Você está na página 1de 7

CADANGAN PENYELESAIAN MASALAH ORANG BANDAR

Dzul Fitry Bin Ismail

Apabila bercerita tentang kemajuan, pasti ramai membayangkan tentang


kepesatan pembangunan sesebuah negara yang memiliki ekonomi dan teknologi
mampan. Ini kerana kemampuan sesebuah negara menjana ekonomi dan teknologi
ke tahap yang lebih baik berbanding sebelumnya berupaya menjadi sebuah negara
maju. Namun, kemajuan yang ingin dikecapi sesebuah negara sebenarnya
memerlukan nilai pengorbanan yang tinggi. Pengorbanan yang dimaksudkan adalah
pengorbanan dari segi mental dan fizikal di mana setiap rakyat perlu mempunyai
tahap kesabaran yang tinggi bagi menghadapi cabaran demi cabaran untuk
meningkat kemajuan demi kehidupan yang lebih selesa pada masa akan datang.
Rakyat juga perlu bekerja dengan lebih tekun dan cekap bagi membantu
merealisasikan impian untuk mencapai status negara maju.

Kepesatan pembangunan serta kecanggihan teknologi yang kini dapat dirasai


oleh segenap lapisan masyarakat seolah-oleh telah memberi satu kepuasan dan
pulangan yang lumayan kepada mereka hasil pengorbanan yang telah mereka
berikan selama ini. Wujudnya bandar-bandar besar di setiap negeri yang dipenuhi
dengan pelbagai kelengkapan prasarana serta infrastruktur bagaikan menjanjikan
sebuah kehidupan yang lebih sempurna. Namun, hasil daripada pembangunan yang
terancang dan tersusun ia telah menggalakan migrasi penduduk dari kawasan luar
bandar ke bandar. Malah migrasi luar bandar ke bandar juga terjadi kerana wujudnya
pelbagai peluang pekerjaan serta perniagaan kepada mereka untuk berhijrah mencari
rezeki yang lebih baik dan lumayan. Dengan kehadiran migrasi ini, kegiatan ekonomi
di kawasan bandar menjadi semakin rancak dan secara tidak langsung ia dapat
mengukuhkan lagi ekonomi sesebuah negara. Namun disebalik kemajuan yang
dikecapi, adakah kita sedar bahawa pelbagai masalah telah wujud di mana ia
sekaligus menjadi satu mimpi ngeri kepada penduduk kawasan bandar. Mungkin ada
sesuatu yang menyebabkan kita terlepas pandang dalam kerancakkan perancangan
pembangunan sesebuah bandar sehingga berlakunya pelbagai masalah. Antara
masalah yang mungkin sudah lali dikalangan penduduk bandar ialah masalah
pencemaran.
Masalah pencemaran yang biasa terjadi di kawasan bandar termasuklah
pencemaran udara, pencemaran bunyi, dan pencemaran air. Sebagai contoh, Bandar
Raya Kuala Lumpur yang dikenali sebagai sebuah bandar metropolitan seringkali
dikaitkan dengan masalah pencemaran udara. Perkara ini terjadi mungkin kerana
kerancakan pembinaan bangunan sehinggakan di setiap inci tanah di Kuala Lumpur
digunakan untuk membina bangunan pencakar langit tanpa mengambil kira masalah
yang berlaku kepada penduduk sekitar kawasan pembinaan tersebut. Sementara itu,
di dalam satu laporan terdapat keadaan kualiti udara yang direkodkan tidak sihat di
Kuala Lumpur disebabkan oleh kehadiran paras ozon yang tinggi akibat dari tindak
balas nitrogen oksida (NOx) dan sebatian mudah ruap (VOCs) yang dilepaskan dari
kenderaan bermortor dan sumber industri serta tindak balas daripada cahaya
matahari dan haba yang telah dilaporkan oleh Indeks Pencemaran Udara di Kuala
Lumpur dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020. Keadaan ini sebenarnya boleh
mengundang masalah kesihatan kepada manusia di mana ia boleh menyebabkan
penyakit respirasi dan pengurangan jarak penglihatan. Antara punca pencemaran
udara yang berlaku di bandar Kuala Lumpur termasuklah pembakaran terbuka,
pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan kerja-kerja pembinaan serta kegiatan
industri di kawasan pinggir bandar. Melihat dari punca-punca pencemaran udara yang
berlaku di Kuala Lumpur, cara terbaik untuk mengembalikan kualiti udara yang sihat
ialah dengan memperbanyakkan lagi penanaman tumbuhan hijau yang bersesuaian
bagi menyerap karbon dioksida dan menukarkannya semula kepada oksigen. Selain
daripada itu, pihak berkuasa juga perlu memantau kegiatan industri di kawasan pinggir
bandar bagi mengawal asap yang mengandungi bahan kimia terlarang yang
dilepaskan ke udara dengan sewenang-wenangnya tanpa mengikut undang-undang
yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Antara perubahan drastik yang boleh dilakukan ialah dengan memindahkan


