Você está na página 1de 4

ARKIB : 03/07/2008

Remaja dan kemahiran berbahasa

Oleh Mohd. Farid Md. Alias>br>(fikrahremaja@yahoo.com)

MENURUT Kamus Dewan, bahasa didefinisikan sebagai sistem lambang bunyi suara
yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.

Kemahiran berbahasa pula bermaksud darjah keupayaan seseorang itu mengaplikasikan


sesuatu bahasa dalam menyampaikan mesej kepada pihak kedua dan kemudiannya
mentafsirkan kembali maklum balas daripada pihak kedua tersebut.

Bahasa bukan sahaja mencerminkan keperibadian sesuatu bangsa, malah juga sebagai
manifestasi latar budaya dan peradaban bangsa tersebut. Bahasa adalah bersifat neutral,
yakni sesiapa sahaja boleh mempelajarinya. Bahasa berupaya menjalinkan perhubungan
antara dua dunia yang tidak mengenali satu sama lain.

Kemahiran berbahasa meliputi aspek kemahiran membaca, menulis, bertutur dan


mendengar. Penguasaan bahasa juga berkait rapat dengan budaya keilmuan seperti
budaya membaca, bertukar pandangan serta berkarya.

Penguasaan bahasa ibunda merupakan prasyarat minimum bagi seseorang untuk


berinteraksi dengan masyarakat sekeliling yang bersifat homogeneus dengannya.
Penguasaan lebih daripada satu bahasa akan memberi kelebihan kepada seseorang itu dari
sudut interaksi sosial, keilmuan dan kerjaya.

Penguasaan bahasa selain bahasa ibunda sendiri membolehkan kita memperluas ruang
lingkup interaksi sosial dengan insan-insan lain yang bertutur dalam bahasa tersebut. Hal
ini dapat membuka ruang untuk menjalinkan kerjasama dalam sektor perniagaan,
pendidikan atau sebagainya demi manfaat bersama.

Di samping itu, kita juga dapat mengenali corak budaya dan pemikiran bangsa lain sejajar
dengan pembelajaran bahasa ibunda bangsa tersebut. Faedahnya, aspek-aspek positif
yang dimiliki oleh bangsa tersebut dapat dicontohi dan diasimilasikan terhadap budaya
hidup kita sendiri.

Dalam sudut keilmuan, penguasaan lebih daripada satu bahasa akan membuka lebih
banyak akses kepada sumber ilmu pengetahuan dan informasi terkini. Pengayaan ilmu
serta peningkatan keupayaan berfikir di luar konteks pemikiran setempat dapat berlaku
dan seterusnya mendorong ke arah pemupukan minda kelas pertama.

Bahasa Kebangsaan, Ibunda Dimartabatkan

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menguasai dengan baik bahasa kebangsaan
iaitu bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia yang diguna pakai oleh segenap lapisan rakyat di
negara ini merupakan bahasa perpaduan ke arah menyatupadukan masyarakat negara ini
yang berbilang kaum.

Apatah lagi bagi bangsa Melayu, bahasa Melayu yang kemudiannya dinamakan bahasa
Malaysia merupakan bahasa ibunda mereka. Penguasaan bahasa ibunda dengan baik
adalah perlu demi menjamin kelangsungan jati diri sesuatu bangsa itu agar tidak hanyut
ditelan zaman.

Sejarah telah memahatkan bahawa bahasa Melayu telah menjadi lingua franca atau
bahasa pertuturan di kalangan pedagang asing dan rakyat tempatan pada zaman
kegemilangan Empayar Kesultanan Melaka suatu masa dahulu.

Adalah sangat menyedihkan sekiranya rakyat jati Malaysia sendiri khususnya rakyat
berbangsa Melayu tidak mampu bertutur atau menulis menggunakan bahasa Malaysia
secara fasih dan betul. Penggunaan bahasa Malaysia yang tidak teratur atau bersifat
‘rojak’ iaitu berselang seli dengan bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris tidak banyak
membantu ke arah memartabatkan bahasa kebangsaan kita.

Justeru usaha untuk memperkembangkan penggunaan bahasa Malaysia perlu diteruskan


dengan bersungguh-sungguh tanpa prejudis. Agensi atau syarikat penerbitan buku atau
majalah tempatan sewajarnya mempertingkatkan usaha ke arah memperkaya bahan
bacaan berbahasa Malaysia yang bermutu dan berpatutan harganya.

Agensi penterjemahan pula perlu merancakkan lagi penterjemahan buku-buku dari luar
negara terutamanya buku-buku sains dan teknologi supaya masyarakat di negara ini dapat
mengikuti perkembangan keilmuan terkini dari luar negara.

