Você está na página 1de 7

ARTIKEL: Pendidikan Etika, Moral dan Integriti dalam Organisasi Sektor Awam di

Malaysia
Soalan 1: Bagaimana penulis menjelaskan pendidikan etika, moral dan integriti?
Berdasarkan artikel yang ditulis oleh Roslan Mahmood dan Nik Rosnah Wan Abdullah
mengenai pendidikan etika, moral dan integriti, penulis menggambarkan pendidikan ini
merupakan pengisian penting yang perlu wujud di dalam organisasi sektor awam. Ini kerana,
organisasi sektor awam merupakan organisasi yang sentiasa berhubung dengan orang awam.
Melihat kepada keadaan sebenar yang berlaku di dalam organisasi sektor awam pada hari ini,
keperibadian pegawai mahupun petugas-petugas awam bekerja di mana-mana organisasi
sektor awam kebanyakkan mereka tidak menunjukkan keperibadian yang tinggi. Mereka
seringkali melakukan kerja dalam keadaan yang sambil lewa, lembap, birokratik, tidak
komited, tidak kompeten dan sebagainya. Perwatakan yang mereka paparkan kepada
masyarakat awam yang berurusan dengan mereka, ia memberikan gambaran bahawa pekerja
di dalam sektor awam kurang diberikan pendidikan mengenai etika, moral dan integriti.
Penulis melihat pendidikan etika, moral dan integriti mampu mempengaruhi minda, sikap,
tingkah laku dan tindakan anggota organisasi bagi melahirkan modal insan dan hasil kerja
yang berkualiti serta ia mampu untuk menjadi benteng dari berlakunya kelakuan yang
bercanggah dengan kepentingan awam. Pendidikan ini turut perlu bagi memastikan imej,
kredibiliti dan reputasi orgasnisasi sektor awam dapat dikekalkan. Penerapan pendidikan ini
juga dapat menggalakkan anggota organisasi sektor awam memahami nilai-nilai teras bagi
menghasilkan kualiti perkhidmatan yang baik agar dapat dinikmati oleh masyarakat awam
yang berurusan dengannya.
Pendidikan etika, moral dan integriti ini juga menjadi asas utama di dalam melahirkan
perkhidmatan yang berkualiti. Penulis turut menjelaskan bahawa pendidikan ini perlu
diterapkan kepada semua peringkat terutamanya di peringkat atasan bagi memastikan proses
kerja yang dijalankan oleh pekerja di bahagian operasi dilakukan berasakan nilai-nilai etika.
Dengan itu, kualiti kerja serta perkhidmatan dihasilkan dengan baik di setiap lapisan
perkhidmatan.

Soalan 2: Dapatan kajian


Menerusi kajian literatur yang telah dijalankan oleh penulis, ia jelas menunjukkan kewujudan
pendidikan etika, moral dan integriti di dalam organisasi sektor awam berada di tahap yang
lemah. Sememangnya program peneguhannya wujud akan tetapi ianya tidak dilaksanakan
dengan menggunakan strategi yang betul dan kurangnya pengukuhan pendidikan etika, moral
dan integriti di peringkat atasan sehingga kepada peringkat bawahan menjadikan pendidikan
ini dipandang sepi. Biarpun pendidikan etika, moral dan integriti ini telah dikenalpasti akan
kepentingannya bagi memastikan kualiti perkhidmatan di dalam organisasi sektor awam,
namun ia tidak diangkat sebagai satu struktur yang utama bagi menjadikan sesebuah
organisasi itu berjaya kerana pengurus di peringkat atasan lebih memandang kepada matlamat
organisasi tersebut tercapai tanpa mempedulikan kedudukan pendidikan etika, moral dan
integriti di dalam organisasi mereka.
Merujuk kepada dapatan kajian, ia adalah hasil kajian dari kajian-kajian lepas
membincangkan dari aspek tujuan, pendekatan, faktor-faktor yang mempengaruhi, dan
kaedah pelaksanaan pendidikan etika, moral dan integriti di dalam organisasi sektor awam.
Pada dasarnya, penerapan mengenai pendidikan etika, moral dan integriti di dalam sesebuah
organisasi sektor awam adalah bagi meningkatkan kredibiliti dan akauntabiliti di kalangan
anggota organisasi agar ia dapat mengubah prestasi kerja mereka ke tahap yang
memberangsangkan. Pendidikan berkenaan dengan etika, moral dan integriti ini adalah
disebabkan oleh hasil kerja anggota organisasi di sektor awam yang sering dikaitkan dengan
pandangan mutu kerja yang negatif. Pendekatan yang boleh dilaksanakan mengikut
pandangan pengkaji yang terdahulu adalah berteraskan dua pendekatan iaitu pematuhan yang
mana menerusi penekanan terhadap perundangan yang mampu mengubah dan meningkatkan
etika serta integriti anggota organisasi dan seterusnya pendekatan normatif iaitu melalui
pendekatan yang berkait dengan nilai-nilai, norma-norma dan prinsip-prinsip etika dan moral
yang dapat mempengarui pemikiran serta tingkah laku anggota organisasi.
Manakala bagi kaedah pelaksanaan turut dibincangkan yang mana ia perlu dilakukan
menerusi penyaluran maklumat mengenai prinsip-prinsip, kepentingan dan isu etika dan
integriti perkhidmatan awam yang dapat disebarkan samada secara lisan iaitu seperti
ceramah, syarahan, perbincangan sesama pengurus serta perbincangan antara pengurus dan
subordinat atau kaedah pelaksanaan secara bertulis iaitu secara memberi surat, penulisan
artikel, jurnal dan mengedarkan risalah dan sebagainya.

