Você está na página 1de 8

BMM 3111 [SEMANTIK DAN PERISTILAHAN BAHASA MELAYU]

ANALISIS KETAKSAAN MAKNA DALAM PETIKAN

Masyarakat Melayu kaya dengan peribahasanya yang tersendiri. Keadaan ini menunjukkan
bahawa masyarakat Melayu mempunyai cara yang unik untuk menggambarkan sesuatu perasaan,
keadaan dan suasana. Perkara yang ingin digambarkan ini dikuatkan dengan penggunaan peribahasa
yang sesuai. Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas,
mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Peribahasa tradisi merujuk kepada
peribahasa yang digunakan dalam pertuturan seharian atau secara bercetak sebelum tarikh
kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk kata-kata yang dicipta selepas tarikh tersebut.
Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu. Keindahan
peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan dan dapat membina minda
penggunanya.

Berdasarkan petikan yang dikaji, terdapat empat peribahasa yang boleh dianalisis iaitu bersatu
teguh, bercerai roboh, sepakat membawa berkat, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan
bagai aur dengan tebing. Keempat-empat peribahasa ini seakan-akan menunjukkan makna yang
sama namun begitu terdapat ketaksaan makna yang tersirat di antara keempat-empat peribahasa ini.
Peribahasa yang dianalisis ini sesuai digunakan untuk menunjukkan semangat kerjasama antara satu
sama lain. Peribahasa yang terkandung dalam petikan ini adalah berkaitan dengan semangat
kenegaraan dan berfokus untuk mencapai kesejahteraan hidup. Oleh itu, peribahasa yang digunakan
ini amat tepat dan bersesuaian dengan tajuk petikan.

BERSATU TEGUH, BERCERAI


1)
ROBOH
Peribahasa pertama yang akan dianalisis ialah bersatu teguh bercerai roboh. Bersatu teguh
bercerai roboh merupakan satu cogan kata yang dalam maknanya untuk diamalkan oleh manusia
sejagat demi mencapai kesejahteraan hidup. Cogan kata ini menggesa seluruh masyarakat bersatu
dan berganding bahu dalam melakukan sesuatu pekerjaan atau menyelesaikan sesuatu masalah
supaya mereka dapat hidup dalam suasana yang sejahtera, utuh, dan harmoni. Sebaliknya, jika kita
bercerai-cerai, berpecah-belah, dan mementingkan diri sendiri, kita akan mengalami huru-hara dan
kehancuran.Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum, kita
haruslah menghayati peribahasa ini dengan hidup bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, dan
BMM 3111 [SEMANTIK DAN PERISTILAHAN BAHASA MELAYU]

adat resam. Bagi mencapai kemajuan negara, masyarakat harus hidup dalam suasana aman dan
damai.

Pada pandangan kami, maksud peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh ialah kita akan
menjadi kuat apabila bersatu, tetapi apabila kita tidak bersatu kita akan goyah. Dalam konteks ini,
sesuatu perkara akan dapat dilakukan atau dilaksanakan sekiranya masyarakat bersama-sama
berganding bahu melakukannya, tetapi sekiranya tiada semangat kerjasama maka sesuatu perkara itu
tidak akan terlaksana dan tidak menampakkan hasilnya. Perspektif lain yang dapat kami berikan
berdasarkan pandangan kami berkaitan peribahasa ini ialah apabila sesebuah masyarakat itu
mempunyai pertalian atau semangat kerjasama yang kuat maka sebarang ancaman atau cabaran
akan dapat dihadapi dengan jayanya, tetapi sekiranya mereka tidak bersatu anasir buruk itu akan
melanda dan akan memusnahkan masyarakat tersebut. Berdasarkan peribahasa ini juga kita dapat
simpulkan bahawa semangat atau perhubungan yang kuat antara sesama manusia akan membuatkan
sesebuah masyarakat itu kelihatan kuat dan mantap. Namun apabila tiada ciri-ciri tersebut,
masyarakat itu akan kelihatan lemah dan mudah diporak-perandakan.

