Você está na página 1de 4

1.

Bumi yang lestari hanya impian kerana manusia terus mengeksploitasi alam sekitar demi
pembangunan dan pemodenan. Berikan pendapat anda.

Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita
meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, peliharalah alam sekitar supaya anak
dan cucu kita dapat menikmatinya. Pepatah ini jelas membuktikan bahawa alam sekitar
merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Arus modenisasi masa
kini memesatkan lagi pembangunan negara. Pelbagai projek sosioekonomi giat dijalankan.
Namun, tanpa kita sedari alam sekitar di sekeliling bumi turut terjejas di sebalik
pembangunan dalam meniti arus kemodenan.
Dewasa ini, sering kedengaran berlakunya pencemaran dan bencana alam sekitar di
serata pelosok dunia. Ianya berlaku akibat kealpaan manusia itu sendiri yang hanyut dalam
arus pembangunan dan kemodenan. Apabila keuntungan dihamparkan di depan mata, manusia
dengan rakusnya meratah segala isi bumi yang ada tanpa memikirkan natijah yang bakal
berlaku kesan daripada kerakusan mereka. Maka, berlakulah pencemaran alam sekitar yang
semakin meruncingkan.
Pencemaran alam sekitar didefinisikan sebagai perbuatan mencemarkan alam sekitar
yang bersih menjadi kotor. Ia boleh dikategorikan kepada tiga perkara yang utama iaitu
pencemaran air, pencemaran udara dan pencemaran tanah. Pencemaran air nyata memberikan
pelbagai impak kepada manusia sekiranya sampah sarap dan sisa toksik dihumban berterusan
ke dalam punca utama aliran air iaitu sungai dan laut. Sampah sarap yang terkumpul lazimnya
akan menyekat aliran air, sekaligus menyumbang kepada takungan air. Ia boleh
mengakibatkan banjir kilat berlaku. Selain itu, sisa toksik dan minyak daripada kilang yang
disalurkan ke sungai atau laut boleh menjejaskan ekosistem kehidupan marin. Lebih

merumitkan lagi, pencemaran air boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia dan
juga hidupan lain.
Pencemaran tanah pula berlaku akibat ketamakan manusia yang berjiwa serakah
seperti golongan pemaju perumahan yang sentiasa berkiblatkan keuntungan semata mata.
Dek sifat mementingkan diri sendiri menjurus segelintir manusia ini menoreh lantas
menggondolkan bukit bukau dan gunung ganang yang sepatutnya menjadi pasak bumi.
Pokok pokok ditebang bagi memberikan medan kepada kemajuan sektor pembangunan.
Selain itu, penerokaan hutan juga semakin berleluasa. Hutan mempunyai nilai komersial
dalam ekonomi negara. Akan tetapi, eksploitasi hutan yang melampau untuk tujuan
pembalakan, pertanian, penternakan dan sebagainya telah mengakibatkan ketandusan
kawasan tadahan hujan serta merubah struktur tanah yang menyebabkan berlakunya kejadian
tanah runtuh dan banjir kilat. Lantas membawa kepada kemusnahan habitat flora dan fauna.
Seterusnya, flora dan fauna ini akan mengalami ancaman kepupusan yang akhirnya lenyap
dari muka bumi jika tidak diatasi masalah pencemaran yang semakin meruncing kini.
Masalah pencemaran alam sekitar diperkasakan lagi dengan pencemaran udara.
Pencemaran udara berlaku kesan daripada penggunaan kenderaan bermotor yang semakin
meningkat dan juga aktiviti pembakaran terbuka seperti pembakaran sampah sarap. Selain itu,
industri perkilangan juga turut menyumbang kepada pencemaran ini apabila membebaskan
asap asap tanpa tapisan terus ke udara. Semua ini memberikan kesan rumah hijau akibat
penipisan lapisan ozon oleh gas gas beracun seperti karbon dioksida dan karbon monoksida
yang terbebas di udara. Bentuk muka bumi yang kian ketandusan hutan tidak dapat menyerap
kesemua gas beracun ini menyebabkan cuaca dunia makin meningkat. Maka berlakulah
pemanasan global. Pemanasan global telah mengubah cuaca dan sistem iklim dunia.
Kesannya, berlaku pencairan bongkah bongkah ais di kutub utara dan selatan. Pencairan ini
boleh memberikan impak negatif jika kawasan daratan yang sedia ada ditenggelami air.

Pencemaran yang berlaku boleh menggugat keindahan alam sekitar. Segala tindakan
manusia mendatangkan kesan yang mendalam terhadap kehidupan alam. Bumi yang lestari
hanya impian jika tiada usaha yang efektif dilakukan bagi membendung aktiviti
mengeksploitasi alam sekitar daripada bermaharajalela. Kesejahteraan alam sekitar perlu
dipelihara untuk kepentingan sejagat. Oleh itu, semua pihak haruslah bersatu hati mengambil
langkah memelihara dan memulihara alam sekitar agar dapat dikekalkan keindahannya. Arus
kemodenan bukanlah satu alasan yang konkrit untuk tidak menjaga alam sekitar.
(598 patah perkataan)

1. Pada pendapat anda, bagaimanakah kuasa beli yang dimiliki oleh pengguna mampu
membendung kenaikan harga barang?

Pengguna mampu membendung kenaikan harga barang melalui kuasa beli yang
dimiliki. Pengguna perlulah bijak dan bermaklumat. Pengguna wajar memulau, memboikot
dan membuat aduan kepada pihak berkuasa tentang barangan yang tidak sepadan dengan nilai
wang yang dibelanjakan. Ketegasan sebegini menjadi pengimbang kepada penentuan takat
harga agar ia tidak dimonopoli oleh peniaga.
(50 patah perkataan)

2. Bersetujukah anda dengan pendapat yang mengatakan bahawa Akta Perlindungan


Pengguna 1999 gagal berfungsi sebagai pelindung hak pengguna. Berikan hujahan anda.

Akta Perlindungan Pengguna 1999 gagal berfungsi sebagai pelindung hak pengguna.
Ia berpunca daripada pengguna sendiri. Pengguna seharusnya tidak teragak agak untuk
membuat aduan tentang amalan perniagaan yang tidak beretika kepada pihak berkuasa. Aduan
yang dibuat memudahkan pihak berkuasa menjalankan tindakan undang undang kepada
peniaga tegar sekaligus menangani isu kenaikan harga barangan.
(50 patah perkataan)

Você também pode gostar