Você está na página 1de 17

KANDUNGAN

1. PENDAHULUAN ………………………………………………….

2. PENGERTIAN ATAU TAKRIF IBU BAPA …………………………….

3. IBU BAPA MENURUT AL QURAN …………………………………..

4. IBU BAPA MENURUT AS SUNNAH …………………………………

5. KESAN POSITIF DAN NEGATIF……………………………………

6. PENUTUP……………………………………………………….
PENDAHULUAN
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah dengan izin Allah swt, dengan segala kemudahan, kelapangan masa dan
keberkatan usia yang panjang yang masih diberikan kepada saya, dapat saya menyiapkan
kertas kerja ini tajuknya mengenai perbahasan yang berkaitan dengan “Adab Terhadap
Kedua Ibu Bapa.” Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang
banyak berjasa kepada kita kehadirannya memberikan sinar cahaya kepada manusia untuk
menuju kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat jadi beruntunglah bagi mereka yang
menjadikan sunnah beliau sebagai panduan hidup dan tidak menyelisishi sunnahnya dan
mata rugilah bagi mereka yang menyelisishi sunnahnya. Apabila sahaja kita menyebut
perkataan Ibu Bapa akan tergampar dalam fikiran kita mereka merupakan insan yang
paling rapat dengan kita yang sanggup berkorban apa sahaja untuk melihat kebahagiaan
kita, walaupun akan menpertaruhkan nyawa mereka sendiri untuk melihat kebahagiaan
kita, kasih sayang Ibu Bapa kepada anaknya memang tidak dapat untuk kita gambarkan
kerana pergorbanan mereka terhadap kita sebagai seorang anak memang tidak
terbalasnya jasa mereka kepada kita.

Dalam kertas kerja ini saya akan membahaskan dan membicarakan serba sedikit mengenai
“Adab Terhadap Kedua Ibu Bapa” yang mana dalam isi kertas kerja ini saya telah
memasukkan beberapa perbahasan-perbahasan seperti, ”Pengertian Atau Takrif Ibu Bapa,
Kesan positif Berbuat Baik Terhadap Ibu Bapa Dan Kesan Negatif Tidak Berbuat Baik
Terhadap Ibu Bapa, Ibu Bapa Menurut Al Quran dan Ibu Bapa Menurut As Sunnah.” Dan
setiap perbahasan di dalam setiap tajuk yang saya bahaskan adalah bersumberkan
daripada dalil Al Quran dan Hadith Sahih, yang dipetik daripada kitab hadith yang
muktabar dan beberapa pandangan ulama yang muktabar. Iaitu perbahasan tentang Adab
Terhadap kedua Ibu Bapa menurut Islam, seperti apakah ganjaran yang diberikan oleh Allah
swt kepada seorang anak yang sanggup berkorban untuk kedua Ibu Bapanya, dan apakah
balasan terhadap seorang anak yang mengabaikan kedua Ibu Bapanya dan menderhakai
kedua Ibu Bapanya, apakah ciri-ciri anak yang soleh dan solehah terhadap kedua Ibu
bapanya, apakah ciri-ciri anak yang derhaka kedua Ibu Bapanya, faktor terjadinya atau
punca utama anak menjadi anak yang derhaka dan cerita-cerita anak derhaka di era moden
yang dikenali sebagai Si Tanggang Moden dan sebagainya. Semoga usaha ini sedikit
sebanyak membawa manfaat kepada kita semua Insya Allah.
Pengertian atau Takrif Ibu Bapa
Ibu Bapa merupakan insan yang dikurniakan kedudukan yang tinggi di sisi Allah swt, untuk
kita memuliakan mereka, sebagaimana mereka telah berkorban, menghormati dan
menjaga kita semenjak kita masih kecil, terutamanya bagi si Ibu yang sanggup bertaruhkan
nyawanya untuk melahirkan kita di dunia, oleh itu Allah swt telah meletakkan darjat si Ibu
lebih tinggi melebihi darjat si Bapa. Hal ini dapat dibuktikan melalui sebuah hadith yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a berkata: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah
s.a.w dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan
sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.”Dia bertanya lagi: Kemudian siapa
lagi? Baginda menjawab:“Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “kemudian siapa lagi?
Baginda menjawab: “Ibukamu.” Dia bertanya lagi: “kemudian siapa lagi” Baginda
menjawab: “Ayah kamu.”[Sahih:Dikeluarkan oleh Al Bukhari dalam sahihnya- No Hadith :
5971] (Dalam kitab Al Adab, bab siapakah yang berhak untuk dilayan dengan baik.)

Jelaslah kepada kita akan dari dalil hadith di atas akan kemuliaan yang diberikan oleh Allah
swt kepada Ibu Bapa untuk kita muliakan mereka, lebih-lebih lagi seorang Ibu yangmana
darjat seorang Ibu itu melebihi darjat seorang Bapa, sebagaimana yang telahdijelaskan
dalam hadith al Bukhari dalam bab siapakah yang berhak untuk dilayan dengan baik, yang
telah dijelaskan di atas.
Ibu Bapa Menurut Al Quran:-
Terdapat tiga ayat di dalam Al Quran yang saling berulang, untuk menunjukkan betapa
besarnya kedudukan Ibu Bapa dan betapa pentingnya untuk seorang anak untuk berbuat
baik kepada kedua Ibu Bapanya. Ayat-ayat tersebut ialah: Dalam Surah al Nisa ayat 36 yang
bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan
sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang Ibu-bapa.” [Surah al Nisa: 36].

Dalam Surah al An’aam ayat 151 yang bermaksud: “Katakanlah: "Marilah ku bacakan
apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu
mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu
bapa.” [Surah al An’aam: 151].

Dalam Surah al Israk ayat 23 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan
supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada
ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya.” [Surah al Israk: 23].

