Você está na página 1de 33

MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA

KES NO: 7/4-481/14

DI ANTARA

MOHD HELMI BIN IBRAHIM

DENGAN

YAYASAN ANGKASAWAN MALAYSIA

AWARD NO: 789 OF 2017

DI HADAPAN : Y.A. PUAN JAMHIRAH ALI


PENGERUSI

TEMPAT : Mahkamah Perusahaan, Kuala Lumpur

TARIKH RUJUKAN: : 25.06.2014.

TARIKH SEBUTAN : 25.08.2014, 08.10.2014, 09.12.2014, 05.02.2015,


09.03.2015, 26.03.2015, 18.05.2015, 02.11.2015
24.11.2015

TARIKH BICARA : 14.12.2015, 15.12.2015, 13.01.2016

TARIKH HUJAHAN
BERTULIS YANG MENUNTUT : 26.02.2016

TARIKH HUJAHAN
BERTULIS PIHAK SYARIKAT : 15.04.2016

HUJAHAN LISAN : 20.06.2016, 23.06.2016.

PERWAKILAN : Mohd Suharin Bin Sulaiman Siew


Tetuan Mahadi Redzuan & Co,
mewakili Pihak Yang Menuntut

Malek Mohamad
Tetuan Malek & Associates
mewakili Pihak Syarikat

1
RUJUKAN:

Ini adalah satu rujukan oleh YB Menteri Sumber Manusia bertarikh 25.06.2014 di bawah

Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 mengenai pembuangan kerja MOHD

HELMI BIN IBRAHIM (selepas ini disebut sebagai “Pihak Yang Menuntut”) oleh YAYASAN

ANGKASAWAN MALAYSIA (selepas ini disebut sebagai “Pihak Syarikat”) pada

12.07.2013.

AWARD

Pendahuluan

1. Dalam kes ini Pernyataan Kes (SOC) telah difailkan pada 08.10.2014 dan Jawapan

kepada Pernyataan Kes (SIR) telah difailkan pada 23.03.2015 dan Rejoinder telah

difailkan pada 06.05.2015. Ikatan Dokumen Pihak Yang Menuntut ditanda sebagai

CLB dan Ikatan Dokumen Pihak Syarikat ditanda sebagai COB.

2. Perbicaraan telah dijalankan mulai 14.12.2015. Pihak Syarikat telah mengemukakan

empat (4) orang saksi (COW1, COW2, COW3 dan COW4), manakala Pihak Yang

Menuntut sebagai saksi tunggal (CLW1). Hujahan Pihak Yang Menuntut telah

difailkan pada 26.02.2016. Hujahan Pihak Syarikat telah difailkan pada 15.04.2016

dan hujahan lisan pada 20.06.2016 dan 23.06.2016.

Fakta Ringkas

3. Pihak Yang Menuntut telah ditawarkan pekerjaan melalui surat pelantikan bertarikh

15.01.2013 oleh Pihak Syarikat sebagai Ketua Pegawai Operasi bagi tempoh kontrak

tetap selama 2 tahun (fixed term contract) iaitu mulai 16.01.2013 hingga 15.01.2015

dengan gaji sebanyak RM10,000.00 sebulan (CLB ms 1-11).

2
4. Pada 04.06.2013 Pihak Syarikat telah mengeluarkan surat tunjuk sebab (surat tunjuk

sebab pertama) terhadap Pihak Yang Menuntut untuk memberikan penjelasan

kerana melanggar terma-terma Perjanjian Perkhidmatan (Perjanjian Tersebut) iaitu

Perkara 5 dan Fasal 8(1) seperti berikut (CLB ms 72-76):-

“a. Gagal hadir bertugas, atau gagal melaporkan ketidak hadiran di

pejabat atau tidak mendapatkan kebenaran bercuti secara sah,

b. Lewat hadir dan/atau gagal memaklumkan kelewatan hadir serta

keluar pejabat pada waktu rasmi bekerja tanpa kebenaran sah.”

5. Pihak Syarikat juga telah mengeluarkan satu lagi surat tunjuk sebab bertarikh

04.06.2013 (surat tunjuk sebab kedua) kepada Pihak Yang Menuntut yang

mendakwa bahawa Pihak Yang Menuntut telah memberikan maklumat yang tidak

benar mengenai kelayakan dan pengalaman kerjaya di dalam resume permohonan

jawatan di Syarikat (CLB ms 77-79):

“Dukacita dimaklumkan bahawa hasil semakan dengan pihak-pihak

berkenaan, Lembaga Pemegang Amanah YAM mempercayai wujud

perlakuan memberi maklumat yang tidak benar mengenai kelayakan dan

pengalaman kerjaya tuan sehingga mendorong lembaga Pemegang

Amanah YAM menawarkan jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO)

dengan faedah-faedah perkhidmatan yang sesuai dengan maklumat

yang dizahirkan oleh tuan.”

6. Pihak Syarikat seterusnya telah menggantung kerja Pihak Yang Menuntut berkuat

kuasa 13.06.2013, setelah gagal menerima jawapan terhadap surat-surat tunjuk

3
sebab yang telah dikeluarkan terhadap Pihak Yang Menuntut bagi membolehkan

satu siasatan dijalankan ke atas aduan berkenaan (CLB ms 95-97).

7. Walau bagaimana pun Pihak Yang Menuntut menegaskan bahawa beliau telah

menjawab surat-surat tunjuk sebab tersebut melalui suratnya yang bertarikh

10.06.2013 (CLB ms 80-94).

8. Pada 20.06.2013 Pihak Syarikat telah menyerahkan satu notis siasatan dalaman

kepada Pihak Yang Menuntut dan siasatan dalaman telah dijalankan pada

26.06.2013 (CLB ms 102-103).

9. Pihak Syarikat melalui surat bertarikh 12.07.2013 (CLB ms 104-105), telah

memaklumkan Pihak Yang Menuntut bahawa beliau telah didapati bersalah bagi

salah laku berkaitan pertuduhan ketidak hadiran, lewat masuk bekerja dan keluar

pejabat tanpa kebenaran seperti yang dinyatakan di dalam surat tunjuk sebab

pertama CEO/SRT/003/6-13(6), dan dengan itu telah ditamatkan perkhidmatan

berkuat kuasa 12.07.2013. Pihak Yang Menuntut juga telah dibayar sebulan gaji

sebanyak RM10,000.00 sebagai gantian bagi notis.

10. Pihak Yang Menuntut tidak berpuas hati dengan keputusan Pihak Syarikat, telah

melalui surat bertarikh 29.07.2013 memohon kepada Pihak Syarikat untuk

mempertimbangkan kembali keputusan yang telah dibuat oleh Pihak Syarikat untuk

menamatkan perkhidmatannya (CLB ms 106-110). Walau bagaimana pun Pihak

Syarikat menyatakan bahawa surat tersebut tidak dihantar kepada Pihak Syarikat

dan tidak diterima oleh Pihak Syarikat.

4
Undang-Undang

11. Fungsi Mahkamah Perusahaan telah dilakarkan dengan jelas dalam kes Goon Kwee

Phoy v. J & P Coats (M) Bhd. (1981) 2 MLJ 129, Raja Azlan Shah CJ (Malaya)

(Almarhum DYMM Tuanku pada masa itu) menyatakan di mukasurat 136:-

“Where representations are made and are referred to the Industrial Court

for enquiry, it is the duty of the court to determine whether the

termination or dismissal is with or without just cause or excuse. If the

employer chooses to give a reason or excuse for the action taken by

him, the duty of the Industrial Court will be to enquire whether that

reason or excuse has or has not been made out. If it finds as a fact that

it has not been proven, then the inevitable conclusion must be that the

termination or dismissal was without just cause or excuse. The proper

enquiry of the court is the reason advanced by the employer, and that

court or the High Court cannot go into another reason not relied on by

the employer, or find one for him”.

