Você está na página 1de 19

MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA

NO. KES: 10/4 – 290/15

ANTARA

VIJAYAKUMARAN A/L VELUSAMY

DAN

UMW TOYOTA MOTOR SDN. BHD.

NO. AWARD: 855 TAHUN 2017

Di Hadapan : Y.A. DATO' RASIDAH BINTI HJ. CHIK


- Pengerusi

Tempat : Mahkamah Perusahaan, Cawangan Perak

Tarikh Rujukan : 26 Mac 2015

Tarikh Sebutan : 26 Mei 2015, 26 Jun 2015, 4 Ogos 2015, 20 Ogos


2015, 23 September 2015, 27 Oktober 2015 &
4 April 2016

Tarikh Bicara : 3 Mei 2016 & 4 Mei 2016

Representasi : Encik Raam Kumaar


Tetuan KB Tan, Kumar + Partners
Peguambela & Peguamcara
[Peguam Pihak Yang Menuntut]

Pihak Yang Menuntut – Hadir

Encik Tan Kee Tett


Pegawai Perhubungan Perusahaan
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia(MEF)
[Wakil Pihak Responden

1
Rujukan

Ini adalah suatu rujukan yang bertarikh 26 Mac 2015 oleh Y.B. Menteri Sumber Manusia,
Malaysia, di bawah Seksyen 20(3), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 berkaitan
dengan pembuangan kerja Vijayakumaran A/L Velusamy (selepas ini disebut sebagai
Pihak Menuntut) oleh UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (selepas ini disebut sebagai Pihak
Syarikat) pada 27 Oktober 2014.

AWARD

Fakta Kes

1. Pihak Menuntut telah mula bekerja dengan Pihak Syarikat pada 19.9.2005 sebagai
Juruteknik dan ini adalah jawatan terakhir yang dipegang olehnya sehinggalah
pembuangan kerja ini berlaku. Gaji terakhir beliau adalah RM2411.00 sebulan.
Sebagai seorang Juruteknik, Pihak Menuntut bertanggungjawab untuk
menjalankan kerja-kerja servis kereta-kereta pelanggan.

2. Pihak Syarikat melalui surat bertarikh 23.10.2014 (mukasurat 69-70 COB-1) telah
memaklumkan kepada Pihak Menuntut bahawa perkhidmatan beliau ditamatkan
mulai 27.10.2014 atas alasan beliau telah didapati bersalah melakukan salah laku
yang serius.

3. Pihak Syarikat terlibat dalam perniagaan memasang dan memasarkan kenderaan


jenama Toyota. Bagi cawangan Ipoh pula selain daripada menguruskan penjualan
kenderaan, Syarikat juga turut menyediakan perkhidmatan servis kenderaan
kepada pelanggan-pelanggan. Pihak Menuntut adalah antara Juruteknik yang
bertanggungjawab untuk melakukan servis kenderaan pelanggan-pelanggan.

2
4. Pada 8.9.2014, sebuah kenderaan Toyotav Avanza dengan nombor pendaftaran
WWQ 5455 telah dihantar ke pusat servis di Jalan Kuala Kangsar untuk tujuan
servis. Kenderaan tersebut telah diagihkan kepada Pihak Menuntut dan COW-4
untuk penukaran minyak enjin, penapis minyak, ‘balancing’ dan
‘alignment’ tayar.

5. Lebihkurang pukul 5.30 petang iaitu sejurus selepas kenderaan tersebut diambil
oleh pelanggan setelah diservis oleh Pihak Menuntut dan COW-4, COW-1 telah
menerima panggilan daripada pelanggan tersebut yang memberitahu tayar
belakang sebelah kiri kenderaan tersebut telah tercabut. COW-1 bersama-sama
dengan COW-2 telah bergegas ke tempat kejadian dan di sana mereka dapat
melihat tayar belakang sebelah kiri telah tercabut dan tercampak di atas jalan.
COW-2 telah mengambil gambar-gambar (mukasurat 62 COB-1) dan seterusnya
membawa balik kenderaan tersebut ke worksyop.

6. Pada 9.9.2014, Syarikat telah memanggil semua pekerja yang terlibat dalam kerja-
kerja servis kenderaan tersebut. Pihak Menuntut adalah antara yang dipanggil
dalam siasatan tersebut. Hasil siasatan tersebut menunjukkan Pihak Menuntut
telah tidak mengetatkan salah satu daripada 4 tayar kereta tersebut (rujuk
mukasurat 56 COB-1). Oleh itu satu notis siasatan dalaman telah dikeluarkan oleh
Syarikat kepada Pihak Menuntut yang memaklumkan bahawa Syarikat akan
menjalankan satu siasatan dalaman terhadap Pihak Menuntut atas dua tuduhan
iaitu Pihak Menuntut telah cuai dalam menjalankan tugasnya memasang tayar dan
tidak mengetatkan tayar belakang sebelah kiri kenderaan tersebut dan gagal
mematuhi Service Procedure yang biasa iaitu gagal menguji semula selepas tayar
dipasang dan diikat. Siasatan dalaman telah dijalankan pada 19.9.2014 dan
setelah menimbang semua keterangan yang dikemukakan sepanjang prosiding
siasatan dalaman tersebut, panel siasatan secara sebulat suara mendapati Pihak
Menuntut bersalah di atas kedua-dua tuduhan yang dikenakan keatasnya.

