Você está na página 1de 14

1.

0 PENGENALAN

Hubungan antarabangsa merupakan cabangan sains politik yang mengkaji hal ehwal luar
negeri serta isu-isu global dalam sistem antarabangsa, termasuk peranan negara-negara,
pertubuhan antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta perbadanan
multinasional (MNC). Ia merupakan bidang akademik dan dasar awam, dan boleh dianggap
sebagai positif atau normatif. Kajian ini bertujuan menganalisis serta membentuk dasar luar
negeri bagi pelbagai negara. Hubungan antarabangsa sebagai kajian juga menggunakan ilmu
pelbagai bidang seperti ekonomi, sejarah, undang-undang, falsafah, geografi dan sebagainya.
Ia melibatkan jumlah isu yang luas, dari globalisasi serta kesannya terhadap masyarakat dan
kedaulatan negeri ke kemapanan ekologi, percambahan senjata nuklear, nasionalisme,
pembangunan ekonomi, keganasan berbentuk terorisme, jenayah berorganisasi,
keselamatan manusia dan hak asasi manusia.

Sejak dari tahun 1957 hingga tahun 1963, Malaysia telah menganggotai dua
pertubuhan antarabangsa yang penting iaitu Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB). Selepas merdeka, Kerajaan Perseketuan Tanah Melayu telah diberi pilihan
sama ada negara ini berhasrat untuk kekal menjadi anggota Pertubuhan Komanwel atau
menarik diri. Demi kepentingan negara, PTM telah memilih untuk terus menjadi anggota
Komanwel. Sebagai sebuah negara yang merdeka, Malaysia berhak untuk menjadi anggota
PBB. Permohonan Malaysia untuk menyertai PBB telah diterima tanpa sebarang masalah.
Dengan penyertaan Malaysia dalam PBB maka salah satu amalan utama dasar luar negara
ini adalah menyokon PBB dalam semua aktivitinya.

Pada tahun 1961, Malaysia telah diberi penghormatan oleh PBB untuk menghantar
pasukan pengaman ke negara Namibia, Afrika bagi membantu negara itu mencapai komitmen
penting negara ini dalam hal-ehwal antarabangsa. Sebagai anggota PBB, Malaysia dan
negara-negara lain turut berjuang menghapuskan penjajahan. Malaysia telah memberi
sokongan untuk kemerdekaan negara Afrika seperti Zimbabwe. Di samping itu juga, Malaysia
turut memperjuangkan hak asasi manusia, terutamanya Dasar Apartheid yang diamalkan oleh
Regim Afrika Selatan terhadap penduduk kulit hitam. Selain itu, Malaysia memainkan peranan
utama di Persidangan Komanwel bagi mendesak supaya Afrika Selatan disingkirkan dari
pertubuhan ini. Selain dari Komanwel dan PBB, Malaysia telah menjalin hubungan dengan
pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang lain iaitu NAM, OIC, G-15 dan lain-lain.

1
2.0 DASAR LUAR MALAYSIA

2.1 DASAR LUAR MALAYSIA DI BAWAH PERDANA MENTERI PERTAMA

Selepas Persekutuan Tanah Melayu (PTM) merdeka pada tahun 1957, persaingan
kuasa- kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China lebih bersifat perebutan kuasa
antara blok komunis. Permusuhan Amerika Syarikat dan China merupakan satu faktor penting
dalam pergolakan politik antarabangsa di kawasan serantau. PTM di bawah pimpinan Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Pertama) harus memilih satu pendirian tegas
terhadap kuasa-kuasa besar ini. Dalam hal ini, Malaysia telah mengambil kira matlamat
mempertahankan kepentingan nasional iaitu keselamatan dalam negeri. Dua pilihan terbuka
PTM ialah menjadi negara bersekutu kepada salah satu dari kuasa-kuasa besar yang
bermusuh atau memilih dasar pendirian berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana
kuasa besar ini.

Pilihan ini telah menjadi pucuk dalam pembentukan dasar luar PTM di bawah pimpinan
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. PTM membuat pendirian tegas yang tidak
memihak kepada Rusia atau China. Hal ini kerana, PTM berpendapat bahawa ancaman
komunis merupakan ancaman yang paling serius terhadap keselamatan negara. Tunku Abdul
Rahman Putra menganggap bahawa seluruh kawasan serantau menghadapi bahaya
ancaman komunis iaitu negara China. Beliau berpendirian sedemikian berdasarkan
pengalaman PTM menentang pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) sejak dari tahun
1948 hingga tahun 1960. Beliau curiga terhadap China kerana Beijing telah memberi
sokongan kepada PKM. Bahkan China telah mempengaruhi gerakan komunis di Asia
Tenggara untuk memperluaskan ideologi komunis di kawasan serantau. Berdasarkan faktor
ini, PTM enggan menjalinkan hubungan diplomatik dengan China, Russia dan negara-negara
komunis. Malah PTM dan Malaysia di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
tidak pernah mengiktiraf China.

