Você está na página 1de 9

Masalah Pendidikan 2007, Jilid 30 (1) 127

MODEL HUBUNGAN SEKOLAH DAN KOMUNITI


BAGI PENINGKATAN PROSES PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN: SATU CADANGAN

Ahmad Zabidi Abdul Razak


Jabatan Pengurusan, Perancangan dan Dasar Pendidikan
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya

Mariani Md Nor
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling
Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya

The paper attempts to discuss the significance of the relationship between


school and community. The discussion emphasizes the recommended model
for enhancing the relationship between school and community towards
improving the teaching and learning process in schools.

Kejayaan pengurusan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada kekuatan


sumber manusia dan sumber bukan manusia yang terdapat di sekolah sahaja bahkan
juga melibatkan komuniti setempat. Keadaan ini berlaku kerana pengurusan sekolah
dan komuniti setempat boleh saling bekerjasama untuk kebaikan kedua-dua belah pihak. Sekolah
memperoleh faedah berbentuk sokongan moral, bantuan kewangan dan sumbangan tenaga bakti
daripada komuniti manakala komuniti pula memperolehi faedah dari aspek peningkatan
penguasaan ilmu dalam kalangan anak-anak mereka. Menurut Gonder (1981) kerjasama yang
lebih erat antara sekolah dan masyarakat akan menguntungkan semua pihak. Oleh itu,
kebersamaan sekolah dengan komuniti penting untuk meningkatkan kejayaan proses pengajaran
pembelajaran di sekolah.

Sekolah dan Komuniti: Kepentingan dan Cabaran

Menurut Poston, Stone, dan Muther (1992), "A school is a reflection of the community it serves.
At the same time, a community is a reflection of its schools." Kenyataan ini menunjukkan sekolah
dan komuniti tidak dapat dipisahkan kerana hubungan kedua-dua pihak ini saling bergantungan
antara satu sarna yang lain. Kepentingan hubungan ini juga diperakukan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia seperti mana menurut Sufean Russin (2002) pihak kementerian te1ah
menubuhkan jawatankuasa mengkaji taraf pelajaran di sekolah-sekolah yang menyerahkan
laporannya pada tahun 1982. Jawatankuasa ini telah
128 Masalah Pendidikan 2007, Jilid 30 (1)