3
7. Syarikat berpendapat salah laku yang telah dilakukan oleh Pihak Menuntut adalah
serius kerana ianya melibatkan keselamatan dan nyawa pelanggan dan orang
ramai serta telah menjejaskan reputasi Syarikat. Ini menyebabkan Syarikat telah
hilang kepercayaan terhadap Pihak Menuntut, dengan itu Syarikat tidak ada
pilihan lain selain daripada memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Pihak
Menuntut mulai 27.10.2014 (rujuk surat penamatan bertarikh 23.10.2014 yang
terdapat di mukasurat 69-70 COB-1). Oleh sebab itu Pihak Syarikat menegaskan
penamatan kerja Pihak Menuntut telah dibuat dengan sebab atau alasan yang adil.

Kes Pihak Responden

8. Pihak Syarikat telah mengemukakan seramai 8 orang saksi iaitu:

i. Loagansrau A/L Krishnan (COW-1)


ii. Mohd.Azmulmunir Bin Mohd Yusof (COW-2)
iii. Intan Nurbaiduri Binti Nor Azlan (COW-3)
iv. S. Normansiri A/L Susirpala (COW-4)
v. Kumaresan A/L Letchuman (COW-5)
vi. Chan Hoon Ming (COW-6)
vii. Mohd. Arif Bin Fazil (COW-7)
viii. Zaffarin Bin Mohamed Jasmani (COW-8)

9. COW-1 adalah Manager-Customer Service Operation Division. Menurut beliau


pada 8.9.2014 lebihkurang 5.30petang, beliau telah menerima panggilan telefon
daripada seorang pelanggan iaitu pemilik kereta Toyota Avanza yang
memberitahu bahawa tayar belakang sebelah kiri kereta beliau telah tercabut di
atas jalan selepas kereta tersebut di hantar untuk diservis di Syarikat. COW-1
bersama-sama dengan COW-2 telah ke tempat kejadian iaitu di Jalan Kuala
Kangsar. Sampai di sana, beliau mendapati tayar belakang sebelah kiri kereta
tersebut telah tercabut dan kereta tersebut juga mengalami kerosakan di bahagian
belakang. COW-1 cuba mententeramkan pemandu kenderaan tersebut yang

4
ketika itu sedang marah dan berjanji akan menyiasat perkara tersebut dan Syarikat
akan menanggung kos pembaikan kenderaan tersebut. COW-1 seterusnya
menyatakan Syarikat telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM8000.00
untuk memperbaiki kerosakan pada kenderaan tersebut. COW-2 pula telah
mengambil gambar-gambar kenderaan tersebut (mukasurat 62 COB-1). Selepas
itu beliau telah mengarahkan COW-2 untuk memasang kembali tayar kereta
tersebut dan membawa kenderaan tersebut ke worksyop.

10. COW-1 seterusnya menyatakan pada 9.9.2014, semasa beliau menjalankan


siasatan mengenai insiden yang berlaku, Pihak Menuntut telah mengakui bahawa
beliau yang telah memasang semula keempat-empat tayar kereta Toyota Avanza
tersebut dan mengakui beliau terlupa untuk mengetatkan skru tayar, beliau juga
tidak melakukan pemeriksaan semula setelah tayar-tayar tersebut di pasang.
Kenyataan Pihak Menuntut adalah seperti yang terdapat di mukasurat 56 COB-1.
Menurut COW-1 lagi kenyataan tersebut telah ditulis oleh COW-3 kerana Pihak
Menuntut menyatakan beliau tidak tahu untuk membuat ayat, dengan itu COW-1
telah meminta COW-3 untuk menolong Pihak Menuntut. Selain daripada Pihak
Menuntut, terdapat dua orang lagi yang terlibat semasa kenderaan tersebut
dihantar untuk diservis dan kenyataan daripada mereka juga telah diambil
(mukasurat 58 dan 60 COB-1).

11. COW-1 telah memaklumkan kepada COW-8 mengenai kejadian yang berlaku dan
hasil daripada siasatan yang dijalankan melalui e-mail bertarikh 9.9.2014
(mukasurat 53 COB-1). Pihak ibu pejabat kemudiannya memutuskan untuk
menjalankan siasatan dalaman bagi menyiasat kejadian yang telah berlaku.
Siasatan dalaman telah dijalankan pada 19.9.2014 dan setelah menimbang
semua keterangan yang dikemukakan dalam prosiding tersebut, panel siasatan
secara sebulat suara mendapati Pihak Menuntut bersalah atas kedua-dua
tuduhan yang dikenakan keatasnya. COW-1 menyatakan kegagalan untuk
memasang kembali tayar dan mengetatkannya secara sewajarnya adalah satu
kesalahan yang serius kerana ianya melibatkan keselamatan dan nyawa
pelanggan.