Menurut pengkaji bahasa, peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh ini dapat ditakrifkan
sebagai persefahaman dalam sesebuah masyarakat yang dapat membuahkan kejayaan
manakala perbalahan akan menyebabkan berlakunya perpecahan. Definisi lain bagi peribahasa ini
ialah semangat perpaduan akan menyebabkan sesuatu masyarakat kukuh dan apabila berpecah-
belah pula, masyarakat itu akan hancur. Dalam konteks negara kita, dapat dilihat bahawa peribahasa
ini telah diamalkan dengan sebaiknya oleh rakyat Malaysia. Walaupun tinggal dalam sebuah negara
yang berbilang bangsa, namun masyarakat majmuk di Malaysia tetap hidup bersatu padu dan saling
hormat-menghormati. Berdasarkan maksud peribahasa ini kita dapat rumuskan bahawa sebuah
masyarakat yang mengamalkan gaya dan corak hidup yang bersatu padu akan hidup dalam keadaan
yang gembira, tetapi sekiranya tiada perpaduan segala masalah yang timbul akan menjadi pemangkin
kepada kemusnahan sesebuah masyarakat itu. Secara analoginya, peribahasa ini boleh digambarkan
melalui pengggunaan batang lidi. Sekiranya kita menggunakan sebatang lidi, batang lidi itu mudah
untuk dipatahkan, tetapi sekiranya banyak batang lidi yang dikumpulkan bersama sudah tentu batang
lidi itu sukar dipatahkan. Penggunaan cerita batang lidi ini boleh digunakan untuk memberi gambaran
serta kefahaman kepada seseorang individu tentang betapa pentingnya semangat perpaduan dalam
kalangan masyarakat.

Malahan, peribahasa ini turut mencanangkan maksud perpaduan rakyat dalam bentuk
penyatuan kebudayaan. Kita sedia maklum budaya negara ini berbilang yang memerlukan satu
integrasi untuk menjadikan semua kebudayaan kita itu satu kebudayaan Malaysia yang sebenarnya.
BMM 3111 [SEMANTIK DAN PERISTILAHAN BAHASA MELAYU]

Amalan bekerjasama atau perpaduan yang dihayati oleh rakyat negara ini membolehkan semua
kebudayaan yang berbeza itu diserapkan secara tabii menjadi satu kebudayaan kebangsaan yang
boleh menjadi kebanggaan semua rakyat negara ini. Kesimpulannya, peribahasa ini banyak membawa
peringatan kepada kita semua akan peri pentingnya perpaduan atau semangat bekerjasama itu. Sikap
menuding jari terhadap mana-mana pihak apabila mengalami sesuatu masalah bukanlah satu tindakan
yang sesuai di negara ini.

2) JIRAN SEPAKAT, MEMBAWA


BERKAT

Peribahasa kedua yang kami analisis ialah jiran sepakat membawa berkat. Peribahasa ini juga
boleh dijadikan cogan kata untuk menunjukkan semangat kejiranan. Secara konotasinya, maksud
peribahasa ini ialah apabila kita bersatu, segala apa yang kita rencanakan akan dapat dilaksanakan.
Ketaksaan makna ini boleh dilihat melalui perkataan 'sepakat'. Ayat ini boleh membawa kepada
pelbagai makna kerana konteks ayatnya yang tidak jelas. Terdapat segelintir individu akan mentafsir
perkataan tersebut sebagai persefahaman, ada juga yang menafsirkannya sebagai perpaduan,
bersatu padu dan sebagainya. Pelbagai tafsiran dan kefahaman akan berlaku kerana konteks ayatnya
yang kabur dan boleh membawa seribu erti mengikut perspektif masing-masing.