JIka diperhatikan dan dikaji ketiga-tiga ayat yang di atas mempunyai persamaan:-

Ketiga-tiga ayat di atas kesemuanya menghubungkan perintah berbuat baik kepada kedua
Ibu Bapa dengan perintah mentauhidkan Allah swt, atau boleh dikatakan dalam usaha kita
untuk mentauhidkan Allah swt, hendaklah kita dalam masa yang juga berbuatbaik kepada
kedua Ibu Bapa kita.

Untuk menunjukkan betapa mulianya kedudukkan yang Allah swt berikan kepada kedua
Ibu Bapa, dan perlu difahami bahawa mentauhidkan Allah swt tidak semata-mata dengan
berkata: “Tidak ada tuhan melainkan tuhan melainkan Allah.”

melainkan ia perlu di buktikan dengan perbuatan dan meletakkan kedudukan Allah swt
melebihi daripada segala-gala, begitu juga dengan kedua Ibu Bapa kita hendaklah
meletakkan kedudukan Ibu Bapa kita di tempat yang sepatutnya bukan hanya sekadar kita
mengucapkan “Yang ini adalah Ibu Bapa saya yang paling saya sayangi.”

Dan juga tidak sempurna tauhid seseorang itu jika hanya bersolat dan berpuasa akan tetapi
ia tidak mengendahkan kedua Ibu Bapanya. Demikian juga, tidak sempurna tauhid
seseorang itu jika ia hanya memerhatikan Ibu Bapanya sehinggakan melalaikannya
daripada mengerjakan perintah-perintah daripada Allah swt seperti solat, puasa dan
sebagainya, Jadi dalam hal ini ia hendaklah di seimbangkan.
Ibu Bapa Menurut As Sunnah
1. menggunakan kesempatan untuk berbakti dan berbuat baik kepada kedua Ibu
Bapanya semasa mereka masih hidup dan Kecelakaan kepada seorang anak yang
gagal.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw naik ke atas mimbar, kemudian beliau berkata
:“Amin..amin..amin..”.Kemudian ditanyakan (para sahabat), kepada beliau : “Wahai
Rasulullah, saat Engkau naik ke atas mimbar, Engkau mengatakan Amin tiga kali,
apakah sebabnya?”“Jibril telah datang kepadaku dengan mengatakan : “Sesiapa yang
telah datang kepadanya bulan Ramadhan, tetapi dia tidak dapat ampunan Allah,
maka dia dimasukkan ke dalam api neraka, dan Allah jauh dari dirinya, maka
katakanlah: Amin”. Kemudian aku mengaminkannya.“Dan sesiapa yang dapat
bersama orang tuanya (ketika keduanya masih hidup), atau salah satu di antara
kedua orang tuanya masih hidup, padahal dia mampu berbuat baik untuk kedua atau
salah satu di antara keduanya, tetapi dia TIDAK berbuat baik kepada keduanya, atau
salah satu di antara keduanya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam api
neraka, dan Allah sangat jauh dari dirinya, maka aku katakan : “Amin” “Dan sesiapa
yang namaku disebutkan di hadapannya, kemudian dia tidak berselawat untukku,
maka Allah akan memasukkannya kedalam api neraka dan Allah sangat jauh dari
dirinya, maka katakanlah (wahai Muhammad SAW) (amin), maka aku katakan
“Amin”. [H.R Ibnu Hibban di dalam kitab shahihnya 3:188].

Jabir bin ‘Abdullah berkata Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menaiki minbar, ketika baginda
menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki
anak tangga yang kedua, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak
tangga ketiga, baginda menyebut “Amin”. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah. Kami
mendengar engkau menyebut Amin sebanyak tiga kali. Baginda menjawab: Ketika aku
menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepada ku dan berkata: Celaka
sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar
daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut Amin. Kemudian
Jibril berkata: Celakalah manusia yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang
daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkannya ke dalam syurga.
Aku pun menyebut Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang engkau
(iaitu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam) di sebut di sisinya, tetapi dia tidak
berselawat ke atas engkau. Aku pun menyebut Amin. [Hadis Riwayat Al-Bukhari dalam
Al-Adab Al-Mufrad, hadis no: 640. Shaikh al-Albani berkata ia Sahih Lighairihi dalam Sahih
al-Adab al-Mufrad]
Hadith kedua-dua di atas menjelaskan kepada kita betapa amat rugilah, malanglah dan
celakalah, bagi seorang anak yang masih mempunyai kedua Ibu Bapanya tetapi gagal untuk
berbakti dan berbuat baik kepada keduanya Ibu Bapanya yang masih dikurniakan
keberkatan usia yang panjang oleh Allah swt di dunia ini. Fenomena seperti ini sudah
menjadi kebiasaan pada hari ini yang mana kita dapat lihat di akhbar, internet dan
sebagainya ada sahaja kes-kes seperti ini berlaku, ini berpunca daripada sikap anak-anak
itu sendiri yang mempunyai sifat yang negatif di dalam dirinya seperti malas, cepat
mengeluh, bosan, dan tidak sabar dengan karenah kedua Ibu Bapanya, puncanya adalah
disebabkan tidak mempunyai latar pendidikan agama yang baik, telah menyebabkan anak
tersebut bersifat kurang ajar dan sanggup menderhakai kedua Ibu Bapanya, sehingga ia
tidak sedar akan bahayanya dan dosanya akibat daripada perbuatannya itu yang akan
mengakibatkan ia boleh dihumbangkan ke dalam neraka.

2. Jangan Menderhakai Ibu Bapa kerana merupakan salah satu dosa besar yang
kedua selepas mensyirikkan Allah swt.

Dari Anas r.a bahawa Rasulullah saw telah ditanya tantang dosa-dosa besar lalu
iabersabda: “Dosa besar ada empat iaitu mensyirikkan Allah, menderhakai Kedua Ibu
Bapa, membunuh manusia dan memberi saksi palsu.” [H.R Bukhari].