5
12. COW-2 adalah Technical Leader dimana beliau bertanggungjawab untuk
menyelia semua juruteknik dan Team Leader. Menurut COW-2 pada 8.9.2014,
beliau telah ke tempat kejadian bersama-sama COW-1 dan sebaik sampai di sana,
beliau mendapati tayar belakang sebelah kiri kereta Toyota Avanza telah tercabut
dan tercampak di atas jalan. Kereta ini baru sahaja dibawa keluar dari Syarikat
selepas diservis. COW-2 menyatakan kejadian ini berlaku kerana skru tayar telah
tidak diikat oleh Juruteknik mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. COW-2
telah mengambil gambar-gambar (mukasurat 62 COB-1) yang menunjukkan
kerosakan teruk yang dialami oleh kereta tersebut. Selepas itu COW-2 telah
memasang kembali tayar kereta tersebut dan membawa kereta tersebut ke
worksyop.

13. COW-2 menyatakan hasil daripada siasatan yang dijalankan, mendapati kereta
tersebut telah diagihkan kepada dua orang Juruteknik iaitu Pihak Menuntut dan
COW-4 untuk diservis. Setelah kedua-dua Juruteknik tersebut disoal siasat,
didapati Pihak Menuntut yang telah mengikat tayar kereta tersebut. Seterusnya
COW-2 menjelaskan bagaimana ‘balancing’ dan alignment’ tayar dibuat, iaitu
Juruteknik akan membuka keempat-empat tayar dan kemudiannya pihak
kontraktor akan mengambil tayar-tayar tersebut untuk tujuan ‘balancing’. Setelah
itu pihak kontraktor akan menghantar semula tayar-tayar tersebut kepada
Juruteknik dimana Juruteknik akan memasang tayar-tayar tersebut dengan
menggunakan ‘air gun’. Selepas itu Juruteknik perlu menggunakan alat ‘Torque
Wrench’ untuk memastikan tayar-tayar tersebut telah diikat dengan ketat.
Seterusnya kereta akan dihantar kepada kontraktor untuk ‘alignment’. Semasa
proses ‘alignment’ ini tayar-tayar tidak perlu dibuka dan dipasang semula.

14. COW-3 pula adalah Executive-Customer Service. Mengikut COW-3 pada


9.9.2014 beliau telah diminta oleh COW-1 untuk merekodkan pernyataan dari
Pihak Menuntut dan dua orang yang lain. Oleh kerana Pihak Menuntut
menyatakan beliau tidak tahu untuk menulis ayat-ayat, maka COW-3 telah
membantu beliau untuk menulis mengikut apa yang beliau katakan. Selepas itu

6
COW-3 telah membaca balik pernyataan Pihak Menuntut untuk disahkan
kandungannya dan kemudiannya Pihak Menuntut telah menurunkan
tandatangannya. Disamping itu COW-3 juga turut menyaksikan COW-4 dan COW-
5 menulis sendiri pernyataan mereka.

15. Sementara COW-4 pula adalah Juruteknik yang sama-sama bertugas dengan
Pihak Menuntut untuk melakukan servis ke atas kenderaan Toyota Avanza
tersebut. Menurut COW-4 setelah mereka membuka tayar kereta tersebut, pihak
kontraktor telah mengambil tayar-tayar tersebut untuk tujuan ‘balancing’. Setelah
itu pihak kontraktor telah menghantar balik tayar-tayar tersebut. Beliau dan Pihak
Menuntut telah memasang semula tayar-tayar tersebut dimana beliau memasang
tayar-tayar di bahagian sebelah kanan kereta dan Pihak Menuntut pula memasang
tayar-tayar di bahagian sebelah kiri. Setelah itu beliau telah meminta Pihak
Menuntut untuk memasang dan mengetatkan semua skru tayar-tayar kerana
beliau perlu ke ‘control room’. Menurut COW-4 lagi, untuk memastikan skru tayar
telah dipasang dengan ketat, alat yang dinamakan ‘air gun’ perlu digunakan.
Selepas itu ‘Torque Wrench’ pula perlu digunakan bagi memastikan tayar-tayar
telah diikat dengan betul. Setelah itu barulah kereta tersebut akan dihantar kepada
kontraktor untuk ‘alignment’ dilakukan. Semasa ‘alignment’ dijalankan, pihak
kontraktor tidak diperlukan lagi untuk membuka tayar kereta tersebut.

16. Saksi Syarikat seterusnya adalah COW-5 yang merupakan pekerja pihak
kontraktor yang bertanggungjawab untuk menjalankan ‘balancing’ dan ‘alignment’
kereta Toyota Avanza tersebut. Menurut COW-5, beliau telah membuat ‘balancing’
tayar setelah tayar-tayar diambil daripada Pihak Menuntut. Selepas ‘balancing’,
tayar-tayar telah dihantar balik kepada Pihak Menuntut untuk di pasang semula.
Setelah tayar-tayar dipasang dan diketatkan oleh Pihak Menuntut, kereta telah
dihantar kepada beliau untuk ‘alignment’ dan semasa ‘alignment’ dijalankan,
tayar-tayar tidak dibuka semula.

