuat semasa intervensi
dijalankan. Semasa intervensi dijalankan, penelitian dokumen telah dijalankan pada 5
set soalan. Tujuan penelitian dokumen ini dibuat adalah untuk melihat peningkatan
kemahiran yang dikuasai responden hasil intervensi dijalankan.
Alat kajian yang terakhir yang digunakan adalah ujian. Ujian dijalankan selepas
intervensi dilaksanakan. Ujian ini menggunkan soalan-soalan yang sama dengan
ujian sebelum intervensi iaitu sebanyak lima soalan. Tujuan ujian selepas intervensi
dijalankan adalah untuk melihat peningkatan kemahiran yang dikuasai responden dan
untuk mengetahui keberkesanan penggunaan PRUNIT dalam intervensi yang
dijalankan.
Peringkat terakhir adalah membuat refleksi akhir hasil penggunaan PRUNIT semasa
pengajaran dan pembelajaran terhadap responden. Pengkaji membuat analisis dan
membuat penilaian sama ada penggunaan PRUNIT sebagai bahan atau kaedah

alternatif pengajaran kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim


berkesan atau tidak berkesan.

DAPATAN DATA
Apabila pengkaji menjalankan intervensi dengan menggunakan PRUNIT, didapati
responden dapat menguasai kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk
lazim dengan baik.
Keputusan ini terbukti hasil daripada dapatan data pemerhatian, penelitian dokumen,
ujian selepas intervensi dan temu bual bersama guru pemulihan. Hasil pemerhatian
menunjukkan bahawa ketiga-tiga responden mampu menunjukkan tanda bahawa
mereka menguasai kemahiran-kemahiran yang hendak dilihat pengkaji iaitu
kemahiran mengenal nombor, kemahiran mengenal nilai tempat, kemahiran
menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim secara bertulis, kemahiran
menyusun nombor dalam bentuk lazim mengikut nilai tempat, kemahiran mengira
nombor melibatkan operasi tambah, dan kemahiran menulis simbol tambah betul
pada tempatnya.
Hasil penelitian dokumen pula menunjukkan bahawa ketiga-tiga responden
mengalami peningkatan markah dalam menjawab lima buah set soalan yang dibina
pengkaji. Responden A pada awalnya mendapat 1 markah kemudian diikuti 2
markah, 2 markah, 3 markah, 5 markah dan 5 markah. Responden B pula pada
awalnya mendapat 1 markah kemudian diikuti 2 markah, 2 markah, 3 markah, 5
markah dan 5 markah. Responden C pula pada awalnya mendapat 0 markah, 1
markah, 2 markah, 4 markah dan 5 markah.
Berdasarkan data ujian selepas intervensi, responden A, ujian sebelum intervensi
mendapat 0 markah manakala ujian selepas intervensi mendapat 5 markah.
Responden B, ujian sebelum intervensi mendapat satu markah manakala ujian
selepas intervensi mendapat 5 markah. Responden C pula, ujian sebelum intervensi
mendapat 0 markah manakala ujian selepas intervensi mendapat 5 markah.
Kesimpulannya, responden A ada peningkatan markah selepas intervensi iaitu
dengan beza markah 5 markah. Responden B juga berlaku peningkatan markah
selepas intervensi dijalankan iaitu dengan beza markah, 4 markah. Responden C pula
turut berlaku peningkatan markah dengan beza markah, 5 markah. Ketiga-tiga
responden berlaku peningkatan dalam menguasai kemahiran menukarkan ayat
matematik kepada bentuk lazim.
Hasil temu bual bersama guru pemulihan, guru tersebut menyatakan terdapat
peningkatan dalam kalangan ketiga-tiga orang responden terhadap penguasaan
kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim.

Jelas di sini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dalam penguasaan


kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim oleh responden
sekaligus menjawab persoalan kajian 1. Bahan yang digunakan dalam mengajar
responden iaitu PRUNIT juga dapat menjawab persoalan kajian 2. Oleh itu, pengkaji
berpendapat bahawa kajian yang dijalankan ini dapat memberikan impak dan
penyelesaian yang baik kepada golongan pendidik lain dalam meningkatkan prestasi
pembelajaran murid-murid mereka.