Dari dalil Hadith yang di atas hendaklah kita fahami dengan baik apa yang dimaksudkan
dengan menderhakai kedua Ibu Bapa kerana Ibu Bapa bukanlah sama seperti Allah swt dan
Rasulullah saw yang mana semua perintah dan ungkapan mereka tidak boleh kita
menolaknya atau menyanggahinya keputusannya.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Hasan Al Banna dalam bukunya 20 Usul Syarah
Isyrin (Rukun Faham), dalam asas yang keenam ia menyebut “perkataan seseorang boleh
diterima dan ditolak,kecuali perkataan Rasulullah saw yang bersifat maksum.”

Kedua Ibu Bapa adalah makhluk Allah swt dan mereka tergolong dalam kalangan yang
dimaksudkan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh saidinaAli
Bin Abi Talib r.a,bahawa rasulullah saw bersabda: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk
dalam bermaksiat kepada Allah, Sesungguhnya ketaatan itu dalamkebaikan.” [H.R
Bukhari Dan Muslim].

Menurut Imam Ibnu as-Solah, penderhakaan terhadap Ibu Bapa yang diharamkan ialah
segala perbuatan yang menyebabkan kedua Ibu Bapa merasa sakit hati (perasaan kecewa)
yang teramat sangat kepada anaknya, sedangkan perbuatan itu bukanlahperkara-perkara
yang wajib (yang terpaksa dilakukan) (Lihat: Syarah Sahih Muslim,Imam an-Nawawi, jil. 1,
bab Bayan al-Kabair wa Akbariha).
Berdasarkan pandangan Imam Ibnu as-Solah ini kita dapat simpulkan bahawa yang
dikatakan anak yang derhaka ialah apabila seorang anak melakukan perbuatan yang
sengaja untuk menyakiti dua Ibu Bapanya. Adapun jika Ibu Bapanya merasa sakit hatiatau
kecewa terhadap perbuatan anaknya itu yang mana perbuatannya itu lakukankerana untuk
memenuhi tuntutan agama, tidaklah ia dianggap anak yang derhaka yang diharamkan oleh
agama yang tergolong dalam dosa-dosa besar oleh hadis di atas keranamentaati Allah swt
lebih utama dari mentaati kedua Ibu Bapa.

Maka apabila seorang anak menegur Bapa atau Ibunya kerana suatu maksiat yangmereka
lakukan yang mesti ditegur, lalu Bapa atau Ibu merasa marah atau kecewa,tidaklah seorang
anak itu dianggap anak derhaka, kerana di sini agama Islam menegur/mencegah maksiat
adalah dituntut oleh agama. Begitu juga, jika Ibu Bapanya meminta/mengarahkan anaknya
agar melakukan perbuatan dosa, munkar atau maksiat, lalu anaknya itu menolaknya dan
Ibu Bapa rasa marah, tersinggung atau kecewa, tidaklah anaknya itu dikira derhaka kepada
kedua Ibu Bapanya itu di sisi agama.

3. Wajib meminta Izin Ibu Bapa Sekalipun Dalam Urusan Agama.

Meminta Izin daripada kedua Ibu Bapa adalah satu perkara yang telah diperintahkanoleh
Allah swt kepada seorang anak, walaupun ia melibatkan hal-hal berkaitan dengan urusan
agama. Tujuannya adalah untuk menunjukkan betapa mulianya kedudukan IbuBapa di sisi
Allah swt dan untuk menunjukkan adab seorang anak kepada kedua IbuBapanya.

Sebagai contoh pelajar-pelajar di sekolah rendah mereka diajar apabila mereka ingin pergi
ke tandas hendaklah ia meminta izin daripada gurunya terlebih dahulu untuk merestui
perbuatannya itu.

Lihatlah bagaimana Agama Islam bukan hanya datang untuk mengajak beriman dan
menyembah Allah swt semata-mata melainkan dalam masa yang sama telah memberikan
pendidikan akhlak kepada manusia untuk menjamin hidup mereka agar lebih baik. Kalau di
sekolah pelajar-pelajar dididik untuk meminta izin atau restu kepada gurunya untuk pergi
ke tandas, Inikan restu dari kedua Ibu Bapa terhadap anaknya yang merupakan orang yang
paling hampir dengan anak-anak.

Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Mu’awiyah Bin Jahimah as-
Sulami,bahawasanya Jahimah pernah datang kepada Rasulullah saw dan berkata: “Ya
Rasulullah saw aku ingin ikut berperang dan aku datang kepadamu untuk meminta
saran.” Maka beliau pun bertanya: “Apakah kamu masih mempunyai Ibu?”“Ya, masih,”
jawab-nya.Maka beliau berkata: “Kalau begitu,temanilah ia,kerana syurgaitu terletak di
kedua kakinya.” [H.R Imam Ahmad,Abu Daud dan Ibnu majah].
Dan disebutkan juga dalam sebuah Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id alKhudri
r.a berkata: “Sesungguhnya seorang lelaki dari yaman telah berhijrah kepada
Rasulullah saw (untuk berhijrah) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai
seseorang di Yaman?” Dia menjawab: “Ibu Bapaku.” Rasulullah saw bertanya:“Adakah
mereka memberi izin kepada engkau?” Dia menjawab: “Tidak.”Rasulullah saw
bersabda: “Kembalilah mereka berdua dan mintalah izin dari merekaberdua.

Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka
berbuat baiklah kepada mereka berdua.” [Hadith Hasan Sahih: Dikeluarkan olehAbu
Daud dan dinilai hasan sahih olah Al Bani dalam sahih sunan Abu Daud-No Hadith:2530]
(Kitab Jihad, Bab Berkenaan seorang lelaki yang berperang tetapi tidak disukai oleh Ibu
Bapanya).

