Você está na página 1de 26

Antara Ilmu dan Akal dalam Kerangka Melayu dan Islam

Faizatul Syaheera
Muhammad Jailani Abu Talib
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya

1.0 Pengenalan

Ilmu keintelektualan dan kerasionalan memainkan peranan penting dalam

peradaban Melayu. Bahkan, segala tindak-tanduk, hukum-hakam serta

budaya manusia Melayu dipengaruhi oleh kedua-dua nilai tersebut. Dalam

erti kata yang lain, ilmu dan akal merupakan main ingredient ataupun ramuan

utama dalam proses melahirkan seorang insan yang Melayu dari sudut raga

dan jiwanya. Namun begitu, sebesar manakah peranan ilmu dan akal dalam

kerangka Melayu, khususnya dalam kerangka peradaban Melayu-Islam.

Kertas kerja ini akan menghuraikan kepentingan nilai ilmu dan akal

dalam konteks peradaban Melayu-Islam serta mencerakinkan kesan dan

impak pembangunan ilmu dunia dalam peradaban manusia Melayu. Namun

begitu, sebelum menghuraikan persoalan yang dikeutarakan dalam kertas

kerja ini, terdapat beberapa perkara penting yang terlebih dahulu harus

diterangkan dan dibentangkan dalam dimensi teoretikal dan intelektual, sekali

gus mewakili konsep kajian yang dijalankan.

2.0 Ilmu

Sebagai salah satu daripada dua pokok perbicaraan kertas kerja ini, ilmu

ditafsirkan Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998:483) sebagai “pengetahuan,

kepandaian” dalam sebarang perkara yang merujuk kepada dunia, akhirat,

zahir, batin dan lain-lain. Tafsiran tersebut turut dapat diperhatikan dalam

Kamus Besar Bahasa Indonesia (2007:423) sebagai “pengetahuan atau


kepandaian tentang soal duniawi, akhirat, lahir, batin dan sebagainya”. Dalam

erti kata yang lain, dapat kita tafsirkan bahawa ilmu sebenarnya merentasi

jurang fizikal manusia dan turut merangkumi ruang spiritual manusia itu

sendiri. Namun begitu, penelitian yang lebih kritis turut dapat diperhatikan

dalam definisi pertama Kamus Besar Bahasa Indonesia (2007:423) yang

menerangkan ilmu sebagai “pengetahuan tentang suatu bidang yang disusun

secara bersistem menurut metode tertentu, yang dapat digunakan untuk

menerangkan gejala tertentu di bidang itu.” Tafsiran tersebut sekali gus

menerangkan keupayaan ilmu sebagai penghurai segala fenomena yang

menyelubungi diri manusia.

Selain daripada itu, ilmu turut dapat diterjemahkan ke dalam bahasa

Inggeris sebagai knowledge. Sekiranya madah Sir Francis Bacon –

“Knowledge is Power” diteliti, maka sudah tentulah ilmu merupakan sesuatu

elemen yang menjadi sumber kepada kehebatan bangsa Melayu sepanjang

zaman. Menurut Leif Edvinsson and Michael S. Malone (1997:10-15), ilmu

dapat dipecahkan kepada dua jenis asas, iaitu ilmu eksplisit (explicit

knowledge) dan ilmu tacit (tacit knowledge). Menurut tanggapan mereka, ilmu

eksplisit dapat diterjemahkan ke dalam bentuk perkataan dan angka serta

dapat dikongsi bersama lewat sebarang bentuk data, formula saintifik,

manual, manuskrip dan sebagainya. Sementara itu, ilmu tacit bersifat

personal dan sukar dibakukan ke dalam sebarang bentuk konkrit sekali gus

merumitkan proses menyampaikan atau berkongsi ilmu yang terdapat pada

seseorang dengan makhluk yang lain.


Ruang ilmu tacit seterusnya dapat dipecahkan kepada dua dimensi

asas, yakni dimensi ilmu kognitif dan dimensi ilmu teknikal. Dimensi pertama,

yakni dimensi ilmu kognitif merangkumi segala kepercayaan, ideal, persepsi,

emosi dan kerangka pemikiran yang tersemat dalam pendirian seseorang.

Sementara itu, dimensi kedua mencakupi ilmu yang lebih teknikal sifatnya

dan merujuk kepada kepandaian seseorang yang diwarisinya melalui penat

lelah dan pengalamannya sendiri. Dalam hal ini, individu tersebut seringkali

mempunyai kerumitan dalam menerangkan ataupun “menurunkan” ilmu

tersebut kepada individu yang lain. Daripada itu, ilmu tersebut bersifat

subjektif dan personal dan merangkumi perspektif peribadi, intuisi, inspirasi,

perasaan dan firasat.

Sekiranya diteliti gagasan Leif Edvinsson dan Michael S. Malone

(1997), maka dapatlah dirumuskan bahawa tata pemikiran masyarakat

Melayu sebenarnya lebih kompleks dan dinamis daripada apa yang diteliti

oleh kedua-dua individu tersebut. Berbeza dengan konsep ilmu dalam

peradaban barat yang secara purata terbina daripada ilmu jenis eksplisit, ilmu

jenis tersebut hanya merupakan cebisan kecil dalam konsep ilmu Melayu

yang kebanyakannya diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain

menerusi pelbagai medium termasuk cerita rakyat, pantun, gurindam, nazam,

syair dan sebagainya.


Dari sudut Islam pula, ilmu dapat dipecahkan kepada dua jenis yakni,

yakni taqlad1 dan naqla2. Termasuk dalam ilmu yang dapat dikategorikan

sebagai jenis ilmu taqlad (William C. Chittick, 2000) adalah ayat-ayat al-Quran

serta hadith-hadith Islam. Kepentingannya diterangkan William (2000) :

“Mustahil untuk menjadi Muslim tanpa taqlad, kerana


seseorang itu tidak boleh memahami Quran atau
mengamalkan Syariah secara sendirian. Sama juga dengan
bahasa yang dipelajari dengan ikut-ikutan, Quran dan amalan
Islam juga dipelajari dengan mengikut mereka yang
mengetahuinya. Mereka yang memikut tanggungjawab
mengekalkan warisan yang disebarkan ini dikenali sebagai
mereka yang mengetahui, iaitu ulama.”

