Você está na página 1de 8

ADAT RESAM MASYARAKAT MELAYU

Kelahiran

Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap
pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam,
adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing,
justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat
Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun.
Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.

Melenggang Perut (Sewaktu Mengandung)

Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara
Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian.
Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika
kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh
seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa
wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam
perut. Peralatan untuk upacara ini termasuk:

1.Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan

2.Segantang beras

3.Sebiji kelapa

4.Beberapa urat benang mentah

5.Damar

6.Minyak kelapa atau minyak urut

7.Lilin

8.Tepak sirih yang lengkap isinya

9.Pengeras sebanyak RM1.25


Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan
mengandam wanita hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit
ditabur.

Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur
diselitkan di kain basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil
dibawa bersama. Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu
ditambat seekor ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur
tadi dilepaskan atau dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita
tadi bersalin.

Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan


anak yang bakal lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu
selesai bidan akan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang
sehelai di atas sehelai yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain
tersebut. Bidan akan mengurut ibu yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa
atau minyak urut. Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu
menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak
tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke
atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya.
Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita
hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan
beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa
selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan
pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.

Sewaktu Bersalin

Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga
berkenaan. Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan
bulan sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga
sepuluh hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut
kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan
kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang
hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping itu
juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran ini.

Potong Tali Pusat

Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan
serapah lalu disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya
akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping
wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan
cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu
dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali
pusat itu tanggal sendiri.

Azan/Qamat

Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya


manakala bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi
tersebut akan melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih
merupakan amalan berunsur keagamaan.

Membelah/Mulut

Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga


terdapat dalam agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian.
Upacara bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia
diikuti dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan
ada juga yang menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut
bayi yang baru lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera
dibacakan. Namun demikian, adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat
Melayu hari ini.

Berpantang

Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa
berpantang yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar
pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh
berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari
mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.

Tempoh Berpantang

Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan
mengikut kehendaknya atau berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak
pergerakan. Antara makanan yang dilarang keras ialah yang boleh mengakibatkan
kegatalan di seluruh anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari
serta memakan ikan yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan
baung kerana ia boleh menyebabkan bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka
digalakkan memakan nasi dengan ikan haruan yang dibakar, direbus dan
dibenarkan minum air suam atau susu.

Bertungku

Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku.


Bertungku dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali
normal. Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara.
Kemudian tungku itu dibalut dengan kain yang di lapik dengan beberapa helai daun
yang tebal seperti daun lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan
tungku di samping berfungsi sebagai ubat.

Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk
mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan
menyapu perutnya dengan air limau yang dicampur dengan kapur sebelum memakai
bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi perut buncit atau
pinggul yang turun selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita
selepas bersalin.

Selepas lahir

Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.


Tanggal Pusat/Cuci Lantai

Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh
seminggu. Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia
juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak
boleh dibuaikan dan akan tidur di samping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan
pada hari Isnin atau Khamis. Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.
1. Nasi kunyit dan lauk-lauk

2. Seekor ayam hidup

3. Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang

4. Hadiah untuk bidan sepersalinan

Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu
bidan akan memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara
mengais-ngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya
lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini.
Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara
tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada
bidan tersebut.

Memberi Nama

Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai


maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi
mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau
anak-anak nabi akan dipilih.

Cukur Rambut/ Potong Jambul

Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat
potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.
Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.

1. Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung
tawar,beras kunyit dan bertih.
2. Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-
kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti
dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil.
Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau
perak di kelillingnya.

Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam
yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi
seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil
berselawat. Si bayi akan ditepung tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para
hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit rambut bayi tersebut dan
dimasukkan ke dalam kelapa tadi.

Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam


bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak
lelaki menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih.
Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi
tersebut dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh
melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa.
Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak
kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak,
akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas
anak dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih
ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir.
Seorang anak disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup. Terdapat syarat-
syarat tertentu dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk
akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah dua ekor
kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah
sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat
dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat
mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari
yang lain.
Naik Buai

Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat
sambutan di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam
suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat
anak atau cucu sulung.

Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian
yang menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-
bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan
semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan
oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan
dihadiahkan kepada kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan
adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut.

JejakTanah/TurunTanah

Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai
meraikan anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak
kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya.
Adat ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain
baik dari segi cara mahupun barangan yang digunakan.

Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini.


Selepas kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-
kanak berkenaan berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi
pelbagai jenis barang, termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang
diletakkan di dalam dulang itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai,
bedak, kain, kasut, gunting, bubur, air sejuk dan wang. Lazimnya jumlah barangan
yang diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut akan dibiarkan bergerak
memilih barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja.

Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal
masa depan kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika
kanak-kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat
kerja tangan. Adat ini jug boleh dilakukan secara sederhana iaitu
dengan memijakkan kaki kanak-kanak itu ke piring-piring kecil yang berisi dengan
padi, beras, tanah dan beberapa jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan.
Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa dibaca.

Bersunat / Berkhatan

Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil
iaitu beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak
perempuan akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun
atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka
akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka
dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok
Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam
menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi
kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan
kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis
perkahwinan.

Você também pode gostar