Dasar Amerika Syarikat di kawasan serantau pula ialah menyekat pengaruh China.
Bagi melaksanakan matlamat ini, Amerika Syarikat telah menumpukan perhatian ke atas
Perang Vietnam yang menuntut kemerdekaan daripada Perancis. Teori Domino tidak dapat
dielakkan dalam konteks membendung perluasan pengaruh dan kuasa China di kawasan
serantau. Teori ini berpendapat, jika Vietnam jatuh ke tangan komunis, negara-negara lain di
Asia Tenggara akan turut jatuh ke tangan komunis. Bagi menyekat perluasan pengaruh dan
ideology komunis satu perjanjian telah dimeterai pada tahun 1957. Perjanjian ini dinamakan
Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara (Soutneast Asia Treaty Organisation SEATO). Oleh
kerana Malaysia bimbang terhadap perluasan pengaruh dan kegiatan komunis di kawasan

2
serantau, ia telah menandatangani perjanjian pertahanan dengan Britain. Perjanjian ini
dinamakan Anglo Malaysian Defence Agreement.

Ini memperlihatkan bahawa Tunku Abdul Rahman tidak memilih untuk bersekutu
dengan Amerika Syarikat. Malaysia di bawah Tunku Abdul Rahman juga tidak memilih dasar
berkecuali. Walaupun Malaysia tidak berpihak kepada Amerika Syarikat, negara ini tetap
dengan pendirian tegas untuk menyekat perluasan pengaruh komunis di kawasan serantau.
Malaysia menyokong dasar ini kerana ia yakin bahawa pengaruh dan kegiatan komunis akan
mengancam keselamatan negara. Di samping itu, Malaysia berpendirian bahawa dasar
Amerika Syarikat memelihara kestabilan kawasan serantau akan menyumbang terhadap
keselamatan negara kerana negara ini terletak di kawasan yang amat strategik.

Malaysia juga telah memberi sokongan kepada Saigon dalam pertikaiannya dengan
Hanoi. Tunku Abdul Rahman berpendapat bahawa Vietnam Selatan mesti dihalang dari jatuh
ke tangan komunis. Kejatuhan Vietnam Selatan bukan sahaja akan menjejaskan kestabilan
kawasan serantau tetapi akan mengancam keselamatan Malaysia. Beliau yakin bahawa
China berdiri di belakang dan menyokong dasar agresif Hanoi. Kemenangan Hanoi bermakna
kemenangan China. Ketika penglibatan Amerika Syarikat sedang memuncak di Indochina,
Malaysia dibebani dengan satu ancaman luar iaitu konfrontasi daripada Indonesia. Akibat
dasar konfrontasi Indonesia, Malaysia telah mengambil pendirian leboh pro-barat dan
memberi sokongan terhadap Amerika Syarikat. Namun, selepas berakhirnya konfrontasi ini
pada tahun 1966, Malaysia telah mengurangkan pendiriannya ke arah Barat.

Kedatangan pelabur dari Barat dengan modal yang lumayan akan menjadi pemangkin
terhadap kegiatan ekonomi dan seterusnya dapat memajukan kestabilan ekonomi di negara
ini. Dasar ini didorong oleh keperluan ekonomi negara di ketika itu. pada tahun 1965, selain
sektor pertanian, industry getah dan bijih timah merupakan di antara penyumbang utama
ekonomi rakyat Malaysia. Negara-negara Barat seperti Britain, Amerika Syarikat, Eropah
Barat dan Kanada ialah destinasi pasaran yang penting bagi eksport barangan mentah
Malaysia seperti getah, bijih timah, minyak sawit dan sebagainya. Negara-negara demikian
turut menjadi destinasi import bantuan pendidikan dan latihan bagi negara. Justeru bagi Tunku
tidak rasional sekiranya, beliau menamatkan dasar pro-barat dalam aspek ekonomi
pascapembentukan Malaysia.

Negara ini juga turut menyertai pertubuhan-pertubuhan di peringkat antarabangsa


yang berorientasikan ekonomi antara lain: United Nation Conference on Trade and
Development (UNCTAD) pada tahun 1964 dan 1968. Di dalam kedua-dua persidangan ini
Malaysia telah menganggotai Kumpulan 77 Negara Sedang Membangun yang mendukung
isu-isu pembangunan negara bagi meningkatkan imej negara-negara yang sedang

3
membangun. Malaysia turut melibatkan diri dengan kelompok Selatan di dalam kelompok
Utara-Selatan.

Setelah UNCTAD I, Malaysia turut terlibat dengan konfrontasi dengan Konfenrensi


Timah di dalam proses tawar menawar harga tertinggi di Perjanjian Timah !963, kerana tidak
puas hati dengan hasil rundingan dijalankan. Malaysia dan Bolivia juga pernah mengugut
untuk menarik diri dari perjanjian tersebut sekiranya harga tertinggi tidak ditetapkan. Walau
bagaimanapun, ugutan tersebut telah dibatalkan apabila hasil rundingan membenarkan
pengeluar mengehadkan harga tertinggi. Malaysia turut terpilih berkhidmat dengan Lembaga
Perdagangan dan Pembangunan semasa UNCTAD II pada tahun 1968.

Dasar luar Malaysia yang pro-barat dan akibat yang dialami era konfrontasi memberi
pengajaran kepada Tunku di akhir jangka masa pemerintahan beliau, dasar luar Malaysia
mula menunjukkan sikap neutral, dan tidak lagi bersikap antikomunis dan pro-barat yang
keterlaluan. Namun sesuatu yang harus dicatatkan dasar luar yang neutral ini ditempuhi di
hujung pemerintahan Tunku dengan pengaruhnya ke atas dasar luar semakin berkurang
pasca Peristiwa 13 Mei. Sikap neutral ini diikuti dengan adanya hubungan diplomatik dengan
Soviet Union dan beberapa negara Eropah Timur. Fasa ini dilihat sebagai berlakunya transisi
di dalam pola dasar luar Malaysia refleksi dari era konfrontasi Indonesia.

