Você está na página 1de 3

Apakah itu kes buli?

Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti


memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan
oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa
ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah
mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti
pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam
kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan
pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya.
Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah
kes buli ini.

Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang
sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya
untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang
lain. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka
sendiri.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada
anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk
mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka
terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk
pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya
merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya
dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga
menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan
pembulian mereka terhadap pelajar lain.

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah
drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.
Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah
harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata
pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan
sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan
satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan
buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit
dalam kes buli ini.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara
berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar
menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh
dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.
Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di
setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima
sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka
yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya. Pihak sekolah juga boleh
menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan
aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang
cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu
dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-
rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para
pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya,
jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan
membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan
diri dalam kes buli di sekolah.Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu
dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang
ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri
untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi
dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus
berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya
dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan,
masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh
berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu
bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan
mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal
kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan
sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk
membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada
anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada
tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti.
Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga
sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak
rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.
Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja,
ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa
di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka
supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak
mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi
meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya
bersama-sama.
Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin
melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai
khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan
tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar
merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan.
Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu,
semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah
kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri
ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang
dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Você também pode gostar