Você está na página 1de 8

KEMBALIKAN SEMANGAT KITAR SEMULA

27 MAC 2014

KUALA LUMPUR - Menjelang tahun 2020, sasaran kutipan sampah dan sisa pepejal di seluruh
negara ditetapkan 33,000 tan sehari.

Dengan jumlah kutipan pada tahun lepas sudahpun mencapai 30,000 tan sehari sedangkan
sasarannya 20,000 tan sehari, tidak mustahil jumlah lambakan sampah oleh rakyat Malaysia
untuk tahun 2020 akan melebihi jumlah sasaran itu.

Persoalannya, adakah penambahan jumlah sampah akan menyebabkan kita terpaksa hidup
berkongsi tanah dengan timbunan sampah sarap yang kita sendiri hasilkan? Apa pula
tindakannya jika mahu mengurangkan masalah ini?

Menurut Ketua Pegawai Operasi Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) Mohd Zain Hassan, tugas
dan tanggungjawab mengurangkan jumlah sampah itu tidak hanya tergalas di bahu agensi dan
syarikat yang terbabit menguruskan sampah dan bahan buangan sahaja. Tetapi akan lebih berjaya
apabila dimulakan dari rumah.

Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab menjalankan tugas yang diamanahkan kerajaan
bagi memastikan negara mempunyai persekitaran yang bersih dan sihat, Alam Flora memainkan
peranan yang aktif dalam memberi maklumat dan pengetahuan berkaitan kepada orang awam.

Mohd Zain menyentuh mengenai kempen-kempen 3R (Reduce, Reuse, Recyle) yang telah
dilaksanakan oleh pelbagai pihak lebih sedekad yang lepas.

"Konsep 3R sebenarnya telah melalui satu tempoh yang cukup lama sejak ia dilancarkan pada
1996. Kemudian pada tahun 2000 sekali lagi kempen mengenainya dilancarkan oleh kerajaan.
Tetapi hingga ke hari ini sambutannya masih tidak menyeluruh", jelas Mohd Zain.

Ekoran banyaknya kempen mengenai 3R dijalankan secara berterusan, beliau berpendapat rakyat
Malaysia sebenarnya telah ada pengetahuan tentang 3R iaitu kurangkan (reduce), guna semula
(reuse) dan kitar semula (recycle).

"Cuma sikap tidak peduli atau mengharap kepada pihak lain untuk melakukannya menyebabkan
sampah akan terus bertambah. Ia akan terus bertambah selagi rakyat Malaysia tidak berubah
sikap", katanya.

MENDIDIK GENERASI HARI INI UNTUK HARI ESOK

Menurut Mohd Zain lagi, terbaharu Alam Flora dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan
Pembersihan Awam (PPSPA) secara agresifnya telah bekerjasama untuk melaksanakan program-
program kesedaran kepada orang ramai mengenai memerangi sisa atau sampah haram dan
program Bank Kitar semula di sekolah-sekolah di sekitar Putrajaya, Pahang dan Kuala Lumpur.
"Program sebegini dimulakan di sekolah-sekolah kerana kita percaya kesedaran dan pengetahuan
di peringkat awal akan membawa kesan positif untuk masa hadapan", katanya.

Program-program 3R terbahagi kepada 3 bahagian utama iaitu untuk komuniti, "waste wise" dan
di sekolah.

Di Putrajaya misalnya, program komunitinya melibatkan Pusat Kitar Semula, Mobile Recycling
Centre, Kerbside dan program di blok-blok pangsapuri.

Manakala untuk "waste wise" program, ia dijalankan di pejabat-pejabat termasuk di pejabat


kementerian, hotel dan kawasan komersial
.
"Kutipan barangan kitar semula di bawah waste wise adalah secara ‘on-call system’. Begitu juga
di sekolah-sekolah, program KITS (Kitar Semula Sekolah) memberi tumpuan dengan
menjalankan aktiviti di tadika, sekolah rendah serta menengah."

3R BANTU ISI RUMAH KURANGKAN KOS SARA HIDUP

Ramai yang tidak mengetahui barangan kitar semula dalam pasaran tempatan tidak mencukupi
sehingga pengusaha terpaksa mengimport bahan buangan dari luar negara.

Inilah masanya 3R dapat membantu isi rumah mengurangkan kos sara hidup mereka.

Mohd Zain berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengurangkan bahan-bahan
yang hendak dibuang. Antaranya ialah dengan berjimat cermat dan membeli barang ketika perlu
sahaja.

Kemudian, isi rumah juga boleh menggunakan semula barangan tertentu atau diberikan kepada
pihak lain supaya barang tersebut boleh diguna semula.