Namun begitu, sebagaimana yang telah diterangkan di atas, ilmu jenis naqla

turut diterima dari sudut Islam. Menurut William (2000) lagi :

“mujtahid perlu diikuti, sama ada mujtahid itu masih hidup


(dalam kes Syiah) atau mati (dalam Suni). Dalam erti kata lain,
seseorang itu mengikuti seorang mujtahid kerana cara untuk
mempelajari ilmu yang disebarkan adalah dengan mengikuti
mereka yang mengetahuinya. “

Pada asasnya, biarpun ilmu yang diterima dari sumber tertentu selain

manusia (ilmu taqlad) tampak berbeza daripada jenis ilmu yang disebarkan

oleh seorang pengantara (ilmu naqla), kedua-dua jenis ilmu tersebut

sebenarnya berkaitan dan serta memberikan impak antara satu sama yang

lain. Kedua-dua jenis tersebut saling melengkapi sehingga terbinanya budaya

yang berteraskan keintelektualan.

2.1 Akal

1
Ilmu yang disebarkan dengan penggunaan bahan-bahan seperti Al-Quran dan
sebagainya.
2
Ilmu yang disebarkan dengan penggunaan pakar dalam bidang Islam. Termasuk
dalam cakupan tersebut adalah para ulama, asatizah, ustaz, ustazah dan
sebagainya.
Nilai ilmu yang seterusnya diterjemahkan sebagai keintelektualan memainkan

peranan yang genting dalam pembinaan tamadun dan peradaban sesebuah

bangsa. Namun begitu, apakah konstituen atau elemen yang membolehkan

manusia untuk menerima serta mencerakinkan ilmu tersebut? Dalam hal ini,

konstituen tersebut dapat dikenali sebagai akal, yakni sebuah fakulti dalam

psikologi manusia yang membolehkan proses pencerakinan ilmu yang

diperolehi manusia, sama ada melalui kaedah taqlad atau naqla.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998:19) akal dapat ditafsirkan

sebagai “budi, fikiran” manakala Kamus Besar Bahasa Indonesia (2007:18)

mentafsirkannya sebagai “daya pikir (untuk memahami sesuatu dsb)”. Dapat

dirumuskan daripada itu bahawa akal sebenarnya merujuk kepada sebuah

fakulti dalam psikologi manusia yang memberikan daya pemikiran kepada

manusia. Ilmu yang kadangkala diterima dalam bentuk yang serba abstrak

mengambil bentuk yang lebih utuh dan konkrit dalam minda individu.

Bergantung pada ilmu logika dan rasionaliti yang terbentuk dalam diri

manusia, individu tersebut dapat membuat penilaian dan penerimaan kritis

terhadap sebarang bentuk ilmu.

Namun begitu, kepentingan akal dalam peradaban Islam telah

menimbulkan sebuah polemik dalam kalangan cendekiawan dan asatizah

Islam serta membuahkan dua kutub yang bertentangan dalam perbincangan

tersebut. Kedua-dua kutub tersebut diwakili oleh mazhab yang berpegang

pada aliran Jabariyyah dan mazhab aliran Qadarriyah.


Mazhab aliran Jabariyyah merujuk kepada golongan yang percaya

bahawa manusia tidak mempunyai sebarang hak untuk menentukan

kehidupannya sendiri serta sebarang fenomena alam merupakan takdir Allat

s.w.t semata. Dari sudut etimologi, perkataan Jabariyyah berasal daripada al-

jabr yang bererti “terpaksa”, “tiada kehendak” atau “tiada kebebasan”.

Pegangan mazhab tersebut bertentangan dengan aliran Qaddriyah yang

berpegang kepada gagasan bahawa Allah s.w.t menciptakan manusia dengan

keupayaan untuk berfikir maka jelaslah daripada kenyataan tersebut bahawa

Islam turut menggalakkan proses berfikir. Sedangkan aliran Jabariyyah

berpendapat bahawa manusia tidak mempunyai sebarang keupayaan hakiki

untuk menentukan jalan hidupnya, aliran Qaddriyah bersifat liberal dan

terbuka serta berpendapat bahawa segala perbuatan manusia bergantung

kepada kehendaknya sendiri. Berkenaan dengan hal yang dibincangkan,

perbezaan aliran dan pendapat berkenaan dengan konsep pemikiran tentang

Islam telah dijelaskan dalam dua hadith berikut :

“Umat sebelummu dari ahli kitab terpecah menjadi 72 millah


(aliran). Dan agama ini (Islam) terpecah menjadi 73. 72
diantaranya di neraka dan satu di surga, iaitu Al-Jamaah.” -
(Hadith Riwayat Abu Daud)

“Yahudi terpecah menjadi 71 firqah, nasrani terpecah seperti


itu juga. Sedankgan umatku terpecah menjadi 73 firqah.” –
(HR At-Tirmizy)

Namun demikian, kertas kerja ini tidak akan membincangkan dengan

lebih terperinci akan konsep Al-Jamaah melainkan sebagai rujukan sepintas

lalu sekiranya perlu.


Dapat dirumuskan daripada segala tafsiran di atas bahawa akal

membolehkan manusia untuk berfikiran secara logik, rasional dan kritis.

Dengan cara itu, manusia Melayu, khususnya yang bergelar Melayu-Islam

dapat mendalami isi kandungan Islam yang suci lagi murni.

