Você está na página 1de 3

Peranan Sun Yat Sen dalam Revolusi 1911

Pengenalan
Sun Yat Sen yang dikenali sebagai bapa Revolusi China dilahirkan pada tahun
1866 di Hsiang Shan 40 batu dari Canton dalam wilayah Kwangtung di Selatan
China. Beliau memperolehi pendidikan tradisional sehingga berumur 12 tahun.
Pada tahun 1879, beliau dihantar ke Hawaii dan tinggal bersama saudara tuanya
Sun Mei atau Sun Teh Chang. Di Hawali beliau memasuki sekolah mubaligh
Protestan iaitu Bishop College School. Sejak itu, beliau dipengaruhi oleh idea-idea
Barat dan tidak lagi percaya kepada unsur-unsur tradisi dan konservatif China. Hal
ini terbukti bila beliau memotong tocangnya dan kemudiannya memeluk agama
Kristian. Pada tahun 1883, beliau kembali ke China dan memasuki sekolah
perubatan di Hong Kong. Selepas mendapat diploma perubatan dan pembedahan
beliau mempraktikkannya di Macau.
Peranan Sun Yat Sen
Segala sikap dan tindakan serta fahaman Sun Yat Sen telah mempengaruhi
perkembangan Revolusi China yang meletus pada 10 Oktober 1911 akibat
ketidakpuasan orang-orang Cina terhadap pemerintahan Manchu. Pada tahun 1894,
Sun Yat Sen telah menghantar satu memorandum kepada Li Hung Chang
mendesak perlantikan pegawai-pegawai China yang terlatih secara Barat ke dalam
perkhidmatan kerajaan. Pada peringkat awalnya, Sun Yat Sen hanya bertujuan
untuk memoden, menguat dan memulihkan negeri China. Apabila
memorandumnya ditolak, Sun Yat Sen berazam untuk melancarkan Revolusi
China bagi menggulingkan Dinasti Manchu. Kegagalan rancangan pembaharuan
seperti Gerakan Memperkuatkan Diri 1861-1894 dan Islah 1898 menyedarkan
beliau bahawa Dinasti Manchu perlu digulingkan supaya perubahan dan
pembaharuan dapat dilaksanakan di China.
1. Pertubuhan revolusiner ke arah gerakan anti Manchu
Dalam usaha untuk menguatkan gerakan menentang Manchu, Sun Yat Sen
telah menubuhkan Perkumpulan Menghidupkan Semula China yang dikenali
sebagai Hsing Chung Hui di Hawaii pada tahun 1894. Tujuannya ialah untuk
menjalankan gerakan bagi menggulingkan Dinasti Manchu. Cawangancawangan Hsing Chung Hui telah ditubuhkan di Canton, Macau dan Hong
Kong. Pada tahun 1895, Sun Yat Sen telah melancarkan pemberontakan di
Canton dan pada tahun 1900 di wilayah Kwangtung. Beliau juga telah
mempengaruhi orang-orang Cina ke arah gerakan anti Manchu. Kegagalan
pemberontakan tersebut telah menyebabkan Sun Yat Sen melarikan diri ke
Filipina dan kemudiannya ke Amerika. Dari Amerika, beliau telah pergi ke
London dan ditahan oleh agen-agen Manchu. Walau bagaimanapun, campur
tangan gurunya Sir James Cantlie dan dengan kerjasama Kerajaan British,
beliau telah dibebaskan. Beliau kemudiannya melawat negara-negara Eropah
dan juga Jepun dengan tujuan untuk mendapat sokongan orang-orang Cina