7
17. COW-6 pula adalah Pengerusi yang telah dilantik untuk siasatan dalaman yang
telah dijalankan pada 19.9.2014. Mengikut COW-6, berdasarkan notis siasatan
dalaman, tuduhan yang dikenakan keatas Pihak Menuntut adalah beliau telah
gagal mengetatkan tayar belakang sebelah kiri kereta Toyota Avanza dan ini telah
menyebabkan tayar tersebut tercabut di atas jalan raya semasa kenderaan
tersebut di pandu oleh pelanggan dan Pihak Menuntut juga gagal menjalankan
‘self inspection’ ke atas tayar-tayar tersebut selepas tayar-tayar itu dipasang.
COW-6 menyatakan Pihak Menuntut telah diwakili oleh Pegawai Kesatuan
Sekerja sepanjang prosiding siasatan dalaman tersebut dijalankan. Setelah
mendengar keterangan-keterangan yang dikemukakan, Panel sebulat suara
mendapati Pihak Menuntut bersalah atas kedua-dua tuduhan tersebut.

18. Saksi Pihak Syarikat seterusnya adalah pegawai yang dilantik untuk mencatit nota
dalam prosiding siasatan dalaman yang telah dijalankan. Menurut COW-7, nota-
nota siasatan yang telah diambil oleh beliau adalah seperti yang terdapat di
mukasurat 11-41 COB-1. COW-7 mengesahkan nota-nota tersebut adalah tepat
(accurate).

19. Saksi terakhir Pihak Syarikat, COW-8, adalah Pengurus Perhubungan


Perusahaan Syarikat. Beliau menyatakan telah menerima laporan bahawa kereta
Toyota Avanza nombor pendaftaran WWQ 5455 yang telah dihantar untuk servis
dan kemudiannya semasa pelanggan memandu kereta tersebut selepas dibawa
keluar dari pusat servis Pihak Syarikat, tayar kereta tersebut telah tercabut di atas
jalan. Hasil siasatan menunjukkan Pihak Menuntut yang bertanggungjawab untuk
memasang semula tayar kereta tersebut tetapi beliau telah gagal memastikan
tayar telah diikat dengan ketat dan sempurna. Satu siasatan dalaman telah
dijalankan dan panel mendapati Pihak Menuntut bersalah atas tuduhan-tuduhan
yang dikenakan terhadapnya iaitu terlupa untuk mengikat tayar dan tidak membuat
ujian setelah tayar diikat. COW-8 menyatakan salah laku yang telah dilakukan itu
adalah serius kerana ianya melibatkan keselamatan dan nyawa pelanggan. Di
samping itu kecuaian tersebut juga mengakibatkan reputasi Syarikat terjejas dan

8
kualiti kerja serta kepercayaan pelanggan terhadap Syarikat berada dalam
keadaan yang diragui. Oleh itu Syarikat tidak ada pilihan lain selain daripada
menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut.

Kes Pihak Menuntut

20. Pihak Menuntut dalam keterangannya menyatakan beliau telah mula bekerja
dengan Syarikat pada 19.9.2005 sebagai Juruteknik dan menerima gaji sebanyak
RM 2411.00 sebulan. Beliau selanjutnya menyatakan semasa servis dijalankan,
beliau membuka tayar kenderaan untuk dibuat ‘balancing’ oleh pihak kontraktor.
Setelah memeriksa keadaan kereta dan servis brek, beliau akan memasang
semula tayar-tayar kereta dan seterusnya kereta dihantar kepada kontraktor untuk
‘alignment’, melihat keadaan tayar dan memeriksa semula semua skru-skru yang
telah dipasang pada tayar. Pihak Menuntut juga menyatakan selepas beliau servis
brek, beliau telah memasang tayar dengan menggunakan ‘air gun’ dan tangan.

21. Berkaitan dengan pernyataan yang terdapat di mukasurat 56 COB-1, Pihak


Menuntut menafikan kandungan pernyataan tersebut adalah pernyataan yang
diberikan oleh beliau. Beliau menyatakan COW-1 telah menyuruhnya
menandatangani kertas kosong supaya COW-1 dapat menerangkan kepada HR
mengenai apa yang berlaku, oleh itu beliau pun menandatangani kertas kosong
tersebut.

Isu

22. Isu yang perlu diputuskan adalah:

i. Sama ada Pihak Syarikat telah berjaya membuktikan salah laku-salah laku
yang didakwa telah dilakukan oleh Pihak Menuntut; dan

9
ii. Sekiranya ianya telah dibuktikan, sama ada penamatan kerja adalah
dengan sebab atau alasan yang adil.

Undang-Undang

23. Fungsi Mahkamah Perusahaan dalam kes-kes rujukan di bawah Seksyen 20, Akta
Perhubungan Perusahaan 1967 adalah dua hala iaitu menentukan sama ada
salah laku yang didakwa telah dilakukan itu telah dibuktikan dan sama ada salah
laku yang dibuktikan itu adalah satu sebab atau alasan yang adil yang mewajarkan
kepada tindakan pembuangan kerja. Ini adalah selaras dengan keputusan
Mahkamah Persekutuan dalam kes Milan Auto Sdn. Bhd. v. Wong Seh Yen
[1995] 3 MLJ 537 iaitu:
“... the function of the Industrial Court in dismissal cases on a reference under
s.20 is twofold, firstly to determine whether the misconduct complained of by
the employer has been established, and secondly whether the proven
misconduct constitutes just cause or excuse for the dismissal.”