3.0 Sintesis Akal dan Ilmu

Keterangan akan kedua-dua konsep asas yang dibincangkan dalam kertas

kerja ini sekali gus mengisyaratkan kepada khalayak pembaca akan konsep

akal dan ilmu sebagai dua konsep yang saling melengkapi. Bahkan,

kepentingan akal dan ilmu sebagai dua konsep yang saling melengkapi turut

tersemat dalam pantun adat berikut :

“Redup ini amatlah nikmat


Berkat rimbunnya si pokok jati
Hidup ini amatlah singkat
Sekali hidup biarlah bererti

Berkat rimbunnya si pokok jati


Tempat burung selalu bertemu
Sekali hidup biarlah bererti
Isikan akal dengan ilmu

Tempat burung selalu bertemu


Menghabiskan masa siangnya
Isikan akal dengan ilmu
Ilmu itu tiada habisnya

Menghabiskan masa siangnya


Sebelum bermalam di dalam hutan
Ilmu itu tiada habisnya
Ibarat saujana air lautan

Sebelum bermalam di dalam hutan


Diam berjejeran di atas ranting
Ibarat saujana air lautan  
Ditimba, manakan kering”
Namun begitu, dapat diperhatikan dan diteliti juga pada penjelasan

akan kedua-dua konsep di atas bahawa sedangkan ilmu berasal daripada

lingkaran luar jasad manusia, akal berasal daripada jiwa dan naluri insan itu

sendiri. Nescaya, ilmu sebanyak mana sekalipun tidak akan bererti tanpa akal

untuk memproses segala data dan fakta yang diterima. Sintesis akal dan ilmu

seterusnya menghasilkan sebuah produk yang genting dalam pembinaan

budaya yang berkesan, yakni keintelektualan. Tradisi keintektualan yang

kukuh sekali gus dapat disifatkan sebagai paksi yang utuh dalam usaha

memartabatkan budaya dan bangsa Melayu. Hubungan akrab antara akal dan

ilmu turut dapat diperhatikan dalam rajah berikut :

Rajah 1 : Sintesis Akal dan Ilmu sebagai Penjana


Keintelektualan

Bagi masyarakat Melayu yang berguru pada alam 3, ilmu dapat

diperolehi dari pelbagai ruang dan sudut. Termasuk dalam ruang lingkup

sumber ilmu orang Melayu adalah pengalaman seharian mereka sebagai

mikrokosmos alam. Malah, diri manusia dan alam tidak dapat dipisahkan

sama sekali dalam perbincangan tentang konsep alam bagi manusia Melayu.

Segala pengalaman tersebut seterusnya dibekamkan ke dalam bentuk

3
Rujuk peribahasa “Alam Terkembang Menjadi Guru”
madah, ucapan dan ungkapan adat Melayu. Namun begitu, setelah

kemasukan Islam pada abad ke-14, masyarakat Melayu mula beralih kiblat

daripada kepercayaan animisme, hinduisme dan buddisme. Agama Islam

sekali gus membantu orang Melayu dalam pencarian jati diri dan pengertian

dalam kehidupan.

Psikologi dalaman manusia yang sentiasa mendahagakan jawapan

akan segala fenomena alam memaksa dirinya untuk memperolehi jawapan

tersebut dari pelbagai sumber. Antara sumber yang dirujuk termasuklah

agama, khususnya agama Islam bagi masyarakat Melayu-Islam.

Menurut kepercayaan agama Islam, sumber ajaran Islam terletak pada

dua sumber primer, yakni kitabullah (al-Quran) dan as-sunnah sebagaimana

yang dapat diperhatikan dalam sabada rasullulah :

Aku tinggalkan bagi kalian dua hal yang karenanya kalian


tidak akan tersesat selamanya, selama kalian berpegang
pada keduanya, yaitu Kitab Allah (Alquran) dan sunahku
(Hadis).”

Kepentingan al-Quran yang sarat dengan pengajaran dan ilmu yang

penting untuk diraih kaum muslimin dan muslimat turut dapat diperhatikan

seperti berikut :

Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh


dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya
dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang
mempunyai fikiran (Qs. Shad : 29)

Ayat di atas secara tidak langsung turut menjelaskan peri pentingnya

kaum muslimin untuk menggunakan akal mereka untuk berfikir. Jelas bahawa
al-Quran bukanlah sebuah kitab untuk dituruti secara membuta tuli tanpa

kefahaman akan isinya. Al-Quran dan hadith yang sekali gus membentuk

cakupan ilmu masyarakat Melayu membentuk ilmu keintektualan Melayu

apabila digandingkan dengan keupayaan umat Melayu-Islam untuk berfikir.

Sintesis akal dan ilmu berkenaan dengan konsep Islam menyumbang

terhadap penjanaan keintelektualan Melayu. Lewat segala ayat dan surah

yang terkandung dalam kitab al-Quran, keintelektualan yang terbina daripada

prinsip dan pengajaran Islam menjadi wali dan wasi adat serta budaya

Melayu. Malah, kepentingan al-Quran dalam peradaban Melayu dapat

diperhatikan seperti berikut :

“Adat bersendikan syarak


Syarak bersendikan kitabullah
Syarak mengata
Adat memakai”

Hadith dan Quran kedua-duanya memainkan peranan yang penting

dalam pembentukan akal dan ilmu Melayu. Namun begitu, tidak kurang

pentingnya dalam kerangka pemikiran dan psikologi manusia Melayu adalah

adat Melayu. Selain agama Islam yang mengisi kekosongan rohani jiwa

manusia, adat turut berperan sebagai “pendamping” agama dalam

pembentukan nilai masyarakat Melayu sepertimana digambarkan dalam

ungkapan berikut :

“Buah keduduk menghujung dahan


tempat bersarang semut kerengga
bertuah petunjuk mengandung iman
bertuah ajaran beradat lembaga

Banyak keduduk banyak bijinya


Banyak belukar banyak kayunya
Banyak petunjuk banyak isinya
Banyak pengajar banyak ilmunya”