12. Dalam kes Wong Yuen Hock v. Syarikat Hong Leong Assurance Sdn. Bhd. &

Another Appeal [1995] 3 CLJ 344 di mukasurat 352 Mahkamah Persekutuan telah

menjelaskan tugas Mahkamah Perusahaan dalam memutuskan kes pembuangan

kerja seperti berikut:-

“On the authorities, we were of the view that the main and only function

of the Industrial Court in dealing with a reference under s.20 of the Act

(unless otherwise lawfully provided by the terms of the reference) is to

determine whether the misconduct or irregularities complained of by the

5
management as the grounds of dismissal were in fact committed by the

workman, and if so, whether such grounds constitute just cause or

excuse for the dismissal”. (emphasis added)

13. Prinsip ini telah diulangi dalam kes Milan Auto Sdn. Bhd. v. Wong Seh Yen [1995]

4 CLJ 449 di mukasurat 454 dan 455 (Mahkamah Persekutuan), di mana

Mohamed Azmi FJ telah menyatakan:-

“As pointed out by this court recently in Hong Leong Assurance Sdn.

Bhd. v. Wong Yuen Hock [1995] 2 MLJ 753, the function in the Industrial

Court in dismissal cases on a reference under section 20 is two-fold:

first to determine whether the misconduct complained of by the

employer has been established and secondly to determine whether the

proven misconduct constitutes just cause or excuse for the dismissal of

the employee”. (emphasis added)

14. Adalah menjadi prinsip undang-undang yang mantap bahawa beban pembuktian bagi

kes-kes yang melibatkan pembuangan kerja adalah berdasarkan atas imbangan

kebarangkalian. Beban ini adalah terletak pada Pihak Syarikat untuk membuktikan

bahawa pembuangan kerja tersebut adalah dengan sebab dan alasan yang adil (with

just cause and excuse). Dalam kes Mahkamah Rayuan Telekom Malaysia

Kawasan Utara v. Krishnan Kutty Sanguni Nair & Anor. [2002] 3 CLJ 314 telah

dinyatakan bahawa:-

6
“Thus, we can see that the preponderant view is that the Industrial

Court, when hearing a claim of unjust dismissal, even where the ground

is one of dishonest act, including “theft”, is not required to be satisfied

beyond reasonable doubt that the employee has “committed the

offence”, as in a criminal prosecution... In our view the passage quoted

from Administrative Law by H. W. R. Wade & C. F. Forsyth offers the

clearest statement on the standard of proof required that is the civil

standard based on balance of probabilities, which is flexible, so that the

degree of probability required is proportionate to the nature and gravity

of the issue”. (emphasis added)

Isu

15. Isu yang perlu diputuskan oleh Mahkamah di dalam kes ini adalah samada

pembuangan kerja Pihak Yang Menuntut oleh Pihak Syarikat adalah dengan sebab

dan alasan yang adil.

Penilaian Keterangan

Siasatan Dalaman

16. Di dalam kes ini satu siasatan dalaman telah dijalankan. Mahkamah mengambil

maklum kes Bumiputra Commerce Bank Bhd v. Mahkamah Perusahaan Malaysia

& Anor [2004] 7 CLJ 77 di mukasurat 82 dan 83 Mahkamah Tinggi telah

memutuskan apabila satu siasatan dalaman telah dibuat, bidang kuasa Mahkamah

7
Perusahaan adalah terhad kepada membuat satu keputusan samada terdapat satu

kes Prima Facie terhadap Pihak Yang Menuntut:

“…Thus, I am of the view that the principle laid down in both cases

cannot be said to extend to instances where a domestic inquiry has been

held. As such, I am in agreement with the submission of the learned

counsel for the applicant that where due inquiry has been held, the

Industrial Court’s jurisdiction is limited to considering whether there was

a prima facie case against the employee…

…Thus, I am of the view that in cases of this nature, the Industrial Court

should first consider whether or not the domestic inquiry was valid and

whether the inquiry notes are accurate. In the absence of such

consideration and a finding on the validity of the domestic inquiry and

accuracy of the inquiry notes, the Industrial Court’s action in proceeding

to decide the matter without any regard to the notes of inquiry cannot be

described as anything more than an error of law.”

17. Di dalam kes kemudiannya iaitu kes Plaintree Wood Products Sdn Bhd v

Mahkamah Perusahaan Malaysia & Muhammad Safarudin Chew Bin Abdullah

(2005) 1 LNS 283, Yang Arif Hakim tersebut telah memberikan penjelasan mengenai

keputusannya di dalam kes Bumiputra Commerce Sdn Bhd. di mana YA Hakim

tersebut menjelaskan bahawa:

“Di dalam kes Bumiputra Commerce Sdn. Bhd., apa yang saya putuskan

adalah mengenai kegagalan Mahkamah Perusahaan untuk mengambilkira

8
nota keterangan domestic inquiry yang telah dikemukakan sebagai

keterangan. Mahkamah Perusahaan di dalam kes itu tidak langsung

merujuk kepada nota keterangan domestic inquiry dalam membuat

penilaian fakta dan kegagalan itu telah saya putuskan sebagai suatu

kesilapan undang-undang. Di dalam kes pemohon ini, keadaan adalah

berbeza. Kes pemohon di Mahkamah Perusahaan adalah masih diperingkat

pembicaraan. Pada saya, responden kedua adalah bebas untuk

membentangkan kesnya ini dan untuk menyokong dakwaan bahawa beliau

telah dibuang kerja tanpa alasan yang munasabah. Di pihak pemohon pula,

jika terdapat keterangan mengenai domestic inquiry, terpulanglah kepada

pemohon untuk mengemukakannya. Tugas Mahkamah Perusahaan ialah

untuk membuat keputusan berpandukan keseluruhan keterangan yang

dikemukakan melalui keterangan-keterangan saksi yang dikemukakan oleh

kedua-dua pihak. Sudah tentu Mahkamah Perusahaan tidak semata-mata

terikat kepada nota prosiding di dalam domestic inquiry. Jadi Mahkamah

Perusahaan adalah tidak silap untuk mengarahkan pembicaraan penuh

dijalankan di dalam kes ini.” [emphasis added]

18. Namun begitu Mahkamah ini juga mengambil maklum kes yang diputuskan oleh

Mahkamah Rayuan iaitu kes Hong Leong Equipment Sdn. Bhd. v. Liew Fook

Chuan & Other Appeals [1997] 1 CLJ 665 di mukasurat. 716, Mahkamah Rayuan

memutuskan bahawa:-

“The fact that an employer has conducted a domestic inquiry against his

workman is, in my judgement, an entirely irrelevant consideration to the

issue whether the latter had been dismissed without just cause or

9
excuse. The findings of a domestic inquiry are not binding upon the

Industrial Court which rehears the matter afresh. However, it may take

into account the fact that a domestic inquiry had been held when

determining whether the particular workman was justly dismissed.”

