Você está na página 1de 11

Multibunyi dan Multibentuk Mempelbagai Sebutan Bahasa

Melayu

Oleh :
Haji Rusli bin Haji Morni
Jabatan Bahasa Melayu dan Linguistik
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Brunei Darussalam

Abstrak
Dalam memenuhi fungsinya sebagai alat
komunikasi, baik dalam situasi rasmi mahupun
dalam situasi tidak rasmi, bahasa Melayu kini
seolah-olah mengizinkan kewujudan bunyi dan
bentuk yang beragam di dalam pengucapan dan
pertuturan. Keberagaman ini adalah akibat
daripada pengaruh bahasa dan dialek, sama ada
serumpun atau tidak serumpun dengannya.
Pengaruh itu mungkin sahaja berlaku melalui
aktiviti-aktiviti seperti penghijrahan, penyebaran
kepercayaan, penjajahan atau peluasan wilayah
politik, peluasan ilmu pengetahuan dan
perdagangan dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini
mungkin sahaja berlaku secara satu hala dan
mungkin sahaja lebih, dan ia dijangkakan telah
berlaku sejak bangsa dan bahasa Melayu itu
wujud. Aktiviti ini telah membawa kepada
berlakunya pertembungan budaya dan sekali gus
juga telah membawa kepada pertembungan
bahasa.
PROSIDING SETALING II

Kertas ini cuba memaparkan pengaruh perkembangan yang


berlaku terhadap bahasa Melayu sebagai akibat daripada
pertembungan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa
dan dialek-dialek lain. Tumpuan perbincangan akan difokuskan
kepada pengaruh bunyi dan bentuk yang dikira sebagai
kepelbagaian yang dominan dalam Bahasa Melayu, terutama
dalam bentuk lisan. Apakah kepelbagaian ini dapat diterima
sebagai gejala multibahasa dalam bahasa Melayu, sehingga
membolehkan ia lebih mudah diterima untuk berfungsi sebagai
‘….pencerna dan pewahana ilmu pengetahuan?’ Atau
mungkinkah ada sebutan bahasa Melayu yang khusus untuk
diletakkan atau ditempatkan sebagai bahasa pengantar ilmu?
--------------------------------------
Pendahuluan.
Ahli bahasa pernah mengandaikan bahawa bahasa manusia pada
semua peringkat dikawal oleh rumus (prinsip). Setiap bahasa
yang diketahui mempunyai rumus sistematik yang mengawal
sebutan, pembentukan kata, dan konstruksi tatabahasa.1 Hal
seumpama itu setentunya ada pada bahasa Melayu, yang juga
mempunyai rumus-rumus sistematik yang mengawal sebutan,
pembentukan kata, dan konstruksi tatabahasanya. Bahasa Melayu
dikatakan sebuah variasi bahasa yang terbina daripada beberapa
bahasa dan dialek. Namun pembinaan itu bukan berlaku dalam
jangka masa yang pendek. Ahli pengkaji bahasa Melayu
memperakui bahawa bahasa Melayu dibina selama ratusan,
malah ribuan tahun. Pembinaan itu bukan dibuat secara sedar
atau terancang. Ia berkembang selari dengan perkembangan
kehidupan yang ditempuh oleh penutur dan penggunanya. Nik
Safiah (1986 : 2) mengatakan bahawa “Pada amnya bahasa itu
berkembang dan maju selaras dengan taraf perkembangan dan
kemajuan yang dicapai oleh masyarakat bahasanya“.2
Demikianlah halnya dengan yang berlaku ke atas bangsa dan
bahasa Melayu.
Walau bagaimanapun, perkembangan itu berlaku melalui proses
yang agak lama. Ia berlaku secara perlahan-lahan, sebagai satu
proses evolusi.3 Dalam proses tersebut bahasa Melayu
membentuk variasinya yang tersendiri sehingga layak dijadikan

2
PROSIDING SETALING II

lingua franca, baik di kalangan penutur daerah kepulauan


Melayu atau Nusantara mahupun di kalangan penutur yang
datang dari luar daerah tersebut. Variasi tersebut terbentuk
melalui proses penyesuaian dan penyerapan daripada pelbagai
bahasa dan dialek tempatan dan bukan tempatan. Inilah salah
satu faktor yang memungkinkan bahasa Melayu itu mudah
difahami, dikuasai dan diterima oleh ramai orang. Hampir
keseluruhan keperluan hidup seharian dapat diungkapkan dengan
menggunakan variasi itu. Sebab itulah hampir semua Negara
Melayu telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
atau bahasa rasmi apabila Negara-negara berkenaan membentuk
identitinya setelah mencapai kemerdekaan masing-masing.

