Você está na página 1de 6

Saban hari, isu-isu gejala sosial yang membabitkan golongan remaja hangat diperkatakan, secara tidak

langsung, isu ini turut menggambarkan bahawa bahawa masyarakat kita kini semakin jauh menyimpang
dari budaya kita yang menjaga maruah secara serius. Lambakan berita perlakuan sosial yang negatif
pada hari ini membuktikan permasalahan ini semakin berkembang dalam masyarakat kita. Namun,
mengapa permasalahan ini berlaku terutamanya dalam kalangan generasi muda hari ini?

PENDAHULUAN
- isu gejala sosial yang semakin membimbangkan
- lambakan pusat pelacuran, bersekedudukan pasangan lelaki dan wanita yang bukan muhrim,
kelahiran serta pembuangan anak luar nikah
- mengapakah gejala bangsat ini wujud dalam masyarakat kita?

ISI 1
- kurangnya pendidikan keagamaan menjadi punca utama peningkatan gejala sosial
- agama merupakan asas dan panduan hidup, Rasulullah sebagai contoh terbaik
- tercari-cari identiti jalan hidup dan lebih cenderung untuk terpengaruh dengan budaya negatif
Barat berbanding mentaati perintah agama
- pendidikan berbentuk keagamaan wajib dititikberatkan

ISI 2
- Sikap keluarga dalam mendidik dan mengasuh anak masing-masing
- ibubapa yang tidak begitu perihatin tentang sifat dan kelakuan anak-anak: alasan terlalu sibuk
bekerja
- anak-anak mereka terlalu bebas; berrisiko tinggi terlibat dalam gejala yang tidak baik
- tidak memberi kasih sayang secukupnya
- hidup bebas tanpa teguran dan bimbingan yang perlu diberikan

ISI 3
- Pengaruh rakan sebaya; membentuk perilaku remaja yang masih mentah
- mereka lebih mesra dengan rakan mereka berbanding ibubapa
- lebih mempercayai rakan mereka daripada keluarga
- mengikut kehendak untuk keseronokan tanpa memikirkan implikasi

ISI 4
- mempunyai perasaan ingin tahu yang cukup kuat
- mendorong para remaja untuk mencuba sesuatu: apa sahaja yang berlaku di sekeliling akan
mampu menarik perhatian mereka
- masalah mula timbul apabila mereka ingin mencuba perkara-perkara yang negatif

ISI 5
- Pengaruh persekitaran di sekolah; tekanan yang dihadapi pelajar
- guru yang kurang profesional dalam menangani masalah pelajar: mengambil jalan mudah untuk
keluar daripada masalah
- melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat
- memberontak dengan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang

ISI 6
- media massa memaparkan budaya hidup bebas dan bersosial; mempengaruhi minda golongan
muda
- mempengaruhi minda rakyat dengan perlakuan yang tidak senonoh: corak pergaulan, cara
berpakaian dan gaya hidup cara Barat
- pergaulan bebas semakin menjadi budaya yang sudah meresap di kalangan generasi muda
- disebalik keseronokan terdapat kesan terhadap masyarakat kini

PENUTUP
- kita sepatutnya mengamalkan nilai-nilai murni
- perlu memainkan peranan dalam membentuk cara dan corak pergaulan yang baik berteraskan
ajaran agama
- ‘isyarat’ bahawa gejala sedemikian ini bukanlah hal yang ringan dan perlu kepada penelitian dan
kepekaan bersama mengapa ia berlaku
- mengambil langkah proaktif dan produktif

