Você está na página 1de 3

Ada udang di sebalik batu?

25 November 2014 1:41 AM


9 2 Google +1

MUKADIMAH - Desakan pihak-pihak tertentu yang meminta kerajaan memansuhkan Akta Hasutan
1948 menimbulkan pelbagai persoalan. Mengapa mereka mahu akta yang bertujuan memelihara
keamanan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini dihapuskan? Bekas
Ketua Polis Negara, TAN SRI ABDUL RAHIM NOOR mempunyai pandangan yang tersendiri ketika
membicarakan tentang isu tersebut bersama wartawan Utusan Malaysia, HUSS AINI AMRAN dan
jurugambar, MOHD. NAJIB MOHD. NOOR dalam wawancara eksklusif di Damansara Utama, Petaling
Jaya, Selangor baru-baru ini.
UTUSAN: Sejak akhir-akhir ini sering kedengaran desakan oleh pihak-pihak tertentu agar kerajaan
memansuhkan Akta Hasutan 1948. Pandangan Tan Sri terhadap isu ini.
ABDUL RAHIM: Ura-ura pihak yang hendak menghapuskan Akta Hasutan ini saya betul-betul tidak
faham. Sama ada cadangan hendak menghapuskan itu datang dari parti pembangkang atau pihak kerajaan atau oleh sesiapapun, saya hendak bertanya apa dosanya akta ini? Mungkin desakan untuk
menghapuskan Akta Hasutan adalah langkah yang logik selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960
(ISA) dimansuhkan setahun lalu. Sebabnya, ada kaitan antara ISA dengan Akta Hasutan. Mungkin juga,
bagi mereka ini sejajar dengan langkah mentransformasi kehidupan rakyat Malaysia.

Kalau ada pemikiran seperti itu iaitu mengaitkan penghapusan Akta Hasutan dengan usaha kerajaan
mentransformasi masyarakat, timbul soalan adakah kandungan Akta Hasutan ini mengekang dasar
transformasi, misalnya Akta ini menyekat kebebasan orang untuk bersuara? Mungkin juga ada berkata
Akta Hasutan sudah lapuk kerana sekarang era hak asasi manusia.
Pendek kata mesti ada sebab-sebab negatif terhadap Akta Hasutan yang difikirkan oleh pihak yang
menentang undang-undang itu. Saya tidak nampak dengan jelas apa yang tersirat di kepala mereka
selain dari alasan mereka bahawa akta itu ketinggalan zaman atau suasana sekarang sudah berubah
kerana ancaman komunis tiada lagi. Tetapi, yang cukup aneh bagi saya, bila dikatakan ada usaha
untuk menggantikan Akta Hasutan dengan akta lain yang dicadang dinamakan Akta Keharmonian
Nasional. Kononnya, untuk menentukan adanya suasana keharmonian dalam kalangan masyarakat
kita. Saya juga pelik kenapa Majlis Peguam, saya diberitahu, bertungkus lumus menjelajah ke seluruh
pelosok negara, berkempen kononnya untuk menyedarkan rakyat bahawa Akta Hasutan ini harus
dihapuskan.
Mungkin juga pihak yang membantah itu kurang jelas tentang latar belakang di sebalik
kewujudan Akta Hasutan.
Akta tersebut diwujudkan oleh penjajah British pada Disember 1948 kira-kira empat bulan selepas
darurat diisytiharkan. Pada waktu itu negara sedang menghadapi ancaman Parti Komunis Malaya
(PKM). Keadaan keselamatan amat difahami oleh penjajah British. Mereka dapat melihat PKM bukan
saja berjuang menentang kerajaan Inggeris, tetapi berhasrat menubuhkan sebuah republik yang
menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Langkah itu membabitkan penghapusan
raja-raja dan golongan borjuis. Orang Melayu pada masa itu kurang memahami tujuan sebenar
komunis. Mereka agak lurus bendul. Inggeris tahu, institusi raja amat penting bagi orang Melayu.
Negara kita di bawah pentadbiran Inggeris pada masa itu mempunyai undang-undang menjaga
keselamatan yang kemudiannya dikembangkan menjadi ISA mulai 1960. Mereka mendapati undangundang itu tidak mencukupi untuk mematahkan selengkapnya pergerakan komunis. ISA hanya untuk
mencekup pengganas-pengganas komunis dan memulihkan anutan fahaman komunis mereka. Tetapi,
rakyat yang telah dihasut, termasuk kaum Cina dan orang Melayu, semakin ramai.
Hendak ditahan di bawah ISA tidak boleh kerana mereka tidak melakukan pemberontakan bersenjata.
Maka diwujudkan undang-undang baharu yang dinamakan Akta Hasutan bagi memperkukuhkan lagi
asas undang-undang bidang keselamatan sedia ada. Pada peringkat itu, Akta Hasutan mengandungi
empat atau lima seksyen saja khusus untuk membanteras perbuatan menghasut orang ramai
membenci dan memberontak terhadap kerajaan, raja dan kedaulatan undang-undang .
Kemudian apabila berlaku peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang berpunca daripada politik
perkauman yang kental, ditambah pula dengan hasutan pihak komunis. Berikutan insiden itu, kerajaan
meminda Akta Hasutan pada awal 1970. Bagi menambah lagi sengatnya, perbuatan sama ada secara
lisan atau bercetak yang boleh mencetuskan sentimen perkauman, dijadikan kesalahan jenayah di
bawah undang-undang ini. Selain itu, pindaan itu menjadikan kesalahan jenayah sesiapa sahaja yang
menghasut rakyat membenci Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152, Perkara 153, Perkara
181 dan keseluruhan Bahagian III.
Perkara-perkara itulah yang dijadikan bahan hasutan oleh parti politik tertentu sebelum meletusnya
peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Memang mudah mereka bangkitkan sebab ia membabitkan hak-hak
keistimewaan orang Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan. Itulah sebabnya kenapa Timbalan
Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, merasakan perlu dilakukan beberapa pindaan
terhadap Akta Hasutan.
Bagaimana Tan Sri melihat golongan yang nampaknya begitu bersungguh-sungguh mahu
Akta Hasutan dimansuhkan?
Saya memandang sangat serong terhadap sesiapa pun yang ingin memansuhkan Akta Hasutan. Pasti
mereka ada udang di sebalik batu, sama ada bersifat politik atau menggunakan alasan perjuangan hak
asasi manusia. Mungkin mereka sengaja ingin mencabar perkara-perkara di dalam Perlembagaan
Persekutuan yang berkaitan hak istimewa orang Melayu dan Islam. Mereka juga semacam mendakwa,
ahli-ahli politik menyalahgunakan Akta Hasutan untuk mempertahankan kuasa politik Melayu.
Bagi saya, Akta Hasutan mengandungi empat bahagian utama. Pertama, ia menentukan perkaraperkara yang bila dicakapkan, ditulis atau dicetak boleh menimbulkan unsur menghasut. Pendek kata,
boleh menyebabkan orang naik darah dan bangkit membuat sesuatu. Ada enam perkara yang
dikategorikan sebagai berunsur menghasut: menimbulkan kebencian orang ramai terhadap institusi
diraja dan Yang Dipertua Negeri; menghasut rakyat supaya menimbulkan suasana porak-peranda
dalam sesuatu perkara yang telah diputuskan melalui proses undang-undang; menimbulkan
kecenderungan menghasut rakyat membenci sistem keadilan negara; menimbulkan porak-peranda

