Você está na página 1de 14

 

Search Report Abuse      « Previous | Top


The Web Tripod
: 100 | Next »

TAUHID RUBU share: del.icio.us |


 
Select Rating digg | reddit | furl
| facebook

TAUHID AR-RUBUBIYYAH DAN


TAUHID AL-ULUHIYYAH      

Makna kalimah tauhid

Kalimah tauhid membawa pengertian mengetahui, berikrar, mengakui dan


mempercayai bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak
disembah ialah Allah Subhanahu Wa Ta’ala (SWT)  semata-mata. Selain
daripada-Nya, sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah.
Penghayatan kalimah itu meliputi berikrar dengan hati, menyatakan dengan
lidah dan membuktikan dengan perbuatan.

Tauhid ar-Rububiyyah (                       ) dan Tauhid al-Uluhiyyah


(                      )

Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beri’tiqad bahawa Allah SWT  bersifat Esa,


Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekelian alam. Tauhid al-Uluhiyyah pula
bermakna menjadikan Allah SWT sahaja sebagai sembahan yang sentiasa
dipatuhi.

Pengertian lanjut Tauhid ar-Rububiyyah

Antara pengertian kalimah Rabb (       ) ialah:


1.    As-Sayyid (Tuan)
2.    Al-Malik (Yang Memiliki)
3.    Pencipta
4.    Penguasa
5.    Pendidik
6.    Pengasuh
7.    Penjaga
8.    Penguatkuasa.

Allah jua bersifat mutlak

Manusia, jika dia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifatnya itu
sementara. Segala sesuatu di alam ini kepunyaan Allah. Apa yang dimiliki
makhluk hanyalah bersifat pinjaman dan majaz (kiasan). Hanya Allah sebagai
Rabb al-’Alamin (Rabb sekelian alam) dan mempunyai segala sifat
kesempurnaan. Dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna mengakibatkan
seluruh makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya dan
berharap kepada-Nya.
 
Manusia, jika dia cerdik, bijak dan pandai, maka semuanya itu datang daripada
Allah. Segala kekayaan dan penguasaan manusia bukanlah miliknya yang
mutlak tetapi datang daripada Allah.

Manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa


melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk, gerak nafas dan sebagainya datang
daripada Allah.

Allah, Dialah Maha berkuasa, mencipta, menghidup dan mematikan. Dia


berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah mahu memberikan
manfaat dan kelebihan kepada seseorang, tiada siapa mampu menghalang atau
menolaknya. Jika Allah mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada
seseorang seperti sakit dan susah, tiada siapa dapat menghalang atau
mencegahnya.

Oleh itu hanya Allah sahaja ‘mutafarriq’, bermakna hanya Allah yang
berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat.

Firman Allah SWT:

“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang


dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan
kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

(Al-An’am: 17)

Dengan sifat-sifat Allah tersebut, maka timbullah kesan tauhid kepada


seseorang. Dia hanya takut kepada Allah, dan berani untuk bertindak
melakukan sesuatu kerana keyakinannya kepada Allah.

Manusia bersifat fakir

Manusia di dunia ini bersifat fakir (tidak memiliki apa-apa), sebaliknya


sentiasa memerlukan pertolongan Allah. Firman Allah SWT di dalam Al-
Hadith Al-Qudsi:

“Hai manusia, kamu semua  berada di dalam kesesatan kecuali mereka yang
Aku berikan taufiq dan hidayah kepadanya. Oleh itu mintalah hidayah
daripada-Ku.”

“Hai manusia, kamu semua lapar, kecuali mereka yang aku berikan makan,
oleh itu mintalah rezeki daripada-Ku.”

“Hai manusia, kamu semua telanjang kecuali mereka yang Aku berikan
pakaian. Oleh itu mohonlah pakaian daripada-Ku.”

Sifat fakir dan sifat kaya


Berhajatkan sesuatu adalah sifat semua makhluk. Manusia, haiwan, tumbuh-
tumbuhan dan makhluk lain berhajatkan kepada Allah. Oleh itu semua
makhluk bersifat fakir.

Allah Maha Kaya. Dia tidak berhajat kepada sesuatu. Jika manusia memiliki
keyakinan ini maka dia akan sentiasa berbaik sangka terhadap Allah. Firman
Allah SWT:
 
“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah, Dialah
Yang Maha Kaya (yang tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.”
(Fathir: 15)

Fakir adalah sifat yang zati bagi setiap makhluk ciptaan Allah.  Kaya adalah
sifat yang zati bagi al-Khaliq (Pencipta).