24. Dalam kes Wong Yuen Hock v. Syarikat Hong Leong Assurance Sdn. Bhd. &
Anor [1995] 3 CLJ 344 pula telah diputuskan:

“On the authorities, we were of the view that the main and only function of the
Industrial Court in dealing with a reference under section 20 of the Act (unless
otherwise provided by the terms of reference), is to determine whether the
misconduct or irregularities complained of by the Management as the grounds
of dismissal were in fact committed by the workman, and if so, whether such
grounds constitute just cause or excuse for the dismissal.”

25. Oleh kerana Pihak Syarikat telah mengambil keputusan untuk menamatkan
perkhidmatan Pihak Menuntut atas alasan-alasan seperti yang dinyatakan dalam
surat penamatan kerja, maka beban adalah terletak atas Pihak Syarikat untuk
membuktikan salah laku-salah laku tersebut telah dilakukan oleh Pihak Menuntut.

10
Ini adalah seperti yang diputuskan dalam kes Goon Kwee Phoy v. J & P Coats
(M) Sdn. Bhd. [1981] 2 MLJ 129 iaitu:

“Where representations are made and are referred to the Industrial Court for
enquiry, it is the duty of that court to determine whether the termination or
dismissal is with or without just cause or excuse. If the employer chooses to
give a reason for the action taken by him, the duty of the Industrial Court will
be to enquire whether that excuse or reason has or has not been made out. If
it finds as a fact that it has not been proved, the inevitable conclusion must be
that the termination or dismissal was without just cause or excuse. The proper
enquiry of the court is the reason advanced by it and that the court or the High
Court cannot go into another reason not relied on by the employer or find one
for it.”

26. Dalam kes-kes pembuangan kerja, undang-undang adalah mantap iaitu beban
pembuktian adalah terletak di atas pihak majikan untuk membuktikan pekerja
tersebut telah melakukan salah laku seperti yang didakwa. Dalam kes Ireka
Construction Berhad v. Chantiravathan a/l Subramaniam James [1995] 2 ILR
11 telah diputuskan:
“ It is a basic principle of industrial jurisprudence that in a dismissal case the
employer must produce convincing evidence that the workman committed the
offence or offences the workman is alleged to have committed for which he
has been dismissed. The burden of proof lies on the employer to prove that
he has just cause and excuse for taking the decision to impose the disciplinary
measure of dismissal upon the employee. The just cause must be, either a
misconduct, negligence or poor performance based on the facts of the case.”

27. Beban pembuktian yang terletak di atas pihak majikan adalah atas imbangan
kebarangkalian. Ini adalah seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan
dalam kes Telekom Kawasan Utara v. Krishnan Kutty Sanguni Nair & Anor
[2002] 3 CLJ 314, iaitu:

“...it is quite clear to us that the Industrial Court should not be burdened with
the technicalities regarding the standard of proof, the rules of evidence and
procedure that are applied in a court of law. The Industrial Court should be

11
allowed to conduct its proceedings as a “court of arbitration”, and be more
flexible in arriving at its decision, so long as it gives special regard to
substantial merits and decide a case in accordance with equity and good
conscience.”

Penilaian Keterangan dan Dapatan Mahkamah

28. Berdasarkan kepada notis siasatan dalaman bertarikh 12.9.2014, Pihak Syarikat
mendakwa Pihak Menuntut telah melakukan kesalahan-kesalahan seperti berikut:

i. On 8th September 2014, you are alleged to have been negligent in performing the service
for a Toyota Avanza bearing the registration WWQ 5455 when you have forgotten to
tighten the left rear tyre resulting the vehicle broke down after been driven about 800
metres from the service centre as the tyre came off.

ii. With regards to the same vehicle mentioned above, you have failed to follow the normal
Service Procedure which is to perform self-inspection after tightening the tyres for this
vehicle WWQ 5455 whereby this should have been done after the completion of balancing
work.