Kajian ini turut menganalisis kajian empirikal yang melihat mengenai pendidikan etika,
moral dan integriti dalam organisasi sektor awam yang mana kajian ini menggunakan
pendekatan kualitiatif ke atas empat agensi iaitu Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pembangunan Usahawan
dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Ia melibatkan 38 pegawai bagi kumpulan
pengurusan dan profesional Gred 41 hingga Gred 54. Kajian kes ini adalah berdasarkan
pembangunan rangka kerja pendidikan etika, pelaksanaan pendidikan etika, moral dan
integriti serta masalah berkaitan dengan pelaksanaan pendidikan etika, moral dan integriti.
Berdasarkan rangka kerja pendidikan etika, moral dan integriti, kajian mendapati bahawa
organisasi sektor awam ini tidak mempunyai rancangan strategik berkaitan dengan
pendidikan etika, moral dan integriti yang mana ia akan menyebabkan organisasi tersebut
tidak dapat menjalankan program atau aktiviti pembangunan dan pemantapan etika, moral
dan integriti secara teratur. Begitu juga dengan matlamat dan penggubalan pelan operasi
pendidikan, ianya tidak mempunyai matlamat dan objektif serta pelan operasi yang jelas
berkenaan dengan pendidikan etika, moral dan integriti yang menyebabkan pembangunan ke
arah tersebut kurang diberi tumpuan.
Manakala bagi pelaksanaan pendidikan etika, moral dan integriti, kajian ini mendapati
pengurus-pengurus di peringkat bahagian, cawangan dan unit tidak memainkan peranan
mempromosikan kepentingan etika dan integriti di dalam perkhidmatan awam. Ini turut
berkait dengan falsafah pengurusan yang juga tidak didokumenkan dan tidak disebarkan
kepada anggota organisasi mengenai pendidikan etika dan integriti secara jelas iaitu tidak
dipamerkan di tempat yang mudah dilihat. Selain itu, konsep pengurus sebagai Role Model
iaitu konsep kepimpinan melalui juga teladan tidak dilaksanakan. Ia memberi kesan di dalam
menjalankan tugasan yang mana apabila ketua tidak menjadi contoh yang baik, pekerja akan
tidak melakukan perkara yang baik juga. Seterusnya perbincangan untuk meningkatkan
prestasi pelaksanaan pendidikan turut tidak dilakukan yang mana pihak pengurusan juga
tidak membincangkan hal ini sesama mereka bagi meningkatkan tahap kesedaran. Tambahan
lagi pihak pengurusan juga tidak berbincang dengan subordinat bagi mempraktifkkan nilai
murni dan pematuhan peraturan di samping menghasilkan kualiti perkhidmatan yang terbaik
kepada masyarakat.