19. Oleh itu, walau pun satu siasatan dalaman telah dijalankan oleh Pihak Syarikat,

Mahkamah ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar semula kes ini, dan

selanjutnya, hendaklah membuat satu dapatan fakta berdasarkan keterangan yang

dikemukakan di hadapan Mahkamah ini dan membuat satu keputusan samada Pihak

Syarikat telah berjaya membuktikan pertuduhan yang dikenakan ke atas Pihak Yang

Menuntut atas imbangan kebarangkalian.

20. Memetik daripada buku CP Mills bertajuk “Industrial Disputes Law in Malaysia”,

2nd edn. 1984 di mukasurat 78, menyatakan:

“Unless there is clear evidence to support the charge of misconduct, the

employer’s decision against the workman will not be upheld by the

court.

Even where there were reasonable grounds before the employer for

concluding that the workman was guilty of the misconduct alleged

against him, but in the proceedings before the Court the evidence does

not permit any firm conclusion that the workman did commit the acts in

question, the dismissal will not be sustained

10
Kes Syarikat

21. COW1 saksi pertama Pihak Syarikat, Rajini Bin Ramlan iaitu Ketua Pegawai

Eksekutif (KPE) Pihak Syarikat, mengesahkan bahawa Pihak Yang Menuntut telah dilantik

sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Pihak Syarikat bagi tempoh dua tahun mulai

16.01.2013 hingga 15.01.2015 mengikut terma dan syarat perkhidmatan seperti yang

dinyatakan di dalam Perjanjian Tersebut. COW1 juga mengesahkan bahawa Pihak Yang

Menuntut telah menerima tawaran pekerjaan tersebut mengikut terma-terma yang telah

dinyatakan di dalam Perjanjian Tersebut dengan menandatangani surat pengesahan

penerimaan jawatan tersebut (COB ms 10).

22. COW1 juga menyatakan bahawa Pihak Syarikat telah memberikan surat tunjuk

sebab kepada Pihak Yang Menuntut pada 04.06.2013 kerana Pihak Yang Menuntut gagal

mematuhi waktu bekerja. Waktu bekerja rasmi Pihak Yang Menuntut adalah pada hari Isnin

hingga Jumaat mulai jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Waktu rehat adalah pada jam 1.00

tengahari hingga jam 2.00 petang manakala pada hari Jumaat waktu rehatnya adalah dari

jam 12.30 tengahari hingga 2.45 petang.

23. COW1 juga memaklumkan bahawa Pihak Yang Menuntut maklum tentang keperluan

untuk mematuhi waktu bekerja yang telah ditetapkan. Pada 06.03.2013 COW1 telah

mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Pihak Syarikat yang telah dihadiri oleh Pihak

Yang Menuntut; dan di dalam mesyuarat tersebut, para pekerja telah diingatkan bahawa

mereka adalah tertakluk kepada terma dan syarat perkhidmatan dan menyarankan jadual

kemasukan keluar masuk staff (COB ms 12) dan bahawa setiap pekerja perlu memaklumkan

pergerakan keluar pejabat kepada pihak pentadbiran.

11
24. Seterusnya pada 26.03.2013 Mesyuarat Pengurusan Tinggi telah dipengerusikan

oleh COW1 dan telah dihadiri oleh Pihak Yang Menuntut. Di dalam mesyuarat ini isu

mengenai pematuhan kehadiran ke pejabat telah dibangkitkan. Staff telah di arah untuk

mematuhi masa kehadiran yang tertakluk di dalam kontrak jawatan dan sekiranya staff gagal

hadir pada waktu sepatutnya, hendaklah memaklumkan kepada pegawai kanan (COB ms

17).

25. Pada 15.04.2013 Mesyuarat Pengurusan Mingguan Syarikat telah diadakan dan

telah dipengerusikan oleh COW1 (COB ms 23-31). Mesyuarat ini juga telah dihadiri oleh

Pihak Yang Menuntut. COW1 sekali lagi telah membangkitkan perkara mengenai kehadiran

dan pergerakan staff; di mana telah dimaklumkan bahawa Syarikat menggunakan sistem

kehadiran ANGKASA dan staff perlu memaklumkan kepada ketua mereka tentang sebarang

kelewatan dan staff juga perlu menggunakan dokumen keluar masuk pejabat mulai

15.04.2013.

26. Sekali lagi Mesyuarat Pengurusan Mingguan telah diadakan pada 09.05.2013 yang

juga telah dipengerusikan oleh COW1 dan telah dihadiri oleh Pihak Yang Menuntut (COB ms

32-38). Dalam mesyuarat ini juga staff telah dimaklumkan untuk mematuhi peraturan

mengenai keluar masuk pejabat.

27. Pada 10.05.2013 COW1 telah mengeluarkan satu memorandum dalaman

memaklumkan peringatan oleh Pengerusi Lembaga mengenai Pematuhan Peratuan Waktu

Kerja dan Keluar Pejabat kepada semua pegawai dan kakitangan (COB ms 48 & 49).

Memorandum tersebut memaklumkan keperluan untuk mematuhi peraturan keluar masuk

pejabat. Kesemua staff juga diberi peringatan tentang tindakan disiplin yang boleh diambil ke

12
atas mana-mana pegawai dan kakitangan yang gagal hadir pejabat tanpa kebenaran; atau

tanpa cuti yang sah; serta yang gagal untuk mematuhi waktu rasmi pejabat. Memorandum

dalaman tersebut telah dikeluarkan berikutan suatu mesyuarat bersama Pengerusi Lembaga

dan Timbalan Pengerusi pada 03.05.2013 yang telah mengarahkan COW1 untuk

memberikan peringatan dan amaran kepada kakitangan supaya mematuhi peraturan waktu

bekerja. COW1 juga telah diarah untuk mendapatkan maklumat rekod kehadiran dan keluar

masuk kakitangan dan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang didapati

melanggar peraturan waktu kerja berkenaan.

28. Susulan daripada itu COW1 telah mengarahkan Ketua Unit Pentadbiran dan

Kewangan Pihak Syarikat, Cik Rabiatul Idzani Bt Idham (COW2) untuk menyediakan rekod

kehadiran dan keluar masuk pegawai dan kakitangan yang direkodkan di dalam sistem

perakam kehadiran dan rekod keluar masuk. Menurut COW1, kehadiran dan keluar masuk

kakitangan direkodkan menggunakan sistem perakam milik pemilik bangunan iaitu Galeria

PJH yang menggunakan swipe card yang dikeluarkan atas nama setiap kakitangan yang

mempunyai identiti gambar, nombor kad pengenalan dan nombor batch kad berkenaan.

Pihak Yang Menuntut juga telah diberikan swipe card tersebut (COB ms 106).

29. COW1 selanjutnya memaklumkan bahawa melalui rekod yang disediakan beliau

mendapati Pihak Yang Menuntut telah melakukan banyak perlakuan tidak hadir kerja, datang

lewat dan balik awal secara konsisten. Sehubungan dengan itu, COW1 telah menyediakan

laporan dalam bentuk memorandum kepada Pengerusi Lembaga dan Timbalan pengerusi

(COB ms 42 & 43).

13
30. Susulan dari itu, Pengerusi Lembaga dan Timbalan pengerusi telah bersetuju untuk

satu surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada Pihak Yang Menuntut (COB ms 62-66).

Pertuduhan yang dikenakan adalah seperti berikut:

“3. Dukacita dimaklumkan bahawa rekod kehadiran dan keluar masuk tuan telah

merekodkan pelanggaran peraturan waktu pejabat secara konsisten. Butiran

rekod tersebut diringkaskan dalam Lampiran 1.