Sementara hadith dan quran merupakan sumber ilmu eksplisit Melayu,

adat Melayu merupakan sumber ilmu tacit Melayu. Segala pengamatan dan

pengalaman masyarakat Melayu dari zaman ke zaman digubal dalam bentuk

ungkapan dan madah yang diwariskan dari satu generasi ke generasi yang

lain. Dalam hal ini, adat Melayu dapat difahamkan sebagai ilmu kognitif 4

masyarakat Melayu. Kefahaman sintesis akal dan ilmu Melayu dapat

difahamkan dalam rajah berikut :

Rajah 2 : Model XYZ Melayu-Islam

Melayu Islam = (XY+XZ+YZ)

4
Rujuk penjelasan konsep Ilmu di bahagian 2 pada kertas kerja ini.
Ruang XY = Al-Quran + Ungkapan Adat Melayu
Ruang XZ = Al-Quran + Pengalaman Individu
Ruang YZ = Ungkapan Adat Melayu + Pengalaman Individu

4.0 Model XYZ Melayu-Islam

Rajah di atas merupakan model yang dihasilkan daripada kefahaman ruang

ilmu yang terdapat dan diterima oleh masyarakat Melayu, khususnya

masyarakat Melayu-Islam. Model ini memecahkan ruang ilmu Melayu kepada

tiga ruang utama yakni ruang ilmu eksplisit untuk mewakili Al-Quran (X), ruang

ilmu tacit – kognitif yang mewakili ungkapan adat Melayu (Y), dan ruang ilmu

tacit – teknikal yang mewakili ilmu yang diperolehi individu itu sendiri lewat

pengalaman dan pengamatan peribadinya terhadap dunia (Z). Model di atas

mengabadikan tiga ruang lingkup utama yang mempengaruhi budaya Melayu.

5.0 Kepentingan Sintesis Ilmu dan Akal Menurut Perspektif Islam

" Tapi orang-orang zalim dengan tanpa ilmu  mengikuti hawa


nafsu mereka, maka siapa yang dapat memberi petunjuk pada
orang yang Allah telah sesatkan? Dan bagi mereka tidak ada
lagi penolong" - Surah Ar-Rum : ayat 29

Selaras dengan gagasan yang telah dijelaskan di atas, surah Ar-Rum turut

menjelaskan hubungan akal pemikiran manusia dengan ilmu pengetahuan.

Bahkan, ketiadaan ilmu dalam diri seseorang bakal menjejas hala tujunya

dalam kehidupan. Senada dengan itu, dapat dirumuskan bahawa hubungan

akrab akal pemikiran manusia dan ilmu pengetahuan turut menjejas

perkembangan budaya dan bangsa Melayu. Sekiranya madah ”Takkan

Melayu hilang di dunia” diperhatikan dengan teliti, maka jelaslah bahawa ilmu

dan akal menjadi dua komponen yang genting.


Kehadiran kedua-dua elemen tersebut merupakan bahan pemisah yang

membezakan manusia dengan haiwan. Nescaya, kehadiran akal fikiran dan

ilmu menjadikan manusia jauh lebih mulia sifatnya dari haiwan. Hakikatnya,

ilmu dan akal membolehkan manusia untuk membuat perubahan kepada

dunia persekitaran dan dirinya sendiri. Perawakan diri yang dibolehkan

dengan kehadiran ilmu dan akal itu sekali gus membolehkan manusia untuk

membuat pilihan-pilihan tertentu dalam kehidupan. Hal ini berbeza dengan

haiwan yang terpaksa berhadapan dengan ketetapan hidup.

Dalam pandangan Islam, ilmu mengambil tempat yang mulia di sisi

Allah s.w.t. Malahan, kelebihan ilmu dalam diri seseorang jauh mengatasi

kekurangan harta duniawi. Perihal tersebut jelas dapat diperhatikan dalam

firman Allah s.w.t. :

“Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di


antara kamu dan orang-orang yang mempunyai ilmu.” - Surah
al-Mujadalah : ayat 11

Dalam pembinaan budaya yang jitu dan bersepadu, ilmu menjadi

prasyarat awal bagi mencapai kejayaan, kekuatan, dan kegemilangan

sesuatu bangsa. Ilmu dan akal sekali gus merupakan teras sistem nilai

agama serta menduduki tempat yang amat tinggi dalam pandangan alam,

syariah, akhlak dan tamadun Islam. Penekanan kepada ilmu dalam ajaran

Islam jelas dalam sumber asas agama, iaitu Al-Quran dan sunnah. Hal ini

turut dijelaskan Ibnu Khaldun yang berpendapat bahawa sesuatu bangsa

yang kuat tetapi tidak ditunjangi dengan akal dan ilmu yang baik akan

memeluk dan menganut ciri dan nilai tamadun lain. Apakah fenomena
tersebut kian merupakan sebuah fenomena yang melandai bangsa Melayu?

Islam juga mendefinisikan ilmu sebagai cahaya yang dianugerahkan oleh

Allah kepada hambaNya. Sebagai cahaya, keberadaan ilmu sekali gus

menyuluh dan menerangi jalan haluan seseorang individu serta membawa

pemiliknya kepada tujuan akhir yang terpuji. Walau bagaimanapun,

hakikatnya ialah sesetengah ilmu turut dapat memberikan kesan negatif

kepada kehidupan manusia dan sebaliknya menggelapkan masa

hadapannya. Akal daripada itu merupakan senjata penting untuk mengatasi

ilmu yang bersifat negatif. Kehadiran ilmu yang negatif atau tidak berupaya

untuk memberikan sebarang manfaat positif dapat diperhatikan dalam hadith

berikut :

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak


bermanfaat, dari hati yang tidak khusyuk, dari nafsu yang
tidak pernah puas dan dari doa yang tidak dikabulkan” - HR .
Muslim

6.0 Sumber nilai keilmuan dan keintelektualan

Menurut perspektif Islam, budaya ilmu bermula dari alam roh lagi sekali gus

menjelaskan tentang ruang ilmu tacit (teknikal) yang hadir dalam diri manusia.