Siasatan Dalaman

29. Pihak Syarikat telah menjalankan satu prosiding siasatan dalaman terhadap
Pihak Menuntut pada 19.9.2014 sebelum Pihak Syarikat memutuskan untuk
menamatkan perkhidmatan Pihak Menuntut. Nota-nota prosiding dalaman
tersebut adalah seperti di mukasurat 10-44 COB-1. Memandangkan satu siasatan
dalaman telah dijalankan sebelum penamatan kerja Pihak Menuntut, maka
adalah menjadi tugas Mahkamah untuk meneliti nota-nota prosiding siasatan
dalaman tersebut dan seterusnya mengesahkan sama ada siasatan dalaman
tersebut dijalankan secara teratur dan sama ada nota-nota prosiding adalah
tepat. Ini adalah seperti yang telah dinyatakan oleh Y.A Raus Sharif, HMT, ( Y.A
ketika itu) dalam kes Bumiputra Commerce Bank Bhd. v. Mahkamah
Perusahaan Malaysia & Anor [2004] 7 MLJ 441 iaitu:
12
“...thus, I am of the view that the principle laid down in both cases cannot be
said to extend to instances where a domestic inquiry has been held. As such,
I am in agreement with the submissions of learned Counsel for the applicant
that, where due inquiry has been held, the Industrial Court's jurisdiction is
limited to considering whether there was a prima facie case against the
employee...”
...Thus, I am of the view that in cases of this nature, the Industrial Court should
first consider whether or not the domestic inquiry was valid and whether the
inquiry notes are accurate. In the absence of such consideration and a finding
on the validity of the domestic inquiry and accuracy of the inquiry notes, the
Industrial Court's action in proceeding to decide the matter without any regard
to the notes of inquiry cannot be described as anything more than an error of
law”.

30. Setelah meneliti nota-nota prosiding siasatan dalaman tersebut, Mahkamah


mendapati siasatan dalaman itu telah dijalankan dengan cara yang teratur dan
sah, nota-nota adalah tepat dan menggambarkan sepenuhnya prosiding siasatan
dalaman yang telah dijalankan serta telah mematuhi prinsip keadilan asasi. Pihak
Menuntut telah diberi peluang untuk pendengaran dan pembelaan yang
sewajarnya. Pihak Menuntut juga telah diwakili oleh Pegawai Kesatuan Sekerja
sepanjang perbicaraan siasatan dalaman tersebut. Pihak Menuntut dan wakilnya
telah dibenarkan untuk menyoal balas saksi-saksi Pihak Syarikat dan juga
membentangkan pembelaannya dan mengemukakan saksi-saksi beliau. Oleh itu
Mahkamah mendapati siasatan dalaman tersebut telah dijalankan dengan cara
yang teratur dan sah, nota-nota adalah tepat dan menggambarkan sepenuhnya
prosiding siasatan dalaman yang telah dijalankan serta telah mematuhi prinsip
keadilan asasi.

31. Memandangkan perkhidmatan Pihak Menuntut telah ditamatkan oleh Pihak


Syarikat atas alasan Pihak Menuntut telah melakukan salah laku-salah laku seperti
yang dinyatakan di atas, maka beban terletak di atas Pihak Syarikat untuk
membuktikan Pihak Menuntut telah melakukan salah laku-salah laku tersebut.

13
Untuk tuduhan pertama, Pihak Menuntut didakwa telah cuai semasa menjalankan
servis ke atas kereta Toyota Avanza WWQ 5455 apabila lupa untuk mengetatkan
tayar belakang sebelah kiri kereta tersebut dan ini menyebabkan tayar tersebut
telah tercabut semasa dipandu di atas jalanraya oleh pelanggan.

32. Setelah meneliti keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah


mendapati tidak ada secebis keterangan yang dikemukakan untuk membuktikan
bahawa Pihak Menuntut telah cuai dalam menjalankan kerjanya semasa kereta
Toyota Avanza tersebut diservis oleh beliau. Bukti yang ada di hadapan
Mahkamah adalah pernyataan yang didakwa telah diberikan oleh Pihak Menuntut
semasa siasatan dijalankan oleh COW-1. Pihak Menuntut dalam keterangannya
telah menjelaskan bahawa beliau telah diminta oleh COW-1 untuk
menandatangani kertas kosong. Sekiranya kita merujuk kepada pernyataan
tersebut (mukasurat 56 COB-1), didapati terdapat ruang kosong antara bahagian
akhir pernyataan tersebut dengan bahagian tandatangan. Persoalannya adalah
sekiranya pernyataan tersebut diberikan oleh Pihak Menuntut dan ditulis oleh
COW-3, mengapa perlu ada ruang kosong tersebut. Pihak Menuntut dan COW-3
boleh saja menurunkan tandatangan mereka selepas peryataan tersebut. COW-1
dan COW-3 tidak dapat menerangkan mengenai ruangan kosong yang terdapat
dalam pernyataan tersebut.

33. Selain daripada itu kandungan pernyataan tersebut juga menggunakan nama
Pihak Menuntut (Vijaya) dan tidak menggunakan gantinama “saya”. Ini
menunjukkan dan menyokong dakwaan Pihak Menuntut bahawa beliau hanya
menandatangani kertas kosong dan pernyataan tersebut telah ditulis kemudian
tanpa pengetahuan beliau. Memandangkan pernyataan ini adalah diragui
kebenarannya, maka tidak ada bukti lain yang dikemukakan oleh Pihak Syarikat
untuk membuktikan kes mereka.

34. Keterangan COW-4 dan COW-5 juga tidak dapat membuktikan dengan jelas
bahawa Pihak Menuntut telah cuai dalam menjalankan kerjanya apabila beliau

14
dikatakan terlupa untuk mengetatkan skru tayar kenderaan tersebut sehingga
menyebabkan tayar kenderaan itu tercabut apabila dibawa di atas jalan raya.