Dalil-Dalil Tauhid ar-Rububiyyah

Banyak dalil menunjukkan bahawa Allah itu Maha Esa dan tiada sesuatu
menyamai Allah dari segi Rububiyyah. Antaranya:

1.  Lihatlah pada tulisan di papan hitam, sudah pasti ada yang menulisnya.
Orang yang berakal waras akan mengatakan bahawa setiap sesuatu pasti ada
pembuatnya.

2.    Semua benda di alam ini, daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-


besarnya, menyaksikan bahawa Allah itu adalah Rabb al-’Alamin. Dia berhak
ke atas semua kejadian di alam ini.

3.    Susunan alam yang mengkagumkan, indah dan tersusun rapi adalah bukti
Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh berkata-kata, dia akan menyatakan
bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah. Orang yang berakal waras akan
berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu
Allah. Tidak ada orang yang berakal waras akan menyatakan bahawa sesuatu
itu boleh berlaku dengan sendiri.

Begitulah hebatnya Ilmu Allah. Pandanglah saja kepada kejadian manusia dan
fikirkanlah betapa rapi dan seni ciptaan-Nya.

Terdapat seribu satu macam ciptaan Allah yang memiliki sifat yang berbeza-
beza antara satu sama lain. Semuanya menunjukkan bahawa Allah adalah
Rabb yang Maha Bijaksana .

Fitrah mengakui Rububiyyah Allah

Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah adalah suatu perkara yang
dapat diterima. Hakikat ini terlintas dalam setiap fitrah manusia. Meskipun
seseorang itu kafir, namun jauh di lubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah
Allah SWT. Firman Allah SWT:
 
“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta mereka?
Nescaya mereka menjawab: Allah.” (Az-Zukhruf: 87)
 
“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang:  Siapakah pencipta langit dan
bumi?  Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha
Perkasa dan Yang Maha Mengetahui.”(Az-Zukhruf: 9)

Tidaklah susah  untuk membuktikan Rububiyyah Allah SWT. Fitrah setiap


insan adalah buktinya. Manusia yang mensyirik dan mengkufurkan Allah juga
mengakui ketuhanan Allah Yang Maha Pencipta.

Al-Quran mengakui adanya Tauhid ar-Rububiyyah di dalam jiwa


manusia

Al-Quran  mengingatkan bahawa fitrah atau jiwa manusia memang telah


memiliki rasa mahu mengakui Allah Rabb al-’Alamin. Firman Allah SWT:
 
“Berkata rasul-rasul mereka: Apakah terdapat keraguan terhadap  Allah,
Pencipta langit dan bumi.” (Ibrahim: 10)
 
“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka)
pada hal hati mereka meyakini (kebenaran)nya.”(An-Naml: 14)

Keengganan dan keingkaran sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan


Allah sebagai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), sebenarnya didorong oleh
perasaan sombong, degil (‘inad) dan keras hati. Hakikatnya, fitrah manusia
tidak boleh kosong daripada memiliki perasaan mendalam yang mengakui
kewujudan al-Khaliq.

Jika fitrah manusia bersih daripada sombong, degil, keras hati dan selaput-
selaput yang menutupinya, maka secara spontan manusia akan terus menuju
kepada Allah tanpa bersusah payah untuk melakukan sebarang pilihan. Secara
langsung lidahnya akan menyebut Allah dan meminta pertolongan daripada-
Nya.

Telatah manusia, apabila berada di saat-saat genting, tidak akan terfikir dan
terlintas sesuatu di hatinya kecuali Allah sahaja. Ketika itu segenap perasaan
dan fikirannya dipusatkan kepada Allah semata-mata. Benarlah Firman Allah
SWT:
 
“Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka
menyeru Allah dengan keikhlasan kepada-Nya, maka ketika Allah
menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap berada di
jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain
golongan yang tidak setia lagi ingkar.” (Luqman: 32)

Sesungguhnya permasalahan mengenai kewujudan Allah adalah mudah, jelas,


terang dan nyata. Kewujudan Allah terbukti dengan dalil yang banyak dan
pelbagai.