kawasan industri di pinggir bandar ke sebuah kawasan luar bandar atau kawasan
yang berhampiran dengan hutan. Cara ini tampak memberi impak yang lebih baik
kepada kedua-dua belah pihak di mana, pihak industri dapat mengoptimumkan
operasi pengeluaran mereka tanpa perlu bimbang dengan pencemaran udara. Situasi
ini boleh dilihat di negara yang jauh lebih maju seperti negara Jepun, Korea, Jerman
dan sebagainya di mana, negara mereka mengasingkan kawasan industri jauh dari
kawasan bandar dan kediaman bagi mengelakkan masalah pencemaran udara.
Langkah ini sepatutnya dicontohi oleh negara kita kerana ia sesuatu yang wajar
dilakukan agar peratusan masalah pencemaran udara dan kesihatan berkurangan.
Sementara itu, pengangkutan awam juga memainkan peranan penting dalam
membantu mengurangkan pencemaran udara. Justeru itu, pihak berkuasa perlu
memperbanyakkan serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan
awam di mana ia dilihat dapat memberi impak yang jauh lebih baik terhadap kualiti
udara di bandar Kuala Lumpur.

Masalah seterusnya adalah berkaitan dengan pencemaran bunyi. Pencemaran


bunyi biasanya berlaku akibat dari bunyi bising yang dihasilkan oleh kenderaan
bermotor dan mesin dari perindustrian atau pembinaan. Mengikut pemantauan paras
bunyi yang dikeluarkan dalam Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2000 Malaysia telah
mengesan pencemaran bunyi di bandar raya Kuala Lumpur adalah sebanyak 57.8
desibel sehingga 71.8 desibel iaitu, melebihi paras 55 desibel yang disarankan oleh
World Health Organization (WHO). Keadaan tersebut akan memberi kesan yang
sangat buruk terhadap pendengaran manusia di mana, ia akan meningkatkan
masalah pendengaran dikalangan penduduk bandar. Walaupun ia masih berada di
paras yang tidak terlalu bahaya namun, keadaan tersebut tidak boleh terus dibiarkan
kerana ia mampu memberi kesan jangka panjang terhadap pendengaran manusia.
Pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindak segera untuk mengatasi masalah
tersebut. Antara cadangan yang boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa adalah
dengan cara mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan persendirian di dalam
kawasan bandar di samping mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam
seperti bas dan keretapi laju. Di samping itu, pihak majikan juga boleh menggalakan
pekerja mereka yang tinggal di kawasan berhampiran dengan pejabat untuk
mengayuh basikal ke tempat kerja. Selain dari mengurangkan masalah pencemaran
udara, ia juga dapat meningkatkan tahap kesihatan pekerja mereka. Sementara itu,
penggunaan mesin industri atau pembinaan perlu dipantau penggunaannya agar
sentiasa mematuhi peraturan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa serta tidak
digunakan sewenang-wenangnya tanpa kelulusan dari pihak berkuasa. Dengan ini, ia
dapat memberi kesan kepada pihak industri dan pembinaan agar sentiasa mematuhi
peraturan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Selain daripada masalah pencemaran udara dan bunyi, satu lagi masalah
pencemaran ialah pencemaran air atau lebih tepat lagi pencemaran sungai. Jika
dilihat di Malaysia, kebanyakan bandar terletak berhampiran dengan sungai utama di
setiap negeri. Antara contoh yang boleh dilihat ialah Bandaraya Kuala Lumpur yang
terletak diantara dua pertemuan sungai iaitu Sungai Gombak dengan Sungai Klang,
sementara Bandaraya Melaka pula terletak di muara Sungai Melaka serta Sungai
Sarawak yang menjadi tunjang utama Bandaraya Kuching, Sarawak. Melalui
pemerhatian serta tinjauan yang dibuat, punca sebenar pencemaran sungai yang
berlaku adalah disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri yang dengan sengajanya
membuang sampah terus ke dalam sungai tanpa mempedulikan orang yang
memerhatikan tindakannya itu. Mereka seolah-olah tidak mengetahui bahawa
tindakan mereka itu boleh menyebabkan berlakunya pencemaran sungai. Di salah
sebuah kawasan tepian sungai di Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu pula
menjadi tempat perkumpulan anak-anak muda, keluarga serta pekerja-pekerja asing
yang akan menjadikan kawasan sepanjang tepian sungai tersebut sebagai tempat
beriadah untuk melepasakan penat lelah setelah seminggu bekerja. Aktiviti tersebut
merupakan aktiviti yang menyihatkan namun, ketika mereka hendak meninggalkan
kawasan berkenaan dilihat sisa makanan, putung rokok serta kertas berselerakkan
sehingga ada yang mengambil tindakan mudah dengan membuang sampah
berkenaan ke terus dalam sungai. Membuang sampah ke tempat yang tidak
sepatutnya, ke mana hilangnya kesedaran serta perasaan tanggungjawab mereka
terhadap kebersihan alam sekitar?

