Você está na página 1de 4

MENAMBAH BAIK CARA PENERAPAN KEMAHIRAN PROSES SAINS MEMERHATI

MENGGUNAKAN PULAU CIRI


Oleh
Farahida binti Ibrahim dan Rohana binti Jantan
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk menambah baik cara saya menerapkan kemahiran proses sains
Memerhati menggunakan Pulau Ciri yang saya cipta dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Sains.
Kumpulan sasararan yang terlibat dalam kajian ini adalah seramai 25 orang murid tahun 5 Bijak dari
sebuah sekolah rendah di Port Dickson, Negeri Sembilan. Data dikumpul menggunakan tiga jenis cara
pengumpulan data iaitu senarai semak yang diisi oleh rakan sejawat, soal selidik yang dijawab oleh murid
dan jurnal reflektif yang ditulis oleh saya sendiri. Hasil daripada analisis dan interpretasi data tersebut,
saya dapat menerapkan kemahiran proses Sains Memerhati kepada murid dengan lebih berkesan
menggunakan Pulau Ciri.
PENGENALAN
Sepanjang saya menjalani latihan praktikum selama 3 semester, apa yang saya dapati ialah saya tidak
dapat menerapkan kemahiran memerhati ini dengan menggunakan kaedah yang biasa saya gunakaan iaitu
kaedah penerangan secara verbal kepada murid kerana murid mudah lupa akan penerangan yang saya
berikan berkenaan cara-cara untuk memerhati dan menyebabkan masa yang diperuntukkan untuk
menjalankan aktiviti memerhati terpaksa disingkatkan. Oleh itu, saya berasa sangat penting untuk saya
memperbaiki cara saya menerapkan kemahiran proses sains memerhati dalam kelas supaya aktiviti
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas saya dapat dijalankan dengan lebih baik.
FOKUS KAJIAN
Fokus kajian saya adalah untuk menambahbaik cara saya menerapkan kemahiran proses sains memerhati
dalam pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan Pulau Ciri. Saya menjadikan ini sebagai fokus
kajian saya kerana ia merupakan salah satu permasalahan yang terjadi hampir setiap kali sesi pengajaran
berlangsung dan beberapa bukti diutarakan yang menunjukkan bahawa saya mengalami kesukaran dalam
menerapkan kemahiran memerhati iaitu berdasarkan ulasan guru pembimbing semasa cerapan sesi
pengajaran dan pembelajaran. Saya mendapati bahawa saya perlu memperbaiki cara saya menerapkan
kemahiran memerhati kerana ternyata kaedah penerangan secara verbal bukanlah cara yang berkesan
untuk menerapkan kemahiran tersebut di dalam pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan hasil kerja
murid, saya mendapati bahawa mereka hanya menulis apa yang perhatikan dengan mata iaitu deria
penglihatan sahaja seperti warna dan bentuk bahan. Ini menunjukkan bahawa saya masih tak dapat
menerapkan kemahiran proses Sains memerhati di dalam pengajaran saya. Oleh itu, saya perlu menambah
baik cara saya menerapkan kemahiran ini dalam usaha untuk menjadi seorang guru yang berdedikasi dan
kreatif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN
Objektif bagi kajian yang dijalankan saya ialah saya ingin menambahbaik cara penerapan kemahiran
proses sains Memerhati dalam pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan Pulau Ciri.
Kajian ini adalah untuk menjawab persoalan berikut :
1. Bagaimanakah saya dapat menambahbaik penerapan kemahiran proses sains Memerhati dengan
menggunakan Pulau Ciri dalam pengajaran dan pembelajaran.

2. Bagaimanakah cara saya menambahbaik penerapan kemahiran proses sains Memerhati


menggunakan Pulau Ciri dapat meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.
KUMPULAN SASARAN
Kumpulan sasaran bagi kajian tindakan yang dijalankan saya ialah murid Tahun 5 Bijak di sebuah sekolah
di Port Dickson. Tahun 5 Bijak ialah kelas yang kedua di sekolah tersebut. Jumlah keseluruhan murid
dalam kelas 5 Bijak ialah 25 orang yang terdiri daripada 13 orang murid lelaki dan 12 orang murid
perempuan. Dari segi pencapaian akademik murid-murid kelas 5 Bijak adalah sederhana dari segi
akademiknya. Murid 5 Bijak gemarkan pengajaran berbentuk aktiviti hands-on semasa sesi pengajaran
dan pembelajaran.
PELAKSANAAN TINDAKAN
Untuk melaksanakan kajian ini, saya telah merancang prosedur tindakan bagi memastikan kajian saya ini
dapat berjalan dengan tersusun dan lancar. Terdapat empat fasa utama yang saya lakukan bagi menambah
baik cara penerapan kemahiran proses sains memerhati menggunakan Pulau Ciri.