mengenal pasti salah satu aspek besar yang penting dalam peningkatan taraf pelajaran di
Malaysia ialah melalui kerjasama masyarakat dalam pembangunan sekolah. Selain daripada itu
Akta Pendidikan 1996 turut memperuntukkan penubuhan PIBG di semua sekolah dan peraturan-
peraturan pendidikan telah menggariskan tujuan penubuhan PIBG (KPM, 2001). Kewujudan
dasar dan akta ini menunjukkan peranan komuniti untuk membantu pihak sekolah diiktiraf oleh
KPM.
Kepentingan hubungan sekolah dan komuniti ini selaras dengan pendapat Poston et al.
(1992) iaitu, "You cannot build a great school alone. The school needs the community
and the community needs the school". Pengiktirafan sebegini sudah tentu menunjukkan terdapat
faedah tertentu hasil hubungan yang erat antara sekolah dan komuniti. Antara faedah tersebut
ialah seperti mana menurut Gallagher, Bagin, dan Moore (2005), "The bottom line of any school-
community relations program is to help the children learn better. And they learn if parents are
involved Therefore, a good school-community relations program should encompass the concept
of partnership between the school and the parents ".
Menurut Solomon, Battishich, Watson, Schaps, dan Lewis (2000) murid-murid yang
mempunyai perasaan jaminan komuniti lebih berkecenderungan bermotivasi dari segi akademik,
bertindak secara beretika dan altruistik, dan membentuk kecekapan sosial dan emosi.
Memandangkan terdapat faedah seumpama ini hasil kewujudan konsep hubungan sekolah dan
komuniti maka peranan utama perlu dimainkan oleh pihak pengurusan sesebuah sekolah bagi
memastikan konsep ini berjaya dilaksanakan. Peranan utama ini diserahkan kepada pihak
pengurusan sekolah kerana kejayaan menggerakkan ahli organisasi dan komuniti setempat
adalah bergantung kepada pengurusan sekolah. Menurut Ahmad Kilani (2003), pengurusan
sekolah merupakan satu aspek yang sangat penting ke arah perkembangan sekolah. Kepimpinan
sekolah tidak akan dapat menggerakkan semua kakitangan ke arah mencapai matlamat institusi
tanpa wujudnya satu bentuk pengurusan yang baik. Selain daripada itu menurut beliau lagi
pengurusan sekolah yang cekap tidak membatas peranannya untuk memudahkan urusan
pentadbiran dan penyediaan alat bantu mengajar tetapi pihak pengurusan juga berperanan
memenuhi keperluan masyarakat ke arah membina masyarakat yang berpendidikan.
Huraian sebelum ini menunjukkan kepentingan pengurusan sekolah melaksanakan
konsep hubungan sekolah dan komuniti. Namun demikian dilihat suasana semasa menunjukkan
persefahaman antara ibu bapa dan sekolah agak renggang. Mengikut Kementerian Pelajaran
Malaysia (2001), penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah adalah amat terhad kepada projek-
projek kecil sekolah seperti gotong-royong dan mengutip derma. Sehingga kini, permuafakatan
yang menyeluruh antara masyarakat dan sekolah amat kurang walaupun pelbagai tujuan
permuafakatan telah digariskan di dalam Akta Pendidikan 1996. Selain itu situasi yang
ditunjukkan oleh pengalaman lepas yang negatif dengan tekanan kerja dan kewangan akan
mengurangkan masa dan peluang untuk ibu bapa berinteraksi dengan sekolah. Ibu bapa yang
mengalami tekanan kerja dan masa1ah kewangan tentu akan memikirkan cara mendapatkan
sesuap nasi dan mengabaikan keperluan emosi dan pelajaran anaknya (Berger, 1983). Mengikut
Driebe dan Cochran (1996), tidak semua ibu bapa boleh menghabiskan masa melibatkan diri
dengan aktiviti bersama guru atau aktiviti di sekolah.
Masalah Pendidikan 2007, Jilid 30 (1) 129

Berdasarkan situasi ini, adakah pengurusan sekolah mampu mewujudkan


hubungan sekolah dan komuniti supaya dapat membantu meningkatkan kejayaan proses
pengajaran pembelajaran. Keadaan seumpama ini merupakan satu cabaran kepada pengurusan
sekolah. Persoalannya apakah bentuk tindakan yang perlu dilakukan oleh pengurusan sekolah
bagi menarik minat komuniti bagi turut serta menjayakan pengajaran pembelajaran di sekolah.
Perbincangan sebelum ini menunjukkan kepentingan hubungan sekolah dan komuniti,
namun beberapa keadaan telah menyekat keberkesanan pelaksanaan hubungan tersebut. Oleh itu
artikel ini akan memberi satu model cadangan bagi meningkatkan hubungan sekolah dan
komuniti yang seterusnya dapat membantu peningkatan proses pengajaran pembelajaran.

Sekolah dan Komuniti: Model Penglibatan Ibu Bapa

Hoover-Dempsey dan Sandler (1995, 1997) telah mengutarakan model penglibatan ibu
bapa (rujuk Rajah 1). Dari perspektif psikologi, model ini menerangkan mengapa ibu
bapa melibatkan diri dalam pendidikan anak mereka dan bagaimana penglibatan mereka boleh
mempengaruhi pencapaian anak di sekolah. Model ini terdiri dari beberapa aras dan memberi
penekanan kepada aspek psikologi dan konteks penglibatan ibu bapa itu sendiri. Merujuk kepada
model ini, jika aras paling tinggi adalah bagi pencapaian anak-anak, aras paling bawah pula
bermula dari penglibatan ibu bapa sendiri.
Dalam model mereka, Hoover-Dempsey dan Sandler (1995, 1997) telah mengenal pasti
tiga faktor kritikal dalam menentukan penglibatan ibu bapa iaitu:

1. Pembinaan peranan ibu bapa iaitu kepercayaan tentang keperluan penglibatan dalam
pendidikan anak-anak mereka.
2. Efikasi kendiri ibu bapa - mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran.
3. Sikap terbuka sekolah terhadap pihak ibu bapa.