Perkataan berkat pula kebiasaanya dikaitkan dengan orang Islam. Perkataan ini menunjukkan
bahawa sesuatu pekerjaan yang diredhai oleh tuhan. Pekerjaan itu akan menjadi berkat sekiranya
pekerjaan tersebut halal di sisi agama. Berkat juga disebut sebagai barakah. Secara umumnya kita
boleh menyatakan maksud barakah di sini adalah memohon restu dari Allah swt agar dikurniakan
kebaikan yang berkembang. Barakah ini tidak syak lagi adalah dengan keizinan Allah swt. Jika
seseorang itu memohon Allah agar memberkati rezekinya, maka jika Allah kehendaki, dia akan
memberi barakah kepada seseorang itu. Kita sering mendengar mengenai berkat, keberkatan,
mengambil berkat atau yang seumpamanya. Namun adakah kita mengetahui definisi berkat?
Sebenarnya bila kita berbicara mengenai berkat, apa sebenarnya yang bermain di minda kita
mengenai perkataan ini? Mungkin pelbagai persepsi yang muncul bila kita berbicara mengenai
perkataan ini. Namun apa yang ingin dinyatakan di sini, kesemua persepsi boleh jadi benar, boleh jadi
tidak kerana sebenarnya tiada definisi yang tepat mengenai perkataan berkat. Secara umum kita
hanya boleh katakan berkat itu adalah pertambahan dan peningkatan sesuatu dalam kebaikan sama
ada ianya secara zahir mahu pun batin. Apapun yang pasti, para ulama' mendefinisikan berkat itu
BMM 3111 [SEMANTIK DAN PERISTILAHAN BAHASA MELAYU]

sebagai 'limpahan ketuhanan' yang tercurah ke atas apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala
bagi memperlihatkan kebaikan perkara tersebut.

Jiran sepakat membawa berkat. Ungkapan indah ini mengandungi maksud yang amat
mendalam. Hidup bermasyarakat pada era globalisasi ini sering meletakkan konsep kejiranan bukan di
sisi paling utama. Senario ini menyebabkan kedapatan jiran yang tidak mengetahui bahawa tetangga
mereka sedang mengalami masalah, malah musibah sekalipun. Ada antara mereka yang kehairanan
serta terkejut apabila dimaklumkan bahawa jiran sebelah rumah sudah berulat setelah menjadi
mangsa pembunuhan oleh penjenayah. Seandainya hidup sesama jiran mengamalkan konsep
permuafakatan, sudah pasti pelbagai faedah diperoleh. Maksud sebenar bagi peribahasa sepakat
membawa berkat ini ialah sesuatu pekerjaan jika dilakukan melalui pakatan atau mesyuarat akan
membawa hasil yang baik. Contohnya melalui amalan rukun tetangga bagi menjaga keselamatan
kawasan kejiranan. Sekiranya semua bekerjasama dalam melaksanakan program rukun tetangga ini,
maka keselamatan kawasan kejiranan akan terjamin. Peribahasa lain yang membawa kesamaan
makna dengan peribahasa ini ialah muafakat membawa berkat. Perbezaan kedua-dua peribahasa ini
adalah melalui perkataan sepakat dan muafakat. Maksud peribahasa muafakat membawa berkat
ialah sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan persetujuan bersama akan menghasilkan sesuatu
yang baik.

Bagi menjayakan cogan kata jiran sepakat membawa berkat ini kita mestilah menyemarakkan
budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan
mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita.
Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai
contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke
hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita
mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita
mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan
yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan
penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain
semakin menebal. Biarlah kita dikatakan menjaga tepi kain orang daripada kita bersikap
mementingkan diri sendiri sehingga digelar katak di bawah tempurung.
BMM 3111 [SEMANTIK DAN PERISTILAHAN BAHASA MELAYU]

3) BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN


SAMA DIJINJING

Peribahasa yang seterusnya ialah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Peribahasa
ketiga ini dapat membawa makna yang hampir sama dengan peribahasa sebelum ini iaitu berkaitan
dengan semangat kemasyarakatan. Menurut kamus peribahasa, definisi bagi peribahasa berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing ialah sesuatu pekerjaan yang dilakukan secara bersama-sama atau
bersatu dalam melakukan sebarang pekerjaan. Namun begitu, secara konotasinya maksud peribahasa
ini lebih jelas ditakrifkan dengan makna susah dan senang ditanggung bersama-sama. Dalam
konteks hidup bermasyarakat, kita seharusnya berganding bahu melakukan sesuatu pekerjaan agar ia
terlaksana dengan berkesan selain mencapai matlamat yang diinginkan. Contohnya, amalan
bergotong-royong yang dilaksanakan di Taman Sepakat haruslah disertai oleh semua penduduk taman
tersebut. Setiap pekerjaan yang dilakukan juga mestilah secara bersama-sama dan saling bantu-
membantu agar kerja menjadi lebih mudah malahan sesuatu kerja itu juga mungkin dapat disiapkan
dengan lebih awal sekiranya kita bekerjasama.