Tauhid al-Uluhiyyah
Maksud Tauhid al-Uluhiyyah ialah kita mentauhidkan Allah dalam
peribadatan atau persembahan. Allah SWT mengutuskan para rasul bertujuan
menyeru manusia  menerima Tauhid al-Uluhiyyah. Firman-firman Allah SWT
yang berikut membuktikan hal tersebut:
 
“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan
Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tiada tuhan melainkan Aku, maka
kamu sekelian hendaklah menyembah Aku.” (Al-Anbiya’: 25)
 
  “Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul
(untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut.”  (An-Nahl: 36)

“Dan sesungguhnya Aku telah utuskan Nuh (nabi) kepada kaumnya, lalu dia
berkata (menyeru): Wahai kaumku, hendaklah kamu menyembah Allah,
(kerana) sesekali tiada tuhan melainkan Dia.”  (Al-Mu’minun: 23)

“Dan (Kami telah mengutuskan) kepada kaum ‘Ad saudara mereka Hud
(nabi): Hai kaumku sembahlah Allah, sesekali tiada tuhan bagi kamu selain
dari-Nya.” (Al ‘Araf: 65)

Cetusan rasa cinta kepada Allah

Menyembah atau beribadah kepada Allah dapat dilaksanakan apabila tercetus


rasa cinta yang suci kepada Allah dan rela (ikhlas) menundukkan diri
serendah-rendahnya kepada-Nya. Seseorang hamba itu disifatkan sedang
menyembah Allah apabila dia menyerahkan seluruh jiwa raga kepada Allah,
bertawakkal kepada Allah, berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Allah,
berpaut kepada ketentuan Allah, meminta (mengharap) serta memulang
(menyerah) sesuatu hanya kepada Allah, berjinak-jinak dengan Allah dengan
cara sentiasa mengingati-Nya, melaksanakan segala syariat Allah dan
memelihara segala perlakuan (akhlak, perkataan dan sebagainya) menurut
cara-cara yang diredhai Allah.

‘Ubudiyyah yang semakin bertambah

Pengertian ‘ubudiyyah (pengabdian) kepada Allah akan bertambah sebati dan


hebat kesannya dalam kehidupan manusia apabila semakin mendalam
pengertian dan keinsafannya tentang hakikat bahawa manusia itu terlalu fakir
di hadapan Allah. Manusia sentiasa bergantung dan berhajat kepada Allah.
Manusia tidak boleh terlupus daripada kekuasaan dan pertolongan Allah
walaupun sekelip mata.

Begitu juga dengan cinta atau kasih (hubb) manusia kepada Allah dan rasa
rendah diri (khudu’) manusia kepada Allah yang akan bertambah teguh
apabila semakin mantap ma’rifat dan kefahamannya terhadap sifat-sifat Allah,
Asma’  Allah al-Husna (sifat-sifat Allah yang terpuji), kesempurnaan Allah
dan kehebatan nikmat kurniaan Allah.

Semakin terisi telaga hati manusia dengan pengertian ‘ubudiyyah terhadap


Allah semakin bebaslah dia daripada belenggu ‘ubudiyyah kepada selain
daripada Allah. Seterusnya dia akan menjadi seorang hamba yang benar-benar
tulus dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Itulah setinggi-tinggi darjat
yang dapat dicapai oleh seseorang insan.

Allah telah menggambarkan di dalam al-Qur’an keadaan para rasul-Nya yang


mulia dengan sifat-sifat ‘ubudiyyah di peringkat yang tinggi. Allah telah
melukiskan rasa ‘ubudiyyah Rasulullah SAW pada malam sewaktu wahyu
diturunkan, ketika baginda berda’wah dan semasa baginda mengalami
peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Firman Allah SWT:
 
“Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah
Allah wahyukan.” (An-Najm: 10)
 
“Dan ketika berdiri hamba-Nya (Muhammad) untuk menyembah-Nya
(beribadat), hampir saja jin-jin itu mendesak-desak mengerumuninya.” (Al-
Jin: 19)

“Maha Suci Allah yang memperjalankan hambanya (Muhammad) pada suatu


malam dari Masjid al-Haram  ke Masjid al-Aqsa.” ( Al-Isra’: 1)
 
Tauhid al-Rububiyyah menghubungkan Tauhid al-Uluhiyyah

Seperti yang telah dinyatakan di atas, Tauhid al-Rububiyyah ialah mengakui


keesaan Allah sebagai Rabb, Tuan, Penguasa, Pencipta dan Pengurnia secara
mutlak. Tidak ada sekutu bagi-Nya di dalam  Rububiyyah.

Sesungguhnya kesanggupan dan kesediaan manusia mentauhidkan Allah dari


segi Rububiyyah dengan segala pengertiannya akan menghubung atau
menyebabkan manusia mengakui Tauhid al-Uluhiyyah iaitu mengesakan
Allah dalam pengabdian. Secara spontan pula manusia akan mengakui bahawa
Allah sahaja layak disembah, selain daripada-Nya tidak layak disembah walau
dalam apa bentuk sekalipun.

