Você está na página 1de 6

Apa itu LINUS

April 6, 2012 Leave a Comment

Written by Wan Din

Sekarang di sekolah-sekolah, semua sibuk hal LINUS ni.. Macam-macam saringan nak
kena buat.. Bukan tak bagus LINUS ni, cuma pengurusan LINUS perlu diperbaiki. Tugas
guru sekarang bertambah-tambah dengan pelbagai perkara. Terlalu banyak kalau nak di
perincikan disini.
Sepatutnya guru diberi pembantu untuk menguruskan perkara-perkara sebegini. Dulu
ada ura-ura mengatakan setiap guru akan diberi pembantu, tetapi sampai sekarang
semua sepi membisu.. Janji tinggal janji
Ibu bapa pun masih samar-samar tentang apa itu LINUS, objektif LINUS dan sebagainya.
Baiklah ini maklumat lengkap tentang LINUS
Apa Itu LINUS ?
LATAR BELAKANG
1. Y.A.B Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin telah
membentangkan Bidang Keberhasilan Utama [National Key Result Areas (NKRAs)]
Kementerian Pelajaran Malaysia pada bulan Ogos 2009.
2. Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
telah diamanahkan untuk mengawas, melaksana dan menyelaras Ministry Key
Performance Indicator(NKPI) 3.2 KPM iaitu semua murid yang tiada masalah
pembelajaran berupaya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira selepas
mengikuti pendidikan tiga tahun di peringkat rendah pada akhir tahun 2012.
3. Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) pula dipertanggungjawabkan untuk
menerajui projek ini dengan kerjasama semua bahagian dalam KPM. Sehubungan
dengan itu, satu program alternatif telah dirangka untuk murid Tahun 1, 2 dan 3 (Tahap
I) yang belum menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Projek ini dinamai
Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang merupakan penambahbaikan daripada
program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) untuk murid Tahun 1 yang
dilaksanakan mulai tahun 2006.

4. Murid berkeperluan khas yang meliputi murid bermasalah pembelajaran, masalah


pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, masalah kepelbagaian deria,
masalah fizikal, dan terencat akal, kurikulum yang khusus telah dibina.
RASIONAL
5. Asas literasi dan numerasi merupakan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan
murid berkomunikasi dan berinteraksi dalam kehidupan seharian serta untuk
membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.
6. Data KIA2M pada tahun 2008 menunjukkan sebanyak 54,000 murid Tahun 1 belum
menguasai kemahiran asas membaca dan menulis (literasi). Data PROTIM tahun 2008
pula menunjukkan sebanyak 48,233 murid Tahun 4 belum menguasai kemahiran asas
membaca dan menulis (literasi) sementara sebanyak 117,000 murid Tahun 4 belum
menguasai kemahiran asas mengira (numerasi).
7. Data Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM menunjukkan
kadar keciciran murid sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia pada tahun
2008 adalah sebanyak 31,939.
8. KPM berpendapat satu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan untuk
mengatasi masalah literasi dan numerasi seawal Tahap I. Perkara ini perlu diberi
perhatian yang serius kerana murid yang belum menguasai kemahiran asas membaca,
menulis dan mengira merupakan kumpulan yang berisiko keciciran dan berhadapan
dengan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran dan kerjaya.
DEFINISI KONSEP
9. Definisi LINUS: LINUS ialah akronim bagi Literacy and Numeracy Screening. LINUS
merupakan program intervensi yang dirangka untuk membolehkan murid memperoleh
asas literasi (bahasa Malaysia) dan asas numerasi semasa di sekolah rendah. LINUS
disasarkan kepada murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan
mengira (3M).
10. Definisi Literasi: Definisi literasi adalah keupayaan untuk membaca, menulis dan
memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk (dengan menggunakan kata
hubung), mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi
harian.
MATLAMAT

11. Matlamat program ini adalah untuk memastikan semua murid Tahap I sekolah
rendah berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi pada akhir tahun
2012 kecuali murid berkeperluan khas.
OBJEKTIF
12. Objektif Program Literasi
Pada akhir Program Literasi murid berupaya:
i. Mengeja dan membunyikan suku kata terbuka dan tertutup;
ii. membaca dan menulis perkataan daripada suku kata terbuka dan tertutup; dan
iii. membaca dan menulis serta memahami ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah
dengan menggunakan kata hubung dan.
13. Objektif Program Numerasi:
Pada akhir Program Numerasi murid berupaya:
i. Membaca, menulis, membilang dan menyusun nombor hingga 1000;
ii. membilang dua-dua, lima-lima dan sepuluh-sepuluh dalam lingkungan 1000 bermula
daripada sebarang nombor;
iii. menyatakan fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi; dan;
iv. mengaplikasikan pengetahuan operasi asas aritmetik dalam wang, menyatakan
waktu, ukuran dan sukatan.
KUMPULAN SASARAN
14. Kumpulan sasaran ialah murid Tahap I yang berkeupayaan untuk menguasai asas
literasi dan numerasi kecuali murid berkeperluan khas yang mengikuti pendidikan di
Sekolah Kebangsaan (Program Pendidikan Khas Integrasi; Masalah Pembelajaran,
Masalah Pendengaran dan Masalah Penglihatan) dan Sekolah Rendah Pendidikan Khas
(Masalah Penglihatan dan Masalah Pendengaran), Sekolah Jenis Kebangsaan dan
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
STRATEGI PELAKSANAAN PROGRAM LINUS
15. Makmal NKRA bagi program LINUS telah mengemukakan enam strategi utama
LINUS iaitu:

i. melaksanakan saringan terhadap murid pada tahun 1, 2 dan 3;


ii. melaksanakan fokus intervensi bagi menyediakan program pemulihan dan
komprehensif;
iii. meningkatkan kemahiran pedagogi guru;
iv. melaksanakan program kesedaran tentang pentingnya asas membaca, menulis dan
mengira dalam kalangan warga sekolah dan komuniti;
v. menjalankan pemantauan, penyeliaan dan penilaian; dan
vi. mewujudkan jawatan fasiLINUS di Pejabat Pelajaran Daerah untuk membantu guru
memastikan murid berupaya membaca, menulis dan mengira.
16. Murid yang telah dikenal pasti masih belum menguasai kemahiran asas literasi dan
numerasi akan diajar secara intensif oleh guru LINUS dan guru pemulihan khas LINUS.
Murid yang mengikuti program ini akan menduduki Saringan 2 pada bulan Jun dan
Saringan 3 pada bulan September (jika perlu).
17. Pemilihan Guru LINUS: Guru yang menjalankan program ini terdiri daripada guru
Bahasa Malaysia dan guru Matematik Tahap I dan dibantu oleh Guru Pemulihan Khas.
18. Guru pemulihan khas ditempatkan di sekolah mengikut nisbah murid LINUS tegar.
Nisbah guru-murid bagi program ini adalah 1:15 supaya tumpuan sepenuhnya dapat
diberikan kepada murid berkenaan. Dicadangkan satu jam setiap hari guru pemulihan
memberi tumpuan kepada 4 atau 5 orang murid sahaja untuk literasi dan satu jam lagi
untuk numerasi.
19. Guru sedia ada (guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik) yang melaksanakan
program ini perlu diberi latihan khusus dalam teknik pemulihan dan bimbingan untuk
menangani murid yang mempunyai masalah literasi dan numerasi.
20. Jadual Waktu: Program LINUS dilaksanakan dalam waktu Bahasa Malaysia dan waktu
Matematik mengikut peruntukan waktu yang sedia ada. Sebanyak 360 minit seminggu
diperuntukan bagi Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan dan 270 minit seminggu di
Sekolah Jenis Kebangsaan, manakala 210 minit seminggu bagi Matematik.
21. Pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara untuk menjalankan program ini
mengikut kesesuaian waktu dan kemudahan sekolah. Namun, pihak sekolah hendaklah
memastikan perlaksanaan program ini berkesan dan mencapai matlamatnya.

22. Kemudahan ICT: Kemudahan ICT yang terdiri daripada komputer dan LCD yang sedia
ada di sekolah perlu dimanfaatkan untuk kegunaan dalam pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas.
PEMANTAUAN DAN PENYELIAAN
23. Pemantauan dan penyeliaan dilaksanakan di sekolah terpilih iaitu 8 peratus
daripada jumlah keseluruhan sekolah rendah. Pegawai yang terlibat terdiri daripada
pegawai Bahagian KPM, pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan pegawai Pejabat
Pelajaran Daerah (PPD). Pemantauan ini akan diterajui oleh Jemaah Nazir dan Jaminan
Kualiti (JNJK).
24. Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Akademik di setiap sekolah perlu menyelia
Program LINUS dari semasa ke semasa.
25. Satu mekanisme sistem pelaporan untuk memantau kemajuan murid LINUS
diadakan. Status penguasaan murid perlu dilaporkan menggunakan sistem yang
dibangunkan oleh KPM setiap kali saringan dilaksanakan.
KANDUNGAN PROGRAM
26. Program LINUS menggunakan kurikulum KBSR sebagai asas dalam menentukan
skop kandungan pengajaran dan pembelajaran.
27. Kandungan skop kurikulum literasi bermula dengan pengenalan abjad, suku kata,
perkataan, frasa, ayat tunggal dan ayat majmuk mudah seperti dalam Lampiran 1.
28. Kandungan skop kurikulum numerasi merangkumi aspek nombor bermula dari sifar
hingga angka 1000, yang melibatkan operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi, di
samping mengaplikasikannya dalam pengiraan pengukuran seperti dalam Lampiran 2.
BAHAN DAN INSTRUMEN LITERASI DAN NUMERASI
29. Murid yang mengikuti Program LINUS menggunakan modul pengajaran dan
pembelajaran asas literasi dan numerasi yang sesuai dengan tahap keupayaan murid
bagi memastikan kejayaan program ini.
30. Guru digalakkan menyedia dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran
mengikut kesesuaian murid dan kreativiti.
31. Instrumen saringan dibina dan diguna pakai untuk menentukan sama ada murid
telah menguasai asas literasi dan numerasi. Pembinaaan instrumen saringan disediakan
oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

PELAPORAN
32. Pengumpulan data saringan dan analisis data dikendalikan oleh Bahagian
Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) sementara laporan pemantauan disediakan oleh
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).
PERJAWATAN
33. Jawatan fasiLINUS diwujudkan di PPD untuk membantu guru dalam pengajaran dan
pembelajaran Program LINUS di sekolah.
34. Jawatan Guru Pemulihan Khas akan ditambah di sekolah bagi melaksanakan
Program LINUS.
PENUTUP
35. Program ini menegaskan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengatasi
masalah literasi dan numerasi dalam kalangan murid yang berkeupayaan kecuali murid
berkeperluan khas pada peringkat awal persekolahan. Komitmen semua pihak adalah
diharap untuk memastikan program ini berjaya selaras dengan sasaran NKRA.
Sumber : http://jabatanmatematikipgkbm.blogspot.com/2011/01/apa-itu-linus.html