4. Ringkasan rekod berkenaan menunjukkan pelanggaran peraturan waktu

pejabat tuan dalam dua bentuk:

(a) Gagal hadir bertugas, atau gagal melaporkan ketidak hadiran di

pejabat atau tidak mendapatkan kebenaran cuti secara sah,

(b) Lewat hadir dan/atau gagal memaklumkan kelewatan hadir serta

keluar pejabat pada waktu rasmi bekerja tanpa kebenaran sah.

5. Sehubungan dengan itu, tuan didapati telah melanggar Perkara 5 dalam

terma dan syarat perkhidmatan serta Fasal 8.1(f) dalam Perjanjian

Perkhidmatan yang telah dizahirkan kepada tuan serta ditandatangani”…

31. Pihak Yang menuntut telah diberi masa selama 7 hari untuk memberikan penjelasan

secara bertulis terhadap pertuduhan tersebut. Namun Pihak Yang Menuntut gagal untuk

mengemukakan apa-apa penjelasan secara bertulis.

32. COW1 menjelaskan bahawa sistem merekodkan kehadiran dan keluar masuk

menggunakan swipe card adalah berdasarkan rekod first in last out. Ini bermaksud rekod kali

pertama pada hari bekerja berkenaan direkodkan sebagai waktu kehadiran dan rekod

terakhir pada hari berkenaan direkodkan sebagai waktu keluar dan pulang. Rekod rakaman

14
kehadiran tersebut itu akan dibandingkan dengan catatan pergerakan kakitangan yang

diurus dan disimpan oleh Ketua Unit Pentadbiran dan Kewangan (KUPK). Rekod ini

merekodkan maklumat yang diberikan oleh seseorang kakitangan jika dia bercuti iaitu

melalui borang cuti yang diluluskan oleh pegawai pengawal (CEO), Pengerusi/Timbalan

Pengerusi atau makluman lain seperti email, SMS atau panggilan telefon oleh pegawai atau

kakitangan kepada KUPK atau pembantu pentadbiran yang memaklumkan sebab ketidak

hadiran, kelewatan atau meninggalkan pejabat.

33. COW1 menerangkan bahawa terdapat dua rekod yang digunakan oleh Syarikat iaitu

sistem perakam swipe card dan buku catatan rekod cuti, kerja luar, kelewatan atau keluar

awal yang direkodkan dan disimpan oleh KUPK.

34. Menurut COW1 Pihak Yang Menuntut telah mula menggunakan swipe card pada

21.01.2013. Rekod cetakan computer daripada sistem perakam swipe card menunjukan

tarikh-tarikh di mana Pihak Yang Menuntut tidak hadir bekerja, lewat atau balik awal. Tarikh-

tarikh tersebut adalah seperti berikut:

(a) Januari 2013 (COB ms 81)

tidak hadir – pada 22hb, 24hb dan 28hb

lewat masuk – pada 21hb, 25hb dan 30hb

keluar awal – pada 31hb

(b) Februari 2013 (COB ms 83)

tidak hadir – pada 7hb, 13hb, 18hb, 20hb, 26hb dan 27hb

lewat masuk – pada 4hb, 5hb, 6hb, 8hb, 14hb, 15hb, 19hb, 21hb, 22hb, 25hb

dan 28hb

15
keluar awal – pada 14hb, 15hb dan 25hb

(c) Mac 2013 (COB ms 84)

tidak hadir – pada 11hb dan 20hb

lewat masuk – pada 4hb, 5hb, 6hb, 7hb, 8hb, 12hb, 13hb, 15hb, 18hb, 19hb,

21hb, 22hb, 25, 26hb dan 27hb

keluar awal – pada 1hb dan 27hb

(d) April 2013 (COB ms 86)

tidak hadir - pada 1hb, 5hb, 19hb, 22hb, 26hb dan 30hb

lewat masuk – pada 2hb, 3hb, 8hb, 9hb, 11hb, 12hb, 23hb, dan 24hb

keluar awal – pada 11hb

35. Menurut COW1 Pihak Yang Menuntut tidak memaklumkan COW1 atau pegawainya

sebab ketidak hadiran, kelewatan atau keluar awal pada tarikh-tarikh yang dinyatakan di

atas.

36. COW1 menerangkan bahawa seterusnya beliau telah mengemukakan satu

memorandum bertarikh 17.06.2013, kepada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi melaporkan

mengenai kegagalan Pihak Yang Menuntut untuk menjawab surat tunjuk sebab yang telah

dikeluarkan terhadapnya berkenaan dengan pertuduhan ketidak hadiran bekerja, lewat

masuk dan keluar awal tanpa kebenaran; dan telah memohon kebenaran Pengerusi dan

Timbalan Pengerusi untuk COW1 melaksanakan keputusan Mesyuarat Lembaga Pemegang

Amanah pada 31.05.2013 (COB ms 50-61), yang telah memutuskan untuk satu sesi siasatan

dalaman dilaksanakan terhadap Pihak Yang Menunutut (COB ms 107-109).

16
37. Atas kebenaran Pengerusi dan Timbalan Pengerusi, COW1 telah melaksanakan

proses siasatan dalaman. Pihak Yang Menuntut telah diberikan notis bertarikh 20.06.2013

untuk menghadiri sesi siasatan dalaman pada 26.06.2013 (COB ms 67 & 68). Sesi siasatan

dalaman telah dijalankan dan COW1 telah hadir sesi tersebut sebagai saksi dan Pihak Yang

Menuntut juga telah hadir sesi siasatan dalaman tersebut. Jawatan kuasa siasatan dalaman

telah mendapati Pihak Yang Menuntut bersalah terhadap pertuduhan dan berdasarkan

dapatan tersebut Lembaga Pemegang Amanah telah memutuskan untuk Pihak Yang

Menuntut ditamatkan perkhidmatan (COB ms 101-103). Sehubungan dengan itu pihak

Syarikat seterusnya telah mengeluarkan surat penamatan kerja terhadap Pihak Yang

Menuntut pada 12.07.2013 (COB ms 104-105).

38. COW2, Rabiatul Idzani Bt Idham adalah Ketua Unit Pentadbiran dan Kewangan

pihak Syarikat. COW2 bertanggung jawab menguruskan semua perkara berkaitan hal ehwal

pentadbiran seperti kehadiran, kemudahan kakitangan, payroll dan logistik pejabat serta hal

ehwal kewangan seperti akaun, bayaran terimaan dan akaun bank.

39. Pada masa material, COW2 merupakan Penolong Ketua Unit Pentadbiran dan

Kewangan yang bertanggung jawab merekodkan dan menyediakan laporan mengenai

kehadiran dan keluar masuk semua kakitangan pihak Syarikat.

40. Menurut COW2, dalam bulan Mei 2013, beliau telah di arah oleh COW1 untuk

mendapatkan maklumat rekod kehadiran dan keluar masuk semua kakitangan serta buku

rekod pemakluman cuti, kelewatan dan keluar masuk pegawai dan kakitangan untuk diteliti.

Susulan daripada arahan tersebut COW2 telah mendapatkan rekod cetakan komputer yang

merekodkan kehadiran kakitangan melalui sistem perakam swipe card di pintu masuk premis

17
pejabat. Menurut COW2, beliau telah menyerahkan laporan mengenai rekod cetakan

komputer bersama rekod pemakluman cuti, kelewatan dan keluar masuk kakitangan.