Bagi remaja Muslim juga, mereka digalakkan untuk menguasai bahasa Arab demi
mendalami ajaran Islam dengan lebih berkesan. Penguasaan bahasa Arab dapat
membantu memudahkan proses pemahaman, pembelajaran, penghayatan dan hafazan
para pelajar dalam pendidikan Islam yang diterapkan.

Hal ini juga dapat membuka saluran untuk meneroka isi kandungan al-Quran secara
tersurat mahupun tersirat. Insya-Allah proses penghafazan al-Quran juga menjadi mudah
di samping dapat membentuk keperibadian dan keterampilan diri yang unggul
berpandukan al-Quran.

Bahasa Inggeris Semakin Berperanan

Begitupun, dalam kesungguhan kita memartabatkan bahasa kebangsaan dan bahasa


ibunda sendiri, kita juga seharusnya menguasai bahasa lain khasnya bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris dilihat sebagai amat penting untuk dipelajari dan dikuasai
memandangkan fungsinya sebagai medium komunikasi yang semakin meluas di
peringkat antarabangsa. Menurut sumber laman web Wikipedia, bahasa Inggeris
mempunyai jumlah penutur melebihi 800 juta orang (sebagai bahasa pertama atau kedua)
yang merangkumi lebih 120 buah negara di seluruh dunia.

Tidak dinafikan juga bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa keilmuan global pada
masa kini. Terdapat pelbagai karya ilmiah dan bukan ilmiah yang diterbitkan dalam
bahasa Inggeris. Dengan kemahiran berbahasa Inggeris maka ia akan membuka saluran
keilmuan buat kita terhadap pelbagai lapangan ilmu dari luar negara.

Keperluan menguasai bahasa Inggeris juga semakin penting selaras dengan kemajuan
bidang sains dan teknologi. Tapak asas kemajuan bidang teknologi maklumat (IT)
umpamanya berasal dari Amerika Syarikat dan perkembangannya masih bertumpu di
sana. Banyak syarikat peneraju dalam bidang IT berasal dari negara tersebut seperti
Microsoft, Apple dan Google dan mereka memperkenalkan produk-produk IT yang mana
bahasa pengaturcaraan dan sistem operasinya adalah dalam bahasa Inggeris.

Untuk tidak ketinggalan dalam kepesatan bidang sains dan teknologi maka adalah perlu
untuk kita menguasai bahasa Inggeris demi memahami istilah-istilah khusus dalam
bahasa tersebut dan selanjutnya memudahkan kita untuk menguasai dan memperkembang
teknologi yang dipelajari.

Sektor pekerjaan hari ini memperlihatkan diversiti di kalangan tenaga kerja dari sudut
bangsa, jantina, budaya, agama, latar belakang pendidikan dan sebagainya. Demi
memenuhi keperluan berinteraksi dalam sesebuah organisasi, maka bahasa Inggeris
lazimnya digunakan dalam komunikasi lisan mahupun aspek dokumentasi.

Justeru adalah perlu bagi seseorang graduan itu mengasah kemahiran berbahasa dan
berkomunikasi dalam bahasa Inggeris demi meningkatkan peluang mendapatkan
pekerjaan dan seterusnya meningkat naik dalam kerjaya yang diceburi.

Andainya seseorang itu menguasai bahasa ketiga atau lebih daripada itu seperti bahasa
Mandarin, Tamil, Arab atau lain-lain maka ia akan memberi nilai tambah terhadap
dirinya untuk meningkat ke tahap yang lebih tinggi atas kapasiti keupayaan interaksi
sosialnya yang lebih meluas.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kemahiran berbahasa merupakan kunci ke arah mencapai kecemerlangan


yang lebih gemilang pada masa hadapan. Walau apa pun bahasa yang ingin dikuasai,
pokok pangkalnya adalah usaha berterusan yang tidak mengenal jemu atau malu untuk
terus mempelajari bahasa tersebut.

Ketika usia muda remaja inilah adalah waktu terbaik buat remaja memperkasa kemahiran
berbahasa yang dimiliki. Ini kerana pada zaman remaja potensi kekuatan minda berada
pada tahap terbaik untuk menuntut pelbagai ilmu dan kemahiran.
Justeru kesempatan waktu dan keupayaan akal yang dimiliki remaja wajar dimanfaatkan
untuk meningkatkan keupayaan intelek diri khasnya kemahiran berbahasa agar menjadi
pencetus kepada kemajuan masyarakat secara keseluruhannya.

Você também pode gostar