Lihat sahaja negara jiran kita di Singapura, yang menguatkuasakan undang-


undang denda serta merta bagi menangani masalah masyarakat yang tidak prihatin
terhadap kebersihan alam sekitar seperti yang berlaku di negara kita.
Penguatkuasaan undang-undang sebegini memerlukan cara tersendiri di mana pihak
berkuasa dewan bandaraya tidak perlu meletakkan anggotanya di setiap pelusuk
bandaraya tetapi cukup dengan meletakkan mata-mata iaitu orang awam sendiri
sebagai pembantu dengan menawarkan ganjaran kupon parkir kenderaan percuma
selama seminggu atau sebagainya. Orang awam perlu merakamkan perbuatan orang
yang membuang sampah dengan sengaja di tempat awam dan memuat naikkan
gambar tersebut ke aplikasi Whatapps, Telegram atau Instagram dengan
memaklumkan butiran tertentu. Kemudian, pihak penguatkuasa yang bertugas dan
berhampiran dengan kawasan berkenaan mungkin boleh membuat tinjauan dan
sekaligus mengambil tindakan terhadap pesalah yang melakukan kesalahan
berkenaan. Sementara pihak yang mengadu boleh mendapatkan ganjaran mereka
selepas si pesalah telah diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa. Pihak
penguatkuasa juga boleh menyamar dengan menggunakan pakaian biasa untuk
melaksanakan undang-undang tersebut terhadap masyarakat yang gemar
membuang sampah dimerata tempat ini sehingga ia berkurangan. Kaedah ini dapat
sekaligus dapat digunakan bukan sahaja kawasan riadah bersebelahan sungai malah
diseluruh bandaraya lain di Malaysia.

Mengambil contoh Dewan Bandaraya Kuching serta Dewan Bandaraya Melaka


di mana pihak mereka telah membuat perancangan yang sangat menarik dengan
menjadikan sungai mereka sebagai satu daya tarikan pelancong ke negeri mereka.
Mengapa tidak pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membuat suatu perancangan
yang boleh menjadikan sungai mereka sebagai satu daya tarikan terbaharu
Bandaraya Kuala Lumpur? Antara cadangan yang boleh diambil kira oleh pihak
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ialah dengan menjadikan benteng-benteng
disepanjang sungai berkenaan sebagai tempat gambar grafiti patriotik atau sejarah
Kuala Lumpur. Kemudian menghiaskan dengan lampu-lampu yang berwarna-warni
seperti di Putrajaya atau Sungai Melaka. Tingkatkan keselamatan kawasan pejalan
kaki disepanjang sungai berkenaan dengan meletakkan anggota peronda yang akan
keluar meronda setiap 30 minit atau meletakkan pondok-pondok peronda dalam jarak
lingkungan 2 kilometer satu pondok. Disamping itu, kawasan peniaga untuk berniaga
di sepanjang kawasan sungai berkenaan juga perlu disediakan dengan syarat-syarat
tertentu seperti perlu memastikan kawasan perniagaan sentiasa bersih dengan
sampah tidak dibuang terus ke dalam sungai.