Mengikut Hoover-Dempsey dan Sandler (1997), dalam model penglibatan ibu bapa ini,
keputusan yang diambil oleh ibu bapa dipengaruhi oleh bagaimana mereka membina peranan
mereka sebagai ibu bapa dan efikasi kendiri yang wujud dalam diri mereka sebagai ibu bapa.
Pembinaan peranan ibu bapa ini dipengaruhi oleh jangkaan ibu bapa itu sendiri dan persekitaran
mereka seperti ahli keluarga, rakan dan individu di sekolah. Hal yang demikian ini sesuai dengan
definisi penglibatan ibu bapa dalam konsep model ini iaitu merujuk kepada aktiviti yang
dianggap oleh ibu bapa penting dan sesuai dengan tindakan yang diambil untuk anak-anak
mereka (Hoover-Dempsey & Sandler, 1995).
Dalam konteks sekolah itu sendiri, jika kebersamaan dengan komuniti wujud, peranan
ibu bapa sentiasa dianggap penting kerana tindakan yang diambil oleh ibu bapa secara positif
boleh membantu proses pendidikan. Merujuk kepada model tersebut penglibatan ibu bapa bukan
sahaja tunggak utama kepada proses kejayaan anak-anak malah kepercayaan mereka terhadap
kebersamaan juga tidak kurang pentingnya. Di sekolah, penglibatan sebenar ibu bapa boleh
berlaku apabila mereka bertindak berdasarkan kepercayaan bahawa aktiviti pendidikan
merupakan salah satu aspek tanggung jawab mereka dalam meningkatkan pencapaian anak-anak
mereka.
130 Masalah Pendidikan 2007, Jilid 30 (1)

Rajah 1. Model penglibatan ibu bapa Hoover-Dempsey & Sandler (1995, 1997)

Kajian lampau telah menunjukkan bahawa peranan ibu bapa dalam pendidikan sentiasa
wujud dan peranan mereka adalah pelbagai berdasarkan kelas sosial dan etnik. Terdapat kajian
yang mencadangkan bahawa ibu bapa yang bekerja berbanding dengan ibu bapa yang berstatus
tinggi melihat guru sebagai individu yang paling sesuai untuk menangani masalah pendidikan
anak mereka (Lareau, 1989). Manakala Goldenberg, Reese dan Gallimore (1992) pula mendapati
keluarga Mexican-Amerika yang datang dari golongan berpendapatan rendah dapat mendidik
anak mereka di rumah selari dengan apa yang dilakukan di sekolah menggunakan buku cerita
dan buku kerja yang diberikan oleh
Masalah Pendidikan 2007, Jilid 30 (1) 131