ASEAN merupakan manifestasi perubahan sikap ke arah kerjasama serantau dari


Tunku. Ditubuhkan pada 8 Ogos 1976. Hasil aspirasi lima Menteri Luar dari lima buah negara
yang telah menandatangani Deklarasi Bangkok. ASEAN merupakan wadah yang dapat
menampung aspirasi kesemua negara anggota. Thailand mengharapkan penyertaan
Indonesia mejadikan organisasi tersebut sebagai kekuatan yang efektif bagi tujuan keamanan
dan kerjasama. Bagi Singapura, ASEAN memberi keutamaan untuk mengadakan gabungan
dengan negara-negara jiran yang lebih besar dengan asas persamaan dan membuktikan
kerelaan pemimpin Cina mengikat pertalian dengan sebuah Persekutuan Asia Tenggara yang
terdiri daripada pelbagai bangsa.

2.2 DASAR LUAR MALAYSIA DI BAWAH PERDANA MENTERI KEDUA

Dalam aspek politik keperibadian Tun Abdul Razak yang mementingkan kerjasama
dengan negara-negara tetangga jelas tercermin melalui penyertaan aktif negara di dalam
ASEAN. Dalam usaha mencari sahabat baru dalam kalangan negara Afro-Asia sahabat lama
seperti Barat tidak ditinggalkan. Malaysia masih meneruskan keanggotaannya di dalam
pertubuhan Komanwel dan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bagaimanapun
tumpuan hubungan difokuskan kepada negara anggota ASEAN yang bersifat serantau
berbanding PBB dan Komanwel yang bersifat global.

4
Beberapa perubahan telah digagaskan oleh Tun Abdul Razak. Dari sudut objektif
antara lain, pertama, mempromosi kerjasama dalam keamanan serantau. Untuk itu gaya
dasar luar ialah regionalisme yang orientasinya ke arah solidariti negara-negara Asia
Tenggara. Kedua, hal ini ditunjang melalui strategi memperluas peranan organiasasi serantau
dengan cara penyertaan secara aktif dalam organisasi ASEAN. Bagi Tun Abdul Razak
kerjasama dan keamanan serantau merupakan faktor penting bagi mewujudkan kemajuan
sosial, ekonomi dan seterusnya menyumbang terhadap kestabilan politik negara.

Bagi memenuhi objektif ini Malaysia berpartisipsi aktif di dalam mewujudkan


pertubuhan-pertubuhan serantaun seperti ASEAN, ECAFE, Rancangan Colombo, Bank
Pembangunan Asia, Southeast Asean Ministers of Education Organization (SEAMEO) dan
ASEAN and Pasific Council (ASPAC). Malahan pada tahun 1970 penubuhan Persatuan
Negara-negara pengeluar Getah dan Persidangan Menteri-menteri Asia Tenggara bagi
Rancangan Keluarga dan Kependudukan merupakan hasil insiatif Malaysia.

Manakala diplomasi Pan-Islam merupakan kesan pengalaman peribadi Tun Abdul


Razak dalam era konfrontasi ketika negara sukar meraih sokongan dari kelompok negara-
negara Islam kerana dasar pro-barat Tunku. Dasar yang telah dimulakan ketika era
konfrontasi ini diteruskan ketika Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri. Bagi
meningkatkan diplomasi Pan-Islam perwakilan-perwakilan diplomatic dihantar ke Asia Barat
seperti Morocco, Kaherah, Lebanon dan Tehran. Hubungan dengan negara-negara Islam
diperkukuhkan lagi melalui perjanjian yang bersifat bilateral mahupun multilateral dengan
negara-negara Asia Barat bagi meningkatkan kerjasama teknikal, ekonomi dan budaya.
Negara-negara seperti Arab Saudi, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Bahrin di
antara beberapa negara yang menonjol di dalam hubungan kerjasama tersebut.

Diplomasi Pan-Islam juga bersesuaian dengan gaya dasar luar Malaysia era Tun
Abdul Razak iaitu solidarity Islam dengan menyatakan sokongan terhadap negara-negara dan
pertubuhan Islam di peringkat antarabangsa. Malaysia menyatakan sokongan terhadap
negara-negara Arab dan Palestin dalam mencari tuan rumah Konferensi Kelima Menteri-
Menteri Luar Islam di Kuala Lumpurnpada 21-25 Jun 1974. Selepas persidangan tersebut
Malaysia memainkan peranan aktif di dalam Organization of Islamic Conference (OIC). Ketiga
,berusaha menjayakan gagasan PBB dengan cara menjayakan tujuan-tujuan umum dan
khusus organisasi antarabangsa ini. Malaysia turut serta secara aktif di dalam agensi-agensi
khusus badan dunia ini. Keempat, negara mengambil sikap proaktif dalam meningkatkan
hubungan persahabatan dengan negara-negara Dunia Ketiga. Peningkatan hubungan
dengan Dunia Ketiga sebenarnya telah dimulai oleh Tun Abdul Razak ketika beliau menjadi
Timbalan Perdana Menteri kepada Tunku lagi. Ianya merupakan strategi Tun Abdul Razak