35. Pihak Syarikat menyatakan Pihak Menuntut cuai apabila gagal memastikan skru
tayar telah dipasang dengan ketat dan ini menyebabkan tayar telah tercabut
apabila ianya dipandu di jalan raya. Walau bagaimanapun tidak ada sebarang
laporan yang dikemukakan untuk menunjukkan tayar kereta tersebut telah
tercabut disebabkan oleh kecuaian Pihak Menuntut yang gagal mengetatkan skru
tayar itu. Mahkamah juga mendapati tidak ada laporan secara rasmi yang dibuat
oleh tuan punya kenderaan berkaitan dengan dakwaan kerosakan kereta beliau
akibat daripada kecuaian Pihak Menuntut. Disamping itu juga tidak terdapat
sebarang dokumen untuk menyokong kos pembaikan dan kos yang telah
dibelanjakan untuk memperbaiki kereta tersebut akibat daripada tayar yang
dikatakan tercabut itu.

36. Sementara itu bagi tuduhan kedua pula, Pihak Menuntut dikatakan telah gagal
mematuhi Service Procedure berkaitan dengan ‘self-inspection’ setelah
mengetatkan skru tayar kereta WWQ 5455 di mana ianya sepatutnya dilakukan
selepas ‘balancing’ selesai dijalankan. Walau bagaimanapun sepanjang
perbicaraan ini dijalankan, Pihak Syarikat telah gagal mengemukakan Service
Procedure tersebut ke Mahkamah untuk menunjukkan apa yang sepatutnya
dilakukan oleh Pihak Menuntut apabila kenderaan dihantar untuk diservis.
Disamping itu tidak ada keterangan yang dikemukakan untuk menunjukkan Pihak
Menuntut mempunyai pengetahuan atau pernah diberi penerangan mengenai
Service Procedure tersebut. Oleh itu Pihak Syarikat gagal membuktikan Service
Procedure tersebut sememangnya wujud dan Pihak Menuntut mempunyai
pengetahuan mengenainya dan beliau telah gagal mematuhi Service Procedure
tersebut.

37. Selain daripada itu COW-1 dalam keterangannya juga ada menyatakan sebelum
kejadian ini berlaku, iaitu pada 24.5.2014, beliau telah memberi taklimat berkaitan

15
dengan kereta yang dihantar untuk diservis dimana juruteknik perlu membuka
tayar-tayar untuk tujuan ‘balancing’ dan setelah ‘balancing’ selesai dijalankan,
mereka perlu memasang semula tayar-tayar tersebut. Taklimat ini telah
perturunkan dalam bentuk tulisan dan ianya dapat dilihat di mukasurat 66 COB-1.
Namun begitu setelah meneliti dokumen tersebut, Mahkamah mendapati tidak ada
bukti yang kukuh seperti rekod kehadiran untuk sessi taklimat tersebut dan
tandatangan mereka yang menghadiri taklimat itu. Dokumen tersebut hanya
ditandatangani oleh COW-1 sahaja. Oleh itu berdasarkan kepada dokumen ini,
ianya tidak menunjukkan Pihak Menuntut mempunyai pengetahuan mengenai
arahan yang dikatakan telah diberikan oleh COW-1 itu.

38. Berdasarkan kepada alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah


mendapati Pihak Syarikat telah gagal membuktikan atas imbangan
kebarangkalian bahawa Pihak Menuntut telah melakukan kesalahan-kesalahan
seperti yang dinyatakan dalam notis siasatan dalaman bertarikh 12.9.2014,
dengan itu penamatan kerja Pihak Menuntut telah dibuat tanpa sebab atau alasan
yang adil.

Kesimpulan

39. Setelah menilai segala keterangan dan hujahan bertulis yang dikemukakan secara
menyeluruh dan bertindak mengikut ekuiti, perasaan nurani dan merit kes,
Mahkamah mendapati Pihak Syarikat telah gagal membuktikan atas imbangan
kebarangkalian bahawa penamatan kerja Pihak Menuntut telah dibuat dengan
sebab atau alasan yang adil.

16
Remedi

40. Setelah mendapati pembuangan kerja tersebut adalah tanpa sebab atau alasan
yang adil, adalah menjadi tanggungjawab Mahkamah seterusnya untuk
memutuskan berkaitan dengan jenis remedi yang bersesuaian yang perlu
diawardkan kepada Pihak Menuntut.

41. Pihak Menuntut dalam Pernyataan Kesnya telah memohon kepada Mahkamah
untuk satu perintah agar beliau dikembalikan semula ke jawatan asal beliau tanpa
kehilangan kekananan dan lain-lain faedah. Walau bagaimanapun setelah
mengambilkira keterangan yang dikemukakan dan juga perhubungan yang tidak
baik yang wujud antara mereka dengan Pihak Syarikat, maka Mahkamah
berpendapat remedi ini adalah tidak wajar dan tidak sesuai dalam keadaan dan
fakta kes ini dan ianya adalah tidak seiring dengan keharmonian perusahaan. Oleh
itu Mahkamah berpendapat award pampasan dalam bentuk kewangan adalah
lebih sesuai.