Ilmu tacit (teknikal) mempertekankan tentang pengalaman individualistic

seseorang. Namun begitu, masyarakat umum harus menyadari bahawa

pengalaman individualistic tidak pernah hadir dalam ruang vakum. Sekiranya

kita telusuri konsep budaya ilmu yang bermula di alam roh, dapatlah

dirumuskan bahawa budaya ilmu itu sebenarnya telah dianugerahkan kepada

manusia sejak waktu prapenglahirannya ke bumi lagi. Namun begitu, ilmu

yang hadir pada diri manusia pada waktu itu masih bersifat raw dan masih

perlu digilap dan dicerna. Pencerakinan dan penggilapan ilmu tersebut malah

dimestikan dalam agama Islam yang mewajibkan pencarian ilmu.


Namun begitu, umat Islam turut terpaksa berhadapan dengan hakikat

bahawa manusia dilahirkan ke muka bumi dengan beberapa keterbatasan

yang tertentu. Maka mustahillah bagi manusia untuk memperolehi segala

bentuk ilmu pengetahuan dalam keterbatasan waktu dan daya. Dalam hal ini,

Burhanuddin Az-Zarnuji menjelaskan dalam Ta`lim al Muta`allim – Tariq at-

Ta`allum bahawa seseorang individu tidak wajib mempelajari kesemua bidang

ilmu kecuali yang berkaitan dengan hal ehwal kehidupannya sendiri. Dalam

erti kata lain, manusia mempunyai hak untuk menggunakan

kebijaksanaannya sendiri untuk menggunakan akal bagi mencapai ilmu

pengetahuan yang bersesuaian dengan dirinya.

Selaras dengan gagasan di atas, akal digunakan dalam prose’s

memilih, mengklasifikasi, memutuskan serta melakukan pelbagai keputusan

yang kemudiannya menghasilkan rangkaian hukum dan prinsip yang menjadi

teras ilmu pengetahuan. Perihal tersebut dapat diteliti dalam firmanNya :

“Apakah kamu tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya


Allah menurunkan air dari langit, maka diaturnya menjadi
sumber-sumber air di bumi kemudian ditumbuhkan-Nya
dengan air itu tanam-tanaman yang bermacam-macam
warnanya, lalu ia menjadi kering lalu kamu melihatnya
kekuning-kuningan, kemudian dijadikan-Nya hancur berderai-
derai. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar
terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal” -
Surah Al- Zumar : Ayat 21

Jelas sekali dalam agama Islam yang bersifat syumul atau

menyeluruh, akal dan ilmu saling berkaitan. Mentelah pula, kaedah

membuktikan keabsahan Islam sebagai agama, membukti dan memahami


ajaran Islam serta semua hal yang berkaitan dengan Islam hanya dapat

dilakukan dengan keintelektualan bangsa yang hanya bisa dicapai dengan

ilmu dan akal. Sebagaimana yang sudah diterangkan di atas, agama Islam

mempunyai pengaruh yang besar terhadap alam Melayu. Atas dasar itu,

sebagaimana akal dan ilmu menduduki tangga yang tertinggi martabat dalam

perangkaan budaya Islam, akal dan ilmu turut dipandang tinggi dalam

kalangan masyarakat Melayu. Perihal tersebut dapat diperhatikan dalam

ungkapan berikut :

”apa tanda Melayu jati,


ilmu bermanfaat ia minati

apa tanda Melayu jati,


orang berilmu ia dekati

apa tanda Melayu jati,


di mana guru, di situ berhenti

apa tanda Melayu jati


mau berguru duduk berdiri

apa tanda Melayu ja bertuah,


menuntut ilmu tekun dan tabah

apa tanda Melayu bertuah,


belajar sampai ke dalam tanah

apa tanda Melayu bertuah,


menuntut ilmu tahan bersusah

apa tanda Melayu bertuah,


menuntut ilmu sehabis daya

apa tanda Meayu bertuah


ilmu dicari membawa faedah”

Bagi masyarakat Melayu, kepentingan menjadi seseorang yang

berintelek tinggi bertujuan untuk memberikan pengertian yang lebih terhadap

kehidupan. Nescaya, kehidupan tanpa ilmu membawa lebih padah daripada


barakah. Kenyataan tersebut malah dapat diperhatikan dalam ungkapan

berikut :

”wahai anak dengarlah madah,


menuntut ilmu janganlah lengah
supaya kelak hidup tak susah
kekepada Allah mohonkan berkah

wahai anak kekasih ayah


cari olehmu ilmu berfaedah
supaya tua hidup semenggah
kepada Allah engkau berserah

wahai anaknda cahaya mata,


ilmu dituntut menjadi pelita
supaya menjauh gelap gelita
semoga kelak hidupmu bahagia

wahai anaknda harapan bonda


tuntutlah ilmu selagi muda
carilah guru di mana sahaja
supaya hidupmu tiada sia-sia”

Ungkapan yang terhasil daripada pengamatan yang diperolehi

daripada segala pengalaman yang dilalui masyarakat Melayu menunjukkan

kepentingan ilmu dalam rangka pemikiran dan kebudayaan masyarakat

Melayu. Ilmu dan keintelektualan yang dapat diperolehi daripadanya menjadi

modal dalam kehidupan demi memastikan sebuah perjalanan yang ”menjauh

gelap gelita”.

