Você está na página 1de 7

ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU

Ditulis Oleh: SHARIFAH NORAISHAH BTE SYED IBRAHIM


PENGENALAN
Setiap masyarakat mempunyai cara tersendiri dalam menjalankan tradisi dan adat budaya
masing-masing. Begitu juga di dalam upacara perkahwinan. Di kalangan orang Melayu,
perkahwinan merupakan satu perkara terpenting dalam kehidupan mereka. Ia adalah satu tahap
sejarah dalam hidup seseorang.
Oleh kerana itulah, perkahwinan perlu dirancang supaya segala upacara dapat dijalankan
sebaiknya-baiknya. Namun dalam konteks tradisi perkahwinan masyarakat Melayu, idea dan
amalan dapat dikenalpasti adalah menurut pengertian budaya dan kepercayaan yang dijunjungi.
Seperkara yang tidak dapat diketepikan, tradisi perkahwinan Melayu jelas sekali mempunyai
perkaitan yang begitu rapat dengan tumbuhan semulajadi. Malah masyarakat Melayu amat
berpegang kepada pepatah yang berbunyi "Biar mati anak jangan mati adat".
Biarpun tidak banyak yang memahami falsafah dan mempelajari logik adat tersebut secara
mendalam, namun sekurang-kurangnya masyarakat buat masa ini masih memerlukannya. Untuk
tujuan meneliti idea dan amalan tersebut serta perkaitannya dengan tumbuh-tumbuhan. Fokus
perbincangan merangkumi empat peringkat tersebut:
1- Merisik dan meminang
2- Pertunangan
3- Persiapan sebelum bersanding seperti berandam dan sebagainya
4- Bersanding dan berinai

MERISIK DAN MEMINANG


Orang Jawa turun ke dusun,
Singgah sejenak dipinggir kota,
Kami membawa sirih tersusun,

Sudilah sepiak membuka kata.


Orang dusun pergi ke huma,
Bawa ke pekan seikat keladi,
Sirih tersusun kami terima,
Sila nyatakan hasrat di hati.
Adat istiadat merisik dan meminang dalam masyarakat Melayu bukan sahaja dituntut dalam
agama bahkan ditagih dalam adat. Ia merupakan permulaan istiadat di mana pihak lelaki
menghantar seorang wakil ke rumah pihak perempuan untuk dipinang. Walaupun telah diketahui
peminangan tersebut akan diterima, namun syarat menghantar wakil perlu dilakukan sebagai
membuka tirai kira bicara.
Upacara ini dilakukan, untuk melahirkan tujuan mereka sebenarnya secara rasmi. Ia dilakukan
pada peringkat permulaan secara tidak langsung tetapi mempunyai maksud untuk bertanyakan
sama ada si gadis sudah berpunya atau belum. Amalan ini dilakukan untuk mendapatkan
maklumat mengenai diri perempuan yang hendak dipinang. Setelah tiba masa yang sesuai, wakil
tadi akan berterus terang tentang hajat mereka sebenarnya.
Kebiasaannya semasa upacara ini, pihak lelaki turut membawa bersama sebentuk cincin tanda
dan tepak sirih disertakan sekali dengan pinang , kapur dan gambir. Tepak sirih ini dipanggil
sebagai sirih meminang. Jika peminangan tersebut diterima maka pihak lelaki akan
menghulurkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan sebagai tanda penerimaan. Manakala
cincin tanda sebagai tanda perjanjian penerimaan peminangan tersebut sebelum berlangsungnya
upacara pertunangan.
Selesai sahaja upacara ini, kedua-dua belah pihak akan membawa tepak sirih ke tengah untuk
disantapi sebagai tanda gembira dan kata sepakat.