Bagi masalah berkenaan dengan pengurusan pendidikan etika, moral dan integriti ini, di
dapati bahawa tiada garis panduan yang jelas bagi mempengaruhi minda dan tingkah laku
anggota organisasi, rangka kerja yang diwujudkan tidak disalurkan kepada pengurus dan
anggota organisasi sebagai rujukan serta kurang pengetahuan mengenai pengurusan
pendidikan etika, moral dan integriti di kalangan pihak pengurusan, persaingan kursus
pendidikan etika dengan kursus teras yang menyebabkan kursus pendidikan etika mendapat
kurang perhatian dan juga aktiviti pendidikan etika ini kurang mendapat sambutan daripada
anggota organisasi.
Soalan 3: Huraikan masalah berkenaan pengurusan pendidikan etika, moral dan
integriti
Berdasarkan kajian yang dilakukan, dikenalpasti beberapa masalah yang melibatkan
pengurusan pendidikan etika, moral dan integriti yang mana berlaku di kebanyakkan
organisasi sektor awam. Antara masalah tersebut adalah tiada garis panduan yang jelas
mengenai pengurusan pendidikan etika, moral dan integriti untuk dijadikan rujukan kepada
pengurus-pengurus berkaitan dengan pendekatan dan strategi yang boleh digunakan bagi
mempengaruhi minda, sikap, tingkah laku dan tindakan anggota organisasi.
Ini bermakna, pihak kerajaan amnya telah mewawarkan kepada pengurus-pengurus agensi
kerajaan agar memastikan pendidikan etika, moral dan integriti dilaksanakan. Namun begitu,
panduan yang khusus yang mana sebagai garis panduan kepada pengurus-pengurus agensi
tidak diperjelaskan. Garis panduan ini amat penting sebagai panduan kepada pengurus untuk
merancang dan melaksanakan program pendidikan etika, moral dan integriti secara teratur Ia
juga dapat membantu organisasi sektor awam mencapai sasaran yang telah ditetapkan yang
mana hasil daripada hasil kerja anggota organisasi yang cekap yang disebabkan dari
pendidikan etika itu sendiri. Apabila masalah tiada garis panduan yang khusus tentang
pendidikan etika, moral dan integriti ini secara tidak langsung akan mencacatkan kualiti
perkhidmatan yang seharusnya wujud di dalam setiap anggota organisasi. Oleh itu, pihak
pengurus-pengurus organisasi sektor awam perlu sentiasa berhubungan antara satu sama lain
bagi meningkatkan mutu perkhidmatan. Mereka perlu sentiasa berusaha untuk memastikan
pembangunan dan pemantapan etika, moral dan integriti anggota organisasi diberikan
penekanan yang tinggi.

Selain itu, masalah dari aspek rangka kerja pematuhan dan rangka kerja normatif tidak
disalurkan kepada semua pengurus-pengurus organisasi bagi tujuan untuk menjadi rujukan
dan panduan. Rangka kerja adalah kaedah untuk melaksanakan pendidikan etika, moral dan
integriti. Apabila kedua-dua rangka kerja ini tidak disalurkan kepada pengurus-pengurus, ia
akan membataskan pengurus-pengurus untuk memberikan pendidikan etika kepada anggota
organisasinya. Rangka kerja pematuhan adalah peraturan dan perundangan yang memastikan
perkara yang mampu mengubah dan meningkatkan etika serta integriti anggota organisasi dan
rangka kerja normatif adalah yang berkaitan dengan nilai-nilai, norma-norma dan prinsipprinsip etika dan moral yang dapat mempengarui pemikiran serta tingkah laku anggota
organisasi. Oleh itu, pihak kerajaan yang perlu memastikan pengurus-pengurus mendapat
maklumat mengenai rangka kerja pematuhan dan normatif ini agar mereka dapat
membimbing anggota organisasi mereka di dalam pendidikan etika, moral dan integriti yang
mana akan menghasilkan kualiti kerja dan perkhidmatan yang cemerlang.
Seterusnya masalah lain berkenaan pengurusan pendidikan etika, moral dan integriti adalah
berkaitan dengan pengetahuan mengenai pendidikan etika ini berada ditahap yang rendah di
kalangan pengurus-pengurus dan ini mengakibatkan pengurus-pengurus ini tidak mampu
untuk mengubal rangka kerja, pelan operasi dan modul pendidikan etika bagi agensi dan
anggota organisasi mereka. Ini kerana, ketika pengurus-pengurus ini dilantik memegang
jawatan pengurus, mereka kurang mendapat pendedahan serta latihan yang secukupnya
mengenai pendidikan etika, modal dan integriti. Dengan itu, mereka tidak mampu untuk
menggunakan pelbagai teknik pendidikan etika yang mana teknik ini dapat membantu
pengurus mengendalikan anggota organisasinya dari aspek pembentukan pemikiran, sikap,
tingkah laku yang berhemah dan ianya wajar wujud di dalam setiap anggota organisasi di
sektor awam ini. Oleh itu, pihak kerajaan sekali lagi perlu memainkan peranan bagi
memastikan pengurus yang dilantik mampu bertindak proaktif dan kompeten di dalam
mengubal rangka kerja dan pelan operasi serta pendidikan etika bagi memastikan anggota
organisasinya berkhidmat dalam keadaan yang terancang.
Masalah yang dikaitkan dengan pengurusan pendidikan etika, moral dan integriti ini adalah
berlakunya persaingan di antara kursus yang berbentuk teras, teknikal dan fungsional dengan
kursus berkenaan etika, moral dan integriti. Ini kerana, pihak agensi tersebut kurang memberi
perhatian kepada kursus berunsurkan etika, moral dan integriti. Keadaan ini berlaku
disebabkan juga peruntukan yang diberikan tidak mencukup dan selain itu, ia juga