http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=2079
http://harakahdaily.net/v2/index.php?content&view=article-gejala-sosial-membimbangkan-TuanGuruHadiAwang/
http://ummatanwasatan.net/?p=4536
http://muslimat.pas.org.my/v2/index.php? content&view=article242:kurang-pendidikan-keimanan-punca-
peningkatan-gejala-sosial
http://tusunterabai.wordpress.com/2010/04/08/punca-punca-gejala-sosial-dalam-kalangan-remaja/
Sedasarwarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap pelusuk dunia
mengenai isu gejala sosial yang semakin membimbangkan. Hakikatnya, kita di Malaysia juga
acapkali dikejutkan dengan berita lambakan pusat pelacuran, bersekedudukan pasangan lelaki
dan wanita yang bukan muhrim, kelahiran serta pembuangan anak luar nikah termasuklah
dalam kalangan pelajar sekolah. Ramai yang berasa cemas kerana kesan yang ditinggalkan
bagaikan suatu kerosakan yang agak sukar untuk dibaikpulih. Mengikut statistik Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN), dalam tempoh lima tahun daripada tahun 2005 hinga 2009, JPN
telah mencatatkan sejumlah 74,723 orang anak luar nikah yang membabitkan orang Melayu
beragama Islam, tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan
Masyarakat. Tidak sedikit yang merasa rimas apabila mengikuti perkembangan yang kita lalui,
iaitu apabila semakin banyaknya gejala sosial mewarnai pola kehidupan bermasyarakat.
Persoalannya, mengapakah gejala bangsat ini wujud dalam masyarakat kita bahkan semakin
meningkat dari setahun ke setahun?

Secara umumnya masalah sosial  merangkumi berbagai perlakuan  negatif anggota 


masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan yang diamalkan 
dalam sesuatu masyarakat ataupun negara. Bahkan gejala ini bukan permasalahan yang baru
wujud dalam kalangan masyarakat kita, tetapi ia permasalahan lapuk. Masyarakat kita
bersependapat bahawa kurangnya pendidikan keagamaan menjadi punca utama peningkatan
gejala sosial. Umum mengetahui agama merupakan asas dan panduan hidup sebagaimana yang
ditunjukkan oleh baginda Muhammad Rasulullah sepanjang hayat baginda dengan akhlak yang
cukup terpuji. Namun, remaja hari ini yang masih tercari-cari identiti jalan hidup lebih
cenderung untuk terpengaruh dengan budaya negatif Barat berbanding mentaati perintah
agama. Masalah ini semakin parah apabila remaja terutamanya Muslim, terlalu longgar dengan
aqidah dan akhlak sebagai seorang penganut Islam. Natijahnya, permasalahan sosial dalam
kalangan penganut Islam terus meningkat menjadikan kita ‘juara’ berbanding penganut lain.
Tiada apa-apa yang akan dapat membantu dalam mengawal diri kita ini, jika kita kosong dengan
bekalan keimanan dan ketakwaan yang mendalam. Kita perlu dan tidak boleh mengabaikan
bahawa perhiasan yang paling indah ialah keimanan dan ketakwaan yang mendalam kepada
Allah Taala. Sebaliknya, agama Islam itu sendiri cukup lengkap untuk terus memandu manusia
ke jalan yang benar. Justeru, pendidikan berbentuk keagamaan wajib dititikberatkan kerana ia
merupakan faktor utama peningkatan perlakuan sosial yang negatif.

Sikap keluarga dalam mendidik dan mengasuh anak masing-masing juga adalah menjadi
satu sebab mengapa remaja sekarang terlalu mudah terjerumus dalam gejala sosial. Terdapat
ibubapa yang tidak begitu perihatin tentang sifat dan kelakuan anak-anak mereka sendiri
seperti membiarkan anak-anak mereka hidup bebas tanpa teguran dan bimbingan yang perlu
diberikan kepada anak-anak mereka dengan alasan terlalu sibuk bekerja seterusnya tidak
memberi kasih sayang secukupnya. Keadaan ini boleh menyebabkan jiwa remaja memberontak
dan jika berpeluang keluar dari keadaan itu mereka akan melakukan apa sahaja yang terlintas di
fikiran tanpa berfikir panjang. Ada sesetengah ibubapa juga tidak menetapkan peraturan-
peraturan yang tertentu dalam hidup berkeluarga yang boleh mengakibatkan anak-anak
mereka terlalu bebas melakukan sesuatu perkara dan seterusnya mempunyai risiko tinggi
terlibat dalam gejala yang tidak baik. Lebih parah lagi, masih ramai para ibubapa tidak
memainkan peranan sepenuhnya didalam memberi didikan agama kepada anak-anak mereka.
Oleh itu, langkah untuk memperkasakan institusi kekeluargaan adalah tepat kerana ia
merupakan antara faktor berlakunya gejala sosial.