Berkata Imam al Syaukani rahimahullah mengenai hadith ini: Dalam hadith di atas ia
merupakan petunjuk bahawa berbuat baik terhadap kedua Ibu Bapa adalah lebih baik dan
utama daripada berjihad. Manakala sabda Rasulullah saw “Jika mereka mengizinkan
engkau maka berjihadlah” di dalamnya terkandung dalil bahawa
wajib(Hukumnya)meminta izin Ibu Bapa di dalam urusan berjihad dan yang sedemikian
adalah pendapat jumlur ulama. Dan mereka memutuskan dengan keharaman berjihad jika
kedua Ibu Bapanya melarang atau tidak merestui daripada berjihad kerana sesungguhnya
berbuat baik kepada Ibu Bapa adalah fardu ain manakala berjihad adalah fardu kifayah.
Akan tetapi apabila hukum jihad jatuh fardu ain maka tidak perlu meminta izin (Daripada
kedua Ibu Bapa). [ Kitab Nail al-authar,Jilid 4,m.s. 687.Dalam bab untuk membezakan
hukum jihad antara fardu ain dan fardu kifayah ].

Jika diperhatikan dan dinilai dari sudut akal yang logik berjihad di jalan Allah swt
merupakan satu perbuatan yang amat mulia dan jika mati sekalipun akan mendapat pahala
mati syahid di sisi Allah swt, akan tetapi amalan berbuat baik kepada kedua Ibu Bapa
adalah merupakan satu amalan yang lebih besar dan lebih tinggi darjatnya di sisi Allah swt
melebihi amalan berjihad di jalan Allah swt.

Seorang anak itu di masa kini perlu memahami akan hakikat ini betapa besarnya ganjaran
yang disediakan oleh Allah swt kepada seorang anak yang sanggup berkorban untuk kedua
Ibu Bapanya, itulah hakikat yang perlu ditanam dalam diri seorang anak itu, tetapi
sebaliknya kita melihat fenomena anak derhaka atau si Tanggang zamanmoden semakin
menjadi-jadi sejak kebelakagan ini di akhbar, tv, internet dan sebagainya, hampir setiap
hari ada sahaja kes-kes anak derhaka ini berlaku di Negara Malaysia ini.
Tidakkah mereka merasa malu dan tidak terasa bersalah diatas perbuatannya itu dengan
sanggup menzalimi kedua Ibu Bapanya yang selama ini sanggup menanggung segala
kesusahan dalam usaha untuk membesarkan mereka, sehinggakan ada sahajakes-kes
seperti anak tendang kepala bapa, anak bunuh bapa dan anak kahwin lari tanpa mendapat
restu terlebih dahulu daripada kedua Ibu Bapa, dan pelbagai-bagi lagi kisahyang berlaku
pada hari ini yang berkaitan dengan anak derhaka atau si Tanggang zaman moden.

Kesan Positif Dan Kesan Negatif


Di antara kesan positif berbuat baik kepada Ibu Bapa yang pertama ialah mendapat
keredhaan daripada Allah swt kerana keredhaan Allah swt terletak pada keredhaan kedua
Ibu Bapa.

Hal ini sebagaimana dijelaskan melalui sebuah hadith sahih,bahawaRasulullah s.a.w telah
bersabda: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan
Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.”[Sahih: Dikeluarkanoleh Al Tarmizi dalam
sunannya-no hadith : 1899] (Kitab al birr wa al salah, BabBerkenaan keutamaan pada
keredhaan Ibu Bapa) Dan dinilai sahih oleh Albani dalam Silsilah Al Hadiths Al Shahihah-no
hadith: 515).

Hadith ini menceritakan kepada kita, bahawa hubungan seorang anak dengan Ibu Bapanya
memiliki kaitan dengan hubungannya kepada Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada
kedua Ibu Bapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anak
tersebut. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan
kemurkaan Ibu Bapanya, maka Allah juga murka kepadanya.

Walau bagaimanapun hendaklah diperhatikan dan difahami bahawa apa sahaja perkara
yang membuatkan Ibu Bapa redha kepada kita, itu tidaklah sesuatu perkara yang
berbentuk maksiat dan yang boleh membawa kemurkaan kepada Allah swt. Maksudnya,
jangan melakukan sesuatu perkara yang merupakan maksiat kepada Allah swt dalam
rangka berbuat baik kepada Ibu Bapa seperti Ibu bapa kita mengalakan kita untuk
memasuki program-program yang berbentuk maksiat seperti akademi fantasia.

Kerana dalam Islam tidak ada istilah mentaati makhluk dalam perkara maksiat kepada
Allah swt, kerana Ibu Bapa tergolong didalam kategori makhluk maka mentaati
merekadalam perkara-perkara yang berbentuk kebaikan dan mendapat keredhaan mereka
ia merupakan satu kemestian dan tidak mentaati mereka dalam perkara-perkara
maksiatitu adalah satu kewajipan untuk kita tidak mentaatinya dalam perkara tersebut.
Sebagaimana telah diceritakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Saidina Ali Bin
Abi Talib r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada ketaatankepada makhluk
dalam bermaksiat kepada Allah, Sesungguhnya ketaatan itu dalam kebaikan.” [H.R
Bukhari Dan Muslim].
Dan disebutkan juga dalam sebuah hadith iaitu kita hanya disarankan untuk mentaati
makhluk dalam hal kebaikan sahaja dan tidak patut mentaati makhluk dalam
halkeburukkan atau maksiat kepada Allah swt, sebagaimana disebut dalam sebuah hadith
sahih, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Menjadi Kewajipan seorang muslim untuk
mendengar dan taat dalam perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi
manaia tidak melibatkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka
tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Al
Bukhari dalam sahihnya-No Hadith: 7144] (Kitab Al Ahkam,Bab mendengar dan taat
kepadapemerintah selagi mana ia bukan merupakan maksiat).