Al-Quran terlebih dahulu memperingatkan orang-orang musyrikin Quraisy 


agar mengakui Tauhid al-Rububiyyah. Apabila mereka menerima Tauhid al-
Rububiyyah dan bersungguh-sungguh mengakuinya, maka terbinalah
jambatan yang menghubungkan mereka dengan Tauhid al-Uluhiyyah. Hakikat
ini jelas dan tidak boleh dicuai atau diselindungkan lagi. Firman Allah SWT:
 
“Apakah mereka mempersekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak
dapat menciptakan sesuatu apapun? Sedangkan berhala-berhala tersebut
adalah buatan manusia.” (Al-A’raf: 191)
 
“Apakah (Allah) yang menciptakan segala sesuatu itu sama dengan yang
tidak dapat menciptakan (apa-apa)? Maka mengapakah kamu tidak
mengambil pengajaran?” (An-Nahl: 17)
 
“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarlah olehmu
perumpamaan itu. Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu serukan selain
daripada Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat, walaupun mereka
bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada
mereka, tiada mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat
lemahlah yang menyembah dan amat lemah pula yang disembah.” (Al-Hajj:
73)

Ayat-ayat tersebut mengingatkan orang-orang musyrikin mengenai suatu


hakikat yang nyata iaitu sembahan-sembahan mereka adalah lemah, malah
tidak berkuasa untuk mencipta sesuatu walaupun seekor lalat. Jika lalat itu
mengambil atau merampas sesuatu daru mereka, maka mereka tidak berkuasa
untuk mendapatkannya kembali. Ini menunjukkan betapa lemah yang meminta
dan lemah pula yang dipinta. Oleh itu akal yang sejahtera tidak boleh
menerima penyembahan selain daripada Allah. Dalam peribadatan mereka
tidak boleh mempersekutukan sesuatu dengan Allah. Allah adalah al-Khaliq
Yang Esa. Selain daripada-Nya adalah lemah dan dhaif belaka.

Tuhan-tuhan palsu yang tidak memiliki apa-apa

Al-Quran menghujah dan mengingatkan orang-orang musyrikin bahawa apa


yang mereka sembah selain daripada Allah tidak memiliki sebutir atom pun
sama ada di bumi mahupun di langit. Malah sembahan mereka sama sekali
tidak menyamai Allah walaupun sebesar zarah sama ada di bumi mahupun di
langit. Allah tidak mempunyai apa-apa keperluan dengan tuhan-tuhan palsu
yang mereka sembah. Jika mereka menyedari hakikat ini, mereka akan
merasai kewajipan untuk beribadat dengan ikhlas kepada Allah semata-mata.
Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan) selain


Allah, mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit dan di
bumi, dan mereka tidak memiliki satu saham pun dalam penciptaan langit dan
bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu
bagi-Nya.” (Saba’: 22)

Al-Quran mengakui bahawa orang-orang musyrikin mengiktiraf sebahagian


daripada Rububiyyah Allah seperti Allah itu Pemilik langit serta bumi dan
Allah itu Pengurus kejadian-kejadian  di langit serta di bumi. Jika begitulah
pengiktirafan mereka, sepatutnya mereka beriman dan menyembah Allah
tanpa mempersekutukan-Nya. Firman Allah SWT:

“Katakanlah (kepada mereka): Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua


yang ada padanya jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab:
Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak ingat?

“Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang mempunyai langit yang tujuh


dan yang empunya ‘arasy yang besar? Mereka akan menjawab: Kepunyaan
Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak bertaqwa?

“Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang di tangan-Nya berada segala


kekuasaan sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat
dilindungi daripada (azab)-Nya, jika kamu mengetahui? Mereka akan
menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): (Oleh yang
demikian) dari jalan manakah kamu ditipu ?

“Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka dan


sesungguhnya mereka sebenarnya orang-orang yang berdusta.”
(Al-Mu’minun: 84-90)

Sains dan aqidah tauhid


 
Penemuan-penemuan dalam bidang sains dan teknologi mengenai alam buana,
atom, manusia, tumbuh-tumbuhan dan pelbagai bidang industri telah berjaya
menyingkap keindahan dan ketelitian ciptaan Allah. Penemuan-penemuan dan
rekaan-rekaan baru itu menguatkan lagi ajaran aqidah tauhid dan meneguhkan
lagi keimanan orang-orang mu’min. Hasil-hasil kajian itu menunjukkan
kebesaran dan keluasan kudrat serta ilmu Allah. Sesungguhnya di sebalik
kehalusan ciptaan dan keindahan sistem sejagat ini pasti ada Penciptanya
Yang Maha Basar dan Maha Berkuasa.