42. Mahkamah Rayuan dalam kes Koperasi Serbaguna Sanya Bhd v Dr James
Alfred (Sabah) & Anor [2002]3 CLJ 758 telah memutuskan seperti berikut:
“In Industrial Law, the usual remedy for unjustified dismissal is an order of
reinstatement. It is only in rare cases that reinstatement is refused. For
example, as here, where the relationship between the parties had broken
down so badly that it would not be conducive to industrial harmony to return
the workman to his place of work. In such a case, the Industrial Court may
award monetary compensation. Such an award is usually in two parts. First,
there is the usual award for the arrears of wages, or back wages, as it is
sometimes called. It is to compensate the workman for the period that he has
been unemployed because of the unjustified act of dismissal. Second, there is
an award of compensation in lieu of reinstatement.”

43. Sementara dalam kes Hotel Jayapuri v. National Union Of Hotel Bar &
Restaurant Workers [1980] 1 MLJ 105, Mahkamah Persekutuan telah
memutuskan sekiranya terdapat asas undang-undang untuk membayar

17
pampasan, maka persoalan berkaitan dengan jumlah pampasan tersebut adalah
terletak di bawah budibicara Mahkamah itu untuk menetapkannya di bawah
Seksyen 30(5), Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Bayaran Gaji Kebelakang

44. Pihak Menuntut mula bekerja dengan Pihak Syarikat mulai 19.9.2005 dan pada
masa pembuangan kerja (27.10.2014), beliau telah berkhidmat selama 9 tahun.
Gaji terakhir yang diterima oleh beliau pada masa pembuangan kerja adalah RM
2411.00 sebulan. Adalah menjadi amalan Mahkamah apabila mengawardkan
bayaran gaji kebelakang, bayaran ini hendaklah tidak melebihi 24 bulan dari tarikh
pembuangan kerja tersebut dengan berdasarkan kepada gaji terakhir Pihak
Menuntut yang telah dibuang kerja tanpa sebab atau alasan yang adil seperti yang
digariskan dalam Jadual Kedua Akta. Selain daripada itu sekiranya terdapat
pendapatan selepas pembuangan kerja, maka Mahkamah boleh membuat
penolakan sebahagian dari bayaran gaji kebelakang tersebut. Pihak Menuntut
menyatakan beliau tidak memperolehi sebarang pekerjaan lain selepas
ditamatkan perkhidmatan. Menurut beliau walaupun beliau sedaya upaya ada
mencuba untuk mencari pekerjaan lain namun beliau gagal kerana setiap kali di
temuduga beliau akan memaklumkan sebab beliau dibuang kerja. Beliau kini
hanya melakukan kerja-kerja buruh dan memperolehi pendapatan lebihkurang
RM500.00 sehingga RM700.00 sebulan. Pihak Menuntut berumur 44 tahun
semasa ditamatkan perkhidmatannya oleh Pihak Syarikat. Beliau sepatutnya
mengurangkan kerugiannya dengan mencari pekerjaan lain yang sesuai dengan
pengalaman dan kemahiran beliau. Beliau juga tidak menunjukkan sebarang bukti
yang boleh menyokong bahawa beliau telah berusaha untuk mencari pekerjaan
lain setelah perkhidmatannya ditamatkan. Oleh itu ekuiti dan perasaan nurani
memerlukan sedikit penolakan perlu dibuat untuk bayaran gaji kebelakang ini.
Setelah menimbang secara teliti, Mahkamah berpendapat pemotongan sebanyak

18
30% adalah wajar dan munasabah dalam kes ini. Dengan itu untuk bayaran gaji
kebelakang Mahkamah mengawardkan seperti berikut:
RM2411.00 x 24 bulan = RM 57,864.00
Penolakan 30% = RM 17,359.20
Jumlah yang dibenarkan = RM 40,504.80

Pampasan Sebagai Pengembalian ke Jawatan Asal

45. Adalah juga menjadi amalan Mahkamah untuk mengawardkan pampasan sebagai
gantirugi pengembalian ke jawatan asal berlandaskan kepada formula satu bulan
gaji bagi setiap tahun genap perkhidmatan Pihak Menuntut dengan Syarikat. Pihak
Menuntut telah berkhidmat dengan Syarikat selama 9 tahun iaitu mulai dari
19.9.2005 sehingga pembuangan kerja pada 27.10.2014. Untuk pampasan
sebagai gantirugi pengembalian ke jawatan asal, Mahkamah mengawardkan
seperti berikut:

RM2411.00 x 9 bulan = RM 21,699.00

Perintah

46. Mahkamah dengan ini memerintahkan Pihak Syarikat untuk membayar kepada
Pihak Menuntut sebanyak RM 62,203.80. (RM 40,504.80 + RM 21,699.00) melalui
peguamcara Pihak Menuntut, Tetuan K.B. Tan, Kumar + Partners dalam tempoh
30 hari dari tarikh award ini diperturunkan.

DIPERTURUNKAN DAN BERTARIKH 15 JUN 2017.

(DATO' RASIDAH BINTI HAJI CHIK)


PENGERUSI
MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA
CAWANGAN PERAK

19

Você também pode gostar