Justeru, bersesuaian dengan rangka perbincangan hubungan akal dan

ilmu dari perspektif Islam dan Melayu, pembaca harus akur bahawa kedua-

dua elemen ini sebenarnya saling berkaitan serta mempengaruhi tata

perkembangan Islam dan alam Melayu. Ilmu yang diamalkan dengan akal

yang waras menunjukkan kemuliaannya di sisi Islam seperti sabda Rasulullah

s.a.w :
“Barangsiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu maka Allah
akan memudahkan jalannya ke syurga”

Al-Quran sebagai sumber akal dan ilmu Melayu Islam

“Sesungguhnya Kamilah Yang berkuasa mengumpulkan al-


Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya
(pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah
menyempurnakan bacaannya (kepadamu, Dengan
perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu” -
Surah al-Qiyamah : Ayat 17-18

Al-Quran telah diturunkan kepada umat manusia lewat malaikat Jibril a.s

dalam jangka masa 23 tahun dengan setiap himpunan bacaan dan

kalimahnya membawa seribu pengertian yang membawanya ke jalan yang

satu. Senada dengan itu, pencarian ilmu merupakan sebuah ibadah dalam

agama Islam. Namun begitu, dalam perbincangan tentang mencari identiti

budaya orang Melayu, di manakah harus orang Melayu mencari jawapan

yang dicarinya itu? Dalam hal ini, adat Melayu menjelaskan :

“Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah


adat ialah syarak semata
adat semata Quran dan sunnah
adat sebenar adat ialah Kitabullah dan sunnah Nabi
syarak mengata, adat memakai
ya kata syarak, benar kata adat
adat tumbuh dari syarak, syarak tumbuh dari kitabullah
berdiri adat kerana syarak”

Berdirinya adat adalah kerana syarak. Dalam erti kata lain, al-Quran

dan as-sunnah merupakan paksi adat Melayu. Lantaran itu, masyarakat

Melayu harus menyedari hakikat bahawa penyempurnaan diri sebagai insan

Melayu hanya dapat dilakukan dengan kefahaman yang mendalam akan

konsep yang diketengahkan dalam al-Quran dan sunnah. Dalam hal ini,

pengkaji berpendapat bahawa untuk menjadi seorang insan yang benar-


benar Melayu, nilai dan pengajaran yang diajarkan dalam al-Quran haruslah

dibudayakan. Lantaran itu, demi membudayakan gaya hidup orang Melayu

yang sebenar, masyarakat Melayu harus rujuk kembali kepada ajaran Islam

yang sebenar. Namun begitu, masalah besarnya hadir apabila masyarakat

Melayu berpendapat seperti berikut:

“Biar mati anak


Asalkan jangan mati adat
Tak lapuk dek hujan
Tak lekang dek panas”

Dalam hal ini, golongan tersebut harus akur akan hakikat bahawa adat,

biarpun merupakan sumber ilmu yang penting dalam masyarakat Melayu,

turut harus berlandaskan syarak. Malahan pula, menurut Pendeta

Muhammad Ariff Ahmad (2007:39), ungkapan tersebut sebenarnya

menggarap isi kandungan pengajaran ilmu dalam al-Quran. Beliau

berpendirian bahawa adat yang sebenar-benarnya adat merupakan adat yang

berpaksikan agama Islam dan perihal tersebutlah yang cuba diketengahkan

dalam ungkapan di atas. Mentelah lagi, adat sendiri menjelaskan :

“Pada adat,
Menghilangkan yang buruk,
Menimbulkan yang baik,
Kata syarak,
Menyuruhkan berbuat baik
Menegahkan berbuat jahat
Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan kitabullah.
Adat ke hukum mati hukum
Hukum ke adat mati adat.”

Dalam rangka kefahaman masyarakat Melayu mengenai persoalan

ilmu dan akal, Syeikh Daud al-Fatani berpendapat bahawa akal sebenarnya

dapat dibahagikan kepada lima, yakni akal malaki, akal fa’al, akal gharizi, akal

kasbi dan akal syarqi. Menurutnya, akal malaki merujuk kepada bakat semula
jadi yang hadir pada diri manusia sehingga membolehkannya untuk

membezakan segala perkara secara intuitif manakal akal fa’al merujuk

kepada kekentalan sesebuah pendapat dan pendirian dalam diri seseorang

sehingga membolehkannya untuk membuat penilaian dan tafsiran sendiri

terhadap sesuatu ilmu. Sementara itu, akal gharizi merujuk kepada

keupayaan manusia untuk mengetahui perkara-perkara yang darurat dalam

keadaan ketidaktenteraman akal dan jiwa manakala akal kasbi merupakan

hasil daripada kemahiran yang diperolehi seseorang hasil daripada usahanya

terhadap sesuatu perkara. Selain daripada itu, beliau turut menyentuh akan

akal syarqi, iaitu akal Nabi Muhammad s.a.w yang jauh lebih mulia daripada

semua akal makhluk Allah s.w.t. Pembahagian akal di atas telah dibuatnya

dengan pertimbangan terhadap al-Quran dan hadith. Kesepaduan dan

penjituan ilmu yang diaplikasikan menurut acuan Islam dan adat Melayu yang

sebenar mampu menjana keintelektualan bangsa yang dapat membawa

masyarakat Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Insya’allah.

Punca Konflik sumber keIlmuan Melayu-Islam

Dalam rangka perbincangan tentang konsep ilmu dan akal dalam korpus

budaya dan alam Melayu, wajarlah untuk mengetengahkan konflik pendapat

yang hadir dalam masyarakat Melayu. Konflik tersebut lazimnya berpunca

daripada perbezaan pendapat akan konsep ilmu dalam budaya Melayu.

Sementara segenap golongan masyarakat Melayu berpegang teguh pada

adat Melayu sebagai sumber keintelektualan bangsa, terdapat juga

seseparuh individu yang berpendapat bahawa konsep adat tidak penting

sama sekali.
Namun begitu, sebelum membincangkan tentang konflik tersebut,

pembaca harus terlebih dahulu faham akan tafsiran ”konflik” yang

dimaksudkan di sini. Dari sudut etimologi, istilah ”konflik” berasal dari

perkataan Latin yang membawa maksud saling memukul hasil perasaan atau

pendapat yang berbeza-beza. Tindakan ini berlaku apabila terdapatnya

percanggahan antara dua pihak dalam sesuatu interaksi. Dalam Kamus

Dewan Edisi Keempat (2007:814) pula, ”konflik” ditafsirkan sebagai

”perselisihan atau pertentangan antara individu, idea, kepentingan dll”.