Kesan positif yang kedua ialah anak yang berbuat baik kepada Ibu Bapanya dapat memiliki
Darjat yang Istimewa.

Usair Bin Jabir berkata: Biasanya Umar Al khattab apabila datang pasukan (pejuang)
bantuan daripada Yaman,dia akan bertanya kepadamereka sama ada di kalangan
mereka ada seorang bernama Uwais Bin Amar.Lalu beliau bertanya: andakah Uwais
Bin Amar? “orang itu menjawab: “Ya.” Umar bertanya lagi: “Daripada
Murod,kemudian daripada Qarni?” “Ya” jawab orang tersebut. ‘Umar bertanya lagi:
“Apakah anda memiliki belang (di badan) lalu kamu sembuh kecuali satu bahagian
sebesar duit sedirham”? orang itu menjawab: “Ya.”Umar bertanya lagi: “Adakah anda
memiliki Ibu?” orang itu menjawab: “Ya”.Lantas ‘Umar’ berkata, aku mendengar
Rasulullah saw Bersabda: “Akan datang kepada kalian Uwais bin Amar bersama
pasukan bantuan daripada Yaman. (Dia) daripada Murod, kemudian daripada Qarn.
Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu
bahagian sebesar dirham. Dia memiliki seorang Ibu yang dia selalu berbakti
kepadanya.Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan
mengabulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk
kamu, maka lakukannya.”Berkata Umar: “Mintakanlah ampun untuk aku.”Maka
Uwais meminta ampun untuk Umar.” [Sahih:Dikeluarkan oleh Muslim dalam sahihnya –
No Hadith: 2542] (Kitab Fadha’il alshahabah,Bab keutamaan Uwais Bin Al Qarni).

Subhanallah sungguh besar darjat yang diberikan yang dikurniakan oleh Allah swt, kepada
seorang anak yang selalu berbakti kepada Ibunya sehingga jika ia bersumpah Allah swt
akan memperkenankan sumpahnya itu, dan jika ia meminta ampun kepada seseorang pasti
Allah swt akan memperkenankan permohonanya itu. Sehinggakan sahabat Nabi
Muhammad saw sendiri iaitu Amirul Mukminin Umar Bin Al Khattab r.a, tidak melepaskan
peluang untuk mencarinya dan memintanya untuk memohon keampuanan untuk dirinya.
Hadith ini tidak terhad kepada Uwais Bin Amar, akan tetapi merangkumi kepada semua
anak-anak yang sentiasa istiqamah dalam berbakti dan berbuat baik kepada IbuBapanya.
Maka tidak wajar bagi kita menganggap amalan berbuat baik dan berbakti kepada Ibu Bapa
kita adalah salah satu amalan yang remeh atau satu amalan yang rendah kedudukannya,
melainkan ia merupakan satu amalan yang boleh mengangkap darjat kita di sisi Allah swt
dan manusia lain.

Kesan Positif yang terakhir ialah dikabulkan dan diperkenankan Doa Anak yang sentiasa
berbuat baik terhadap kedua Ibu Bapa dan sentiasa memberi keutamaan kepada Ibu
Bapanya.

Hal ini diceritakan oleh Ibnu Umar r.h berkata,Rasulullahsaw bersabda: Ketika tiga orang
sekawan sedang berjalan, mereka ditimpa hujan lalumengambil perlindungan dalam
sebuah batu besar dari gunung tersebut jatuh di mulut gua dan mengurung mereka di
dalamnya.Maka berkata sebahagian merekakepada sebahagian yang lain:
“Berfikirlah tentang amal salih yang pernah kalian lakukan semata-mata kerana
Allah, kemudian berdoalah kepada Allah dengan bertawassul melalui amal tersebut,
semoga Allah memberi jalan keluar dengannya.”Maka berkata salah seorang
daripada mereka: “Ya Allah sesungguhnya aku mempunyai Ibu Bapa yang sudah
sanagt lanjut usia, seorang isteri dan anak-anak kecil yang masih aku pelihara. Saat
aku pulang ke rumah pada waktu petang sambil membawa ternakanku kepada
mereka,aku memerah susu. Aku biasanya memberi minum Ibu Bapaku sebelum anak-
nakku.Suatu hari, tempat aku mengembala amat jauh sehingga aku hanya sempat
pulang ketika hari sudah amat lewat petang. Akudapati Ibu Bapaku sudah tidur.Aku
memerah susu seperti biasa, membawa bekas berisi susu dan berdiri di samping Ibu
Bapaku. Aku tidak suka membangunkan kedua duanya dan aku pula tidak suka
memberi minum anak-anakku sebelum kedua duanya, sekalipun anak-anakku
menangis di kakiku kerana kelaparan.Keadaanku dan anak-anakku berterusan
sehingga fajar menyingsing. Jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal itu
semata-mata kerana mencari wajah-mu, maka berilah kami satu bukaan untuk
melihat langit (dari dalam gua tersebut). ”Maka Allah memberikan bukaan pada batu
tersebut sehingga merekadapat melihat langit. [Sahih: Sebahagian daripada hadith
dikeluarkan oleh Al Bukharidalam sahihnya-No Hadith: 5974] (Kitab Al Adab,Bab
termakbulnya Doa disebabkan berbuat baik kepada Ibu Bapa).

Demikianlah kelebihan yang dikurniakan oleh Allah swt kepada seorang anak yang sentiasa
berbuat baik dan berbakti kepada Ibu Bapa sehingga ia menjadi satu amalan yang dapat
membantu seorang anak itu ketika ia ditimpa musibah.
Dan pengajaran yang terdapat di dalam hadith yang diatas ialah Hendaklah memberi
keutamaan kepada kedua Ibu Bapa melebihi isteri dan anak-anaknya, dan sedia berkorban
untuk kedua Ibu Bapa melebihi pengorbanan terhadap Isteri dan anak anaknya sendiri.