Kedudukan tauhid dalam Islam

Keseluruhan ajaran Islam berasaskan tauhid. Keseluruhan kandungan al-Quran


berlegar di atas tauhid. Kandungan ayat-ayat al-Quran meliputi pengkhabaran
tentang Allah, sifat Allah, kejadian Allah, perbuatan Allah dan pentadbiran
Allah.

Al-Qur’an membincangkan tentang al-amr (perintah) dan anbiya’ Allah (nabi-


nabi Allah) kerana kedua-duanya ada kaitan dengan penciptaan dan kekuasaan
Allah terhadap makhluk-Nya. Al-Qur’an menerangkan segala bentuk balasan
baik (pahala) untuk mereka yang mentaati Allah, Rasul dan syariat-Nya.
Semua ini untuk mengajak  mereka menegakkan Tauhid al-Uluhiyyah dan
Tauhid                 al-Rububiyyah.

Al-Qur’an menerangkan segala bentuk balasan siksa (dosa) untuk mereka


yang tidak mematuhi syariat-Nya, menceritakan tentang keadaan orang-orang
zaman dahulu yang telah menderhakai Allah. Semua ini untuk menjelaskan
bahawa manusia perlu kembali kepada dasar tauhid dan ibadah kepada Allah.

Oleh itu tauhid adalah intipati atau asas Islam. Daripada tauhid terpancar
segala sistem, perintah, hukum dan peraturan. Semua ibadat dan hukum dalam
Islam bertujuan untuk menambah, memahir, menguat dan mengukuhkan lagi
tauhid di dalam hati orang-orang mu’min.

Dengan tauhid seluruh dorongan manusia akan terbentuk

Dengan tauhid yang kuat, maka akan terbentukkan pelbagai dorongan yang
ada dalam jiwa manusia. Dia akan takut hanya kepada Allah SWT dan berani
mempertahankan keyakinannya seperti yang dipersaksikan dalam sirah
Rasulullah dan para sahabat:
1.    Rasulullah SAW pernah memerintahkan Ali RA agar tidur di atas katilnya
sebelum baginda keluar berhijrah ke Madinah, sedangkan musuh Islam begitu
giat mengintip. Namun Sayyidina Ali sanggup berbuat mengikut perintah
Rasulullah SAW kerana beliau yakin atas Kehendak dan Kekuasaan Allah.

2.    Khalid Ibn al-Walid RA pernah mengalami banyak calar dan luka pada
badannya kerana berperang di jalan Allah. Namun dia tetap yakin dengan
Kekuasaan Allah. Dia tetap meneruskan pertempuran melawan musuh.

3.    Bilal bin Rabah RA sanggup diheret di padang pasir, dijemur di bawah
kepanasan matahari dan diseksa dengan batu besar diletakkan di atas
tubuhnya. Dia tetap mempertahankan keimanannya.

Kini, ramai manusia yang kehilangan keyakinan ini. Mereka masih yakin
kepada yang lain daripada Allah. Mereka takut kepada kegagalan, ketua,
kematian dan sebagainya.

Oleh itu menjadi kewajipan bagi pendakwah-pendakwah Islam untuk


mengembalikan manusia kepada keyakinan yang betul.

Syahadah bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah

Syahadah merupakan teras Islam yang kedua. Syahadah ini menuntut manusia
mengetahui, membenar dan menyakini dengan muktamad (dengan i’tiqad
yang jazim serta pegangan yang putus) bahawa Nabi Muhammad SAW adalah
Rasulullah serta membuktikannya dengan perkataan dan perbuatan sekaligus.

Pembuktian dengan perkataan ialah melafazkan kalimah syahadah itu dengan


lidah. Pembuktian dengan perbuatan ialah menegakkan tingkah laku
(tatasusila) dan seluruh tindak-tanduk  yang bersesuaian dengan ajaran Nabi
Muhammad SAW serta menuruti jejak langkah baginda.

Para rasul menegakkan tauhid


 
Pada dasarnya pengutusan para rasul bertujuan untuk mengesakan Allah
dalam Tauhid al-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah. Dialah Tuhan Rabb
al-’Alamin dan Tuhan para Rasul tersebut. Tiada tuhan yang sebenar
melainkan Allah.