41. COW2 memaklumkan rekod kehadiran dan keluar masuk Pihak Yang Menuntut telah

menunjukkan Pihak Yang Menuntut tidak hadir, lewat masuk dan keluar awal pada tarikh-

tarikh berikut:

(a) Januari 2013 (COB ms 81)

tidak hadir – pada 22hb, 24hb dan 28hb

lewat masuk – pada 21hb, 25hb dan 30hb

keluar awal – pada 31hb

(b) Februari 2013 (COB ms 83)

tidak hadir – pada 7hb, 13hb, 18hb, 20hb, 26hb dan 27hb

lewat masuk – pada 4hb, 5hb, 6hb, 8hb, 14hb, 15hb, 19hb, 21hb, 22hb, 25hb

dan 28hb

keluar awal – pada 14hb, 15hb dan 25hb

(c) Mac 2013 (COB ms 84)

tidak hadir – pada 11hb dan 20hb

lewat masuk – pada 4hb, 5hb, 6hb, 7hb, 8hb, 12hb, 13hb, 15hb, 18hb, 19hb,

21hb, 22hb, 25, 26hb dan 27hb

keluar awal – pada 1hb dan 27hb

18
(d) April 2013 (COB ms 86)

tidak hadir - pada 1hb, 5hb, 19hb, 22hb, 26hb dan 30hb

lewat masuk – pada 2hb, 3hb, 8hb, 9hb, 11hb, 12hb, 23hb, dan 24hb

keluar awal – pada 11hb

42. COW2 menyatakan bahawa beliau dapat mengesahkan Pihak Yang Menuntut tidak

hadir bekerja pada tarikh-tarikh yang dinyatakan melalui rekod swipe card dan setelah beliau

membandingkan dengan rekod pemakluman oleh kakitangan yang tidak hadir, lewat masuk

atau keluar awal.

43. COW2 juga mengesahkan bahawa hanya beliau yang menyimpan dan mempunyai

akses dan kawalan kepada rekod kehadiran dan pergerakan kakitangan.

44. COW3, Syed Kamarulzaman Bin Syed Kabeer, Ahli Lembaga Pemegang Amanah

kepada Yayasan Angkasawan Malaysia adalah Pengerusi Jawatan kuasa Siasatan Dalaman

bersama 4 orang yang lain.

45. COW3 mengatakan beliau telah dimaklumkan oleh COW1 bahawa surat tunjuk

sebab yang telah dikeluarkan terhadap Pihak Yang Menuntut tidak dijawab. COW3 juga

telah dimaklumkan bahawa COW1 telah mendapat kelulusan Pengerusi dan Timbalan

Pengerusi untuk meneruskan tindakan siasatan dalaman oleh Jawatan kuasa Siasatan

Dalaman.

46. Seterusnya siasatan dalaman telah diadakan pada 26.06.2013 dengan

dipengerusikan oleh COW3 bersama dua lagi anggota iaitu Prof. Dr. Mohd Alauddin Mohd

19
Ali dan Datin Nur Wahidah Wong Abdullah. Sesi tersebut telah dibantu oleh dua pegawai

Yayasan iaitu En Abdul Razak Misban yang membacakan pertuduhan tunjuk sebab dan Cik

Natrah Ramli sebagai pencatat minit.

47. Menurut COW3, selepas pertuduhan dibacakan COW3 sebagai pengerusi telah

bertanya Pihak Yang Menuntut akan pengakuannya. Namun Pihak Yang Menuntut tidak

menjawab soalan tersebut sebaliknya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak

berkait langsung dengan pertuduhan ke atasnya.

48. Menurut COW3, sesi keterangan oleh Pihak Yang Menuntut telah mengambil masa

hampir 2 jam. Disepanjang sesi berkenaan, tidak ada satu pun pertuduhan yang

dikemukakan terhadap Pihak Yang Menuntut dijawab atau dinafikan oleh Pihak Yang

Menuntut. Malah beliau hanya mengeluarkan kenyataan-kenyataan dan menunjukkan

dokumen-dokumen yang tiada kaitan langsung dengan pertuduhannya. Pihak Yang

Menuntut juga enggan hadir ketika COW1 memberikan keterangan dan/atau menyoal balas

COW1, atas alasan ianya adalah atas nasihat peguamnya supaya tidak hadir.

49. COW3 seterusnya menjelaskan bahawa selepas mendengar keterangan Pihak Yang

Menuntut dan wakil Syarikat, dengan rujukan kepada peraturan dan terma perkhidmatan

dalam Perjanjian Tersebut; dan dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh Pihak Yang

Menuntut dan wakil syarikat; maka Jawatan kuasa Siasatan Dalaman telah berpuas hati

bahawa Pihak Yang Menuntut telah gagal menjawab surat tunjuk sebab terhadap salah laku

yang didakwa. Dalam prosiding pendengaran siasatan dalaman tersebut, Pihak Yang

Menuntut juga telah gagal dan tidak menjawab pertuduhan salah laku yang dikenakan ke

atasnya; serta gagal menafikan secara berfakta setiap pertuduhan yang dikenakan ke

20
atasnya. Jawatan kuasa Siasatan Dalaman setelah menilai keterangan-keterangan yang

diberikan oleh Pihak Yang Menuntut mendapati ianya sebagai keterangan yang bersifat

mengelak dan cuba mengalih perhatian jawatan kuasa daripada isu utama dalam

pertuduhan terhadap Pihak Yang Menuntut, iaitu tidak hadir bertugas, datang lewat serta

balik awal tanpa kebenaran dan kelulusan sah pegawai pengawalnya. Dokumen-dokumen

yang dikemukakan oleh Pihak Yang Menuntut kepada Jawatan kuasa Siasatan Dalaman

adalah dokumen-dokumen yang sama sekali tidak relevan dengan pertuduhannya dan tidak

boleh membebaskan Pihak Yang Menuntut daripada pertuduhan salah laku ke atasnya. .

50. COW3 menyatakan sehubungan dengan itu Jawatan kuasa Siasatan Dalaman telah

mendapati bahawa terdapat unsur salah laku yang gagal dinafikan oleh Pihak Yang

Menuntut dalam kes pertuduhannya.

51. Seterusnya, lapuran Jawatan kuasa Siasatan Dalaman telah disediakan dan telah

dikemukakan dalam Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah pada 27.06.2013 (COB ms

78-80) untuk keputusan.

52. Mustafa Din Bin Subari, COW4, merupakan Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga

Pemegang Amanah kepada Yayasan Angkasawan Malaysia. COW4 memaklumkan

Mahkamah bahawa beliau telah dimaklumkan tentang kes Pihak Yang Menuntut ketika

mesyuarat pengurusan di bulan Mei 2013 yang antara lain mesyuarat telah membincangkan

peraturan waktu bekerja yang wajib dikuat kuasakan oleh semua agensi di bawah

Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi. Mesyuarat tersebut juga telah bersetuju untuk

mengarahkan COW1 mengambil tindakan yang sesuai untuk memastikan kakitangan

Yayasan mematuhi peraturan waktu bekerja. Selepas mesyuarat berkenaan, COW1 telah

21
mengemukakan laporannya dalam bentuk memorandum yang melaporkan kes salah laku

dan pelanggaran kontrak oleh Pihak Yang Menuntut berkaitan ketidak hadiran dan insiden

datang lewat serta meninggalkan pejabat awal daripada waktu yang rasmi dalam bilangan

hari yang tidak wajar serta tanpa kebenaran yang sah oleh pegawai pengawal (COB ms 42).