Penyesuaian dan penyerapan bunyi bahasa dan dialek


rumpun Melayu.
Umumnya, dikatakan bahasa Melayu yang telah diangkat sebagai
bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi itu adalah bahasa Melayu
Standard. 4 Tentunya maksud standard itu sesuatu yang bersifat
neutral, tidak berpihak kepada mana-mana bahasa dan dialek
yang sebahagianya telah menjadi sumber perkembangan dan
pembentukannya. Sifat neutral itu pula diharapkan tidak akan
wujud lagi dakwaan daripada sebagai milik asal bahasa dan
dialek yang terserap di dalam variasi yang dinamakan bahasa
Bahasa Melayu.
Antara bunyi bahasa Melayu yang pernah diperbincangkan ialah
bunyi yang diwakili oleh huruf “a” dan “r”, yang letaknya pada
lingkungan akhir kata5 , demikian juga halnya dengan bunyi “ə”
(e pepet) dan bunyi “a”. Taburan penyebutan bunyi-bunyi huruf-
huruf tersebut, dari segi geografi, ternyata berbeza sedikit jika
dirujuk kepada bahasa dan dialek tertentu. Akan tetapi atas dasar
kestandardan, penyesuaian dan penyerapan bunyi-bunyi cuba
dineutralisasikan dengan membunyikannya sebagai bunyi yang
standard dan mudah dikuasai dan dan diterima.
Oleh itu, mana-mana perkataan yang ejaan huruf akhirnya
dilambangi dengan grafem <a> , yang pada sesetengah bahasa
dan dialek dibunyikan sebagai e pepet iaitu [ə], akan

3
PROSIDING SETALING II

distandardkan bunyinya sebagai [a] iaitu vokal tengah.


Contohnya ejaan <saya> tidak disebut [sayə] tetapi [saya],
<siapa> tidak disebut [siapə] tetapi [saya], <suka> tidak disebut
[sukə] tetapi [suka] dan seterusnya.
Demikian juga halnya dengan perkataan yang huruf akhirnya “r”.
Kalau dalam bahasa dan dialek bukan standard terdapat pelbagai
bunyi yang disebut bagi huruf “r“, akan tetapi apabila ia
distandardkan, bunyi huruf tersebut dibunyikan sebagai [r]. Ejaan
bagi perkataan <besar>, yang disebut sebagai [bəsaR] atau
[bəsaγ] disebut sebagai [bəsar] sahaja, ejaan perkataan <lapar>
tidak dibunyikan dengan [lapaR] atau [lapaγ] tetapi [lapar] dan
seterusnya. Keadaan ini menyebabkan kedua-dua bunyi tersebut
seolah-olah sudah terseragam dalam semua lingkungan perkataan
untuk bahasa Melayu standard.

Penyesuaian dan penyerapan bunyi bahasa bukan serumpun.


Selain pengaruh daripada bahasa dan dialek serumpun, bahasa
Melayu juga dikatakan telah menerima pengaruh daripada
bahasa-bahasa yang bukan serumpun dengannya seperti bahasa
Sanskrit, bahasa Tamil, bahasa Arab, bahasa-bahasa Eropah
(terutama bahasa Inggeris) dan bahasa-bahasa yang berasal
daripada Tanah Besar China.

Bahasa Sanskrit dan Tamil.


Setakat yang berhubung dengan bahasa Sanskrit dan Tamil, S.
Singaravelu (dalam Juriah Long dan rakan (ed), 1992 : 205)
melihat perkembangan kehadiran bahasa-bahasa tersebut ke
dalam bahasa Melayu sebagai kesan daripada kemungkinan
wujudnya hubungan-hubungan kebudayaan antara para saudagar,
sami, pendita, dan orang perseorangan Melayu dan India.
Hubungan ini dikatakan telah mengakibatkan pula istilah-istilah
India yang menandakan pelbagai unsur budaya seperti
ketatanegaraan, keluarga, perniagaan, bahasa, sastera dan agama
masuk ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu.