guru. Dalam kajian terse but juga didapati ibu bapa yang menggunakan kaedah didaktik merasa
se1esa dengan kaedah tersebut dalam usaha meningkatkan pencapaian anak mereka berbanding
dengan mereka yang tidak menggunakannya secara formal.
Hoover-Dempsey dan Sandler (1997) menggunakan efikasi ibu bapa dalam model
mereka memandangkan terdapat kajian yang menunjukkan bahawa sikap efikasi yang boleh
membantu kejayaan anak-anak mereka di sekolah ada kaitannya dengan penglibatan membuat
keputusan. Sesuai dengan sistem persekolahan dalam konteks di Malaysia, sebagai negara
demokrasi penglibatan membuat keputusan secara suara ramai amat diperlukan dan digalakkan
terutama dalam menggembeling tenaga untuk kejayaan anak mereka dan pelajar sekolah itu
secara tidak langsung. Secara eksplisitnya juga, ibu bapa perlu mempunyai efikasi kendiri yang
baik untuk penglibatan yang aktif di sekolah demi pencapaian dan kejayaan anak-anak mereka.
Hal yang demikian ini selari dengan maksud pembinaan efikasi kendiri yang merujuk kepada
kepercayaan dalam keupayaan seseorang untuk mengorganisasikan dan melaksanakan tindakan
yang diperlukan untuk menghasilkan dan merealisasikan pencapaian yang diinginkan (Bandura,
1997, hlm. 3).
Banyak kajian telah mengkaji efikasi kendiri ibu bapa dalam kemahiran keibubapaan.
Kajian menunjukkan ibu bapa yang mempunyai efikasi kendiri yang tinggi bersikap lebih
optimistik, autoritatif dan konsisten dalam interaksi dengan anak meeka berbanding dengan ibu
bapa yang efikasi kendirinya rendah (Ardelt & Eccles, 2001; Bandura, Barbaranelli, Caprara, &
Pastorelli, 1996; Williams et al., 1987). Hal yang demikian ini boleh memberi implikasi yang
positif terhadap pencapaian anak mereka memandangkan individu dengan efikasi kendiri yang
tinggi tidak mudah untuk mengalah dan tidak banyak mengalami tekanan berbanding dengan
mereka yang kurang efikasi kendiri. Huraian mengenai model Hoover-Dempsey dan Sandler
jelas menunjukkan bahawa kebersamaan sekolah dan komuniti boleh dijalin dengan ibu bapa
sebagai salah satu dari komponen komuniti sesebuah sekolah itu. Kebersamaan yang tidak
pernah wujud tidak akan dapat menghasilkan pelajar yang boleh belajar seperti yang disebut oleh
Gallagher et. al (2005). Begitu juga dalam melahirkan murid atau pelajar yang bermotivasi
(Solomon et al., 2000).
Model ini menunjukkan bahawa hubungan sekolah dan komuniti dapat diwujudkan
sekiranya pihak pengurusan sekolah dapat memastikan agar pihak guru dan ibu bapa
saling memahami perasaan di antara satu sarna lain sebagai langkah pertama untuk mewujudkan
hubungan harmoni kedua-dua pihak (Berger, 1983). Perkara seperti ini perlu diatasi terlebih
dahulu kerana pengalaman-pengalaman lepas ketika berhubung dengan sekolah akan
mencorakkan persepsi ibu bapa mengenai sekolah anak mereka. Oleh yang demikian bagi
menjayakan konsep hubungan sekolah dan komuniti ke arah melibatkan komuniti dalam
pelaksanaan dasar KPM, maka pihak sekolah perlu mengatasi segala masalah berkaitan seperti
juga yang dinyatakan oleh Wentzel (1998) iaitu, masalah-masalah seperti guru tidak memahami
keperluan ibu bapa, ibu bapa tidak memahami kerja sekolah anak, guru tidak menyokong usaha
ibu bapa, ibu bapa tidak berminat untuk melibatkan diri, masalah komunikasi, ibu bapa tidak
memahami dasar di sekolah dan ibu bapa tidak pasti cara untuk menyumbang kepada sekolah.
Sekiranya masalah-masalah yang telah dikenal pasti seperti ini dapat diatasi maka akan
memudahkan pihak sekolah dan ibu bapa untuk berkomunikasi dengan berkesan bagi mencapai
tujuan bersama iaitu memastikan kejayaan anak-anak dalam pelajaran.
132 Masalah Pendidikan 2007, Jilid 30 (1)

