Você está na página 1de 5

Agama : Adab-adab Menyambut Eidul Fitri Dan Hukum Fiqh Berkaitan

1) Mandi, memperelokkan diri dan memakai pakaian yang terbaik


Disunatkan untuk lelaki dan wanita memakai pakaian terbaik yang ada pada mereka, tidak kiralah
sama ada pakaian itu adalah pakaian baru atau lama, putih atau selain putih.
Ibn Qoyyim telah berkata : Rasulullah s.a.w. telah memakai pakaian terbaiknya untuk
kedua-dua hari itu (Eidul Fitri dan Eidul Adha) dan baginda mempunyai pakaian
tersendiri yang dipakainya untuk hari raya dan hari Jumaat.

2) Makan sebelum keluar menunaikan solat raya


Anas berkata : Nabi s.a.w. tidak keluar di hari Eidul Fitri sehinggalah baginda makan
beberapa biji tamar, dan baginda telah makan tamar itu dalam jumlah yang ganjil. [HR
Bukhari, Ahmad]
Buraidah berkata : Nabi s.a.w. tidak keluar di hari Eidul Fitri sehinggalah baginda makan,
dan tidak makan di hari Eidul Adha sehinggalah baginda pulang. [HR Tirmizi, Ibn
Majah, Ahmad]

3) Disunatkan wanita-wanita muslimah keluar di hari raya untuk bersama di dalam


perhimpunan hari raya dan mendengarkan nasihat dari khutbah
Daripada Ummu Atiyyah, katanya : Kami disuruh (oleh Rasul s.a.w.) untuk mengeluarkan
(semua wanita) sama ada anak dara dan juga wanita haid pada kedua-dua hari raya
(Eidul Fitri dan Eidul Adha) untuk menyaksikan kebaikan dan dakwah (nasihat) orangorang Islam dan diasingkan wanita haid daripada tempat solat.
Tetapi para wanita hendaklah mengambil berat tentang adab-adab semasa mereka berada di luar
seperti tidak mengenakan perhiasan melampau, bersolek dan mengenakan wangian untuk
memelihara dirinya daripada fitnah sekiranya mereka bersama dengan lelaki ajnabi. Sekiranya
mereka hanya berada di rumah atau di kalangan wanita sahaja, maka tidak ada masalah untuk
mengenakan perhiasan yang cantik atau wangian.

4) Disunatkan melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan pulang dari tempat solat

Daripada Jabir r.a. dia berkata : Nabi s.a.w. pada hari raya membezakan jalan (pergi jalan
yang lain, pulang jalan yang lain). [HR Bukhari]
Daripada Abi Hurairah r.a. dia berkata : Nabi s.a.w. sekiranya keluar untuk hari raya
baginda akan pulang mengikuti jalan lain dari jalan yang (telah digunakannya) untuk
pergi tadi. [HR Muslim, Ahmad, Tirmizi]

5) Bertakbir di hari raya


Bertakbir di hari raya adalah sunnah yang agung. Berdasarkan firman Allah s.w.t.:
Dan cukupkanlah bilangannya dan bertakbirlah (mengagungkan) Allah ke atas
petunjuk yang diberikan kepadamu agar kamu bersyukur. [Al-Baqarah : 185]
Waktu bertakbir adalah bermula dari malam raya iaitu ketika terbenam matahari akhir Ramadhan
sehinggalah bermulanya solat raya.

6) Mengucapkan tahniah di hari raya serta menunjukkan wajah yang ceria dan penuh
senyuman kepada saudara-saudara muslim
Daripada Jabir bin Nafir, dia berkata : Para sahabat Nabi s.a.w. apabila bertemu pada hari
raya mereka akan berkata sesama mereka Taqabbal minna wa minka- Semoga Allah
menerima (amal) dari kami dan dari kamu. Al-Hafiz berkata : Sanad ini adalah hasan.
Syeikh Salman Audah telah memberi komentar :
Tidak diragukan lagi bahawa ucapan tahniah ini adalah dari tanda kemuliaan akhlak,
dan manifestasi kepada hubungan kemasyarakatan dalam kalangan muslim, dan ia
mempunyai kesan-kesan yang baik dalam menguatkan ikatan dan hubungan,
menyuburkan kecintaan sesama muslim [Ahkam Al-Eidin]

7) Menunaikan solat sunat hari raya


a) Hukum solat hari raya
Ulama berbeza pendapat tentang hukum solat sunat hari raya. As-Syafiiah dan Al-Malikiah
berpendapat ia adalah sunat muakkad. Sementara Al-Hanafiah berpendapat ia adalah wajib bagi
sesiapa yang wajib ke atasnya solat Jumaat, hanya saja ada pengecualian pada kewajipan

mendengarkan khutbah dan bilangan makmum. Al-Hanabilah pula berpendapat bahawa ia adalah
fardhu kifayah bagi sesiapa yang mempunyai keterikatan dengan solat Jumaat.