Dan di antara kesan negatif tidak berbuat baik kepada Ibu Bapa ialah yang pertama,
mendapat dosa besar kerana menderhakai kedua Ibu Bapa dalam perkara yang makruf
(baik).

sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a
berkata, Rasulullah saw pernah bertanya sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu
kalian tentang dosa yang paling besar? ”mereka (Para sahabat) menjawab: “Sudah
tentu wahai Rasulullah” Baginda menjelaskan syirik kepada Allah, derhaka kepada
kedua Ibu Bapa dan sumpah yang palsu”[Sahih: Dikeluarkanoleh Al Bukhari dalam
sahihnya- No Hadith: 2654] (Kitab al syahadat,Bab apa yangdiperkata berkenaan sumpah
palsu).

Derhaka kepada Ibu adalah lebih besar dan berat dosanya,hal ini berdasarkan sebuah
hadith, di mana Rasulullah saw telah membuat mengkhususkan larangan berbuat larangan
derhaka kepada seorang Ibu: “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian
berbuat derhaka kepada Ibu,meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi
perempuan hidup-hidup. Dan (Allah) membenci kalian menyebarkan gossip(fitnah),
banyak bertanya dan mensia-siakan harta. [Sahih: Dikeluarkan oleh AlBukhari dalam
sahihnya-No Hadith: 5975] (Kitab Al Adab,Bab derhaka kepada Ibubapatermasuk dosa
besar).

Yang dimaksudkan dengan derhaka adalah apa sahaja perbuatan yang bertentangan
dengan berbuat baik dan Ihsan. Antaranya, meninggikan suara, menggunakan perkataan
yang kasar dan menyinggung perasaan, tidak memenuhi panggilan mereka (selagi mana
perkara yang disuruh adalah yang makruf dan bukan perkara yang mungkar),
tidakmengambil berat ketika mereka memerlukan bantuan dan tidak menziarahi mereka
dan sebagainya.

Dr Yusuf Al Qardhawi juga telah menyebut masalah ini dalam bukunya Fiqh Awwaliyyat
dalam keutamaan dalam perkara-perkara yang dilarang oleh Allah swt dalam bab dosadosa
besar, ia berkata apabila seorang anak yang melaknat orang tuanya sendiri. Sebagaimana
yang diceritakan oleh Abdullah Ibnu Umar r.a, Ada yang bertanya: Mungkinkah seorang
anak melaknat orang tuanya sendiri.? Baginda Rasulullah sawmenjawab: “Ia mencaci
(melaknat) ayah orang, kemudian orang tersebut mencaci ayah dan melaknat ibunya”
[Hadith Muttafaqun Alaih-No Hadith: 57 ].
Hadith di atas menerangkan bahawa apabila seorang anak yang menyebabkan kedua orang
tuanya mendapat cacian dan makian daripada orang lain, ia dianggap telah melakukan
perbutan dosa besar dan haram. Apatah lagi jikalau anak tersebut menyakitikedua orang
tuanya sama ada menghina, memukul, memaki hamun dan sebagainya.

Abdullah Ibn Umar r.a, pernah menerangkan bahawa dosa-dosa terbesar ada
Sembilan,iaitu: Menyekutukan Allah, membunuh orang lain (Tanpa Hak), melarikan
diridari medan peperangan, memfitnah seorang wanita (Dengan Tuduhan Zina),
memakan riba, memakan harta anak yatim,berbuat maksiat dalam masjid, menghina
Ibu Bapa dan menyebabkan Ibu Bapa menangis disebabkan kederhakaan (Anak
mereka berdua). [Sahih: Dikeluarkan oleh Al Bukhari dalam Al AdabAl Mufrad –No
Hadith: 8] (Dan dinilai sahih oleh Albani dalam silsilah Al shahihah –NoHadith: 2898).

Kesan negatif yang kedua tidak berbuat baik kepada Ibu Bapa ialah mendapat Kehinaan
dan mendapat dosa besar kepada anak yang tidak berbakti dan berbuat baik kepada Ibu
Bapa semasa ia lanjut usia atau umur.

Sudah menjadi kebiasaan pada hari ini dengan terdengar sahaja berita- berita tentang Ibu
Bapa dipulaukan oleh anak-anak mereka sendiri, ditinggalkan dirumah-rumah orang tua
dan sebagainya.

Ini adalah satu perkara yang amat mendukacitakan kita bagi kita umat Islam di akhir
zaman ini, walaupun kita berada pada zaman serba moden ini masih ada anak derhakayang
lebih dikenali sebagai “si Tanggang moden. ”ini adalah disebabkan kejahilan umat Islam di
akhir zaman ini tentang dosa besar menderhakai Ibu Bapa dan hukum syarak itu sendiri.

Sedangkan di dalam Al Quran menyebut di dalam surah Al Israk pada ayat 23 berkaitan
dengan kewajipan bagi anak-anak untuk menjaga kedua Ibu Bapa ketika mereka lanjutusia
dan jangan sesekali bercakap kasar dengan mereka walaupun perkataan “ah” hal ini untuk
menunjukkan akan kepentingan menjaga,berbuat baik dan beradab kepadamereka.
Sebagaimana diterangkan oleh Allah swt dalam Al Quran dalam surah al Israk yang
bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah
selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-
baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur
lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada
keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentakmereka dan ucapkanlah
kepada mereka perkataan yang mulia.” [Surah Al Israk ayat 23].
Al Imam Al Qurtubi rahimahullah ketika mentafsirkan ayat dalam surah Al Israk ayat
23:melalui Firman Allah : “Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya
sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu”: Ibu Bapa yang lanjut usia diberikan
keistimewaan kerana berapa dalam keadaan yang demikian,Ibu Bapa sangat memerlukan
bantuan dan layanan daripada anak-anak mereka, ini adalah disebabkan oleh kerana
keadaan mereka yang lemah dan tua. Oleh itu dalam keadaan yang demikian, Allah swt
telah mewajibkan untuk memberikan perhatian kepada Ibu Bapa melebihi sebelum mereka
dalam keadaan tersebut.

