Você está na página 1de 3

SIRI ADA APA DENGAN KERIS Episod 1: Prolog

Keris merupakan suatu objek yang tidak asing lagi dalam menyelusuri budaya di tanah air. Bukan semata-mata sebagai senjata, namun masih banyak lagi fungsi dan peranan yang dibawa oleh objek budaya ini. Namun, hakikat sebenar tentang warisan bangsa ini semakin dikaburi oleh sejarah silam dan mitologi yang menyelubunginya sejak sekian lama, sehinggakan seringkali ada dalam kalangan kita yang cukup gentar pabila diajak berbicara tentang keris.

Foto1: Keris Taming Sari dalam simpanan DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Adakah ini keris Taming Sari yang sama yang pernah dimiliki Hang Tuah suatu ketika dahulu?

Di sini, penulis ingin sekali mengajak para pembaca untuk menyelami maksud sebenar keris sebagai suatu karya seni yang tinggi nilainya. Setelah habis istana-istana serta kapal-kapal kayu tinggalan nenek moyang lenyap ditelan zaman, tinggallah keris sebagai salah satu bukti betapa nenek moyang kita sudah mahir dalam seni dan ilmu pertukangan besi dan ukiran kayu yang dijadikan medium bagi menerapkan nilai-nilai budaya mereka yang kaya dengan keistimewaan tersendiri . Inilah antara tinggalan terakhir yang menjadi bukti betapa budaya kita itu luar biasa. Dalam lembut berseni, ada keras tak terperi. Dalam kerasnya pula ada, lembut berseni. Petanda sopan santun bangsa berbudi.

Foto 2: Keris dewasa ini lebih berfungsi sebagai pelangkap upacara dan adat-istiadat. Kelihatan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Sultan Negeri Selangor mengucup Keris Berok Berayun tanda menerima tanggungjawab ketika istiadat pertabalan baginda.

Perkataan pertama yang sering muncul selepas disebut tentang keris ialah Keris? Ishk....takut. Ada jin! Tidak dinafikan, bahawa kebanyakan keris telah ternoda dengan unsurunsur syirik yang boleh membawa kepada kemurkaan Yang Maha Esa. Namun, itu semua hasil daripada tindakan manusia sendiri yang alpa, taksub mahupun yang masih belum menerima kefahaman Islam yang jitu, lantas meletakkan jin dan syaitan sebagai pelindung samada secara langsung atau tidak langsung, atau samada sedar atau tidak sedar. Usahlah dek sebilah keris pusaka, maka habis kesemuanya jua dibilang berpuaka.

Keris itu hanyalah kayu dan besi, tidak lebih dari itu. Namun, falsafah, teknologi pertukangan dan metalurgi serta seni ukiran dan pahatan yang tersimpan dalam objek inilah yang seharusnya kita ambil ibrahnya. Bukan untuk dipuja, bukan untuk diagung. Bukan untuk dijunjung, bukan jua untuk disanjung.

Foto 3: Gaya pemakaian keris seorang pria Jawa yang ternyata berbeza dengan adat pemakaian keris di Malaysia Dalam siri Ada Apa Dengan Keris?, penulis ingin berkongsi dengan anda semua tentang apa yang diertikan dengan keris? Apa keistimewaan yang terdapat pada keris ini, sehinggakan ramai yang sanggup berhabis wang untuk memilikinya? Kita juga akan menyelusuri sedikit sebanyak tentang anatomi keris, sejarah di sebalik penciptaannya serta budaya perkerisan dalam dunia moden ini. Nantikan kemunculannya.......

Hasil nukilan: ~ Panglima Sungai Kinta~

Você também pode gostar