2) Pertunangan
Ikatan pertunangan adalah satu perjanjian yang dipersetujui oleh pihak keluarga
lelaki dan perempuan untuk menjodohkan anak mereka dalam tempoh tertentu selepas upacara
merisik dan meminang dijalankan. Lazimnya di hari pertunangan, pihak lelaki turut menghantar
belanja yang disertai dengan beberapa hadiah iringan.
Dalam adat ini, hantaran tepak sirih merupakan satu bingkisan paling utama, penuh bermakna

lagi syahdu berbanding daripada bingkisanbingkisan lain yang dipersembahkan oleh pihak
lelaki kepada pihak perempuan. Daun sirih terpilih digubah indah disertai kapur, gambir dan
buah pinang yang telah dikacip.
Di antara barangan hantaran yang kebiasaannya dibawa oleh pihak lelaki kepada pihak
perempuan iaitu
1. sirih junjung yang digubah cantik untuk mengelapai hantaran
2. sebentuk cincin pertunangan
3. satu set bahan persolekan
4. bunga rampai
5. sepasang baju
6. kuih muih
7. buah-buahan
Setiap jenis hantaran diletakkan di dalam sebuah pahar dan hantaran-hantaran
tersebut akan dikelapai oleh sirih junjung yang telah digubah tadi. Pada kebiasaannya, bilangan
barangan hantaran adalah berangka ganjil dan mengikut kemampuan pihak lelaki serta
mengambil kira kemampuan pihak perempuan.
Buah-buahan dan bunga rampai lazimnya merupakan barang hantaran wajib kerana sifatnya
yang manis dan berbau wangi. Ia boleh dianggap sebagai harapan kedua-dua belah pihak agar
perjanjian perhubungan tersebut akan berterusan dan berkekalan hingga ke ikatan perkahwinan.
Semasa upacara pertunangan rombongan lelaki akan disambut mesra dan dihulur tepak sirih
yang telah disusun kepada tetamu sebagai mengalukan kedatangan rombongan tersebut. Seperti
diketahui umum, sirih, pinang, kapur dan gambir sememangnya begitu sinonim dengan
masyarakat Melayu.
Manakala hantaran-hantaran pertunangan akan diletakkan di tengah-tengah majlis dihadapan
sekalian hadirin. Ketua perwakilan pihak lelaki duduk berhampiran dengan ketua perwakilan
pihak perempuan. Sirih junjung diletakkan dihadapan mereka sebagai bunga majlis. Rundingan
seterusnya adalah berkisar tentang tempoh pertunangan, jumlah hantaran belanja dan perjanjian
untuk menghadapi takdir jika pertunangan itu putus atas apa-apa jua sebab.
Selepas mendapat kata putus mengenai perkara-perkara yang dibincangkan, istiadat
menyarungkan cincin akan dijalankan. Cincin disarungkan ke jari manis tangan kanan gadis.
Maka dengan tersarungnya cincin pertunangan ini, rasmilah pertunangan tersebut.