Menurut Nor Hashimah Jalaluddin (1992:1) yang memetik pendapat Sperber dan Wilson (1980)
bahawa pengkajian makna belum dapat dipastikan makna sepenuhnya mengikut apa yang dihajati
oleh penutur. Namun begitu, sesuatu makna dapat diperoleh melalui penelitian kita terhadap setiap
perkataan dalam ayat mahupun peribahasa tersebut. Pada pandangan kami, peribahasa ini
mempunyai makna yang jelas dapat dilihat menurut konteks ayatnya sahaja. Walaupun terdapat
segelintir individu akan mentafsir perkataan dengan pelbagai makna namun ia sama sekali tidak lari
dari konteks sebenar iaitu semangat kemasyarakatan, bersatu padu, perpaduan dan sebagainya. Jika
dilihat satu persatu, berat sama dipikul membawa maksud konotasinya iaitu sesuatu yang berat
contohnya barang mestilah dipikul atau diangkat bersama-sama. Manakala ringan sama dijinjing
membawa maksud sesuatu barang yang ringan diangkat mahupun dijinjing bersama-sama. Namun
jika dilihat dari aspek denotasinya, barang tersebut perlu diangkat bersama-sama tidak kira berat
mahupun ringan yang membawa maksud lain iaitu susah dan senang haruslah bersama-sama
BMM 3111 [SEMANTIK DAN PERISTILAHAN BAHASA MELAYU]

menghadapinya. Demikian wajah ayat yang mengandungi unsur ketaksaan, kerana satu pola ayat
tidak semestinya mempunyai satu makna. Satu pola ayat yang sama dapat diertikan dengan lebih
daripada satu pengertian. Jadi, untuk dapat mengenali perbezaan erti ini kita perlulah menyedari
kewujudan dua erti yang terkandung dalam satu ayat yang sama itu.

Dalam konteks yang lebih kecil, secara umumnya biasa kita mendengar kata-kata hikmah
teman ketawa bergalang ganti, teman menangis sukar dicari. Kata-kata ini amat berkait rapat dengan
peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sebagai seorang individu tidak mungkin
dinafikan bahawa kita masing-masing memiliki teman mahupun sahabat baik. Walaupun kita memiliki
sahabat yang dapat meraikan kegembiraan bersama-sama, namun begitu, kita tidak dapat
memastikan bahawa sahabat baik kita itu akan dapat membantu kita dikala kesusahan ataupun
meninggalkan kita begitu sahaja sekiranya mengetahui bahawa kita berada dalam kesempitan. Istilah
susah dan senang bersama-sama diabaikan. Dalam konteks kehidupan masa kini, situasi seperti ini
sering berlaku akibat sikap mementingkan diri sendiri. Ada juga yang melupakan teman apabila
senang dan mula meminta tolong dan menagih pertolongan apabila berada dalam kesusahan.

Secara tuntasnya, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing merupakan satu peribahasa yang
mudah ditakrifkan namun mempunyai makna yang cukup luas untuk dihayati. Sama ada dari aspek
kehidupan berkeluarga, bersahabat mahupun bermasyarakat, peribahasa ini dapat digunakan bagi
memberi pengajaran yang mendalam terhadap penggunanya. Tidak kira kita berada dalam keadaan
senang mahupun susah akan ditempuh dan dirasai bersama-sama. Peribahasa ini hampir sama
maknanya dengan peribahasa lain seperti bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat
dan bersatu teguh, bercerai roboh namun yang membezakannya ialah berdasarkan konteks
penggunaan peribahasa tersebut.