4
PROSIDING SETALING II

Penutur Melayu telah menerima perkataan-perkataan Sanskrit


dan Tamil dengan mengubah bunyi dan bentuk asal dengan
menyesuaikan bunyi yang sememangnya ada di dalam bahasa
Melayu. Bunyi konsonan yang beraspirasi seperti /bh/ dan /dh/
telah disesuaikan dengan menggugurkan bunyi aspirat [h] dan
mengekalkan bunyi [b] dan [d] sahaja. Contoh bagi perkataan
Sanskrit /bhumi/ dan /bhakti/ disebut sebagai [bumi] dan [bakti]
sahaja dan dieja dengan <bumi> dan <bakti>.
Ada juga unsur aspirat itu dikekal tetapi ditukar kedudukannya
melalui proses metatesis. Proses ini telah memberi bentuk baru
apabila dimasukkan ke dalam Bahasa Melayu. Contoh bagi
perkataan Sanskrit /bhasha/ dibunyikan sebagai [bahasa] dan
dieja dengan <bahasa>, /argha/ disebut [harga] yang
kemudiannya dieja dengan <harga>, manakala /artha/ dibunyikan
[harta] dan kemudian dieja sebagai <harta>.
Penyesuaian bunyi dan bentuk juga dilakukan ke atas perkataaan-
perkataan bahasa Tamil yang diterima menjadi bahasa Melayu.
Misalnya bunyi klastar konsonan /tt/ dalam perkataan /petti/
disebut sahaja dalam bahasa Melayu [peti], bagi klastar /kappal/
disebut sebagai [kapal]. Bunyi klastar vokal [aa] dari bahasa
Tamil disebut dengan satu [a] sahaja misalnya [maalai] disebut
[malai].
Selain daripada itu, penutur bahasa Melayu mengubah bunyi
vokal [a] pada suku awal perkataan bahasa Tamil kepada [ə]
Misalnya perkataan /kadai/ disebut [kədai] dan dieja dengan
<kedai>, perkataan /maappillai/ diberi bentuk dan sebutan baru
iaitu [məmpəlai] yang dieja dengan <mempelai>.
Kemampuan penutur bahasa Melayu tidak setakat menggugur
atau mengubah kedudukan bunyi bahasa yang masuk ke dalam
bahasa Melayu tetapi juga mampu melakukan penambahan bunyi
kepada kata asal atau sumber yang diterimanya. Bagi perkataan
daripada bahasa Tamil /ayyaa/ disebut sebagai [ayah] dan dieja
dengan <ayah>, perkataan /ammaa/ disebut sebagai [əma?] dan
dieja dengan <emak> dan perkataan /akkaa/ disebut dengan
[kaka?] yang kemudian diberi ejaan <kakak>.