Dalam keadaan lemah dan lanjut usia, Ibu Bapa memerlukan rawatan dan perhatian
daripada anak-anak mereka, sebagaimana ketika anak-anak semasa kecil juga memerlukan
rawatan semasa mereka kecil, atas sebab inilah Allah swt telah memberikan keistimewaan
kepada Ibu Bapa pada saat mereka lanjut usia. Selain itu, hidup seorang anak dengan Ibu
Bapanya dalam jangka waktu yang lama adakalanya menyebabkan seorang anak itu
merasa berat, bosan, malas dan banyak mengeluh sehingga menampakkan kemarahan
kepada kedua Ibu Bapanya yang sudah lanjut usia, Ini berlaku kerana kehidupan tidak
diterapkan nilai agama yang baik. Justeru itu dalam suasana ini Allah swt telah mewajipkan
kepada anak untuk bersikap dengan Ibu Bapanya dengan tutur yang baik yang
mengandungi kemuliaan dan bersih daripada daripada bertutur dengan pertuturan buruk
dan semua kecacatan.Firman Allah swt: “janganlah kamu mengatakan kepada keduanya
perkataan "ah",maksudnya janganlah berbicara dengan Ibu Bapa dengan ucapan yang
mengandungi isyaratkemarahan,sekali pun sedikit.

Mujahid berkata: “Ertinya, apabila seorang anak melihat Ibu Bapanya di usia
lanjutmembuang air besar dan kecil disebarangan tempat sebagaimana yang pernah
terjadikepada kamu apabila kamu masih kecil, maka janganlah mengeluh dan
berkata “ah”kepada mereka.”Firman Allah: “Katakanlah kepada mereka perkataan
yang mulia”, iaitu berkata denganberkata lembut dan sopan seperti,”Wahai
ayahku”,”Wahai ibuku”, tanpa menyebutnamanya dan gelarannya. Ibn Baddah al Tujaini
berkata, aku bertanya kepada sa’id Ibn Musayyab: “semua jenis berbuat baik kepada Ibu
Bapa yang disebut dalam Al Quran telah aku fahami, kecuali Firman Allah: “Katakanlah
kepada mereka perkataan yangmulia”, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan
yang mulia?” Sa’id Ibn Musayyab menjawab: “seperti ucapan seorang budak yang
melakukan kesalahan di hadapan orangtuannya yang berperangai kasar lagi keras.
Al Imam Ibnu Katsir rahimahullah, ketika mentafsirkan ayat dalam surah Al Israk pada ayat
23 melalui Firman Allah: “Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua duanya
sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu
mengatakan kepada keduanya perkataan "ah": Maksudnya, janganlah
engkaumemperdengarkan kata-kata yang buruk, bahkan sampai perkataan “ah” sekalipun
iamerupakan tingkatan ucapan buruk yang paling ringan. Sebagaimana yang dikatakan
oleh Atha Bin Abi Rabah, mengenai Firman Allah:“Janganlah kamu membentak mereka
berdua”, ia (Atha Bin Abi Rabah) berkata: Artinya, janganlah kamu meringankan tangan
kepada kedua Ibu Bapanya. Dan setelah Allah swt melarang kita mencela atau mengherdik
kedua Ibu Bapa kita ia menyuruh kita berkata-kata dengan perkataan yang baik dan
berbuat baik kepada kedua Ibu Bapanya, sebagaimana Allah swt berfirman: “Dan
ucapkalah kepada mereka perkataan yang mulia.” Iaitu ucapan yang lemah lembut,
baik,sopan santun, disertai dengan kemuliaan dan penghormatan. [Kitab Tafsir Ibnu
Katsir,Jilid 5,m.s.234].

Dan disebutkan juga dalam sebuah hadith yang mengambarkan tentang kerugian tentang
seorang anak yang gagal untuk berbakti kepada kedua Ibu Bapanya pada saat mereka
sudah lanjut usia. Dari Abu Hurairah r.a, dari Rasulullah saw beliau bersabda: “Sungguh
hina, sungguh hina, kemudian sungguh hina orang yang mendapatkan salahseorang
atau kedua orang tuanya lanjut usia di sisinya (semasa hidupnya),namun ia(orang
tuanya) tidak memasukkannya ke syurga.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslimdalam
sahihnya-No Hadith: 2551] (Kitab al Birr Wa al Sholah Wa al Adab, Bab sungguh hina
seseorang yang mendapati orang tuanya).

Jelaslah dari hadith yang diatas untuk menunjukkan betapa ruginya bagi seorang anak yang
gagal atau tidak menggunakan kesempatan yang ada semasa kedua Ibu Bapanya masih
hidup, untuk berbakti kepada kedua Ibu Bapanya, yang mana membawa kerugiaan kepada
anak tersebut untuk mendapat nikmat syurga daripada Allah swt yang disediakan kepada
mereka yang sentiasa berbakti dan berbuat baik kepada kedua Ibu Bapanya semasa
keduanya di lanjut usia, yang mana mereka amat memerlukan perhatian daripada anak-
anak pada waktu tersebut, apabila seorang tidak mengambil kesempatan untuk berbakti
kepada kedua Ibu Bapanya semasa keduanya masih hidup ia seolah-olah menolak tawaran
syurga yang ditawarkan oleh Allah swt kepadanya.

Dan Kesan negatif yang terakhir dalam perbahasan ini ialah kecelakaan bagi seorang anak
yang memutuskan hubungan dengan Ibu Bapanya dan membenci keduanya.