Pengenalan model hubungan sekolah dan komuniti ini penting kerana hasil kajian yang
dibuat oleh Queensland School Curriculum Council (QSCC, 1998) menunjukkan bahawa
hubungan yang baik antara guru dan ibu bapa merupakan salah satu daripada komponen penting
dalam memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam aspek
utama sekolah iaitu kurikulum.
Dalam konteks di Malaysia membina hubungan yang baik ini mengambil perspektif yang
lebih meluas. Hal yang demikian ini dirujuk oleh QSCC (1998) sebagai collegial partnership.
Collegial partnership mengikut QSCC (1998) merupakan satu bentuk hubungan yang
melibatkan pengamal pendidikan itu sendiri, ibu bapa dan lain-lain badan profesional seperti
guru, bahan bantu mengajar, pentadbir dan mereka yang terlibat dalam pembangunan program
sekolah. Tugas bersama-sama ibu bapa bukan semata-mata untuk mengekalkan hubungan yang
baik dengan pihak sekolah malah tugas tersebut dijadikan satu amalan pendidikan yang dijana
secara profesional bagi faedah bersama.
Sebagai ibu bapa mereka tentulah lebih mengetahui tentang apa yang terbaik untuk anak
mereka. Mereka juga boleh mengambil peranan dalam memberi cadangan atau menyatakan
tentang kaedah sesuai yang boleh diguna pakai oleh guru di sekolah.Manakala guru sebagai
seorang yang profesional dalam pendidikan pula lebih mengetahui perkara yang boleh
memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.Oleh itu pihak sekolah dan
komuniti ini secara bersama-sama boleh membawa kepelbagaian pemikiran tersebut dan
disesuaikan dengan minat murid-murid yang akhimya dapat membantu proses pengajaran
pembelajaran mereka.

Hubungan Sekolah dan Komuniti: Halatuju

Kesimpulannya, untuk menghasilkan usaha bersama antara pihak sekolah dan ibu bapa, terlebih
dahulu pihak sekolah perlu memahami ibu bapa seperti yang dinyatakan oleh Berger (1983) iaitu
beliau telah mengkategorikan ibu bapa kepada lima kumpulan seperti yang berikut:

(a) ibu bapa mengelak dari sekolah.


(b) ibu bapa perlu galakan untuk datang ke sekolah.
(c) ibu bapa sukarela datang jika dijemput.
(d) ibu bapa komited dan berasa seronok melibatkan diri.
(e) ibu bapa suka menonjolkan kuasa dan pengaruh di sekolah.

Berdasarkan pandangan Berger (1983) ini pihak pengurusan sekolah harus memainkan
peranan sebagai morale builder program designer and program coordinator dengan
mengamalkan dasar pintu terbuka, menyediakan bilik pertemuan dengan ibu bapa, menyelaras
mesyuarat dan bengkel dengan ibu bapa, dan memberi sokongan kepada PIBG. Para guru boleh
bertindak sebagai fasilitator, kaunselor, penyelaras program dan sumber serta kawan kepada ibu
bapa. Kedua-dua pihak guru dan ibu bapa hendaklah bersikap terbuka dalam usaha memperbaiki
keputusan anak dan murid-murid masing-masing. Mengikut Berger (1983), untuk menjayakan
"educational partnership" ini, pihak sekolah mesti menjemput ibu bapa untuk melibatkan
diri dan ibu bapa mesti memberi respon
Masalah Pendidikan 2007, Jilid 30 (1) 133

seperti yang disebut oleh Hughes dan MacNaughton (2003). Komunikasi dua hala yang paling
efektif untuk mewujudkan kerjasama dan respon dari pihak ibu bapa. Komunikasi ini dapat
dikekalkan melalui PIBG, lawatan ibu bapa ke sekolah dan penyertaan dalam aktiviti sekolah
(Berger, 1983).
Selain itu terdapat empat prinsip yang dapat membantu para guru untuk memastikan
hubungan ibu bapa, guru dan komuniti lebih bermakna dari kajian yang dilakukan oleh Hughes
dan MacNaughton (2003) iaitu mengalu-alukan kedatangan ibu bapa dan komuniti lain ke
sekolah mereka, menerangkan pengurusan dan perjalanan aktiviti di sekolah untuk
mengurangkan kebimbangan ibu bapa dan penjaga pelajar, sentiasa menerima ibu bapa, yang
pelbagai sosiobudaya dan mengalu-alukan sumbangan daripada ibu bapa, pengetahuan serta idea
mereka dalam mendidik anak. Manakala Laporan Hargreaves (1995) pemah menyatakan
"parental commitment is a cornerstone of the schools success. If parents are interested in their
children’s schooling, ... are supportive of the school’s endeavors, ... act in partnership with
teachers, then the children will achieve more in school".Oleh itu rumusannya bolehlah dikatakan
pengenalan model hubungan sekolah dan komuniti ini adalah merupakan cadangan bagi
pertukaran idea serta perkongsian bijak antara pihak sekolah dan ibu bapa bagi faedah bersama.
134 Masalah Pendidikan 2007, Jilid 30 (1)

