Você está na página 1de 2

Seeloknya Berterus Teranglah…

Suatu malam Ramadan semasa Nabi s.a.w. sedang beriktikaf di masjid, datang Ummul
Mukminin Sayidatina Safiyah r.ha. Selesai urusannya dengan Nabi, baginda menghantar
sampai ke pintu masjid. Kebetulan waktu itu melintas dua orang Sahabat dari kalangan
Ansar lalu memberi salam kepada Nabi.

“Persilakanlah hendak ke mana pun,” kata Nabi kepada dua orang Sahabat itu selepas
menjawab salam. “Wanita ini bukan orang lain tetapi isteriku, Safiyah binti Huyai.”

Kenapa Nabi s.a.w. memperkenalkan isteri baginda kepada dua orang Sahabat itu?
Sebab Nabi tidak mahu menimbulkan sesuatu yang boleh mendatangkan fitnah,
walaupun apa yang baginda sedang lakukan itu bukan kesalahan. Dan bagi Sahabat-
sahabat baginda pula, terjauh daripada mereka menyangka yang bukan-bukan terhadap
Nabi.

Nabi tahu itu. Tetapi baginda menunjukkan teladan kepada kita, jangan biarkan sekecil-
kecil syak wasangka terbit di dalam hati orang lain disebabkan oleh perbuatan kita.
Walaupun apa yang kita buat tidak salah, seperti mana Nabi bersama Sayidatina Safiyah
di hadapan pintu masjid pada waktu tengah malam.

Menjelaskan tujuan Nabi s.a.w. memberitahu dua Sahabat Ansar tentang isteri baginda
itu, Nabi bersabda, “Sesungguhnya syaitan dapat merayap ke dalam tubuh manusia
(dapat menggoda) seperti mengalirnya darah di dalam tubuh. Sesungguhnya aku khuatir
kalau-kalau syaitan itu melemparkan sesuatu ke dalam hati kamu berdua.”

Dalam situasi begitu, apa lagi yang akan dibisikkan syaitan ke dalam hati kalau bukan
sangka-sangka yang tidak baik. Kalau bukan tuduhan serta anggapan negatif.
Sedangkan sangkaan buruk itu termasuk dalam dosa yang berat. Allah tidak akan
mengampuninya sebelum terlebih dahulu diampuni oleh orang yang dilemparkan sangka
buruk itu.

Ditegaskan di dalam al-Quran menerusi sebaris firman dari Surah al-Hujurat ayat 12
yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan sangka-sangka
kerana sebahagian sangka-sangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari aib
orang lain…” (hingga akhir ayat).

Sangka buruk adalah jenayah hati. Apabila meletakkan sangkaan-sangkaan buruk


kepada seseorang, kita telah berbuat jahat kepada orang itu tanpa diketahuinya dan
tanpa kita sedari. Namun Allah Yang Maha Mengetahui, tidak akan melepaskan apa saja
perbuatan jahat yang dilakukan manusia dengan tidak diadili dan dijatuhi hukuman
setimpal.

Cuma, seperkara yang barangkali jarang diberi perhatian ialah sebab-musabab timbulnya
satu-satu sangka buruk itu. Itulah yang dipertontonkan oleh Nabi s.a.w. kepada dua
orang Sahabat di hadapan pintu masjid, untuk dijadikan iktibar dan renungan sepanjang
zaman bahawa di mana-mana pun fitnah boleh berlaku jika tidak berhati-hati.

Tidak berasa bersalahkah kita jika kelakuan dan sikap kita menimbulkan syak dan
sangka buruk orang lain? Tidak berasa bersalahkah kita jika dosa sangka buruk orang
lain itu disebabkan oleh kita? Tidak berasakah yang kita telah menyemai bibit-bibit
fitnah? Fitnah adalah kejahatan. Kejahatan merosak dan membinasakan – binasa amal,
binasa pahala, binasa ukhuwah, binasa kasih sayang dan binasa kehidupan.
Jangan cepat menyalahkan orang yang meletakkan sangka buruk itu, sekalipun sudah
sedia maklum memang tabiatnya begitu. Kita hidup berkawan dan bermasyarakat.
Setiap hari berhadapan dengan pelbagai macam kerenah manusia. Tapi sebenarnya
kepelbagaian itulah yang mencorak kehidupan.

Memang mudah untuk terperangkap dengan fitnah. Sebab itulah Nabi menunjukkan cara
bagaimana menghindarinya. Secara senang difahami tentang apa yang telah Nabi s.a.w.
tunjukkan ialah sikap berterus terang baginda. Berterus terang akan menghapuskan
gelap dan kesamaran.

Nabi s.a.w. melarang dua orang lelaki berbisik-bisik, sedangkan bersama mereka ada
orang ketiga. Walaupun yang dibisikkan itu perkara kebaikan atau sesuatu yang
langsung tidak ada kena-mengena dengan lelaki yang seorang lagi.

Apa pun, waspadalah dan berusaha menghindari daripada berbuat perkara yang boleh
menyebabkan orang lain bersangka buruk terhadap kita. Kasihan… sangka-sangka
buruknya itu menyebabkan dia mendapat dosa. Kenapa dia bersangka-sangka? Kerana
tidak tahu hal yang sebenar.

Justeru, maafkan sajalah orang-orang yang ‘menyakiti’ kita dengan hati dan lidah
mereka itu. Mereka tidak tahu. Sedangkan Nabi yang menerima tentangan hebat
penduduk Thaif pun rela memaafkan mereka. Malah didoakan pula untuk mereka, “Ya
Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Berilah kemaafan tanpa tunggu diminta. Mungkin kita pun ada berbuat seperti mereka.
Bermakna, kita juga sangat mengharapkan kemaafan dari orang-orang yang telah kita
khianati. Dan sesekali, renung-renunglah lagi sikap serta perlakuan sehari-hari. Apakah
ada yang boleh mencetuskan syak wasangka orang lain.

Di dalam terang, banyak perkara boleh diselesaikan. Rambut yang kusut-masai pun
boleh diungkai.

Você também pode gostar