3) Persiapan Sebelum Bersanding


Peringkat ini merupakan acara yang meliputi segala persiapan bagi menyambut upacara
perkahwinan. Diantaranya istiadat meletak kerja, menghias pengantin, berhinai dan berhias.
i) Istiadat Menghias Pengantin/ Berandam
Orang yang memainkan peranan penting dalam adat istiadat bersanding ialah mak andam. Tiada
ketetapan tertentu untuk menempah mak andam jika seseorang itu memerlukannya. Pada
umumnya tujuan utama mak andam dipanggil ialah untuk menghias pengantin iaitu pengantin
perempuan, disamping mengendalikan agar majlis persandingan berjalan dengan baik.
Sesetengah mak andam boleh mengubati atau memulihkan pengantin perempuan sekiranya jatuh
sakit atau tidak sedarkan diri. Keadaan ini mungkin disebabkan akibat terlalu penat, terkena
buatan orang dan sebagainya.
Kebiasaannya tugas mak andam bermula sehari sebelum hari persandingan diadakan. Keperluan
yang disediakan termasuklah kain putih, limau purut (bilangannya tidak ditentukan, biasanya
berangka ganjil), bertih, pisau cukur, gunting, sikat, setengah meter kain putih, sirih, air
semangkuk, bedak, bunga tujuh jenis dan beberapa bahan keperluan lain. Upacara ini akan
dilakukan ditempat yang terasing dari orang ramai seperti di bilik. Orang lain tidak dibenarkan
masuk kecuali orang tertentu atas sebab-sebab khusus sahaja.
Upacara dimulakan apabila mak andam, meletakkan kain putih dibahu pengantin perempuan
yang diselubungkan diseluruh badan. Sirih yang telah dijampi diberikan kepada pengantin
perempuan untuk dikunyah dan diasap dengan kemenyan bersama iringan jampi.
Bunga yang tersedia diasapkan dan dijampi, kemudian dipusingkan dikeliling pengantin serta
disapukan ke muka dan badan. Semua upacara ini dilakukan bertujuan untuk menaikkan seri
muka pengantin. Setelah itu tepung tawar direnjiskan dikeliling pengantin diikuti menabur bertih
dan beras kunyit ke atas pengantin untuk mengelakkan gangguan makhluk asing yang mungkin
akan menganggunya.
Peringkat kedua ialah istiadat bercukur. Sebelum memulakannya mak andam membaca jampi
ataupun doa sambil mengurut dan memintal anak rambut dibahagian dahi dan memotongnya
dengan gunting yang tersedia. Masa berandam dara yang masih dimiliki pengantin itu penting.
Kesucian yang masih wujud akan menjadikan wajah berseri-seri terutamanya ketika bersanding
nanti.
Tugas mak andam seterusnya mencukur anak rambut dan bulu roma dimuka dan bahagian lain
seperti dileher dan ditangan sebelum dibentuk alis. Segala pekerjaan dilakukan dengan penuh
hati-hati. Ia dimulai dengan doa dan jampi mantera yang menjadikan muka pengantin berseriseri.

Upacara berandam terakhir ialah istiadat berlangir, iaitu menyapukan bedak sejuk yang dibasuh
dengan air ke bahagian badan dicukur. Kemudian diikuti istiadat mandi berlimau dan dicampur
bunga tujuh jenis. Istiadat ini bertujuan sebagai upacara membuang sial pada badan dan
menjauhkan segala bala yang akan menimpa sepanjang majlis perkahwinan yang akan dijalankan
ii) Istiadat Berhinai
Istiadat ini boleh dikategorikan kepada tiga iaitu berinai curi, berinai kecil dan berinai besar.
Berinai curi dan berinai kecil dilakukan beberapa hari sebelum berlangsungnya hari
perkahwinan. Ia dilakukan terhadap pengantin perempuan sahaja. Bahagian yang di inai ialah
kedua tapak tangan, sepuluh jari tangan, bahagian kuku jari kaki dan disekeliling tapak kaki.
Adat ini dilakukan tanpa bantuan mak andam kerana hanya dilakukan untuk bersuka-suka sahaja.
Selain itu kesan dari inai tadi boleh dijadikan satu tanda bahawa seseorang baharu sahaja
melangsungkan perkahwinan.

4) Bersanding
Istiadat bersanding merupakan upacara kemuncak dalam adat istiadat perkahwinan. Ia
merupakan detik paling sejarah dalam hidup seseorang terutamanya kaum wanita. Pada hari
inilah para jemputan datang berkunjung untuk meraikan pengantin.
Setelah pengantin perempuan siap dihias dan bersedia untuk menjalani upacara persandingan,
wakil pengantin perempuan akan menghantar bunga berdaun sirih kepada wakil pengantin lelaki
yang bertandang tidak jauh dari rumah pengantin perempuan.
Pemergian pengantin lelaki dan rombongannya ke rumah pengantin perempuan, diringi dengan
pukulan kompang dan arakan bunga manggar. Bunga manggar ialah dua jambak bunga yang
diperbuat daripada kertas berwarna warni dan dililitkan pada lidi kelapa serta dicucuk pada dua
biji buah betik atau nenas muda yang telah sedia dicacak kepada dua batang galah.
Ketibaan mereka ini disambut dengan taburan bertih, beras kunyit dan air renjisan mawar.
Upacara ini dilakukan oleh orang tertentu iaitu saudara yang rapat dengan pengantin perempuan
bertujuan agar perkahwinan ini akan dirahmati. Setelah kedua-dua pengantin sempurna
didudukkan di atas pelamin, upacara menepung tawar atau berinai besar dimulakan.
Pukulan kompang yang menyambut kedatangan pengantin diteruskan sehingga kedua mempelai
duduk di atas pelamin. Sebaik sahaja paluan kompang dihentikan, kanak-kanak berebut-rebut
mencapai bunga manggar dari ganggangnya untuk dijadikan mainan. Ini menambahkan lagi
kemeriahan majlis perkahwinan ini.
Dalam majlis ini , orang yang dijemput tampil ke hadapan akan menabur beras kunyit dan bertih