Susulan daripada memorandum berkenaan COW4 serta Pengerusi Lembaga telah bersetuju

mengesyorkan supaya satu surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada Pihak Yang Menuntut

(COB ms 44).

53. Menurut COW4, pada 31.05.2013 Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah telah

diadakan dan sekali lagi kes itu telah dibincangkan dan Mesyuarat Lembaga telah

mengambil keputusan untuk mengarahkan COW1 mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada

Pihak Yang Menuntut atas salah laku yang didakwa. Lembaga juga telah memutuskan untuk

membuat pelantikan Jawatan kuasa Siasatan Dalaman bagi mendengar pertuduhan dan

jawapan Pihak Yang Menuntut. COW4 menyatakan bahawa jawatan kuasa tersebut terdiri

daripada Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer sebagai Pengerusi, dan ahli-ahlinya iaitu

Prof Dr Alauddin Mohd Ali, Datin Wahidah Wong Abdullah, Puan Noor Azah Abdul Aziz serta

En Rajini Ramlan sebagai ex-officio.

54. Selanjutnya COW4 memaklumkan bahawa COW1 telah melaporkan kepada beliau

dan Pengerusi Lembaga bahawa surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kapada Pihak Yang

Menuntut pada 04.06.2013 tetapi Pihak Yang Menuntut tidak menjawap surat tunjuk sebab

yang dikeluarkan kepadanya. COW4 dan Pengerusi Lembaga selanjutnya telah memberikan

kelulusan serta mengarahkan COW1 untuk meneruskan siasatan dalaman terhadap Pihak

Yang Menuntut.

22
55. Menurut COW4, Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah pada 27.06.2013 yang

telah dipengerusikan olehnya telah menerima laporan Jawatan kuasa Siasatan Dalaman.

Mesyuarat Lembaga telah dimaklumkan bahawa Jawatan kuasa Siasatan Dalaman telah

mendapati bahawa Pihak Yang Menuntut telah melakukan salah laku serius dan

menyerahkan kepada Mesyuarat Lembaga untuk membuat keputusan selanjutnya.

Rumusan Jawatan kuasa Siasatan Dalaman adalah:

(a) Pihak Yang Menuntut gagal menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan

oleh syarikat.

(b) Pihak Yang Menuntut juga gagal menjawab semua pertuduhan yang

dikenakan ke atasnya atau dapat meyakinkan jawatan kuasa bahawa beliau

mempunyai keterangan yang menafikan dakwaan tersebut atasnya.

(c) Pihak Yang Menuntut mengemukakan dokumen-dokumen yang banyak tetapi

tidak ada satu pun yang relevan dengan penafian ke atas pertuduhan salah

lakunya.

56. COW4 juga memaklumkan bahawa Lembaga juga telah mengambil kira aduan Pihak

Yang Menuntut yang mendakwa tidak mempunyai cukup masa untuk mengumpulkan

dokumen bukti sebelum sesi pendengaran siasatan dalaman dijalankan. Demi menjaga

integiriti Yayasan dan bagi keadilan, Lembaga telah membuat keputusan untuk memberi

masa tambahan selama 2 minggu untuk Pihak Yang Menuntut mengemukakan bukti atau

jawapan tambahan yang boleh menafikan perbuatan salah lakunya. Selaras dengan itu

Mesyuarat Lembaga telah bersetuju untuk menangguhkan keputusan berkaitan pertuduhan

ke atas Pihak Yang Menuntut. Pihak Yang Menuntut kemudian telah berjumpa COW4 dan

menyerahkan satu dokumen yang didapati tidak relevan sama sekali dengan kes

pertuduhannya.

23
57. Selanjutnya pada 12.07.2013, Lembaga Pemegang Amanah telah mengadakan satu

mesyuarat khas berhubung dengan kes Pihak Yang Menuntut. Selepas merujuk kepada

peraturan dan terma-terma perjanjian perkhidmatan Pihak Yang Menuntut dan laporan

Jawatan kuasa Siasatan Dalaman dan dokumen yang telah dikemukakan oleh Pihak Yang

Menuntut, maka Lembaga berpuas hati bahawa Pihak Yang Menuntut:

(a) telah gagal menjawab surat tunjuk sebab terhadap salah laku yang didakwa.

(b) telah gagal dan tidak menjawab secara munasabah pertuduhan salah laku

yang dikenakan ke atasnya serta gagal menafikan secara berfakta setiap

pertuduhan yang dikenakan ke atasnya ketika perbicaraan siasatan dalaman

diadakan.

(3) Walau pun telah diberi masa tambahan Pihak Yang Menuntut masih gagal

mengemukakan maklumat atau dokumen sokongan pembelaan yang relevan.

(4) Gagal mengemukakan bukti yang munasabah dan/atau mencukupi untuk

menjawab secara memuaskan kepada Jawatan kuasa Siasatan Dalaman bagi

melepaskan diri daripada pertuduhan salah laku ke atasnya.

57. COW4 menegaskan bahawa atas sebab yang tersebut, Lembaga Pemegang

Amanah telah mendapati Pihak Yang Menuntut bersalah di atas pertuduhan yang telah

dikenakan. Sehubungan dengan itu Lembaga telah memutuskan bahawa kontrak

perkhidmatan Pihak Yang Menuntut ditamatkan kerana salah laku dan pelanggaran terma

perkhidmatan. COW4 kenmudian telah mengeluarkan notis penamatan perkhidmatan

kepada Pihak Yang Menuntut pada 12.07.2013 (COB ms 104).

24
Kes Pihak Yang Menuntut

58. Pihak Yang Menuntut (CLW1) di dalam keterangannya telah menyangkal dakwaan

Pihak Syarikat terhadapnya dan menyatakan bahawa rekod keluar masuk yang telah

dikemukakan oleh Pihak Syarikat di dalam surat tunjuk sebab adalah tidak benar dan rekaan

semata-mata, kerana pada masa material Pihak Syarikat langsung tidak mempunyai

sebarang sistem rekod kehadiran dan/atau rekod keluar-masuk pekerja. Pihak Yang

Menuntut menegaskan bahawa sebagai Ketua Pengawai Operasi Syarikat pada masa

material beliau telah diberikan tanggungjawab untuk mewujudkan dan melaksanakan sistem

rekod kehadiran dan/atau keluar masuk pekerja tersebut. Pihak Yang Menuntut juga

menyatakan bahawa, sepanjang perkhidmatannya di Syarikat, sistem tersebut masih lagi di

dalam proses perancangan dan belum lagi digunapakai.

59. Pihak Yang Menuntut seterusnya menyatakan bahawa berdasarkan kepada senarai

tugas beliau, tanggung jawab beliau untuk mewujudkan dan melaksanakan sistem rekod

kehadiran dan/atau keluar masuk pekerja adalah termasuk di bawah tugasan pertama iaitu

“Mengarahkan, mentadbir dan menyelaras aktiviti-aktiviti operasi dalaman Yayasan selaras

dengan dasar, matlamat dan objektif penubuhan Yayasan”. Tugasan berhubung operasi

dalaman Yayasan merangkumi kerja-kerja dan/atau pelaksanaan sistem rekod kehadiran

dan/atau keluar masuk pekerja (CLB ms 2).