5
bagi mendapatkan sokongan kelompok negara tersebut bagi menghadapi ancaman
konfrontasi Indonesia sama strategi negara ketika menjalinkan hubungan dengan kelompok
negara-negara Islam. Malaysia merupakan negara antikolonialisme melalui sokongan
terhadap gerakan-gerakan pembebasan dan perjuangan menegakkkan hak asasi manusia.
Kelima, melakukan pemulihan hubungan diplomatik. Hal ini bertepatan dengan dasar
berkecuali Malaysia yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara Eropah
Timur dan Barat. Malaysia juga turut mengiktiraf kerajaan baru Indochina melalui ASEAN.

Dalam aspek ekonomi keperibadian Tun Abdul Razak sebagai seorang negarawan
yang unggul mendorong beliau menjalankan dasar nasionalisme ekonomi. Dasar ini bertujuan
mengurangkan dominasi syarikat-syarikat asing ke atas sumber asli negara. Beberapa
tindakan telah diambil oleh beliau: (1) Meluluskan akta pembangunan petroleum pada tahun
1975. (2) Melalui Pernas memperoleh pengawalan kepentingan di dalam pelbagai syarikat.
(3) Merangka petunjuk bagi perolehan aset penyatuan dan pengambilalihan dalam komoditi
pelaburan asing pada tahun 1974. (4) Pelaburan asing hanya dibenarkan dalam lapangan-
lapangan yang bersifat selektif.

Obejktif dasar luar ekonomi ialah menjayakan pembangunan ekonomi dan


menstabilkan sumber pendapatan daripada komoditi utama. Manakala gaya dasar luar
ekonomi betsifat global dengan cara menyokong dan memastikan tujuan pertubuhan yang
disertai tercapai. Untuk itu, Malaysia menggunakan pendekatan proaktif melalui penglibatan
yang berkesinambungan di dalam aktiviti badan dan pertubuhan antarabangsa seperti:
International Tin Organization (ITC), General Agreement on Tariff and Trade (GATT), United
Nations Conference on Trade anf Developmet (UNCTAD), International Monetary Fund (IMF),
United Nation Economic and Social Council (ECOSOC), Asian Development Bank (ADB),
European Economic Community (EEC), United Nation Reconstruction and Development
(IBRD). Melalui penyertaan yang akan Malaysia memperoleh pelbagai bantuan dari agensi-
agensi tersebut seperti kepakaran teknikal, bantuan dana dan biasiswa.

Bagi menjamin pencapaian objektif-objektif tersebut beberapa strategi telah


diaplikasikan. Pertama, menyertai kelompok perdagangan dan penstabilan harga getah.
Kedua, tumpuan diberikan kepada industri yang berpotensi dengan menggalakkan beberapa
jenis pelaburan asing. Ketiga, menimba teknik dari negara kapitalis bagi mencapai
penguasaan ke atas ekonomi.

Seterusnya, beberapa tindakan telah disusuli seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB
dijadikan asas dalam Rancangan Lima Tahun Kedua Malaysia 1971-1975. Seterusnya juga,
menghadiri persidangan UNCTAD III, dengan menyokong dasar isu pembangunan pada
tahun 1971. Selain itu, melibatkan diri dalam forum-forum antarabangsa bersama dengan

6
kelompok-kelompok Negara Dunia Ketiga memperjuangkan Tatanan Baru Ekonomi Dunia.
Seterusnya juga, menyertai Perundingan Multilateral di Tokyo 1973-1975. Tindakan
selanjutnya menyertai perjanjian Gula Antarabangsa (1973).

Tun Abdul Razak melakukan perubahan drastik dengan menamatkan dasar pro-barat
dan antikomunis yang keterlaluan ke arah dasar yang berkecuali. Melalui dasar ini Malaysia
tidak campur tangan di dalam urusan domestik negara luar dengan berpegang kepada prinsip
menghormati integrity dan kedaulatan politik negara lain. Dalam interaksinya dengan dunia
antarabangsa Malaysia mengadakan hubungan bilateral dan multilateral serta bersahabat
dengan semua negara tanpa mengambil kira fahaman politik negara tersebut.

Pada asalnya konsep pengecualian ini diusulkan oleh Tun Dr. Ismail di parlimen pada
23 Januari 1968. Di dalam kertas kerja yang dinamakan Rancangan Keamanan Ismail beliau
menyarankan konsep neutralisasi bagi negara-negara asia tenggara. Konsep ini diharap
mendapat jaminan dari kuasa-kuasa besar di dunia melalui penandatanganan perjanjian tidak
bermusuhan dan pengisytiharan dasar hidup bersama. Konsep ini telah diterima oleh Tun
Abdul Razak bagi mengisi acuan dasar luar Malaysia ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Beliau bertanggungjawab mempopularkan sekaligus menjadikan konsep tersebut sebagai
tiang dasar luar Malaysia era beliau.