Dalam sebuah hadith diceritakan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Janganlah kalian
membenci ayah kalian. Sesiapa yang membenci ayahnya maka dia kufur.” [Sahih:
Dikeluarkan oleh al Bukhari dalam sahihnya-No Hadith: 6768] (Kitab alFara’id,Bab orang
yang mendakwa kepada selain ayahnya).
Pada zaman Rasulullah saw, antara tindakan seorang anak dalam keadaan menunjukkan
kebencian kepada ayahnya ialah dengan memutuskan nasab dengan ayahnya yang asal,
atau menghubungkan nasabnya kepada orang lain.

Rasulullah saw mengingatkan hal ini dalam sebuah hadith yang bermaksud: “Sesiapa yang
mengakui nasabnya kepada selain ayahnya padahal dia mengetahui bahawa itu
bukan ayahnya, maka syurga diharamkan ke atasnya.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al
Bukhari dalam sahihnya-No Hadith: 6766] (Kitab al Fara’id,Bab orang mengakui
nasabkepada selain ayahnya).

Pada zaman ini, kebencian seorang anak bukan sahaja ditunjukkan hanya dengan
memutuskan hubungan dengan ayahnya, bahkan lebih teruk daripada itu ada yang sanggup
menendang kepala ayahnya sendiri, tidak mengaku sebagai ayahnya, mencela, memaki
hamun dan sebagainya, atas alasan yang remeh-remeh. Dan ada yang sanggup
memutuskan hubungan silaraturahim disebabkan hal-hal seperti tidak berpuas hati,
membenci dan sebagainya, tidakkah seorang anak itu tahu betapa besarnya dosa bagi
seorang anak yang sanggup memutuskan hubungan silaturahim lebih-lebih lagi
memutuskan hubungan dengan kedua Ibu Bapanya sendiri, ia merupakan satu kesalahan
yang amat besar di sisi Allah, yang membawa kecelakaan di dunia dan akhirat.

Sebagaiman yang dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sebuah Hadith sahih, bahawa
Rasulullah saw telah bersabda: “Tidak ada dosa yang lebih layak untuk disegerakan
oleh Allah Ta’ala ke atas pelakunya di dunia ini disamping apa yang disimpan bagi
pelakunya di hari akhirat melainkan perbuatan memberontak (Terhadap Peminpin)
dan memutuskan hubungan silaturahim.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dandinilai
sahih oleh al-Albani dalam sahih sunan Abu Daud-No Hadith: 49002] (Kitab alAdab,Bab
larangan daripada memberontak).

Tidak ada dosa lebih besar dan lebih berat daripada seorang anak yang sanggup
memutuskan hubungan silaturahim, melainkan terhadap kedua Ibu Bapanya sendiri, yang
boleh membawa kecelakaan kepadanya di dunia dan akhirat.
PENUTUP
Kesimpulan, daripada perbahasan daripada kertas kerja ini, maka jelaslah kepada
kitaapakah yang dimaksudkan dengan pengertian Ibu Bapa,apakah kesan positif berbuat
baik kepada kedua Ibu Bapa, apakah kesan negatif tidak berbuat baik kepada kedua
IbuBapa dan sebagainya. Yang telah saya bahaskan di dalam kertas kerja yang serba
kekurangan ini sebagai ia sedikit sebanyak memberi pengajaran dan manfaat kepada kta
semua.

pada zaman ini kita telah menjadi kebiasaan kepada kita, hampir setiaphari, minggu, tahun
dan bulan, ada saja kes terdengaran di media-media masa seperti tv, surat akhbar, internet,
facebook dan sebagainya, ada saja kes-kes anak derhaka atau si Tanggang moden ini
terdengaran, ini merupakan satu fenomena yang amat merisaukan kita umat Islam kerana
majoriti kes-kes anak derhaka adalah berlaku daripada kalangan umat Islam itu sendiri, hal
ini amat membimbangkan kita umat Islam yang di masa kini yang mana ia boleh
menyebabkan orang bukan Islam akan salah faham terhadap Agama Islam yang mana
diceritakan agama Islam merupakan agama yang benar, dan bersesuaian dengan fitrah
manusia, tetapi sebaliknya yang berlaku umat Islam sendiri banyak melakukan perbuatan
yang keji ini, adakah Islam adalah agama yang salah, jawapannya adalah tidak, kerana
agama Islam yang sememangnya benar dan bersesuaian dengan fitrah manusia.

Manusialah yang mecorakkan atau menentukan jalan yang ingin ia suka sama jalan
kebaikan dan keburukkan, sesungguhnya jalan ke syurga itu jelas dan jalan ke neraka itu
juga jelas, Jadi dapat disimpulkan hidup ini adalah pilihan kepada kita untuk memilih jalan
yang baik ataupun sebalik sebagainya telah disebutkan di dalam Al Quran dalam surah
alsyam ayat 8-10 yang bermaksud: “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan
kefasikkan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan
jiwa itu,dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” Jadi agama Islam telah
menunjukkan manusia jalan yang baik maka terpulang kepada kita untuk memilih jalan
yang kita sukai.

Dan akhir kata, kewajipan untuk menjaga dan mengembirakan Ibu Bapa adalah merupakan
satu kewajipan kepada anak-anak yang masih mempunyai Ibu Bapa, amatlah rugi jika
seorang anak itu gagal untuk berbakti kepada Ibu Bapanya pada saat mereka masih
dikurniakan usia yang panjang oleh Allah swt, saya juga bukanlah manusia yang sempurna
dalam berbuat baik kepada Ibu Bapa saya, namun saya pun masih jauh daripada semua itu,
tapi apa yang mampu saya lakukan adalah dengan cuba sedaya upaya saya untuk berbuat
baik kepada kedua Ibu Bapa saya dengan baik, walaupun mereka telah meninggal dunia ia
bukanlah satu alasan untuk saya tidak berbuat baik kepadanya lagi, hanya doa yang dapat
saya tujukan kepada Allah swt untuk mereka. Wallahu alam !!!

Você também pode gostar