Você está na página 1de 3

ANALISIS PEMBENTANGAN KLIP VIDEO KUMPULAN 6 (SEMAIAN BIJI BENIH)

Mengikut Mishra & Koehler (2008), pembelajaran diabad ke 21 ini memerlukan kemahiran-
kemahiran asas yang terbahagi kepada 3 bahagian utama iaitu pengetahuan kandungan,
pengetahuan pedagogi dan pengetahuan teknologi dalam memastikan pembelajaran dapat
dilaksanakan dengan berkesan. Sehubungan dengan itu, TPACK merupakan satu rangka
kerja yang mengintegrasikan ketiga-tiga elemen utama tersebut iaitu pengetahuan teknologi,
pedagogi dan kandungan dalam pengajaran yang dilakukan mengikut disiplin ilmu
pengetahuan pengajar (Koehler, 2011). Bertitik tolak daripada kepentingan tersebut,
penggunaan teknologi dalam pendidikan dapat membantu para pelajar memahami pelajaran
dan memudahkan penyampaian maklumat dengan lebih tepat lagi dan mudah. Oleh itu,
guru perlu lebih bersedia dan kreatif dalam pembelajaran menggunakan teknologi ini.

Seiring dengan perkembangan multimedia dalam pendidikan, video telah menjadi


salah satu media yang popular dikalangan para guru. Gabungan elemen mutimedia seperti
teks, grafik, dan audio terbukti dapat menarik minat dan perhatian pelajar.Tayangan klip
video yang diolah dengan sesuai mengikut kandungan dan pedagogi pengajaran
merupakan salah satu bentuk TPACK yang boleh digunakan oleh guru untuk menyampaikan
isi pembelajaran dengan lebih efektif di dalam bilik darjah. Namun, penggunaan video yang
tidak sesuai oleh guru akan menyebabkan sesuatu objektif pembelajaran tidak dapat dicapai
semasa proses pengajaran dan pembelajaran (pdp). Oleh yang demikian, suatu analisis
perlu dilakukan oleh guru bagi melihat sejauh mana keberkesanan sesuatu video yang
digunakan. Sehubungan dengan itu, berdasarkan video yang telah dihasilkan oleh kumpulan
6 yang bertemakan Semaian Biji Benih, kesesuaian penggunaanya semasa proses pdp
akan dianalisis menggunakan kaedah SWOC yang mana meupakan singkatan daripada
kekuatan (strength), kelemahan (weakness), peluang (opportunity) dan cabaran
(challenges).

Berdasarkan video oleh kumpulan tersebut, antara kekuatan yang dapat dikenal
pasti adalah tayangan video ini mudah dikendalikan dan tidak membebankan yang mana
guru hanya perlu menggunakan skrin LCD dan laptop. Video ini juga boleh digunakan oleh
mana-mana pihak tanpa memerlukan latihan penggunaan. Menurut Ee Ah Meng (1999),
pengendalian bahan media pengajaran yang memerlukan latihan penggunaan yang
minimum serta senang dipindah dari satu tempat ke tempat yang lain dapat memudahkan
pengajaran dan meningkatkan keberkesanannya dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Selain itu, video yang digunakan juga dapat merangsang murid tentang topik
pembelajaran pada hari tersebut kerana kandungan video yang menjurus kepada objektif
pembelajaran yang ingin dicapai. Di samping itu, kebaikan yang dapat dikenalpasti adalah
video yang digunakan memudahkan proses penerimaan murid berkaitan topik yang diajar.
Hal ini demikian kerana, kandungan video yang digunakan oleh kumpulan tersebut mengikut
urutan dari langkah yang mudah iaitu dari penyediaan bahan semaian sehinggalah kepada
langkah yang sukar iaitu proses penyemaian.