Pengaruh rakan sebaya juga adalah salah satu perkara yang menjadi punca berlakunya
gejala sosial. Ia membentuk perilaku remaja yang masih mentah dalam meneruskan cabaran
hidup. Perkara ini sering berlaku dalam kalangan remaja sekarang yang hidup di dalam alam
penuh dengan kemodenan dan mereka lebih mesra dengan rakan mereka berbanding ibubapa
yang sibuk dengan urusan kerja dan lain-lain. Ada sesetengah remaja meluangkan masa hampir
sepenuh hari bersama rakan-rakannya. Di sebabkan itu, remaja sekarang lebih mengenali rakan
mereka berbanding dengan ibubapa sendiri dan lebih mempercayai rakan mereka daripada
keluarga atau ibubapa. Kejadian seperti ini adalah amat bahaya dan boleh mengakibatkan
remaja tersebut terjerumus dalam gejala sosial yang tidak sihat. Realitinya, generasi berdarah
muda ini hanya mengikut kehendak untuk keseronokan mereka tanpa memikirkan implikasi
terhadap diri mereka sendiri. Kawan yang baik mampu membimbing rakan ke jalan kebaikan,
begitu juga sebaliknya. Oleh sebab itu, golongan remaja perlu bijak memilih rakan. Ringkasnya,
pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan dalam menentukan naikturun perlakuan
gejala sosial.

Selain itu, sudah menjadi fitrah bagi peringkat generasi muda mempunyai perasaan ingin
tahu yang cukup kuat didalam diri mereka. Perasaan kuat tersebut mendorong para remaja
untuk mencuba sesuatu yang baru. Justeru, apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka akan
mampu menarik perhatian mereka seterusnya membuatkan mereka cenderung uttuk mencuba
perkara-perkara tersebut termasuklah menghisap rokok, penyalahgunaan dadah serta
perlakuan sosial tidak terkawal. Hakikatnya, perasaan tersebut adalah baik untuk remaja
namun masalah mula timbul apabila mereka ingin mencuba perkara-perkara yang negatif, jauh
sekali perhatian daripada pihak keluarga. Kesannya dapat dilihat jelas pada statistik bersabit
kesalahan akhlak yang dijalankan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
menunjukkan kes yang dilaporkan meningkat dari 3978 kepada 4213 kes pada tahun 2008
berbanding tahun sebelumnya. Tidak dapat dinafikan, perasaan ingin tahu yang kuat didalam
diri generasi muda sedikit sebanyak telah membawa kepada peningkatan permasalahan sosial.

Pengaruh persekitaran di sekolah juga penting dalam pembentukan akhlak remaja.


Tekanan yang dihadapi pelajar semasa di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan dalam
akademik serta guru yang kurang profesional dalam menangani masalah pelajar yang
bermasalah akhirnya menyebabkan pelajar mengambil jalan mudah untuk keluar daripada
masalah itu dengan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat. Situasi ini didorong
oleh kurang perhatian daripada ibu bapa di rumah. Hasilnya, jiwa remaja ‘berdarah panas’ ini
memberontak dengan melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan
melarikan diri daripada bebanan masalah yang dihadapi di sekolah. Kajian yang dilakukan Unit
Disiplin Pelajar, Kementerian Pelajaran Malaysia menunjukkan peratusan pelajar yang
terjerumus dengan masalah disiplin dan gejala sosial adalah dalam kalangan para pelajar yang
tertekan ketika berada dalam persekitaran sekolah. Konklusinya, suasana persekitaran di
sekolah turut mempengaruhi peningkatan perlakuan gejala sosial khususnya dalam kalangan
remaja.