Berdasarkan tafsiran yang diberikan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa

”konflik” dalam konteks ilmu dan akal di tanah Melayu, konflik berlaku apabila

terdapat perbezaan ideologi tentang penetapan gaya hidup masyarakat

Melayu.

Secara ringkas, Islam merupakan sebuah kepercayaan baharu dalam

tamadun Melayu. Hakikatnya, jauh sebelum Islam bertapak dalam jiwa dan

psikologi masyarakat Melayu, bangsa Melayu turut dipengaruhi pelbagai

agama yang lain. Umumnya, sistem psikologi, kepercayaan serta kosmologi

orang Melayu berlegar antara dua perkara yang kompleks dengan sejarah

perkembangannya yang tersendiri. Biarpun di satu sudut, Islam telah banyak

mempengaruhi gaya hidup dan budaya masyarakat Melayu, perkara tersebut

masih belum berupaya untuk membasmi sistem kepercayaan Melayu yang

sedia ada. Dalam hal ini, masyarakat Melayu telah melalui beberapa fasa

perubahan dalam sistem kepercayaannya. Antaranya, masyarakat Melayu

telah menganuti kepercayaan animisme, Buddha, Hindu dan Islam.

Kendatipun begitu, antara keempat-empat kepercayaan yang telah


disebutkan, Biarpun begitu, Islam merupakan agama yang telah memberikan

kesan dan impak yang mendalam dalam kehidupan masyarakat Melayu.

Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, masyarakat Melayu

terdedah kepada kepercayaan animisme, Buddha serta Hindu.

Perkembangan agama ini seterusnya mempengaruhi ilmu pengetahuan dan

akal fikiran masyarakat tersebut. Biarpun kedatangan Islam telah memberikan

impak yang besar dan mendalam terhadap gaya hidup dan sistem

kepercayaan masyarakat Melayu yang berteraskan Islam, namun perkara

tersebut masih tidak berupaya mengatasi sistem kepercayaan sedia ada.

Zaman Pra-Islam lazimnya merujuk kepada zaman masyarakat Melayu

menganuti sistem kepercayaan animisme, Hindu ataupun Buddha. Pada

zaman tersebut, ilmu yang diperolehi lebih cenderung terhadap pemujaan

alam sekitar. Mereka percaya semangat inilah yang mentadbir alam serta

menggerakkan kosmos dan mitos animistik. Namun begitu, perihal tersebut

mula berubah apabila masyarakat Melayu memilih untuk memeluk agama

Hindu dan Buddha, Sejak itu, masyarakat Melayu mula mempercayai

terhadap kosmos mistikal dan metafizikal. Akal dan ilmu pengetahuan

masyarakat lebih didorong ke arah mengagungkan kesenian sehingga

mengorbankan sifat akliah dan ilmiah dalam agama tersebut selain

kepercayaan penganut terhadap penyampaian ilmu agama Hindu yang diajar

secara langsung oleh tuhan yang disebut sebagai Awatara. Penyampaian

agama ini meresap dengan cepat dalam kalangan masyarakat Melayu pada
zaman tersebut sehingga menjangkau masyarakat di Bali, Pulau Jawa,

Lombok, Kalimantan dan Sulawesi.

Namun begitu, Syed Naquib Al-Attas (1999) berpendapat bahawa

kedatangan agama Islam di Kepulauan Melayu merupakan titik permulaan

bersejarah dalam peningkatan akal dan ilmu pengetahuan orang Melayu.

Islam yang mula bertapak di Tanah Melayu sekitar abad ke-15 telah mula

menghakis kepercayaan kuno masyarakat Melayu pada masa itu. Biarpun

begitu, di suatu sisi yang lain, agama Islam turut menimbulkan konflik

dalaman terhadap psikologi manusia Melayu. Kedatangan Islam telah

melarang beberapa perbuatan dan perkara yang sudah menjadi tabii

masyarakat tersebut. Sebagai contoh, mantera yang bermula dengan

kedatangan agama Hindu dianggap sebagai perantaraan yang

menghubungkan tuhan dengan makhluknya dalam menyampaikan hajat dan

hasrat. Amalan tersebut walau bagaimanapun ditegah keras dalam agama

Islam yang melarang melarang segala perbuatan yang mensyirikkan atau

menduakan Allah seperti firmanNya :

“Dan sesungguhnya, masjid-masjid itu adalah kepunyaan


Allah. Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di
dalamnya di samping (menyembah) Allah.” - Al-Jinn : Ayat 18

Selepas kedatangan Islam, agama tersebut seterusnya mekar dalam

jiwa manusia Melayu sehingga sebati dengan adat dan budaya masyarakat

tersebut. Namun begitu, dalam kesebatian tersebut, hadir juga beberapa

polemik kecil. Dalam hal ini, masyarakat kontemporari Melayu harus akur

bahawa dalam usaha mengenal gaya hidup Melayu yang sempurna dan

benar, Al-Quran yang menjadi pembimbing dalam memahami nilai-nilai yang

seharusnya terdapat pada orang Melayu. Al-Quran sebenarnya sarat dengan


ilmu yang isinya merangkumi pelbagai aspek kehidupan yang berguna dalam

memajukan ke arah yang lebih tinggi dan agung. Walaupun kehidupan

masyarakat turut telah sebati dengan ajaran Hindu-Buddha, pengaruh yang

dimainkan kedua-dua agama tersebut sebenarnya kurang mencengkam

sekiranya dibandingkan dengan pengaruh yang dimainkan agama Islam.