Tauhid al-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah menjelaskan kekuasaan Allah


yang Maha Suci dalam pentadbiran urusan makhluk-Nya. Allah Pengurnia
kemaslahatan dan kebaikan. Allah Penentu al-amr (perintah). Allah-lah
Pengutus ar-Rasul untuk makhluk-Nya.

Manusia memerlukan rasul untuk mencapai kesempurnaan hidup

Tidak syak lagi untuk mencapai kesempurnaan hidup, manusia bukan sahaja
berkehendakkan kepada makanan, pakaian, tempat berlindung dan keperluan-
keperluan jasmani yang lain, bahkan manusia juga berkehendakkan sesuatu
untuk memenuhi tuntutan roh. Dengan memenuhi tuntutan roh, manusia akan
dapat mencapai taraf kesempurnaan sebagai manusia yang mulia dan berbeza
dengan makhluk-makhluk yang lain.

Tugas para rasul adalah untuk memberitahu kepada manusia bahawa Allah
adalah enciptanya yang layak disembah dan Dialah yang meletakkan manusia
di atas jalan lurus (sirat al-mustaqim). Dengan keyakinan ini barulah manusia
dapat sampai ke jalan kebahagiaan dan kesempurnaan sebenar.

Manusia sendiri tidak dapat mengetahui perkara-perkara ghaib mengenai


Pencipta dan sirat al-mustaqim dengan menggunakan kudrat dan akalnya yang
lemah. Manusia kerap melakukan kesilapan. Untuk memikirkan mengenai
Pencipta dan sirat al-mustaqim adalah di luar kemampuan akal manusia. Oleh
itu pengutusan para rasul Allah menunjukkan kebijaksanaan-Nya dan
merupakan rahmat yang paling besar untuk umat manusia. Para rasul Allah
dilantik daripada golongan manusia sendiri supaya mereka dapat
menggunakan kebiasaan dan bahasa yang dapat difahami oleh manusia.
Seterusnya menyampaikan ajaran Allah, menjelaskan cara-cara untuk sampai
kepada risalah-Nya dan menghuraikan cara mana untuk mencapai kebahagiaan
di dunia dan akhirat.

Sungguh tidak patut sikap manusia sekiranya dia mengingkari Rasul Allah
SWT. Firman Allah SWT:
 
"Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang
sewajarnya ketika mana mereka berkata: Allah tidak menurunkan sesuatu pun
untuk manusia.” (Al-An’am: 91)

Mengingkari kenabian Nabi Muhammad adalah kesalahan yang besar

Mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW setelah nyata dalil-dalil


mengenai kebenaran dan kenabiannya bererti merendah dan melemahkan akal
manusia. Sikap seperti ini merupakan keingkaran yang sangat buruk,
kedegilan yang sangat tebal dan dosa yang sangat besar. Allah akan membalas
sikap sebegini dengan balasan pedih.

Mengithbatkan (Mensabitkan) kenabian Muhammad SAW

Seseorang tidak boleh mendakwa bahawa dia nampak bintang-bintang di


langit sekiranya dia mengingkari kewujudan matahari, sedangkan dia nampak
matahari. Kalau dia mendakwa dan percaya juga, itu bertentangan dengan
keimanannya terhadap apa yang dilihatnya. Begitu juga seseorang tidak boleh
beriman kepada nabi-nabi lain sekiranya dia tidak mempercayai Nabi
Muhammad SAW dan mengingkari kenabiannya.

Mengithbatkan (mensabitkan) kenabian Muhammad SAW bererti        


mensabitkan juga kenabian seluruh para anbiya’ AS sepertimana yang tersebut
di dalam al-Quran.
Oleh itu mengingkari perutusan sebarang rasul bererti membohongi
sebahagian daripada apa yang terkandung di dalam al-Quran dan mengingkari
risalah Islam.

Kesan dan implikasi keimanan kepada Nabi Muhammad SAW

Mengimani Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasulullah bererti mengimani


secara mutlak dan sempurna bahawa segala perkara yang dibawa dan
dikhabarkan oleh baginda datang daripada Allah SWT. Implikasinya agar
manusia wajib membenar dan mentaati segala suruhan dan larangan Nabi
Muhammad SAW dengan penuh redha dan ikhlas, tanpa was-was, tanpa rasa
keberatan, tanpa rasa sempit dan tanpa rasa terpaksa.

