Você está na página 1de 2

Antara Merdeka dan Hedonisme.

Merdeka. Kebanyakan orang apabila ditanyakan maksud kemerdekaan, mereka akan menjawab
"kebebasan". Tetapi "kebebasan" yang diungkapkan tidak dijelaskan apakah rangkumannya. Mungkin ia
terlalu subjektif untuk ditakrifkan dengan hanya satu perkataan sahaja. Atau mungkin sahaja maksud
sebenar merdeka itu terlalu infiniti untuk dipolemikkan. Namun, apa yang pasti, merdeka dalam
pengertian politik tidak terbatas kepada pembebasan dari kuasa penjajah sahaja. Merdeka juga bererti
kebebasan dari segi pemikiran, keilmuan, sosial, ekonomi dan budaya. Sehubungan itu, dalam
kemeriahan pelbagai pihak mengadakan sambutan hari kemerdekaan, kita juga perlu secara serius
berfikir tentang pelbagai persoalan pokok berkaitan erti kemerdekaan, pengisian dan perjuangan untuk
diteruskan bagi memartabatkan Malaysia. Erti kemerdekaan itulah mendefinisikan makna kedaulatan
Malaysia sebagai negara merdeka, masyarakat pelbagai kaum yang makmur dan bersatu
membangunkan negara ke tahap cemerlang, gemilang dan terbilang.

Persoalannya apakah cukup sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik,
melaungkan Merdeka dan berarak ke serata pelosok negara sebagai tanda penghayatan kemerdekaan?
Apakah cukup dengan stereotaip dan rutin tahunan berhimpun, membaca doa, mendengar syarahan
merdeka dan menonton pentomen sebagai warga patriotik? Realitinya, cara kita meraikan perjuangan
berdarah pahlawan-pahlawan negara dalam usaha untuk memanifiestasikan kemerdekaan negara suatu
ketika dahulu akan sentiasa berubah-ubah membuntuti arus pemodenan yang kian deras. Jika suatu
ketika dahulu hari kemerdekaan negara disambut dengan penuh makna dan kesedaran tentang
pengorbanan dan jasa-jasa mereka yang tekorban untuk memerdekakan negara, tidak keterlaluan jika
dikatakan bahawa rakyat Malaysia pada hari ini langsung tidak memahami apa itu sebenarnya erti
kemerdekaan.

Hal ini mungkin disebabkan oleh pengisian sambutan hari kemerdekaan itu sendiri yang semakin
taksub dengan keseronokan dan kurangnya penghayatan terhadap sejarah kemerdekaan negara kita
yang sepatutnya dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat negara ini. Sifat
kewarganegaraan atau pun patriotik yang kian pudar ini boleh membinasakan negara kita suatu hari nanti
jika ia tidak diambil secara serius. Kita sedar bahawa negara Malaysia sememangnya bebas daripada
penjajah tetapi kita lupa bahawa sedikit demi sedikit minda kita ditarah serta dihakis dari menjiwainya.
Keaslian dan ketulenan kemerdekaan serta pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin juga perwira
negara dahulu dicemarkan oleh minda yang lupa asal-usulnya. Hal yang dimaksudkan ialah hentaman
budaya Hedonisme dalam masyarakat kita hari ini .

Melihat kepada pemikiran budaya hedonisme dengan lebih jauh lagi. Hedonisme  berasal
daripada perkataan Greek yang bermaksud kesenangan ialah suatu pola pemikiran dan budaya hidup
yang terlalu sukakan kepada aktiviti hiburan dan keseronokan semata. Menurut kamus dewan pula,
hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan
hidup serta bebas.  Sekali lagi ditekankan frasa ‘bebas’ dalam definisi hedonisme. Mungkin sebab itulah
juga rakyat Malaysia, khususnya golongan muda mudi marcapada ini sering terkeliru dengan erti
kebebasan merdeka dan juga kebebasan dalam frasa budaya hedonisme. Mereka lebih cenderung untuk
mengamalkan cara hidup yang menjadikan keseronokan serta kebebasan bersosial sebagai prioriti dalam
hidup mereka.