5
PROSIDING SETALING II

Bahasa Arab.
Pengaruh bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu memberi makna
yang amat besar terhadap perluasan perbendaharaan kata bahasa
Melayu. Bahasa tersebut dikatakan seiring dengan kedatangan
dan perkembangan Islam di Kepulauan Melayu. Seperti beberapa
perkataan tertentu bahasa Sanskrit dan Tamil, bahasa Melayu
juga telah mengubah bunyi dan bentuk beberapa perkataan
tertentu bahasa Arab. Mungkin pada peringkat permulaan
penutur Melayu berusaha menyebut dengan betul perkataan-
perkataan yang diambil daripada bahasa Arab. Akan tetapi lama
kelamaan, sebutan tersebut berubah sehingga tidak lagi
memperlihatkan bunyi asalnya, dan perkataan-perkataan tersebut
sudah mantap dan akhirnya dianggap milik bahasa Melayu.
Antara bunyi-bunyi yang terserap dan telah disesuaikan dengan
bahasa Melayu ialah bunyi fonem uvular /q/ seperti dalam
perkataan /qada?/ (qada sembahyang)6 biasa disebutkan dengan
[kada?], “Quran“ yang dieja dengan <Qur?an> disebut dengan
[kur?an], perkataan /qunut/ disebut dengan [kunut]. Bagi
perkataan /ţalaq/ dibunyikan sebagai [talak]. Bunyi fonem uvular
/γ/ disebut dengan dua cara iaitu [k] dan [h]seperti dalam
perkataan /γamis/ disebut sama ada [kamis] atau [hamis],
perkataan /γazanah/ dieja dengan <khazanah> tetapi disebut
sebagai [kazanah] atau [hazanah]. Perkataan /γutbah/ yang dieja
dengan <khutbah> disebut sebagai [kutbah] atau [hutbah].
Hal yang sama berlaku kepada perkataan bahasa Arab yang
mengandungi huruf “‫”ع‬. Hampir keseluruhan perkataan bahasa
Arab yang mengandungi huruf tersebut disebut dengan bunyi
glotal [?] atau [k], walau di lingkungan mana ia hadir di dalam
perkataan. Misalnya bagi perkataan / amal/ disebut sebagai
[amal] dan ejaan bagi perkataan tersebut <amal>. Perkataan /la
nat/ disebut [laknat] atau [la?nat] dan ejaannya dalam bahasa
Melayu dibentuk <laknat>.7
Sebagai hasil daripada langkah memperkenalkan sistem
kewangan dan ekonomi Islam, masyarakat Melayu
diperdedahkan dengan istilah-istilah Islam yang yang
diperkirakan tidak pernah ditemui di dalam sistem kewangan
kovensional. Bunyi yang terlibat ialah seperti bunyi-bunyi fonem

6
PROSIDING SETALING II

/d/ seperti dalam /mudarbah/ disebut dengan [mudarabah], tidak


disebut dengan [mudaRabah]. Bagi bunyi fonem /ff/ dalam
/takafful/ disebut sahaja dengan [takaful] atau [takapul].
Di samping bunyi sebutan dan bentuk yang berbeza, sistem
morfolgi Melayu juga telah memperlihatkan proses yang sama.
Ini terutamanya berlaku apabila morfem terikat {meN}bertemu
dengan kata dasar bahasa Arab yang bermula dengan huruf <f>
dan ,<t>. Misalnya, apabila {meN}+ /fitnah/ akan terbentuk
sebagai [mempitnah], [memfitnah] atau [memitnah] walaupun
ejaannya dalam bahasa Melayu sebagai <memfitnah> dan bahasa
Indonesia sebagai <memitnah>. Manakala bagi bentuk {meN}+
/tafsir/ akan terbentuk sebagai <mentafsir> atau <menafsir> dan
disebut sebagai [məntapsir] atau [mənafsir].
Namun, setelah penguasaan dan pengetahuan bahasa Arab
semakin meluas di kalangan penutur Melayu, sebagai akibat
langsung daripada pendidikan Arab, sama ada diperolehi dari
negara-negara Arab atau di dalam negara sendiri, maka timbul
golongan yang menuntut supaya bunyi-bunyi perkataan yang
berasal daripda bahasa Arab disebut atau dibunyi sebagaimana
bunyi asalnya. Tuntutan ini diasaskan atas kebimbangan bahawa
makna akan berubah sekiranya sebutan tidak dibunyikan seperti
bunyi asalnya. Ia juga dikatakan amat penting dalam memelihara
kepercayaan beragama seseorang. Antara perkataan yang sering
dibangkitkan ialah perkataan “nikmat“.
Pada sebutan dan pengetahuan orang awam yang tidak pernah
mempelajari atau menguasai bahasa Arab pastinya tidak
mengetahui bahawa tidak ada makna lain bagi perkataan tersebut,
selain menyedari bahawa perkataan “nikmat“ hanyalah memiliki
makna yang positif (tentunya makna “limpah kurnia“ dan
bukannya bermaksud untuk mendapatkan “seksa“ ataupun
“marah“) apabila diungkapkan di dalam bahasa Melayu. Akan
tetapi pasti akan wujud sebutan yang berbeza jika perkataan
seumpama itu semasa membaca al-Quran atau berdoa di dalam
bahasa Arab. Maksudnya, untuk keperluan umum dan bukan
untuk keperluan membaca al-Quran, sebutan [ni?mat] tidak
janggal dan tidak bermaksud negatif, jika dibandingkan dengan

7
PROSIDING SETALING II

apa yang didengar oleh orang Arab dan orang yang menguasai
bahasa Arab, yang menyebutnya dengan [ni mat].