kepada mempelai. Kemudian baharulah melakukan istiadat menepung tawar iaitu mengambil
secubit inai dan diletakkan ditapak tangan kanan dan kiri. Setiap kali selesai upacara menepung
tawar dan menginai dilakukan, mak andam mengambil inai daripada tapak tangan pengantin dan
meletakkannya ke dalam satu bekas lain.
Kedua-dua pengantin menangkupkan kedua tapak tangan di dada seakan-akan mengangkat
sembah sebagai tanda terima kasih kepada orang yang melakukan upacara ini. Setelah sempurna
menjalankan upacara ini, orang yang berkenaan pun menundukkan kepalanya sedikit seperti
ketika ia mula datang sebagai tanda hormat dan memohon diri pergi.
Majlis ini berlangsung, dalam keadaan meriah dengan hilai tawa para hadirin, diselangi dengan
sindir menyindir kepada pasangan pengantin. Setiap orang yang melakukan upacara ini diberi
bunga telur yang terpacak di pulut kuning sebagai tanda hati kerana kesudian menepung tawar
mempelai. Berakhirnya upacara ini bermakna sempurnalah adat istiadat perkahwinan masyarakat
Melayu yang telah dijalankan. Istiadat seterusnya ialah upacara menyambut menantu yang
dilakukan di rumah pengantin lelaki.
Penggunaan Rempah Ratus dalam Istiadat Berinai adalah sebagai:
1. Beras kunyit ialah sebagai ganti emas yang pernah diamalkan oleh masyarakat
zaman dahulu kepada mempelai pengantin sebagai tanda kegembiraan.
2. Beras basuh sebagai simbol doa restu mereka kepada mempelai dan pengantinsupaya murah
rezeki sehingga ke anak cucunya kelak.
3. Bertih ialah sebagai simbol supaya berkembang keturunan mereka hasil dari perkongsian
hidup nanti.
4. Air tepung tawar sebagai penawar sewaktu mengalami sakit pening dan lain-lain penyakit
semasa menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri.
5. Inai ialah sebagai simbol atau tanda bahawa kedua-dua mempelai masih mempunyai dara yang
dikawal dengan kehormatan diri untuk menjadi satu kemegahan bagi kedua-dua keluarga
mempelai.

KESIMPULAN
Penggunaan tumbuh-tumbuhan dalam adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu tidak boleh
dipertikaikan. Menyentuh tentang adat istiadat perkahwinan orang Melayu, segala bentuk
upacara, pantang larang yang diamalkan dan jampi mantera dibacakan oleh mak andam serta
penggunaan tumbuhan tertentu seperti beras kunyit, bertih, inai dan seumpamanya mempunyai

signifikasi tersendiri. Di antaranya bertujuan untuk melindingi pasangan pengantin dari


gangguan makhluk-makhluk halus. Manakala upacara lain seperti bersanding, adat berandam,
berarak menggunakan bunga manggar dan sebagainya bertujuan untuk bersuka-suka di samping
mengeratkan hubungan kedua-dua pengantin yang baru dinikahkan dengan saudara mara keduadua belah pihak yang baru berkenalan. Walaupun setiap negeri mempunyai istiadat yang agak
berbeza, tetapi secara umumnya ianya adalah hampir-hampir sama serta mempunyai matlamat
yang tertentu.
Posted by RIDHUWAN RAHMAN at 3:03 AM
Labels: Panduan
http://ridhuwanrahman.blogspot.com/2011/04/adat-istiadat-perkahwinanmasyarakat.html