Você está na página 1de 1

Antara Ibadah Dan Adat

Pada hari ini jika kita lihat telah banyak berlaku percampuran ibadat dan adat yang mana adat
dikatakan ibadat dan ibadat pula dikatakan sebagai adat. Ini disebabkan oleh kejahilan sesetengah
masyarakat yang menerima amalan atau mewarisi adat terus dari ibu bapa mereka atau orang-orang
tua secara membuta-tuli tanpa ada keinginan untuk belajar atau mengkaji sesuatu perbuatan tersebut
adakah dibenarkan dalam Islam atau sekadar adat semata-mata.

Contoh yang berlaku pada hari ini ialah bersedekah kerana adat seperti memberikan sumbangan ketika
kenduri nikah kahwin. Umum mengetahui bahawa perkahwinan merupakan salah satu ibadah yang
besar yang boleh menyebabkan syaitan meraung kekecewaan dan mengadakan walimatul urus atau
majlis kenduri merupakan salah satu tuntutan agama dan orang yang menerima jemputan adalah
menjadi kewajipan ke atasnya untuk menghadiri kenduri tersebut (kecuali uzur atau majilis dicemari
maksiat). Namun kesucian ibadah nikah kahwin ini telah dicemari oleh beberapa perkara adat yang
dianggap wajib dilaksanakan tanpa mengira perbuatan tersebut bersesuaian dengan tuntutan agama
atau tidak contohnya seperti memberikan sumbangan (secara terpaksa) yang sememangnya masih
menjadi amalan di kalangan kita. Adat memberikan sumbangan secara terpaksa ini akan menimbulkan
kesan negatif sama ada dari sudut rohani atau jasmani kerana orang yang tidak berupaya sudah tentu
akan merasa malu untuk menghadiri majlis kenduri tersebut atau beliau sanggup berhutang semata-
mata untuk menghadiri kenduri kahwin. Bagi yang masih tidak mampu untuk mendapatkan wang maka
keinginanan menghadiri majlis tersebut akan terhalang dan mereka akhirnya tidak dapat menghadirinya
kerana malu tidak memberikan sumbangan. Jika sekirannya pada satu hari tersebut si miskin menerima
jemputan sehingga 4 kenduri kahwin, macam mana? Setiap majlis memerlukan kepada RM10! Tidak ini
membebankan?

Anjuran Islam untuk mengadakan majlis kenduri kahwin sebenarnya adalah untuk kebaikkan bersama
masyarakat itu sendiri iaitu mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama masyarakat tanpa mengira darjat
atau pangkat, miskin atau kaya, cacat atau tidak dan sebagainya. Namun perbuatan sumbangan paksa
tersebut walaupun di anggap tidak menyusahkan oleh tuan kenduri namun ianya belum tentu
menyenangkan orang yang kurang upaya dari sudut kewangan atau miskin, perbuatan ini akan
menyebabkan golongan miskin atau sederhana tidak mampu untuk bersama-sama dengan orang lain di
dalam satu majlis yang dikira sebagai ibadah ini.

Tuan kenduri mungkin ingin mengadakan kenduri besar-besaran tanpa melihat kepada keupayaan diri
dan tidak melihat sama ada perbuatan tersebut adalah perlu atau satu pembaziran sahaja. Mereka
sanggup berhutang, bergadai semata-mata untuk mengadakan majlis kenduri kahwin secara besar-
besaran dan mengharapkan agar segala hutang mereka tadi akan dapat ditimbus kembali dengan
sumbangan paksa dari jemputan mereka. Malah kemungkinan mereka akan mendapat keuntungan
berganda lagi dari hasil sumbangan paksa orang ramai tersebut!!! Macam perniagaan pulak.

Terdapat kes seorang pemuda membuat pinjaman bank semata-mata untuk membayar mas kahwin dan
mengadakan majlis perkahwinanya dan akhirnya selepas itu setiap bulan duit mereka dihabiskan hanya
untuk membayar duit pinjaman bank tersebut untuk lebih 10 tahun ke depan! Tidakkah ini
menyusahkan?

Golongan-golongan yang merasa terpaksa untuk memberikan sumbangan ini akan sudah tentu akan
merasa malu untuk tidak memberikan sumbangan apatah lagi jika sekiranya sumbangan tersebut
berbentuk tetap dan tuan rumah pula seorang yang disegani maka sudah tentu merupakan perkara yang
memalukan jika sekiranya tidak melakukannya. Orang akan kata kedekut! Orang ramai mungkin berkata
: Ala, sedekah pun nak berkira ke? - Betul ke ini dikira sedekah?

Seorang sahabat bernama Saad bin Ubbad telah bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w "Ya, Rasulullah,
sesungguhnya ibu saya telah meninggal dunia. Apakah sedekah yang paling afdhal untuk dihadiahkan
kepada ibuku? Jawab Rasulullah : Sedekah air. Setelah Saad bin Ubbad mendengar pesanan
Rasulullah s.a.w maka Saad pun berusaha menggali telaga dengan susah payah dan setelah didapati
telaga yang digali itu terdapat sumber air di bawah tanah maka Saad pun mewaqafkan telaga itu
untuk orang ramai minum, mandi, membasuh pakaian, tubuh badan, tempat tinggal, kenderaan dari
segala kekotoran dan najis."

Você também pode gostar