Pengaruh bahasa Inggeris.


Halimah Haji Ahmad (dalam Juriah Long dan rakan (ed), 1992 :
50) pernah mengatakan:

“...Adalah tidak keterlaluan, jika pada masa akan


datang, generasi muda bangsa Malaysia, yang
menghayati Sistem Pelajaran bahasa Kebangsaan,
akan menganggap yang bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris tersebut daripada satu rumpun yang sama.
Hal ini boleh berlaku kerana dalam bidang-bidang
yang tertentu banyak terdapat persamaan bentuk-
bentuk leksis bahasa Inggeris yang terdapat dalam
leksis bahasa Melayu“.

Kemungkin berlakunya apa yang dikatakan itu adalah sesuatu


yang tidak mustahil. Lebih-lebih lagi apabila pendidikan formal
di sekolah-sekolah rendah dan menengah seterusnya pusat
pengajian tinggi menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar. Antara akibat yang terjadi dari
fenomena tersebut ialah seringnya terdapat percampuran
penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di dalam
percakapan umum, baik dalam situasi rasmi mahupun tidak
rasmi.
Dalam gerakan perancangan dan pembinaan bahasa Melayu,
pihak bertanggungjawab telah menerapkan dan menyesuaikan
banyak perkataan daripada bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa
lain ke dalam bahasa Melayu. Gerakan diasaskan atas kesedaran
bahawa dengan cara yang sedemikian itu sahajalah bahasa
Melayu dapat menjadi bahasa moden dan dapat dijadikan bahasa
pengantar bagi apa jua bidang ilmu pengetahuan moden.
Perancangan itu tidak sahaja menyerapkan istilah-istilah bahasa
Inggeris dan asing ke dalam bentuk sistem ejaan bahasa Melayu,

8
PROSIDING SETALING II

tetapi juga ia melibatkan aspek sebutan. Namun, pihak perancang


bahasa Melayu masih mempertahankan bentuk dan bunyi yang
sekian lama dianggap sudah mantap dan tidak perlu diubah-ubah
lagi. Misalnya perkataan-perktaan “botol“, “basikal“, “gelas“,
“buku“ , “rekod“ , “pencen“ dan banyak lagi.
Seperti halnya dengan pengaruh bahasa Arab, pada peringkat
awal memang tidak ramai di kalangan orang Melayu mampu
memperluas dan mengtahui bahasa Inggeris. Ini kerana peluang
untuk memasuki sekolah berpengantarkan bahasa Inggeris amat
terbatas dan terhad. Justeru, tidak ramai juga yang mengetahui
“kejanggalan“ bunyi sebutan apabila orang Melayu tidak
menyebut atau gagal menyebut bunyi-bunyi bahasa Inggeris
sebagaimana orang Inggeris menyebutnya.
Walau bagaimanapun, dalam pembentukan Sistem Ejaan bahasa
Melayu, beberapa ketetapan tertentu dan terbaru telah dibuat.
Ketetapan tersebut seolah-olah lebih banyak mengekalkan ciri-
ciri bentuk asal, di samping menentukan perubahan pada bunyi
sebutan.
Oleh sebab ruang dan peluang orang Melayu untuk mempelajari
dan menguasai bahasa Inggeris semakin terbuka luas, bahkan
dikuasai melalui sistem pendidikan yang dwibahasa atau sistem
pendidikan yang sepenuhnya berpengantarkan bahasa Inggeris,
maka secara langsung, ia telah memberi kesan yang amat
menarik bagi bunyi-bunyi perkataan atau istilah yang diserapkan
ke dalam bahasa Melayu. Ada bunyi perkataan yang sudah stabil
atau mantap disebut di dalam bunyi bahasa Melayu disarankan
supaya dibunyikan sebagaimana perkataan itu dieja. Misalnya,
umum merasa janggal apabila mengubah bunyi perkataan /bank/
yang lazim disebut [bεnk] disaran supaya disebut [bank], /panel/
yang lazim disebut [penal] disaran dengan sebutan [panel],
/forum/ yang lazim disebut dengan [foram], disaran disebut
dengan [forum], perkataan /focus/ disebut dengan [fokas] tetapi
disaran supaya disebut [fokus], dan banyak lagi. Demikian juga
bagi perkataan Inggeris yang dieja dengan <choir>. Perkataan ini
diterima ke dalam bahasa Melayu dengan mengubah ejaannya
kepada <koir> dan disaran supaya disebut dengan [koir] yang
bunyi asalnya [kowayə].