60. Pihak Yang Menuntut selanjutnya menyatakan bahawa jika pun beliau lewat masuk

ke pejabat atau tiada di pejabat, ianya adalah kerana beliau mempunyai urusan dan/atau

tugasan rasmi sebagai Ketua Pengawai Operasi Syarikat, yang kebanyakannya diadakan di

luar pejabat. Urusan dan/atau tugasan rasmi di luar pejabat tersebut adalah untuk

25
menyediakan dan melengkapkan kertas-kertas cadangan bagi perancangan aktiviti-aktiviti

Pihak Syarikat. Antara pihak-pihak yang perlu beliau berurusan pada masa material adalah

Planetarium Negara, pihak daripada Kementerian yang terlibat, pihak SPRM, NGO.

61. Pihak Yang Menuntut menjelaskan bahawa beliau telah mengemukakan

memorandum dalaman bertarikh 17.04.2013 kepada COW4 dan COW1 berhubung kertas-

kertas cadangannya untuk perancangan aktiviti-aktiviti Syarikat (CLB ms 12-14). Menurut

Pihak Yang Menuntut memorandum dalaman tersebut, jelas menunjukkan dalam tempoh 4

bulan pertama perkhidmatannya dengan Syarikat, beliau telah berjaya mengemukakan

kertas-kertas cadangan untuk perancangan yang mampu menaikkan nama Pihak Syarikat.

Memorandum dalaman tersebut juga jelas menunjukkan perancangan dan/atau

perlaksanaan bagi kertas-kertas cadangan tersebut melibatkan banyak kerjasama yang

berterusan bersama pihak-pihak luar antaranya Planetarium Negara, Kementerian, NGO,

SPRM dan sebagainya.

62. Menurut Pihak Yang Menuntut, beliau telah mengemukakan kertas cadangan bagi

Projek Penyelidikan, Penulisan & Penerbitan buku bertemakan “Malaysia in Space” (CLB ms

48 – 58). Menurut Pihak Yang Menuntut lagi berdasarkan kepada kandungan kertas

cadangan tersebut, ianya adalah jelas dan ketara bahawa projek yang dicadangkan tersebut

melibatkan banyak pihak dan bahawa ianya adalah menjadi tanggungjawab Pihak Yang

Menuntut untuk berurusan bersama pihak-pihak seperti Kementerian Sains, Teknologi dan

Inovasi (MOSTI), ANGKASA, UNSpace Agency dan lain-lain dalam menjayakan projek yang

terlibat.

26
63. Pihak Yang Menuntut menyatakan bahawa sebagai Ketua Pengawai Operasi

Syarikat, beliau mempunyai tanggungjawab yang besar yang mana bagi menjayakan dan

memikul tanggungjawab tersebut, ianya adalah menjadi keperluan untuk beliau berhubung

dan berurusan bersama pihak-pihak luar. Oleh itu Pihak Yang Menuntut, sering kali perlu

berada di luar pejabat untuk mengadakan pertemuan-pertemuan tersebut. Pihak Yang

Menuntut menegaskan bahawa pada setiap masa yang material di mana sekiranya beliau

tidak berada di pejabat, ianya adalah kerana beliau mempunyai urusan dan tugasan rasmi di

luar.

64. Pihak Yang Menuntut juga menyatakan bahawa sepanjang tempoh bermula Januari

2013 sehinggalah Jun 2013, apabila surat tunjuk sebab dikeluarkan kepadanya, pihak

Syarikat langsung tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran mahu pun peringatan

terhadapnya berhubung isu kehadiran tersebut. Pihak Yang Menuntut menegaskan Pihak

Syarikat pada masa material mempunyai pengetahuan bahawa beliau mempunyai banyak

urusan dan/atau tugasan rasmi diluar pejabat bersama pihak-pihak yang tertentu dan beliau

bukannya menghilangkan diri dan/atau ponteng daripada bekerja.

65. Pihak Yang Menuntut menyatakan bahawa Pihak Syarikat telah hanya

membangkitkan isu kehadirannya pada bulan Jun 2013 atas arahan COW1 yang pada masa

material baru sahaja dilantik dan berasa tidak puas hati dan/atau dengki dan/atau rasa

tergugat dan/atau mempunyai niat jahat terhadap pencapaian Pihak Yang Menuntut di

Syarikat.

66. Pihak Yang Menuntut juga dalam soalan balas menyatakan bahawa beliau telah

menjawab surat tunjuk sebab yang telah dikeluarkan oleh Syarikat kepadanya (CLB ms 80-

27
94). Walau bagaimana pun Mahkamah mendapati surat jawapan kepada surat tunjuk sebab

tersebut tidak dihantar kepada COW1 yang telah mengeluarkan surat tunjuk sebab tersebut.

67. Menurut Pihak Yang Menuntut beliau telah mengemukakan surat rayuan bertarikh

29.07.2013 kepada Pihak Syarikat untuk mempertimbangkan kembali keputusan penamatan

perkhidmatannya (CLB ms 104-105). Pihak Yang Menuntut juga mendakwa bahawa

penamatan perkhidmatannya merupakan suatu bentuk penganiayaan (victimization)

terhadapnya oleh Pihak Syarikat.

Dapatan

68. Notis penamatan perkhidmatan (COB ms 104) adalah jelas, dimana Pihak Yang

Menuntut telah ditamatkan perkhidmatannya bagi kesalahan yang telah dinyatakan di dalam

surat tunjuk sebab yang pertama (CLB ms 72-76), iaitu bagi kesalahan

a. Gagal hadir bertugas, atau gagal melaporkan ketidak hadiran di pejabat

atau tidak mendapatkan kebenaran bercuti secara sah,

b. Lewat hadir dan/atau gagal memaklumkan kelewatan hadir serta keluar

pejabat pada waktu rasmi bekerja tanpa kebenaran sah.

Maka pertuduhan di surat tunjuk sebab kedua adalah tidak berkaitan. Isu di hadapan

Mahkamah ini juga hanyalah berkaitan pertuduhan di surat tunjuk sebab yang pertama

sahaja.

69. Setelah meneliti kesemua keterangan yang telah diberikan di Mahkamah dan setelah

menyemak semua dokumen yang telah dikemukakan ketika perbicaraan, Mahkamah

28
mendapati, melalui semua mesyuarat pengurusan Syarikat yang telah dihadiri oleh Pihak

Yang Menuntut, Pihak Yang Menuntut mempunyai pengetahuan penuh mengenai keperluan

untuk mematuhi peraturan waktu bekerja; dan keperluan untuk memaklumkan ketidak

hadiran; serta mendapatkan kebenaran sah bagi kelewatan masuk dan keluar awal atau

keluar atas tugasan di luar pejabat dalam waktu bekerja rasmi.

70. Peguam Pihak Yang Menuntut telah menghujahkan bahawa sistem bangunan

Galeria PJH yang dirujuk oleh Syarikat adalah sistem untuk memberikan akses masuk dan

keluar bagi para pekerja Syarikat ke dalam bangunan tersebut sahaja dan tidak ada kaitan

dengan; dan tidak digunakan bagi tujuan sistem pengurusan sumber manusia pihak

Syarikat, kerana pada masa material Syarikat masih di dalam proses untuk melaksanakan

sistem rekod kehadiran yang perlu dilaksanakan oleh Pihak Yang Menuntut sendiri.