PERBINCANGAN DAN CADANGAN


Hasil kajian yang telah dilaksanakan ini telah menjawab persoalan kajian yang telah
dinyatakan serta mencapai objektif yang telah ditetapkan. Setiap resonden
menunjukkan peningkatan selepas menjalani intervensi. Hal ini menunjukkan
bahawa, penggunaan PRUNIT dapat meningkatkan kemahiran menukarkan ayat
matematik kepada bentuk lazim bagi murid pemulihan. Hal ini dibuktikan dengan
analisis dapatan yang diperolehi daripada empat alat kajian yang digunakan pengkaji
dan hasilnya menunjukkan terdapat peningkatan dalam kemahiran menukarkan ayat
matematik kepada bentuk lazim dalam kalangan responden. Peningkatan yang
ditunjukkan dalam ujian selepas intervensi juga membuktikan bahawa penggunaan
PRUNIT memberi kesan yang positif kepada responden. Kesimpulannya,
penggunaan PRUNIT dapat membantu responden meningkatkan penguasaan mereka
dalam kemahiran menukarkan ayat matematik kepada bentuk lazim.
Penggunaan PRUNIT dalam pengajaran dan pembelajaran dikemukakan dengan
harapan kajian ini akan memberi sumbangan ke arah peningkatan corak pengajaran
dan pembelajaran yang berfokuskan kepada kemahiran membaca perkataan. Kajian
ini juga diharap dapat menolong para guru mengenal pasti teknik pengajaran yang
lebih berkesan.
Cadangan kajian tindakan yang boleh dijalankan untuk masa hadapan adalah dengan
menghasilkan bahan interaktif dengan menggunakan perisian Power Point. Dalam
perisian tersebut boleh dibina berdasarkan konsep yang sama dengan PRUNIT. Nilai
tempat sesuatu nombor ditentukan berdasarkan padanan warna yang telah
disediakan. Pada bahan interaktif itu juga boleh dibina petak khas di mana petak khas
ini disediakan bagi memudahkan murid meletakkan nombor pada nilai tempat yang
betul. Kemudian, pada akhir penggunaan bahan interaktif tersebut, boleh dihilangkan
petak khas tersebut dan responden dapat melihat bentuk lazim yang sebenar.
Penggunaan bahan interaktif lebih mengikut arus zaman moden sekarang. Tambahan
pula, dalam bahan interaktif tersebut boleh diletakkan animasi bagi menarik minat
murid untuk belajar disamping memberi lebih kefahaman kepada murid.

RUJUKAN
Cohen, L. Manion, L. dan Morrison, K. (2000). Research Methods in Education. Ed.
Ke-5. London: Routledge Falmer.
Dr. Nor Hashimah, H. dan Yahya, C.L. (2007). Panduan Pendidikan Prasekolah.
Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Hassan, M. G. (2012). Seni Visual. Tanjong Malim: Citra Grafik.
Kamii. C, & Dominick. (1998). The Harmful Effects of Algorithms in Grade 1-4. In
Morrow, L. J & Kenny, M. J. (Eds.) The Teaching and Learning of Algorithms
in School Mathematics. Reston, VA: NCTM, pp. 130-140.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Program Literasi dan Numerasi LINUS
Numerasi Modul Guru Asas 1. Selangor: Kementerian Pelajaran Malaysia
Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2012). Buku Panduan Pengajaran dan
Pembelajaran Matematik Program Pemulihan Khas. Selangor: Kementerian
Pelajaran Malaysia Bahagian Pendidikan Khas.
Keow, C. L. Phd (2011). Falsafah Dan Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur:
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Liyana, O. (2012). Penggunaan Model Carta Nilai Tempat Membantu Murid
Menjawab Soalan Yang Melibatkan Operasi Tambah Dalam Lingkungan 50
Dengan Mengumpul Semula. Prosiding Seminar Penyelidikan dan Inovasi
Pendidikan Pemulihan 2012, (p.123).
Mok Soon Sang. (2003). Psikologi Pendidikan Untuk Kursus Diploma Perguruan
Semester 2. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Nurul, A. N. dan Ismail, H. R. (2010). Kefahaman Konsep Penambahan Secara

Algoritma Menggunakan Pembilang Dan Kerangka Nilai Tempat Dalam


Kalangan Murid Berpencapaian Rendah Tahun 2. Prosiding Seminar
Penyelidikan Tindakan PISMP 2010, (p.113)

Rosinah, E. (2012). Penyelidikan tindakan, kaedah dan penulisan edisi kedua. Kuala
Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.
Susan, S. S. (2001). Early Childhood Mathematics. Ed. Ke-2. United State: Allyn &
Bacon.
Syed Abu Bakar, S. A. (1997). Bimbingan Khas Perkhidmatan Pendidikan
Pemulihan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sukri, B. (2006). Penggunaan Kaedah Bahan Maujud Dan Kaedah Biasa
(Conventional) Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Menambah
Pelajar-Pelajar Tahap 1. Prosiding Seminar Penyelidikan dan Inovasi
Pendidikan Pemulihan 2012, (p.127).
Surat Pekeliling KP (BS) 8502/5/PK/JLD. V (26) bertarikh 28 Januari 1986.

Você também pode gostar