Manakala peringkat paling sukar dan leceh ialah kitar semula yang selalunya dilaksanakan oleh
industri. Tugas pengguna adalah untuk membantu mengumpul dan mengasingkan barang-barang
itu sama ada dijual sendiri atau dijual kepada pusat-pusat kitar semula seperti yang ada di
Putrajaya.

Secara tidak langsung amalan-amalan itu dapat mengurangkan kos sara hidup dan menambah
pendapatan.

KEJAYAAN NEGARA JIRAN

Syarikat ini mengambil contoh negara jiran yang berjaya dalam program 3R mereka. Ia sebagai
penanda aras bagi menilai tahap pencapaiannya.

Satu daripadanya ialah Sistem Kitaran Semula Wongpanit di Thailand. Ia satu perniagaan kitar
semula yang inovatif dan berjaya dilaksanakan sekian lama di Thailand.

Mohd Zain turut mengambil contoh Surabaya, Indonesia sebagai kawasan bandar yang berjaya
dalam amalan 3R sehingga.
Selain amalan 3R sehingga sampah hanya diambil dua kali sahaja dalam sebulan, mereka turut
menjalankan amalan seperti pengkomposan, penggunaan semula air dan kitar semula.

"Kejayaan mereka adalah disebabkan adanya sokongan padu dan kerjasama yang baik dalam
kalangan penduduk Surabaya," jelas Mohd Zain.

PUTRAJAYA CONTOH TERBAIK AMALAN 3R

Beliau berpendapat rakyat Malaysia bukannya tidak sedar kepentingan kitar semula, tetapi
amalannya masih belum menyeluruh.

"Ada yang tahu dan sedar, akan meneruskan amalan kitar semula. Tetapi ada juga yang tahu dan
sedar tetapi tidak diamalkan", katanya.

Memberikan Putrajaya sebagai contoh terbaik amalan 3R, beliau berpendapat aktiviti itu sangat
aktif dijalankan di kawasan berkenaan
.
Malah amalan itu menjadi sebahagian daripada amalan mereka dalam usaha menjadikan
Putrajaya sebagai Bandar Hijau.

Kewujudan kemudahan untuk menghantar barangan kitar semula di Pusat Kitar Semula Presint 9
telah memberi kesan positif kepada masyarakat setempat.

"Mereka yang mengamalkan 3R akan menganggap barang-barang yang boleh dikitar semula
sangat berharga malah boleh dianggap sebagai harta. Ia bernilai kerana setiap kali dibawa ke
pusat kitar semula, barangan itu akan ditimbang dan dibayar mengikut harga per kilogram.

"Jadi tunggu apa lagi. Jika boleh tolong maklumkan anak-anak dan ahli keluarga supaya
melaksanakan 3R iaitu beli bila perlu (reduce), beri kepada yang perlu (reuse) dan ada yang
masih memerlukan (recycle) kerana barang itu berharga", saran beliau. - Bernama
5 PERKARA ANDA PERLU TAHU MENGENAI PENGASINGAN SISA PEPEJAL DI
PUNCA

Denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 akan dikenakan jika didapati enggan
melaksanakan pengasingan sisa pepejal mulai 1 Jun ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bermula 1 September 2015, kerajaan telah mewajibkan pengasingan sisa
pepejal isi rumah secara berperingkat.

Pelaksanaan ini adalah berdasarkan peraturan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan
Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang berkuatkuasa di negeri-negeri dan wilayah-wilayah
persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan
Kedah.

Denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 akan dikenakan jika didapati enggan
melaksanakan pengasingan sisa pepejal mulai 1 Jun ini.

Berikut lima perkara yang anda perlu tahu mengenai pelaksanan pengasingan sisa pepejal di
punca:

1. Apa itu pengasingan sisa pepejal di punca?

Pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) adalah proses mengasingkan sisa pepejal yang
dihasilkan di punca mengikut komposisi sisa pepejal seperti kertas, plastik, lain-lain bahan kitar
semula (kaca/seramik, tin aluminium/besi/logam, sisa elektronik/barang elektrik lain, bahan

fabrik/kasut/getah/kulit dan sisa berbahaya) dan sisa baki (sisa makanan, lampin pakai buang dan
sisa lain yang kotor).
Kitar semula, apa yang boleh dan yang tidak boleh. - Foto Astro AWANI

2. Mengapa kerajaan ingin melaksanakan pengasingan sisa pepejal?

Di Malaysia, dianggarkan jumlah bahan-bahan kitar semula yang dibuang ke tapak pelupusan
sampah setiap tahun adalah sebanyak 2.3 juta tan dengan anggaran nilai mencecah RM900 juta.

Pada tahun 2013, jumlah penjanaan sisa negara meningkat kepada 33,000 tan sehari, berbanding
19,000 tan sehari pada tahun 2005.