Tun Abdul Razak turut memperjuangkan konsep pengecualian dijadikan asas di dalam
dasar luar ASEAN. Dasar berkecuali mencerminkan keperibadian beliau yang pragmatis
sesuai dengan senario politik pascaperang dingin. Amerika Syarikat dan Uni Soviet
mengurangkan ketegangan hubungan di bawah dtente, Malaysia mengambil pendirian
berkecuali dan bersahabat dengan semua negara bagi menjaga kepentingan negara di dalam
pergolakan antarabangsa. Dalam masa yang sama Malaysia meneruskan hubungan
diplomatik dengan Negara-negara Blok Timur. Menurut beliau konsep neutralisasi merupakan
cara efektif bagi mengelak campur tangan kuasa-kuasa besar di Asia Tenggara.

Selain itu juga, Tun Abdul Razak memanfaatkan kondisi yang terbuka luas untuk
Malaysia menjalankan dasar luar berkecuali. Ini kerana pascakonfrontasi, London telah
memutuskan dasar pengunduran ketenteraan dari Timur Suez kerana masalah kewangan
yang dihadapi British. Ini bermakna AMDA sudah berakhir dan Malaysia perlu memikul sendiri
bertanggungjawab menjaga keselamatannya. AMDA telah digantikan dengan Five Power
Defense Arrangement (FIDA) yang mengikat Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura,
dan Britain. Zone of Peace , Freedom And Neutrality (ZOPFAN) telah diorbitkan oleh Tun
Abdul Razak serta menjelaskan bahawa ZOPFAN ini amat sesuai bagi memelihara dan
mengekalkan kestabilan kawasan serantau. Beliau telah membentuk dasar yang condong ke
arah Pro-Amerika dan menyokong negara berkenaan dalam persaingannya dengan kuasa

7
besar lain terutamanya China. Dasar luar yang dibentuk oleh Tun Abdul Razak tidak
menyokong mana-mana kuasa besar. Beliau berpendapat bahawa Malaysia harus berkecuali
dalam sebarang tindak-tanduk kuasa-kuasa besar.

2.3 DASAR LUAR MALAYSIA di BAWAH PERDANA MENTERI KETIGA

Tun Husein Onn telahn membentuk satu dasar luar yang mempunyai matlamat
berkecuali dan berpendirian sama jarak. Dasar ini termasuk kerjasama dengan semua negara
tanpa mengira ideologi atau sistem sosial negara tersebut. Dasar yang dibentuk oleh Malaysia
berasaskan persahabatan dan saling hormat-menghormati, tidak campur tangan dan
mengekal prinsip kewilayahan serantau. Menerusi dasar ini, Malaysia menjalin hubungan
yang erat dengan semua negara di Asia Tenggara dan menjalin tali persahabatan dengan
negara-negara Indochina, terutamanya Republik Demokratik Vietnam. Hubungan diplomatik
Malaysia-Vietnam adalah sebagai satu sumbangan terhadap perkembangan dan keteguhan
kerjasama serantau. Malaysia mempertahankan Deklarasi Berkecuali (1971) ASEAN. Dari
aspek kerjasama serantau, dasar luar Malaysia telah ditumpukan kepada hubungan
persahabatan yang teguh terutamanya dengan Vietnam. Pada tahun 1975, Malaysia telah
memperbaharui hubungan rasmi dengan negara baru iaitu Republik Sosialis Vietnam
(penyatuan negara Vietnam Selatan dan Vietnam Utara).

Pembentukan hubungan diplomatik Malaysia-Vietnam merupakan sebahagian dari


matlamat jangka panjang dasar luar Malaysia dalam mengekalkan konsep zon berkecuali.
Usaha Malaysia ke arah mewujudkan hubungan diplomatik dengan Hanoi adalah azam Kuala
Lumpur yang bertindak sebagai jambatan bagi menghubungkan ASEAN dengan Vietnam.
Hubungan Kuala Lumpur-Hanoi dimeterai secara rasmi pada tahun 1978 iaitu sebelum
pencerobohan Vietnam ke atas Cambodia. Lawatan Pham Van Dong , Perdana Menteri
Vietnam ke Malaysia dan dua buah negara ASEAN merupakan isyarat bahawa Vietnam
berazam untuk mengekalkan persahabatan dengan Malaysia dan ASEAN.

Memandangkan hubungan Hanoi dengan China dan Kampuchea kian merosot,


Vietnam bersedia untuk berbincang mengenai konsep ZOPFAN dengan ASEAN. Di samping
itu, Pham Van Dong akan membuat pengumumam rasmi bahawa Hanoi tidak akan membantu
pergerakan pengganas komunis di Thailand dan Malaysia. Sengketa Vietnam-China dan
Vietnam-Kampuchea semakin meruncing akibat pertikaian China-Rusia. Dalam keadaan ini,
Moscow telah memberi sokongan kepada Vietnam. Beijing pula mengukuhkan sokongannya
terhadap Kampuchea. Manakala hubungan Malaysia-China di sekitar tahun 1975-1978,
secara perbandingan tidak begitu mesra. Ini disebabkan oleh sokongan yang berterusan yang
diberikan oleh China kepada PKM. Situasi ini menyebabkan Malaysia berwaspada dalam
menjalinkan hubungan mesra dengan China. Lawatan Perdana Menteri China ke Malaysia

8
merupakan kunjungan balas di atas lawatan Tun Abdul Razak Hussein ke Beijing pada tahun
1974. Namun begitu, tujuan utama di sebalik kunjungan Perdana Menteri China itu adalah
untuk mengetepikan pengaruh Vietnam dan Rusia di kawasan serantau. Malaysia pula tidak
mahu diseret ke dalam kancah politik antarabnagsa China iaitu sengketa China-Vietnam dan
pertikaian China-Rusia.