9
PROSIDING SETALING II

Bunyi-bunyi yang disarankan telah dianggap janggal dan ganjil


oleh segelintir orang Melayu, yang rata-ratanya sudah menguasai
bahasa Inggeris dengan fasih dan lancar mengungkapkan bunyi
asal bahasa tersebut. Ini kerana bentuk dan bunyi asal telah
diperkenalkan kepada mereka semasa sejak kecil, sejak
mempelajari bahasa Inggeris atau melalui bidang-bidang lain
yang diterima melalui bahasa Inggeris. Sebab itu, ada penutur
Melayu yang berpendidikan Inggeris tidak akan merasa salah jika
membunyikan perkataan-perkataan yang sedemikian itu dengan
nada “keinggerisan“ apabila mereka bercakap menggunakan
bahasa Melayu, baik dalam situasi rasmi ataupun tidak rasmi.
Bagi mereka, bunyi-bunyi yang mereka sebut adalah bunyi
sebenar.

Penutup dan saran.


Memandangkan begitu banyaknya perkataan bahasa asing yang
masuk ke dalam bahasa Melayu, maka secara langsung atau tidak
langsung ia bukan sahaja memperkayakan khazanah
perbendaharan kata bahasa Melayu, tetapi dalam masa yang
sama telah membawa masuk bunyi-bunyi bahasa yang baru.
Gejala ini, jika dilihat dari aspek fonolgi, adalah satu
perkembangan terbaru dalam sistem fonologi, sistem ejaan dan
sistem sebutan bahasa Melayu. Meskipun perkembangan ini tidak
memberi implikasi dan signifikan yang nyata kepada sistem
fonolgi bahasa Melayu, tetapi ia tetap menarik dan wajar diberi
perhatian jika unsur bunyi dan sebutan tidak menjejaskan
perkembangan bahasa Melayu, asalkan ia tidak melibatkan
perubahan makna yang lain.
Dalam hubungan ini, apakah tidak mungkin bahasa Melayu
menerima juga bunyi yang bervariasi bagi sesuatu lambang
fonetik/fonem, sebagaimana adanya variasi yang bersifat sinonim
bagi perkataan-perkataan tertentu di dalam bahasa Melayu.
Maksudnya, untuk memungkinkan agar bahasa Melayu masih
tetap diterima oleh penuturnya, maka harus diizinkan kehadiran
multibunyi dan multibentuk bagi perkataan-perkataan tertentu.
Mungkin sahaja kestandardan bahasa Melayu boleh
direalisasikan pada sistem ejaannya, tetapi wajar terbuka di

10
PROSIDING SETALING II

dalam penyebutannya. Inilah antara pengorbanan yang mungkin


membawa bahasa Melayu itu dapat menjadi “...pencerna dan
pewahana ilmu pengetahuan?“.

1
Adrian Akmajian et al., 2002, Linguistik: Pengantar Bahasa dan
Komunikasi , terjemahan Aishah Mahdi dan Azizah Hussein. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 7
2
Nik Safiah Karim, 1986, Bahasa Melayu –Persoalan dan Pergolakan.
Kuala Lumpur :Gateway Publishing House Sdn.Bhd., m.s. 2
3
Ibid
4
Asmah Haji Omar menyatakan bahawa penamaan bahasa standard
adalah wujud daripada penamaan yang salah.
5
Asmah Hj. Omar, 1977, Kepelbagaian Fonologi Dialek-Dialek
Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 2
6
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, Daftar Umum Sebutan Baku Bahasa
Melayu. m.s. 4
7
Ibid, m.s.11

11

Você também pode gostar