Rujukan

Ahmad Kilani Mohamed. (2003). Pengurusan pendidikan di sekolah, huraian menurut perspektif
Islam. Skudai, Johor: UTM.
Ardelt, M., & Eccles, J. S. (2001). Effects of mothers' parental efficacy beliefs and promoting
parenting strategies on inner-city youth. Journal of Family Issues, 22(8), 944-972.
Bandura, A. (1997). Self-efficacy: The exercise of control. New York: Freeman.
Bandura, A., Barbaranelli, C., Caprara, G. V., & Pastorelli, C. (1996). Multifaceted impact of
self-efficacy beliefs on academic functioning. Child Development, 67(3), 1206-
1222.
Berger, F. H. (1983). Beyond the classroom: Parents as partners in education. St. Louis:
Thomas & Manning.
Driebe, N. M., & Cochran, M. M. (1996, Jun). Barriers to parent involvement in Head Start
programs. Kertas yang dibentangkan di The Head Start National Research
Conference, Washington, DC.
Gallagher, D. R., Bagin, D., & Moore, E. H. (2005). The school and community relations.
Boston: Pearson.
Goldenberg, C., Reese, L., & Gallimore, R. (1992). Effect ofliteracy materials from school on
Latino children's home experiences and early reading achievement. American
Journal of Education, 100(4),497-536.
Gonder, P. O. (1981). Exchanging school and community resources. Dalam D. D. Davies (Ed.),
Communities and their schools (hlm. 297-329). New York: McGraw-Hill.
Hargreaves, D. (1995). Improving secondary schools. Dalam Early childhood education issues
and concerns. Dublin: INTO.
Hoover-Dempsey, K. V., & Sandler, H. M. (1995). Parental involvement in children's education:
Why does it make a difference? Teachers College Record, 97(2), 310- 331.
Hoover-Dempsey, K. V., & Sandler, H. M. (1997).Why do parents become involved
in their children's education? Review of Educational Research, 67(1),3-24.
Hughes, P., & MacNaughton, G. (2003). Building meaningful partnerships between staff
and families: Enhancing children’s development. Victoria, Australia: Tertiary
Press.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2001). Pembangunan pendidikan 2001-2010. Kuala Lumpur:
Penulis.
Lareau, A. (1989). Home advantage: Social class and paternal intervention in elementary
education. New York: Falmer Press.
Poston, W. K., Jr., Stone, M. P., & Muther, L. (1992). Making schools work: Practical
management of support operation, vol. 7. Thousand Oaks, CA: Corwin Press
Queensland School Curriculum Council. (1998). Preschool curriculum guidelines. Brisbane:
Penulis.
Solomon, D., Battishich, v., Watson, M., Schaps, E., & Lewis, C. (2000). A six-district
study of educational change, Direct and mediated effects of the child development
project. Social Psychology of Education, 4, 3-51.
Masalah Pendidikan 2007, Jilid 30 (1) 135

Sufean Russin. (2002). Dasar pembangunan pendidikan Malaysia: Teori & analisis.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wentzel, K. R. (1998). Social relationship and motivation in middle schools: The role of parents,
teacher and peers. Journal of Educational Psychology, 90(2), 202-9.
Williams, T. M., Joy, L. A., Travis, L., Gotowiec, A., Blum-Steele, M., Aiken, L. S., et
al. (1987). Transition to motherhood: A longitudinal study. Infant Mental Health
Journal, 8(3),251-265.

Você também pode gostar