Namun begitu, terdapat kelemahan yang telah ditunjukkan semasa tayangan video
Semaian Biji Benih yang mana tempoh video adalah terlalu cepat dan teknik semaian yang
dimasukkan di dalam video adalah terlalu banyak. Perkara ini akan menyukarkan murid
sekolah rendah untuk fokus dan mengingati langkah-langkah semaian yang ditunjukkan.
Menurut Norhaziana Ajib (2005), kandungan video pembelajaran yang berkesan melibatkan
kandungan yang sesuai serta murid dapat memahami isi kandungan video apabila murid
dapat melihat dengan jelas setiap peringkat yang ditayangkan. Selain itu, penggunaan teks
yang digunakan di dalam video adalah tidak jelas dan kurang menarik perhatian. Sari kata
yang disediakan juga sukar untuk dibaca kerana tulisan yang agak kabur. Menurut Norliza
Mohamed Piah (2001), aspek saiz, jenis teks menarik yang digunakan, warna teks sesuai,
kebolehbacaan teks dan margin teks yang sesuai mampu menarik minat murid untuk kekal
fokus terhadap video. Audio yang digunakan juga tidak sesuai kerana terlalu laju, tidak jelas
dan nada yang perlahan menyebabkan murid sukar untuk menangkap dan memahami apa
yang ingin disampaikan. Paparan video tersebut juga kabur dan kurang mengintegrasikan
elemen grafik dan warna yang menarik. Masalah ini dapat mengangu konsentrasi pelajar
kerana menurut Semrau, P. Dan Boyer, B.A. (1994), warna latar belakang dan skrin
paparan yang tidak sesuai akan menyebabkan murid cepat jemu dan hilang fokus. Oleh itu,
media yang baik menawarkan kualiti dan ketajaman paparan visual untuk ditayangkan.
Justeru, penggunaan video Semaian Biji Benih yang digunakan oleh kumpulan ini tidak
mampu membantu murid untuk menjawab soalan yang disediakan selepas video
ditayangkan dan seterusnya mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Peluang yang boleh diambil daripada video ini adalah penggunaan video ini mampu
membantu guru untuk menjimatkan masa di dalam kelas kerana kekangan masa yang
dihadapi oleh guru dalam menyediakan bahan semaian dan tapak semaian. Selain itu, video
juga dapat membantu murid yang lemah untuk lebih memahami konsep yang ingin
disampaikan secara verbal kerana menurut Yusup dan Sharifah Alwiah (1999), penggunaan
video dapat membantu menunjukkan secara konkrit kepada murid yang lemah sesuatu
konsep yang hendak disampaikan. Justeru, penggunaan video ini boleh digunakan oleh
guru untuk pembelajaran pada masa akan datang namun hendaklah terlebih dahulu
ditambahbaikkan berdasarkan kelemahan yang telah dinyatakan tadi.
Akhir sekali adalah cabaran yang perlu dihadapi dalam penghasilan dan penggunaan
video tersebut. Kemahiran dalam teknologi diperlukan untuk menghasilkan video yang
manarik bagi mencapai objektif pembelajaran yang ditetapkan. Namun, terdapat guru yang
belum dapat menguasai kemahiran teknologi maklumat khususnya guru-guru yang
berkhidmat di luar bandar dan pedalaman (Mohammed Sani et al. , 2004; Noor Awanis,
Nora & Nurazariah, 2006; Megat et al. , 2008). Justeru, andaian umum yang menyatakan
bahawa sekiranya infrastruktur telah tersedia di sekolah, pengintegrasian teknologi
maklumat akan berlaku secara automatik adalah kurang tepat kerana salah satu penentu
utama kejayaan atau kegagalan pengintegrasiannya adalah kemahiran guru.

Kesimpulannya, penggunaan video pembelajaran dapat membantu murid untuk


meningkatkan prestasi mereka dan seterusnya dapat membantu guru dalam mencapai
objektif pembelajaran. Para guru haruslah peka terhadap perkembangan teknologi agar
pendidikan di Malaysia bukan sekadar penyampaian isi kandungan silibus semata-mata
malah memperkayakan murid dengan pengalaman kehidupan sebenar.

Você também pode gostar