dan kebencian rakyat; membangkitkan penentangan terhadap Perkara 152, 153, 181 dan Bahagian III
Perlembagaan Persekutuan serta menimbulkan kebencian terhadap kerajaan yang sah.
Perkara kedua ialah hukuman-hukuman yang boleh dikenakan terhadap orang yang tersabit kesalahannya. Perkara ketiga menyentuh keadaan-keadaan di mana seseorang itu tidak boleh dikenakan
tindakan undang-undang untuk mengelakkan dia menjadi mangsa atau dianiaya oleh pihak lain,
sementara bahagian keempat ialah peraturan-peraturan yang harus digunakan pihak berkuasa dalam
menguatkuasakan Akta Hasutan.
Apakah benar Akta Hasutan bercanggah dengan hak manusia untuk bersuara? Di bawah akta itu, jika
kita melakukan sesuatu perkara yang berunsur menghasut, barulah kelakuan kita itu menjadi
kesalahan. Kalau kita bercakap atau menulis sesuatu yang menyentuh institusi raja, misalnya, atau
kaum-kaum lain tetapi tidak mengandungi unsur hasutan, ia tidak menjadi kudis. Istilah yang
digunakan ialah jikalau ada elemen-elemen atau kecenderungan menghasut. Maknanya, bukan tidak
boleh menegur langsung, tetapi tidak boleh menghasut. Tetapi Perlembagaan juga menyebut, Parlimen
boleh menggubal undang-undang untuk menentukan hak-hak itu ada hadnya. Mengapa pula begitu?
Supaya ada peraturan hidup. Contohnya, sesiapa sahaja ada hak tidak berpakaian di dalam rumahnya
sendiri, tetapi perbuatan berbogel itu tidak boleh dilakukan di khalayak ramai.
Timbul pula cadangan menggantikan Akta Hasutan dengan undang-undang baharu yang
bakal dinamakan Akta Keharmonian Nasional. Komen Tan Sri.
Ini pun saya cukup pelik. Mengapa begitu? Ada beberapa sebab. Pertama, Akta Hasutan ini menyebut
tentang jenayah menghasut. Bukan, pokoknya, bertujuan mewujudkan keharmonian, walaupun benar
keharmonian akan wujud bila orang tidak lagi suka menghasut. Apabila perbuatan menghasut
dikategorikan sebagai perbuatan jenayah, maka kenalah ada Akta Hasutan untuk mencegah orang
daripada melakukan perbuatan itu. Keharmonian pula timbul apabila tiada sesiapa pun yang bersikap
suka menghasut. Jadi, kesan daripada penguatkuasaan Akta Hasutan itulah maka wujud keharmonian.
Bukan, sebaliknya, keadaan harmoni yang mencegah orang daripada suka menghasut. Perbuatan
menghasut itu perlu dibanteras dari peringkat putik lagi. Jangan sampai ia dibiarkan membesar
menjadi gelombang pula.
Bila timbul suara-suara yang mahu Akta Hasutan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, ia
seperti menidakkan sumbangan keseluruhan 11 seksyen Akta Hasutan itu dari segi mewujudkan
keadaan harmoni. Memang, tanggapan itu tidak tepat sama sekali. Kenapa? Sebab ia tidak memberi
penekanan terhadap jenayahnya perbuatan menghasut. Selain itu, apakah Akta Keharmonian
Nasional itu dapat menjamin keharmonian dalam sebuah negara? Bolehkah keharmonian diwujudkan
melalui sebuah akta? Kalau sekalipun hendak diwujudkan juga Akta Keharmonian Nasional, janganlah
dimansuhkan pula Akta Hasutan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/ada-udang-di-sebalik-batu-1.28872#sthash.PiefaOoC.dpuf

Você também pode gostar