b) Kaifiah Solat Sunat Hari Raya


- Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah
- Ditunaikan selepas waktu larangan (selepas terbit matahari), di dalam mazhab Syafie disebutkan
setelah matahari naik sepenggalah [Ruj : Fiqh Ala Mazahib Arbaah]
- Bilangan rakaat hanya sebanyak 2 rakaat
- Niat dan rakaat pertama bermula dengan 7 kali takbir tidak termasuk takbiratul ihram.
- Setiap kali takbir diselangi dengan tasbih, tahmid dan takbir. Diriwayatkan bahawa tidaklah ada
zikir tertentu daripada Nabi s.a.w. ketika selang di antara takbir ini, tetapi disebutkan oleh Ibn
Masud, Di setiap antara dua takbir, bertahmidlah kepada Allah, dan pujilah Allah
s.w.t. [Majmu Fatawa]
- Selepas 7 kali takbir, Imam memulakan membaca surah Al-Fatihah. Disunatkan Imam untuk
membaca surah (Qaf) atau surah (Al-Ala).
- Kemudian rukuk dan sujud seperti biasa.
- Memulakan rakaat kedua dengan takbir. Kemudian diikuti dengan 5 takbir selepas itu. Diselangi
setiap takbir dengan tasbih, tahmid dan takbir.
- Selepas 5 kali takbir, Imam memulakan membaca surah Al-Fatihah. Disunatkan membaca surah
(Al-Qamar) atau surah (Al-Ghashiyah)
- Surah-surah yang disunatkan membaca ini tsabit dalam hadis riwayat Muslim.
- Imam mengakhiri solat sunat seperti biasa (rukuk, sujud, tahiyyat, beri salam).

c) Khutbah disampaikan selepas solat sunat hari raya Eidul Fitri


Khutbah selepas solat sunat hari raya adalah sunat dan mendengarnya pun adalah sunat.
Daripada Abdullah bin Saib dia berkata : Aku menyertai Rasulullah s.a.w. dalam solat Eid,
ketika selesai menunaikan solat, baginda bersabda : Kami akan berkhutbah,
barangsiapa yang mahu duduk (mendengar) khutbah, maka duduklah dan barangsiapa
yang mahu pergi, maka pergilah. [HR An-Nasai, Abu Dawud dan Ibn Majah]

Sebaik-baiknya adalah kita duduk seketika mendengarkan nasihat-nasihat dari khutbah serta
mengambil peluang bersalam-salaman selepas tamat khutbah dan saling mengucapkan tahniah.

8) Berhibur, makan-makan dan bernyanyi-nyanyian di hari raya


Tidak ada masalah untuk berhibur, makan-makan atau bernyanyian selama mana hiburan, makanmakan dan nyanyian itu adalah yang baik dan tidak melanggar batas-batas syariat.
Hari ini, ramai yang bila berhibur di hari raya terus melupakan batas-batas syariat Islam.
Pergaulannya tidak terjaga, auratnya didedahkan sesuka hati, berpakaian terlalu ketat atau terlalu
nipis, bernyanyi dengan nyanyian yang melalaikan, berhibur sehingga mengabaikan solat dan
seruan Allah yang fardhu, membazir dalam berbelanja dan menyediakan jamuan makan.
Wajar diperhatikan dan dihindarkan hal ini agar hari raya tidaklah menjadi sebab kita
mendapatkan kemurkaan Allah setelah sebulan Ramadhan kita berusaha mengejar rahmat,
keampunan dan kasih sayang-Nya.

Penutup : Ramadhan Pergi, Syawal Mengiringi, Mari Terus Menjadi Hamba Rabbani
Beberapa catatan adab dan hukum fiqh berkaitan Eidul Fitri ini diharapkan dapat menjadi panduan
serba sedikit dalam kita menghidupkan suasana ibadah di hari raya ini.
Eidul fitri adalah anugerah dari Allah s.w.t. untuk hamba-hambaNya.
Orang yang benar-benar memanfaatkan Ramadhan ini dengan penuh keimanan dan
mengharapkan redha Allah, maka Eidul Fitri adalah hari yang sangat besar erti bagi dirinya dalam
konteks hubungannya dengan Allah.
Tetapi bagi orang yang menjalani Ramadhan dengan ala kadar, tidak menghayati roh ubudiah
kepada Allah di dalam Ramadhan, maka Eidul Fitri ini tidaklah ada makna besar apa bagi dirinya
melainkan faedah materialisme dan duniawi semata-mata.
Semoga Ramadhan yang pergi, Syawal yang mengganti tidak menyebabkan kita kembali
bermaksiat dan berdosa kepada Ilahi. Syawal dan bulan-bulan yang seterusnya, marilah kita terus
menjadi hamba Rabbani, yang terus tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. dalam segenap
kehidupannya.

Rujukan :

1) Fiqh Sunnah, Sayyid Sabiq


2) Fiqh Ala Mazahib Arbaah, Syeikh Abd Rahman Al-Jaziri
3) Sohih Fiqh Sunnah, Abu Malik Kamal Sayyid Salim

Você também pode gostar