Manusia perlu taat sepenuhnya kepada ajaran Nabi Muhammad SAW tanpa
menimbulkan suasana berhujah, berdebat dan berbincang, seolah-olah ajaran
itu datang daripada seorang manusia biasa. Beriman dengan Nabi Muhammad
SAW tidak boleh sama sekali dengan cara mempercayai atau mengambil
sebahagian dan meninggalkan sebahagian daripada ajarannya. Sikap sebegini
adalah berlawanan dengan natijah yang sepatutnya lahir daripada keimanan
terhadap Nabi Muhammad SAW.  Al-Quran kerap menyatakan nas-nas yang
qat’i tentang implikasi keimanan kepada Nabi Muhammad SAW. Firman
Allah SWT:
 
Dan taatilah Allah dan Rasul, supaya kamu diberikan rahmat.”
                                                                                                         
      (Ali ‘Imran: 132)
 
“Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya
Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu.” (Ali ‘Imran: 31)
 
  “Katakanlah: Taatilah Allah dan Rasul-Nya. Jika kamu berpaling, maka
sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir. (Ali ‘Imran: 32)
 
“Sesiapa yang mentaati Rasul maka sesungguhnya ia telah mentaati Allah.”
(An-Nisa’: 80)
 
“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada
Allah dan Rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka,
lalu mereka berkata: Kami dengar dan kami patuh. Dan mereka itulah orang-
orang yang beruntung.” (An-Nur: 51)

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah akan
memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai
dan sesiapa yang berpaling nescaya Dia akan mengazab kamu dengan azab
yang pedih.” (Al-Fath: 17)
 
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu terimalah, dan apa yang dilarang
bagimu maka tinggallah.” (Al-Hasyr: 7)
 
“Dan tidak patut bagi lelaki-lelaki mukmin dan bagi perempuan-perempuan
Mu’minah, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, ada
pilihan lain bagi mereka tentang urusan mereka.” (Al-Ahzab: 36)
 
  “Dan jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu  maka kembalilah
kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman dengan Allah
dan Hari Akhirat.” (An-Nisa’: 59)

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga


menjadikan kamu sebagai hakim terhadap perkara yang mereka
perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa sesuatu keberatan terhadap
keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima sepenuhnya.” (An-
Nisa’: 65)
 
“Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah-Nya takut akan
ditimpakan cubaan atau ditimpakan azab yang pedih.” (An-Nur: 63)
 
Nas-nas seperti yang tersebut di atas sememangnya  banyak di dalam al-Quran
yang mengingatkan orang-orang beriman akan tanggungjawab mereka selepas
beriman kepada Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul. Antaranya:

1.  Nas-nas itu menyuruh manusia mentaati Nabi Muhammad SAW, kerana
taatkan baginda bererti taatkan Allah SWT. Balasan orang yang mentaatinya
ialah Syurga an-Na’im dan balasan orang yang mengingkarinya ialah Neraka.

2.  Nas-nas itu menerangkan kepada orang-orang mukmin bahawa beriman


kepada Nabi Muhammad SAW bererti mengikuti apa yang disuruhnya dan
meninggalkan apa yang dilarangnya.

3.  Nas-nas itu menyuruh orang Islam yang bertelingkah pendapat agar
kembali kepada Allah dan Rasul-Nya serta redha menuruti hukum Rasulullah
SAW.

Natijah logik

Semua yang dinyatakan dalam nas-nas al-Quran di atas adalah natijah logik
bagi seseorang yang beriman dengan Nabi Muhammad SAW. serta menerima
dengan rela akan kerasulannya. Suatu hal yang bertentangan dan tidak
diterima akal jika seseorang itu beriman kepada Nabi Muhammad SAW tetapi
menentang atau tidak menerima dengan rela hati perkara yang dibawanya
dengan alasan, misalnya, tidak sesuai dengan sesuatu kepercayaan.

Umpama seorang yang telah menaruh kepercayaan kepada seorang doktor


mahir, sudah tentu dia menerima nasihat doktor itu dan mengikuti cara
pengubatannya. Dia akan mematuhi cara-cara memakan ubat dan segala
pantang larangnya. Dia tidak boleh menentang atau membahaskan kata-kata
doktor pakar itu. Jika kepatuhan dan kerelaan seseorang pesakit terhadap
doktor adalah suatu yang dianggap lumrah dan munasabah, padahal doktor itu
mungkin tersalah, maka bagaimana pula sikap seseorang terhadap Rasulullah
yang diutuskan oleh Allah SWT, sedangkan Rasulullah adalah penghulu bagi
segala doktor?
Kewajipan terhadap Rasulullah SAW

Kewajipan seorang muslim terhadap Rasulullah SAW ialah membenarkan


semua yang dibawanya, mematuhi segala perintah dan meninggalkan segala
larangannya. Seseorang muslim itu hendaklah menerima ajaran baginda
dengan sempurna, ikhlas dan rela seperti yang telah dinyatakan.