seberang laut ke arah melancarkan Revolusi China. Pada peringkat awal


kegiatannya, Sun Yat Sen mendapat saingan daripada pertubuhan yang
memperjuangkan pengekalan sistem monarki di negeri China iaitu Emperor
Protection Society di bawah pimpinan Kang Yu Wei dan Liang Chih Chao.
Mereka menolak idea melancarkan revolusi dan membentuk sebuah republik.
Sungguhpun mendapat saingan dari Emperor Protection Society, ia tidak
menghalang cita-cita Sun Yat Sen untuk meneruskan gerakan menjatuhkan
Dinasti Manchu.
Pada tahun 1905, Sun Yat Sen sekali lagi melawat Eropah dan Jepun
dengan tujuan untuk mendapat sokongan penuntut-penuntut China di sana.
Beliau telah mengadakan pertemuan dan menubuhkan perkumpulanperkumpulan pelajar di Tokyo, Brussels, Paris, Berlim, London dan lain-lain.
Beliau telah berjaya mempengaruhi mereka ke arah melaksanakan revolusi
bagi menggulingkan Dinasti Manchu. Semasa di Tokyo pada September 1905,
Sun Yat Sen bersama-sama Huang Hsing dan Sung Chiao Jen telah
menubuhkan Liga Bersatu yang dikenali sebagai Tung Meng Hui yang
merupakan gabungan pertubuhan anti Manchu iaitu Hsing Chung Hui, Hua
Hsing Hui dan Kung Fu Hui. Tung Meng Hui ditubuhkan dengan tujuan untuk
menggulingkan Dinasti Manchu dan menubuhkan sebuah republik di China.
Selain itu, Tung Meng Hui juga akan menjadikan tanah-tanah hak kerajaan dan
menghapuskan penguasaan kuasa-kuasa asing di China. Pimpinan Tung Meng
Hui dikuasai oleh Sun Yat Sen dan Tung Meng Hui merupakan pertubuhan
revolusiner yang paling berkesan yang terdapat di China ketika itu. Anggotaanggota Tung Meng Hui berjumlah 10,000 orang dalam tempoh setahun
penubuhannya. Cawangan-cawangan Tung Meng Hui telah ditubuhkan di
Singapura, Brussels, San Francisco dan Honolulu. Manakala di China,
cawangan-cawangan Tung Meng Hui telah ditubuhkan di Hankow, Wuchang
dan Hanyang. Sun Yat Sen telah melawat tempat-tempat di mana terdapat
orang-orang Cina seberang laut dengan tujuan untuk mendapat sokongan
mereka ke arah menjayakan Revolusi China. Melalui cawangan-cawangan
seberang laut Tung Meng Hui, Sun Yat Sen mendapat bantuan kewangan dan
merekrut sukarelawan bagi melaksanakan revolusi.
2. Mengembangkan perasaan anti Manchu
Matlamat utama Sun Yat Sen ialah menyatupadukan orang-orang Cina dalam
usaha untuk menentang Dinasti Manchu. Beliau telah memainkan peranan
penting dalam perkembangan perasaan anti Manchu di kalangan orang-orang
Cina terutamanya kongsi gelap-kongsi gelap. Beliau telah berkhutbah
mengenai pemberontakan nasionalis melalui rencana-rencana akhbar, Sun Yat
Sen telah menerbitkan akhbarnya sendiri iaitu Min Pao di Tokyo bagi
menjalankan propaganda anti Manchu dan menyebarkan idea-idea revolusi.
Beliau telah berjaya mengeksploitasikan perasaan anti Manchu di kalangan
anggota-anggota kongsi gelap. Gerakan revolusiner di bawah pimpinan Sun
Yat Sen telah mendapat sokongan pelajar-pelajar, rakyat China yang tidak
berpuas hati dengan Kerajaan Manchu, ahli-ahli kongsi gelap dan tentera Cina

yang dilatih secara Barat. Sejak tahun 1909, beliau sering melakukan lawatanlawatan ke luar negeri seperti Amerika, Hawaii, Eropah, Jepun dan kemudian
ke Selatan seperti Hong Kong serta Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu
dalam usaha-usaha untuk mendapat sokongan orang-orang Cina serta
mendapat bantuan kewangan dari orang-orang Cina seberang laut bagi
menjayakan perjuangannya.
3. Prinsip-prinsip perjuangan
Sun Yat Sen telah mengemukakan ideologi revolusi yang jelas dalam
menjayakan perjuangannya. Langkah awal yang dijalankan oleh Sun Yat Sen
ialah untuk menyedarkan Fahaman Republik di kalangan orang-orang Cina
supaya perjuangannya akan mendapat sokongan ramai. Prinsip perjuangan Sun
Yat Sen dikenali sebagai Tiga Prinsip Rakyat atau San Min Chu I iaitu
nasionalisme, demokrasi dan kebajikan sosial atau penghidupan rakyat. Prinsip
nasionalisme dikhaskan kepada orang-orang Cina dalam perjuangan
membebaskan negeri China dari Kerajaan Manchu. Walau bagaimanapun,
perjuangan Sun Yat Sen menyentuh imperialisme Barat kerana beliau
mendapat sokongan dan bantuan kuasa-kuasa Barat. Prinsip kedua iaitu
demokrasi bertujuan untuk menggantikan pemerintahan Manchu atau
pemerintahan monarki kepada corak republik atau demokrasi. Prinsip ketiga
bermaksud pemerintahan yang akan mengutamakan kebajikan rakyat. Ideologi
San Min Chu I telah menyumbangkan kepada perkembangan gerakan
revolusiner di negeri China kerana ramai orang Cina telah dipengaruhi olehnya.
4. Revolusi
Antara tahun 1895-1911, Sun Yat Sen danpengikutnya telah merancang,
mengatur dan mengetuai sepuluh pemberontakan dan beberapa pembunuhan di
negeri China. Walaupun pemberontakan-pemberontakan itu gagal tetapi ianya
telah mengakibatkan kemerosotan pengaruh dan martabat Kerajaan Manchu.
Pemberontakan Wuchang di bawah pimpinan Li Yuan Hung yang meletus
pada 10 Oktober 1911 yang menandakan permulaan Revolusi China dimulakan
oleh tentera-tentera China yang dipengaruhi oleh Tung Meng Hui. Wilayahwilayah lain dibawah pengaruh Tung Meng Hui juga turut meberontak dan
mengisytiharkan bebas dari Kerajaan Peking. Revolusi ini telah menyebabkan
kejatuhan Dinasti Manchu dan penubuhan sebuah republik di China apabila
Maharaja Hsuan Tung atau Pu Yi diturunkan takhta pada 12 Februari 1912.
Kesimpulan
Revolusi China bermula dengan rasminya pda 10 Oktober 1911 dan Sun Yat Sen
tidak berada di China semasa meletusnya revolusi tersebut. Beliau hanya
mengetahui mengenai revolusi melalui akhbar semasa berada di Amerika. Beliau
kembali ke China pada 25 Disember 1911 dan dilantik sebagai Presiden Sementara
pada 29 Disember 1911. Sun Yat Sen memegang jawatan tersebut secara rasminya
pada 1 Januari 1912. Akibat dari saingan Yuan Shih Kai, Sun Yat Sen telah
menyerahkan jawatan Presidennya kepada Yuan Shih Kai pada 15 Februari 1912.

Você também pode gostar