LANGKAH 1 : PERANCANGAN
- Menyediakan Pulau Ciri.

LANGKAH 2 : PERMULAAN
Menerangkan cara penggunaan Pulau Ciri kepada murid.

LANGKAH 3 :PELAKSANAAN
Pembahagian kumpulan dan pengedaran Pulau Ciri kepada
setiap kumpulan.

LANGKAH 4: PENAMATAN
Menjalankan perbincangan dan membuat
kesimpulan hasil aktiviti memerhati.
Rajah 1 : Carta alir prosedur tindakan.

CARA MENGUMPUL DATA


Saya telah menggunakan tiga kaedah pengumpulan data iaitu pemerhatian melalui senarai semak, soal
selidik dan jurnal reflektif. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung, saya menggunakan
keadah senarai semak pemerhatian melalui borang senarai semak yang ditanda oleh rakan sejawat yang
bertindak sebagai pemerhati. Soal selidik pula diisi oleh murid selepas saya selesai menjalankan aktiviti
memerhati iaitu selepas sesi pengajaran dan pembelajaran berakhir. Bagi jurnal reflektif, saya mencatat
semula segala perkara yang berlaku selepas sesi pengajaran saya tamat.

ANALISIS DAN INTERPRETASI DATA


Daripada data senarai semak, didapati saya dapat menjalankan aktiviti memerhati mengikut perancangan
dan sentiasa memastikan bahawa aktiviti yang dijalankan diterapkan dengan kemahiran proses sains
memerhati. Saya bukan sahaja menerapkan kemahiran memerhati, tetapu juga saya memastikan
kemahiran tersebut diaplikasikan dengan betul oleh semua murid iaitu dengan menggunakan kelima-lma
deria iaitu sentuhan, penglihatan, pendengaran, menghidu dan rasa.
Keputusan analisis soal selidik menunjukkan bahawa penerapan kemahiran proses sains memerhati saya
betambahbaik apabila saya memberikan penerangan yang mudah difahami, menjalankan aktiviti
memerhati yang teratur, dapat melibatkan semua murid semasa aktiviti dan membuat perbincangan
selepas menjalankan aktiviti tersebut. Hal ini penting untuk dititikberatkan supaya saya dapat
menjalankan aktiviti pemerhatian yang dapat difahami dan berkesan supaya kemahiran memerhati dapat
diaplikasikan oleh murid dengan betul.
Hasil analisis jurnal reflektif didapati bahawa saya dapat menambaik penyampaian saya dan dapat
menerapkan kemahiran memerhati dengan betul pada murid selepas menggunakan Pulau Ciri. Hal ini
kerana penggunaan Pulau Ciri dapat memudahkan proses pengajaran saya dan sesuai untuk digunakan
untuk pengajaran yang berkaitan dengan kemahiran proses sains memerhati. Jelas menunjukkan bahawa
murid telah dapat memahami kaedah yang betul dan tepat untuk memerhati hasil daripada penerangan
penggunaan Pulau Ciri semasa pengajaran dan pembelajaran.
DAPATAN KAJIAN
Analisis borang senarai semak dan soal selidik menunjukkan bahawa saya telah menggunakan bahasa
yang mudah dan jelas semasa memberi penerangan konsep dan arahan aktiviti kepada murid.
Keberkesanan penyampaian juga dapat dikaitkan dengan cara-cara penyampaian seorang guru ketika
memberi penerangan. Hal ini dianggap berkesan dan memberi pengaruh kepada murid sewaktu aktiviti
pemerhatian dijalankan. Pada pandangan saya, adalah sesuatu yang penting untuk memberikan
penerangan yang berkesan agar mudah difahami oleh murid seterusnya aktiviti pengajaran dan
pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar. Penguasaan kemahiran proses sains murid bergantung
kepada kebolehan guru untuk menerapkannya dengan betul dan berkesan [1]. Keputusan daripada hasil
jurnal reflektif juga jelas menunjukkan bahawa penyampaian yang berkesan dapat membantu saya
menerapkan kemahiran memerhati di dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini dibuktikan dengan
semua murid menyatakan mereka faham dengan penerangan saya berkenaan kemahiran memerhati kerana
saya dapat memberikan penerangan yang ringkas dan jelas kepada murid.
Dapatan seterusnya hasil daripada kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan Pulau Ciri sememangnya
sangat membantu saya dalam menerapkan kemahiran proses sains Memerhati ketika pengajaran dan
pembelajaran bersama murid. Perkara ini ditunjukkan melalui soal seldirik yang dijalankan ke atas murid
di mana mereka bersetuju bahawa saya dapat mengajar dengan lebih apabila menggunakan Pulau Ciri.
Hal ini kerana Pulau Ciri itu mempunyai ciri-ciri fizikal seperti gambar lima organ deria manusia yang
mewakili deria yang perlu digunakan semasa membuat pemerhatian di mana ianya sememangnya
memudahkan saya menerapkan konsep kemahiran proses sains Memerhati serta cara-cara untuk
menjalankan pemerhatian dengan betul. Analisis data yang diperoleh juga menunjukkan bahawa
penggunaan Pulau Ciri adalah sesuai sebagai pemudah cara untuk menerapkan kemahiran proses sains
Memerhati di dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini boleh dilihat pada maklumbalas positif murid
terhadap item-item di dalam soal selidik yang diberikan. Penggunaan Pulau Ciri sebagai bahan bantu
mengajar juga dapat meningkatkan kemahiran memerhati murid dengan membantu mereka untuk
mengaplikasikan kemahiran memerhati yang telah dipelajari dengan cara yang tepat iaitu dengan
menggunakan kelima-lima deria. Penggunaan bahan bantu mengajar memberi sumbangan yang