Jika dilihat dari sudut perspektif yang berbeza, budaya hedonisme ini mampu untuk membunuh
erti kemerdekaan negara yang sebenar. Mereka yang bersifat hedonistik ini sudah tentu tidak mempunyai
jati diri yang utuh, sekali gus memustahilkan usaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berpatriotik
tinggi. Penjajahan pada masa sekarang datang dalam pelbagai warna, bentuk, dan saiz walaupun
sebelum ini mereka datang dengan kapal dan senjata. Ledakan revolusi digital yang berpaksikan barat di
Malaysia pada alaf siber ini membawa masuk budaya asing ini melaui wayar kuprum, fiber optik serta
satelit dan dengan adanya globalisasi dan dunia tanpa sempadan, lebih mudah untuk mereka
mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial kita.

Justeru itu,fakta bahawa budaya hedonisme merupakan salah satu penyebab utama keruntuhan
semangat patriotik dalam diri rakyat Malaysia bukanlah suatu retorik semata-mata. Penularan budaya ini
membuatkan erti kemerdekaan itu semakin kabur dan hampir tidak bermakna. Hedonis-hedonis ini akan
terus menyalahgunakan nikmat kemerdekaan yang padahal telah diperjuangkan oleh pejuang tanah air
pada masa lalu. Mereka menghirup udara kebebasan dan berpijak pada bumi yang merdeka. Tetapi
mereka tidak pernah sedar akan sejarah yang telah berlalu. Sejarah dimana semua yang mereka nikmati
pada hari ini adalah hasil usaha pengorbanan mereka yang telah berjuang sehingga ke titisan darah yang
terakhir demi memastikan anak cucu mereka tidak akan merasa kepayahan yang mereka hadapi dan
merasa kebebasan merdeka.

Sesungguhnya merdeka itu merupakan suatu pengertian yang telah menjadi sifat atau fitrah
semulajadi manusia. Iaitu dengan lain-lain perkataan,kemerdekaan adalah sesuatu yang menjadi
keinginan semua manusia di dunia ini.Tidak ada manusia di dunia ini yang tidak menginginkan
kemerdekaan. Bahkan ia lebih menjadi suatu perkara yang dicita-citakan oleh setiap manusia. Cuma
yang berbeza dalam pengertian setiap manusia di dunia ini adalah memahami apakah erti kemerdekaan
itu dan bagaimana bentuk kemerdekaan tersebut. Tetapi jika semua rakyat Malaysia sudah mula
terpengaruh dengan budaya hedonisme, maka tidak ada sesiapa lagi yang akan mengenang dan
menghayati sejarah kemerdekaan negara kita yang penuh dengan warna perjuangan. Semua sejarah
dan pengorbanan mereka akan terkubur dan dilupakan begitu sahaja. Sadisnya akan hal ini bukanlah
sesuatu yang mustahil untuk berlaku. Malah, kita sudah boleh lihat akan hal-hal tersebut dalam
masyarakat kita pada hari ini.

Ramai generasi hari ini mentafsirkan kemerdekaan dengan kebebasan dalam erti kata yang
sempit dan hedonistik. Bagi mereka merdeka bermakna bebas dari undang-undang, bebas dari agama,
bebas dari kongkongan ibubapa dan guru-guru di sekolah. Ada juga yang terpengaruh dengan
liberalisme Barat sehingga mentafsirkan kebebasan dengan kebebasan dari tradisi dan akhlak,
menghapuskan kesantunan rakyat Malaysia yang selama ini dibangga-banggakan. Oleh itu, bertitik tolak
daripada hipotesis bahawa erti kemerdekaan negara semakin dilupakan dan disalahertikan, kita semua
perlulah memperkemaskan diri serta minda dalam menghadapi cabaran global yang tidak bersempadan
serta memperkukuhkan tonggak jati diri supaya erti kemerdekaan sebenar dapat dihayati justeru maruah
negara Malaysia dapat dipelihara.  Sudah tiba masanya kita rakyat Malaysia membuat pilihan untuk
menemukan kembali erti kemerdekaan negara ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita sekarang untuk
memastikan demokrasi bernafas semula di negara ini, keluhuran perlembagaan kembali dijunjung dan
kedaulatan undang-undang terbina kukuh.

Você também pode gostar