menggambarkan bahawa, kurangnya kesedaran akan kepentingan kursus etika ini berbanding
kursus teras yang lain. Ini mungkin disebabkan, perhatian dan tumpuan agensi lebih kepada
peningkatan motivasi dan skil pekerja serta bagi mencapai matlamat asas sesebuah agensi itu
yang mengakibatkan kursus berkenaan dengan etika, moral dan integriti ini diketepikan. Oleh
itu, pihak pengurus perlu memastikan pencapaian kecemerlangan etika, moral dan integriti
berada siring dengan matlamat utama agensi. Pengurus juga perlu sedar bahawa apabila
anggota organisas mendapat kecemerlangan di dalam pendidikan etika, moral dan integriti
secara tidak langsung kualiti kerja akan bertambah cemerlang dan tiada lagi tingkah laku
negatif seperti rasuah akan berlaku.
Masalah lain yang dikenalpasti adalah berkenaan dengan aktiviti pendidikan etika, moral dan
integriti yang telah dianjurkan kurang mendapat sambutan daripada anggota organisasi.
Penegasan yang tidak kukuh akan mengakibatkan keadaan ini berleluasa. Pengurus perlu
mengambil tindakan tegas atau bertindak secara proaktif bagi menarik pekerja untuk hadir
seperti mengenakan markah merit sekiranya gagal mengikuti aktiviti atau program
pendidikan etika, moral dan integriti.
Jika diperhatikan, masalah yang dinyatakan saling berkait di antara satu sama lain.
Kelemahan yang wujud di dalam agensi kerajaan sekarang tidak boleh dibiarkan kerana ia
secara tidak lansung akan menjejaskan mutu perkhidmatan mereka kepada masyarakat. Ini
adalah disebabkan kurangnya mendapat pendidikan etika, moral dan integriti.

Soalan 4: Nyatakan implikasi dapatan kajian terhadap pengajaran pendidikan moral di


sekolah
Setalah dibincangkan mengenai dapatan kajian dan mengenai masalah berkenaan dengan
pengurusan pendidikan etika, moral dan integriti, implikasi dapatan kajiannya adalah
berkaitan dengan pengajaran pendidikan moral di sekolah. Ini bermakna, memupuk serta
membimbing individu tatkala sudah dewasa adalah sukar jika dibandingkan dengan
membimbing individu semasa diperingkat awal seperti di peringkat sekolah. Sepertimana
peribahasa Melayu ada menyatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya yang
bermaksud jika hendak membentu keperibadian seseorang individu hendaklah dilakukan
diperingkat awal sementara diri mereka mudah dilentur dan dibentuk.
Jika seseorang individu dibentuk keperibadian yang beretika, bermoral dan berintegriti dari
peringkat awal iaitu di peringkat sekolah, ia akan membawa sehingga ke alam pekerjaan iaitu
dewasa. Secara tidak langsung, pendidikan etika, moral dan integriti tidaklah perlu diberi
penekanan bagi memastikan keperibadian diri individu di alam pekerjaan. Namun begitu,
sesetengah pengkaji berpendapat konsep etika, moral dan integriti perlu diajar kepada
anggota organisasi memandangkan organisasi sentiasa memerlukan sensitiviti pekerja yang
mementingkan etika kerja, pemikiran moral dan kepentingan tingkah laku yang beretika bagi
meningkatkan imej dan prestasi orgasnisasi.
Pengajaran pendidikan moral di peringkat sekolah ini mampu memberi kesan terhadap
pembentukan keperibadian individu. Penekanan yang diberikan di dalam pendidikan moral di
sekolah adalah mementingkan konsep etika dan moral di dalam pergaulan dan perhubungan
tidak kira di mana sahaja. Ini secara tidak langsung, menyematkan pelajar atau individu yang
berpendirian tinggi di dalam perhubungan seperti amanah di dalam melakukan sesuatu
pekerjaan. Dengan itu, tingkah laku yang dibentuk dari pendidikan moral di sekolah ini akan
membawa kepada kehidupan yang bermoral dan beretika serta integriti memikul
tanggungjawab yang diberikan ketika di alam pekerjaan. Perasaan rasa bersalah akan
menyelubungi diri mereka sekiranya melakukan perkara yang tidak dibenarkan seperti
mengambil rasuah.
Oleh itu, pendidikan moral di peringkat sekolah akan dapat memberi kesan kepada
keperibadian individu yang beretika, bermoral dan berintegriti di dalam memikul setiap
tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.

Você também pode gostar