Kenyataan Perdana Menteri China mengenai isu sensitive iaitu rakyat keturunan Cina
di Malaysia dan keengganan beliau untuk memberi jaminan bahawa China akan
menghentikan sokongan moral kepada PKM, bukan sahaja menimbulkan sikap tidak senang
tetapi juga membimbangkan Malaysia. Perdana Menteri China menegaskan bahawa China
tidak akan mengiktiraf kewarganegaraan kembar (dual nationality) kepada rakyat China yang
bermastautin di Malaysia. Malaysia juga tidak begitu senang dengan pendirian Deng
Xiaopeng mengenai hubungan Parti Komunis China dan Parti Komunis Malaya (PKM).
Berkaitan dengan hal ini, Deng Xiopeng menyatakan bahawa perhubungan antara parti
dengan parti lain dan tidak ada kaitan dengan hubungan negara dengan negara. Kenyataan
Perdana Menteri China ini meyebabkan Malaysia mengamalkan dasar yang lebih berwaspada
terhadap Beijing.

Secara relatif, Malaysia lebih bersemangat untuk mengadakan hubungan diplomatik


dengan Hanoi daripada China. Namun begitu, China hanya memperoleh faedah dan
kepentingan yang sedikit sekali daripada hubungan diplomatiknya dengan Malaysia. pada
keseluruhannya, dasar luar Malaysia di bawah pimpinan Tun Hussein Onn ditumpukan
kepada keselamatan negara dan kerjasama serantau khususnya di kalangan negara-negara
ASEAN. Berasaskan kepada pergolakan di Indochina, Malaysia mengamalkan sikap berhati-
hati dan mengekalkan hubungan sikap berjati-hati dan mengekalkan hubungan sama jarak
dasar luarnya.

2.4 DASAR LUAR MALAYSIA di BAWAH PERDANA MENTERI KEEMPAT

Pelantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia yang
keempat pada tahun 1981, telah mengubah corak penglibatan Malaysia dalam hal-ehwal
antarabangsa. Malaysia menyaksikan peralihan yang penting dan penekanan yang tegas
dalam perlaksanaan dasar luarnya. Sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir bertindak sebagai
perintis dalam pelbagai dasar yang dianggap tepatb sebagai dimensi baru dasar luar
Malaysia.

Dasar luar Malaysia ditumpukan khusus ke atas konsep kewilayahan serantau iaitu
ASEAN, Dasar Pandang ke Timur, Kerjasama Malaysia Dengan Negara-Negara Dunia Ketiga
dan Negara-Negara Islam, Interaksi Dalam Sistem Ekonomi Antarabangsa dan komitmen
yang positif terhadap prinsip Dasar Berkecuali Malaysia. Malaysia telah memainkan peranan

9
utama dan aktif bagi mewujudkan kerjasama serantau menerusi usaha pembentukan institusi-
institusi serantau. Pembentukan institusi-institusi ini mengerakkan satu kesedaran baru
kerjasama serantau dan dialog yang lebih aktif. Konsep keserantauan dan Prosper Thy
Neighbour menjadi batu asas dan keutamaan dalam dasar luar Malaysia. Tun Dr. Mahathir
telah menyerapkan satu semangat baru ke atas inisiatif yang aktif dan satu tahap kerjasama
politik yang lebih intensif di Asia Tenggara.

Objektif utama penubuhan ASEAN pada tahun 1967 ialah mewujudkan kerjasama
ekonomi. Tetapi, pergolakan yang berlaku di Indochina menyebabkan ASEAN menukar fokus
ke arah kerjasama politik. Pada peringkat awal, isu politik utama dihadapi ASEAN ialah
pencerobohan Vietnam ke atas Cambodia. Kejatuhan Regim Pol Pot pada tahun 1979 dan
pendudukan tentera Vietnam di Cambodia telah membimbangkan negara-negara anggota
ASEAN. Kehadiran tentera Vietnam merupakan satu elemen yang mengancam keselamatan
nasional. Pendirian Malaysia telah ke atas isu ini dirumuskan sebagai mengiktiraf Kerajaan
Pol Pot dan menentang pencerobohan Vietnam ke atas Kampuchea (Cambodia) serta tidak
mengiktiraf Regim Heng Samrin. Pendirian ini merupakan pendirian keseluruhan ASEAN.

Usaha Malaysia dan negara-negara ASEAN untuk menyekat Regim Heng Samrin
daripada memperoleh kerusi perwakilan bagi rakyat Kampuchea (Cambodia) di PBB ternyata
mencapai kejayaan. Dengan terbentuknya Kerajaan Campuran Demokratik Kampuchea yang
dipimpin oleh Putera Norodom Sihanouk, terbukti Malaysia telah membuat sumbangan yang
konkrit dan kukuh. Penubuhan kerajaan campuran ini dimeterai di Kuala Lumpur pada Jun
1982. Inisiatif aktif Dr. Mahathir dalam ASEAN telah berjaya membawa masuk negara-negara
Indochina (Vietnam, Laos, Cambodia) ke dalam ASEAN.

