Pada suatu masa dahulu ada seorang raja yang gemuk tetapi
bodoh. Baginda mempunyai seorang Menteri yang kurus tetapi
pintar. Bila ada peluang sahaja Datuk Menteri cuba menunjukkan kepintarannya kepada raja. Oleh yang demikian, Raja pun sentiasa bergantung kepadanya. Raja seringkali berkata kepada Datuk Menteri, Berjanjilah yang datuk tidak akan meninggalkan beta, dan Datuk Menteri selalu menjawab, Tidak sekali-kali, tuanku. Di mana pun tuanku berada, tidak kira dalam dunia ini, dalam syurga atau neraka patik akan sentiasa bersama-sama tuanku. Patik akan sentiasa memberi tuanku nasihat yang berguna dan menyelesaikan semua masalah tuanku. Kata-kata Datuk Menteri itu amat menggembirakan hati Raja.