amat besar dalam mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru
dan murid [2].
CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA
Pelbagai pengalaman yang telah saya peroleh sepanjang saya menjalankan kajian tindakan ini. Banyak
perkara yang telah saya pelajari untuk menghasilkan sebuah kajian tindakan ini. Saya dapat
mengenalpasti kekuatan dan kelebihan penambahbaikan pengajaran yang dijalankan semasa
mengendalikan aktiviti memerhati menggunakan Pulau Ciri. Walaubagaimanapun, sekiranya saya diberi
peluang untuk melaksanakan kajian ini semula, terdapat beberapa penambahbaikan ingin saya lakukan
pada kajian seterusnya. Saya ingin menambahbaik kaedah pengumpulan data soal selidik saya dengan
memperbaiki item soalan saya. Saya ingin mengketengahkan item soalan lebih terperinci berkenaan
penggunaan deria semasa membuat pemerhatian oleh murid. Perkara ini dapat menunjukkan lagi bahawa
setiap murid memang menggunakan kelima-lima deria semasa membuat pemerhatian. Maka, data hasil
soal selidik sebegini jauh lebih tepat dan menunjukkan lagi keberkesanan penggunaan Pulau Ciri yang
saya cipta.
Saya akan mempelbagaikan warna Pulau Ciri daripada hitam kepada kuning,merah,biru dan sebagainya.
Perkara ini membolehkan saya untuk membezakan kumpulan-kumpulan murid semasa aktiviti memerhati
sedang dijalankan. Saya juga ingin menyediakan bahan yang lebih sesuai untuk dibuat pemerhatian. Saya
ingin memastikan bahan yang diperhatikan mempunyai ciri yang sama dengan ciri bahan itu yang
sebenar. Seperti model haiwan yang diperhatikan mempunyai ciri yang sama dengan haiwan itu yang
sebenar. Perkara ini membolehkan murid untuk membuat perkaitan bahan yang diperhatikan dengan
bahan itu yang sebenar.
Ini adalah kali pertama saya membuat kajian tindakan, maka terdapat banyak penambahbaika yang perlu
dilakukan untuk menghasilkan sebuah kajian tindakan. Perkara ini kerana saya masih kurang pengalaman
menyebabkan saya berasa kajian ini sesuatu yang rumit dan sukar untuk dijalankan. Namun, untuk
memperbaiki masalah ini, pada masa hadapan saya akan menjalankan kajian ini semula di sekolah bagi
mendapatkan data yang lebih tepat serta dapat merancang serta melaksanakan proses kajian dengan lebih
lancar sekaligus menghasilkan sebuah kajian tindakan yang jauh lebih baik daripada sebelumnya.
RUJUKAN
[1] Tan M.T., & Chin T.P.(2010). Satu Tinjauan Awal Konsepsi Kemahiran Proses Sains

Dalam Kalangan Guru Sains Pkpg 14 Minggu Di Institut Perguruan Batu Lintang.
Jurnal Unit Sains Jabatan Kajian Sains Institut Perguruan Batu Lintang pp 1-25
[2] Noor Azlan Ahmad Zanzali. & Nurdalina Daud.(2010). Penggunaan Bahan Bantu Mengajar

Di Kalangan Guru Pelatih UTM Yang Mengajar Matapelajaran Matematik. Jurnal


Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia pp 1-37
HUBUNGI PENULIS
ida_cumi@yahoo.com

Você também pode gostar