Tidak terkecuali, media massa juga menjadi penyumbang kepada berlakunya


permasalahan sosial yang kini kian meningkat. Dalam alam yang pesat dengan kemajuan
teknologi ini remaja sekarang dengan senangnya boleh mendapatkan keseronokan dan
kegembiraan. Umum mengetahui, majoriti besar program televisyen dan drama yang
ditayangkan, kebanyakannya memaparkan budaya hidup bebas dan bersosial dalam kalangan
artis seterusnya mempengaruhi minda golongan muda untuk mengikut jejak langkah mereka.
Rancangan bersifat hiburan juga mempengaruhi minda rakyat dengan perlakuan yang tidak
senonoh. Umpamanya, corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai ketimuran, cara
berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara Barat. Kes-kes sosial yang
ditimbulkan juga sudah semakin terjelma dalam bentuknya yang tersendiri, yang ada kalanya
amat sadis dan mengerikan. Paling ketara apabila pergaulan bebas semakin menjadi budaya
yang sudah meresap di kalangan generasi muda kita. Kebebasan yang ditimbulkan daripada
fenomena sedemikian, tidak dapat tidak menimbulkan kesan terhadap masyarakat secara
umum. ‘Virus’ yang disebarkan secara meluas ini merupakan fenomena yang akan mengheret
kita kepada kehidupan sosial yang tidak sihat. Tuntasnya, disebalik keseronokan yang ada
terdapat juga kesannya terhadap corak bersosial masyarakat kita.

Punca-punca sedemikian perlu di tangani bersama bagi mengurangkan masalah gejala


yang tidak sihat. Kerana gejala sosial ini bukan sahaja berpunca dari ibupapa atau keluarga
namun boleh dikaitkan dengan kemajuan yang kita capai pada masa sekarang. Oleh itu sebagai
ibubapa adalah perlu untuk mengawal anak-anak mereka dan memberi mereka kasih sayang
serta panduan yang berguna agar anak-anak mereka menjadi orang yang berguna di mata
masyarakat. Justeru, ketegasan ini bukan setakat menyuarakan kita membencinya, akan tetapi
mencari jalan untuk dijadikan sebagai pilihan yang menukar hal sedemikian kepada yang lebih
produktif dan bermanfaat. Sebagai sebuah negara dan masyarakat yang kuat berpegang teguh
terhadap ajaran dan kehidupan beragama, kita tidak mahu akibat daripada perubahan sosial ini
akan merubah sikap dan perangai yang akan menghasilkan perkara negatif. Apa yang penting
ialah mempertahankan nilai diri dan jati diri kita sebagai remaja atau belia. Justeru, kekuatan
beragamalah yang menjadi kepentingan, yang tidak boleh dipandang ringan.

Bagi remaja yang sudah terpesong hendaklah kita sedar bahawa kita sepatutnya
mengamalkan nilai-nilai murni yang baik dalam pergaulan serta mencari arah dan tujuan hidup
yang asal serta mencipta kebaikan dan kecemerlangan diri. Tidak bererti keterlanjuran diri yang
telah berlalu merupakan sempadan yang tidak dapat diubah ke arah yang lebih baik dan
sempurna. Mengambil contoh yang ditunjukkan junjungan besar, Nabi Muhammad SAW yang
pada dirinya akhlak yang cukup indah. Oleh hal yang demikian, setiap anggota masyarakat
termasuk remaja sendiri perlu memainkan peranan dalam membentuk cara dan corak
pergaulan yang baik dan cemerlang, berteraskan ajaran agama yang kukuh. Bersesuaian dengan
sabda baginda yang bermaksud, “Bukanlah seorang mukmin yang sempurna, yang suka
mencela dan melaknati, berperangai jahat dan berakhlak rendah.” Serasa kita sudah muak
dengan isu penyalahgunaan dadah, seks rambang, pembuangan anak dan sebagainya yang
memberi ‘isyarat’ bahawa gejala sedemikian ini bukanlah hal yang ringan dan merupakan
sampingan semata-mata. Sebaliknya, ia perlu kepada penelitian dan kepekaan bersama
mengapa ia berlaku seterusnya mengambil langkah proaktif dan produktif, sekaligus akan
mencetus resolusi, reformasi dan revolusi.

Você também pode gostar