Dalam hal ini, masyarakat Melayu sebenarnya harus berupaya untuk

memikirkan cara-cara untuk mengislamkan budaya dan amalan yang sedia

ada. Sekiranya terdapat unsur-unsur yang didapati tidak bersesuaian dengan

agama Islam, maka haruslah unsur itu ditinggalkan. Masyarakat itu sendiri

sebenarnya mempunyai hak untuk memikirkan perkara tersebut dengan

sendiri dengan penggunaan ilmu dan akal yang diperolehi. Malahan lagi,

terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang peristiwa antara Nabi

Muhammad s.a.w dan Mu’adh ibn Jabal. Menurut hadith tersebut :

”Bila Mu’adh telah dilantik menjadi gabenor Yaman, Nabi


(s.a.w) bertanya kepadanya, bagaimanakah ia akan
memutuskan sesuatu perkara di hadapannya ”Saya akan
menghukumnya mengikut Quran”, jawabnya. ”Tetapi jika
Quran tidak menunjukkan sesuatu kepadamu?” ”Kemudian
saya akan mengikut hadith-hadith Nabi.” ”Tetapi jika Quran
dan Hadith-Hadith tidak juga memberikan kamu petunjuk?”
”Kemudian saya akan membuat keputusan mengikut fikiran
saya sendiri.”

Biarpun adat Melayu itu penting dalam rangka pemikiran masyarakat


Melayu, orang Melayu tidak seharusnya memisahkan adat daripada Quran.
Sesungguhnya, adat Melayu yang sebenar adalah adat Melayu yang
berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Apatah lagi, adat Melayu terbentuk
daripada pengalaman masyarakat Melayu dan telah melalui beberapa
perubahan dari zaman praIslam ke zaman Islam. Sebaliknya, al-Quran bersifat
syumul dan tidak boleh diubah sama sekali. Othman Ishak (1982:124)
menjelaskan :
”Quran dan hadith nabi Muhammad s.a.w menerangkan
beberapa jenis nilai dan praktik adat sebelum Islam. Setengah
daripadanya boleh disahkan atau dimodifikasi..”

Rumusan

Hasil daripada penelitian yang dibuat dalam kertas kerja ini, dapatlah

dirumuskan bahawa akal dan ilmu memainkan peranan yang penting dalam

kehidupan masyarakat Melayu-Islam. Bahkan, ketidakhadiran salah satu

daripada kedua-dua elemen tersebut akan menjejas nilai kemelayuan

ataupun ketidakmelayuan seseorang individu. Hasil daripada penelitian ini

juga, pengkaji telah menghasilkan model XYZ Melayu-Islam yang

menerangkan tiga lingkaran utama yang mempengaruhi sifat keintelektualan

Melayu-Islam serta perawakan budayanya. Model tersebut menjelaskan

bahawa nilai keintelektualan Melayu sebenarnya dipengaruhi tiga ruang

lingkup yang biarpun berbeza dari segi zahirnya namun memainkan peranan

besar terhadap satu sama lain.

Dalam kertas kerja ini juga, pengkaji telah menjelaskan sumber

permasalahan dan percanggahan konsep ilmu dalam alam Melayu serta

menghuraikan langkah-langkah mengatasinya dengan penggunaan ketiga-

tiga ruang lingkup yang dikeutarakan di atas, yakni ruang lingkup Al-Quran,

ungkapan adat Melayu, dan pengalaman individu itu sendiri. Hakikatnya,

kemajuan dan penakatan bangsa Melayu sebenarnya hanya dapat dilakukan

dengan penggunaan ilmu dan akal yang berkesan. Insya’allah.


Bibliografi
Aliman Hassan. 2007. Sanggan Budaya. Singapura : Angkatan Sasterawan
50.
Hairidin Harun. 2001. Kosmologi Melayu dalam Era Teknologi Maklumat.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Bin Haji Musa. 2001. Merekonstruksi Tamadun Melayu Islam, Ke
Arah Pembinaan Sebuah Tamadun Dunia Alaf Ketiga. Malaysia :
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
H.M. Jamil, MA. 2007. Cakrawala Tasawuf, Sejarah Pemikiran dan
Kontekstualitas. Indonesia :Gaung Persada Press Jakarta
Leif Edvinsson and Michael S. Malone. (1997). Intellectual Capital: Realizing
Your Company's True Value by Finding Its Hidden Brainpower. New York :
Harper
Henry Bayman. (2000). The Station of No Station. California : North Atlantic
Books.
Muhammad Ariff Ahmad. 2007. Nilam – Nilai Adat Melayu. Singapura : Majlis
Pusat.
Muhammad Jailani Bin Abu Talib. 2009. Budaya Melayu dalam Era
Sarwajagat dlm majalah Dewan Budaya. Februari 2009 terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka, Malaysia.
__________. 2009. Nilai Guru Berteraskan Taming Sari. Dlm. Mohamed
Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz. (Ed.), Aktivis, Jurnal Akademik,
Jilid IX, 2009 (hlm 14-22). Singapura : Institut Pendidikan Nasional,
Universiti Teknologi Nanyang.
__________. 2008. Hikayat Purba Diberi Nafas Baru. Dlm. Endo Suanda.
Gong : Media, Seni, dan Pendidikan Seni. Edisi 100/IX/2008.
Yogyakarta : Yayasan Tikar Media Budaya Nusantara.
__________. 2009. Budaya Melayu dalam Era Sarwajagat. Dlm. A.G.
Abdullah, Dewan Budaya, Februari. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
__________. 2009, Mei. Kepercayaan Warisan Melayu : Dilema Tradisi dan
Realiti. Kertas kerja dibentangkan dalam Sesi Bicara “Kepercayaan
Warisan Melayu” di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi
Nanyang, Singapura.
Norazit Selat. 2000. Adat Melayu : Kesinambungan dan Perubahan. Dlm.
Abdul Latiff Abu Bakat, Adat Melayu Serumpun (ms. 87-98). Melaka :
Perbadanan Muzium Melaka
Noresah Baharom et. Al. 2007. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tenas Effendy. 2008. Tunjuk Ajar Melayu. Yogyakarta : Balai Kajian dan
Pengembangan Budaya Melayu.

Você também pode gostar