Dimensi baru dasar luar Malaysia yang mempunyai rangkaian implikasi yang luas ialah
Dasar Pandang Ke Timur. Dasar ini memberi petanda bahawa Malaysia cuba menukar haluan
tradisinya yang bergantung kepada Britain. Dasar ini bukan sahaja dilihat sebagai elemen
penting untuk mencontohi nilai-nilai kejayaan Jepun, tetapi ternyata dasar ini merupakan anti-
British. Dasar ini boleh dianalisis kepada dua peringkatb iaitu peringkat negatif dan positif. Di
peringkat negatif, dasar ini dianggap sebagai anti-British pentadbiran Dr. Mahathir. Keadaan
ini ditunjukkan menerusi dasar dan tindakan kedua-dua kerajaan. dasar Kerajaan British
terhadap pelajar-pelajar Malaysia merupakan bukti yang kukuh. Dasar Kerajaan British
menaikkan kadar bayaran pengajian bagi pelajar-pelajar asing menyebabkan hubungan
antara Malaysia-Britain menjadi dingin dan merosot. Hubungan ini semakin meruncing
berikutan dengan pengambilahan Guthrie, syarikat gergasi British yang mempunyai
kepentingan dan pelaburan terbesar di Malaysia, menerusi Permodalan Nasional Berhad
(PNB). Pengambilalihan ini dikatakan sebagai satu percaturan peraturan yang dimainkan oleh

10
London Stock Exchange. Hubungan Malaysia-Britain sampai ke tahap terakhir apabila Dr.
Mahathir mengumumkan dasar Buy British Last .

Dasar dan pendirian Dr. Mahathir ternyata tegas apabila beliau tidak hadir Mesyuarat
Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel yang berlangsung di Canberra, Australia pada tahun 1982.
Tindakan Dr. Mahathir merupakan satu isyarat jelas dan tegas terhdap sikap dan tiondakan
Britain yang tidak peka terhadap kepentingan Malaysia. Pada tahun 1982, Lord Carrington
Setiausaha Luar Britain mengunjungi Kuala Lumpur bagi memperbaiki keadaan. Bagi
menunjukkan bahawa Malaysia tidak menaruh sebarang syak wasangka terhadap Britai, Dr.
Mahathir telah menandatangani satu perjanjian untuk membeli 51 buah kereta perisai dan
kereta kebal Scorpion British yang menelan belanja kira-kira RM100 juta. Namun demikian,
hubungan Malaysia-Britain melalui suasana perubahan. Dr.Mahathir mempunyai alasan
tersendiri bagi mengubah pemikiran dan dasar beliau. Ini dibuktikan menerusi persetujuan
dan kesediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan
Komanwel yang berlangsung pada Oktober 1989 di Kuala Lumpur. Mesyuarat ini
menghasilkan satu kejayaan dalam hubungan Britain-Malaysia. Dame Margaret Thatcher,
Perdana Menteri Britain pada ketika itu, telah menandatangani perjanjian dua hala mengenai
pengedar-pengedar dadah.

Dasar luar Dr. Mahathir juga ditumpukan kepada Isu Antartika. Isu ini telah ditimbulkan
buat pertama kalinya oleh beliau selaku Perdana Menteri Malaysia ketika berucap dalam Sesi
37 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 1982. Dalam
Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada Mac 1983, sekali lagi
Dr. Mahathir megemukakan isu ini. Malaysia telah berjaya mendapat sokongan dan
pengiktirafab NAM supaya PBB menjalankan kajian menyeluruh mengenai Antartika dalam
Sesi 39 Perhimpunan Agung PBB. Satu ketetapan telah diambil dalam Sesi 38 Perhimpunan
Agung PBB supaya Setiausaha Agung PBB dapat membuat kajian menyeluruh mengenai isu
Antartika dan pengagihan sumber-sumber asli yang terdapat di wilayah tersebut. Malaysia
telah berjaya mendapat sokongan dan ketetapan bagi memasukkan isu pengagihan sumber
asli Antartika dalam agenda PBB dalam tahun 1984. Namun begitu, Malaysia gagal
mendapatkan ketetapan bagi penubuhan sebuah jawatankuasa PBB untuk mengantikan
Sistem Perjanjian Antartika. Kegagalan ini disebabkan oleh bantahan dari negara-negara
Sistem Perjanjian Antartika iaitu Amerika Syarikat dan Rusia.

Malaysia berpendapat bahawa benua Antartika amat penting segi pengaruhnya


terhadap ekologi, alam sekitar dan cuaca dunia. Di benua Antartika masih terdapat 90%
bekalan air mentah (air tawar) dalam bentuk ais dan salji. Wilayah Antartika juga mengandungi
bekalan bahan mentah dan galian seperti besi, arang batu, uranium, timah, emas dan lain-

11
lain lagi. Berasaskan kepada fakta ini, Malaysia mencadangkan supaya benua Antartika
dijadikan warisan bersama bagi faedah seluruh penduduk dunia. Konsep bersama ini
mengandungi matlamat-matlamat iaitu sumber-sumber asli Antartika hendaklah digunakan
bagi faedah manusia, ekologi dan alam sekitar Antartika dipelihara, kerjasama dan
penyelarasan antarabangsa dalam kajian saintifik hendaklah dilaksanakan, dan wilayah
Antarika hendaklah bebas dari senjata nuclear, aktiviti ketenteraan dan tempat bagi
perlucutan semua jenis senjata.