Kewajipan-kewajipan lain ialah:

1.  Mengasihi atau mencintai Rasulullah SAW lebih daripada mengasihi atau
mencintai diri, anak, isteri, harta dan isi alam.

Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia sanggup menjadikan


aku lebih dikasihi daripada dirinya, anaknya, hartanya dan manusia
seluruhnya.”

Tanda manusia yang benar-benar mengasihi Rasulullah SAW ialah mengikuti


baginda dengan penuh ikhlas. Dia segera mengerjakan apa yang disukai atau
dikasihi baginda. Itulah tanda-tanda manusia yang benar-benar kasihkan
Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

“Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mencari


keredhaanmu, padahal Allah dan Rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka
cari keredhaannya jika mereka itu adalah orang-orang yang beriman.”
(At-Taubah: 62)

2.  Menghormati dan memuliakan Rasulullah SAW sama ada ketika baginda
masih hidup atau telah wafat. Firman Allah SWT:
 
“Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan
sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain.” (An-Nur: 63)

Rasulullah SAW bukanlah seperti manusia biasa. Baginda adalah Nabi dan
Rasul. Rasulullah diutuskan untuk seluruh manusia. Maka wajarlah manusia
membesar dan memuliakan baginda sehingga apabila memanggil baginda
hendaklah memanggil: “Ya Rasulullah”, “Ya Nabiyullah”, “Ya Habibullah”
dan sebagainya.

Antara cara menghormati dan memuliakan Rasulullah SAW ialah tidak


mendahului baginda semasa bercakap dan tidak meninggikan suara. Firman
Allah SWT:
 
“Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu mendahului Allah dan
Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui. Hai orang-orang yang beriman janganlah
kamu meninggikan suaramu lebih daripada suara Nabi dan janganlah kamu
berkata kepadanya dengan suara yang keras sepertimana kerasnya suara
sebahagian daripada kamu kepada sebahagian yang lain, supaya tidak
terhapus pahala amalan kamusedangkan kamu tidak menyedarinya.
Sesungguhnya orang-orang merendahkan suara di sisi Rasulullah mereka
itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka untuk bertaqwa. Bagi mereka
keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Hujurat: 1-3)

Menghormati dan memuliakan Nabi perlu terus berlanjutan sehingga selepas


kewafatan baginda. Seseorang Muslim tidak boleh mengangkat suara di dalam
Masjid an-Nabawi atau di sisi maqam baginda. Seseorang muslim wajib
bersopan, bersungguh-sungguh dan redha ketika mendengar hadith baginda
yang mulia. Seseorang muslim tidak boleh menafi atau menentang hadith-
hadith baginda dengan pendapat-pendapat atau fikiran-fikiran yang karut dan
menyesatkan. Jika seseorang muslim itu mendengar: “Qala Rasulullah S.A.W.
(Sabda Rasulullah SAW), maka hendaklah dia memahami bahawa sabda
baginda tidak boleh dibohongi oleh manusia. Oleh itu ia tidak boleh ditentang,
bahkan hendaklah didengar, difahami dan diamalkan.

3.  Bersungguh-sungguh menghindarkan apa-apa yang boleh menyakiti


Rasulullah Nabi SAW sama ada sedikit atau banyak. Menyakiti Rasulullah
SAW adalah haram dan berdosa. Malah, menyakitinya boleh menyebabkan
seseorang itu terkeluar daripada Islam. Firman Allah SWT:

“Dan tidak boleh kamu menyakiti hati Rasulullah.” (Al Ahzab: 53)
 
“Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu bagi mereka azab yang
pedih.” (At-Taubah: 61)

Termasuk dalam pengertian menyakiti Rasulullah SAW ialah menghina atau


mencerca para isteri baginda yang mulia. Isteri-isteri Rasulullah adalah “Ibu
Orang-Orang Yang Beriman”. Begitu juga, dianggap menyakiti Rasulullah,
sekiranya seseorang menghina atau mencerca “Ahl al-Bait” baginda.

4.  Membaca salawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW.  Firman
Allah SWT:
 
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat untuk Nabi. Hai
orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu kepada Nabi dan ucaplah
salam dengan penuh penghormatan kepadanya.” (Al-Ahzab: 56)

Rujukan: Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da’wah.

Você também pode gostar