Você está na página 1de 2

ALK Usaha Bangkitkan Kembali Koperasi

JATUH bangunnya sesebuah koperasi itu biasanya terletak di bahu Anggota Lembaga Koperasi (ALK)
yang menerajuinya. Pernyataan ini kadangkala benar kerana sikap optimis dan positif ALK dapat
memastikan sesebuah gerakan koperasi itu kekal hidup dan meningkat maju.

Sebaliknya pula, apabila berlakunya penyelewengan dan sikap negatif ALK, dengan mudah koperasi
menjadi goyah dan tersungkur begitu saja.
Persoalan ini diutarakan oleh dua orang ALK Koperasi Kenderaan Pengangkutan Melayu Baling Berhad
sewaktu ditemui wakil PELANCAR di pejabat koperasi tersebut. Bendahari, Haji Umar Yusoff dan
Setiausaha, Haji Azmi Abdullah menyetujui pendapat tersebut dengan menjadikan koperasi ini sebagai
salah satu contoh terbaik mereka.

Haji Umar Yusoff yang telah lebih 10 tahun memegang jawatan ALK dalam koperasi ini menganggap
ranjau dan duri yang dilalui koperasi sebagai asam garam yang terlalu biasa dirasakannya. Jatuh bangun
koperasi ini telah dirakamkannya bersama pengalaman memimpin koperasi yang dianggotai 472 orang
anggota ini.

“Koperasi ini sekalipun hidup dan nampak aktif, namun masih menanggung beban masalah. Kami
mengeluarkan kira-kira 30 permit teksi yang disewakan kepada anggota kami. Bagaimanapun, masalah
kekurangan pelanggan akhir-akhir ini menjejaskan sedikit prestasi pendapatan koperasi,” ujarnya.

Menyedari masalah yang timbul ini, ALK bertindak mencari jalan keluar dengan beberapa cara. Satu
daripadanya ialah memastikan koperasi memperolehi pendapatan secara tetap setiap bulan daripada sewaan
bangunan kedai milik koperasi ini di pekan Baling. Menerusi hasil tersebut, koperasi yakin mampu
bergerak dan merencana kegiatan baru selepas beberapa masalah diselesaikan.

Berkenaan pengangkutan bas yang sebelum ini dijalankan oleh koperasi secara aktif, Haji Umar
menjelaskan ia telah diberhentikan atas beberapa sebab. Bas yang dimiliki oleh koperasi ini merupakan bas
lama dan perlu pengubahsuaian.

“Kami telah berbincang dengan pihak yang berminat membeli bas tersebut. Hasil daripada jualan itu dapat
digunakan untuk membeli bas baru. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu koperasi ini nanti untuk
bangkit kembali dan membantu anggota yang memerlukan selain melaksanakan lain-lain kegiatan,”
katanya.

Koperasi yang ditubuhkan sejak 1962 ini merancang untuk mendapatkan bantuan dana daripada Jabatan
Pembangunan Koperasi (JPK). Bagaimanapun, pihak koperasi masih mempunyai hutang dengan JPK. Oleh
sebab itu, pihak koperasi bercadang mempercepatkan proses penjualan bas-bas lama untuk membayar
hutang yang tertunggak itu seterusnya memohon dana yang baru.

Terkini, koperasi ini melaburkan sebanyak RM10 000 sebagai simpanan khas kepada Koperasi
Pembangunan Negeri Kedah Berhad bagi menambah dana untuk pembinaan sebuah kilang tayar di Gurun,
Kedah. Syer tersebut merupakan pelaburan terbaru koperasi. Projek kilang tayar itu merupakan sebuah
usahasama dengan syarikat pengeluar kenderaan jenama KIA yang sebelum ini beroperasi di Pekan,
Pahang.

Pihak ALK juga amat mengharapkan ada generasi muda yang berminat untuk menyertai koperasi ini. Ia
diperlukan bagi menjana perkembangan dan percambahan idea-idea baru yang boleh membantu
membangunkan kembali koperasi ini.
Koperasi Kenderaan dan Pengangkutan Melayu Baling Berhad. No.Y8, Jalan Pasar Lama, 09100 Baling,
Kedah Darul Aman. Tel.: 04-4701206.

– NORLAILI MANSOR

Você também pode gostar