Dasar luar Malaysia bukan sahaja ditumpukan ke Timur (Jepun dan Korea) bahkan
dasar luar Malaysia ditumpukan ke atas negara-negara dunia ketiga (negara-negara kecil dan
miskin). Negara-negara ini disifatkan sebagai satu kumpulan yang dinamakan Negara
Selatan Selatan (G15). Malaysia berpendapat bahawa kemiskinan negara selatan adalah
disebabkan oleh negara-negara maju dan kaya iaitu negara-negara utara. Dasar ekonomi
negara-negara utara amat ketara, terutamanya cukai yang dikenakan ke atas barangan yang
diimport dari negara-negara selatan, syarat-syarat pinjaman yang ketat dan pelbagai sekatan
lain. Tekanan ekonomi ke atas negara-negara selatan oleh negara-negara kaya
menyebabkan Malaysia mengemukakan cadangan bagi penubuhan sebuah suruhanjaya
yang dinamakan Suruhanjaya Selatan-Selatan. Tujuan dan matlamat suruhanjaya ini ialah
untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh negara-negara selatan akibat dasar
ekonomi negara-negara utara, mengalakkan kerjasama ekonomi dan teknikal di kalangan
negara-negara membangun.

Forum Kerjasama Selatan-Selatan telah menghasilkan pembentukan Kumpulan Lima


Negara atau G-15 pada tahun 1989 di Belgrade. Kumpulan ini dianggotai oleh negara-negara
Algeria, Argentina, Brazil, Chile, Mesir, India, Indonesia, Jamaica, Kenya, Malaysia, Mexico,
Negeria, Peru, Senegal, Sri Lanka, Venezuela, Yugoslavia dan Zimbabwe. Dalam Sidang
Kemuncak G-15 yang berlangsung pada Februari 1999 di Jamaica, kumpulan negara dunia
ketiga ini semakin bertanggungjawab dan bersatu padu bagi menangani pelbagai cabaran
terutamanya terhadap keperluan mengubah sistem kewangan antarabangsa. Krisis
kewangan yang melanda kawasan serantau Asia telah memperlihat perubahan kepada
negara-negara ahli, terutamanya untuk mencari jalan penyelesaian bersama bagi melindungi
negara-negara anggota daripada ancaman akibat tindakan pasaran kewangan. Bagi
membendung masalah ini, negara-negara anggota G-15 telah mengambil satu pendirian
bersama iaitu mengemukakan usul reformasi ke atas Sistem Kewangan Antarabangsa. Atau
lebih tepat, Dr. Mahathir telah mencadangkan penubuhan sebuah arkitek kewangan dan
keperluan untuk mengadakan kawalan dalam pasaran kewangan. Ketua-ketua Kerajaan G-
15 berpendapat bahawa arkitek kewangan antarabangsa tidak perlu megikut telunjuk IMF,
Bank Dunia dan negara-negara kaya. Cadangan dan kenyataan ini telah diperjelaskan oleh

12
Dr. Mahathir dalam Sidang Kemuncak Kesembilan G-15. Malaysia telah diberi peluang untuk
berkongsi pengalaman, pengetahuan dan menerangkan langkah-langkah yang telah
dilaksanakan bagi menyelesaikan krisis kewangan yang melanda negara ini pada tahun 1997-
1998.

Dalam tempoh 22 tahun memimpin negara Malaysia, Dr. Mahathir telah menumoukan
daya usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah negara jiran menerusi konsep Prosper
Thy Neighbour. Beliau juga telah mencadangkan penubuhan East Asia Economic Causus
(EAEC) seperti mana NAFTA di Amerika dan EU di Eropah. Dalam usaha dan matlamat
beliau untuk mewujudkan sebuah dunia yang adil dan saksama serta mempertahankan hak
mutlak negara-negara dunia ketiga, Dr. Mahathir telah mempelopori Dialog Antarabangsa
Langkawi (LID) dan Southern African International Dialogue (SAID) . Kedua-dua dialog ini
telah membawa pemimpin-pemimpin Afrika dan Asia untuk mencari penyelesaian ke atas
masalah-masalah bersama dan belajar dari pengalaman antara satu sama lain.

13
KESIMPULAN

Teras dasar luar Malaysia adalah untuk memperkukuhkan pertalian persahabatan


dengan negara-negara jiran menerusi satu pakatan serantau iaitu pertubuhan Negara-Negara
Asia Tenggara atau ASEAN. Malaysia telah menganggotai ASEAN pada tahun 1967.
Sebelum ASEAN ditubuhkan, Malaysia telah menanggotai pertubuhan serantau yang dikenali
ASA (Association of Southest Asia). Selain Malaysia , ASA dianggotai oleh negara Filipina
dan Thailand. ASEAN bukan satu perkataan tentera ia satu persetujuan antara negara-negara
Asia Tenggara yang terdiri dari Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Filipina bagi
menjalin hubungan kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Selain ASEAN,
Malaysia telah menyertai beberapa pertubuhan lain yang terdahulu iaitu ASA dan
MAPHILINDO.

14

Você também pode gostar