71. Mahkamah mendapati bahawa hujahan Pihak Yang Menuntut di atas adalah alasan

yang tidak munasabah kerana rekod kehadiran melalui swipe card Pihak Yang Menuntut

sendiri jelas menunjukan bahawa terdapat masa yang tercatat bila Pihak Yang Menuntut

masuk bekerja serta apabila beliau keluar dari bangunan tersebut. Bukti yang telah

dikemukakan oleh Syarikat melalui rekod cetakan komputer yang merekodkan kehadiran

kakitangan melalui sistem perakam kehadiran melalui swipe card di pintu masuk premis

pejabat di bangunan Galeria adalah bukti yang boleh diterima walau pun Syarikat tidak

mempunyai sistemnya sendiri. Penelitian Mahkamah terhadap dokumen di COB ms 81-84

dan 86 jelas menunjukan catatan waktu yang terperinci yang jelas menunjukan waktu keluar

masuk Pihak Yang Menuntut ke bangunan tersebut.

29
72. Keterangan COW2 juga jelas bahawa Pihak Yang Menuntut tidak memaklumkan

tentang alasan untuk masuk lewat dan keluar awal, serta untuk ketidak hadirannya. Rekod

Syarikat jelas menunjukan bahawa Pihak Yang Menuntut tidak hadir bekerja tanpa

kebenaran sebanyak 17 hari; datang lewat tanpa sebab sebanyak 38 kali; dan pulang awal

tanpa kebenaran sebanyak 7 kali dalam tempoh 68 hari bekerja mulai 21.01.2013 hingga

30.04.2013. Pihak Yang Menuntut selaku salah seorang pihak pengurusan tertinggi

seharusnya menjadi teladan kepada pekerja-pekerja lain di dalam Syarikat itu. Mahkamah

menganggap ini merupakan satu ketidak patuhan yang serius bagi seorang Ketua Pegawai

Operasi yang seharusnya lebih bertanggungjawab mengenai hal disiplin pematuhan waktu

bekerja.

73. Tambahan, Pihak Yang Menuntut juga dengan jelas telah mengakui bahawa beliau

telah lewat masuk pejabat dan/atau tiada di pejabat tanpa kebenaran kerana beliau

mempunyai urusan tugas rasmi sebagai Ketua Pegawai Operasi Syarikat, yang

kebanyakannya adalah di luar pejabat. Pihak Yang Menuntut juga menyatakan bahawa

tugasan rasmi di luar pejabat adalah untuk menyediakan dan melengkapkan kertas-kertas

cadangan bagi perancangan aktiviti-aktiviti Syarikat. Mahkamah berpendapat bahawa,

walau pun Pihak Yang Menuntut adalah seorang Ketua Pegawai Operasi, beliau adalah

tidak terkecuali daripada mematuhi peraturan keluar/masuk dan pematuhan waktu bekerja

pejabat; serta keperluan untuk mendapatkan kebenaran walau pun untuk urusan

menyediakan dan melengkapkan kertas-kertas cadangan bagi perancangan aktiviti-aktiviti

Syarikat sepertimana yang dinyatakan oleh Pihak Yang Menuntut. Mahkamah berpendapat

peraturan pematuhan waktu bekerja adalah terpakai bagi semua peringkat kakitangan

Syarikat. Tiada sebarang keterangan yang menunjukan Pihak Yang Menuntut mempunyai

pengecualian khas untuk masuk lewat, keluar awal, keluar tanpa kebenaran dan untuk tidak

30
hadir pejabat semata-mata kerana beliau adalah Ketua Pegawai Operasi Syarikat. Malah

sebagai seorang ketua beliau seharusnya menunjukan teladan yang baik kepada para

pekerja lain di Syarikat.

74. Salah laku ketidak hadiran bekerja tanpa kebenaran dan ketidak patuhan waktu

bekerja adalah salah laku yang serius. Di dalam kes Pan Global Textile Bhd Pulau Pinang

v Ang Beng Teik (22020 1 CLJ 181, Mahkamah Persekutuan telah merujuk dan

menyatakan bahawa:

“And as to absence of employee without permission, B.R. Ghaiye, at p. 712 of

the same book, said:

No employee can claim as a matter of right leave of absence without

permission and when there might not be any permission for the same.

Remaining absent without any permission is, therefore, gross violation

ofdiscipline … (emphasis added)

OP Malhotra in his book “The Law of Industrial Disputes” (2nd edn.), at p. 581-

582, said:

No employee can claim leave of absence as a matter of right, and

remaining absent without leave will itself constitute gross violation of

discipline. Hence, continued absence from work without permission will

constitute misconduct justifying the discharge of a workman from

service; (emphasis added)”

75. Di dalam kes Leo Burnett Advertising Sdn Bhd v The Bee Bee (2205) 1 ILR 141,

Pengerusi Mahkamah Perusahaan yang bijaksana telah memutuskan bahawa:

31
“This court is satisfied that the claimant has been a habitual late comer.

Lateness is absence without leave for the period between the time the

employee is required to arrive and the time he actually does arrive, and as a

species of unauthorized absence, it too, is misconduct. It is no excuse that

though she was late she had always accomplished her work on time. It is the

court’s view that the company has the right to demand the claimant to be

present at the starting time in the morning. It is irrelevant that the claimant was

late to work only for a few minutes. It is still misconduct, especially when she

had been warned to be punctual. The misconduct aggravates when lateness is

persistent.”

76. Di dalam kes Puan Azizah Binti Aziz v Overseas Assurance Corporation

(Malaysia) Berhad (Award no 1413 of 2006), Mahkamah Perusahaan memutuskan

bahawa:

“Accordingly and on the facts of this case the court finds that, the claimant was

in continuous absence from work and coupled with her failure to notify her

employers of her absence or have obtained approval before absenting herself

from work, her dismissal by the company was justified. Given the

circumstances and facts, surely equity and good conscience would dictate, the

circumstance: the circumstances and facts, surely equity and good conscience

would dictate that the company can only be justified in their action against the

claimant. Hence the claimant’s claim herein is dismissed.”

77. Pihak Yang Menuntut juga telah membangkitkan isu bahawa pihak Syarikat

mempunyai niat jahat terhadapnya. Mahkamah mendapati tiada apa-apa keterangan di

32
hadapan Mahkamah ini yang telah dikemukakan oleh Pihak Yang Menuntut untuk

membuktikan penyataan tersebut.

78. Setelah menimbangkan kesemua fakta dan keterangan di hadapan Mahkamah ini,

serta setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, Mahkamah mendapati pembuangan kerja

Pihak Yang Menuntut adalah dengan sebab dan alasan yang adil (with just cause and

excuse). Memandangkan salah laku yang telah dilakukan oleh Pihak Yang Menuntut adalah

serius maka Mahkamah mendapati hukuman buang kerja yang telah putuskan oleh Pihak

Syarikat adalah setimpal dengan salah laku yang telah dibuat oleh Pihak Yang Menuntut.

79. Dengan itu, mengambil kira seksyen 30(5) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang

memerlukan Mahkamah ini bertindak mengikut ekuiti, perasaan nurani dan merit teguh kes

ini tanpa menghiraukan perkara teknikal dan bentuk undang-undang, mendapati

pembuangan kerja Pihak Yang Menuntut adalah dengan sebab dan alasan yang adil. Kes

Pihak Yang Menuntut adalah dengan ini ditolak.

DIPERTURUNKAN DAN BERTARIKH PADA 31 MEI 2017

-signed-

( JAMHIRAH ALI )
PENGERUSI
MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR

33

Você também pode gostar