Você está na página 1de 5

http://drmaza.com/home/?

p=391

Adab Berbuka Puasa - Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W

Adab-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan
Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab
ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi
terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali
gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan
Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj
(nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan
dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:


“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas
atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah
s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa
disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr,
Beirut).

Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala
atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak
menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa
mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka
puasa yang dinyatakan di dalam hadis:
1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan
hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”


(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu
Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya
melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

“Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah
kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya
menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang
berpendapat wajib melewatkannya.” (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan
Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

1
http://drmaza.com/home/?p=391

2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak
sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah
kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia
kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil
tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:

“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat.
Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka
Baginda minum beberapa teguk air.” (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini
hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-
Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika
tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

“Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada,
maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang
menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau
mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi
sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan
kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya
mendahulukan tamar sebelum air.”

(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping
itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang
dalil daripada sunah Nabi s.a.w.
3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan
belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w.
berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga
mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus
menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah
dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.

2
http://drmaza.com/home/?p=391

Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada
Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu


menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:
“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah
didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah
sehinggalah dia selesa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:


Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula
sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai
makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan
dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar,
boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan
tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan
terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis
tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan
kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (An-
Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan
makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan
kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan
mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

“Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat


Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca
arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).


Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan
sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat
jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan
emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada,
maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan
makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan
kesempurnaan solat.

3
http://drmaza.com/home/?p=391

Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal
597H):

“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab
mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini
adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh
tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak
memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).
4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman
Allah s.w.t. maksudnya:

Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka
orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya.
Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang
belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu
pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk
pernafasan.”

(Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-
Bari menyatakan hadis ini hasan).

Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh
umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan
satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian
tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika
tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar
yang dapat memberi tenaga.

4
http://drmaza.com/home/?p=391

5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”
(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani
dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul
disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-
Munawi menyebut:

”Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa
dengan menjaga lidah, hati dan anggota.” (Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan disunatkan kita
membacanya:

“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga,
telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.”
(Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang
doa yang makbul ketika dia berbuka.
6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:

“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti
dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka
yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke
atas kamu para malaikat.” (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah
menyatakan ia sahih 5/158).

Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.
Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga
pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita….. Selamat Berpuasa!

Você também pode gostar