4) BAGAI AUR DENGAN


TEBING
BMM 3111 [SEMANTIK DAN PERISTILAHAN BAHASA MELAYU]

Peribahasa yang keempat pula ialah bagai aur dengan tebing. Peribahasa bagai aur dengan
tebing mempunyai makna yang tersurat serta makna yang tersirat. Buluh dan tebing diambil sebagai
perumpamaan kerana sinonim dengan pemandangan yang sering terdapat di tepi-tepi sungai.
Berdasarkan pemahaman kami berkaitan maksud yang tersurat bagi peribahasa bagai aur dengan
tebing ialah ialah pokok aur atau pokok buluh kecil yang ditanam atau tumbuh di tepi tebing parit atau
sungai memberikan kebaikan kepada tebing itu, iaitu tebing tidak mudah runtuh kerana akar aur itu
mencengkam tanah di tepi tebing. Pokok aur atau pokok buluh kecil dengan tebing saling
bergantungan antara satu sama lain. Akar buluh memegang tebing agar tidak runtuh,manakala tebing
pula menjadi tempat untuk buluh tumbuh. Tebing menyediakan habitat yang baik untuk pokok buluh
ataupun pokok aur tumbuh memandangkan berhampiran sungai atau parit. Sumber air yang
berdekatan memberikan bekalan air yang mencukupi untuk tumbesaran pokok buluh.

Perkaitan antara dua subjek ini adalah buluh memerlukan air untuk hidup. Oleh itu, pokok buluh
tumbuh merimbun di tebing-tebing sungai, manakala tebing mudah runtuh akibat proses hakisan air
yang berlaku sepanjang masa. Kejadian ini mungkin disebabkan hujan yang turun dan hakisan air
sungai. Dengan adanya buluh yang mencengkam tebing dengan akar serabutnya, maka proses
hakisan akan berlaku dengan amat perlahan. Malahan fenomena tersebut juga turut menguatkan lagi
tebing tersebut daripada runtuh. Dapat diringkaskan di sini bahawa akar buluh memberi perlindungan
semula jadi dengan menguatkan lagi tebing manakala tebing menjadi tempat bagi buluh untuk
bertumbuh dan mendapatkan sumber air. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pokok buluh dan tebing
masing-masing mendatangkan manfaat serta kebaikan antara satu sama lain. Jika tiada tebing pasti
pokok buluh tidak dapat berdiri dengan teguh begitu juga sebaliknya tebing juga akan runtuh jika tiada
akar buluh yang mencengkamnya. Peribahasa ini jika diamati dengan betul dapat kita kaitkan dengan
kehidupan manusia sejagat.

Secara konotasinya, peribahasa bagai aur dengan tebing bermaksud tolong-menolong


antara satu sama lain yang dapat mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak. Setiap
orang memerlukan orang lain selain dirinya sendiri dalam kehidupannya. Oleh itu, manusia harus
hidup bekerjasama dan saling bantu-membantu seperti aur dengan tebing. Hidup begini dikatakan
sepakat dan menjadikan sesuatu kerja itu lebih mudah dan cepat disiapkan. Semangat kerjasama dan
gotong-royong sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar dalam segala lapangan kehidupan.
Sebagai contoh, mereka bercucuk tanam dan menuai hasil tanaman mereka secara bergotong-royong.
Begitu juga jika ada majlis perkahwinan, lazimnya orang kampung akan bergotong-royong untuk
menjayakan majlis tersebut. Bahkan sesetengah tempat, orang kampung membina masjid secara
bergotong-royong. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu gemar mengaitkan alam semula
jadi dengan kehidupan manusia kerana alam semula jadi sudah sebati dalam hidup mereka.
BMM 3111 [SEMANTIK DAN PERISTILAHAN BAHASA MELAYU]

Peribahasa ini juga ada persamaan maksud dengan peribahasa berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing, ,hati gajah sama dilapah, hati kuman sama digigit, dan bagai isi dengan kuku. Dalam setiap
peribahasa yang berkaitan dengan peribahasa bagai aur dengan tebing ini ditekankan semangat
kerjasama serta tolong-menolong antara satu sama lain bagi mencapai keharmonian hidup yang
hakiki.

Peribahasa ini amat baik untuk diteladani bersama terutamanya oleh masyarakat di bandar
serta generasi muda kerana semangat bekerjasama ini semakin kurang diamalkan kini. Mutakhir ini
masyarakat kian mementingkan diri sendiri serta tidak peka dengan suasana persekitaran mereka.
Masyarakat seharusnya mengambil iktibar daripada peribahasa ini kerana melaluinya dapatlah kita
mengetahui erti sebenar semangat bekerjasama yang telah ditunjukkan oleh pokok buluh dan tebing
tersebut.

Você também pode gostar