Selain daripada itu, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga boleh
mengadakan pertandingan perlumbaan model sampan mini atau model kapal mini
untuk mempelbagaikan lagi penggunaan sungai berkenaan. Acara tersebut boleh
dijadikan acara saringan pada setiap bulan dan penutupnya atau acara kemuncaknya
ialah pada hujung tahun. Ini kerana di Sarawak mereka mengadakan acara sukan
regata setiap tahun di Sungai Sarawak, manakala di Melaka mereka ada cara
tersendiri untuk mempelbagaikan penggunaan Sungai Melaka. Mungkin di Kuala
Lumpur boleh menjadikan pertandingan perlumbaan model sampan mini atau model
kapal mini ini sebagai satu identiti baharu Sungai Gombak dan Sungai Klang. Perkara
ini mungkin boleh diberi perhatian kerana ia akan membuka lebih banyak peluang
pekerjaan serta pilihan tempat beriadah bersama keluarga mahupun teman dihujung
minggu.

Jika dilihat kaedah di atas, ia sekaligus dapat mengatasi masalah gelandangan


yang semakin hari semakin ramai yang menghuni kaki lima bangunan-bangunan elit
di Kuala Lumpur. Mengapa dikatakan mampu mengatasi masalah gelandangan, ialah
dengan cara memberi mereka pekerjaan untuk menjaga atau mengawal kawasan di
sepanjang sungai berkenaan. Dengan cara ini mereka mempunyai pendapatan tetap
serta mampu untuk menyewa bilik bagi memberi keselesaan kepada keluarga
mereka. Berkenaan bilik sewa tersebut, dicadangkan agar pihak Dewan Bandaraya
atau kerajaan menyewa beli mana-mana bangunan yang telah dibiarkan tetapi masih
berada dalam keadaan baik untuk didiami bagi menyediakan kemudahan bilik untuk
disewa-beli oleh setiap gelandangan. Cara ini telah dilakukan oleh pihak NGO diluar
negara bagi membantu mereka yang ketiadaan tempat tinggal untuk menginap secara
harian di bangunan tersebut. Langkah yang dilakukan oleh pihak NGO tersebut
sebenarnya boleh mengundang masalah yang berterusan kerana setiap tahun
masalah gelandangan menunjukkan peningkatan. Cara terbaik untuk mengatasi
masalah ini ialah dengan membaikpulih bangunan milik kerajaan yang tidak
digunapakai dan belum mempunyai apa-apa perancangan untuk dijadikan
penginapan sementara kepada gelandangan. Kerajaan boleh mengenakan sedikit caj
pengurusan dengan mengenakan bayaran paling minima iaitu RM30 sebulan untuk
sebuah bilik berkeluasan 10 kaki x 10 kaki. Bilik tersebut tidak perlu disediakan apa-
apa kelengkapan lain kecuali kipas sementara tandas kongsi untuk mandi dan
membuang air perlu disediakan. Sewa berkenaan boleh ditolak dari gaji harian mereka
yang bekerja dengan pihak Dewan Bandaraya. Pengurusan bangunan berkenaan
boleh dilantik dikalangan gelandangan itu sendiri dengan menggajikan mereka untuk
menguruskannya. Cara ini sebenarnya bertujuan untuk mendidik mereka bagi
meningkatkan kembali keyakinan diri agar mampu keluar dari masalah yang mereka
hadapi untuk terus bangkit semula. Dengan cara ini sahaja, pihak Dewan Bandaraya
atau kerajaan tidak perlu berterusan mengeluarkan duit untuk menguruskan masalah
gelandangan. Ini kerana duit sewaan yang mereka perlu bayar itulah digunakan untuk
menguruskan penyelenggaraan bangunan berkenaan.

Você também pode gostar