Ini bermakna purata pertambahan janaan sisa pepejal setahun secara linear ialah 6.7 peratus, iaitu
jauh lebih tinggi berbanding purata kadar pertambahan di peringkat global iaitu 3 peratus sahaja.

Ini juga bermakna kadar pertambahan amaun sisa pepejal negara adalah dua kali ganda daripada
sepatutnya.

Sebagai negara maju, Malaysia sepatutnya mencapai 22 peratus kadar kitar semula pada tahun 2020
seperti dicatatkan oleh negara maju lain iaitu Jerman 62 peratus, Austria 68 peratus, Taiwan 60
peratus dan 59 peratus kadar kitar semula di Singapura.

Namun buat masa ini, hanya 17.39 peratus sahaja rakyat Malaysia yang mengamalkan aktiviti kitar
semula, walaupun kerajaan telah memperkenalkan program pengasingan sisa pepejal di punca sejak 1
September 2015.

3. Bagaimana melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca?

Secara mudahnya, sisa pepejal hendaklah diasingkan kepada sisa yang boleh dikitar semula dan sisa
baki.

Sisa baki merupakan sisa pepejal isi rumah yang tidak boleh dikitar semula seperti sisa makanan dan
sisa-sisa kotor.

Sisa baki ini perlu diikat kemas dan diletakkan dalam tong sampah yang disediakan. Sisa ini akan
dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Sisa pepejal yang boleh dikitar semula perlu diasingkan mengikut jenis sisa pepejal seperti berikut:

a. Kertas - surat khabar, majalah, buku panduan, komik, katalog, kertas komputer, kertas A4, kertas
berwarna, resit, bil , kotak kertas, kadbod, kalender, sampul surat, poskad, risalah, dan bungkusan
pos.

b. Plastik - botol minuman ringan, botol jus, botol minuman air mineral, bekas makanan, bekas sabun
cecair mandian, botl syampu, botol makanan kesihatan/vitamin, bekas pencuci pakaian/lantai, botol
kicap, baldi, ,beg plastik, bekas ais krim dan lain - lain jenis plastik.

c. Lain-lain bahan kitar semula iaitu:

i. Kaca/Seramik - botol kicap, botol sos, botol jem, botol minuman ringan, botol vitamin, bekas
kosmetik, pinggan kaca dan sebagainya.

ii Tin aluminium/besi/logam lain - tin minuman ringan, tin makanan dan sos, tin biskut, tin makanan
cecair, alatan dapur seperti sudu, periuk senduk dan sebagainya.

iii Sisa elektrik/barang elektrik kecil - bateri, kalkulator, telefon bimbit, peralatan elektrik, lampu
kalimantang, lampu LED,cerek elektrik, dapur elektrik dan sebagainya.

iv Bahan fabrik/kasut/getah/kulit - kasut, beg tangan, pakaian, sarung tangan dan sebagainya.

v.Sisa berbahaya - bekas penyembur ubat nyamuk,tin cat, bekas racun, bekas bahan pelarut, bekas
ubat anai-anai dan sebagainya.

Sisa kitar semula ini perlu diletakkan dengan kemas di tepi tong pada hari kutipan.

Bagi memudahkan pengasingan sisa pepejal dilaksanakan di rumah, orang ramai digalakkan
menyediakan apa-apa bekas yang bersesuaian seperti kotak atau bakul sampah untuk mengasingkan
sisa.

4. Bilakah kutipan dibuat ke atas sisa pepejal yang telah diasingkan?

Bagi sisa pepejal yang telah diasingkan seperti kertas, plastik, lain-lain bahan kitar semula, kutipan
akan dibuat sekali seminggu. Kutipan ini juga akan dibuat bersekali dengan kutipan sisa pukal dan
sisa kebun. Manakala, sisa baki pula, kutipan akan dibuat dua kali seminggu.

Kutipan dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh pihak kerajaan. Jadual kutipan akan
dipaparkan pada papan tanda jadual perkhidmatan di kawasan masing-masing.

5. Apa berlaku sekiranya gagal mengasingkan sisa pepejal di punca?

Denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 akan dikenakan mengikut Akta 672, jika didapati
enggan melaksanakan pengasingan sisa pepejal berkuatkuasa 1 Jun ini.
Bagi premis bertanah, kadar kompaun RM50 dikenakan bagi kesalahan pertama, RM100 bagi
kesalahan kedua dan RM500 bagi kesalahan ketiga.

Bagi premis bertingkat, kadar kompaun yang dikenakan ke atas Badan Pengurusan Bersama (JMB)
bagi kesalahan pertama adalah sebanyak RM100, RM200 bagi kesalahan kedua dan RM500 bagi
kesalahan ketiga.

Você também pode gostar